Ucapan Pembukaan oleh Timbalan Gabenor Marzunisham Omar Bengkel Tipologi APG ke-25 2024
Sasana Kijang | 11 November 2024
Selamat datang dan selamat pagi. Saya berbesar hati untuk mengalu-alukan anda ke Typologies Workshop APG ke-25. Bagi para peserta dari luar negara, selamat datang ke Kuala Lumpur dan Bank Negara Malaysia.
Ini adalah kali keempat BNM menganjurkan bengkel ini dan saya sentiasa berpendapat bahawa bengkel ini bermanfaat untuk semua ambil maklum tentang trend yang sentiasa berubah-ubah berkenaan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan (money laundering, terrorism financing and proliferation financing, ML/TF/PF). Dengan Penilaian Bersama (Mutual Evaluation, ME) yang akan datang, bengkel seperti ini menjadi platform yang lebih penting bagi membolehkan kita berkumpul untuk berbincang dan belajar bersama mengenai jenis jenayah kewangan yang sentiasa berubah-ubah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kita semua berkongsi visi yang sama untuk memelihara integriti sistem kewangan. Jenayah kewangan adalah ibarat wabak yang boleh menghancurkan sesebuah negara. Pertama, jenayah kewangan berkembang dengan pantas, lantas memerlukan strategi adaptif untuk memantau dan bertindak balas terhadap simptom. Kedua, jenayah kewangan merebak secara pantas dan perlu dikesan lebih awal dan dihentikan, jikalau tidak jenayah ini akan menyebabkan kemusnahan. Ketiga, usaha membanteras jenayah kewangan memerlukan pendekatan yang bersasar dan menyeluruh untuk melawannya dengan berkesan.
Hari ini, saya akan ajukan tiga ciri pendekatan yang kukuh dalam memerangi jenayah kewangan, iaitu:
- 'A' – adapt (penyesuaian) - Menyesuaikan strategi kita;
- 'P' – partner (kerjasama) - Kerjasama antara semua pihak berkepentingan; dan
- 'G' – grow (perkembangan) - Mengembangkan keupayaan kita;
atau secara ringkas, APG.
Sebelum saya menghuraikan dengan lebih lanjut, izinkan saya berkongsi pendapat ringkas mengenai penyalahgunaan entiti korporat dan penipuan siber.
Skandal rasuah dan pengubahan wang haram berprofil tinggi baru-baru ini, seperti yang didedahkan dalam “Panama” dan “Pandora Papers”, telah membongkar penyalahgunaan struktur korporat yang canggih. Penjenayah mengeksploitasi struktur yang kompleks ini untuk menyembunyikan pemilikan sebenar, lantas mengelak pengesanan dan pengawasan.
Sementara itu, trend digitalisasi juga telah meningkatkan kadar penipuan siber. Global Anti-Scam Alliance melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 25% daripada populasi global iaitu, 1 dalam 4 orang, telah terpedaya dengan penipuan siber dengan kerugian global daripada penipuan mencakupi 1.1% daripada KDNK global pada tahun 2023. Ini merupakan jumlah wang yang sangat banyak. Financial Action Task Force (FATF) dan INTERPOL juga melaporkan penipuan sebagai risiko ML yang ketara dan mengenal pasti ancaman seperti perisian hasad (ransomware), mencuri maklumat (phishing) dan penipuan dalam talian sebagai sepuluh trend jenayah siber tertinggi.
Kita juga memerhatikan isu yang sama di Malaysia. Penipuan telah dikenal pasti sebagai salah satu jenayah berisiko tinggi dalam National Risk Assessment 2023. Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) telah menerima lebih 131,000 panggilan daripada mangsa penipuan, dengan laporan kerugian berjumlah RM388 juta atau sebanyak $80 juta dolar AS setakat bulan September 2024.
Mari kita beralih kepada tiga ciri tindak balas yang kukuh terhadap jenayah kewangan.
Pertama: Menyesuaikan Pendekatan Kita
Tindakan yang berkesan pada masa lalu tidak semestinya membuahkan hasil yang sama kini. Ancaman, seperti virus, berubah dari masa ke masa. Menerusi National Risk Assessment, ancaman dan risiko kepada ML/TF/PF dikenalpasti dan dinilai secara berkala. Kita perlu memastikan bahawa undang-undang dan peraturan dalam negeri kekal sesuai dan relevan bagi menghadapi ancaman dan risiko yang baru muncul. Satu contoh adalah dalam semakan terbaru FATF terhadap Recommendation 24 yang menggariskan keperluan untuk pendaftaran Beneficial Ownership (BO), bagi memastikan pihak berkuasa mempunyai akses kepada maklumat BO yang tepat pada masanya.
Pendaftaran ini meningkatkan keupayaan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengenal pasti pemilik sebenar sesebuah syarikat. Inisiatif ini menghalang pemindahan risiko dan mendedahkan mereka yang menjalankan aktiviti di sebalik tabir, lantas membolehkan kita untuk menghentikan 'pelaku jahat' sebelum penyalahgunaan menjadi lebih meluas dan bertukar menjadi wabak.
Negara-negara di seluruh dunia, termasuk AS, UK dan Indonesia dalam rantauan APG, telah menubuhkan pendaftaran BO. Di Malaysia, platform seperti e-BOS[1] dan PEARL[2] telah ditubuhkan untuk memudahkan akses kepada data BO, lantas membantu siasatan yang dikendalikan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.
Kita juga tidak boleh melupakan peranan penting yang dimainkan oleh Perniagaan dan Profesion Bukan Kewangan yang Ditentukan (Designated Non-Financial Businesses and Professions, DNFBP), seperti setiausaha syarikat dan peguam. Mereka sering menjadi sasaran untuk memudahkan penciptaan struktur korporat yang tidak telus. Usaha untuk memastikan peserta-peserta utama ini berpengetahuan dan diatur dengan baik adalah penting dalam menyokong sistem yang berdaya tahan. Hal ini telah digariskan dalam laporan terbaru FATF mengenai ’Horizontal Review of Gatekeepers’ Technical Compliance Related to Corruption. Apabila DNFBP mempunyai maklumat dan pengetahuan yang mencukupi, mereka juga dapat memainkan peranan penting dalam mengenal pasti dan melaporkan aktiviti mencurigakan.
Kedua: Kepentingan Kerjasama Sektor Awam-Swasta
Tuan-tuan dan puan-puan,
Ciri kedua adalah kepentingan kerjasama sektor awam dan swasta. Jenayah kewangan adalah kompleks dan dilakukan melalui banyak cara. Tanggungjawab membanteras jenayah ini bukan sahaja terletak pada pihak berkuasa. Usaha ini hanya berkesan jika kita dapat mengintegrasikan sumber, kepakaran dan perisikan agensi penguatkuasaan undang-undang, unit perisikan kewangan (financial intelligence unit, FIU), penyelia dan sektor swasta. Hal ini juga penting untuk penipuan kewangan dan risiko ML yang berkaitan.
Kita dapat melihat contoh kejayaan di negara-negara seperti Singapura, Australia dan Hong Kong apabila wujud kerjasama sektor awam dan swasta yang merangkumi bidang pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan kesedaran, untuk membanteras penipuan.
Di Malaysia, kita juga telah menggunakan pendekatan ini. Bank Negara Malaysia bersama-sama dengan industri kewangan dan pengendali rangkaian pembayaran kebangsaan telah bekerjasama untuk menubuhkan platform bersepadu iaitu National Fraud Portal (NFP), untuk mengautomasikan penjejakan dana yang dicuri. Setakat ini, portal tersebut telah memberikan impak positif, termasuk pengurangan sekitar 75% dalam masa yang diperlukan untuk menjejaki dana yang dicuri, peningkatan sebanyak 28% dalam jumlah bulanan yang ditandakan dan peningkatan sebanyak 14% dalam pengesanan akaun keldai.
Selain ini, usaha kolektif Malaysia juga merangkumi prosedur industri menyeluruh untuk mengendalikan akaun keldai serta pindaan kepada rangka kerja undang-undang, khususnya Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah. Langkah-langkah ini membentuk sebahagian daripada rangka kerja tindak balas yang kukuh. Untuk meningkatkan perlindungan pengguna, kita juga telah melaksanakan Dasar Layanan Adil Kepada Pengguna Kewangan untuk memastikan siasatan yang lebih telus dan adil oleh institusi kewangan bagi kes penipuan dalam talian dengan menekankan tanggungjawab bersama antara pelanggan dengan institusi kewangan, untuk mencegah transaksi yang tidak dibenarkan.
Membanteras jenayah kewangan merupakan tanggungjawab bersama terutamanya dalam isi yang kompleks seperti penipuan siber. Dengan memupuk kerjsama yang lebih erat dengan semua pihak berkepentingan yang relevan daripada sektor awam dan swasta, saya yakin bahawa kita mampu membina sistem yang lebih berdaya tahan serta membina pertahanan yang lebih berkesan terhadap jenayah kewangan.
Ketiga: Mempertingkatkan Perkembangan untuk Kekal Berdaya Tahan terhadap Ancaman Baharu
Tuan-tuan dan puan-puan,
Ciri ketiga yang ingin saya kongsikan adalah 'Perkembangan'. Dengan bergantung pada proses sedia ada boleh mengehadkan keupayaan dan ketangkasan kita untuk membanteras jenayah kewangan. Kita perlu berkembang sejajar dengan landskap jenayah kewangan yang berubah dengan pantas. Kita perlu meluaskan keupayaan secara aktif dan memupuk kerjasama yang lebih utuh merentas sempadan.
Memanfaatkan kepakaran kolektif Global Network adalah sangat penting dalam usaha ini. Contohnya, kita boleh menggunakan struktur penyelarasan yang tersedia seperti Asset Recovery Inter-Agency Network (ARIN), World Customs Organization (WCO), dan Interpol Global Rapid Intervention of Payments untuk meningkatkan lagi usaha penyitaan dan pemulihan.
Memandangkan jenayah kewangan kini melangkau sempadan, usaha memperkukuhkan Global Network menjadi penting untuk perkongsian maklumat dan perisikan dengan berkesan. Usaha ini memerlukan bukan sahaja komitmen, sokongan tetapi juga dedikasi untuk mengekalkan ketelusan dan akauntabiliti. Inisiatif seperti Typologies Workship ini benar-benar mencerminkan usaha memperkembangkan kerjasama serantau. APG Typologies Report 2024, yang dimeterai pada hari ini, juga merupakan contoh komitmen dan dedikasi kolektif kita.
Dengan semangat ini, Malaysia kekal komited untuk memajukan kerjasama pelbagai hala dalam rantau ini. Selaras dengan keutamaan Pengerusi Bersama Jepun bagi 2024-26, Malaysia akan terus menyokong inisiatif yang memperkukuhkan rejim AML/CFT/CPF. Malaysia bersedia untuk mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan dan perbincangan sudah dijalankan mengenai penubuhan Kumpulan Kerja AML ASEAN pada tahun 2025. Setelah ditubuhkan, kumpulan kerja ini akan menjadi sebahagian daripada usaha kerjasama serantau untuk membanteras jenayah kewangan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Penutup
Sebagai penutup, izinkan saya kembali kepada perkongsian awal saya yang mengumpamakan jenayah kewangan dengan wabak endemik. Berita baiknya – endemik ini boleh dirawat, tetapi perlu dikenalpasti dan dirawat seawal mungkin. Teknologi dan inovasi baharu juga boleh memperkasa kita untuk menjadi lebih tangkas dalam mengenal pasti ancaman dan mengatur pencegahan. Berita buruk pula, penjenayah juga mempunyai akses kepada kemudahan yang sama.. Oleh itu, kita tidak boleh terlalu selesa dan perlu kekal setia kepada etos APG iaitu Penyesuaian, Kerjasama dan Perkembangan.
Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada hari ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai yang terlibat dalam menjayakan bengkel ini, termasuk Sekretariat APG, penceramah terhormat, peserta dan juga pasukan penganjur daripada Malaysia, yang telah bekerja keras di sebalik tabir.
Tuan-tuan dan puan-puan, terima kasih sekali lagi dan saya harap anda semua mendapat perkongisan yang baik dan produktif dalam sesi-sesi yang akan datang.
Bank Negara Malaysia
11 November 2024
[1] Platform e-BOS adalah platform dalam talian yang disediakan oleh SSM untuk mengemas kini maklumat dan pembetulan maklumat BO di bawah Akta Syarikat 2016. Mulai bulan April 2024, syarikat dikehendaki menyerahkan dan mengemas kini maklumat BO melalui e-BOS.
[2] PEARL adalah platform pendaftaran BO yang dibangunkan oleh LFSA untuk penyerahan dan pengemaskinian maklumat BO oleh syarikat Labuan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.