Ucaptama Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di AVPN Global Conference 2025
Hong Kong | 10 September 2025
‘Memangkin Kewangan Asia untuk Insan dan Bumi’
Kita kini berada pada suku perjalanan menuju Abad Asia. Persoalannya bukan lagi tentang sama ada Asia akan berkembang, tetapi cara perkembangan itu akan berlaku dan sama ada kemakmuran yang terhasil nanti merupakan kemakmuran “tanpa penyesalan”, kerana pertumbuhan yang pesat datang seiring dengan tanggungjawab yang berat.
Walaupun kemajuan yang dicapai amat mengagumkan, kemakmuran di seluruh rantau kita masih tidak seimbang. Ratusan juta orang telah memasuki kelas pertengahan, namun terlalu ramai yang masih ketinggalan dalam pekerjaan tidak formal, dengan akses yang terhad kepada kewangan atau perlindungan sosial.
Pada masa yang sama, tekanan terhadap planet semakin meningkat. Asia merupakan pemacu utama pertumbuhan dunia dan juga semakin menjadi penyumbang utama kepada pelepasan gas rumah hijau global. Asia juga berdepan dengan kesan perubahan iklim yang ketara. Ketika negara-negara maju membuat pelarasan semula pada agenda kelestarian mereka, Asia tidak mampu memperlahankan usahanya. Malah, inilah masanya untuk kita memacu usaha tersebut; bukan untuk bersaing, tetapi untuk memastikan keadaan kita tidak semakin terjejas.
Ketidakseimbangan ini jelas. Jika tidak dikawal, kuasa yang mendorong kebangkitan Asia juga berupaya untuk mengancam masa depan rantau ini. Namun begitu, meskipun berdepan dengan cabaran ini, Asia memiliki keupayaan untuk membina kemakmuran yang inklusif dan mampan.
Pertama, pusat tumpuan ekonomi dunia telahpun beralih ke timur. Tumpuan ini dijangka berada antara India dengan China dalam tempoh kurang daripada 5 tahun;[1] berdekad lebih awal daripada tempoh yang pernah diramalkan oleh rakan senegara saya, Profesor Danny Quah.[2] Asia kini telah menyumbang lebih daripada 60% pertumbuhan ekonomi global.[3] Perdagangan antara negara Asia kini melebihi perdagangan antara Asia dengan seluruh dunia, serta dijangka meningkat sebanyak USD400 bilion setiap tahun dalam tahun-tahun yang akan datang.[4]
Kedua, kita mempunyai sumber modal jangka panjang yang besar. Rantau Asia dikaitkan dengan kadar simpanan yang tinggi,[5] sistem pencen yang dikendalikan oleh kerajaan, dana kekayaan negara dan konglomerat milik keluarga. Kesemua sumber ini menyokong keupayaan dan mandat rantau ini untuk merangka wawasan jangka panjang dan bukan sekadar perancangan jangka pendek. Di negara seperti Malaysia dan Indonesia, keteguhan kewangan Islam menyediakan sumber modal berjangka panjang serta berasaskan perkongsian risiko.
Ketiga, kelebihan struktur ini juga disokong oleh kelebihan dari segi budaya. Di kebanyakan negara Asia, pemahaman kendiri dibentuk melalui hubungan dan tanggungjawab dalam ruang lingkup tatanan moral (moral order) jangka panjang yang saling berkait. Di rantau ini, tradisi dan keharmonian sosial lebih penting daripada autonomi individu. Jika diselaraskan dengan cabaran masa kini, naluri budaya yang diungkapkan melalui struktur modal memberikan kelebihan unik untuk menggembleng modal bagi kemakmuran yang berkekalan tanpa penyesalan.
Dalam lingkungan kisah Asia ini, ASEAN semakin menjadi tumpuan utama. Persatuan Negara-negara Asia Tenggara sedang muncul sebagai sumber pertumbuhan yang stabil dalam dunia yang kian tidak menentu dan pelbagai polar.
Kini, ASEAN sudah pun menjadi ekonomi kelima terbesar dunia. Gabungan KDNK ASEAN sebanyak lebih USD3.9 trilion,[6] dan dijangka melebihi USD5 trilion sebelum tahun 2030,[7] akan meletakkan ASEAN di belakang Amerika Syarikat, China dan Jerman menjelang akhir dekad ini.
Momentum ini mendapat sokongan daripada penduduk sebanyak 670 juta orang dan semakin meningkat, dengan usia median 30 tahun.[8] Pada dekad ini, ASEAN dijangka menambah lebih 130 juta pengguna kelas pertengahan,[9] dan jumlah ini seumpama mencipta sebuah negara Jepun yang baharu.
Hal yang menarik bukan sahaja pada skala pertumbuhan, tetapi juga daya tahannya. Meskipun tidak berbentuk garis lurus, pertumbuhan KDNK ASEAN telah mencatatkan purata 4.8% untuk dua dekad lalu[10]. Purata ini dicapai sambil kita mengharungi krisis kewangan, pandemik dan peralihan tatanan global. Faktor daya tahan inilah yang menyebabkan ASEAN menjadi nadi rantaian bekalan global, daripada komoditi pertanian kepada semikonduktor, dan sumber asli untuk bidang baharu dalam teknologi bateri.
Sepanjang tahun lepas, selaras dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, saya memerhatikan lonjakan minat yang luar biasa terhadap rantau ini. Dari Hanoi ke Denpasar, peneraju perniagaan dan pemimpin kerajaan telah berusaha untuk mencapai integrasi serantau yang lebih padu. Bukan sahaja perdagangan dalam kalangan negara ASEAN, malah terdapat minat yang semakin meningkat untuk mengadakan pelaburan dan perkongsian strategik dengan Asia Tenggara. Peningkatan premium risiko yang meningkat di Barat, berikutan perubahan landskap geopolitik dan jalinan perdagangan baharu, bersama-sama dengan trajektori pertumbuhan Asia Tenggara, menjadikan pasaran rantau ini semakin menarik.
Di sini, terdapat peluang yang luas untuk pelaburan berimpak. Contohnya, purata penggunaan elektrik per kapita di ASEAN adalah sebanyak 3,500 kilowatt-jam (kilowatt-hour, kWh),[11] yang jauh bawah penanda aras 6,000 kilowatt-jam untuk sesebuah ekonomi moden.[12] Dengan kadar pembangunan penjanaan kuasa di negara-negara ASEAN, tahap penggunaan elektrik ini hanya dapat dicapai dalam tempoh antara 21 hingga 327 tahun walaupun dengan pergantungan pada arang batu.[13] Inilah sebabnya ASEAN Power Grid merupakan satu penemuan ulung yang berdaya transformasi; memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan menjana pertumbuhan, sambil melonjak ke arah sistem tenaga yang lebih bersih dan lebih terhubung.
Beberapa negara di rantau ini boleh berfungsi sebagai platform pelancaran yang selamat. Meskipun menghadapi cabaran yang sama seperti negara ASEAN lain, negara-negara ini memiliki kestabilan dan kekukuhan kewangan yang mengurangkan risiko inovasi. Malaysia pastinya merupakan salah satu negara tersebut.
Namun, sesebuah pasaran baharu hanya bernilai jika modal dapat mengalir dan model dapat berkembang. Bagi merealisasikan potensi untuk menjadi peluang pelaburan, sistem kewangan di Asia perlu menguasai tiga perkara dengan tepat.
Pertama, kita perlu lebih cekap dalam merangka struktur risiko untuk menggembleng modal pada skala besar. Banyak kerajaan pada masa kini menanggung beban fiskal yang besar dan yang tertinggi dalam sejarah, melebihi USD100 trilion.[14] Memandangkan besarnya cabaran pembangunan mampan yang kita hadapi, ruang fiskal yang terhad ini bermakna belanjawan kerajaan semata-mata tidak mampu membiayai peralihan yang diperlukan.
Walaupun begitu, Asia pada masa ini kurang menggunakan kewangan campuran bagi infrastruktur berbanding dengan Afrika.[15] Keadaan ini bukan disebabkan kekurangan peluang, tetapi kerana risiko tidak dinilai dengan sewajarnya dan rangkaian projek yang belum cukup bersedia. Namun jika kita boleh mengetengahkan cabaran rantau ini bukan sebagai ketidaktentuan tetapi risiko yang dapat diukur, kita boleh merungkai sumber modal lebih besar yang sudah pun tersedia di Asia.
Di sinilah kewangan Islam menawarkan kelebihan struktur melalui infrastruktur sedia ada untuk perkongsian risiko. Sukuk bersandarkan aset nyata, perkongsian untung rugi, zakat dan wakaf sebagai kerugian awal yang bersifat pemangkin; ini adalah struktur kewangan yang dirangka untuk kewangan campuran. Di pasaran seperti Malaysia dan Indonesia, yang matang daripada aspek kewangan Islam, asas-asasnya sudah tersedia. Persoalannya, apakah potensi yang boleh kita bina bersama daripada asas ini?
Keutamaan kedua adalah untuk membangunkan platform bagi produktiviti yang inklusif. Teknologi telah membolehkan kita menjangkau mereka yang dahulunya berada di luar sempadan kewangan. Inovasi seperti jalinan sistem pembayaran yang mantap, e-KYC dan protokol data terbuka membantu berjuta-juta individu keluar daripada sistem tidak formal. Pendigitalan dan AI membantu kita menguruskan risiko dengan lebih baik, mengurangkan kos pembiayaan dan menawarkan perkhidmatan yang lebih khusus dan bersesuaian.
Namun, rangkuman perlu melangkaui akses dan kecekapan. Kredit wajar disalurkan kepada aset yang meningkatkan daya tahan dan produktiviti, bukan hanya untuk penggunaan. Keadaan ini telah mula kelihatan. Di Malaysia, program iTEKAD (yang bermaksud "Saya bertekad" dalam bahasa Melayu) menawarkan penyelesaian kewangan campuran kepada usahawan mikro. Risiko program ini dikurangkan melalui derma dan modal permulaan – sebahagiannya adalah daripada zakat, satu bentuk pemberian wajib dalam Islam yang digunakan untuk menyokong golongan miskin dan memerlukan. iTEKAD juga menawarkan latihan berstruktur tentang kemahiran perniagaan yang relevan, dan telah meningkatkan kesejahteraan bagi lebih 9,000 usahawan mikro[16] yang menyertai program ini. Program ini memartabatkan mereka bukan sahaja dengan peningkatan pendapatan tetapi juga keupayaan untuk mencipta peluang pekerjaan bagi orang lain. Ada antara para usahawan ini yang bermula di gerai tepi jalan, dan kini beroperasi untuk pasaran antarabangsa. Bayangkan jika struktur seperti ini dapat diperluas ke seluruh Asia, menggalakkan pertumbuhan yang inklusif dan mengangkat jutaan individu daripada sekadar bertahan untuk kelangsungan hidup kepada tahap keusahawanan.
Keperluan ketiga adalah untuk menyokong ekosistem, bukan hanya projek yang dibuat sekali. Pada abad ke-20, kerajaan Asia terkenal dengan menggunakan dasar industri untuk memilih pemenang. Daripada keluli kepada pembinaan kapal hinggalah cip mikro dan K-pop, pendekatan ini menghasilkan kejayaan luar biasa. Namun paradoks pembangunan mampan yang kita hadapi hari ini terlalu kompleks dan intensif modal untuk ditanggung oleh kerajaan semata-mata. Apa yang diperlukan sekarang bukan lagi sekadar dasar industri tetapi penghasilan bersama oleh industri: iaitu kerajaan menghimpunkan syarikat korporat, pemodal, pakar teknologi dan komuniti untuk bersama-sama merangka penyelesaian ekosistem.
Malaysia telah mula memodelkan pendekatan ini. Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL) kini dibuka bagi perniagaan untuk menguji prototaip penyelesaian kewangan baharu untuk projek berkaitan iklim dan alam semula jadi. Inisiatif Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain, GVC) menyelaraskan syarikat korporat utama dengan pembekal PKS mereka untuk langkah pengurangan karbon dalam seluruh rantaian bekalan melalui pembiayaan dan sokongan teknikal. Semua tindakan ini merupakan petanda awal jenis baharu penghasilan bersama industri ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sebagai penutup, Asia memiliki keupayaan untuk menangani cabaran besar yang kita hadapi hari ini. Melalui platform seperti AVPN, yang menggabungkan penyumbang dana daripada pelbagai sumber modal dengan inovator dan pembuat dasar, semua kekuatan ini boleh diselaraskan dan terus diperkukuh. Usaha ini akan dijayakan kerana kita yang berada di sini memilih untuk menggerakkan keupayaan kita secara kreatif demi membina kemakmuran berkekalan yang akan dikenang oleh generasi akan datang tanpa penyesalan. Akhir kata, ribuan terima kasih atas undangan ini serta perhatian para hadirin sekalian.
References
[1] Allianz Global Investors (2021, Januari 18). Asia Post Covid-19. Allianz Economic Research. https://www.allianz.com/en/economic_research/insights/publications/specials_fmo/2021_01_18_AsiaPostCovid19.html
[2] Quah, D. (2011). The global economy's shifting centre of gravity. Global Policy, 2(1), 3-9. https://doi.org/10.1111/j.1758-5899.2010.00066.x
[3] Tabung Kewangan Antarabangsa (2024, November). Regional economic outlook for Asia and Pacific: Resilient growth but higher risks. https://www.imf.org/en/Publications/REO/APAC/Issues/2024/10/31/regional-economic-outlook-for-asia-and-pacific-october-2024
[4] World Economic Forum (2025, Januari). How Asian markets will respond to changes in demand & trade. World Economic Forum. https://www.weforum.org/stories/2025/01/how-asian-markets-respond-changes-demand-and-trade/. Menurut laporan ini, “Nearly 60% of Asia’s trade is now conducted with regional trade partners, up from 53% in 2000.” WEF mengunjurkan bahawa “intra-regional trade will continue to rise 65%, or $400 billion per year by 2030.”
[5] Wong, C. (2024, Julai 4). Are Asians saving too little or too much? And what does this mean for insurance? Peak Re. https://www.peak-re.com/media/sbzlxdzo/are-asians-saving-too-little-or-too-much-and-what-does-this-mean-for-insurance-2.pdf
[6] Bank Dunia (2024). GDP (current US$). World Development Indicators. https://data.worldbank.org/indicator/NY.GDP.MKTP.CD
[7] Tabung Kewangan Antarabangsa (2025). World Economic Outlook: GDP, current prices (NGDPD). https://www.imf.org/external/datamapper/NGDPD@WEO/OEMDC/ADVEC/WEOWORLD
[8] Database.Earth (2025). Median age in South-Eastern Asia. https://database.earth/population/south-eastern-asia/median-age
[9] SCB Thailand (2024). The rising of middle class in ASEAN. Siam Commercial Bank. https://www.scb.co.th/en/personal-banking/stories/business-maker/the-rising-of-middle-class-in-asean
[10] Yap, L. P., & Ramli, I. M. (Eds.). (2024, September). Services and investment liberalisation in ASEAN (ERIA Research Project Report FY2024 No. 18). Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA). https://www.eria.org/uploads/Services-and-Investment-Liberalisation-in-ASEAN.pdf
[11] ASEAN Centre for Energy (2024, September). The 8th ASEAN Energy Outlook (AEO8): 2023–2050. ASEAN Centre for Energy. https://aseanenergy.org/the-8th-asean-energy-outlook/
[12] Wirjawan, G. (2024, Mac 14). The Paradox of Sustainability: A Critique of the Modern World's Approach to Sustainable Development. Shorenstein Asia-Pacific Research Center, Stanford University. https://aparc.fsi.stanford.edu/publication/paradox-sustainability
[13] Wirjawan, G. (2024, Mac 14). The Paradox of Sustainability: A Critique of the Modern World's Approach to Sustainable Development. Shorenstein Asia-Pacific Research Center, Stanford University. https://aparc.fsi.stanford.edu/publication/paradox-sustainability. Pengiraan ini tidak termasuk Brunei dan Singapura, yang telah pun mencecah tanda aras 6,000 kWh.
[14] UNCTAD (2024, Jun 25). Global public debt hits record $102 trillion in 2024, striking developing countries hardest. United Nations Conference on Trade and Development. https://unctad.org/news/global-public-debt-hit-record-102-trillion-2024-striking-developing-countries-hardest
[15] Convergence Blended Finance (2025). The State of Blended Finance 2025. Convergence.
[16] Bank Negara Malaysia (2025). Inisiatif iTEKAD. /itekad diakses pada 4 September 2025
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.
