Ucapan Penolong Gabenor di Majlis Pelancaran Bulan Kewangan Berhemat, bertemakan "Tanggungjawab kewangan bermula dengan saya"
Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia | 7 Oktober 2013
Saya amat berbesar hati kerana dijemput oleh Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA) pada hari ini untuk merasmikan pelancaran Bulan Kewangan Berhemat pada tahun 2013. Ini merupakan tahun ketiga FOMCA menganjurkan Bulan Kewangan Berhemat dalam negara. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran ini atas komitmen serta usaha dalam meningkatkan kewangan berhemat di kalangan para pengguna.
Dalam keadaan ekonomi negara yang terus maju dan pendapatan perkapita yang semakin meningkat, para pengguna mempunyai kuasa pembelian yang lebih tinggi. Ini telah disokong pula oleh sistem kewangan yang semakin moden serta produk dan perkhidmatan kewangan yang banyak dan pelbagai. Oleh yang demikian, para pengguna harus bijak membuat pilihan yang bersesuaian dengan keperluan mereka. Sementara itu para pengguna perlu berhemah dalam berbelanja bagi memastikan mereka tidak terjerumus dalam beban hutang yang berlebihan. Maka tema Bulan Kewangan Berhemat, iaitu ‘Tanggung jawab kewangan bermula dengan saya’ merupakan tema yang sangat tepat.
Bank Negara Malaysia bersama-sama dengan pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan, persatuan pengguna dan organisasi bukan kerjaan (NGO) telah meningkatkan usaha bagi membentuk persekitaran kewangan yang kondusif supaya hak para pengguna terus terpelihara manakala mereka terus mendapat perlindungan yang sewajarnya.
Pada pagi ini saya ingin berkongsi tentang empat inisiatif penting dalam memberi manfaat kepada pengguna kewangan. Pertama, mengenai pendidikan kewangan yang merangkumi dari peringkat persekolahan, belia, di tempat kerja, dan masyarakat luar bandar. Yang kedua, mengenai perlindungan pengguna kewangan melalui tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan, mempertabatkan undang-undang sedia ada, dan mewujudkan pelbagai saluran aduan. Ketiga, mengenai langkah-langkah untuk menangani isu-isu semasa seperti amalan pemberian pinjaman yang lebih bertanggungjawab dan membanteras skim penipuan dan Keempat, memupuk amalan pengurusan kewangan berhemah sebagai budaya hidup.
1. Pemerkasaan pengguna melalui pendidikan kewangan
- Pendidikan kewangan di usia muda melalui penerapan elemen pengurusan kewangan ke dalam kurikulum sekolah
Pendidikan kewangan perlu diterapkan secara berterusan dari usia muda sehingga dewasa. Ini dapat memupuk disiplin yang tinggi serta meningkatkan kemahiran dalam pengurusan kewangan daripada usia yang muda. Untuk tujuan ini, elemen pendidikan kewangan akan diintegrasi ke dalam mata pelajaran teras bagi kurikulum sekolah rendah dan menengah. Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2014 bagi sekolah rendah dan tahun 2017 bagi sekolah menengah. Antara elemen pendidikan kewangan yang akan diterapkan ialah wang, pengurusan dan perancangan kewangan, simpanan dan pelaburan, pengurusan kredit dan hutang, dan perlindungan dan insurans. Sukacita dimaklumkan bahawa elemen pendidikan kewangan telah pun dapat di perkenalkan mulai dari tahun ini iaitu lebih awal dari tarikh pelaksanaan yang disasarkan, dan ia telah dirangkumkan ke dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik untuk murid-murid tahun tiga. Inisiatif ini terhasil dengan kerjasama dan sokongan dari Kementerian Pendidikan Malaysia.
Namun demikian, kita tidak boleh hanya bergantung kepada kurikulum sekolah untuk mendidik anak-anak kita menjadi pengguna kewangan yang berhemah. Institusi kekeluargaan harus berkongsi tanggungjawab dan memainkan peranan untuk mendidik anak-anak bagi meningkatkan tahap celik kewangan mereka.
- Pendidikan kewangan kepada golongan belia melalui program POWER! oleh AKPK
Tambahan itu, kita mempunyai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang merupakan agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk memberi pendidikan kewangan selain memberi khidmat kaunseling kewangan bagi golongan sasaran dewasa bagi menangani keberhutangan isi rumah
Seperti ramai yang telah sedia maklum, Program POWER! Pengurusan Wang Ringgit Anda di reka khas untuk golongan belia dan peminjam kali pertama berusia antara 18 hingga 30 tahun. Melalui program ini, individu akan mendapat pendedahan kepada kemahiran dan pengetahuan untuk menguruskan kewangan secara efektif serta diberikan maklumat berguna untuk menggalakkan pengurusan wang berhemah.
Sejak ia dilancarkan pada tahun 2011, lebih 162,000 individu daripada pelbagai latar belakang telah mendapat manfaat daripada program tersebut. Berdasarkan kajian, peserta program POWER! telah dapat meningkatkan pengetahuan kewangan mereka secara ketara. Pihak AKPK kini sedang mengkaji dan menambah baikkan lagi program POWER! untuk meningkatkan keberkesanannya, terutamanya dalam menggalakkan pengetahuan yang diperolehi tersebut dipraktikkan dan diamalkan di dalam kehidupan seharian mereka.
Berdasarkan permintaan yang memberangsangkan terhadap program POWER!, Bank Negara Malaysia dan AKPK sedang membangunkan program susulan POWER2, yang disasarkan kepada golongan pekerja yang berumur sekitar 30-45 tahun. Intipati program memberi fokus tentang cara-cara menguruskan hutang dengan lebih berkesan agar tidak terjerumus dalam masalah hutang yang membebankan. Pihak Bank Negara Malaysia dan AKPK sedang merancang kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta bagi menyampaikan program ini secara bersepadu kepada golongan sasaran.
- Pendidikan kewangan melalui MobileLINK untuk masyarakat luar bandar
Menerusi perkhidmatan bergerak MobileLINK Bank Negara Malaysia, pendidikan kewangan untuk masyarakat di luar bandar tidak di lupakan. MobileLINK meluaskan perkhidmatan pendidikan kewangan menggunakan bas yang diubahsuai bagi memenuhi keperluan masyarakat luar bandar. MobileLINK dengan usahasama AKPK, FOMCA dan CAP, telah menjelajah ke seluruh negara untuk memberi pedidikan kewangan kepada masyarakat luar bandar di mana mereka di beri pendedahan mengenai pengurusan kewangan, pelbagai perkhidmatan kewangan yang ada serta dalam mengelak dari tertipu dan terlibat dalam skim cepat kaya dan pelaburan haram.
Setakat bulan Ogos 2013, MobileLINK telah dilaksanakan di 92 mukim di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta di rancangan-rancangan FELDA. Lebih dari 25,148 individu luar bandar telah mendapat manfaat dari perkhidmatan tersebut.
- Pendidikan kewangan di adakan di tempat kerja (workplace financial education) untuk golongan sasaran
Tidak ketinggalan juga program pendidikan kewangan telah diadakan di tempat kerja. Setakat Ogos 2013, Bank Negara Malaysia telah mengendalikan secara langsung sebanyak 80 progam yang melibatkan 8500 kakitangan pelbagai Kementerian serta agensi kerajaan. Tambahan pula, pihak AKPK juga giat menjalankan program pendidikan kewangan di tempat kerja. Sejak tahun 2011, seramai 162,378 kakitangan Kementerian Kerajaan dan syarikat swasta telah mendapat manfaat daripada program yang dijalankan oleh AKPK. Oleh itu, jangan lepaskan peluang baik ini. Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan memerlukan program sedemikian di tempat kerja anda, sila hubungi pihak AKPK.
Dalam pada masa yang sama, Bank Negara Malaysia bersama-sama AKPK telah memulakan kempen kesedaran melalui radio untuk memberikan tip-tip pengurusan kewangan. Ini adalah antara usaha sama kedua-dua belah pihak untuk meningkatkan lagi tahap celik kewangan orang ramai.
Tuan-tuan dan Puan-puan boleh mengikuti program “Doktor Wang Suria” di stesen radio Suria FM (105.3 FM) pada setiap hari Selasa, pukul 8.00 hingga 9.00 pagi. Bagi segmen Bahasa Mandarin, program ini disiarkan di stesen radio 988 FM (98.8 FM) setiap hari Khamis, pukul 8.00 hingga 9.00 pagi.
- Pendidikan kewangan melalui saluran sedia ada di teruskan dan di pertingkatkan lagi
Bagi membolehkan jangkauan yang lebih luas dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran pengguna kepada tahap yang lebih tinggi terhadap isu-isu kewangan, majalah bulanan RINGGIT telah diterbitkan dengan usaha sama FOMCA dan Bank Negara Malaysia. Artikel dalam RINGGIT menyediakan maklumat yang komprehensif, bermakna dan bermanfaat kepada para pengguna. Setakat ini, 40 isu RINGGIT telah diterbitkan dan diedarkan.
Dalam tempoh terdekat, inisiatif untuk menambah baik capaian maklumat pendidikan kewangan melalui dalam talian, termasuk pembangunan portal pendidikan kewangan, aplikasi mobile dan YouTube akan terus diperkukuhkan.
2. Memperkasakan pengguna dengan mempertingkatkan infrastruktur perlindungan pengguna kewangan
Prihatin dengan cabaran yang dilalui oleh pengguna, bagi sektor kewangan, penekanan terhadap pemerkasaan pengguna menjadi salah satu fokus utama sepertimana yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2011 - 2020.
- Tindakan tegas terhadap amalan pasaran yang tidak adil kepada pengguna
Bank Negara Malaysia memandang serius sebarang amalan pasaran tidak adil terhadap pengguna kewangan oleh institusi kewangan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras, seperti arahan membayar balik pelanggan bayaran yang diterima dan tindakan sewajarnya ke atas pengurusan atasan institusi kewangan.
- Sebagai contoh, Bank Negara Malaysia telah menjalankan penyeliaan dan mendapati amalan salah jual produk insurans oleh tiga institusi pada tahun 2012. Institusi berkenaan dikehendaki mengambil langkah segera bagi membaik betul amalan tersebut serta melibatkan pembayaran balik premium sebanyak lebih daripada RM30 juta kepada pemegang polisi berkenaan.
- Tindakan penguasan juga diambil ke atas sembilan institusi kewangan kerana tidak mematuhi Garis Panduan Fi dan Caj, yang telah menyebabkan jumlah bayaran balik berjumlah kira-kira RM6.9 juta kepada pelanggan yang terlibat
- Mengukuhkan undang-undang dan penyeliaan untuk melindungi pengguna kewangan
- Akta baru telah di gubal iaitu Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) yang telah berkuat kuasa pada 30 Jun 2013, di mana salah satu tujuan adalah untuk memantapkan lagi pelindungan pengguna kewangan dari apa yang ada sebelumnya.
- Akta baru ini memperuntukkan kuasa yang jelas dan lebih luas bagi Bank Negara Malaysia untuk menguatkuasakan amalan perniagaan ke atas institusi kewangan, termasuk dalam bidang keperluan penzahiran, keadilan syarat kontrak, promosi kewangan, serta khidmat nasihat dan pengendalian aduan.
- Bank Negara Malaysia diberi kuasa untuk mengambil tindakan pentadbiran berbentuk kewangan dan bukan kewangan selain penalti sivil dan jenayah terhadap institusi kewangan. Selain itu, Bank Negara Malaysia juga boleh membuat teguran awam dan memberi perintah kepada institusi kewangan untuk membuat pembetulan terhadap pelanggaran dan membuat restitusi terhadap mana-mana orang yang terjejas oleh pelanggaran tersebut.
- Dengan adanya Akta baru ini, pengguna kewangan boleh mengharapkan yang hak mereka lebih dilindungi dan mereka akan diberi layanan dan perkhidmatan yang baik dan adil oleh institusi kewangan.
- Pelbagai saluran nasihat dan penyelesaian aduan untuk pengguna mendapat bantuan
Orang ramai di nasihatkan mengambil sikap proaktif dan tidak berdiam diri apabila menghadapi masalah dengan institusi kewangan tetapi sebaliknya menggunakan saluran-saluran nasihat dan aduan yang disediakan. Terdapat pelbagai saluran yang di sediakan kepada pengguna di dalam sistem kewangan kita untuk mendapat nasihat dan penyelesaian aduan seperti berikut:-
- Saluran nasihat dan penyelesaian aduan - institusi kewangan
Untuk memastikan pengguna kewangan dapat menyelesaikan aduan secara terus, setiap institusi kewangan mempunyai unit nasihat dan pengurusan aduan masing-masing. Hubungi mereka terus kerana mereka memahami tentang isu yang dibangkitkan dan dapat memberi cadangan penyelesaian terbaik.
- Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (BNMLINK)
Orang ramai juga boleh menghubungi Laman Informasi Nasihat dan Khidmat Bank Negara Malaysia (BNMLINK) sama ada di ibu pejabat di Kuala Lumpur atau di cawangan-cawangan Bank Negara Malaysia. Untuk menjimatkan kos, tidak perlu datang sekiranya pengadu tinggal jauh; memadai dengan melalui surat atau menghantar emel sahaja. Sebagai alternatif, boleh menghubungi Pusat perhubungan khidmat pelanggan Bank Negara Malaysia (BNMTELELINK) melalui telefon: 1-300-88-5465). Untuk makluman, sejak tahun 2008, Bank Negara Malaysia telah menerima lebih 1.4 juta pertanyaan dan aduan daripada orang perseorangan dan usahawan dengan purata, sebanyak 1,700 sehari.
- Perkhidmatan bergerak LINK atau MobileLINK
Masyarakat Malaysia yang tinggal jauh di pedalaman boleh mendapat manfaat melalui perkhidmatan LINK Bergerak atau MobileLINK. Di MobileLINK, orang ramai juga boleh mengemukakan pelbagai isu serta mendapat nasihat berkaitan nasihat perkhidmatan institusi kewangan.
- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit - AKPK
Biasanya keadaan akan menjadi lebih rumit apabila pengguna tidak dapat membayar hutang yang diperolehi dari institusi kewangan. Bagi pengguna menghadapi masalah bebanan hutang sebegini, mereka dinasihatkan agar cepat meminta bantuan AKPK. Menangani masalah pada peringkat awal membolehkan mereka mengurus hutang dengan cara baik dan dapat mengelakkan sebarang kesukaran di kemudian hari. Melalui program pengurusan kredit, AKPK akan mendapatkan kerjasama institusi kewangan yang memberi pinjaman agar menstrukturkan semula pembayaran pinjaman mengikut kemampuan sipeminjam.
- Saluran nasihat dan penyelesaian aduan - FMB
Satu lagi saluran penyelesaian ialah Biro Pengantaraan Kewangan (FMB) yang merupakan badan pengantara bebas untuk menyelesaikan pertikaian antara pengguna dengan institusi kewangan secara percuma.
Oleh itu, orang ramai di nasihatkan untuk guna pakai saluran yang sedia ada sebagai jalan terbaik untuk mendapatkan nasihat dan penyelesaian isu-isu kewangan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih rumit. Di samping itu, sebagai pengguna yang telah diperkasakan dan mengetahui hak anda, laporkan kepada Bank Negara Malaysia jika perkhidmatan institusi kewangan anda tidak berkualiti dan memuaskan atau belum memenuhi kehendak anda. Maklum balas pengguna boleh menjadi petunjuk utama kepada institusi kewangan untuk membuat perubahan dan pembaharuan yang sewajarnya.
3. Peka dengan cabaran yang di hadapi pengguna, beberapa langkah telah diambil untuk menangani isu-isu semasa
- Amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab
Antara cabaran yang dihadapi oleh para pengguna kebelakangan ini ialah peningkatan paras keberhutangan isi rumah (household debt) serta risiko yang berkaitan dengannya. Sehubungan ini, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan pelaksanaan satu set langkah yang bertujuan untuk mengelak isi hutang rumah yang berlebihan dan memperkukuh amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab di mana institusi kewangan telah mengukuhkan keperluan dokumentasi bagi mengesahkan pendapatan dan penetapan nisbah pembayaran balik hutang bagi peminjam memenuhi perbelanjaan asas dan luar jangka.
Langkah yang diambil oleh Bank Negara Malaysia mula menampakkan hasil, apabila kadar pertumbuhan pinjaman negara tumbuh pada kadar yang sederhana dari 12 peratus sebelum ini kepada sembilan peratus pada masa ini. Sungguhpun begitu, orang ramai perlu mengubah sikap dan tidak terlalu berhutang yang boleh menimbulkan masalah pada masa depan jika tidak diuruskan secara berhemah. Sekiranya berhutang, disiplinkan diri untuk menguruskan pembayaran balik pinjaman dengan baik. Jangan meminjam daripada institusi-institusi yang tidak sah dan tidak berlesen.
- Kesesuaian produk dan nasihat wajar kepada pengguna
Pengguna setiap hari dibanjiri dengan pelbagai produk kewangan yang canggih dan kompleks. Bank Negara Malaysia banyak menerima aduan dari orang ramai berhubung amalan salah jual oleh institusi kewangan. Oleh itu, peningkatan terhadap kualiti nasihat yang diberikan terus menjadi fokus utama pengawalan dan penyeliaan amalan.
- Penzahiran pelanggan yang berguna
Berikutan dengan maklumbalas ketidakpuasan peminjam terhadap dokumentasi perjanjian perumahan yang sukar difahami dan tidak jelas, inisiatif telah dilaksanakan untuk menyeragamkan perjanjian tersebut serta memudahkannya dengan penggunaan bahasa yang mudah, jelas dan tidak kompleks. Ini telah dapat meningkatkan pemahaman peminjam dan kebolehbandingan terma dan syarat utama perjanjian pinjaman, termasuk tanggungjawab dan obligasi peminjam dan pembiaya di bawah perjanjian tersebut.
- Amalan pemasaran dan tuntutan yang adil dalam sektor insurans motor
Bank Negara Malaysia telah melaksanakan beberapa langkah untuk menggalakkan penaksiran tuntutan motor yang adil dan mengurangkan masa yang diambil untuk menyelesaikan tuntutan. Ini termasuk memerlukan ajuster kerugian merujuk kepada pangkalan data berpusat yang dikendalikan oleh Motordata Research Consortium Sdn Bhd. bagi harga alat ganti motor dan tempoh kerja pembaikan untuk semua tuntutan motor, termasuk tuntutan pihak ketiga. Ini membantu menghasilkan penaksiran tuntutan yang lebih telus dan objektif.
Inisiatif terbaru dari industri insurans dan takaful adalah perkhidmatan Accident Assist kepada orang ramai yang memerlukan khidmat bantuan jalan raya dengan segera sekiranya berlaku kemalangan. Accident Assist juga akan menjawab pertanyaan asas atau umum berhubung dengan polisi/sijil motor. Talian perkhidmatan khas ini, iaitu 1-300-22-1188, di kendalikan 24 jam sehari oleh pegawai-pegawai perkhidmatan pelanggan. Sebagai permulaan, perkhidmatan ini ditawarkan kepada mereka yang berada di Lembah Klang.
- Membanteras skim penipuan kewangan
Masih ramai lagi yang menjadi mangsa skim penipuan kewangan. Usaha terus dipertingkatkan untuk memberi pendedahan serta pengetahuan agar dapat mengelakkan diri dari menjadi mangsa. Topik penipuan kewangan ini (skim cepat kaya, pelaburan haram) adalah salah satu fokus yang ditekankan di dalam semua program pendidikan kewangan yang di adakan. Orang ramai akan didedahkan dengan pelbagai cara penipuan (modus operandi) skim cepat kaya dan bagaimana untuk mengenal pasti skim tersebut.
Di samping meningkatkan liputan media dengan lebih meluas mengenai isu ini, bahan-bahan pendidikan yang dicetak diedarkan ke seluruh negara. Untuk menjangkau khalayak yang lebih besar, Bank Negara Malaysia juga menggunakan platform sosial, seperti Facebook dan Twitter, untuk menyiarkan peringatan dan mewujudkan forum perbincangan kepada pengguna kewangan dalam hal ini.
Sila maklum bahawa, Bank Negara Malaysia juga telah mengeluarkan senarai peringatan kepada pengguna kewangan (Financial Consumer Alert List). Senarai ini berfungsi sebagai panduan untuk orang ramai agar berhati-hati membuat keputusan berhubung pelbagai perkhidmatan kewangan yang di tawarkan oleh pihak yang tidak berlesen.
Walaupun banyak publisiti ditumpukan terhadap bahaya skim kewangan haram, pengguna perlu terus berwaspada dan melaporkan kepada pihak berkuasa apabila ditawarkan sebarang skim pelaburan mencurigakan yang menjanjikan pulangan tinggi yang tidak munasabah dengan risiko yang rendah.
Sebagai langkah awal, semak terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia atau mana-mana badan kawal selia yang berkenaan sekiranya terdapat mana-mana syarikat atau individu yang disyaki menjalankan perniagaan skim cepat kaya atau penipuan kewangan.
Hasil daripada penguatkuasaan dan peningkatan kesedaran pengguna mengenai skim penipuan kewangan, jumlah kes skim penipuan kewangan yang dirujuk kepada Bank Negara Malaysia pada tempoh Jan-Ogos 2013 telah berkurangan sebanyak 44.7% kepada 2,879 kes (Jan-Ogos 2012 - 5,202 kes).
4. Memupuk amalan pengurusan kewangan berhemah sebagai budaya hidup
- Segala peningkatan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi daripada pendidikan kewangan serta perlindungan pengguna yang di beri tidak akan mendatangkan hasil sekiranya tidak di ikuti dengan perubahan tingkah laku atau perbuatan.
- Selaras dengan tema kita iaitu ”Tanggung jawab kewangan bermula dengan anda”, maka perubahan itu hendaklah bermula dengan diri kita sendiri. Kita perlu membuat perubahan sikap dan tingkah laku dengan menghindari tabiat negatif seperti gaya hidup mewah, berbelanja di luar kemampuan yang mengakibatkan hutang berlebihan. Untuk ini, kita adalah di galakkan menyediakan pelan belanjawan dan berbelanja mengikut pelan .
- Pupuk tabiat positif seperti menabung. Kita boleh menabung secara automatik dengan menggunakan skim potongan gaji, auto debit atau pastikan ketepikan dulu sebahagian pendapatan anda untuk disimpan dari awal lagi sebelum berbelanja. Bina simpanan anda, walaupun sedikit tetapi lama kelamaan dengan untung serta faedah yang terkumpul, akhirnya simpanan akan menjadi tinggi. Disamping itu, amatlah di seru untuk kita membuat perancangan awal untuk pesaraan seperti membuat pelaburan jangka panjang untuk memastikan kita mempunyai wang yang mencukupi pada hari tua kelak.
Kesimpulannya, bagi membina kedudukan kewangan yang lebih baik dan kukuh, kita perlu bertanggung jawab serta mempunyai disiplin serta komitmen yang tinggi dalam membuat perancangan kewangan untuk setiap peringkat kehidupan.
5. Persatuan pengguna dan organisasi bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan yang penting dalam usaha memperkasakan pengguna kewangan
- Persatuan-persatuan pengguna dan NGO haruslah bekerjasama dalam memainkan peranan dalam meningkatkan tahap kewangan berhemat di kalangan pengguna serta memberi perlindungan kepada mereka. Pada kebiasaannya, mereka mempunyai rangkaian yang luas untuk membolehkan mereka menjangkau semua lapisan masyarakat, terutamanya di kawasan pendalaman. Oleh itu, kita berharap persatuan pengguna dan NGO akan menggunakan rangkaian mereka untuk mendidik pengguna untuk menjadi pengguna kewangan yang mengetahui hak serta tanggungjawab mereka.
- Tambahan pula itu, terdapat segolongan pengguna yang lebih senang mendekati persatuan pengguna dan NGO untuk mengemukakan isu-isu mereka. Oleh itu, pihak Bank Negara Malaysia mengalu-alukan persatuan pengguna dan NGO untuk memberi kerjasama dalam menangani isu kewangan pengguna dengan mengambil tindakan sewajarnya seperti mendidik, memberi khidmat nasihat dan maklumat yang relevan. Dalam hal ini, kami percaya persatuan pengguna dan NGO akan terus aktif dan lebih bersepadu untuk memperkasakan pengguna kewangan.
6. Usaha yang dijalankan telah menampakkan hasil yang positif
Terdapat trend yang positif diperhatikan berdasarkan bilangan pengguna yang mengunjungi Bank Negara Malaysia pada tempoh Jan-Ogos 2013. Sepanjang tempoh ini, bilangan pengguna yang datang serta mendapat nasihat dan maklumat kewangan meningkat daripada 264,306 pada tempoh yang sama tahun 2012 kepada 290,696 pengguna (peningkatan sebanyak 10.0%). Sementara itu jumlah kes aduan menurun daripada 5,824 kepada 5,661 kes. Ini bermakna, pengguna kini mengambil langkah positif untuk mengetahui dan memahami hak dan tanggungjawab mereka berhubung produk dan perkhidmatan kewangan.
7. Halatuju ke hadapan - Bank Negara terus komited dengan agenda memperkasakan pengguna
Bank Negara Malaysia akan terus komited dalam usaha untuk mempertingkatkan pendidikan kewangan bagi semua lapisan masyarakat di samping menyediakan langkah pencegahan yang lebih berkesan. Amalan tidak adil terhadap pengguna akan dipantau dan ditangani melalui aktiviti penyeliaan dan penguatkuasaan. Sementara itu saluran kepada para pengguna untuk mendapat pembelaan akan diperluaskan. Ini akan memberi manfaat kepada para pengguna dan dalam secara langsung dan tidak langsung akan mewujudkan persaingan yang lebih sihat dalam industri kewangan. Sementara itu adalah menjadi tanggungjawab para pengguna supaya mereka lebih berpengetahuan dan berhemah dalam mereka memanfaatkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan di pasaran.
Akhir sekali saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada FOMCA kerana menjemput saya untuk melancarkan program Bulan Kewangan Berhemat ini. Semoga program ini dapat dijalankan dengan lancar dan berjaya.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.