Ucapan Timbalan Gabenor di Islamic Finance International Conference dan International Action Research Conference

Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur | 27 Oktober 2023

Assalamualaikum dan selamat pagi,

Saya berbesar hati untuk berada di sini pada hari ini. Persidangan ini menghimpunkan ahli akademik, penyelidik dan pengamal yang hebat merentas bidang ekonomi, kewangan dan perniagaan. Bukanlah kelaziman Bank Negara Malaysia untuk menerima undangan menghadiri majlis berprestij seperti ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas peluang untuk kami berkongsi perspektif pada hari ini. Majlis yang unik ini juga memberikan peluang yang baik untuk saya berkongsi tentang persoalan, cabaran dan isu yang penting bagi kita dan komuniti kewangan Islam secara keseluruhannya untuk membuat pertimbangan tentang cara kewangan Islam dapat terus maju.

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda, ‘Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling banyak memberikan manfaat kepada seisi umat manusia’. Tema persidangan hari ini, ‘Empowering Change, Elevating Impacts’, menandakan komitmen untuk melakukan perubahan dan memberikan manfaat tersebut. Sememangnya, perkara ini sejajar dengan evolusi kewangan Islam di Malaysia. Berpandukan objektif rangkuman kewangan untuk komuniti Islam pada awal penubuhannya, industri kewangan Islam telah berkembang luas dan bukan lagi sekadar memberikan perkhidmatan kepada komuniti umat Islam. Industri ini telahpun mencapai tahap keluasan, menyediakan pelbagai penyelesaian dan memenuhi keperluan kewangan yang kian berkembang. Kini, Malaysia diiktiraf sebagai salah satu pasaran kewangan Islam utama pada peringkat global. Pasaran modal Islam negara menguasai hampir 65% bahagian pasaran modal keseluruhan dan terus berkembang bersama-sama dengan perbankan Islam, yang kini menyumbang hampir 45% daripada pembiayaan keseluruhan dalam sistem perbankan. Industri takaful juga semakin kukuh dengan memegang hampir satu perempat (24%) bahagian pasaran bagi sumbangan bersih.

Visi kita adalah untuk meningkatkan sumbangan dan impak kewangan Islam melangkaui sempadan dan pasaran. Aset kewangan Islam global telah meningkat tiga kali sepanjang dekad yang lalu untuk mencapai USD4.0 trilion dan dijangka mencecah USD6 trilion menjelang tahun 2026[1]. Dalam rantau ini, Asia memiliki hampir satu perempat (23%) aset kewangan Islam dunia. Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar sebagai gerbang antarabangsa bagi kewangan Islam berikutan kekuatan ekosistem yang telah dibina sejak penubuhan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre, MIFC) pada tahun 2006. Dengan tumpuan terhadap inovasi kewangan Islam, disokong oleh ekosistem yang menyeluruh serta peserta pasaran kewangan yang pelbagai, Malaysia menyediakan tawaran nilai yang kukuh bagi pihak berkepentingan global untuk merintis dan melancarkan penyelesaian kewangan Islam baharu dengan menggunakan pasaran negara sebagai ‘medan ujian’ (test bed). Pendekatan yang lebih progresif dan dipacu industri di bawah Majlis Kepimpinan MIFC (MIFC Leadership Council, MLC) dijangka menggerakkan industri untuk meraih prospek global dengan lebih baik seiring dengan perkembangan ekonomi halal dan permintaan untuk pelaburan lestari yang semakin meningkat. Saya percaya anda akan mendengar lebih lanjut tentang peranan dan gerak kerja MLC sepanjang persidangan ini nanti.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Tahun ini menandakan empat dekad sejak penggubalan Akta Perbankan Islam dan bank Islam pertama yang ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1983. Ayat 15 Surah Al-Ahqaf ada menyebut bahawa umur 40 tahun mempunyai kepentingan istimewa dalam kehidupan individu. Ibnu Kathir, sejarawan dan cendekiawan Islam abad ke-14 menyatakan bahawa pada usia tersebut, akal, kefahaman dan kesabaran seseorang telah mencapai tahap kematangan tertentu. Oleh itu, industri kewangan Islam juga telah mencapai satu tahap kematangan selepas 40 tahun penubuhannya, iaitu tahap keupayaan yang wajar memacu perubahan penting dalam usaha menggerakkan industri untuk memberikan impak yang lebih bermakna kepada pihak berkepentingannya. Dari sudut pandang ini, saya ingin menggariskan dua keutamaan untuk kewangan Islam:

  • Pertama, untuk menyampaikan kewangan berasaskan nilai secara berkesan dan merungkai inovasi yang berimpak; dan
  • Kedua, untuk terus membina sistem kewangan dan ekonomi yang lebih menyeluruh dan selaras dengan nilai-nilai Syariah.

Kedua-dua keutamaan ini memerlukan pemikiran transformatif serta penerapan ekonomi dan kewangan Islam yang teliti dalam sistem ekonomi dan kewangan Islam moden.

Menyampaikan kewangan berasaskan nilai secara berkesan dan merungkai inovasi yang berimpak

Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 (Financial Sector Blueprint, FSBP) mengariskan agenda sektor kewangan Islam dalam menerajui usaha membangunkan penyelesaian inovatif dan memperhalusi amalan perniagaan ke arah daya tahan sosial, ekonomi dan alam sekitar yang lebih kukuh, disokong oleh ukuran nilai dan impak yang lebih teliti. Kami ingin membangunkan sistem kewangan Islam yang progresif, mampan dan inklusif yang melaksanakan tiga matlamat utama FSBP, 'kewangan untuk semua', 'kewangan untuk transformasi' dan 'kewangan untuk kelestarian’. Hal ini juga selaras dengan objektif 'Halalan Thoyibban' yang kini menjadi tema utama rangka kerja ekonomi Madani bagi kewangan Islam.

Satu jalan utama untuk hala tuju ini terletak pada gabungan yang kukuh antara kontrak Syariah dengan instrumen kewangan moden. Instrumen ini boleh disesuaikan untuk memenuhi keperluan kewangan unik dan pelbagai oleh segmen masyarakat yang berbeza. Institusi kewangan Islam juga mempunyai kapasiti untuk melibatkan diri dalam "kewangan campuran" melalui integrasi pelbagai bentuk modal, termasuk modal dermawan dan modal risiko. Dengan ini, mereka boleh mengembangkan peranan melangkaui peruntukan kredit konvensional dan pemindahan risiko. Kewangan campuran juga mampu menarik pelaburan sektor swasta ke dalam kegiatan ekonomi yang mungkin tidak berdaya maju dari segi kewangan jika dilakukan secara berasingan, dan ini menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam usaha pembangunan mampan. Sebagai contoh, program iTEKAD yang secara umumnya menggunakan kewangan campuran, telah memberikan manfaat kepada lebih 3,000 usahawan mikro dengan menyediakan akses yang lebih besar kepada kewangan dan kemahiran nilai tambah untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan dan daya tahan perniagaan mereka. Penggabungan mekanisme kewangan sosial Islam sebagai sebahagian daripada penyelesaian kewangan Islam telah menyokong segmen yang mudah terjejas keluar daripada perangkap kemiskinan dan pendapatan rendah. Langkah seterusnya adalah cara untuk memperluas usaha ini.

Kami juga akan terus mengukuhkan lagi peranan kewangan Islam sebagai pengantara yang berdaya maju dan berkesan. Perkara ini penting bagi pembangunan ekonomi negara. Penggunaan perkhidmatan kewangan digital yang lebih meluas akan menjadi pemangkin yang penting. Kami sedang melaksanakan usaha bagi membolehkan bank digital Islam pertama sedia untuk beroperasi pada awal tahun hadapan. Kami juga telah melaksanakan persediaan asas untuk membolehkan kemasukan pengendali takaful digital yang dapat menawarkan nilai terbaik yang boleh menyokong rangkuman kewangan, memperhebat persaingan pasaran dan meningkatkan kecekapan melalui penerapan model perniagaan dan operasi yang inovatif dalam memberikan perlindungan risiko yang bermakna kepada pengguna.

Pelbagai usaha juga dilaksana sebagai langkah-langkah yang akan memperdalam pasaran wang dan modal Islam Malaysia. Alhamdulillah atas kemajuan yang telah kita capai setakat ini, namun masih terdapat peluang untuk terus menambah baik usaha ini. Salah satu usaha utama dalam bidang ini adalah untuk merancakkan lagi pasaran wang Islam dan mengembangkan ketersediaan instrumen patuh Syariah yang boleh memudahkan pengurusan mudah tunai yang lebih berkesan. Pembangunan instrumen pelindung nilai patuh Syariah dan usaha industri mengenai jangkaan pelindung nilai merupakan antara contoh usaha yang dilakukan dalam bidang ini. Inisiatif-inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih meluas yang diterajui oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan Islam. Jawatankuasa ini bertujuan untuk meningkatkan lagi keberkesanan pasaran wang Islam di Malaysia yang juga akan meningkatkan nilai terbaik negara sebagai pasaran kewangan Islam.

Hadirin yang dihormati,

Membina sistem kewangan dan ekonomi yang lebih menyeluruh dan selaras dengan nilai-nilai Syariah

Keutamaan kedua menggalakkan kajian semula ekosistem kewangan bagi kewangan Islam. Sistem monetari sedia ada yang digunakan sebagai asas bagi perbankan moden, telah memudahkan pengembangan kredit dan peruntukan sumber yang memangkin kemajuan ekonomi selama beberapa dekad. Ini adalah sistem yang berfungsi sebagai asas bagi sistem kewangan Islam, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Berulang kali, kritikan terhadap sistem monetari semasa telah menentang had-had kewangan Islam dan menimbulkan ciri-ciri yang mungkin tidak selari dengan kebaikan ekonomi Islam dan Syariah. Namun, membangunkan sistem alternatif yang boleh dilaksanakan bukanlah sesuatu yang mudah.

Kepentingan kewangan Islam yang semakin meningkat di Malaysia telah mendorong kita untuk memikirkan beberapa soalan penting:

  1. Jika kita teruskan dengan trajektori semasa, bolehkah kewangan Islam mengatasi kewangan konvensional? Bagaimanakah cara sistem kewangan Islam yang dominan beroperasi? Pada masa ini, terdapat persaingan dalam kedua-dua sistem ini, lantas kadar keuntungan dipengaruhi oleh kadar faedah. Adakah keadaan ini akan bertukar sebaliknya jika perkara ini berlaku dan apakah implikasinya terhadap pasaran kewangan dan sektor tersebut?
  2. Bagaimanakah perkembangan ini akan membentuk mekanisme, instrumen dan keputusan dasar monetari pada masa hadapan? Ada yang berpendapat bahawa dasar kewangan Islam, jika ada, perlu menjadi dasar monetari kuantitatif, iaitu bank pusat mempengaruhi jumlah wang dalam edaran dan penciptaan wang serta membiarkan penentuan kadar keuntungan kepada pasaran. Pendapat ini mungkin sedikit ringkas kerana beberapa sebab. Pertama, kita mengetahui pengalaman terdahulu bank pusat dalam ekonomi maju dalam usaha menguruskan penawaran wang. Perkara ini tidak memuaskan. Mungkin keadaan telah berubah sekarang dan kita mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang amalan penawaran dan permintaan wang. Kedua, adakah kita mampu untuk mencapai matlamat kita dalam inflasi dan pertumbuhan? Kadar faedah adalah instrumen yang tumpul tetapi langsung dan berkesan tetapi penawaran wang dan penciptaan kredit tidak.
  3. Ketiga, melangkaui persoalan mengenai keberkesanan, apakah sebenarnya sistem kewangan, monetari dan ekonomi yang ideal?

Dalam kewangan Islam, tujuan sistem tersebut adalah jelas. Satu perkara yang merangkumi prinsip-prinsip asas Syariah yang menyokong dan memenuhi prinsip ekonomi yang adil, perkongsian dan peredaran kekayaan, pencegahan daripada keburukan dan galakan untuk memberi manfaat yang bermakna kepada pihak berkepentingan secara lebih meluas. Namun, adakah objektif ini sama dengan model ekonomi konvensional atau tradisional; iaitu untuk memaksimumkan keuntungan ekonomi dan seterusnya, kebajikan sosial? Jika ya, semuanya baik.

Walau bagaimanapun, ekonomi dan kewangan Islam perlu terus berlandaskan nilai-nilai dan panduan. Nilai seperti kesederhanaan, persaudaraan, ta’awun dan lain-lain membimbing perspektif dan tingkah laku kita. Panduan dalam objektif adalah dengan mencapai Maqasid Al-Shariah – pemeliharaan agama, nyawa, keluarga, akal dan harta. Ini jelas merangkumi lebih daripada objektif meluas mengenai keuntungan dan kesejahteraan dan perkara ini juga tidak menekankan keuntungan sebagai matlamat akhir. Oleh itu, jika sistem ekonomi dan kewangan Islam ingin mencapai ideal ini, adakah ia benar-benar dapat mencapainya dalam sistem ekonomi dan kewangan masa kini? Di sinilah penyertaan aktif cendekiawan dan pengamal dalam ruang ini dan seterusnya ke arah memperluas ilmu dan idea praktikal yang dapat memajukan ekonomi Islam amat digalakkan.

Satu aspek utama ilmu yang perlu dikupas dengan lebih mendalam ialah fungsi wang daripada perspektif Syariah dan ekonomi Islam dalam konteks kontemporari. Pada zaman Nabi SAW, wang wujud dalam bentuk emas dan perak, dinar dan dirham. Al-Ghazali pernah berkata: “Allah SWT menciptakan dinar dan untuk edaran dan menjadi piawaian yang adil dan saksama antara aset yang berbeza. Ini adalah cara untuk mengukur nilai semua aset lain; mereka mempunyai harga sendiri tetapi tidak diingini untuk mereka sendiri.” Menarik bahawa ada segelintir yang menyokong standard ini digunakan semula sebagai satu cara untuk kembali menggunakan sistem monetari Islam. Dinar dan dirham juga telah wujud dalam tamadun Islam dahulu seperti empayar Byzantine dan Parsi. Mata wang asing ini diterima pakai oleh negara Islam awal dan mata wang dinar dan dirham tidak tercipta sehingga 74 selepas Hijrah. Sepanjang garis masa sejarah, kita telah melihat banyak penggunaan emas, perak atau sistem kewangan bersandarkan logam berharga yang lain. Sistem ini kemudiannya telah berkembang mengikut peredaran zaman[2]. Evolusi ini telah didorong oleh keperluan ekonomi dan sistem kewangan yang semakin berkembang. Kini, kita mempunyai sistem mata wang fiat dalam bentuk kertas atau syiling yang tiada nilai sendiri, tetapi nilai yang disandarkan pada mata wang masing-masing. Walaubagaimanapun, hari ini, kebanyakan wang yang kita miliki hanyalah baki debit yang menjadi titik data dengan bank. Walaupun sebenarnya tiada bentuk fizikal, tetapi terdapat nilai yang kita denominasikan melalui mata wang. Jadi, apakah sebenarnya ciri-ciri  wang? Adakah manifestasi fizikal dalam bentuk syiling fizikal emas dan perak, dinar atau dirham, atau lebih daripada itu? Dalam dunia digital hari ini, jelas sekali kita boleh memiliki wang tanpa sebarang bentuk fizikal. Meskipun kita tidak lagi memerlukan bentuk fizikal, apa yang kita perlukan ialah sistem untuk merekodkan debit, kredit dan pemindahan wang ini, iaitu pada asasnya adalah sistem kewangan.

Dari perspektif ini, ada yang berpandangan bahawa wang ialah kredit boleh pindah dan suatu bentuk teknologi sosial untuk mengukur, menyandar nilai, mengatur dan memudahkan pertukaran sosial dan ekonomi. Hal ini bertentangan dengan kebanyakan pemikiran ekonomi kontemporari yang berakar umbi daripada wang yang berasal sebagai komoditi yang mengatasi perdagangan tukar barang. Pemikiran sedemikian juga menyokong kebanyakan teori ekonomi konvensional atau tradisional yang memisahkan ekonomi kewangan dan ekonomi benar. Pada tahap ekstrem, ekonomi neo-klasik menegaskan bahawa sistem kewangan tidak penting. Wang tidak relevan.

Hal ini seterusnya membuka ruang untuk kita berfikir tentang perspektif Syariah; ‘wang’ bukanlah komoditi untuk digunakan dalam menjana nilai lebihan atau keuntungan dengan sendirinya. Untuk sesuatu keuntungan itu dibenarkan, seseorang itu perlu mempunyai hak pemilikan atau  menanggung risiko pelaburan serta bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas; atau menyediakan perkhidmatan[3]. Oleh itu, penjanaan wang dan keuntungan perlu berakar umbi dalam kegiatan ekonomi benar. Tetapi sekali lagi, kita berkisar kepada teka-teki yang lain: jika sistem kewangan tidak relevan dengan ekonomi benar, bagaimanakah kita hendak mengaitkan ‘wang’ kepada ekonomi benar, seperti yang perlu kita lakukan untuk kewangan Islam?

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya mengemukakan banyak soalan di sini. Bagi saya, soalan-soalan dan bidang penyelidikan ini relevan untuk diteruskan bagi memahami ekonomi benar dan sistem kewangan. Dalam kewangan Islam dan ekonomi Islam, kita mempunyai alternatif untuk meneruskannya berdasarkan perspektif Islam asas dan menjauhi pemikiran ekonomi tradisional. Kita boleh mengabaikan konsep insan ekonomi (economic man), iaitu individu yang tamak dan mementingkan diri sendiri serta berusaha untuk memenuhi kehendaknya yang tidak terhad dalam persekitaran sumber yang serba kekurangan. Sebaliknya, kita harus menggantikannya dengan panduan ini: seorang yang berhati mulia, cukup sederhana, pemurah, yang boleh merasa cukup pada suatu tahap, beroperasi dalam dunia yang dia mempunyai sumber yang diperlukan. Saya percaya apabila kita melakukan perkara ini, kita boleh mengembangkan teori ekonomi dan penyelesaian kewangan dengan lebih baik iaitu prinsip-prinsip Syariah yang asas boleh diperjelaskan sepenuhnya untuk mencapai objektif (maqasid) Syariah.

Dalam pengumuman Belanjawan baru-baru ini, Kerajaan telah memperuntukkan
RM20 juta untuk penyelidikan dan inovasi berkaitan dengan ekonomi Islam serta memajukan kepimpinan berwawasan kita. Walaupun peruntukan ini telah diamanahkan kepada INCEIF dan Majlis Kepimpinan MIFC, kami berharap pihak berkepentingan dapat dihimpunkan dan bekerjasama bagi menghasilkan penyelidikan yang memberikan impak serta praktikal dalam merungkai penggunaan ekonomi dan nilai dalam sistem kewangan moden.

Oleh itu, kita perlu terus meneroka penggunaan kewangan yang berguna demi kebaikan bersama. Albert Einstein pernah berkata, “Dunia yang kita cipta ini adalah hasil proses pemikiran kita. Ia tidak boleh diubah tanpa mengubah pemikiran kita.” Saya berharap persidangan ini akan merangsang perbincangan yang lebih mendalam mengenai aspek-aspek asas kewangan Islam supaya kita boleh bersama-sama memperkasakan perubahan dan meningkatkan impak kewangan Islam ke tahap yang lebih tinggi.

Akhir sekali, yang benar itu adalah daripada Allah S.W.T. Apa yang salah adalah daripada saya dan dengan rendah hati saya mohon maaf. Semoga persidangan ini menjadi wadah perbincangan yang produktif kepada anda semua. Wallahu a’lam.

Terima kasih.

 


[1] Sumber: Islamic Finance Development Indicator Report 2022

[2] Seiring berlalunya masa, bentuk wang telah berubah secara semula jadi untuk menyesuaikan dengan perubahan landskap ekonomi - daripada wang keras (seperti, syiling logam), kepada tuntutan wang keras (seperti, nota janji hutang), kepada wang fiat seperti pada masa kini.

[3] Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW, “Tidak halal menjual sesuatu yang tidak ada padamu dan tidak boleh mengambil untung dari apa yang tidak kamu tanggung risikonya (yang berkaitan dengan harta)” (Riwayat Ibnu Majah).

 

Bank Negara Malaysia
27 October 2023


Bank Negara Malaysia
27 Oktober 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?