Ucapan Penolong Gabenor di Majlis Pelancaran Bulan Kewangan Berhemat "Pendidikan Kewangan Untuk Semua"

Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia | 13 Oktober 2014

Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA) atas jemputan ini untuk saya merasmikan pelancaran Bulan Kewangan Berhemat tahun 2014 pada hari ini.  Ini merupakan tahun keempat penganjuran Bulan Kewangan Berhemat oleh pihak FOMCA.  Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam penganjuran ini diatas komitmen serta usaha berterusan dalam meningkatkan kewangan berhemat di kalangan para pengguna.

Pada tahun lepas, saya telah berkongsi beberapa inisiatif penting dalam memberi manfaat kepada pengguna, iaitu pendidikan kewangan secara am, perlindungan pengguna melalui tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan, mempertabatkan undang-undang sedia ada serta langkah-langkah untuk mengatasi isu semasa seperti amalan pemberian pinjaman oleh institusi kewangan yang lebih bertanggungjawab.  Bersesuaian dengan tema bagi Bulan Kewangan Berhemat pada tahun ini iaitu ”Pendidikan Kewangan Untuk Semua”, saya ingin menekankan pentingnya seseorang itu mendalami pendidikan kewangan pada setiap peringkat umur.  Tema pada tahun ini amat bertepatan memandangkan cabaran yang dihadapi oleh pengguna sekarang. Seperti tuan puan sedia maklum, rakyat Malaysia kini menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan dan hutang isi rumah yang tinggi.  Menurut statistik daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pada akhir tahun 2013, 69% daripada penyumbang KWSP yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan yang kurang daripada RM50,000.  Simpanan sebegitu hanya boleh bertahan untuk lima tahun sahaja, dengan andaian seseorang berbelanja sebanyak RM800 sebulan. Ini adalah membimbangkan memandangkan kos sara hidup yang terus meningkat. Manakala, hutang isi rumah pula telah mencakupi 86.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar. Walaupun peningkatan hutang isi rumah telah, dalam masa yang terdekat ini naik pada kadar yang lebih perlahan, iaitu pada 11.5% pada tahun 2013 berbanding dengan 13.8% pada tahun 2012, hutang isi rumah masih perlu diberi perhatian sewajarnya untuk memastikan pengguna tidak mempunyai hutang yang berlebihan yang boleh memudaratkan mereka.

  1. Tenaga kerja berkemahiran dan berpengetahuan tinggi dapat meningkatkan pendapatan dan menjamin kesejahteraan hidup

    Bagaimanakah untuk mencapai kedudukan kewangan yang kukuh?
    Pertama, kita perlu mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi dan stabil.  Pada umumnya, individu yang berpendidikan, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi mempunyai kelebihan untuk peluang pekerjaan yang lebih baik dan pendapatan tinggi.  Salah satu inisiatif dibawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.  Perkembangan ini adalah perkembangan terkini Malaysia dimana tenaga kerja yang lebih mahir perlu diberi penekanan dengan keperluan untuk meningkatkan pendapatan berasaskan tahap produktiviti dan daya saing yang lebih tinggi. Tahap pendapatan yang tinggi bergantung kepada keupayaan majikan serta pekerja untuk terus meningkatkan prestasi serta produktiviti, mengurangkan kos serta sentiasa mencapai tahap nilai tambah yang lebih baik dari semasa ke semasa.  Dalam konteks ini, keperluan majikan untuk lebih berdaya saing, efisyen serta mempunyai para pekerja yang terlatih serta berteknologi tinggi adalah sangat penting.  Bagi pekerja pula, mereka pula perlu mempunyai bakat serta kemahiran yang tinggi, yang mesti dipertingkatkan dari  semasa ke semasa.  Oleh itu penggunaan teknologi perlu diterapkan dan penekanan kepada produktiviti dan nilai tambah adalah menjadi aspek utama.

    Semua para pekerja adalah juga para pengguna.  Para pekerja yang produktif dan maju juga membentuk para pengguna yang berwawasan, berdisiplin, progresif dan berdaya tahan.  Tunggak utama yang boleh membantu semua para pekerja dan para pengguna berada pada tahap yang lebih baik dan mapan adalah pendidikan.  Tahap pendidikan mesti lebih menyeluruh, jitu serta sesuai dengan keperluan masyarakat semasa.  Ini adalah supaya pendidikan tersebut dapat memberi manfaat kepada masyarakat untuk menangani kehidupan seharian dengan lebih yakin dan teratur. Ucapan saya pagi ini akan memfokuskan kepada pendidikan kewangan yang berterusan bagi setiap lapisan masyarakat.

    Bagi memastikan masyarakat kita dilengkapi dengan pendidikan kewangan yang komprehensif, pelbagai inisiatif melalui penerapan pendidikan kewangan yang berterusan disemua peringkat usia, seawal kanak-kanak yang belum bersekolah sehingga kepada pesara, telah diperkenalkan oleh pelbagai pihak.

    Matlamat merangsang celik kewangan dan memperkasa pengguna adalah sama bagi pelbagai pihak termasuk Kerajaan, badan-badan berkanun, badan-badan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan pengguna dan juga pihak swasta. Pihak-pihak tersebut telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperlengkapkan pengguna dengan pengetahuan agar mereka mengamal budaya kewangan berhemat. Di sini, ingin saya akan kongsikan dengan lebih terperinci pelbagai inisiatif pendidikan kewangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak-pihak tersebut.
  • Pendidikan  kewangan sebagai satu kemahiran hidup yang penting bermula pada awal usia (kanak-kanak dan remaja) Seperti yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2011-2020, penekanan diberi untuk menerapkan elemen-elemen pendidikan kewangan dalam ekosistem sekolah.  Untuk mencapai matlamat ini, Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia sedang mengintegrasikan elemen pendidikan kewangan dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah secara berperingkat. Antara elemen kewangan berhemat yang diterapkan adalah seperti peranan wang, sumber pendapatan dan kerjaya, pengurusan dan perancangan kewangan, simpanan dan pelaburan, pengurusan kredit dan hutang serta perlindungan insurans. Elemen pendidikan kewangan telah diperkenalkan untuk murid-murid tahun tiga pada tahun 2013, iaitu satu tahun lebih awal dari tarikh pelaksanaan yang disasarkan. Elemen pendidikan kewangan telah dirangkumkan ke dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik. Lanjutan dari itu, pada tahun ini, elemen pendidikan kewangan telah diterapkan ke dalam matapelajaran Matematik, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Moral Tahun Empat. Penerapan pendidikan kewangan bagi tahun persekolahan yang lain sedang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Manakala bagi sekolah menengah, ia akan diperkenalkan pada tahun 2017. Selain itu, pendidikan kewangan turut diperkenalkan sebagai modul wajib bagi pelajar semester lima Kolej Vokasional di bawah program Diploma Vokasional Malaysia. Program melatih pelatih (Train the Trainers) telah dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran dan keyakinan bagi seramai 100 pelatih utama di Institut Pendidikan Guru sebagai persediaan untuk melatih guru-guru pelatih di Institut Pendidikan Guru masing-masing.  Para pensyarah Kolej Vokasional juga turut menjalani kursus pendidikan kewangan untuk disampaikan kepada pelajar yang terlibat. Bagi memperlengkapkan dan menyokong inisiatif pendidikan kewangan di sekolah, Bank Negara Malaysia telah mengkaji semula serta mempertingkatkan peranan institusi kewangan di bawah Program Sekolah Angkat.  Institusi kewangan tersebut akan berperanan sebagai pakar bidang (subject matter expert) untuk memberikan nasihat kepada guru-guru tentang aspek teknikal pengurusan kewangan, termasuk mengenai produk dan perkhidmatan kewangan.  Ini akan mempertingkatkan keberkesanan penyampaian pendidikan kewangan yang disampaikan dalam sekolah. Bagi masa yang akan datang, Bank Negara Malaysia akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memastikan penerapan elemen pendidikan kewangan dalam kurikulum sekolah berjalan dengan lancar.  Antara bidang kerjasama yang akan dijalankan termasuk menerapkan elemen pendidikan kewangan dalam kurikulum latihan bagi guru-guru untuk meningkatkan lagi keupayaan dan keyakinan guru-guru tersebut dalam menyampaikan ilmu pendidikan kewangan di sekolah-sekolah.  
  • Memperkasa kewangan berhemat bagi golongan dewasa di semua peringkat kehidupan Seperti mana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memainkan peranan penting sebagai agensi peneraju untuk memacu inisiatif pendidikan kewangan khusus kepada pengguna kewangan dewasa. Dengan matlamat untuk mewujudkan masyarakat yang celik kewangan, inisiatif pendidikan kewangan di bawah AKPK dirangka khas berdasarkan empat peringkat kehidupan golongan dewasa iaitu di peringkat:
    • pengajian tinggi - dimana pendidikan kewangan diterapkan sebagai modul pembelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta (18 - 25 tahun);
    • kemasukan alam pekerjaan - pendidikan kewangan diadakan di tempat kerja (20 - 30 tahun);
    • memulakan dan membina kehidupan berkeluarga (25 - 45 tahun); dan
    • persaraan (> 40 tahun).

Dalam merangka modul untuk golongan dewasa, AKPK telah membuat kajian menyeluruh dan mengubahsuai program dengan mengambil kira kehendak dan tahap kesedaran kewangan bagi setiap peringkat kumpulan. Kandungan bagi setiap modul merangkumi pengurusan aliran tunai, asas pinjaman, pengurusan hutang, asas pelaburan, penggunaan kad kredit dan persaraan.

Program-program pendidikan kewangan di bawah AKPK adalah seperti berikut:

    • Pengurusan Kewangan Peribadi;
    • POWER! - Pengurusan Wang Ringgit Anda (melalui bengkel dan portal pendidikan dalam talian);
    • Ceramah Umum; dan
    • Klinik Kewangan untuk kumpulan sasaran Bagi memastikan kesinambungan pendidikan kewangan, AKPK turut mengadakan program Melatih Pelatih (Train the Trainers) di IPT dan juga organisasi kerajaan dan swasta. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, mana-mana kumpulan atau organisasi yang berminat untuk mendapatkan khidmat AKPK melalui program-program ini, bolehlah membuat permohonan secara terus melalui laman webnya (online booking). Pihak AKPK bersedia menyusun program yang dipohon mengikut keperluan kumpulan atau organisasi yang memohon. Bagi menangani isu di mana kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk hari tua mereka, Bank Negara Malaysia akan bekerjasama dengan AKPK dan KWSP untuk membangunkan modul pendidikan kewangan bagi peringkat persaraan. Semenjak tahun 2011 sehingga Ogos 2014, seramai 531,890 pengguna kewangan telah mendapat manfaat daripada program-program pendidikan kewangan AKPK seperti tersebut:  
    • 268,385 (50.4%)peserta telah menghadiri program Pengurusan Kewangan Peribadi, Ceramah Umum dan Klinik Kewangan;
    • 194,520 (36.6%) peserta telah menghadiri program POWER!. Majoriti peserta program adalah terdiri daripada kakitangan kerajaan dan swasta. Pelan Jangka Panjang Pendidikan Kewangan Dalam tempoh tiga tahun akan datang (2015 - 2017), AKPK akan lebih memberi tumpuan kepada segmen ”Memasuki Alam Pekerjaan” serta ”Memulakan dan Membina Kehidupan Berkeluarga”. Kedua-dua segmen ini akan melibatkan golongan dewasa lingkungan umur 20 hingga 45 tahun. Kumpulan ini mewakili 52% daripada seluruh populasi golongan dewasa di Malaysia, manakala segmen ”Pengajian Tinggi” dan ”Persaraan” mewakili 10% dan 20% masing-masing. Walau pun akan terus mencabar, pelaksanaan inisiatif pendidikan kewangan pada masa hadapan dilihat akan lebih strategik dan tersusun. AKPK akan meningkatkan lagi kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan organisasi-organisasi yang tidak berasaskan keuntungan dalam pelaksanaannya. Mekanisma penyampaian pendidikan kewangan bagi segmen ”Pengajian Tinggi” akan diperluaskan melalui aplikasi teknologi seperti aplikasi telefon pintar dan pembelajaran dalam talian (portal pendidikan dalam talian). Selain itu, AKPK juga akan membuat penilaian terhadap keberkesanan modul pembelajaran dan keseluruhan program serta penilaian berkaitan perubahan tingkah laku para peserta program. Bagi tujuan ini, beberapa kelompok sasaran akan dipilih secara sukarela untuk diawasi perbelanjaan mereka dalam tempoh tiga ke enam bulan.
  1. Pendidikan kewangan bagi kumpulan sasaran
  • Pendidikan kewangan masyarakat di luar bandar terus menjadi fokus Bank Negara Malaysia Peka terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar yang sukar mendapat maklumat, pengetahuan dan khidmat nasihat mengenai perbankan dan insurans, Bank Negara Malaysia telah memperluaskan inisiatif pendidikan kewangannya bagi golongan sasaran ini ke seluruh negara melalui perkhidmatan bergerak LINK atau dikenali sebagai Mobile LINK dengan kerjasama AKPK serta institusi-institusi kewangan. Di samping itu, Bank Negara Malaysia juga telah berusaha sama dengan FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) untuk memberi pendidikan kewangan kepada masyarakat luar bandar di Sabah dan Sarawak. Melalui program ini, para peserta turut diberi taklimat mengenai perkhidmatan kewangan, jenayah kewangan dan pengurusan kewangan. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kewangan berhemat agar mereka lebih berhati-hati dalam membuat keputusan dan menguruskan kewangan mereka.  Disamping itu, program ini juga memaklumkan perkembangan terkini berhubung jenayah kewangan seperti skim cepat kaya agar pengguna memahami modus operandi penipuan kewangan dan tidak terjebak dalam skim sebegitu. Lebih 45,000 peserta daripada 250 mukim di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada program ini.   
  • Pendidikan kewangan bagi kumpulan yang terdedah kepada risiko hutang isi rumah Dalam keadaan yang semakin mencabar dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi dan dalam keadaan terdesak, terdapat segelintir masyarakat yang membuat pinjaman wang tanpa mempertimbangkan keupayaan mereka untuk melunaskan hutang mereka.  Mereka akan terperangkap dengan beban hutang apabila tidak dapat melunaskan pembayaran balik pinjaman. Apabila seseorang itu tidak lagi mampu untuk memikul beban hutang mereka, keadaan ini akan mengundang pelbagai masalah bukan sahaja ke atas individu terbabit tetapi insan-insan terdekat. Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia dengan kerjasama AKPK telah mengambil langkah merangka program pendidikan kewangan yang khusus untuk mereka yang berkemungkinan besar akan terdedah kepada masalah ini. Buat masa ini, kakitangan kerajaan adalah kumpulan sasaran utama bagi program tersebut. Peserta akan diberi penerangan tentang pengurusan kewangan (termasuk pengurusan hutang), hak pengguna kewangan dan pelbagai saluran nasihat dan penyelesaian aduan disediakan. Semenjak pelaksanaannya pada tahun 2012 sehingga kini, lebih daripada 22,000 kakitangan kerajaan dari pelbagai agensi telah menikmati manfaat daripada program ini.   
  • Penyertaan sektor swasta melalui kerjasama strategik dalam pendidikan kewangan Selain daripada penganjuran Bulan Kewangan Berhemat, FOMCA turut berganding bahu dengan beberapa institusi kewangan di Malaysia dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) bagi merangka beberapa inisiatif pendidikan kewangan yang khusus kepada kumpulan sasaran. Kerjasama strategik ini merupakan sebahagian daripada “Tanggungjawab Sosial Korporat” institusi-institusi kewangan tersebut dan PIDM. Di antara program-program yang dimaksudkan adalah:
    • My First Ringgit atau Ringgit Pertama Saya yang telah diperkenalkan pada tahun 2011 oleh ERA Consumer Malaysia dengan sokongan FOMCA dan Citi Foundation di bawah Citibank Berhad. Program ini merupakan satu program pendidikan kewangan yang disasarkan kepada kanak-kanak tadika yang berumur 4 hingga 6 tahun. Ia bertujuan untuk mendidik mereka tentang kepentingan wang serta memupuk tabiat kewangan yang baik dalam kalangan generasi muda.
    • My Financial Coach atau Jurulatih Kewangan Saya dengan sokongan syarikat insurans Allianz Malaysia Berhad. Program ini menumpukan kepada murid tahun 6 sekolah rendah di bawah Program Sekolah Angkat Bank Negara Malaysia dengan tujuan bagi memastikan kesinambungan amalan kewangan berhemat dikalangan remaja. Program ini dikendalikan oleh sukarelawan yang dilantik oleh Allianz Insurans. Melalui program ini, para pelajar diberi pendedahan mengenai perbezaan di antara keperluan dan kehendak serta meningkatkan keupayaan dalam membuat keputusan kewangan mereka. Sejak dari mula program ini dijalankan pada tahun 2012 sehingga kini, seramai 3,515 murid dari 35 buah sekolah telah dilatih dan mendapat manfaat daripada program tersebut.
    • FOMCA bekerjasama dengan PIDM memberi taklimat mengenai Perlindungan Konsumer Kewangan yang memfokuskan kumpulan sasaran. Sepanjang empat tahun penganjurannya, sebanyak 59 program telah dilaksanakan dengan penyertaan seramai 4,087 peserta dari seluruh negara. Melalui program ini, orang ramai akan diberi penerangan mengenai dua perkara penting iaitu Sistem Insurans Deposit serta Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans. FOMCA telah dilantik oleh PIDM bagi memberi penerangan ini.
    Keupayaan menjadi celik kewangan adalah salah satu kunci penting bagi memperoleh kejayaan hidup dan menyedari kepentingan dan kesannya kepada masyarakat, pihak Suruhanjaya Sekuriti turut mengambil inisiatif bagi memupuk kemahiran pengurusan wang di kalangan golongan muda rakyat Malaysia. Di antara program pendidikan kewangan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Sekuriti adalah:
    • Kids & Cash - ditujukan kepada kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun, dengan matlamat untuk menyemai budaya pengurusan kewangan di kalangan mereka. Program ini mendidik kanak-kanak mengenai kepentingan menyimpan wang, tabiat berbelanja yang bijak dan bagaimana untuk merancang kewangan pada usia yang awal.
    • Teens & Cash - disasarkan kepada remaja berusia 13 hingga 17 tahun. Objektif utama program ini ialah untuk mendidik mereka tentang asas-asas pengurusan kewangan dan pelaburan bijak. Kandungan program ini merangkumi topik belanjawan dan simpanan, mengenal pasti keperluan dan kehendak serta pengetahuan asas mengenai pelaburan.
    • Bijak Mengurus Wang - bertujuan mewujudkan kesedaran dan meningkatkan kemahiran masyarakat golongan dewasa mengenai perancangan kewangan, pelaburan bijak dan mengelakkan diri daripada tertipu dengan skim pelaburan yang tidak sah. Peserta program ini akan diberi pendedahan tentang kepentingan merancang kewangan dan pelaburan bijak, teknik-teknik merancang kewangan yang betul, asas-asas pelaburan bijak dan ciri-ciri skim pelaburan yang tidak sah.
    Saya yakin terdapat lebih banyak lagi program yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak yang saya tidak berkesempatan untuk menyatakan satu persatu.  Saya pasti program-program lain ini juga adalah sangat berguna serta membolehkan lebih ramai ahli masyarakat didedahkan dengan ilmu dan pengurusan kewangan.  Di sini, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada semua pihak yang terlibat dalam memberi pendidikan kewangan tersebut.
  1. Memperteguh Infrastruktur Sokongan

    Seperti yang telah saya kongsikan tadi, terdapat pelbagai program pendidikan kewangan di negara ini dan ia merangkumi semua lapisan masyarakat. Ini adalah hasil usaha sama pelbagai pihak di sepanjang lima tahun kebelakangan ini dalam memberi keutamaan kepada pendidikan kewangan untuk semua pengguna kewangan. Namun, sejauh manakah keberkesanan program-program ini dalam meningkatkan keupayaan kewangan pengguna dan mempengaruhi amalan pengurusan kewangan mereka?
  • Pelaksanaan pendidikan kewangan yang berkesan disokong oleh Rangka Kerja Penilaian Pendidikan Kewangan

Untuk memastikan pelaksanaan inisiatif pendidikan kewangan yang mampan dan berkesan serta membuahkan hasil seperti yang diharapkan, Bank Negara Malaysia telah merangka satu Rangka Kerja Penilaian Pendidikan Kewangan pada tahun 2013. Terdapat tiga komponen yang digariskan di bawah Rangka Kerja ini iaitu:

Secara terperinci, Rangka Kerja ini membolehkan Bank Negara Malaysia menilai kesan program pendidikan kewangan terhadap tahap keseluruhan keupayaan dan celik kewangan penduduk Malaysia. Hasil penilaian ini juga digunakan untuk terus meningkatkan program-program pendidikan kewangan sedia ada.

Bagi merealisasikan perancangan ini, satu tinjauan berhubung Keupayaan dan Rangkuman Kewangan akan dilaksanakan dalam bulan ini hingga November 2014 di seluruh negara. Tujuan tinjauan ini adalah untuk mendapat data dan maklumat mengenai tahap keupayaan dan rangkuman kewangan (financial capability and inclusion) masyarakat Malaysia.  Sampel secara rawak seramai 3,000 responden akan ditemu bual dari rumah ke rumah.  Responden tersebut merangkumi semua lapisan masyarakat di Malaysia.

    • Menanda aras tahap celik wang dan keupayaan pengguna kewangan Malaysia;
    • Menilai keberkesanan inisiatif pendidikan kewangan yang dijalankan; dan
    • Kajian perilaku serta aspek-aspek risiko pengguna kewangan.
  • Capaian menyeluruh maklumat pendidikan kewangan yang keboleh percayaan dan terkini

 Dengan meningkatnya momentum pendidikan kewangan di sekolah dan untuk orang dewasa, langkah-langkah juga sedang diambil untuk mempertingkatkan infrastruktur yang diperlukan dalam menyokong inisiatif pendidikan kewangan. Ini dilakukan dengan meningkatkan lagi akses pengguna kepada maklumat dan alat pengurusan kewangan yang interaktif.  Berikutan media sosial semakin diterima dalam masyarakat, Bank Negara Malaysia telah melaksanakan inisiatif komunikasi untuk berinteraksi dengan pengguna kewangan melalui medium ini.  Hasilnya, peminat Facebook Bank Negara Malaysia setakat Oktober 2014 telah meningkat kepada 39,320 (2013: 28,965) dan pengikut Twitter meningkat kepada 44,500 (2013: 34,936).  Untuk berinteraksi dengan komuniti yang lebih muda, Bank Negara Malaysia kini aktif menggunakan video untuk mendidik mereka mengenai hal-hal kewangan.  Dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia memanfaatkan saluran YouTube untuk menyebarkan maklumat tentang jenayah kewangan.

Bank Negara Malaysia juga akan memperkenalkan saluran maklumat baru melalui aplikasi telefon pintar yang dikenali sebagai ”BNM Mobile Apps” bagi meningkatkan lagi akses pengguna kepada maklumat dan alat pengurusan kewangan yang interaktif. Inisiatif ini adalah sejajar dengan pembangunan teknologi komunikasi di mana kebanyakan pengguna pada masa ini menggunakan aplikasi telefon pintar mereka sebagai medium bagi mendapatkan maklumat.

BNM Mobile Apps akan dibangunkan bertujuan untuk memperluaskan jangkauan komunikasi dan penyampaian maklumat yang tepat dan terkini kepada pengguna kewangan, di samping dapat membantu para pengguna memahami perkara-perkara yang berkaitan dengan kewangan. Aplikasi ini  adalah pelengkap kepada saluran penyampaian maklumat sedia ada Bank Negara Malaysia iaitu melalui laman sesawang korporat Bank Negara Malaysia dan media sosial.

 

  1. Penyelarasan dan pelaksanaan inisiatif pendidikan kewangan bersepadu di peringkat kebangsaan di bawah Jaringan Pendidikan Kewangan

    Dengan kesedaran betapa pentingnya untuk memperluaskan jangkauan pendidikan kewangan kepada semua segmen masyarakat, pihak-pihak berkepentingan telah mengendalikan pelbagai program pendidikan kewangan masing-masing atau melalui kerjasama strategik di antara pihak berkepentingan seperti yang telah dikongsikan tadi.

    Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia berharap kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi menghasilkan strategi kebangsaan yang terselaras untuk meningkatkan celik kewangan semua lapisan masyarakat.  Pihak Bank Negara Malaysia juga berharap daripada strategi ini, inisiatif yang akan dibentuk dapat dijajarkan dan diseluruhkan dengan lebih baik dalam kalangan pihak berkepentingan dengan cara yang lebih menyeluruh, strategik dan berimpak tinggi.

    Untuk mencapai matlamat yang lebih mampan dalam melaksanakan program-program pendidikan kewangan oleh pelbagai pihak, Bank Negara Malaysia akan membentuk Jaringan Pendidikan Kewangan di peringkat kebangsaan bagi memudahkan kerjasama yang lebih sistematik dan bersepadu.
     
  2. Halatuju ke hadapan - Bank Negara terus komited dengan agenda pendidikan kewangan

    Bank Negara Malaysia komited untuk terus memberi keutamaan terhadap peningkatan keupayaan kewangan para pengguna melalui pendidikan kewangan yang berterusan di semua lapisan masyarakat. Walau bagaimanapun, usaha ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat. Justeru itu, tanggung jawab terhadap inisiatif-inisiatif pendidikan kewangan ini haruslah dikongsi bersama oleh semua pihak yang berkepentingan.

    Dengan pendidikan yang menyeluruh untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran dan berpengetahuan serta inisiatif-inisiatif pendidikan kewangan, Bank Negara Malaysia percaya pengguna kewangan akan lebih berilmu serta lebih bertanggungjawab dalam hal ehwal kewangan mereka dan dengan itu akan dapat menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik.  Kita semua berharap para pengguna akan sentiasa memupuk budaya serta amalan pengurusan kewangan berhemat untuk masa hadapan mereka serta generasi masa hadapan yang lebih baik dan terjamin.

Akhir sekali saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada FOMCA kerana menjemput saya untuk melancarkan program Bulan Kewangan Berhemat ini.  Semoga program ini dapat dijalankan dengan lancar dan berjaya.

Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Bulan Kewangan Berhemat tahun 2014. 


Bank Negara Malaysia
13 Oktober 2014

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?