Ucapan oleh Timbalan Gabenor Marzunisham Omar di Kuliah Universiti Utara Malaysia ‘Evolusi Dasar Perindustrian Malaysia daripada Perspektif Pembangunan Ekonomi’

Universiti Utara Malaysia | 17 November 2024

Pengenalan

Assalamu’alaikum dan selamat pagi. Saya berasa amat berbesar hati dan berbangga berada di sini. Terima kasih kepada Fakulti Ekonomi, UUM kerana memberi saya peluang untuk berucap pada pagi ini.

Malaysia hari ini merupakan sebuah ekonomi yang sangat pelbagai. Kita mempunyai asas industri E&E dan petrokimia yang berkembang pesat. Kita juga mempunyai perkhidmatan yang meluas yang memenuhi keperluan tempatan dan global. Malah kita mempunyai sektor kewangan terus menyokong kegiatan ekonomi benar. Namun Malaysia tidak bermula dengan cara ini. Dalam dekad pertama selepas kemerdekaan, kadar kemiskinan negara berada pada 49.3%. Pendidikan tinggi merupakan sesuatu yang luar daripada kebiasaan. Timah dan getah menyumbang sebahagian besar daripada eksport negara.

Perkembangan ekonomi negara hingga ke tahap sekarang bukanlah kerana nasib semata-mata. Walaupun Malaysia ialah negara yang kaya dengan sumber alam semula jadi, kedudukan kita pada hari ini bukan sesuatu yang datang bergolek, namun dicapai dengan penuh jerih perit. Dalam ucapan saya hari ini, saya akan merenung kembali kejayaan dan cabaran yang dihadapi oleh Malaysia sepanjang transformasinya. Saya akan menyentuh tentang kuasa global yang perlu kita hadapi, dan bidang yang perlu kita berikan perhatian untuk menempatkan kita pada landasan ke arah mencapai tahap negara berpendapatan tinggi dengan taraf hidup yang lebih baik untuk rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kepentingan institusi dan dasar perindustrian

Saya mulakan dengan penegasan tentang dua faktor penting untuk mencapai pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Faktor yang pertama tertumpu pada kepentingan institusi yang inklusif. Menerusi buku “Why Nations Fail – The Origins of Power, Prosperity and Poverty”, penerima anugerah Nobel Daron Acemoglu dan James A. Robinson mengemukakan satu soalan yang mudah tetapi mencetuskan persoalan: mengapakah sesetengah negara lebih kaya daripada yang lain? Jawapan yang mereka temui bukanlah geografi, budaya atau iklim. Jawapannya ialah kewujudan institusi yang inklusif, iaitu ditakrifkan sebagai peraturan dan struktur asas masyarakat yang memastikan akses kepada peluang ekonomi yang sama rata untuk semua lapisan masyarakat, bukan hanya segolongan kecil yang mendapat manfaat.

Terdapat beberapa ciri lazim di pelbagai negara yang mempunyai institusi yang inklusif. Pertama, mempunyai undang-undang yang adil dan hak harta (property rights) yang meyakinkan usahawan untuk melabur dan berinovasi. Kedua, mereka beroperasi menggunakan struktur berasaskan pasaran yang menggalakkan bukan sahaja persaingan tetapi juga pilihan. Mungkin ciri paling penting ialah tumpuan diberikan terhadap institusi penyediaan perkhidmatan awam yang memberikan peluang sama rata seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur yang memberi semua orang peluang yang sama untuk berjaya.

Ibaratkan institusi inklusif ini sebagai asas sebuah rumah. Tanpa asas yang kukuh, struktur rumah itu akan tidak stabil walau sebaik mana pun tingkat atas rumah tersebut direka bentuk.

Faktor kedua yang melibatkan perkembangan ketara ruang lingkup penyelidikan ekonomi adalah mengenai peranan dasar perindustrian. Dasar perindustrian sering dikritik sebagai menyimpang dan bersifat pelindung. Sejak kebelakangan ini, pendapat terhadap dasar perindustrian telah berubah. Dalam tempoh lima tahun yang lalu, penggunaan dasar sedemikian meningkat sebanyak sembilan kali, dan dua pertiga peningkatan ini dilakukan oleh negara-negara maju. Perubahan dalam penerimaan ini mencerminkan peralihan daripada perdebatan yang terlalu mudah mengenai negara berbanding pasaran, atau perdebatan memilih pemenang berbanding keunggulan pasaran. Dasar perindustrian moden yang diperjuangkan oleh ahli ekonomi seperti Dani Rodrik dan Mariana Mazzucato menawarkan pendekatan yang lebih bernuansa dan praktikal:

Pertama, dasar ini menangani kegagalan pasaran, iaitu situasi apabila pasaran bebas semata-mata tidak memberikan hasil yang optimum. Sebagai contoh, apabila perniagaan kurang melabur dalam penyelidikan dan pembangunan kerana mereka tidak dapat meraih semua manfaatnya, dasar perindustrian moden diangkat untuk memupuk inovasi dan peningkatan teknologi.

Kedua, dasar ini menggalakkan penyelarasan antara sektor awam dengan sektor swasta, dan pada masa yang sama mengekalkan disiplin pasaran. Penyelarasan ini bukan bermakna kerajaan yang mengarahkan perniagaan tentang perkara yang patut atau tidak patut dilakukan, namun mewujudkan platform bagi pembuat dasar, penyelidik dan perniagaan untuk mengenal pasti peluang dan menyelesaikan halangan secara bersama.

Ketiga, dasar ini disertakan dengan syarat dan akauntabiliti yang ketat. Zaman subsidi dan perlindungan berterusan telah berakhir. Dasar perindustrian hari ini mempunyai metrik prestasi yang jelas, tadbir urus yang ketat dan semakan serta pemantauan dan penilaian semula secara berkala. Dasar ini mengekalkan disiplin pasaran iaitu perniagaan perlu tetap bersaing, berinovasi dan membuat penyesuaian untuk terus beroperasi.

Kesimpulannya, pemahaman utama yang dihasilkan oleh pemikiran pembangunan moden ialah transformasi ekonomi yang berjaya memerlukan institusi inklusif yang teguh dan dasar perindustrian pintar yang bersasar untuk bergerak seiringan. Kedua-dua faktor ini bukan pilihan salah satu; kita memerlukan kedua-duanya. Institusi menyediakan asas yang stabil, manakala dasar perindustrian menyediakan hala tuju strategik dan sokongan yang diperlukan untuk membangun ke arah kemajuan.

Tuan-tuan dan puan-puan.

Perjalanan transformasi Malaysia: Mengimbas masa lalu negara

Malaysia telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang ketara sejak tahun 1970-an. Pendapatan per kapita meningkat dengan ketara apabila ekonomi semakin pelbagai dan berfokus perindustrian, meningkat 32 kali daripada USD380 pada tahun 1970 kepada USD11,970 pada tahun 2023. Jutaan rakyat Malaysia telah keluar daripada kelompok kategori miskin. Kita menyaksikan peningkatan taraf hidup yang ketara dengan peningkatan yang besar dalam taraf pendidikan dan keadaan kesihatan. Peratusan penduduk berumur 25 tahun ke atas yang menamatkan pendidikan menengah atas meningkat 22 kali, daripada 3.2% pada tahun 1980 kepada 69.8% pada tahun 2022. Jangka hayat semasa lahir meningkat daripada 63 tahun pada tahun 1970 kepada 76 tahun pada tahun 2022.

Walau bagaimanapun, kita mula menghadapi cabaran sekitar dekad yang lalu. Ekonomi masih berkembang tetapi pada kadar yang lebih perlahan. Pertumbuhan pendapatan per kapita juga menjadi perlahan daripada 7.9% sebelum tahun 2014 kepada 1.1% pada tahun-tahun selepas itu. Ukuran lain untuk kemajuan industri juga menjadi perlahan, seperti kadar kepantasan pendalaman modal (capital deepening). Persoalannya: adakah Malaysia terperangkap dalam jerat pendapatan sederhana?

Sambil kita merenung persoalan ini, mari kita imbas kembali perjalanan transformasi ekonomi negara setakat ini. Saya akan merujuk dua pengalaman khusus.

Yang pertama ialah aspirasi kita pada awal 1980-an untuk mewujudkan industri berat seperti automotif dan keluli yang akan menjadi tulang belakang ekonomi perindustrian negara. Penubuhan Heavy Industries Corporation of Malaysia (HICOM) merupakan lambang visi yang berani ini.

Namun begitu, pengalaman kita dalam aspek ini bercampur-aduk. Kita ambil Proton sebagai contoh. Meskipun kewujudannya menghasilkan industri automotif domestik, Proton bergelut untuk mencapai daya saing pada peringkat antarabangsa. Perlindungan yang diterima oleh Proton mempunyai matlamat yang baik, namun akhirnya mengurangkan tekanan untuk meningkatkan inovasi dan kecekapan. Pengalaman ini memberikan pengajaran yang berharga kepada kita tentang pentingnya keseimbangan yang tepat antara memupuk industri baharu dan mengekalkan disiplin pasaran.

Satu lagi strategi ialah pendekatan perindustrian berorientasikan pasaran yang dilaksanakan di negara kita pada tahun 1980-an, untuk mengambil peluang daripada banyak syarikat Jepun yang memindahkan lokasi pengeluaran ke Asia Tenggara susulan Plaza Accord 1985. Dengan meliberalisasikan peraturan pelaburan asing, negara mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelaburan langsung asing. Peralihan ini membuahkan hasil yang berterusan sehingga hari ini apabila Malaysia menjadi salah sebuah negara yang mantap dalam rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (electrical and electronics, E&E).

Merenung dua pengalaman ini memberi kita beberapa iktibar penting. Pertama, dasar perindustrian sahaja, tidak kira sebaik mana pun niatnya, tidak mampu berjaya tanpa institusi sokongan yang kukuh. Kedua, mewujudkan kelebihan daya saing memerlukan lebih daripada sekadar sokongan kewangan dan perlindungan. Menghasilkan kelebihan ini memerlukan ekosistem institusi yang menggalakkan inovasi, persaingan dan penambahbaikan yang berterusan.

Paling penting, kita belajar bahawa transformasi ekonomi bukanlah proses yang linear. Transformasi ini memerlukan penyesuaian dan penambahbaikan berterusan dalam dasar dan institusi. Kejayaan dalam satu fasa pembangunan tidak menjamin kejayaan dalam fasa seterusnya. Institusi dan dasar yang memberikan sokongan yang baik kepada negara dalam fasa perindustrian perlu berkembang seiring dengan perubahan negara yang menuju industri intensif pengetahuan.

Trend mega yang mempengaruhi dunia masa kini

Tuan-tuan dan puan-puan, kita sekarang berada dalam keadaan hari ini. Izinkan saya menyentuh tentang dua trend mega yang secara ketara sedang membentuk dunia, lantas mewujudkan cabaran serta peluang yang tidak pernah terjadi sebelum ini untuk Malaysia.

Pertama, kita menghadapi perubahan geopolitik yang ketara. Selama tiga dekad yang lalu, globalisasi merupakan ciri utama ekonomi global kita. Terdapat usaha di seluruh dunia bukan sahaja untuk menggalakkan perdagangan dan menjalankan perniagaan antara satu sama lain, malah untuk merasmikan pengaturan ini. Oleh itu, kita melihat, sebagai contoh, tertubuhnya Pertubuhan Perdagangan Dunia (World Trade Organisation), dan bertambahnya perjanjian perdagangan dua hala dan pelbagai hala. Namun, ketegangan geopolitik pada masa kini telah mengakibatkan pemecahan perdagangan yang lebih besar. Penggunaan sekatan tarif dan bukan tarif mengganggu aliran perdagangan, lantas menimbulkan cabaran rantaian bekalan dan risiko pelaburan.

Kedua, kita juga mengalami apa yang boleh dikatakan sebagai transformasi teknologi yang paling signifikan dalam sejarah manusia. Tidak seperti revolusi teknologi sebelum ini yang melibatkan penjenteraan (mechanisation) dan automasi tugas rutin, revolusi yang diterajui kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) pada masa kini akan menyebabkan gangguan berskala besar. Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) menganggarkan bahawa hampir 40% pekerjaan global terdedah pada AI dan pekerjaan berkemahiran juga perlu membuat penyesuaian dengan teknologi baharu.

Dengan perhatian terhadap kedua-dua trend mega ini, Malaysia kini berada di persimpangan. Pada pendapat saya, kita mempunyai dua tugas utama di hadapan kita. Yang pertama adalah untuk merebut peluang dalam keadaan peralihan global yang mengganggu ini.

Mari kita mulakan dengan pemecahan perdagangan. Apabila negara dan syarikat menilai semula rangkaian bekalan mereka, banyak pihak yang menggerakkan strategi untuk mempelbagaikan asas perkilangan dan operasi mereka. Oleh itu, jika Malaysia dapat membentangkan tawaran nilai yang menarik, hal ini akan membolehkan negara memperoleh bahagian yang lebih besar hasil daripada peralihan perdagangan dan pelaburan ini. Dari aspek revolusi teknologi, kita sudah melihat syarikat digital seperti Google dan Microsoft serta firma semikonduktor seperti Infineon dan AT&S meneroka peluang di negara ini. Keadaan ini ibarat ulangan pelaburan rintis E&E lima dekad yang lalu.

Oleh itu, sangat penting bagi Malaysia untuk terus mengekalkan kelebihan daya saing dalam bentuk iklim mesra perniagaan, tenaga kerja berkemahiran dan infrastruktur bertaraf dunia. Langkah ini supaya Malaysia dapat terus menjadi tempat pilihan perniagaan antarabangsa untuk bertapak dan berkembang.

Hala tuju masa hadapan: Memacu transformasi ekonomi Malaysia

Tuan-tuan dan puan-puan. Tugas utama kedua adalah untuk mentransformasikan ekonomi daripada berasaskan daya saing kos kepada dipacu oleh inovasi. Sejujurnya, usaha ini bukan mudah dan kejayaan tidak akan dicapai dalam tempoh yang pendek. Menurut Bank Dunia, terdapat 108 negara yang terperangkap dalam jerat pendapatan sederhana[1] dan hanya segelintir negara yang telah berjaya mencapai taraf negara berpendapatan tinggi.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Malaysia mempunyai rekod prestasi kukuh dalam transformasi ekonomi. Meskipun cabarannya mungkin kelihatan begitu sukar, kita tiada pilihan melainkan untuk memulakan transformasi ini jika kita mahu terus meningkatkan taraf hidup rakyat. Dalam hal ini, izinkan saya mengemukakan tiga tonggak mustahak yang perlu kita tumpukan: (i) membina institusi yang berkesan, bertanggungjawab dan inklusif, (ii) melaksanakan pembaharuan struktur yang diperlukan, dan (iii) memperkukuh sistem perlindungan sosial. Saya akan menghuraikan tentang tiga tonggak ini.

Institusi yang Berkesan, Bertanggungjawab dan Inklusif

Tonggak pertama ialah membina institusi yang berkesan, bertanggungjawab dan inklusif. Langkah ini termasuk mempunyai institusi awam yang mampu melaksanakan agenda pembaharuan negara dengan jayanya. Aspek yang penting dalam tindakan ini ialah keperluan untuk mewujudkan kerjasama yang lebih teguh antara sektor awam dengan sektor swasta, termasuk dengan pihak akademik.

Sama pentingnya ialah tumpuan yang berterusan pada memperkukuh tadbir urus dalam institusi awam, sekali gus memastikan keyakinan orang ramai terhadap kesemua institusi ini. Mengatasi ketirisan dan rasuah merupakan aspek utama dalam membina institusi yang inklusif. Rasuah bukan sekadar isu moral, malah merupakan krisis ekonomi yang terselindung. Satu kajian IMF menilai bahawa kos rasuah global mampu mencecah setinggi 1.5 trilion dolar, atau kira-kira 2 peratus daripada KDNK global. Dalam hal ini, pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024 - 2028 ialah rangka kerja penting untuk memerangi rasuah merentas pelbagai sektor dan peringkat tadbir urus, bertujuan untuk memperkukuh integriti, ketelusan, dan akauntabiliti di Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan.

Pembaharuan struktur dan dasar-dasar perindustrian

Tonggak kedua ialah melaksanakan pembaharuan struktur yang diperlukan. Pembaharuan struktur yang pertama ialah menarik pelaburan berkualiti tinggi. Sejarah telah menunjukkan bahawa pelaburan merupakan kunci untuk memajukan industri negara. Dahulu, negara memberikan tumpuan pada kuantiti pelaburan; sama ada dari segi saiz ataupun jumlah pekerjaan yang dihasilkan daripada pelaburan itu. Ukuran ini sepadan dengan kedudukan negara yang kurang membangun pada masa itu.

Tetapi hari ini berbeza. Kadar pengangguran telah mencatatkan purata 3.5% dalam tempoh dua dekad yang lalu. Malaysia berada pada kedudukan yang mantap dalam rantaian bekalan global daripada E&E kepada petrokimia. Oleh itu, kita perlu mengutamakan pelaburan yang mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan membangunkan rantaian bekalan tempatan. Hal ini adalah sangat penting. Dari tahun 2021 hingga 2022, negara mempunyai 266 ribu graduan tetapi hanya mencipta 105 ribu pekerjaan berkemahiran tinggi. Keadaan ini telah menyebabkan guna tenaga tidak penuh (underemployment) berkaitan kemahiran tinggi sebanyak 37%, apabila golongan berpendidikan tinggi akhirnya membuat kerja berkemahiran sederhana hingga berkemahiran rendah.

Kesan daripada situasi ini terhadap gaji juga sangat ketara. Kajian BNM mendapati bahawa median gaji permulaan siswazah baharu adalah sebanyak RM1,624 pada tahun 2022, iaitu 20% lebih rendah daripada median tahun 2019 sebanyak RM2,066. Perbezaan median gaji permulaan antara siswazah dengan bukan siswazah juga mengecil kepada RM101 sebulan pada tahun 2022 daripada RM568 pada tahun 2018. Dalam satu lagi kajian BNM, didapati bahawa gaji permulaan benar telah menurun berbanding tahun 2010 dan 2018.[2] Bagi pekerja sedia ada dalam tenaga kerja, pertumbuhan gaji juga agak perlahan dan kurang daripada peningkatan produktiviti.

Oleh itu, menarik pelaburan berkualiti tinggi adalah sangat penting supaya pekerjaan berkualiti tinggi dapat diwujudkan. Namun, apa yang dimaksudkan dengan pelaburan berkualiti? Maksudnya pelaburan yang membawa lima elemen penting: penciptaan produk dan teknologi baharu yang meningkatkan kecanggihan ekonomi negara, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi yang meningkatkan tenaga kerja, aktiviti yang memanfaatkan dan melanjutkan rantaian bekalan tempatan, pembangunan inklusif dan mampan, serta integrasi ke dalam industri baharu yang meletakkan Malaysia pada kedudukan bersedia untuk masa hadapan. Kesemua aspek ini merupakan matlamat utama di sebalik Aspirasi Pelaburan Nasional (National Investment Aspiration, NIA) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (New Industrial Masterplan 2030, NIMP).

Pertimbangkan perdagangan perkhidmatan digital yang memberikan kelebihan yang unik bagi Malaysia. Tenaga kerja yang bijak teknologi, infrastruktur digital yang kukuh dan persekitaran perniagaan yang menggalakkan menjadikan Malaysia pusat yang ideal untuk perkhidmatan digital global. Namun peranan Malaysia dalam ekonomi digital tidak seharusnya terhad kepada menjadi hab pusat data yang mempunyai limpahan dalam negeri yang terhad. Sebaliknya, langkah ini seharusnya bertindak sebagai pemangkin untuk membawa masuk lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi dalam bidang seperti perkhidmatan pengkomputeran awan, penciptaan kandungan digital dan inovasi fintech. Mengiktiraf potensi negara, NIMP telah menetapkan matlamat bercita-cita tinggi untuk “TechUP the Nation” ke arah menjadikan negara ini masyarakat yang bersemangat digital. Syarikat-syarikat seperti Google dan Microsoft sudah mula menubuhkan operasi perkhidmatan digital yang penting di sini, yang menghasilkan bukan sahaja pekerjaan malah kepakaran dalam teknologi baharu.

Teknologi hijau merupakan satu lagi bidang penerokaan yang menghasilkan pelaburan berkualiti yang boleh mengubah ekonomi negara. Susulan peralihan dunia ke arah konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (environment, social and governance, ESG), pelaburan dalam menghijaukan pengeluaran negara adalah sangat penting untuk mengekalkan akses pasaran kerana rakan dagangan mula memperkenalkan dasar alam sekitar seperti tarif dan peraturan hijau. Malaysia sudahpun menetapkan matlamat bercita-cita tinggi untuk penerapan tenaga boleh diperbaharui dan pengurangan karbon, yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR). Namun langkah-langkah ini bukan sekadar matlamat berhubung alam sekitar, bahkan merupakan bidang pertumbuhan baharu untuk ekonomi moden. Misalnya, sektor automotif Malaysia sedang menuju ke arah pengeluaran dan bukan sekadar pemasangan kenderaan elektrik. Kepakaran semikonduktor kita menjadikan negara ini sebagai lokasi yang ideal untuk perkilangan sistem elektronik kuasa dan pengurusan tenaga, berdasarkan penyelidikan dan pembangunan (research and development, R&D) dan teknologi tempatan.

Menariknya, beberapa dasar telah mula membuahkan hasil. Pelaburan meningkat sebanyak dua angka pada dua suku tahun baru-baru ini: masing-masing sebanyak 11.5% dan 15.3% pada suku kedua (S2) dan suku ketiga (S3). Lebih penting lagi, kesemua pelaburan ini kebanyakannya dipacu oleh sektor swasta dan tertumpu pada industri perkhidmatan dan perkilangan E&E yang lebih berkualiti. Keadaan ini dijangka meningkatkan eksport dan keupayaan produktif Malaysia pada masa hadapan.

Walaupun tanda-tanda ini menggalakkan, kita tidak harus melupakan kekurangan kita sebelum ini. Pemilihan dan ketelitian dalam galakan pelaburan negara merupakan faktor penting. Kita mahukan pelabur yang boleh komited kepada R&D dan menjadi rakan kerjasama dalam inovasi, berbanding dengan hanya membina fasiliti pengeluaran.

Apa pun, mungkin bidang pembaharuan yang paling penting untuk memastikan kejayaan jangka panjang Malaysia adalah dalam pasaran pekerja. Tindakan ini bermakna mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia untuk masa hadapan, yang mampu menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang pantas berubah dan pada masa yang sama memastikan mereka menerima ganjaran yang sewajarnya.

Apakah yang dimaksudkan dengan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan? Izinkan saya menyoroti beberapa keupayaan yang perlu kita bangunkan. Pertama, pekerja perlu fasih teknologi; bukan sekadar mampu menggunakan alat digital tetapi memahami prinsip yang mendasari teknologi. Hal ini bermakna kecekapan dalam analisis data, kecerdasan buatan dan sistem digital. Kedua, mereka perlu memiliki keupayaan adaptif, iaitu keupayaan untuk mempelajari, meninggalkan dan mempelajari semula pelbagai ilmu seiring dengan perkembangan teknologi. Ketiga, mereka mesti memiliki kemahiran insaniah yang mantap, iaitu pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan kerjasama merentasi pelbagai budaya. Kemahiran insaniah ini menghasilkan persekitaran kerja yang produktif. Saya mengajak komuniti UUM untuk bermuhasabah tentang cara untuk memperkukuh kualiti pendidikan bagi melengkapkan semua kemahiran ini dalam kalangan kita semua.

Secara lebih umum, kita juga memerlukan pelaburan yang lebih besar dalam peluang peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) untuk rakyat Malaysia meraih peluang yang sedang diwujudkan. Pelaburan ini menjadi semakin penting kerana penerapan teknologi yang lebih besar akan mengubah sifat kerja di Malaysia.

Kajian BNM menunjukkan bahawa 55% pekerjaan di Malaysia berisiko disesarkan (displaced) akibat automasi. Selain itu, tinjauan kami terhadap 25 institusi perkhidmatan kewangan[3] mendapati bahawa 84% daripada institusi ini mempunyai sekurang-kurangnya satu projek AI yang sedang aktif digunakan. Apabila sifat kerja berubah, tenaga kerja juga perlu berubah. Rakyat Malaysia perlu diberikan peluang untuk terus memperbaharui kemahiran mereka sepanjang kerjaya, sebagai tindak balas kepada permintaan yang semakin berkembang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Memperkukuh perlindungan sosial negara

Akhir sekali, tonggak ketiga adalah untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial negara. Gabungan ketegangan geopolitik dan kemajuan teknologi bukan sahaja mengubah landskap ekonomi, tetapi juga memberi kesan buruk kepada segmen masyarakat yang lebih mudah terjejas. Oleh itu, perlindungan sosial mesti dimantapkan lagi supaya tiada golongan dalam masyarakat yang tercicir.

Walau bagaimanapun, pandemik COVID-19 telah mendedahkan isu struktur yang mendalam mengenai rangka kerja perlindungan sosial Malaysia yang sedia ada. Isu kritikal termasuk ekosistem program yang tidak bersepadu dan bertindih, jurang dalam liputan keseluruhan dan cabaran fiskal. Pelaksanaan pembaharuan untuk merapatkan kesemua jurang ini adalah penting untuk menangani isu-isu asas yang menjejaskan sebahagian besar penduduk Malaysia.

Sistem subsidi yang menyeluruh, meskipun berniat baik, semakin lama semakin tidak dapat dikekalkan. Pada tahun lalu sahaja, negara membelanjakan lebih RM72 bilion untuk pelbagai subsidi. Dana ini sepatutnya boleh dilaburkan dalam pendidikan dan penjagaan kesihatan, infrastruktur serta menyokong industri yang sedang berkembang. Ingin saya jelaskan bahawa hal ini bukannya bermakna kita mengabaikan komitmen untuk membantu golongan yang memerlukan. Sebaliknya, langkah ini merupakan penambahbaikan dalam cara bantuan diberikan.

Sistem perlindungan sosial yang mantap dan berkesan bukan sekadar menyediakan lebih banyak bantuan kewangan. Kami berhasrat untuk mewujudkan sekelompok intervensi dan insentif yang bersepadu supaya individu yang terjejas dapat bangkit semula dengan lebih kuat.

Peranan BNM dalam ekonomi yang bersedia menghadapi masa hadapan

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dalam memikirkan semula rangka kerja dasar industri kita, penting untuk kita mengambil pandangan holistik tentang kestabilan makroekonomi. Dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan, kestabilan harga serta sektor kewangan yang kukuh dan teguh memainkan peranan yang amat penting.

Yang pasti, BNM komited sepenuhnya dalam peranannya untuk menyokong peralihan Malaysia kepada ekonomi yang bersedia untuk masa hadapan. Melalui dasar monetari yang berhemat, pengawasan kawal selia dan alat dasar yang luas, BNM membantu mewujudkan persekitaran makroekonomi yang stabil dan keadaan pembiayaan yang menjadi asas kepada ekonomi yang bersedia untuk masa depan.

Memastikan akses kepada kewangan untuk semua segmen masyarakat merupakan keutamaan penting menerusi Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 BNM. Akses kepada pembiayaan merupakan sesuatu yang mustahak untuk PKS, syarikat permulaan dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan yang mungkin berhalangan untuk memiliki perkhidmatan kewangan. Dengan memperluas rangkuman kewangan, BNM bermatlamat untuk memupuk persekitaran yang membolehkan semua rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam ekonomi dan mendapat manfaat daripada peluang ekonomi. Bagi syarikat permulaan, akses kepada pembiayaan selalunya merupakan faktor yang sangat penting dalam menentukan sama ada idea inovatif boleh berkembang menjadi perniagaan yang berjaya, memacu keusahawanan, pewujudan pekerjaan serta menghasilkan kepelbagaian ekonomi. Tumpuan BNM untuk memastikan akses kewangan yang meluas bukan hanya tentang kesamarataan;  langkah ini juga mendorong pertumbuhan dengan menggembleng rangkaian penyumbang ekonomi yang lebih meluas dan membantu komuniti membina daya tahan kewangan mereka sendiri.

Kesimpulan

Tuan-tuan dan puan-puan, izinkan saya untuk membuat kesimpulan. Malaysia ibarat sebuah kapal kecil di tengah lautan yang luas. Ketegangan geopolitik dan kemajuan teknologi yang pesat telah mengakibatkan keadaan ombak menjadi lebih bergelora. Walaupun terdapat pasang surut dalam keadaan negara, Malaysia telah mengemudi banyak keadaan yang mencabar dan sentiasa muncul lebih gagah selepasnya. Kisah negara kita adalah tentang kemampuan membuat penyesuaian dan berdaya tahan.

Cabaran kali ini juga tidak berbeza. Jika hadirin perlu mengambil hanya satu iktibar daripada syarahan hari ini, saya sarankan perkara ini: Kita tidak perlu takut akan masa hadapan. Kita sudah tahu apa yang perlu dilakukan: memupuk institusi yang berkesan dan inklusif, melaksanakan pembaharuan struktur untuk mengubah ekonomi, dan memperkukuh rangka kerja perlindungan sosial supaya tiada sesiapa yang tertinggal. Pada akhirnya, kita hanya mahukan taraf hidup yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

Terima kasih.

 

Bank Negara Malaysia

17 November 2024


[1] World Bank. 2024. World Development Report 2024: The Middle-Income Trap. Washington, DC: World Bank. doi:10.1596/978-1-4648-2078-6.

[2] https://alumni.bnm.gov.my/documents/20124/6429370/ar2018_en_box1_wages.pdf

[3] Terdiri daripada bank, penanggung insurans dan pengendali pembayaran.


Bank Negara Malaysia
17 November 2024

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?