Ucapan Tahniah Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di Pelancaran Fasa 2 Jalinan Pembayaran QR Rentas Sempadan antara Malaysia dengan Kemboja

Kuala Lumpur Convention Centre | 8 April 2025

Saya berbesar hati mengalu-alukan kehadiran anda semua dalam sambutan pelancaran fasa kedua jalinan pembayaran rentas sempadan QR antara Malaysia dengan Kemboja.

Hanya kira-kira setahun yang lalu, Gabenor Chea dan saya menandatangani MOU berhubung dengan kerjasama dalam sistem pembayaran dan inovasi. MOU ini menyediakan asas untuk pembayaran rentas sempadan yang lebih cekap serta memberikan manfaat kepada kedua-dua negara, selaras dengan visi bersama kita untuk integrasi ekonomi dan kewangan serantau yang lebih besar. Sejak itu, kita telah mencapai banyak kemajuan.

Selepas fasa pertama yang bermula pada September lalu di Phnom Penh, kita telah menyaksikan peningkatan yang menggalakkan dalam bilangan pelancong Kemboja ke Malaysia yang menggunakan DuitNow QR untuk pembelian. Perkhidmatan ini telah diterima dengan baik, dan saya yakin akan terus berkembang.

Berdasarkan momentum ini, saya gembira bahawa fasa kedua jalinan kini telah dilancarkan. Rakyat Malaysia yang melancong ke Kemboja kini dapat melakukan transaksi dengan peniaga Kemboja secara mudah dengan mengimbas mana-mana daripada 4.5 juta titik hubungan (touchpoints) KHQR menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Tahap pencapaian kita dalam tempoh satu tahun yang singkat ini sememangnya menggalakkan. Pencapaian hari ini merupakan bukti usaha kolaboratif pelbagai pihak untuk menggerakkan operasi jalinan ini.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada mereka yang terlibat dalam inisiatif ini. Ucapan terima kasih khas saya tujukan kepada (i) Gabenor Chea dan pasukan beliau yang penuh dedikasi di National Bank of Cambodia, iaitu pengendali Bakong; (ii) Dato’ Izzaddin dan PayNet, iaitu pengendali sistem pembayaran segera Malaysia; (iii) Datuk Khairussaleh dan pasukan beliau di Maybank, bank penaja yang telah memainkan peranan penting dalam menghubungkan dua sistem ini; dan (iv) pasukan saya di Bank Negara Malaysia.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada National Bank of Cambodia kerana menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama dalam Rangkaian Pembayaran Serantau seperti yang diumumkan oleh Gabenor Chea dalam ucapan beliau sebelum ini. Penyertaan Kemboja melambangkan satu lagi langkah positif ke hadapan dalam perjalanan kolektif ASEAN ke arah integrasi ekonomi dan kewangan serantau yang lebih erat.

Usaha kolektif rangkaian pembayaran kita dijangka akan meningkatkan ekonomi setiap negara dan ASEAN secara keseluruhan. Dengan memudahkan pembayaran yang lancar, kita menyediakan pemangkin utama untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan serantau serta menawarkan penyelesaian pembayaran digital yang dikenali dan selamat kepada pelancong. Yang penting, jalinan ini akan memupuk rangkuman kewangan yang lebih besar, iaitu memperkasakan lebih 7 juta peniaga di Kemboja dan Malaysia untuk mengakses kumpulan pelanggan yang lebih luas. Memandangkan kebanyakan peniaga ini merupakan PKS mikro dan kecil, kita juga meningkatkan penyertaan ekonomi dalam kalangan mereka yang menjadi tulang belakang ekonomi kita.

Malah, kita sudah melihat hasil usaha ini daripada 21 jalinan pembayaran yang telah pun sedia beroperasi di rantau ini. Pada tahun 2024, sebanyak 5.2 juta transaksi pembayaran QR rentas sempadan dicatatkan, iaitu peningkatan empat kali berbanding tahun sebelumnya. Hal ini menyerlahkan nilai yang diberikan oleh perkhidmatan ini kepada pengguna dan peniaga.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia akan terus memacu agenda rangkaian pembayaran untuk memperluas impaknya di seluruh rantau ini. Keutamaan Malaysia pada tahun 2025 adalah untuk menambah bilangan jalinan pembayaran yang melibatkan negara anggota ASEAN serta menggalakkan penggunaan perkhidmatan ini secara lebih meluas dalam kalangan pengguna.

Sambil kami memperluas jalinan ini, tumpuan yang sama juga akan diberikan kepada pengurusan risiko yang timbul daripada rangkaian pembayaran. Langkah ini bertujuan untuk mengekalkan keyakinan terhadap landskap pembayaran yang selamat dan berkembang maju untuk ASEAN. Bagi memastikan operasi jalinan pembayaran yang selamat dan terjamin, kami akan menggiatkan usaha pengaturan pengawasan menerusi kerjasama antara negara. Tindakan ini akan membantu mengurangkan risiko, termasuk ancaman keselamatan siber, fraud dan penipuan, pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Kejayaan ASEAN melaksanakan jalinan pembayaran bergantung pada kerjasama yang teguh daripada semua pihak, bukan sahaja dalam kalangan bank pusat tetapi juga antara sektor awam dengan swasta. Untuk tujuan ini, kami berharap agar kerjasama dengan National Bank of Cambodia berhubung dengan inisiatif rangkaian pembayaran dapat diteruskan, termasuk dalam pengawasan kerjasama serta dalam bidang pembayaran rentas sempadan lain seperti mata wang digital bank pusat (central bank digital currency, CBDC).

Daripada pihak industri, kami juga melihat potensi besar berhubung dengan sokongan dan kerjasama berterusan dengan peserta pasaran, terutama dalam memaksimumkan kesan rangkaian jalinan ini dan menggalakkan kesedaran yang lebih besar mengenai perkhidmatan ini.

Sehubungan dengan hal ini, saya menggalakkan industri untuk meneliti pelbagai inisiatif pembayaran rentas sempadan yang sedang dibangunkan oleh BIS Innovation Hub dan menawarkan diri untuk menyertai projek-projek tersebut. Satu inisiatif yang ketara ialah Projek Nexus, yang bertujuan untuk membangunkan infrastruktur rangkaian pembayaran pelbagai hala secara langsung. Projek ini telah selesai baru-baru ini, dengan entiti yang dikenali sebagai Nexus Global Payments (NGP) telah diperbadankan secara rasmi
kira-kira seminggu yang lalu. Langkah ini telah membawa visi Nexus semakin hampir untuk menjadi kenyataan. Kami mengundang semua hadirin untuk mempertimbangkan untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan yang penuh tarikan ini dalam usaha membentuk masa depan rangkaian pembayaran global.

Usaha ini tidak sepatutnya terhenti. Melangkaui pembayaran runcit, kita juga wajar berusaha ke arah menyediakan rangkaian pembayaran kita untuk masa hadapan dalam bidang borong untuk meraih peningkatan kecekapan bagi proses penyelesaian di sebalik tabir (back-end settlement). Salah satu bidang yang boleh dipertimbangkan ialah penggunaan penyelesaian inovatif yang dikuasakan oleh teknologi rantaian blok (blockchain) untuk tujuan ini.

Bersama dengan BIS dan rakan bank pusat lain, BNM terlibat secara aktif dalam projek yang sedang berlangsung termasuk Projek Mandala dan Projek Rialto yang bertujuan untuk mengautomasikan pematuhan dan proses pertukaran asing (foreign exchange, FX) menggunakan kontrak pintar. Secara berasingan, BNM juga meneroka potensi penggunaan CBDC menerusi Projek Mawar. Kami pastinya akan mendapat manfaat daripada kepakaran langsung industri dalam usaha pelaksanaan ini. Secara bersama, kita dapat membuka potensi penuh integrasi pembayaran, iaitu meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos, memperluas akses kepada perkhidmatan pembayaran dan akhirnya mempertingkatkan pengalaman pengguna.

Sebagai penutup, saya percaya bahawa pelancaran hari ini mewakili lebih daripada sekadar pengenalan satu lagi perkhidmatan pembayaran rentas sempadan yang baharu. Pelancaran ini merupakan bukti hasil yang dapat kita raih secara bersama apabila teknologi sejajar dengan keyakinan, apabila visi digabungkan dengan pelaksanaan, dan apabila negara berganding bahu dalam semangat kerjasama yang sebenar.

Dengan itu, terima kasih sekali lagi saya ucapkan atas dedikasi dan kerjasama anda dalam menjadikan usaha ini satu kenyataan dan saya sukacita untuk menyaksikan impak yang akan dihasilkan oleh usaha ini kepada rakyat dan rantau kita.


Bank Negara Malaysia
08 April 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?