Ucapan Perasmian oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid di ASEAN Chartered Economic Summit (ACES) 2026
Kuala Lumpur | 7 Mac 2026
‘Peranan dan Jangkaan terhadap Sektor Kewangan dalam Memenuhi Aspirasi Negara’
Saya berbesar hati untuk hadir pada hari ini bagi merasmikan ASEAN Chartered Economic Summit (ACES) Economic Dialogue 2030. Tema sidang kemuncak yang julung kali diadakan ini, iaitu “Malaysia’s Economy towards 2030: Strategic Priorities in a Changing Global Landscape” adalah tepat pada masanya dan relevan. Ekonomi Malaysia kini berada dalam fasa yang sangat penting. Keputusan dasar yang diambil pada hari ini bukan sahaja akan menentukan kadar pertumbuhan ekonomi negara, malah kualiti serta kemampanan pertumbuhan tersebut pada tahun-tahun yang akan datang.
Pada tahun 2025, Malaysia mencatatkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan. Meskipun keadaan ekonomi global terus tidak menentu, pertumbuhan KDNK Malaysia telah mengatasi jangkaan[1] dan berkembang sebanyak 5.2%. Prestasi ini disokong oleh pengembangan yang meluas merentas kebanyakan sektor, khususnya perkhidmatan, perkilangan dan pembinaan. Inflasi keseluruhan juga kekal rendah dan stabil dengan berpurata pada 1.4%, manakala kadar pertukaran ringgit turut menambah nilai berbanding dolar AS dan mata wang rakan-rakan dagangan utama Malaysia. Momentum ini berterusan ke tahun 2026, dengan pengukuhan nilai ringgit sebanyak 2.93% berbanding dolar AS sejak awal tahun hingga 5 Mac 2026. Kesemua perkembangan ini mencerminkan daya tahan asas ekonomi Malaysia. Daya tahan ini sememangnya penting kerana membolehkan kita mendepani ketidaktentuan berhubung dengan perkembangan global, termasuk konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah, serta risiko terhadap pertumbuhan, daripada kedudukan yang kukuh. Sebagai perumus dasar, kami menyedari bahawa usaha memperkukuh daya tahan ini perlu dilakukan secara berterusan. Walaupun kami kekal optimistik tentang prospek pertumbuhan dan pelaburan Malaysia pada tahun ini, kekukuhan ekonomi sesebuah negara tidak bergantung semata-mata pada kepantasan pertumbuhan. Kemakmuran ekonomi yang mampan bergantung pada nilai kandungan hasil yang dikeluarkan, produktiviti yang dijana serta daya tahan yang dibina.
Seiring dengan langkah Malaysia ke fasa kematangan ekonomi yang seterusnya, dasar ekonomi negara perlu mengambil kira realiti struktur yang akan membentuk hala tuju pertumbuhan pada masa hadapan. Dalam keadaan tertentu, faktor-faktor ini juga menimbulkan cabaran kepada potensi pertumbuhan negara yang akan datang. Antaranya ialah pengembangan tenaga kerja yang semakin perlahan berikutan penduduk yang semakin berusia. Populasi umur bekerja Malaysia telah mendatar pada sekitar 70% dan dijangka menyusut secara berperingkat, seiring dengan peningkatan beransur-ansur nisbah tanggungan warga emas daripada paras semasa iaitu sekitar 11%. Pada masa yang sama, kemajuan teknologi yang pesat terus mengubah rangkaian pengeluaran global. Penjajaran semula geopolitik pula mewujudkan implikasi yang semakin ketara terhadap struktur ekonomi global. Selain itu, tekanan perubahan iklim yang semakin meningkat lambat-laun akan mempengaruhi risiko dan peluang ekonomi pada masa hadapan. Maka langkah adaptasi yang lebih kukuh serta strategi pertumbuhan yang lebih berdaya tahan terhadap iklim menjadi semakin penting.
Menuju tahun 2030, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) akan menjadi pelan tindakan utama pembangunan negara. Rancangan ini menyediakan panduan utama tentang keutamaan penggunaan sumber dalam tempoh lima tahun akan datang. RMK13 berteraskan empat tonggak strategik, iaitu: (1) mempertingkatkan kecanggihan ekonomi, (2) memperkukuh mobiliti sosial, (3) mempercepat pelaksanaan pembaharuan sektor awam; dan (4) memperteguh kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
Izinkan saya memberikan penekanan kepada tonggak pertama, iaitu mempertingkatkan kecanggihan ekonomi. Tonggak ini amat penting untuk membolehkan Malaysia beralih dengan yakin ke arah kegiatan ekonomi berasaskan ekuiti, bernilai tinggi serta dipacu teknologi dan inovasi. Pengalaman negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan China menunjukkan bahawa prestasi pertumbuhan dan kemakmuran jangka panjang bukan sahaja bergantung pada penyertaan dalam rantaian nilai global, tetapi juga pada keupayaan membina teknologi tempatan serta memperkukuh pemilikan aset produktif utama. Inilah teras kepada aspirasi “Made by Malaysia” yang diketengahkan oleh Kerajaan. Asas kepada agenda ini ialah produktiviti. Peningkatan produktiviti yang bermakna memerlukan modal disalurkan kepada aset produktif, pembinaan keupayaan, penerapan teknologi, penyelidikan dan inovasi. Selain itu, agenda ini juga memerlukan pemerkasaan pemilikan modal oleh syarikat Malaysia sepanjang rantaian nilai. Langkah ini akan membantu memperkukuh pengekalan pendapatan, menambah baik imbangan pembayaran negara, membina semula penampan luaran dan penampan kewangan serta meningkatkan daya tahan terhadap kejutan luaran. Dalam persekitaran yang turun naik dan tidak menentu pada masa kini, semua keperluan ini telah menjadi keutamaan ekonomi bagi negara.
Secara keseluruhan, RMK13 dianggarkan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM611 bilion. Di sinilah sektor kewangan berperanan sebagai pemangkin utama yang membentuk hasil ekonomi dengan aliran modal memacu kegiatan ekonomi. Walaupun pembiayaan awam kekal penting, kita memahami realiti bahawa sumber fiskal adalah terhad. Sehubungan dengan itu, pembiayaan sektor swasta menjadi mustahak bagi memastikan pelaburan utama dapat dilaksanakan untuk menjana kesan jangka panjang yang dihasratkan kepada ekonomi negara. Seiring dengan RMK13 yang menjadi asas wawasan hala tuju ekonomi yang diperbaharui, pembiayaan sektor swasta juga perlu dinilai semula dan diperkukuh kedudukannya. Dalam hal ini, sistem perbankan sebagai pengantara kewangan utama akan memainkan peranan yang sangat penting.
Seperti yang pernah dinyatakan oleh ahli ekonomi terkemuka dan pemenang Hadiah Nobel, Joseph E. Stiglitz, “Sistem kewangan yang berfungsi dengan baik berupaya menyalurkan modal kepada pihak yang paling produktif serta memastikan modal tersebut digunakan dalam aktiviti yang memberikan pulangan tinggi.”[2] Walaupun kata-kata ini mencerminkan keberkesanan pasaran dalam pengagihan sumber, kita juga perlu menyedari bahawa cara modal digerakkan dan diperuntukkan akan menentukan sama ada transformasi struktur ekonomi dapat dipercepat atau sebaliknya. Sehubungan dengan itu, BNM komited memastikan sektor kewangan sentiasa bersedia untuk menyokong keperluan ekonomi dalam negeri yang semakin berkembang dan kompleks. Antara bidang utama yang perlu diberi perhatian termasuk pengukuhan mekanisme perkongsian risiko, mempertingkatkan keupayaan institusi dalam menilai peluang serta risiko strategik jangka panjang dan meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan.
Sebagai langkah permulaan, BNM sedang melaksanakan satu kajian menyeluruh bagi lebih memahami serta menilai semula cara perniagaan di Malaysia dibiayai. Matlamat kajian ini adalah untuk membantu penjajaran semula amalan pembiayaan dan perkhidmatan kewangan, bagi memperkukuh keupayaan perniagaan untuk bersaing dan berinovasi. Secara tradisinya, perbincangan dasar lebih tertumpu pada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan berskala kecil yang dilihat memerlukan sokongan bagi memastikan keperluan pembiayaan mereka dapat dipenuhi. Sementara itu, perniagaan berskala besar lazimnya dianggap telah mempunyai saluran pembiayaan yang mencukupi. Tanggapan ini secara amnya masih relevan. Namun begitu, kebelakangan ini kita dapat memerhatikan ekonomi Malaysia beralih kepada kegiatan yang lebih kompleks dan bernilai tinggi, lantas keperluan pembiayaan perniagaan juga turut berubah. Saiz pinjaman semakin meningkat. Tempoh pelaburan semakin panjang. Perniagaan beroperasi dalam persekitaran yang semakin bersepadu pada peringkat global, sekali gus memerlukan terma pembiayaan yang lebih fleksibel. Tanpa akses pembiayaan yang mencukupi di dalam negara, perniagaan tempatan akan mendapatkan sokongan pembiayaan dari luar negara. Situasi ini memerlukan sistem perbankan domestik berusaha lebih gigih untuk mengekalkan keupayaan daya saing. Dalam tempoh sedekad yang lalu iaitu antara tahun 2014 hingga 2025, bahagian pembiayaan bank[3]kepada PKS kekal stabil sekitar 18%. Namun, bahagian pembiayaan kepada perniagaan berskala besar menunjukkan penurunan daripada 22% kepada 18%. Yang ketara, penurunan ini tidak semestinya diimbangi oleh peningkatan penggunaan pasaran modal domestik.
Bagi memastikan landskap pembiayaan yang benar-benar berpandangan ke hadapan dan inklusif, anjakan dalam amalan pembiayaan diperlukan. Namun begitu, model perbankan sedia ada perlu berkembang melangkaui pendekatan berasaskan cagaran semata-mata. Penilaian kelayakan pembiayaan perlu mengambil kira aspek yang lebih menyeluruh, termasuk model perniagaan, prospek aliran tunai serta keupayaan inovasi. Kita perlu bertindak sekarang sebelum peluang yang terlepas meninggalkan kesan yang berpanjangan.
Semalam, BNM telah melancarkan Financing Sectoral Engagement (FSE) Forum bagi merapatkan jurang pengetahuan antara institusi perbankan dengan syarikat korporat dalam sektor keutamaan melalui pengukuhan pengetahuan industri serta memperluas kefahaman bersama mengenai keperluan dan peluang pembiayaan yang khusus mengikut sektor. Forum ini juga menjadi platform untuk bank-bank bekerjasama dalam meneroka penyelesaian praktikal bagi menangani cabaran pembiayaan yang dihadapi oleh perniagaan. Yang penting, pemahaman yang diperoleh daripada semua libat urus ini akan menyokong fasa seterusnya strategi pembangunan sektor perbankan oleh BNM bagi memastikan sektor kewangan terus berperanan sebagai pemangkin dalam memajukan kompleksiti ekonomi.
Sebagai pelengkap kepada semua usaha ini, kewangan Islam kini merupakan salah satu tonggak penting sistem kewangan negara dengan merangkumi 48% daripada sistem perbankan dan 64% daripada pasaran modal. Dalam konteks ini, kewangan Islam berada pada kedudukan yang kukuh untuk menyokong peralihan negara ke arah ekonomi berasaskan penciptaan nilai di bawah RMK13. Model perbankan universal bagi kewangan Islam di Malaysia melangkaui pengantaraan kredit tradisional dengan merangkumi pembiayaan berasaskan pelaburan serta penggemblengan modal dermawan melalui instrumen seperti wakaf, zakat dan sedekah. Semua ciri ini memperluas saluran penggemblengan modal bagi menyokong keutamaan negara. Selain itu, struktur pembiayaan berdasarkan perkongsian risiko serta berasaskan ekuiti seperti Musharakah dan Mudarabah adalah sejajar dengan keperluan sektor bernilai tinggi dan intensif teknologi. Sektor-sektor ini lazimnya memerlukan tempoh masa yang lebih panjang untuk menjana pulangan, lantas memerlukan model pembiayaan yang lebih fleksibel dan berteraskan perkongsian. Industri sukuk Malaysia yang matang juga berada pada kedudukan yang baik untuk menggembleng modal jangka panjang bagi projek infrastruktur berskala besar yang menggerakkan pertumbuhan ekonomi. Infrastruktur ini termasuk rangkaian rel yang meningkatkan mobiliti sumber, loji jana kuasa yang menyokong pengembangan industri, serta infrastruktur penerbangan yang menyokong sektor pelancongan dan logistik.
Akhir sekali, dalam usaha memperkukuh peralihan ekonomi ke arah kegiatan yang bernilai tinggi dan lebih kompleks, usaha merapatkan jurang perlindungan adalah penting. Tanpa perlindungan yang mencukupi, individu dan perniagaan berdepan risiko mudah terjejas yang boleh mengekang pelaburan, inovasi serta pertumbuhan jangka panjang. Dalam konteks menangani jurang perlindungan secara keseluruhan, risiko khusus seperti insurans Marin, Penerbangan dan Transit (Marine, Aviation and Transit, MAT) serta Perlindungan dan Pampasan (Protection and Indemnity, P&I) memainkan peranan yang penting dalam menyokong sektor boleh dagang, termasuk logistik dan operasi luar pesisir lain. Bagi memudahkan penyelesaian yang lebih terselaras, BNM bersama industri insurans dan takaful telah menubuhkan Protection Gaps Joint Taskforce sebagai platform kerjasama untuk tindakan kolektif. Memperkukuh keupayaan peserta insurans dan takaful domestik untuk menyediakan perlindungan yang diperlukan kepada sektor yang berfokuskan teknikal ini akan membantu memastikan aspirasi ekonomi Malaysia disokong oleh penyelesaian pemindahan risiko yang kukuh dan selaras dengan piawaian antarabangsa.
BNM sedang merangka Pelan Sektor Kewangan (PSK) yang seterusnya bagi tahun 2027. Perkara-perkara yang telah saya sentuh hari ini memberikan gambaran awal berhubung dengan beberapa strategi yang sedang kami pertimbangkan dengan teliti. Dalam merangka pelan ini, aspirasi kami adalah untuk membina sistem kewangan yang bersedia menghadapi masa hadapan serta benar-benar selaras dengan keperluan ekonomi Malaysia yang semakin dinamik, kompleks dan dipenuhi peluang. Seiring dengan kemajuan ekonomi negara, sektor kewangan juga perlu berkembang. Bukan sekadar untuk membiayai pertumbuhan, malah juga untuk transformasi. Tanggungjawab kami bukan untuk mengabaikan pendekatan berhemat, tetapi untuk memperhalus kehematan tersebut. Bukan untuk menjejaskan kestabilan, tetapi untuk memperkukuhkannya melalui penyesuaian terhadap perubahan. Sehubungan dengan itu, hasrat saya agar pandangan serta perkongsian pada hari ini dapat menjadi input yang bermakna kepada penyediaan nota dasar ACES 2030 bagi membuka laluan baharu yang membolehkan sektor kewangan terus memangkin agenda pembangunan negara. Seperti yang pernah diungkapkan oleh John Maynard Keynes, “Cabaran sebenar bukan terletak pada idea baharu, tetapi pada usaha untuk beralih daripada cara lama.” Inilah cabaran yang kita hadapi bersama. Kami mengalu-alukan cadangan dan pandangan daripada semua pihak. Dengan itu, saya dengan besar hati merasmikan ACES Economic Dialogue 2030.
Bank Negara Malaysia
7 Mac 2026
[1] Julat unjuran KDNK bagi tahun 2025 pada mulanya adalah antara 4% hingga 4.8%.
[2] “The Role of the Financial System in Development”, Ucapan di 4th Annual Bank Conference on Development in Latin America and the Caribbean, 29 Jun 1998
[3] Bahagian pembiayaan bank kepada isi rumah telah meningkat daripada 61% kepada 63% dalam tempoh yang sama.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.