Ucapan Perasmian oleh Gabenor pada Majlis Pelancaran Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan
Saya amat berbesar hati kerana dapat mengalualukan kedatangan anda ke majlis pelancaran Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan International Business and Financial Centre, Labuan IBFC). Dekad ini telah menyaksikan Pusat Kewangan Luar Pesisir Labuan membuktikan keupayaannya untuk membuat penyesuaian dan pembaharuan dalam persekitaran antarabangsa dan serantau yang pantas berubah. Dekad ini juga telah menyaksikan kekukuhan dan daya tahan Pusat Kewangan Luar Pesisir Labuan sebagaimana yang dibuktikan oleh keupayaannya untuk terus berkembang dan mencapai kemajuan meskipun dalam tempoh yang paling mencabar.
Namun, pasaran global dan serantau terus berubah dan membawa bersamasamanya peluang dan cabaran baharu. Bagi membolehkan kami mempunyai keupayaan untuk berubah demi meraih manfaat daripada peluang baharu tersebut dan untuk memenuhi permintaan dan cabaran yang baru muncul, penilaian semula secara berterusan adalah perlu untuk mencari semula hala tuju baharu, membina kekuatan dan kelebihan berbanding baharu selain mentakrifkan semula peranan kami dalam pasaran yang sentiasa berubah dan semakin kompetitif. Hari ini kami mendefinisikan sebuah permulaan baharu buat Pusat Kewangan Luar Pesisir Labuan untuk memainkan peranan yang lebih besar. Kehadiran anda hari ini untuk sama-sama memeriahkan majlis yang bermakna ini sesungguhnya amat dihargai.
Dalam menyediakan suatu rangkaian perkhidmatan kewangan yang komprehensif, Labuan menawarkan penyelesaian kewangan yang menyeluruh bagi kewangan konvensional dan kewangan Islam. Labuan juga menjadi tempat beroperasinya institusi kewangan terkemuka dari lebih 80 buah negara, termasuk institusi kewangan Islam dari pelbagai pelosok dunia. Pusat Kewangan Luar Pesisir Labuan telah menyaksikan pengembangan yang pesat dari segi jumlah peserta, kepelbagaian produk kewangan yang ditawarkan serta jumlah dan kepelbagaian aktiviti.
Labuan juga kini telah menjadi pusat perniagaan serantau yang berkembang pesat dan sedang mencipta nama sebagai pangkalan serantau bagi industri minyak dan gas serta entreport bagi segi tiga serantau Brunei-Sabah-Filipina. Kedudukan Labuan yang strategik dan pelabuhan dalamnya yang sangat baik merupakan kelebihan semula jadinya. Lapangan terbangnya yang moden, yang telah ditambah baik juga telah meningkatkan kegiatan pelancongan. Status Labuan sebagai zon bebas cukai dan juga pelabuhan bebasnya turut menyokong kesemua aktiviti tersebut. Pertumbuhan dalam aktiviti komersial dan ekonomi sebegini telah menambahkan potensi Labuan untuk berjaya sebagai pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa.
Sesungguhnya Labuan telah mendapat manfaat daripada kedudukannya di tengah-tengah rantau Asia Pasifik, iaitu salah sebuah rantau yang paling pantas pertumbuhannya di dunia. Rantau Asia juga merupakan antara yang paling terbuka di dunia dari segi perdagangan antarabangsa dan pelaburan. Fenomena yang lebih terkini ialah peningkatan perdagangan dan pelaburan intrarantau yang melahirkan integrasi ekonomi serantau yang lebih padu. Ini diperkukuh lagi oleh peningkatan aliran pelaburan dari Timur Tengah ke Asia. Pada tahun 2006, Asia Pasifik mengatasi Eropah sebagai rantau kedua terbesar bagi pelaburan daripada Gulf Cooperation Council (GCC) dengan pelaburan sebanyak USD460 bilion.
Meskipun terdapat kegawatan kewangan semasa dalam sistem kewangan antarabangsa, asas-asas yang kukuh di rantau ini, termasuk jumlah permintaan serantau, integrasi serantau yang lebih padu dan tarikan rantau ini yang lebih besar sebagai destinasi pelaburan, terus menyediakan peluang yang besar bagi Labuan sebagai pusat perniagaan dan kewangan.
Labuan berada pada kedudukan yang amat baik untuk merebut peluang-peluang perniagaan ini. Kunci kejayaan sesebuah pusat perniagaan dan kewangan ialah daya saing, kemudahan dan kecekapan kos menjalankan perniagaan serta hubungan dan juga keyakinan terhadap pusat tersebut. Kerajaan Malaysia memberi komitmen yang tinggi bagi memastikan Labuan memiliki kesemua elemen ini. Pelaburan yang besar telah dibuat untuk menyediakan infrastruktur fizikal dan kemudahan di Labuan termasuk penyediaan rangkaian komunikasi moden serta kemudahan perniagaan dan pendidikan untuk menyokong peranan yang diberikan kepada Labuan sebagai pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa. Baru-baru ini, lapangan terbang antarabangsa Labuan telah dinaikkan taraf dan dasar langit terbuka juga telah diterima pakai untuk meningkatkan akses ke pulau ini. Kemudahan pelabuhan laut dalamnya juga telah ditambah baik.
Namun, peningkatan akses bukan hanya bagi akses fizikal tetapi juga akses yang mudah kepada pasaran kewangan lain. Ini memerlukan infrastruktur yang membolehkan pengendalian yang cekap bagi transaksi kewangan antarabangsa. Pengantara kewangan perlu berupaya untuk mendapat akses yang mudah bagi mengambil bahagian dalam pasaran kewangan lain. Untuk membantu pencapaian matlamat ini dan juga menggalakkan kos yang kompetitif di Labuan, Labuan turut disokong oleh rejim pengawalseliaan seimbang yang mengawal selia pasaran secara berkesan sambil pada masa yang sama, membantu pembangunan pasaran. Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan atau LOFSA (Labuan Offshore Financial Services Authority) yang ditubuhkan sepuluh tahun yang lalu bukan sahaja untuk melaksanakan sebuah rejim pengawalseliaan dan pengawasan yang berkesan, tetapi juga untuk menumpukan pada pembangunan dan pemudahan pasaran. Untuk memastikan persekitaran perniagaan kondusif yang berterusan, Labuan juga disokong oleh sebuah rangka kerja perundangan yang mantap, termasuk undang-undang amanah. Meskipun Labuan telah melaksanakan rejim percukaian yang mesra perniagaan, ia tidak pernah dianggap sebagai pusat kewangan rendah cukai. Sebaliknya, Labuan telah memanfaatkan kekuatan dan kelebihannya yang unik untuk memenuhi keperluan pasaran.
Melangkah ke hadapan, beberapa program akan dimulakan. Labuan IBFC berazam untuk mencapai status sebagai "standard emas untuk operasi syarikat induk". Ini dikenal pasti sebagai satu lagi pemacu perniagaan bagi Labuan IBFC. Rangkaian perjanjian cukai Malaysia yang meluas dengan lebih 63 buah negara di samping pengenalan rangka kerja percukaian yang lebih fleksibel menyokong inisiatif ini. Selain itu, Bajet 2008 juga mengumumkan bahawa syarikat luar pesisir yang berdaftar di Labuan kini boleh memilih untuk dikenakan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 ataupun Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Luar Pesisir Labuan 1990 lantas membolehkan syarikat perniagaan mengendalikan urus niaga mereka dengan lebih cekap. Daya saing Labuan IBFC akan terus ditingkatkan menerusi semakan terhadap struktur penentuan harga berkaitan dengan bayaran penubuhan dan penyelenggaraan. Kajian tahunan akan dijalankan dan harga akan disemak sejajar dengan perkembangan pasaran yang kompetitif.
Labuan IBFC juga akan memanfaatkan strategi kebangsaan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre, MIFC) dengan mempromosikan amanah dan yayasan yang berlandaskan Syariah. Kesemua produk ini akan melengkapkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang sedia ada di Kuala Lumpur. Usaha juga akan diambil untuk terus membangunkan perniagaan insurans kaptif di Labuan susulan prestasi perniagaan ini yang menggalakkan sejak beberapa tahun yang lalu.
Penubuhan Labuan sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa pada tahun 1990 sesungguhnya merupakan langkah yang wajar pada masa itu. Kami kini sedang menikmati ganjaran daripada inisiatif ini. Dengan transformasi Labuan sebagai Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa, ia akan membawa aspirasi kami melangkah lebih jauh. Identiti baharu ini menandakan bahawa Labuan sudah bersedia untuk memikul peranan yang lebih besar dan meluas. Identiti baharu ini juga melambangkan sebuah komitmen, iaitu komitmen untuk masa hadapan. Untuk membuktikan komitmen ini, Kerajaan dan pengawal selia telah mewujudkan persekitaran yang memudahkan dan menyokong penyediaan persekitaran yang lebih baik dari segi hubungan, dan lebih cekap dari segi kos. Inisiatif yang berterusan juga akan diambil untuk mengatasi sebarang halangan terhadap pewujudan sistem penyampaian yang lebih cekap dan untuk memajukan lagi Labuan IBFC.
Namun, tanggungjawab untuk memastikan aspirasi Labuan IBFC dapat dijadikan kenyataan merupakan tanggungjawab bersama. Masa depan adalah untuk syarikat yang berdaya saing dan cekap dari segi kos. Masa depan juga adalah untuk syarikat yang kreatif dan inovatif dan yang boleh menawarkan cadangan nilai yang tinggi kepada pelanggan mereka. Justeru, usaha untuk mencapai aspirasi ini memerlukan penglibatan industri, golongan profesional dan peserta pasaran. Melalui usaha bersepadu ini, kami yakin bahawa Labuan IBFC bakal menggarap sebuah lagi kisah kejayaan, insya-Allah.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.