Ucapan Penutup oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di Public Debt Management Forum ke-20 Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)
Sasana Kijang | 28 Mei 2025
Keberkesanan pasaran bon kerajaan Malaysia – daya tahan terhadap latar belakang global
Separuh pertama tahun ini merupakan tempoh yang mencabar apabila pasaran global menghadapi beberapa episod volatiliti. Risiko inflasi yang lebih tinggi dan pertumbuhan yang lebih perlahan kekal menjadi kebimbangan utama dalam keadaan ketidakpastian dasar perdagangan. Meskipun terdapat pertumbuhan global yang perlahan dan pelonggaran dasar di beberapa negara, hasil bon tidak menurun secara seiring kerana pelabur menuntut premium tempoh yang lebih tinggi untuk menangani persekitaran risiko yang meningkat.
Sebagai sebuah ekonomi pasaran yang kecil dan terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada perkembangan global ini. Namun begitu, negara menguruskan volatiliti ini daripada kedudukan yang kukuh. Pada peringkat domestik, pasaran bon Malaysia telah mencapai saiz RM2.2 trilion tahun ini. Bon kerajaan, yang merangkumi hampir 60% daripada pasaran, terus berkembang pada kadar yang stabil, dengan penerbitan sebanyak RM1.3 trilion setakat bulan Mei 2025. Kadar hasil bon kerajaan Malaysia kekal stabil sepanjang tahun, berteraskan permintaan domestik yang kukuh serta peningkatan aliran masuk asing. Permintaan domestik terhadap bon kerajaan kekal teguh, dipacu oleh pelabur institusi dan institusi perbankan.
Keadaan ini diperhatikan dalam pasaran bon utama, yang tekal mencatatkan permintaan yang mantap bagi penerbitan bon kerajaan. Pasaran sekunder turut mencatatkan aliran dua hala yang kukuh dengan peningkatan jumlah dagangan harian berikutan perantaraan yang berkesan oleh peserta pasaran dan peranan aktif Peniaga Utama (Principal Dealers). Peningkatan aliran masuk asing yang positif mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran tempatan yang dilihat sebagai destinasi pelaburan yang stabil di rantau ini. Sejak awal tahun sehingga kini, pemegangan bon kerajaan Malaysia oleh bukan pemastautin telah meningkat kepada kira-kira 22% pada bulan Mei 2025, dengan sebahagian besarnya terdiri daripada pelabur asing yang stabil dan berjangka panjang.
Saya ingin mengaitkan perkembangan positif ini kepada usaha bertahun-tahun oleh Kementerian Kewangan (Ministry of Finance, MOF), Bank Negara Malaysia (BNM) dan peserta pasaran kewangan ke arah memperluas dan memperdalam pasaran sekuriti ringgit domestik. Sejak sekian lama, BNM telah menjalankan usaha proaktif untuk meningkatkan mudah tunai pasaran bon. Usaha ini termasuk menggalakkan pasaran repo antara bank berasaskan sekuriti serta memudahkan operasi pertukaran bon untuk penerbitan Kerajaan. Di samping itu, program lindung nilai dinamik yang dilancarkan pada tahun 2016 bertujuan menggalakkan penyertaan pelabur asing dalam pasaran bon domestik dengan menyediakan akses pasaran kepada pelabur institusi yang ingin mengendalikan secara aktif dedahan pertukaran asing (foreign exchange, FX) terhadap aset ringgit mereka. Kita telah mencapai kemajuan yang besar dalam hal ini. Apa yang boleh kita pelajari daripada Krisis Kewangan Asia adalah kekurangan pasaran bon kerajaan atau pasaran bon kerajaan yang kurang berkembang, yang telah memburukkan lagi krisis tersebut. Ketiadaan saluran pelaburan domestik yang bebas risiko menyebabkan pelabur portfolio tidak melabur dalam mata wang domestik apabila volatiliti dan ketidakpastian berada pada tahap tinggi. Kini, saya yakin bahawa kita tidak lagi berada dalam keadaan sedemikian.
Iktibar daripada pengalaman global
Walaupun pembangunan pasaran merupakan elemen yang penting, pada dasarnya keyakinan pelabur dan kestabilan pasaran bergantung pada penarafan kredit kerajaan yang kukuh. Baru-baru ini, pasaran bon global menghadapi banyak cabaran apabila pelabur bergelut dengan cabaran fiskal yang semakin meningkat dan penurunan penarafan bon kerajaan di negara maju. Situasi ini menekankan kepentingan tadbir urus yang bertanggungjawab serta pengurusan fiskal yang berhemat. Mendapatkan keseimbangan antara pemberian bantuan dengan penetapan disiplin fiskal adalah sangat penting dalam usaha mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan. Oleh itu, pembuat dasar perlu mengambil pengajaran daripada pengalaman ini dan memberikan keutamaan pada kewangan awam yang mampan serta melaksanakan pembaharuan struktur untuk memelihara keyakinan dan kredibiliti.
Sebagai contoh, penting untuk dasar fiskal yang kukuh dikekalkan melalui perbelanjaan awam yang dioptimumkan dan penjanaan aliran pendapatan yang utuh supaya defisit fiskal kekal pada tahap yang mampan. Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia komited terhadap usaha konsolidasi fiskal seperti yang ditunjukkan melalui pelbagai langkah seperti pembaharuan cukai dan subsidi. Penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal juga mustahak untuk memperkukuh tadbir urus dan institusi dalam jangka panjang.
Di ASEAN, Malaysia bersama rakan serantau sedang bekerjasama rapat untuk menyokong pengurusan hutang kerajaan yang berhemat dengan memupuk kerjasama serantau, pembiayaan infrastruktur yang mampan serta pasaran kewangan yang berdaya tahan. Sebagai contoh, usaha sedang dilaksanakan untuk memudahkan integrasi ekonomi serantau dan pasaran hutang di bawah rangka kerja ASEAN Economic Community (AEC). Di bawah ASEAN Bond Market Initiative, negara anggota ASEAN giat dalam menggalakkan pembangunan pasaran bon mata wang tempatan, menyalurkan simpanan serantau ke dalam pelaburan jangka panjang di rantau ini. Sementara itu, ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) turut memainkan peranan penting dalam memantau risiko hutang anggota ASEAN dan memberikan cadangan dasar. Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berhasrat untuk memajukan lagi aspirasi ASEAN bagi mendalami integrasi kewangan serantau serta menerajui ekosistem kewangan ASEAN yang lebih saling berhubung, mampan dan inklusif.
Peluang dan cabaran
Hadirin sekalian,
Usaha kita sememangnya akan dipenuhi cabaran, khususnya bagi ekonomi pasaran terbuka kecil seperti Malaysia. Faktor luaran seperti kenaikan kadar faedah global mungkin mempengaruhi kos pinjaman Kerajaan. Hal ini mungkin menjadikan pembiayaan semula hutang lebih mahal dan boleh menyebabkan kos bayaran balik hutang yang lebih tinggi yang berpotensi memberi kesan terhadap kemampanan fiskal.
Oleh itu, kita perlu mengekalkan pasaran bon kerajaan yang cair dan berdaya tahan. Perkara ini bukan sahaja untuk memelihara keyakinan pelabur dan memudahkan pembiayaan awam yang cekap, tetapi juga untuk memastikan kestabilan kewangan, yang merupakan objektif utama yang dikongsi oleh pengurus hutang dan bank-bank pusat.
Dalam hal ini, saya ingin menggariskan peranan penting oleh instrumen alternatif seperti sukuk dalam membangunkan pasaran dengan kedua-dua instrumen yang pelbagai serta bidang pelabur yang pelbagai. Terdapat peluang pertumbuhan yang meluas untuk meningkatkan akses kepada kumpulan pelabur besar yang mematuhi prinsip kewangan Islam dan sebelum ini kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Malaysia mempunyai pasaran sukuk yang giat, dengan 50% bon kerajaan baharu diterbitkan dalam struktur Islam. Setakat bulan Mei 2025, sukuk kerajaan terkumpul berjumlah sekitar RM600 bilion atau 48% daripada jumlah keseluruhan bon kerajaan. Oleh itu, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan pihak yang berminat untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan serta menggalakkan pembangunan selanjutnya dalam sektor yang semakin berkembang ini.
Sebagai penutup, saya ingin mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua moderator, panelis dan peserta atas perkongsian pandangan dan kepakaran mereka sepanjang dua hari ini. Saya percaya bahawa kepakaran mereka telah membawa kepada perbincangan yang produktif dan menyumbang kepada amalan pengurusan hutang kerajaan yang lebih cekap dan mampan. Saya yakin kita semua kini mempunyai pandangan dan pembelajaran yang berguna untuk dibawa pulang ke negara dan organisasi masing-masing.
Tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada IMF, Kementerian Kewangan, dan BNM atas penganjuran forum yang berjaya. Kepada Miguel dan pasukan di IMF, bagi pihak penganjur, izinkan saya menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan bagi. Kami berharap dapat bekerjasama sekali lagi dengan IMF untuk menganjurkan forum dan sesi perbincangan seperti ini.
Terima kasih.
Bank Negara Malaysia
28 Mei 2025
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.