Ucapan Timbalan Gabenor di Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2023

- | 25 Julai 2023

Ke Arah Malaysia Makmur: Mencegah Jenayah dengan Rejim AML/CFT yang Teguh

Assalamu’alaikum dan selamat pagi.

Pertama sekali, terima kasih kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia kerana memberikan ruang kepada saya bagi menyampaikan sepatah dua kata pada pagi ini. Saya amat berbesar hati atas penghormatan yang diberikan untuk berucap kepada para hadirin pada persidangan hari ini. Dengan adanya wakil-wakil daripada pelbagai sektor dan agensi kerajaan yang mempunyai pelbagai kepakaran dan pengalaman, saya yakin bahawa komitmen bersama dalam menegakkan integriti dan kepercayaan pada tahap yang tertinggi terhadap ekonomi dan sistem kewangan negara kini lebih utuh dari sebelumnya.

Gambaran Keseluruhan Landskap Jenayah Kewangan Semasa Malaysia

Memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, atau money laundering and terrorist financing (ML/TF) merupakan perkara yang mustahak. Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) menganggarkan[1] bahawa nilai pengubahan wang haram adalah antara kira-kira USD800 bilion hingga USD2 trilion di seluruh dunia setiap tahun, atau kira-kira 2% - 5% daripada KDNK global. Namun begitu, anggaran ini mungkin masih lebih rendah daripada angka sebenar kerana ciri kerahsiaan yang menjadi lumrah aktiviti-aktiviti ini. Dari perspektif tertentu, jumlah itu hampir merupakan nilai KDNK negara-negara ASEAN, iaitu bersamaan dengan nilai keluaran ekonomi bagi seluruh rantau ini – nilai inilah yang dimaksudkan apabila kita bercakap mengenai kos akibat perbuatan jenayah-jenayah ini.

Berdasarkan analisis data antara tahun 2017 hingga 2019, Penilaian Risiko Negara Malaysia 2020 (National Risk Assessment, NRA 2020) telah mengenal pasti jenayah penipuan, rasuah, penyeludupan, pengedaran dadah secara haram dan jenayah terancang sebagai lima jenayah paling berisiko tinggi yang berupaya memberikan ancaman ML/TF yang ketara di Malaysia.

Jenayah-jenayah ini cenderung dianggap sebagai jenayah yang bersifat kewangan. Sememangnya jenayah-jenayah ini mempunyai implikasi yang besar terhadap sistem kewangan. Tetapi yang lebih memudaratkan adalah tahap kerosakan yang ditimbulkan oleh ML/TF dalam aspek lain di luar sistem kewangan. Apabila penjenayah berleluasa, seluruh masyarakat akan rugi.

Mari kita ambil contoh penipuan kewangan dan penyelewengan kewangan. Sejak dilancarkan pada bulan Oktober 2022, Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) telah menerima lebih 15,000 laporan kes penipuan dengan jumlah kerugian sebanyak RM141 juta. Jumlah itu hanyalah sebahagian daripada keseluruhan laporan pada peringkat kebangsaan. Berdasarkan maklumat daripada Polis Diraja Malaysia, dalam tempoh dua tahun yang lalu, hampir 72,000 kes penipuan telah dilaporkan, dengan kerugian melebihi RM5 bilion. Mata pencarian dan kelangsungan hidup yang lenyap akibat jenayah-jenayah ini tidak dapat diukur.

Satu lagi contoh ialah rasuah. NRA 2020 mendapati bahawa jenayah rasuah dalam negara kini telah menjadi masalah sistemik. Secara kritikalnya, rasuah saling berkait dengan jenayah lain, iaitu memudahkan terjadinya jenayah berisiko tinggi lain seperti yang saya sebutkan sebentar tadi. Rasuah juga menyebabkan berlakunya jenayah lain yang mempunyai kesan kerosakan setara seperti pemerdagangan manusia, pemalsuan, dan jenayah alam sekitar.

Walaupun jumlah yang dinyatakan tidak memberikan gambaran sebenar, kemudaratan sebenar adalah tidak terkira. Setiap insiden penipuan, rasuah atau pembiayaan secara haram akan menghakis kepercayaan, iaitu kepercayaan terhadap ekonomi, politik dan institusi penguatkuasaan negara. Kepercayaan para pelabur antarabangsa terhadap integriti sistem kewangan kita. Malah mungkin kesan buruk terbesar adalah kepercayaan terhadap masa depan negara, sebuah negara yang mampan, boleh diandalkan dan dapat didiami dengan aman oleh generasi masa hadapan.

Peranan Rejim AML/CFT yang Teguh dalam Membanteras Jenayah Kewangan

Operasi jenayah terus berkembang dari masa ke masa. Walaupun kita telah berjaya menyekat satu modus operandi, sejurus itu kita terus berhadapan dengan modus operandi yang baharu untuk ditangani. Dalam landskap yang kompleks dan tidak menentu ini, pengurusan AML/CFT yang teguh adalah sangat penting. Kaedah yang digunakan mestilah bersesuaian, namun matlamat utama tetap sama – untuk mencegah jenayah serta menguatkuasakan hukuman. Kedua-duanya bagi memastikan perlakuan jenayah tersebut tidak berbaloi. Izinkan saya menghuraikan hal ini.

Pertama, rejim AML/CFT bertujuan untuk menghalang institusi kewangan, perniagaan dan profesion daripada dieksploitasi dan disalahgunakan oleh penjenayah untuk mengubah hasil kewangan daripada aktiviti haram mereka. Di sinilah institusi kewangan dan Perniagaan dan Profession Bukan Kewangan yang Ditentukan (Designated Non-Financial Businesses and Professions, DNFBP) memainkan peranan penting dalam pencegahan ML/TF. Entiti swasta ialah titik hubungan pertama bagi bakal penjenayah dan membentuk barisan pertama pertahanan terhadap ML/TF. Dengan menerapkan amalan Kenali Pelanggan Anda (Know Your Customer, KYC), usaha wajar pelanggan serta pemantauan transaksi yang lebih mantap, jitu dan teliti, anda memastikan laluan masuk ke seluruh sistem adalah terpelihara. Oleh yang demikian, dengan melaksanakan keperluan AML/CFT secara berkesan, anda pada dasarnya mencegah penjenayah daripada mendapat manfaat menerusi keuntungan kewangan yang mereka peroleh secara haram.

Kedua, rejim AML/CFT negara membolehkan kita memantau dan mengesan aliran kewangan yang menyalahi undang-undang – sama ada di dalam negeri mahupun merentas sempadan. Langkah ini merupakan komponen penting dalam usaha memastikan kejayaan pendakwaan terhadap penjenayah. Laporan transaksi mencurigakan (suspicious transaction reports, STR) dan laporan nilai ambang tunai (cash threshold reports, CTR) menyediakan maklumat penting untuk agensi penguatkuasaan undang-undang. Melalui penghantaran STR yang segera, institusi kewangan dan DNFBP dapat membantu menyediakan maklumat risikan penting yang membolehkan agensi penguatkuasaan undang-undang mengenal pasti rangkaian jenayah, mengesan jejak wang dan memahami modus operandi pelaku.

Pada tahun 2022, Unit Perisikan Kewangan BNM (atau singkatannya FIU), menerima kira-kira 250,000 STR. Angka ini menunjukkan peningkatan hampir 30% berbanding dengan 2021. Kelima-lima jenayah berisiko tinggi menyumbang kira-kira 70% daripada penzahiran FIU kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dan FIU luar negara. Penzahiran ini telah menyebabkan penahanan 51 individu, pembekuan dan rampasan aset bernilai lebih RM570 juta, serta perolehan semula hasil sebanyak RM372 juta berhubung dengan jenayah terancang dan kesalahan melibatkan cukai.

Selama bertahun-tahun, kita telah bekerja keras untuk memperkukuh rejim AML/CFT negara. Meskipun kita boleh berbangga dengan pencapaian setakat ini, kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan ini semata-mata. Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, kita sedang berhadapan dengan landskap yang berubah dengan pantas – dan cabaran yang paling sukar buat kita masih menanti pada masa hadapan.

Cabaran dalam Membanteras ML/TF

Perjuangan menentang jenayah kewangan bukanlah sesuatu yang mudah. Secara lumrahnya, jenayah bersifat terselindung dan berubah-ubah. Tetapi apa yang telah berubah bagi kita ialah kadar kepesatan, yakni skala dan kerumitan jenayah yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kepantasan dan ketanpanamaan (anonymity) yang wujud disebabkan oleh teknologi telah membuka ruang yang luas bagi penjenayah untuk mengaburi aktiviti kewangan mereka. Hal ini sudah pasti merumitkan usaha kita untuk mengesan aliran dana dalam aktiviti jenayah. Salah satu cabarannya ialah aset maya tanpa nama dan sistem pembayaran dalam talian yang digunakan dalam aktiviti jenayah. Menurut penerbitan terkini Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (Financial Action Task Force, FATF)[2], terdapat peningkatan penggunaan aset maya, termasuk syiling atau mata wang kripto tanpa nama, dalam menyamarkan pembiayaan pengganas.

Meskipun kejadian jenayah lazimnya tiada sempadan, penguatkuasaan sering kali terbatas. Penjenayah bergerak secara senyap dan menyelinap di sebalik undang-undang negara bagi melakukan jenayah kompleks yang melibatkan pelbagai bidang kuasa, entiti dan individu. Pihak berkuasa dan ‘pengawas’ sektor swasta menghadapi kesukaran yang nyata dalam mengesan keseluruhan rangkaian jenayah, terutamanya yang melibatkan jenayah siber transnasional. Saya pasti ramai antara anda di sini pada hari ini yang memahami masalah ini, iaitu mengenal pasti pemilik benefisial (beneficial owners) semasa menjalankan usaha wajar pelanggan yang mendesak terutamanya apabila melibatkan pemilikan atau kawalan asing. 

Siasatan terhadap kes-kes sebegini bukan sahaja memerlukan kepakaran teknikal yang mendalam, malah bergantung juga pada penyelarasan yang rapi merentas pelbagai agensi penguatkuasaan dan pengendalian pelbagai unsur undang-undang rentas sempadan.

Dalam hal ini, kita telah memperkukuh hubungan dan mekanisme penyelarasan dengan pihak berkuasa serantau dan global. Sebagai contoh, FIU Malaysia boleh bertukar-tukar risikan kewangan yang penting dengan lebih 160 FIU negara asing berhubung dengan ML/TF dan kesalahan predikat (predicate offences) yang berkaitan. Tahap kerjasama ini banyak membantu agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan dalam siasatan mereka, terutamanya jenayah yang melibatkan aliran dana rentas sempadan.

NRA 2020 turut mengesan peningkatan peranan penggerak profesional dalam melindungi jenayah. Peguam, akauntan dan setiausaha syarikat dianggap sebagai kerjaya yang lebih berisiko tinggi disebabkan oleh peranan mereka sebagai pemudah cara atau penggerak menerusi pengurusan wang pelanggan, penubuhan struktur pelindung dan kompleks sesebuah entiti korporat (legal persons) serta penyediaan perkhidmatan penama yang bertujuan untuk mengaburkan pemilikan/kawalan.

Kita memperakui bahawa terdapat peningkatan besar pada pihak setiausaha syarikat dalam mematuhi keperluan AML/CFT, hasil amalan usaha wajar, penyimpanan rekod dan sistem pengurusan maklumat yang lebih kukuh. Dalam kalangan sektor DNFBP, setiausaha syarikat merupakan antara tiga sektor teratas yang berusaha memenuhi keperluan pelantikan pegawai pematuhan. Pemantauan BNM dan SSM juga mendapati terdapat lonjakan 55% dari aspek penyerahan Laporan Data dan Pematuhan dalam tempoh dua tahun yang lepas.

Namun begitu, pemerhatian juga mendapati bahawa setiausaha syarikat hanya menghantar secara purata 11 STR setiap tahun. Angka ini membimbangkan kerana terdapat lebih 4,000 setiausaha syarikat di Malaysia. Jurang antara jangkaan penyerahan dengan jumlah penyerahan sebenar ini mencerminkan keperluan segera bagi setiausaha syarikat untuk lebih berwaspada dalam usaha mengesan jenayah berisiko tinggi secara lebih berkesan.

Memperkukuh Rejim AML/CFT Negara: Langkah Seterusnya

Cabaran pada hari ini menunjukkan keperluan yang jelas untuk memperhalusi rejim AML/CFT. Persoalannya, bagaimanakah cara terbaik untuk kita memperkukuh pencegahan dan penguatkuasaan AML/CFT bagi memastikannya selari dengan evolusi kegiatan jenayah?

Pertama, dan secara asasnya, adalah dengan memperteguh keupayaan sektor swasta. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, institusi kewangan dan DNFBP merupakan barisan pertahanan pertama kita. Oleh itu, sangat penting bagi institusi ini untuk memiliki alat, sumber dan kepakaran yang diperlukan untuk melaksanakan peranan mereka. Program pematuhan yang mantap termasuk audit secara berkala untuk memastikan pematuhan kepada peraturan, latihan yang komprehensif serta budaya pematuhan adalah sangat penting. Pada tahun 2022, BNM telah mengeluarkan beberapa garis panduan dan mengadakan beberapa sesi libat urus bagi meningkatkan kesedaran mengenai risiko dan trend semasa serta yang baru muncul, modus operandi lazim dan piawaian pelaporan STR dalam kalangan institusi pelapor. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada SSM atas sokongan berterusan dalam usaha menganjurkan latihan AML/CFT melalui COMTRAC[3] untuk setiausaha syarikat serta menjalankan penyeliaan AML/CFT secara bersama dengan BNM.

Kedua ialah penggunaan penyelesaian berlandaskan teknologi. Jumlah dan skala maklumat yang besar yang perlu ditangani memerlukan penyelesaian teknologi yang lebih maju. Analisis pengesanan dan corak boleh dipertingkat dengan memanfaatkan analitik data raya (big data) dan pembelajaran mesin (machine learning). Terdapat juga ruang untuk meningkatkan ketelusan, kebolehkesanan dan akauntabiliti dalam urus niaga kewangan. Kami di BNM juga sedang melaksanakan perkara yang sama: Penyelia AML/CFT dan penganalisis risikan kewangan kami terus memantapkan penyeliaan dan analisis berasaskan risiko melalui pendigitalan dan sains data. Sebagai contoh, unit perisikan kewangan kami menggunakan pembelajaran mesin untuk menentukan kedudukan STR mengikut profil risiko dan membangunkan alat analisis rangkaian bagi mewujudkan kaitan antara penjenayah merentas pangkalan data yang berbeza. Teknologi ini telah membantu menghasilkan analisis yang lebih berkesan, dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan penyiasatan berimpak tinggi.

Yang terakhir adalah pengukuhan sistem perundangan serta rejim pengawalan dan penyeliaan. Undang-undang dan piawaian hendaklah dikemas kini selaras dengan risiko yang semakin berkembang. Kedua-dua langkah pencegahan dan penguatkuasaan BNM adalah berdasarkan pada asas-asas ini. Oleh itu, penting supaya langkah-langkah ini sentiasa dinilai semula bagi memastikan keberkesanannya dan selaras dengan piawaian antarabangsa. Dalam hal ini, BNM sedang melaksanakan semakan dasar yang berkaitan dengan bidang-bidang yang menjadi kebimbangan utama dan semasa. Usaha ini termasuk penilaian dan pengurangan risiko pembiayaan percambahan, sekatan kewangan bersasar, dan pelaksanaan keperluan AML/CFT pada peringkat kumpulan bagi DNFBP. Tambahan lagi, definisi “pemilik benefisial” akan diselaraskan dengan piawaian antarabangsa yang telah dikemas kini. NCC juga sedang mengemas kini penilaian risiko ke atas entiti korporat (legal persons) dan pengaturan yang berasaskan undang-undang (legal arrangements)[4], dengan tumpuan kepada kelemahan yang berkaitan dengan pemilik benefisial dan entiti yang ditubuhkan oleh pihak asing.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-19 setiausaha syarikat dirangkumkan dalam keperluan pelaporan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

  1. Pada peringkat permulaan, BNM sebagai pihak berkuasa berwibawa di bawah AMLA memberikan tumpuan pada usaha meningkatkan kesedaran bagi memantapkan budaya pematuhan AML/CFT dalam sektor DNFBP. Usaha ini disusuli dengan penambahan keperluan pematuhan secara beransur-ansur untuk disesuaikan dengan pelbagai jenis dan profil perniagaan entiti DNFBP.

Bagi mencerminkan kepentingan peranan DNFBP dalam usaha mencegah ML/TF dan memperkukuh budaya pematuhan secara menyeluruh, DNFBP yang gagal mematuhi keperluan AML/CFT dan Sekatan Kewangan Bersasar boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan mulai tahun ini. Tindakan ini boleh dibuat dalam bentuk arahan pematuhan, penalti kewangan (atau kompaun), atau pendakwaan.

Semakan Penilaian Bersama ke atas Malaysia oleh FATF

Seperti yang kita semua sedia maklum, penilaian bersama ke atas Malaysia oleh pihak pemerhati antarabangsa bagi ML/TF, FATF, akan bermula pada tahun 2024. Kita seharusnya mengambil peluang ini untuk memaparkan komitmen Malaysia memerangi jenayah kewangan serta kemajuan yang dicapai dalam melaksanakan langkah-langkah AML/CFT dengan berkesan.

Kepentingan penilaian positif bagi Malaysia tidak boleh dipertikaikan. Jika kita berjaya memperoleh penilaian yang baik, hal ini akan meningkatkan kredibiliti Malaysia sebagai mempunyai sistem kewangan yang boleh dipercayai, diyakini dan bersih, lantas membuka peluang untuk tahap pelaburan asing yang lebih kukuh dan akhirnya, merangsang pertumbuhan ekonomi.

Sebaliknya, penarafan yang rendah akan memberikan kesan yang serius kepada negara. Dikategorikan sebagai negara dalam senarai kelabu atau senarai hitam (grey- or black-listed) oleh FATF boleh mengakibatkan kos perniagaan dan pematuhan meningkat, aliran modal terganggu serta institusi kewangan antarabangsa mengehadkan atau membatalkan hubungan perniagaan dengan individu dan perniagaan Malaysia (de-risking).

Penutup

Sebagai kesimpulan, saya ingin sekali lagi merakamkan ucapan penghargaan atas usaha semua wakil bidang yang berada di sini – penjawat awam, pihak berkuasa penguatkuasaan, Ketua Pegawai Eksekutif, setiausaha syarikat, akauntan dan peguam. Komitmen dan ketekunan anda semualah yang telah menyumbang kepada kejayaan kita dalam mendedahkan jenayah kewangan setakat ini.

Dalam usaha kita untuk maju ke hadapan, penting untuk kita bangkit menghadapi cabaran berikutan landskap jenayah yang kompleks dan semakin berkembang. Memandangkan kekuatan kita bergantung pada jalinan kita yang terlemah, saya menggesa kita semua untuk menerapkan pendekatan secara seluruh negara. Sangat penting bagi pengawal selia, pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang dan institusi pelapor bekerjasama rapat secara strategik dalam semua bahagian: sama ada pengesanan, analisis, penguatkuasaan, perkongsian pengetahuan atau pembinaan keupayaan. Kita perlu bergabung tenaga bersama-sama dalam usaha ini. 

Bagi melindungi perniagaan dan sistem kewangan daripada disalahgunakan untuk kegiatan jenayah, kita memainkan peranan demi memastikan Malaysia yang lebih makmur. Ketangkasan dan keberkesanan tindak balas kita terhadap ML/TF akan menjadi komitmen yang paling jelas bagi memastikan jenayah tidak memberikan sebarang manfaat. Usaha ini merupakan tanggungjawab bersama.

Akhir kata, saya berharap agar anda semua akan memperoleh manfaat daripada perbincangan yang dapat memberikan pemahaman yang jelas serta produktif dalam persidangan hari ini.

Terima kasih sekali lagi saya ucapkan. Assalamu’alaikum.


[1] https://www.unodc.org/unodc/en/money-laundering/overview.html

[2] Targeted Update on Implementation of the FATF Standards on Virtual Assets and Virtual Asset Service Providers: https://www.fatf-gafi.org/en/publications/Fatfrecommendations/targeted-update-virtual-assets-vasps-2023.html

[3] Akademi Latihan Suruhanjaya Syarikat Malaysia

[4] Termasuk syarikat amanah


Bank Negara Malaysia
25 Julai 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?