Ucapan Penolong Gabenor di 3rd Annual Islamic Fintech Leaders Summit

Pavilion Hotel, Kuala Lumpur | 25 Oktober 2023

‘Teknologi sebagai pemangkin ke arah membina sistem kewangan Islam yang inklusif dan progresif’

Assalamu’alaikum w.b.t dan selamat pagi,

Aishah merupakan seorang professional yang mempunyai jadual harian yang padat. Memandangkan perlindungan takaful kereta Aishah hampir tamat tempoh, Aishah melayari pelbagai laman web yang berkaitan. Dengan hanya beberapa klik pantas, Aishah berjaya memperbaharui perlindungan takaful dan cukai jalan kereta miliknya tanpa perlu meninggalkan rumah. Sementara itu, dalam situasi lain, Ahmad pergi ke kafe kegemarannya lalu menyentuh kad debit di terminal pembayaran. Beberapa saat kemudian, Ahmad menikmati kopi kegemarannya. Bagi Ahmad, pengalaman ini tidak berakhir di sini. Dengan sedikit masa lapang yang ada, Ahmad berjaya membuka akaun secara dalam talian untuk simpanan dana pendidikan anak-anaknya dengan mudah. Senario harian ini membuktikan bahawa kuasa transformatif teknologi kewangan (fintech) dalam kehidupan seharian kita telah menjadikan urusan kewangan lebih mudah, cekap dan pantas. Malah, keseluruhan perenggan ini ditulis oleh Generative AI. Saya hanya perlu memasukkan prom atau kata kunci yang bersesuaian.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Saya berbesar hati untuk berada di sini pada hari ini, iaitu di 3rd Annual Islamic Fintech Leaders Summit. Contoh situasi yang baru saya kongsikan tadi hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang kita alami pada hari ini. Betapa menariknya kerana kita dapat menyaksikan aktiviti kewangan pengguna disepadukan dalam ekosistem digital. Selama ini, kita telah menyaksikan bagaimana kemajuan dan kecanggihan teknologi telah memajukan dunia kewangan. Antara sumbangan teknologi ialah:

  1. Teknologi membantu meningkatkan kecekapan dan ketepatan dalam bidang kewangan dengan menyediakan data masa nyata, membolehkan pematuhan secara automatik dan menyediakan alat untuk analisis dan laporan. Teknologi seperti rantaian blok (blockchain) sedang berkembang, digerakkan untuk menyediakan rangka kerja yang selamat, telus, dan tidak berpusat (decentralised) bagi pelbagai bentuk aplikasi. Selain itu, Application Programming Interfaces atau API memainkan peranan penting dalam membolehkan sistem perisian yang berbeza untuk berkomunikasi, bekerjasama dan saling beroperasi tanpa mengira perbezaan mereka dalam teknologi atau seni bina, lantas mewujudkan kecekapan yang sangat diperlukan.
  2. Teknologi juga menggerakkan capaian dan rangkuman dengan mudah. Hal ini memudahkan pemisahan perkhidmatan kewangan yang membolehkan peserta fintech (fintech players) menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan khusus dan disesuaikan kepada pelanggan. Hal ini, antara lain, menjadi pemangkin akses kepada perkhidmatan kewangan, merapatkan jurang antara golongan yang tidak mempunyai akses kepada sistem kewangan (unbanked) atau kurang akses kepada sistem kewangan (underbanked) dengan sistem kewangan formal, termasuk dalam bidang kelestarian.
  3. Teknologi juga memudahkan proses membuat keputusan. Sebagai contoh, analisis data membolehkan institusi kewangan memproses data dalam kuantiti yang besar untuk menghasilkan maklumat dan pemahaman yang bermanfaat serta untuk pengesanan fraud (fraud detection). Platform digital yang memberikan khidmat nasihat dengan pengawasan manusia yang minimum (robo-advisors) digunakan untuk mewujudkan dan menguruskan portfolio pelaburan. Kini, Generative AI telah membolehkan penciptaan kandungan dan data baharu yang boleh membantu tugas-tugas seperti merangka kontrak dan menyediakan laporan kewangan. Pada masa akan datang, golongan profesional mungkin akan bekerjasama dengan "pembantu" Generative AI untuk mengubah proses-proses asas, menyusun semula (reengineer) kerjasama perniagaan dan mengurangkan risiko.

Berlatarkan keadaan ini dan selaras dengan tema tahun ini, iaitu "Tech Towards Sustainability: Empowering Resilient Ecosystem", saya berharap persidangan ini akan terus memangkin usaha memanfaatkan evolusi teknologi yang terus berkembang ke arah mempertingkatkan industri kewangan Islam supaya lebih berdaya saing, inklusif dan mampan.

Walaupun teknologi itu tidak berpihak kepada kewangan Islam mahupun kewangan konvensional, masih banyak peluang yang belum diterokai dalam kewangan Islam. Kita boleh melihat situasi ini dari sudut pandang peranan tradisional institusi kewangan Islam serta dari perspektif kerjasama, dengan kemunculan syarikat fintech yang menawarkan penyelesaian yang pelbagai, inovatif dan berpotensi untuk mewujudkan saingan. Pada peringkat global, sektor fintech Islam menunjukkan tanda-tanda perkembangan dengan kemunculan hampir 400 syarikat fintech Islam setakat ini. Saiz pasaran fintech Islam di negara-negara OIC diunjurkan berkembang dengan CAGR[1] sebanyak 17.9%[2], berbanding dengan kadar pertumbuhan fintech global pada 13.5%, untuk mencapai USD179 bilion menjelang tahun 2026[3].

Merevolusikan perubahan dalam kewangan Islam melalui penggunaan fintech yang lebih meluas

Tuan-tuan dan puan-puan,

Tumpuan ucapan saya pada hari ini adalah tentang cara kewangan Islam boleh direvolusikan melalui penerapan fintech yang lebih meluas daripada tiga aspek asas:

  1. Pertama, kita perlu mengoptimumkan penggunaan teknologi sebagai instrumen untuk memenuhi objektif Syariah (Maqasid Syariah) dengan lebih baik. Hal ini boleh dicapai dengan memanfaatkan teknologi untuk menggalakkan rangkuman dan kemampanan, mengintegrasikan pertimbangan membuat keputusan dan impak terhadap Maqasid Syariah serta terus memajukan perkhidmatan yang boleh dicapai dan telus kepada pelanggan. Melihat kepada kemajuan yang telah dicapai, aplikasi fintech telah memudahkan agihan kekayaan yang lebih inklusif dan cekap melalui derma dan wakaf dengan menggunakan analisis digital dan platform dalam talian yang interaktif. Sebagai contoh, pembangunan dan aplikasi pelbagai platform digital untuk menderma telah memudahkan pelaburan rentas sempadan dan sumbangan wakaf untuk pelbagai tujuan. Di Malaysia, terdapat inisiatif myWakaf iaitu platform pemerolehan dana melalui Internet (crowdfunding) yang bertujuan untuk menggerakkan dana Wakaf bagi menyokong sektor pendidikan, penjagaan kesihatan serta pemerkasaan ekonomi. Masih banyak yang boleh diterokai dalam bidang fintech ini. Penggunaan alat analisis data dan fintech boleh dioptimumkan selanjutnya untuk menganalisis pilihan dan tingkah laku pelabur atau penyumbang dengan lebih baik, lantas membolehkan mereka memilih hasil terbaik yang dihasratkan. Penggunaan ini meningkatkan kecekapan agihan kekayaan dan membolehkan aktiviti pengantaraan kewangan Islam yang lebih berkesan termasuk melalui instrumen kewangan sosial Islam. Pada masa akan datang, teknologi rantaian blok juga boleh dioptimumkan untuk meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan terhadap transaksi kewangan. Teknologi ini juga boleh memudahkan pembiayaan mikro, menyokong terbitan dan dagangan sukuk hijau serta meningkatkan kecekapan dalam penggunaan dan pengagihan dana wakaf, zakat dan sedekah, malah dana CSR sekalipun.
  2. Kedua, penggunaan fintech sebagai penggerak inovasi produk dan perkhidmatan kewangan Islam, terutamanya ke arah penyelesaian kewangan yang didorong Sebagai contoh, penerapan kontrak pintar dalam kewangan Islam pada masa hadapan melalui Teknologi Lejar Teragih (Distributed Ledger Technology, DLT) dapat membantu meningkatkan ketelusan dan kebolehkesanan yang penting dalam pelaksanaan kontrak Syariah berasaskan turutan. Penggunaan aplikasi ini dapat membantu institusi kewangan Islam menguruskan risiko ketidakpatuhan dengan lebih baik serta menjimatkan kos lantas membolehkan tumpuan yang lebih besar kepada bidang lain seperti inovasi produk yang dapat mengukuhkan daya saing dan daya tahan institusi pada masa hadapan. Dalam bidang takaful, penyelesaian takaful digital dengan pengalaman pelanggan secara menyeluruh (end-to-end customer experience) yang lancar boleh membantu meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap nilai perlindungan takaful.
  3. Ketiga, fintech boleh meluaskan jangkauan dan memantapkan proses membuat keputusan oleh pelanggan dan pelabur yang mencari produk patuh Syariah. Hal ini akan mendorong pertumbuhan yang lebih besar dengan memberikan akses kepada lebih banyak pelanggan untuk menambahkan kekayaan mereka dengan cara yang selaras dengan kepercayaan dan nilai-nilai agama melalui cara yang mudah dan automatik. Satu contoh ialah pengenalan teknologi robo-advisory (platform digital yang memberikan khidmat nasihat dengan pengawasan manusia yang minimum) Syariah yang pertama di dunia dan penggunaan algoritma data untuk menawarkan perkhidmatan pelaburan dan pengurusan portfolio patuh Syariah. Melalui kemajuan teknologi seperti pengkomputeran awan, AI dan analisis data, pelabur yang patuh Syariah kini boleh mengakses pilihan mereka menggunakan data pada masa nyata, sekali gus membantu membuat keputusan berasaskan bukti.

Bank Negara Malaysia kekal komited dan sangat menyokong usaha-usaha inovasi dan pendigitalan yang memberikan hasil positif kepada pengguna. Iltizam kami adalah untuk memastikan dasar dan peraturan kami terus mengikuti perkembangan dan sesuai untuk tujuan pada masa hadapan. Beberapa maklumat terkini berhubung dengan inisiatif-inisiatif utama kami termasuk:

  1. Kami sedang memuktamadkan penambahbaikan Fintech Regulatory Sandbox menjelang akhir tahun untuk memudahkan inovasi masa ke pasaran yang lebih cepat, dilindungi oleh keupayaan untuk menguruskan risiko, tadbir urus dan pematuhan.
  2. Bank digital, termasuk bank digital Islam, dijangka memulakan operasi pada awal tahun hadapan bagi memperluas rangkuman kewangan dan menyumbang kepada agenda kelestarian. Hal ini akan meningkatkan peluang masyarakat kita untuk memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi dengan cara mengatasi halangan geografi, mengurangkan kos transaksi dan menggalakkan pengurusan kewangan yang lebih baik, serta membantu individu dan perniagaan mendapat akses yang lebih baik kepada penyelesaian yang lebih khusus dan disokong oleh analisis data.
  3. Rangka kerja Penanggung Insurans Digital dan Pengendali Takaful (Digital Insurers and Takaful Operators, DITO) juga dijangka dimuktamadkan pada separuh pertama tahun 2024. Matlamat rangka kerja ini adalah untuk menggalakkan penyertaan yang lebih luas daripada peserta dalam rantaian nilai insurans dan takaful termasuk memberikan kejelasan berhubung dengan model perniagaan baru muncul dan inovatif seperti takaful tersirat dan takaful sebagai perkhidmatan (takaful-as-a-service).
  4. Pemerkasaan digital juga merupakan salah satu tema utama yang dikenal pasti bagi memajukan kewangan Islam di bawah pengawasan Majlis Kepimpinan MIFC.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Memperkukuh simbiosis antara peserta fintech Islam dengan pihak berkepentingan lain dalam ekosistem

Henry Ford berkata, "Jika semua orang bergerak ke hadapan bersama-sama, maka kejayaan akan dapat dicapai dengan sendirinya". Pengoptimuman peluang fintech Islam memerlukan pemantapan symbiosis di dalam dan juga di luar ekosistem. Penyertaan aktif dan minat yang berterusan oleh para peserta dan pakar inovasi fintech, pakar industri dan pemimpin berwawasan (thought leaders), badan-badan pengawalseliaan serta pakar Syariah merupakan intipati yang diperlukan, dan kita tahu usaha ini bukanlah tugas yang mudah.

Malaysia bersedia untuk memainkan peranan sebagai pusat ujian rintis bagi inovasi dan penyelesaian fintech Islam. Dengan adanya pasaran dan ekosistem sistem kewangan Islam dan fintech yang mantap, yang terdiri daripada peraturan yang kondusif, infrastruktur yang tersedia dan bekalan tenaga mahir (talent pool), Malaysia menawarkan peluang yang luas untuk menjalankan kajian dan membangunkan teknologi kewangan Islam yang canggih. Malaysia juga boleh menerajui usaha-usaha pembentukan masa depan sistem kewangan Islam melalui penyelesaian fintech yang inovatif dan faktor penting dalam usaha ini adalah dengan menjalinkan hubungan simbiosis jangka masa panjang dalam ekosistem

Sebagai kesimpulan, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur dan para penaja kerana menganjurkan persidangan ini. Usaha ini merupakan bukti kukuh akan komitmen industri fintech dalam usaha mengumpulkan semua peneraju fintech, pakar inovasi dan komuniti perkhidmatan kewangan pada peringkat global bagi membentuk ekosistem fintech Islam yang berdaya tahan pada masa hadapan.

Izinkan saya untuk mengingatkan kita semua supaya terus memandang ke hadapan dan memainkan peranan penting bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai dan juga demi bumi kita. Zaman Kegemilangan Islam, dengan warisan inovasi dan pencerahannya, telah menyedarkan kita tentang potensi kemajuan insan apabila pengetahuan, kepelbagaian dan pertukaran budaya diterima dan diraikan. Pencapaian teknologi pada zaman itu telah memberikan pengaruh yang besar terhadap dunia yang lebih luas, lantas membentuk tamadun manusia. Dalam dunia kewangan moden ini, kita juga perlu berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam tindakan kita.

Memandangkan populasi dunia semakin mahir dari segi teknologi, keadaan ini memberikan peluang kepada kita untuk melakukan kebaikan dengan cekap, mewujudkan lebih banyak impak dan nilai dalam kewangan serta memenuhi keperluan Maqasid Syariah dengan lebih baik. Oleh itu, saya berharap anda semua dapat meraih manfaat dan pengetahuan yang berguna daripada persidangan ini.

Terima kasih.

 

[1] Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkompaun (Compound Annual Growth Rate)

[2] Global Islamic Fintech Report (GIFT) 2022, Dinar Standard and Elipses Global Islamic Fintech Report 2022 | Salaam Gateway - Global Islamic Economy Gateway

[3] Global Islamic Fintech Report (GIFT) 2022, Dinar Standard and Elipses Global Islamic Fintech Report 2022 | Salaam Gateway - Global Islamic Economy Gateway

 

Bank Negara Malaysia
25 Oktober 2023


Bank Negara Malaysia
25 Oktober 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?