Ucapan oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid di Majlis Peluncuran Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan Keempat 2025
Sasana Kijang | 2 Oktober 2025
Saya berbesar hati mengalu-alukan kehadiran para hadirin ke Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan (National Financial Literacy Symposium, NFLS) yang keempat. Simposium ini bukan sekadar satu persidangan. Kami berharap simposium ini akan menjadi pemangkin kepada kemajuan dan perubahan. Kita berkumpul di sini untuk mencetuskan idea, menterjemahkan pandangan kepada tindakan dan membentuk masa depan bagi memperkasakan setiap rakyat Malaysia dengan keyakinan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak.
Penyelidikan tidak boleh hanya terbatas pada helaian jurnal atau terhad pada teori semata-mata. Penyelidikan perlu bergerak, menyalakan inspirasi dan mengubah kehidupan. Jika kita imbas kembali NFLS 2023, satu kajian telah mendedahkan jurang yang kritikal dalam sistem pendidikan kewangan di negara ini iaitu kekurangan pembangunan keupayaan di sekolah. Tinjauan tersebut tidak terhenti pada peringkat laporan, malah menjadi pencetus terhasilnya sebuah program latihan kepada tenaga pengajar (train-the-trainers) oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) bagi para pendidik di seluruh negara untuk meningkatkan impak di dalam bilik darjah. Inilah yang berlaku apabila penyelidikan bergabung dengan tekad, iaitu sebuah perubahan sebenar.
Tahun ini, di bawah tema “Membentuk Negara yang Berdaya Tahan Kewangan: Ekosistem Kewangan Bermaklumat dan Inklusif”, kita berdepan dengan cabaran paling sukar dalam usaha memperkukuh literasi dan keupayaan kewangan. Kita memberikan tumpuan pada jurang dalam ekosistem negara dan seterusnya beriltizam untuk merapatkan jurang tersebut. Tumpuan ini diperlukan kerana memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan, alat, dan kemahiran kewangan yang betul bukan lagi satu kehendak tetapi suatu keperluan. Dalam dunia yang semakin kompleks dari segi kewangan, kita perlu membina daya tahan, rangkuman dan keyakinan.
Kami turut melakukan sedikit perubahan pada tahun ini. Kami memberikan tumpuan yang terperinci pada tiga cabaran mendesak yang menuntut perhatian kita bersama dan telah menangguhkan undangan untuk menghantar kertas kerja.
Pertama, Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan bagi tahun 2024 mendedahkan dapatan yang menimbulkan persoalan berbentuk paradoks. Pengetahuan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia telah meningkat daripada 60.2% pada tahun 2021 kepada 62.9% pada tahun 2024. Namun, tiada perubahan yang ketara didapati pada tingkah laku. Hanya 58% rakyat Malaysia yang aktif menabung untuk masa hadapan, dan masih banyak yang tidak mampu menyediakan RM1,000 untuk menghadapi situasi kecemasan. Hakikatnya, pengetahuan semata-mata tidak memadai. Ilmu ini perlu diterjemahkan kepada tindakan, keyakinan serta daya tahan.
Kedua, pendigitalan sedang mengubah cara kita berinteraksi dengan wang. Transaksi kini menjadi lebih pantas, lebih mudah, dan dalam sesetengah situasi kita seolah-olah lebih mampu berbelanja dan wang sangat mudah diakses. Akses ini ketara daripada penggunaan e-dompet hinggalah kepada skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (Buy Now, Pay Later). Namun begitu, kemudahan ini datang dengan risiko tersendiri. Tinjauan yang sama mendapati 31% rakyat Malaysia lebih cenderung berbelanja secara impulsif dalam talian, manakala insiden penipuan kewangan pula menunjukkan peningkatan yang mendadak. Lebih parah, pengecualian digital (digital exclusion) ialah satu situasi yang nyata. Mereka yang memiliki tahap celik digital yang rendah atau akses yang terhad berisiko untuk ketinggalan. Maka, kita perlu memastikan bahawa literasi kewangan digital melangkaui penguasaan aplikasi atau platform semata-mata.
Ketiga, Malaysia sedang pantas menuju status negara berusia (ageing nation) dalam tempoh sedekad akan datang. Peratusan warga emas di Malaysia semakin meningkat setiap tahun. Namun, tahap kesediaan kewangan tidak bergerak seiring; hanya 36% ahli KWSP mencapai penanda aras simpanan asas persaraan. Situasi ini bukan sekadar trend demografi, malah merupakan cabaran kesiapsiagaan kewangan yang penting untuk negara. Perancangan persaraan, pembiayaan penjagaan kesihatan, perlindungan warga emas daripada penipuan kewangan merupakan antara isu yang memerlukan tindakan tegas demi melindungi kesejahteraan mereka pada masa hadapan.
Esok, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan (National Strategy for Financial Literacy, NS2.0) yang baharu. Strategi ini mengambil pendekatan yang lebih fokus, lebih inklusif dan berorientasikan tindakan untuk menangani realiti hari ini di samping bersiap siaga untuk masa hadapan. Pendekatan ini bukan hanya merangkumi perkongsian maklumat semata-mata. Komitmen jangka panjang diperlukan untuk berjaya, melalui perubahan tingkah laku, sesuai dengan landskap kewangan yang sentiasa berubah serta kepelbagaian pengalaman rakyat dengan kewangan. Salah satu kekuatan unik Malaysia ialah penduduk yang berbilang kaum dan agama yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian pendidikan kewangan. Satu pendekatan yang berpotensi untuk mengukuhkan mesej kepada komuniti beragama Islam adalah melalui literasi kewangan Islam, yang menawarkan rangka kerja mantap berpaksikan tingkah laku kewangan yang beretika dan bermatlamat.
Kita ambil sikap terhadap hutang sebagai contoh. Ajaran Islam tidak menggalakkan kita berhutang kerana boleh menjadi beban. Namun, jika seseorang mengambil hutang, yang dalam konteks kehidupan hari ini merupakan sesuatu yang sukar untuk dielakkan, maka pembayaran balik perlu diutamakan. Malah, ada sirah yang mencatatkan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak akan melaksanakan solat jenazah sehingga keluarga atau rakan si mati melunaskan hutangnya. Banyak prinsip yang jelas boleh diambil daripada sunah ini, antaranya ialah pengurusan kewangan yang bertanggungjawab dengan kepentingan mengelakkan hutang yang berlebihan. Menerusi NS2.0, prinsip sebegini dan yang sewaktu dengannya akan terus diperkukuh, untuk menambahkan pengisian literasi kewangan yang berpandukan pada nilai agama dan kemasyarakatan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Izinkan saya menyampaikan sesuatu yang sedikit berbeza. Kepentingan melunaskan hutang melangkaui pengurusan kewangan yang baik. Dalam salah satu usaha yang sedang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kami membentangkan tentang sistem kewangan moden dan wang pada masa kini sebagai gabungan kredit dan debit serta aset dan liabiliti dalam kunci kira-kira institusi kewangan; dalam kata lain, pelbagai bentuk hutang. Bagi mengekalkan sistem ini, yang pada asasnya menyokong dan memudahkan kegiatan ekonomi, penting untuk kita memelihara kestabilan kewangan. Dalam erti kata lain, kita perlu memastikan semua hutang yang dibuat secara keseluruhan mampu dilunaskan. Oleh itu, inisiatif literasi kewangan negara bukan sahaja berkait rapat dan menyumbang pada daya tahan kewangan, tetapi juga kestabilan kewangan dan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya.
Di bawah hala tuju strategik baharu ini, kami berhasrat untuk memperkenalkan Komuniti Penyelidikan FEN (FEN Research Community, FENRC). Kini, terdapat platform khusus untuk memajukan penyelidikan literasi kewangan yang berimpak, dengan fokus khusus untuk menyokong segmen masyarakat yang paling mudah terjejas. Maka, sesi hari ini merupakan peluang untuk mengumpulkan idea mengenai bidang keutamaan dan mendengar pandangan anda tentang cara FENRC boleh berkembang; sebagai komuniti yang memupuk kerjasama serta memacu penyelidikan yang praktikal dan transformatif.
Dengan matlamat ini, Simposium pada hari ini akan mengetengahkan tiga keutamaan untuk membina Malaysia yang berdaya tahan kewangan:
- Merapatkan jurang antara pengetahuan dengan tindakan melalui kepercayaan, pemahaman mengenai tingkah laku dan penyelesaian praktikal untuk mengubah kesedaran menjadi tabiat kewangan yang berkekalan.
- Bersedia menghadapi populasi yang semakin berusia dengan membangunkan strategi yang membantu rakyat Malaysia merancang persaraan, menguruskan kos penjagaan kesihatan dan kekal terjamin dalam aspek kewangan pada usia emas.
- Menggembleng daya komuniti dengan memanfaatkan rasa kekitaan yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia serta suara pemimpin akar umbi yang diyakini bagi memastikan literasi kewangan bersifat inklusif, mendapat tempat dan menghasilkan impak kepada semua.
Hadirin yang dihormati,
Besar harapan saya agar kita dapat mengakhiri sesi hari ini dengan tujuan yang jelas dan pelan tindakan yang teguh. Sama ada anda seorang penyelidik, pengawal selia, atau pengamal, peranan anda amat penting.
- Kepada penyelidik, kita memerlukan bukti yang dapat menangani cabaran sebenar dan menginspirasikan penyelesaian yang bermakna. Penyelidikan yang berpaksikan realiti adalah kuasa yang ampuh untuk mencetuskan perubahan.
- Kepada pengamal, laksanakan inovasi dengan matlamat. Hasilkan produk, instrumen dan program yang mudah difahami serta berimpak supaya setiap rakyat Malaysia berpeluang untuk maju.
- Kepada pengawal selia, wujudkan suasana dan persekitaran yang sesuai untuk mengembangkan idea-idea yang baik. Galakkan inovasi dengan mengambil kira kesannya pada golongan yang paling mudah terjejas.
Jaringan Pendidikan Kewangan kekal komited untuk membina ekosistem literasi kewangan yang inklusif, berdaya tahan, dan bersedia untuk masa hadapan. Harapan saya adalah agar Simposium ini mencetuskan idea-idea segar, kolaborasi bermakna, dan matlamat yang diperbaharui. Hakikatnya, NFLS bukan sekadar simposium namun satu seruan untuk bertindak. Pandangan, perdebatan, dan bukti yang kita himpunkan di sini harus membentuk keputusan yang nyata, mempengaruhi tingkah laku sebenar serta memperkukuh daya tahan kewangan rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat. Marilah kita teruskan semangat kerjasama antara pengawal selia, penyelidik, pendidik dan industri supaya kita dapat sama-sama membina sebuah negara yang bukan sahaja celik kewangan, malah yakin dari segi kewangan dan bersedia untuk masa depan.
Terima kasih.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.