Ucapan Penutup oleh Timbalan Gabenor Marzunisham Omar di Seacen Policy Summit

Sasana Kijang | 6 Februari 2026

"Asia dalam Dunia yang Semakin Berpecah."

 

Sepanjang satu hari setengah yang lalu, kita telah meneroka cara sistem monetari antarabangsa sedang berkembang di bawah tekanan perubahan struktur yang besar. Kita telah meneliti ciri‑ciri kekal sistem ini, seperti peranan dolar AS, permintaan global terhadap aset selamat (safe assets) dan dinamik kitaran kewangan global, di samping perubahan baharu yang muncul dalam rangkaian perdagangan dan kewangan dalam dunia yang semakin berpecah.

Kita juga berpandangan ke hadapan. Perbincangan kita menyentuh bagaimana kecerdasan buatan, stablecoin dan perubahan teknologi yang lebih meluas dapat membentuk generasi sistem monetari dan kewangan yang baharu, lantas membuka peluang serta menimbulkan ketidaktentuan baharu. Sesi meja bulat dasar pada pagi ini pula mengaitkan perbincangan global tersebut dengan perspektif ahli SEACEN, lantas menegaskan peri pentingnya penyelarasan dasar, daya tahan dan kerjasama serantau dalam mengharungi persekitaran global yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Terima kasih kepada para pembicara dan hadirin atas sumbangan pengalaman dan pengetahuan anda yang berharga dalam menjayakan perbincangan ini.

Menjelang penutup Sidang Kemuncak ini, izinkan saya mengimbas dan membuat kesimpulan mengenai perbincangan yang telah berlangsung dalam konteks dunia yang semakin dicorakkan oleh ketidaktentuan, perpecahan dan transformasi. Hari ini, dua faktor asas sedang membentuk semula landskap ekonomi dan kewangan global.

Faktor pertama ialah perpecahan ekonomi yang semakin ketara. Selama beberapa dekad, globalisasi dan liberalisasi perdagangan merupakan pemacu utama ekonomi global, yang menghasilkan peningkatan kecekapan dan kemajuan ekonomi yang nyata. Hari ini, paradigma tersebut semakin teruji. Perpecahan bukan lagi bersifat berkala, malah semakin menjadi kebiasaan dan didorong oleh dasar. Pilihan dasar kini lazimnya dilakukan dengan hasrat mencapai keselamatan, daya tahan dan kedaulatan.

Faktor kedua ialah kepesatan revolusi teknologi yang dipacu AI. Kemajuan ini mengubah cara perniagaan beroperasi, cara ekonomi berkembang, cara risiko diurus dan cara sistem kewangan berfungsi. Kemajuan tersebut menghasilkan potensi peningkatan produktiviti yang ketara dan rangkuman yang lebih meluas, namun turut memberikan tekanan kepada rangka kerja pengawalseliaan yang sedia ada, membentuk semula pasaran pekerja dan mencabar asas kestabilan sistem kewangan.

Pada pandangan saya, kesemua faktor ini bukan bersifat sementara namun berkemungkinan menjadi ciri kekal ekonomi global. Kesannya kompleks dan sukar dijangka, lantas mewujudkan ketidaktentuan yang berpanjangan dalam ekonomi global dan sistem kewangan antarabangsa.

Asia sedang mengalami kesan langsung berikutan kesepaduan rantau ini yang mendalam dalam  perdagangan global, rantaian bekalan dan aliran modal, daripada penyusunan semula rantaian bekalan hinggalah kepada turun naik pasaran kewangan. Persoalan utamanya ialah cara ekonomi perlu mengharungi persekitaran yang semakin tidak menentu ini. Pada hemat saya, jawapannya terletak pada gabungan dasar nasional yang kukuh dan kerjasama serantau yang lebih erat.

Izinkan saya berkongsi secara ringkas pengalaman Malaysia dalam mengharungi persekitaran global yang sangat tidak menentu sepanjang tahun lepas. Walaupun berdepan dengan rintangan global, pertumbuhan ekonomi Malaysia mengatasi jangkaan awal, disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh dan ekonomi global yang berdaya tahan. Momentum pertumbuhan yang kukuh ini dijangka berterusan pada tahun 2026, dipacu oleh permintaan dalam negeri yang teguh. Prospek pendapatan dan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan akan menyokong penggunaan swasta, manakala saluran pelaburan yang kukuh akan terus mengekalkan pelaburan swasta. Sementara itu, ekonomi global yang berdaya tahan dan peningkatan perbelanjaan dalam aktiviti berkaitan teknologi akan mendorong pertumbuhan eksport.

Dalam dunia yang sangat tidak menentu dan semakin berpecah ini, pada peringkat negara, keutamaan kebanyakan bank pusat di rantau ini adalah untuk memelihara kestabilan dan meningkatkan daya tahan. Bagi BNM, hal ini bermakna memastikan inflasi berada pada paras yang rendah, memperkukuh kestabilan kewangan dan mengekalkan fungsi pasaran kewangan yang teratur. Seperti banyak bank pusat lain di rantau ini, keupayaan BNM untuk mencapai keutamaan ini diperkukuh dengan adanya rangkaian instrumen dasar yang komprehensif, termasuk dasar monetari, langkah kehematan makro, intervensi pertukaran asing dan komunikasi yang jelas serta berkesan.

Usaha setiap negara untuk menguruskan risiko dan menjaga kestabilan adalah penting, namun usaha tersebut semata-mata tidak memadai. Perpecahan lazimnya  bersifat melangkaui sempadan. Aliran modal, tekanan kewangan dan gangguan teknologi tidak mengira sempadan negara. Maka di sinilah pentingnya kerjasama serantau.

Di Asia, kita sentiasa memahami nilai kerjasama serantau. Namun hari ini, kerjasama tersebut bukan sahaja penting bahkan mendesak. Asia tidak boleh sekadar membuat penyesuaian dengan perubahan ketara yang sedang berlaku. Kita perlu memainkan peranan untuk menentukan arah perubahan tersebut.

Tindak balas Asia terhadap perubahan landskap monetari antarabangsa harus jelas, terselaras dan berwawasan. Kita perlu beriltizam untuk memperluas pilihan yang ada. Kita perlu mencari alternatif yang berwibawa dan mengelakkan kebergantungan yang berlebihan. Strategi kita harus berpandukan prinsip kepelbagaian.

Izinkan saya berkongsi tiga bidang yang sedang kita raih kemajuan yang besar pada peringkat serantau.

Pertama, satu tonggak mustahak kekuatan kolektif kita ialah jaringan keselamatan kewangan serantau. Sepanjang 35 tahun yang lalu, kita telah melangkah jauh. Melalui pembaharuan konsisten secara beransur-ansur, kita telah memperkukuh dan meningkatkan kebolehcapaian CMIM. Saiz CMIM telah berganda daripada USD120 bilion kepada USD240 bilion pada tahun 2014. Bahagian IMF De‑linked Portion (IDLP) turut meningkat daripada 20% kepada 40%, lantas membolehkan pemilikan serantau yang lebih besar dalam penyelesaian krisis. Baru‑baru ini, pengenalan kepada kemudahan baharu iaitu Rapid Financing Facility (RFF) telah membolehkan CMIM membantu negara-negara yang berdepan kemelut luar jangka yang tidak pernah dialami sebelum ini. Pada masa ini, CMIM sedang beralih daripada model berasaskan perjanjian pertukaran swap kepada struktur modal berbayar atau PIC (paid-in capital). Langkah ini merupakan satu pencapaian penting dan saya yakin rakan‑rakan ASEAN+3 komited untuk merealisasikan struktur PIC dalam CMIM kerana struktur ini akan mengukuhkan lagi jaringan keselamatan serantau kita.

Kedua, kerjasama serantau juga bermaksud menggerakkan pertumbuhan yang inklusif dan mampan. Di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia, rangkaian pembayaran menjadi tonggak utama agenda kerjasama kewangan kita. Satu inisiatif penting ialah perluasan jalinan pembayaran rentas sempadan yang kini merangkumi 28 koridor ASEAN. Pada masa ini, lebih daripada 50 juta titik jualan peniaga (merchant touchpoints) di seluruh ASEAN boleh menerima pembayaran QR rentas sempadan, sekali gus mewujudkan ekosistem luas yang menyokong perdagangan, pelancongan dan pertumbuhan inklusif. Kita perlu meneruskan momentum ini dengan mengurangkan lagi kekangan dalam pembayaran rentas sempadan dan memperkukuh rangkaian pembayaran serantau.

Ketiga, satu keutamaan penting ialah penyaluran semula simpanan Asia dengan lebih berkesan ke dalam pelaburan yang produktif di rantau ini. Menurut  Asian Development Bank  atau ADB, terdapat kira‑kira USD4.4 trilion dalam dana pencen dan USD5.1 trilion dalam sektor insurans di rantau ini. Pada masa yang sama, ekonomi ASEAN dianggarkan memerlukan pelaburan sebanyak sekurang‑kurangnya USD3.1 trilion antara tahun 2023 hingga 2030, khususnya dalam infrastruktur, rangkaian digital dan peralihan tenaga. Maka cabarannya bukanlah kekurangan modal, tetapi cara menggembleng modal tersebut secara berkesan.

Mengubah simpanan serantau menjadi pelaburan yang produktif memerlukan kita memperkukuh saluran aliran modal dalam rantau ini, termasuk melalui integrasi kewangan yang lebih mendalam, meningkatkan perantaraan rentas sempadan, memperluas penggunaan mata wang tempatan serta memperdalam pasaran modal dalam negeri. Sehubungan dengan hal ini, kemajuan berterusan di bawah Asian Bon Market Initiative adalah sangat penting. Seiring dengan itu, memajukan pendekatan pembiayaan inovatif seperti pembiayaan campuran (blended finance) boleh  menggerakkan modal jangka panjang dan mengukuhkan lagi keyakinan pelabur. Contoh pembiayaan campuran ialah ASEAN Power Grid Financing Initiative yang telah menarik minat lebih 15 pelabur dan bank pembangunan pelbagai hala (multilateral development banks, MDB) utama, dengan sekitar USD13 bilion komitmen diperoleh setakat ini. Perluasan platform seumpama ini, yang mengurangkan risiko projek dan menarik modal swasta, akan membolehkan struktur kewangan rantau ini menjadi saluran yang lebih berkesan untuk menyalurkan lebihan simpanan, memperkukuh daya tahan sambil mencetuskan peluang pertumbuhan baharu.

Kita sedang  berhadapan dengan dunia yang semakin berpecah-pecah, lebih maju teknologinya dan persekitaran yang sangat tidak menentu. Asia telah berulang kali membuktikan kemampuannya untuk membuat penyesuaian, bekerjasama dan terus berkembang ke tahap yang lebih tinggi.

Akhir sekali, marilah kita merebut peluang daripada  detik “keretakan” global ini seperti yang disebut Perdana Menteri Carney, bukan sebagai kelemahan namun sebagai seruan kesedaran, sebagai pemangkin untuk mempercepat integrasi kewangan serantau. Bak kata pepatah terkemuka: “Usah sesekali mensia-siakan sesuatu krisis”.

Sebelum saya mengakhiri ucapan, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, saya mengalu-alukan para hadirin untuk meluangkan sedikit masa meneroka sambil menikmati keindahan Kuala Lumpur.

Terima kasih.


Bank Negara Malaysia
06 Februari 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?