Ucapan Pembukaan oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid di Persidangan Meja Bulat Jawatankuasa Pasaran Kewangan Islam bersempena dengan Forum Kewangan Islam Global 2025
Kuala Lumpur | 15 Oktober 2025
Saya amat berbesar hati kerana berpeluang menyertai Persidangan Meja Bulat Jawatankuasa Pasaran Kewangan Islam yang dianjurkan bersempena dengan Forum Kewangan Islam Global (Global Islamic Finance Forum, GIFF) 2025. Saya mengalu-alukan kehadiran anda semua ke persidangan ini. Bagi saya, persidangan ini merupakan suatu wadah yang paling baik untuk memperdalam perbincangan serta memperkukuh kerjasama dan keyakinan dalam kalangan komuniti pasaran kewangan Islam kita.
Komitmen Malaysia terhadap ekosistem pasaran kewangan yang komprehensif
Hadirin sekalian,
Kewangan Islam di Malaysia telah mencatatkan kemajuan dan perubahan yang ketara sepanjang empat dekad yang lalu. Penubuhan bank Islam pertama pada tahun 1983 merupakan titik perubahan dalam landskap kewangan negara. Pada tahun yang sama, Kerajaan telah menerbitkan sukuk kerajaan pertama dalam bentuk Sijil Pelaburan Kerajaan (Government Investment Certificate, GIC) bagi memenuhi keperluan utama terhadap instrumen mudah tunai berkualiti tinggi yang patuh Syariah. Instrumen ini kemudiannya digantikan dengan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Investment Issues, MGII) yang menjadi asas kepada pembangunan pasaran modal Islam.
Seiring dengan pertambahan bilangan peserta industri, Pasaran Wang Antara Bank Islam (Islamic Interbank Money Market, IIMM) telah diperkenalkan pada tahun 1994 bagi memudahkan pelaburan jangka pendek berasaskan prinsip Syariah, sekali gus membolehkan para peserta mengurus risiko pembiayaan dan mudah tunai dengan lebih cekap. IIMM memainkan peranan yang penting dalam sistem perbankan Islam yang cekap: pertama, dengan menyediakan kemudahan pembiayaan jangka pendek dan pengurusan mudah tunai kepada institusi kewangan Islam; dan kedua, sebagai saluran transmisi utama dalam pelaksanaan dasar monetari. Selain itu, IIMM turut memainkan peranan penting dalam fungsi penyelesaian dan pengantaraan pasaran dengan membolehkan dana disalurkan secara cekap, khususnya bagi pengagihan dan pengagihan semula lebihan dana merentas sistem perbankan. Hal ini dapat menggabungkan keupayaan pembiayaan individu untuk membentuk sempadan pembiayaan sektor kewangan yang kolektif dan berdaya tahan, dan saya percaya, nilai keseluruhannya adalah lebih besar jika dibandingkan dengan nilai pembiayaan secara individu.
Hari ini, kewangan Islam merupakan pilihan utama dalam sistem kewangan Malaysia. Pasaran modal Islam merangkumi 63% daripada sistem kewangan negara, menjadikannya tonggak utama dalam pasaran modal Malaysia.[1] Bahagian instrumen pasaran wang Islam juga kekal besar dan telah berkembang seiring dengan perkembangan ini untuk menyokong pertumbuhan industri perbankan Islam, yang kini mewakili 47.2% daripada jumlah pembiayaan. Malaysia juga merupakan pusat pasaran sukuk terbesar di dunia, dengan menguasai 37% daripada jumlah sukuk global terkumpul.[2] Buktinya, Malaysia telah menduduki tempat pertama dalam Indeks Pembangunan Kewangan Islam (Islamic Finance Development Indicator, IFDI) 2024 untuk tahun ke-12
berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pasaran kewangan Islam yang paling komprehensif.
Memperkukuh pasaran untuk persediaan masa hadapan – selangkah demi selangkah
Kemajuan telah dicapai, namun usaha Malaysia dalam membangunkan kewangan Islam masih belum berakhir. Kami terus melaksanakan usaha untuk membina ekosistem kewangan Islam yang berpandangan jauh melalui strategi-strategi yang berikut.
Pertama, memperluas kumpulan pelabur sukuk melangkaui segmen tradisional. Malaysia komited untuk membangunkan pasaran kewangan Islam yang berdaya tahan, inklusif dan terhubung secara global. Salah satu keutamaannya adalah untuk memperluas kumpulan pelabur melangkaui segmen tradisional, khususnya dengan meningkatkan daya tarikan instrumen Islam kepada pelabur bukan pemastautin dan pelabur institusi. Hal ini memerlukan usaha untuk menangani kekangan struktur, mempelbagaikan struktur sukuk serta menyelaraskan tafsiran Syariah pada peringkat antarabangsa bagi memastikan kebolehdagangan dan akses pasaran yang lebih meluas.
Bagi memajukan lagi pembangunan pasaran kewangan Islam di Malaysia, Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan struktur wakalah bi al-khadamat pada tahun 2024. Berperanan sebagai alternatif kepada murabahah, sukuk yang distrukturkan menggunakan wakalah bi al-khadamat memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Syariah dalam negeri dan antarabangsa bagi kebolehdagangan dalam pasaran sekunder, sekali gus menangani kebimbangan berkaitan dengan sukuk berasaskan hutang. Terbitan sulung struktur wakalah bi al-khadamat dijadualkan pada tahun 2026, dan kami amat mengalu-alukan penyertaan yang lebih meluas daripada pelabur antarabangsa dalam perkembangan ini. Terbitan ini menandakan satu pendekatan yang berhati-hati namun bermakna dalam merealisasikan komitmen Malaysia terhadap inovasi dan keterangkuman.
Pengenalan struktur ini dijangka dapat merapatkan jurang pasaran antara bon kerajaan dengan pasaran sukuk pada masa hadapan menerusi aktiviti perdagangan yang lebih giat dalam pasaran sekunder serta memperluas penerimaan pelabur terhadap instrumen kerajaan Malaysia, khususnya dalam kalangan pelabur asing. Inisiatif ini dijangka terus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam, melengkapkan strategi yang lebih menyeluruh untuk mempelbagaikan penawaran dan memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berubah-ubah.
Kedua, membina infrastruktur pasaran yang berpandangan ke hadapan serta kondusif untuk inovasi.
Malaysia turut mempunyai visi yang berani untuk kewangan Islam iaitu mewujudkan pasaran kewangan Islam yang komprehensif, berteraskan ekosistem patuh Syariah yang holistik dan menyeluruh. Komponen utama visi ini adalah penggunaan kadar penanda aras berasaskan transaksi yang mantap yang mencerminkan aktiviti pasaran sebenar, menyokong inovasi produk dan selaras dengan piawaian global. Infrastruktur ini juga perlu mempunyai tahap ketangkasan yang mencukupi untuk menerapkan teknologi baharu bagi meningkatkan akses dan kecekapan pasaran.
Bagi merealisasikan visi ini, Malaysia telah melancarkan Kadar Semalaman Islam Malaysia (Malaysia Islamic Overnight Rate, MYOR-i), iaitu kadar penanda aras Islam berasaskan transaksi sebenar yang pertama di dunia, bertujuan merangsang pembangunan produk kewangan patuh Syariah yang inovatif. MYOR-i menggantikan Kadar Rujukan Islam Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Islamic Reference Rate, KLIRR) yang tidak memenuhi piawaian global bagi penanda aras kewangan. MYOR-i dibangunkan berdasarkan Principles for Financial Benchmarks oleh International Organisation of Securities Commissions (IOSCO) dan dihitung berdasarkan purata kadar pulangan berwajaran jumlah (volume-weighted) bagi transaksi patuh Syariah tanpa cagaran antara bank untuk tempoh semalaman.
Sejak pelancarannya pada tahun 2022, MYOR-i telah menunjukkan kewibawaan dan kekukuhan sebagai penanda aras kewangan, dengan purata jumlah harian bagi transaksi patuh Syariah tanpa cagaran antara bank untuk tempoh semalaman meningkat daripada
RM1.9 bilion pada tahun 2023 kepada RM2.8 bilion pada tahun 2024. Peralihan kepada
MYOR-i bukanlah sekadar perubahan teknikal, tetapi merupakan lonjakan strategik ke hadapan untuk memperteguh landskap kewangan Islam Malaysia sebagai persediaan untuk masa hadapan. Peralihan ini menuntut pandangan jauh, kerjasama dan komitmen yang teguh daripada semua pihak berkepentingan untuk bersedia menghadapi peralihan mandatori ini secara proaktif. Susulan libat urus di seluruh industri, pelan hala tuju peralihan yang komprehensif akan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada lewat suku tahun ini.
Peralihan kepada MYOR-i yang berjaya bagi produk kewangan Islam memerlukan persediaan yang rapi serta tindakan yang terselaras merentas beberapa aspek penting: pertama, sokongan dan kesiapsiagaan industri termasuk penambahbaikan sistem, pembangunan produk dan penyelarasan operasi bagi memastikan pelaksanaan MYOR-i yang lancar; kedua, pembangunan pasaran: kita perlu memupuk kepelbagaian peserta pasaran dan menggalakkan pasaran antara bank yang lebih dinamik dengan menggalakkan bank-bank untuk menguruskan mudah tunai melalui pasaran wang antara bank, berbanding bergantung sepenuhnya pada kemudahan bank pusat; dan ketiga, meningkatkan mudah tunai instrumen lindung nilai Islam melalui perluasan penggunaan Perjanjian Induk Tahawwut (Tahawwut Master Agreement, TMA) bagi membolehkan institusi perbankan dan syarikat korporat menguruskan risiko dengan lebih berkesan dan berlandaskan Syariah. Para peserta industri perlu terus membina keyakinan, mewujudkan talian kredit dan menjalankan urus niaga dengan satu sama lain. Peningkatan mudah tunai instrumen lindung nilai kadar keuntungan Islam akan membuka jalan kepada penerimaan MYOR-i yang lebih meluas.
Yang akhir sekali, memajukan instrumen repo bagi memperdalam pasaran kewangan. Malaysia kekal teguh dalam memajukan kewangan Islam dengan memperdalam pasaran untuk meningkatkan daya dinamik dan daya saing. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kecairan dalam Pasaran Wang Antara Bank secara Islam (Islamic Interbank Money Market, IIMM).
Pada bulan Julai tahun ini, transaksi Perjanjian Jual dan Beli Balik (Sell and Buy Back Agreement, SBBA) Lestari yang pertama di Malaysia telah direalisasikan menerusi kerjasama strategik industri. Pembangunan inovatif ini menerapkan Lampiran Penggunaan Dana Secara Lestari (Sustainable Use of Proceeds Annex), yang menerapkan mekanisme berskala bagi kelestarian dalam semua transaksi SBBA yang layak. Industri turut menambah baik model SBBA sedia ada dengan menggunakan amalan terbaik daripada Perjanjian Induk Jual dan Beli Balik Global (Global Master Repurchase Agreement, GMRA) yang diiktiraf secara global dalam perbankan konvensional. GMRA merangkumi ciri-ciri lanjutan seperti pengurusan margin, mekanisme penggantian aset dan prinsip Syariah yang diperhalus. Struktur SBBA yang ditambah baik serta transaksi lestari bersejarah ini mencerminkan suatu perubahan yang strategik ke arah ekosistem kewangan Islam yang lebih dinamik serta bersedia menghadapi masa hadapan.
Struktur SBBA yang ditambah baik bersama-sama dengan penerbitan Dokumen Dasar Pembiayaan Bercagar Islam pada tahun 2024 telah menunjukkan perubahannya. Sejak pelaksanaannya, penyelarasan transaksi repo Islam telah meningkatkan aktiviti dalam IIMM secara ketara, dengan jumlah transaksi bercagar antara bank meningkat lebih tiga kali daripada RM12.6 bilion pada tahun 2023 kepada RM42.6 bilion pada tahun 2024. Momentum ini berterusan, dengan RM34.8 bilion transaksi direkodkan pada separuh pertama tahun 2025, sekali gus mencerminkan penerimaan pasaran yang kukuh dan mudah tunai yang semakin meningkat.
Seruan untuk bertindak: Berinovasi, atau bersedia untuk ditinggalkan.
Hadirin sekalian,
Sambil kita berhimpun di sini pada hari ini, kita perlu bertanya kepada diri sendiri – “Apakah langkah seterusnya?” Inilah semangat di sebalik persidangan meja bulat ini – untuk membentuk pasaran masa hadapan. Hal ini merupakan seruan untuk mencabar norma, menghayati idea baharu dan memperluas sempadan kewangan Islam.
Dengan kemunculan teknologi baharu dan perubahan dinamik pasaran, pasaran kewangan Islam perlu terus memacu inovasi. Antara peluang yang wujud termasuk tokenisasi aset (tokenisation of assets) untuk memperluas akses kepada pelabur runcit dan global; pembiayaan hijau dan Pelaburan yang Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment, SRI) yang semakin berkembang pesat; serta instrumen berasaskan wakaf untuk menggerakkan modal kedermawanan, lantas memperkukuh kesan etika dan sosial kewangan Islam. Hal ini termasuk pengumuman Kerajaan baru-baru ini mengenai Sukuk Wakaf Tunai, yang membolehkan pelabur mewakafkan sama ada prinsipal atau pulangan berkala, sekali gus menjadikan dana tersebut sebagai endowmen amal yang berkekalan demi manfaat masyarakat.
Antara sorotan utama dalam usaha kita untuk terus berinovasi ialah majlis tanda tangan perjanjian yang akan kita saksikan hari ini: pertama, pemeteraian Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding, MoU) antara pemimpin industri mengenai struktur SBBA yang dipertingkatkan dan Perjanjian Induk Tahawwut (Tahawwut Master Agreement, TMA) dan kedua, pemeteraian Cross Currency ESG SBBA antara HSBC Amanah, RHB Islamic, Standard Chartered Saadiq dan UOB.
Inisiatif-inisiatif oleh industri ini wajar dipuji kerana mencerminkan komitmen bersama terhadap penyeragaman, pengurusan risiko dan pembangunan infrastruktur kewangan Islam yang kukuh, selaras dengan kelestarian global. Inilah hasilnya apabila kita berani bertanya — “Apakah langkah seterusnya?”
Sebelum saya membuat kesimpulan, izinkan saya menyentuh satu perkara penting bagi industri dan para pengamal ketika kita maju ke hadapan. Saya telah berkongsi pandangan ini dalam sesi penutup GIFF 2025 semalam. Seruan untuk bertindak yang sering kali kami lontarkan kepada industri termasuk semasa GIFF 2025 adalah untuk berinovasi dan berkembang dengan instrumen perkongsian risiko iaitu instrumen berasaskan ekuiti. Kami ingin jelaskan bahawa bukanlah hasrat kami untuk menggantikan instrumen berasaskan hutang. Hutang mempunyai peranan tersendiri dalam ekonomi, termasuk ekonomi Islam. Seperti yang saya nyatakan semalam, tiada isu Syariah berkaitan hutang dalam kewangan Islam pada masa ini. Kami juga tidak menyatakan, dan tidak sepatutnya menyatakan, bahawa sesuatu instrumen itu lebih patuh Syariah daripada yang lain. Hutang disebut secara meluas dalam al-Quran dan Sunnah, dan tiada larangan untuk berhutang melainkan larangan terhadap amalan riba dan gharar. Sebagai contoh, jika dibandingkan dengan larangan terhadap arak yang bersifat mutlak, Sheikh Yusuf al-Qaradawi dalam salah satu penulisan beliau telah merasionalisasikan larangan tersebut. Meskipun menurut beberapa kajian perubatan terdapat manfaat tertentu daripada pengambilan arak, kemudaratannya jauh mengatasi manfaatnya. Jika pendekatan yang sistematik ini diterapkan kepada hutang, dan mengambil kira tradisi yang mengakui wujudnya kemudaratan dalam berhutang, seseorang individu boleh merumuskan bahawa ketiadaan larangan secara jelas bermaksud terdapat juga banyak manfaat yang boleh diperoleh daripadanya. Lihat sahaja sistem perbankan Islam hari ini, yang hampir 47% adalah daripada instrumen berasaskan hutang. Maka, persoalan yang wajar ditanya ialah “Adakah kita mampu mencapai kemajuan seperti hari ini tanpa instrumen tersebut?” Malah, sebahagian besar perbincangan kita hari ini berkisar kepada instrumen berasaskan hutang. Kembali kepada seruan untuk bertindak berhubung dengan instrumen perkongsian risiko, saya ingin menegaskan bahawa seruan ini adalah untuk berinovasi dan berkembang. Kewangan Islam mempunyai ciri yang fleksibel dan seruan untuk terus berinovasi serta berkembang dengan instrumen perkongsian risiko boleh meluaskan sempadan pembiayaan kewangan Islam ke bidang-bidang pertumbuhan baharu. Peluasan ini khususnya dalam bidang yang memerlukan penyertaan ekuiti sebagai pendekatan yang lebih seimbang kepada pembiayaan, membawa masuk rakan kongsi baharu dan sebagainya. Bidang-bidang pertumbuhan ini, khususnya industri perkilangan berteknologi tinggi, projek berkaitan kelestarian atau iklim dan juga infrastruktur, boleh mendapat manfaat daripada inovasi ini.
Kesimpulan
Pasaran kewangan Islam di Malaysia telah berkembang pesat yang berlandaskan komitmen dan kerja keras selama beberapa dekad. Kemajuan sebesar ini tidak mungkin dicapai secara bersendirian namun menuntut usaha kolektif daripada pihak pengawal selia, peserta pasaran, para cendekiawan Syariah dan pihak berkepentingan antarabangsa. Langkah yang kita ambil hari ini akan membentuk hala tuju untuk beberapa dekad akan datang. Oleh itu, kita perlu terus mencabar norma dan pada masa yang sama tetap mendukung prinsip Syariah dalam setiap tindakan kita. Marilah kita berpegang kepada hikmah abadi al-Quran:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan.” [Al-Maidah: 2].
Dengan semangat dan matlamat yang dikongsi bersama, saya yakin kita mampu untuk terus membina ekosistem kewangan Islam yang teguh, inklusif dan bersedia untuk menghadapi masa hadapan, yang bukan sahaja memenuhi keperluan hari ini, malah turut membina kepercayaan dan keyakinan untuk hari esok. Dengan itu, mari kita mulakan Persidangan Meja Bulat Jawatankuasa Pasaran Kewangan Islam. Semoga perbincangan ini produktif kepada semua.
Terima kasih.
[1] Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Statistics for Islamic Capital Market in Malaysia.
[2] IIFM Sukuk Report 2024.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.