Ucapan Perasmian Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di AICB Nexus yang Pertama

Kuala Lumpur | 8 Julai 2026

Memacu Kemajuan Perbankan, Tadbir Urus dan Inovasi Kewangan di Malaysia dan Asia

AICB Nexus sebagai platform strategik

Saya berbesar hati dapat bersama-sama para hadirin pada pagi ini sempena Persidangan AICB Nexus yang julung kali diadakan. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) serta rakan-rakan strategiknya atas kejayaan menghimpunkan Malaysian Banking Conference dan Bank Audit Conference di bawah satu platform.

Penggabungan dua komuniti profesional ini mencerminkan hakikat yang penting: masa depan sektor kewangan tidak boleh dibentuk melalui perbincangan yang terpisah. Inovasi tidak akan berjaya tanpa tadbir urus. Tadbir urus pula tidak akan berkesan tanpa jaminan. Kedua-dua aspek ini tidak akan dapat meraih keyakinan orang ramai secara berasingan. Oleh itu, usaha menggabungkan kedua-dua wacana ini dibuat pada masa yang tepat, dengan kesedaran bahawa inovasi dan jaminan perlu terus bergerak seiring.

Inovasi tanpa kepercayaan bukan kemajuan

Hari ini, kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) sedang mengubah landskap perkhidmatan kewangan. AI membantu institusi mengesan penipuan, menilai risiko kredit dan insurans, memperkukuh pematuhan, menguruskan risiko secara lebih berkesan serta memberikan khidmat yang lebih baik kepada pelanggan. Apabila dimanfaatkan secara optimum, AI berupaya meningkatkan produktiviti, memperkukuh proses membuat keputusan dan memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan.

Tidak dapat dinafikan bahawa banyak perbincangan pada hari ini akan tertumpu pada sepantas mana kita boleh menerapkan AI dalam operasi institusi kewangan. Namun, mungkin ini persoalan yang lebih penting: dapatkah kita memastikan penggunaan AI mengukuhkan lagi kepercayaan, memelihara akauntabiliti dan memperteguh keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan?

Hakikatnya, sektor kewangan dibina atas asas kepercayaan. Kepercayaan bahawa simpanan rakyat akan dilindungi. Keyakinan bahawa modal akan disalurkan secara cekap. Juga kepercayaan bahawa institusi, tadbir urus serta peraturan yang mendasari sistem kewangan kekal berwibawa dan berdaya tahan.

AI mungkin mengubah sektor kewangan. Namun, kepercayaanlah yang akan menentukan sama ada transformasi tersebut akan kekal. Atas sebab itu, saya ingin menegaskan satu prinsip yang ringkas namun mustahak: “Inovasi tanpa kepercayaan bukan kemajuan”. Prinsip ini bukan sekadar berkaitan penggunaan teknologi. Justeru merupakan cerminan cara kita memimpin, mendukung tadbir urus yang baik dan memastikan sistem kewangan yang kita bangunkan terus dipercayai serta kekal berpaksikan keperluan masyarakat.

Bagi mengekalkan kepercayaan sebagai tunjang sektor kewangan dalam era AI, terdapat tiga keutamaan yang wajar diberikan perhatian. Izinkan saya menyampaikan tiga prinsip ini pada hari ini.

Keutamaan pertama: Inovasi berteraskan tujuan

Pertama, inovasi perlu dipacu dengan tujuan yang jelas. Perkara ini menjadi semakin penting apabila AI semakin diterapkan dalam perkhidmatan kewangan. Pada masa ini, lebih 70 peratus penyedia perkhidmatan kewangan di Malaysia telah menggunakan sekurang-kurangnya satu aplikasi AI. Maklum balas industri terhadap Discussion Paper on Artificial Intelligence in the Malaysian Financial Sector yang dikeluarkan oleh BNM turut menunjukkan bahawa kadar penggunaan AI terus pantas meningkat, khususnya dalam bidang yang menawarkan peningkatan kecekapan, penambahan produktiviti dan pengurusan risiko yang lebih baik.

Setakat ini, kebanyakan institusi kewangan memberikan tumpuan kepada aplikasi yang menjana nilai dalaman organisasi. Namun, peluang sebenar di hadapan kita adalah untuk melangkaui perspektif yang berpusatkan institusi semata-mata. Sempadan baharu inovasi ialah penggunaan AI untuk menangani cabaran yang tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana institusi secara bersendirian.

Cabaran seperti penipuan kewangan, scam dan ancaman siber memerlukan tindakan kolektif. Di Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia  (PDRM), institusi kewangan, PayNet dan para rakan kerjasama lain telah bekerjasama untuk memperkukuh perlindungan, berkongsi risikan serta melindungi kepentingan pelanggan. Kepercayaan tidak dibina oleh satu institusi sahaja, sebaliknya terbentuk melalui keseluruhan ekosistem yang bergerak dalam satu arah dan dengan satu tujuan. Inilah yang dimaksudkan dengan inovasi yang berteraskan tujuan yang jelas. Institusi perlu bersaing mengikut tuntutan pasaran dan bekerjasama demi keperluan kepentingan orang ramai.

Keutamaan Kedua: Innovasi yang bertanggungjawab dan sedar risiko

Kedua, kemajuan perlu dicapai secara bertanggungjawab dan sentiasa berpaksikan kepercayaan. Kita sering membincangkan isu kepercayaan terhadap AI sebagai cabaran teknikal yang berkait rapat dengan ketepatan model, kualiti data atau keandalan sistem. Namun hakikatnya, isu ini merupakan cabaran tadbir urus.

Seiring dengan peningkatan keupayaannya, sistem AI juga menjadi semakin kompleks. Dalam banyak keadaan, model AI yang menawarkan keupayaan analitik yang paling tinggi sering kali merupakan antara model yang paling sukar untuk dijelaskan, disahkan atau dicabar. Situasi ini menimbulkan beberapa persoalan penting kepada setiap institusi yang hadir pada hari ini.

  • Pertama, bagaimanakah kita dapat mengekalkan akauntabiliti apabila sesuatu keputusan semakin sukar dijelaskan?
  • Kedua, bagaimanakah kita memastikan keadilan apabila model AI terus belajar dan berkembang?
  • Ketiga, bagaimanakah kita mentadbir urus teknologi yang kemajuannya bergerak lebih pantas daripada rangka kerja kawalan tradisional yang kita miliki?

Semua persoalan ini bukan sekadar persoalan teknologi, malah juga soal kepimpinan.

Apabila AI semakin diterapkan secara meluas dalam perkhidmatan kewangan, peranan pertimbangan profesional menjadi lebih penting berbanding sebelum ini. Mesin mungkin mampu menjana pandangan dan menyokong proses membuat keputusan. Namun, akauntabiliti perlu kekal dipikul oleh pihak yang diberikan amanah untuk mentadbir dan memimpin. Tanggungjawab tidak boleh diserahkan kepada algoritma.

Bagi lembaga pengarah dan pengurusan kanan, hakikat ini memberikan implikasi yang besar. AI tidak wajar dianggap sebagai projek teknologi yang berkeutamaan rendah dalam organisasi. Sebaliknya, AI perlu menjadi agenda penting dalam mesyuarat lembaga pengarah kerana kaitannya yang rapat dengan peruntukan modal dan tadbir urus serta berteraskan hasil perniagaan yang jelas, nilai yang boleh diukur dan kesanggupan mengambil risiko yang ditetapkan. Tanggungjawab kepimpinan adalah untuk memastikan inovasi memperkukuh, dan bukannya menghakis, kepercayaan.

Kepada rakan-rakan sejawat dalam bidang pengurusan risiko, pematuhan dan audit dalaman, peranan anda kini lebih penting berbanding sebelumnya. Apabila sistem menjadi semakin kompleks dan berautonomi, proses memberikan jaminan juga menjadi semakin mencabar, iaitu untuk menjadikannya bermakna dan adil. Kita tidak lagi boleh berpuas hati dengan mengesahkan kewujudan kawalan semata-mata. Persoalan yang lebih utama adalah sama ada institusi mampu menjelaskan tentang hasil, mencabar keputusan yang dibuat serta mengekalkan akauntabiliti dalam sistem yang semakin sukar untuk difahami.

Keutamaan ketiga: Inovasi yang membawa kemajuan untuk semua

Akhir sekali, inovasi perlu diterjemahkan kepada kemajuan untuk semua pihak. Usaha ini bermula dengan pelaburan dalam pembangunan insan. Masa depan AI tidak akan ditentukan oleh teknologi semata-mata, tetapi oleh tenaga mahir yang mengendalikannya. Apa yang diperlukan bukan sekadar kemahiran teknikal, justeru keupayaan tadbir urus, pertimbangan yang kritis serta kebolehan untuk berfungsi secara berkesan dalam persekitaran yang menggabungkan interaksi antara manusia dengan mesin. Tanpa semua keupayaan ini, teknologi yang tercanggih sekalipun akan sukar memperoleh kepercayaan.

Pada masa yang sama, AI turut membentuk semula sifat pekerjaan. Peranan sedang berkembang, aliran kerja sedang direka semula dan komposisi pekerjaan juga sedang berubah. Oleh itu, penyediaan tenaga kerja untuk menghadapi peralihan ini bukan lagi pilihan, sebaliknya suatu keperluan strategik. Institusi perlu terus melabur dalam usaha peningkatan kemahiran dan latihan semula, di samping menyediakan sokongan kepada tenaga kerja sepanjang proses peralihan tersebut agar tiada kelompok yang tercicir.

AICB mempunyai peranan yang penting dalam membangunkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi perubahan masa hadapan. Melalui Future Skills Framework, AICB membantu para profesional membangunkan literasi AI, pertimbangan beretika dan keupayaan tadbir urus yang semakin diperlukan oleh industri. Kami menyokong sepenuhnya usaha ini dan mengalu-alukan penambahbaikan berterusan bagi memastikan usaha ini kekal relevan untuk keperluan masa hadapan.

Pendekatan BNM

Pendekatan BNM adalah jelas: menggalakkan inovasi, memelihara kepercayaan dan memastikan kemajuan yang membawa manfaat kepada masyarakat. Kami tidak akan mengekang inovasi pada peringkat yang terlalu awal. Pada masa yang sama, kami juga tidak akan membiarkan inovasi berkembang tanpa kawal selia yang sewajarnya. Pendirian BNM berteraskan prinsip keseimbangan (proportionality), kesetaraan (parity) dan keberkecualian (neutrality) teknologi, bagi memastikan inovasi dapat berkembang secara bertanggungjawab dan dengan penuh keyakinan.

Dari segi pelaksanaan, pendekatan ini bermakna kami akan terus berinteraksi dan berbincang secara proaktif dengan industri, menyatakan kehendak kawal selia yang lebih jelas, menyokong uji kaji yang bertanggungjawab serta melabur dalam infrastruktur bersama yang membolehkan inovasi dilaksanakan pada skala yang lebih luas.

Selain AI, beberapa perkembangan lain juga akan membentuk masa depan sektor kewangan. Rangka kerja Kewangan Terbuka (Open Finance) BNM akan mewujudkan asas bagi perkongsian data yang selamat dan berasaskan persetujuan pengguna, disertai infrastruktur sokongan yang sedang dibangunkan bersama PayNet dan pihak industri dan pelaksanaan secara berperingkat mulai tahun 2027. Pada masa yang sama, pelan hala tuju tokenisasi aset BNM sedang berkembang menuju fasa projek rintis menerusi Hab Inovasi Aset Digital.

Walau bagaimanapun, kita jelas bahawa semua inisiatif ini hanyalah alat dan bukan destinasi akhir. Nilai sebenar semua inisiatif ini terletak pada keupayaannya untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi dan memperdalam kepercayaan terhadap sistem kewangan.

Menuju masa hadapan, kami sedang merangka rancangan pembangunan sektor kewangan yang seterusnya menerusi Pelan Sektor Kewangan 2027 hingga 2030, yang dibangunkan melalui kerjasama erat dengan industri, kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan. Langkah ini bagi memastikan pelan tersebut berpaksikan cabaran sebenar serta selaras dengan keperluan ekonomi yang terus berkembang.

Masa hadapan sektor kewangan tidak akan ditentukan semata-mata oleh tahap kepantasan dan kecanggihan teknologi yang kita miliki. Sebaliknya, masa hadapan ini akan ditentukan oleh sejauh mana teknologi tersebut mampu memperkukuh kepercayaan, memperluas peluang dan menghasilkan manfaat kepada masyarakat.

Inilah cabaran yang sedang kita hadapi. Inilah juga tanggungjawab yang perlu kita pikul bersama. Saya yakin, kita mampu berganding bahu untuk merealisasikan aspirasi ini.

 

Bank Negara Malaysia 
8 Julai 2026 


Bank Negara Malaysia
08 Julai 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?