Ucaptama Gabenor di International Conference on Financial Crime and Terrorism Financing (IFCTF) 2022

Kuala Lumpur | 26 Julai 2022

Saya berbesar hati kerana dapat kembali berucap di persidangan ini selepas dua tahun. Banyak perubahan telah berlaku sepanjang dua tahun ini sambil kita menyesuaikan diri dengan kehidupan bersama COVID-19. Seperti   negara-negara lain, kita menyemai hasrat dengan penuh harapan dan ketabahan bahawa pandemik ini sudah menjadi sebahagian daripada masa silam kita. Walau bagaimanapun, tempoh yang luar biasa dalam sejarah kita ini akan sentiasa menjadi peringatan bahawa kita tidak sekali-kali mampu berehat dalam perjuangan memerangi jenayah kewangan. Sepanjang tempoh pandemik, jenayah kewangan yang dilaporkan telah meningkat dengan ketara di banyak negara. Hal ini kerana penjenayah mengeksploitasi keadaan yang diakibatkan oleh pandemik ini untuk melakukan jenayah kewangan. Bagi banyak individu yang menjadi mangsa, situasi mereka yang sememangnya sudah sedia sukar menjadi semakin teruk akibat terpedaya dengan jenayah ini. Kewujudan usaha seperti IFCTF menyediakan peluang kepada kita memperbaharui iltizam untuk mencegah sistem kewangan daripada disalah guna bagi tujuan jenayah atau mengakibatkan ketakutan dalam masyarakat.

Jenayah kewangan meninggalkan kesan langsung dan mempunyai impak penting ke atas prospek ekonomi negara. Oleh itu, izinkan saya meneruskan ucapan pada hari ini dengan beberapa pemerhatian tentang ekonomi kita.

Malaysia berada pada landasan pemulihan yang kukuh. Ekonomi kita dijangka mencatatkan pertumbuhan yang stabil pada tahun 2022 dan 2023 dengan disokong oleh aktiviti dalam negeri yang teguh dan permintaan luaran yang positif, meskipun adanya cabaran yang berterusan daripada tekanan kenaikan harga, konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

Negara kita sedang mendapat manfaat daripada permintaan eksport yang kukuh, terutamanya produk E&E dan produk berasaskan komoditi. Produk dan pasaran eksport kita yang pelbagai akan terus menyokong pertumbuhan eksport negara. Yang penting,  permintaan dalam negeri dilihat semakin kukuh. Perbelanjaan dalam negeri sedang meningkat, terutamanya perbelanjaan pengguna. Malah, jualan runcit, transaksi kad debit dan import barangan pengguna telah melangkaui tahap sebelum pandemik.

Ekonomi juga mendapat manfaat daripada pasaran pekerjaan yang semakin teguh. Meskipun kadar pengangguran telah mencapai tahap tertinggi sebanyak 5.3% pada bulan Mei 2020, kini kadar tersebut berada pada 3.9%. Hampir 26,000 kerja baharu telah diwujudkan pada tiga bulan pertama tahun ini, sama seperti tahap sebelum pandemik. Kerja kosong dan upah juga meningkat. Keadaan ini akan mengukuhkan lagi pemulihan permintaan dalam negeri pada masa hadapan.

Meskipun begitu, kadar pemulihan ekonomi agak tidak sekata. Sesetengah segmen tertentu terus mengalami kesukaran dan masih mudah terjejas. Segmen ini termasuk isi rumah berpendapatan rendah yang lebih ketara terjejas oleh tekanan harga yang meningkat. Khususnya, kenaikan harga makanan telah menjejaskan golongan ini pada tahap yang lebih tinggi. Peningkatan wanita dan belia yang diambil bekerja juga ketara lebih perlahan.

Kenaikan harga sememangnya merupakan fenomena global.

Bagi Malaysia, kesan langsung daripada harga minyak yang lebih tinggi terhadap inflasi keseluruhan telah dikurangkan sebahagian besarnya oleh kawalan harga ke atas bahan api dan barangan makanan keperluan. Walau bagaimanapun, masih terdapat kesan tidak langsung daripada harga komoditi global yang tinggi kerana harga komoditi merupakan pendorong utama kenaikan kos input pengeluar.

Perkembangan inflasi di Malaysia pada tahun ini mencerminkan kesan pindahan beberapa kos tersebut, serta permintaan dalam negeri yang semakin kukuh. Seterusnya, sungguhpun inflasi keseluruhan diunjurkan kekal rendah dan stabil serta berada dalam lingkungan 2.2% hingga 3.2% pada tahun 2022, inflasi teras meningkat kepada purata sebanyak 2.2% pada enam bulan pertama tahun 2022 berbanding dengan 0.7% pada tahun 2021.

Apabila ekonomi kini berada pada trajektori pertumbuhan yang lebih kukuh dan tidak lagi berada dalam keadaan krisis, Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) telah membuat penilaian pada bulan Mei dan Julai tahun ini bahawa kini merupakan masa yang wajar untuk mula mengurangkan sokongan monetari yang berlebihan dan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) daripada paras terendah yang pernah dicatatkan, iaitu 1.75%.

Apa yang penting ialah apabila kita bertindak lebih awal, kita akan bersedia untuk membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari di Malaysia secara terkawal dan beransur-ansur bagi mengelakkan pemulihan ekonomi tersekat. Yang penting, tindakan ini juga bertujuan untuk memulihkan keadaan yang akan menyokong pertumbuhan yang mampan dalam jangka sederhana dan jangka panjang. Oleh itu, masa, kadar dan tahap kenaikan OPR akan berpandukan penilaian tentang bagaimana perkembangan keadaan ekonomi dan kewangan di dalam negeri dan pada peringkat global akan mempengaruhi prospek inflasi dan pertumbuhan negara. Ingin saya tegaskan bahawa dasar monetari di Malaysia kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

Bank Negara Malaysia juga terus menggunakan instrumen yang sedia ada bagi memastikan pergerakan ringgit yang teratur, dalam persekitaran dasar monetari yang diperketat secara agresif oleh Federal Reserve AS. Indeks dolar AS meningkat kepada 11.5% pada tahun ini, iaitu nilai indeks yang tertinggi dalam dua dekad.

Secara relatif, nilai kebanyakan mata wang utama dan serantau telah menurun berbanding dengan dolar AS, termasuk ringgit. Walau bagaimanapun, ringgit kekal stabil secara keseluruhan apabila dibandingkan dengan mata wang negara-negara rakan perdagangan utama. Malah, kadar pertukaran efektif nominal Malaysia hanya mencatatkan penurunan nilai yang kecil, iaitu sebanyak kira-kira 0.1%.

Pendek kata, ekonomi Malaysia sedang terus pulih.

Oleh itu, sangat penting untuk kita memastikan adanya asas-asas ekonomi yang kukuh, lebih-lebih lagi pada masa kini, supaya kita dapat memperteguh daya tahan bagi menghadapi krisis pada masa hadapan serta menyokong negara ke arah memanfaatkan sepenuh potensi yang ada. Kita memerlukan langkah-langkah yang mampu mengatasi kelemahan jangka panjang dan mengutuhkan daya tahan kita terhadap kejutan masa hadapan.

Kita perlu membawa masuk lebih banyak pelaburan bermutu yang dapat meningkatkan kecanggihan ekonomi negara serta mewujudkan pekerjaan yang berkualiti untuk rakyat Malaysia. Kita perlu menghidupkan dan menghayati agenda kelestarian. Kita juga perlu memperbaharui sistem subsidi supaya menjadi lebih bersasar dan memperkukuh rangka kerja perlindungan sosial di negara ini.

Tidak dapat disangkal lagi, kita memerlukan pertumbuhan yang inklusif supaya semua rakyat Malaysia dapat meraih manfaat. Walaupun bantuan bersasar terus disediakan bagi membantu segmen masyarakat yang masih berhadapan dengan kesan krisis yang berlarutan, kesan ekonomi dan sosial daripada jenayah kewangan amat membebankan golongan ini. Secara umumnya, gangguan ekonomi dan kerugian yang diakibatkan oleh jenayah kewangan juga boleh memberikan ancaman terhadap prospek pertumbuhan negara.

Walaupun terdapat banyak isu berkaitan jenayah kewangan yang boleh saya bicarakan pada hari ini, saya ingin memberikan tumpuan pada isu yang mendapat perhatian ramai iaitu jenayah siber. Kini, jenayah siber merupakan ancaman global. Pada tahun 2020, McAfee melaporkan bahawa jenayah siber telah menyebabkan kerugian lebih 1 trilion dolar kepada ekonomi global, atau lebih 1% daripada KDNK global.

Malaysia tidak terkecuali daripada ancaman yang semakin meluas ini. Seperti yang ditunjukkan oleh National Risk Assessment 2020, fraud – yang termasuk jenayah siber – adalah antara jenayah berisiko tinggi yang paling banyak direkodkan di negara ini, dengan jumlah kes dan kerugian yang ditanggung adalah lebih banyak berbanding dengan penilaian yang dijalankan sebelum ini pada tahun 2017. Pada tahun 2021 sahaja, lebih 20,000 jenayah siber dilaporkan yang melibatkan kerugian sebanyak RM560 juta. Antara tahun 2017 hingga bulan Julai 2021, rakyat Malaysia menanggung kerugian kira-kira RM2.23 bilion akibat jenayah siber. Apabila semakin ramai orang beralih kepada telefon bimbit untuk membuat transaksi dalam talian, kita juga melihat lebih banyak insiden fraud perbankan dalam talian yang membabitkan perisian hasad mudah alih.

Meskipun kerugian akibat fraud kekal rendah sebagai bahagian daripada jumlah nilai transaksi perbankan dalam talian, kerugian ini menunjukkan wujudnya ancaman serta sifatnya yang berubah-ubah apabila masyarakat menerapkan norma baharu dalam kehidupan seharian dan semasa menjalankan perniagaan. Penjenayah sememangnya mengeksploitasi penggunaan teknologi yang semakin berleluasa baru-baru ini dan trend ini tidak akan beralih arah. Oleh itu, usaha mengukuhkan pertahanan sistem kewangan untuk menghadapi ancaman dan kelemahan yang baru muncul perlu terus menjadi keutamaan yang penting.

Dalam Pelan Sektor Kewangan yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini, kami memberikan penekanan pada perlunya pemantapan ketersediaan dan tindak balas keselamatan siber, bukan sahaja dalam sektor kewangan malah dalam seluruh rantaian perkhidmatan kewangan termasuk penyedia perkhidmatan pihak ketiga, seperti syarikat komunikasi dan penyedia perkhidmatan awan. Hal ini kerana kekuatan pertahanan terhadap ancaman siber bergantung pada faktor yang paling lemah dalam rantaian tersebut.

Keutamaan penting Bank Negara Malaysia dan industri kewangan yang berterusan adalah untuk memastikan saluran perbankan dan pembayaran kami kekal selamat serta dilengkapi dengan kawalan keselamatan dan keupayaan pengurusan risiko fraud yang terkini. Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan banyak panduan keselamatan kepada industri mengenai modus operandi fraud terkini dan langkah balas tambahan serta akan terus mengemas kini keperluan pengawalan bagi mengambil kira risiko baharu. Sebagai contoh, bagi mengukuhkan lagi langkah keselamatan transaksi dalam talian, bank-bank dikehendaki beralih daripada “kata laluan sekali sahaja” (one-time password) yang berasaskan SMS kepada kaedah pengesahan berbilang faktor yang lebih selamat untuk transaksi tertentu.

Berdasarkan cirinya, pelaku fraud dan penipuan akan sentiasa mencari jalan untuk memintasi usaha membanteras kegiatan mereka. Bak kata pepatah, bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh itu, dalam usaha memerangi penipuan, kita perlu terus memastikan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan yang kukuh bagi menghadapi ancaman yang mungkin timbul tanpa menambah pergeseran secara berlebihan yang akan menjejaskan mudahnya penggunaan perkhidmatan kewangan dalam talian serta akses kepada perkhidmatan tersebut.

Untuk kita mencapai matlamat ini, pelanggan juga perlu mengambil langkah-langkah bagi melindungi diri mereka daripada ancaman yang berubah-ubah ini. Semua institusi kewangan dikehendaki menyampaikan maklumat dan mendidik pelanggan mereka dengan sewajarnya tentang langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan, serta cara-cara pelanggan boleh dan seharusnya melindungi diri mereka. Pada masa yang sama, pelbagai inisiatif pendidikan dan kesedaran sedang dilaksanakan oleh agensi yang berkenaan termasuk Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) dan Bank Negara Malaysia, seperti melalui halaman Facebook Amaran Scam (facebook.com/amaranpenipuan).

Kami juga bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pihak berkuasa lain untuk menyiasat insiden fraud serta memberikan bantuan dan sokongan kepada mangsa. Scam Response Centre PDRM yang ditubuhkan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia, SKMM dan industri kewangan bertujuan untuk memastikan tindakan segera dapat diambil bagi menghalang kerugian kewangan selanjutnya serta usaha untuk mendapatkan semula dana yang dicuri. Bagi hal ini, pelanggan perlu membuat aduan kepada bank mereka dan pihak polis sebaik sahaja menyedari bahawa mereka telah ditipu. Kami komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa lain bagi memperkukuh pengaturan sedia ada dalam usaha berterusan untuk membanteras fraud dan jenayah kewangan. Kerjasama ini termasuk perkongsian sumber, kepakaran dan data serta langkah-langkah pencegahan secara bersama.

Pegawai pematuhan dalam industri kewangan juga perlu memainkan peranan masing-masing iaitu berwaspada tentang jenis-jenis penipuan yang baru muncul serta memastikan langkah-langkah tindak balas kekal berkesan terhadap ancaman baharu. Saya menggesa seluruh warga bidang pematuhan, termasuk badan pengawalseliaan kendiri, supaya mengambil peranan utama untuk mengenal pasti tanda amaran dan membangunkan panduan bagi mengurangkan ancaman-ancaman ini.

Pada tahun 2019, kami melancarkan MyFINet bagi membantu perkongsian risikan tentang jenayah kewangan. Sejak penubuhannya, platform ini telah berjaya membantu menyokong tindakan yang mejurus kepada pendakwaan dan pengusiran individu yang disyaki terlibat dengan pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan (proliferation financing).

Kami akan terus memanfaatkan MyFINet untuk membantu perkongsian maklumat mengenai trend terkini dan jenis penipuan pada dunia moden ini supaya kita dapat belajar daripada satu sama lain. Selain itu, Bank Negara Malaysia juga akan bersama-sama dengan industri kewangan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengkaji pengaturan lain bagi pertukaran maklumat mengenai penipuan dengan pihak berkuasa asing termasuk unit risikan kewangan asing. Tindakan ini berikutan rangkaian jenayah kewangan yang semakin kompleks, memandangkan jenayah kewangan tidak mengenal  sempadan.

Meskipun saya banyak memberikan tumpuan pada fraud, kita juga perlu ingat bahawa jenayah lazimnya saling berkait. Oleh itu, kita juga perlu tekun dan berwaspada dalam usaha memerangi semua jenayah, khususnya jenayah berisiko tinggi yang telah dikenal pasti dalam NRA 2020 seperti penyelewengan, jenayah terancang dan pengedaran dadah secara haram. Jenayah alam sekitar melibatkan pengimportan haram sisa plastik dan pembuangan sampah secara haram yang menyumbang kepada risiko perubahan iklim juga semakin meningkat. Sebagai ahli profesional dalam bidang anda, mustahak untuk kita peka dengan risiko-risiko ini apabila kita terus memantapkan tindak balas individu dan kolektif terhadap risiko tersebut. Oleh itu, saya ingin menggesa dan mengingatkan anda semua: banyak yang telah kita lakukan pada masa lalu, namun kita tidak boleh leka.

Seperti yang disorotkan oleh tema persidangan ini, kita kini berada pada sempadan pematuhan baharu. Usaha menentang jenayah kewangan perlu dilakukan pada pelbagai aspek dan kekuatan rantaian kita bergantung pada pautan yang paling lemah. Demi meraih kejayaan, kita memerlukan semua pihak yang terdiri daripada sektor swasta, pengawal selia, agensi penguatkuasaan undang-undang dan pelanggan, untuk memainkan peranan masing-masing iaitu membuat penyesuaian terhadap ancaman baharu ini, membuat perubahan pada diri sendiri bagi menangani cabaran ini dan bekerjasama untuk melindungi integriti sistem kewangan negara kita.

Lihat juga: Slaid Pembentangan bagi Ucaptama Gabenor di IFCTF 2022

 


Bank Negara Malaysia
26 Julai 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?