Ucaptama oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di Pelancaran Awal Pusat Kecemerlangan Tun Ismail Ali dalam Bidang Ekonomi Monetari dan Kewangan
Asia School of Business | 20 Januari 2025
Saya amat berbesar hati dan bersyukur kerana dapat berada bersama-sama para hadirin hari ini di majlis pelancaran Pusat Kecemerlangan Tun Ismail Ali (Tun Ismail Ali Centre of Excellence, TIA CoE) dalam Bidang Ekonomi Monetari dan Kewangan, di Asia School of Business (ASB) ini.
Inisiatif ini, yang dahulunya dikenali sebagai Kursi Tun Ismail Ali (Tun Ismail Ali Chair, TIAC), telah berkembang di bawah naungan Universiti Malaya sejak 20 tahun yang lalu. Sejak penubuhannya pada tahun 2000, kejayaan Kursi Tun Ismail Ali dalam memupuk penyelidikan inovatif dan sumbangan akademik merupakan lambang warisan Tun Ismail Ali. Kami amat berterima kasih kepada Universiti Malaya dalam hal ini, atas sokongan yang tidak berbelah bahagi dan kerjasama berharga daripada mereka yang telah membina asas yang kukuh untuk Kursi Tun Ismail Ali.
Sebagai permulaan, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz. Inisiatif yang kita raikan hari ini merupakan cerminan komitmen beliau untuk memupuk kecemerlangan dalam komuniti akademik tempatan, serta dedikasi beliau yang telah membuka laluan ke arah usaha ini. Kejayaan Kursi Tun Ismail Ali banyak bergantung pada aspirasi utuh Tan Sri Zeti untuk melahirkan cendekiawan cemerlang dalam bidang ekonomi monetari dan kewangan. Kami juga amat terhutang budi atas peranan penting beliau dalam penubuhan Asia School of Business. Usaha dan komitmen Tan Sri Zeti merupakan pemangkin yang meletakkan ASB sebagai institusi terkemuka untuk pendidikan tinggi dan penyelidikan di rantau ASEAN. Kami benar-benar berbesar hati untuk meneruskan warisan beliau di ASB.
Saya juga berbesar hati untuk mengalu-alukan penyampai utama kita yang dihormati, iaitu Profesor Helene Rey yang merupakan Profesor Ekonomi di London Business School. Kita bertuah atas kesudian sarjana yang berwibawa ini untuk meluangkan sedikit masa dalam jadual beliau yang ketat untuk bersama-sama dengan kita pada hari ini.
Warisan Almarhum Tun Ismail Ali
Para hadirin sekalian,
Seiring dengan berhimpunnya kita di sini pada hari ini, marilah kita merenung kembali warisan Almarhum Tun Ismail Ali, dan sumbangan penting beliau kepada landskap kewangan dan ekonomi Malaysia. Beliau ialah perintis bidang perbankan pusat di Malaysia, dan kepimpinan berwawasan beliau membentuk asas bagi banyak institusi yang kita miliki hari ini. Tun dikenali sebagai seorang insan yang berprinsip, khususnya kejujuran dan integriti. Usaha gigih beliau memburu kecemerlangan serta daya intelek beliau yang mengagumkan telah digandingkan dengan nyala rasa yang mendalam untuk berkhidmat demi negara.
Antara peninggalan abadi beliau sebagai warga Malaysia pertama yang menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia ialah pengenalan ringgit Malaysia pada tahun 1967 bagi menggantikan dolar Malaya. Ini merupakan langkah penting dalam mewujudkan rangka kerja dasar monetari. Menerusia kepimpinan beliau, Tun Ismail Ali membuka laluan untuk sistem kewangan yang berkembang pesat, serta mengawasi pertumbuhan bank domestik sebagai pendukung segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Memetik kata-kata Tun Ismail Ali sendiri, “Peranan Bank Negara adalah untuk memastikan bahawa golongan kurang bernasib baik, petani, peniaga kecil, perusahaan kecil, perniagaan kecil dan individu, mempunyai akses mudah kepada pinjaman bank dengan syarat yang berpatutan.”[1] Petikan ini menggambarkan dedikasi beliau yang tidak berbelah bagi untuk berkhidmat demi negara dengan mewujudkan dasar yang memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat. Langkah ini, seiring dengan penubuhan pasaran Bursa Saham yang menjadi asas daya tahan pasaran kewangan Malaysia.
Hari ini, kita membuka lembaran baharu dengan penubuhan Pusat Kecemerlangan ini bersama-sama dengan ASB. Pusat ini meneruskan warisan Tun Ismail Ali. Meskipun misi memajukan kepakaran dalam bidang ekonomi monetari dan kewangan masih dikekalkan seperti saat penubuhan TIAC dua dekad yang lalu, Pusat ini akan memperluas skopnya untuk menangani cabaran masa kini. Perluasan ini termasuk meluaskan lagi jangkauan Pusat melalui libat urus dengan institusi tempatan, pelajar dan orang ramai yang akan mempertingkatkan keupayaan institusi pendidikan kita.
TIA CoE juga akan berfungsi sebagai pusat penyelidikan mengenai hal ehwal perbankan pusat, dengan fokus yang mendalam terhadap pasaran sedang pesat membangun. Pada masa akan datang, penganjuran persidangan, seminar, bengkel dan syarahan umum akan membolehkan Pusat ini memudahkan lagi penghasilan dan pertukaran ilmu pengetahuan dalam kalangan ahli akademik dan institusi.
Cabaran Dasar Monetari pada Masa Kini dan Masa Hadapan
Para hadirin sekalian,
Mari kita renungkan sejenak tentang landskap dasar monetari yang sedang berkembang serta kerumitan yang akan kita hadapi. Saya kongsikan beberapa pemerhatian menyeluruh berhubung dengan cabaran yang kita hadapi pada masa kini.
Penilaian risiko di bawah ketidakpastian Knightian
Sebagai perumus dasar, kita sedang mengemudi era yang penuh dengan ketidakpastian global. Meskipun dasar monetari lazimnya ada mengambil kira ketidakpastian, trend makroekonomi baru-baru ini termasuk kemajuan teknologi berterusan yang terhasil daripada pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan, serta dinamik geopolitik yang berubah-ubah telah meningkatkan lagi tahap ketidakpastian ini. Keadaan ini mendorong kita untuk menilai semula pendekatan terhadap dasar monetari dan meningkatkan fokus pada penilaian risiko, supaya penilaian ini diutamakan untuk menyokong proses membuat keputusan yang bermaklumat dan berkesan. Dalam konteks ini, saya ingin meninjau semula konsep ketidakpastian Knightian[2] (Knightian uncertainty). Konsep ini menunjukkan bahawa ada perbezaan ketara antara risiko dengan ketidakpastian. Risiko menunjukkan ketidakpastian dengan kebarangkalian yang diketahui dan dapat diukur. Sebaliknya, ketidakpastian boleh diterangkan dengan kejadian yang tidak diketahui dan tidak dapat diukur kebarangkaliannya untuk berlaku. Sangat penting untuk kita mengambil kira kedua-dua risiko dan ketidakpastian dalam perumusan dasar bagi memastikan kita dapat mengatasi cabaran makroekonomi secara berkesan.
Dalam menghadapi ketidakpastian ini, Malaysia tidak berbeza daripada seluruh dunia. Trend struktur yang saya nyatakan sebelum ini telah menghasilkan persekitaran yang menyukarkan pemahaman menerusi model ekonomi konvensional. Ketidakpastian yang tidak diketahui dan tidak dapat diukur ini menimbulkan cabaran besar kepada perumusan dasar. Untuk mengemudi cabaran dan ketidakpastian ini dengan lebih baik, kita terus mengkaji sempadan kaedah dan berusaha melangkaui pendekatan konvensional.
Kita perlu mempelbagaikan kaedah pengawasan. Sebagai contoh, BNM mempunyai pejabat wilayah untuk menjalankan pengawasan di lapangan dan berinteraksi dan berbincang secara aktif dengan industri yang berkaitan. Kami juga menggunakan data berfrekuensi tinggi untuk menilai keadaan ekonomi dan meluangkan banyak masa untuk menapis bahagian data sedemikian yang tidak relevan (noises). Pendekatan BNM terhadap dasar monetari tetap didorong oleh data dan berpandangan ke depan. Bagi tujuan ini, kami terus memantau rapi imbangan risiko berhubung dengan inflasi dan prospek pertumbuhan dalam negeri di Malaysia, dan akan memastikan bahawa pendirian dasar monetari kami kekal kondusif untuk pertumbuhan yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.
Dasar monetari dalam persekitaran pascaglobalisasi
Awal tahun 1990-an menyaksikan dunia memasuki era “hiperglobalisasi”, iaitu perdagangan berkembang dengan ketara lebih cepat berbanding dengan KDNK global. Integrasi rantaian bekalan global menurunkan kos dan menyebabkan inflasi yang rendah meskipun dengan dasar monetari yang agak longgar. Sememangnya perumusan dasar bank pusat dalam tempoh tersebut adalah lebih mudah secara relatif. Kini, trend terbaharu dunia yang tidak lagi bersifat global (deglobalisation), pengembalian ke negara asal (reshoring) dan pemecahan (fragmentation) rantaian bekalan, khususnya susulan pandemik dan ketegangan geopolitik yang berterusan, telah mengganggu andaian yang lama ini. Keadaan ini, ditambah dengan perkembangan pesat pendigitalan termasuk kemunculan Mata Wang Digital Bank Pusat (Central Bank Digital Currency, CBDC), mampu memberikan implikasi terhadap dasar monetari sama ada melalui kesan ketat dalam keadaan kewangan atau saluran transmisi dasar monetari yang lain.
Pemikiran konvensional mengenai dasar monetari dalam persekitaran ekonomi baharu yang dicirikan oleh peningkatan risiko dan pemecahan ini tidak lagi mencukupi. Dalam keadaan realiti baharu ekonomi ini, perumus dasar berhadapan dengan persoalan sama ada dinamik inflasi sedang beralih secara struktural, yang boleh menyebabkan perubahan dalam hubungan keluk Phillips (Phillips curve) tradisional, lantas menyulitkan tukar ganti antara kawalan inflasi dengan sokongan pertumbuhan. Tambahan lagi, satu lagi faktor yang berpotensi menyumbang kepada persekitaran yang lebih kompleks ialah kualiti dan ketepatan masa data ekonomi yang mungkin menghadapi cabaran dalam keadaan ketidakpastian global yang terus ketara.
Kesannya, pemikiran konvensional kita mengenai dasar monetari mungkin memerlukan penilaian yang lebih rapi. Meskipun andaian makroekonomi yang mapan (established) terus mendasari senario asas, tahap relevan andaian ini dalam persekitaran semasa semakin tidak dapat dipastikan. Konteks yang berkembang ini menimbulkan cabaran dalam unjuran dan seterusnya perumusan keputusan dasar monetari, yang menekankan keperluan untuk penyesuaian dan inovasi yang lebih besar dalam perbankan pusat.
Keluasan bidang yang belum diteroka berhubung dengan tukar ganti dan jalinan makrokewangan
Akhir sekali, salah satu cabaran paling rumit yang perlu diatasi oleh perumus dasar ialah hubung kait antara kestabilan monetari dengan kestabilan kewangan. Masih terdapat banyak bidang yang belum diteroka yang melibatkan potensi tukar ganti (trade-offs) dan jalinan antara kestabilan monetari dengan kestabilan kewangan.
Di sini, kita sangat bertuah Profesor Helene Rey ada bersama kita. Penyelidikan Profesor Rey mengenai kitaran kewangan global dan limpahannya kepada pasaran sedang pesat membangun menawarkan pandangan yang berharga dalam bidang ini. Penyelidikan beliau yang berpengaruh besar dalam bidang ekonomi monetari dan kewangan, terutamanya berkenaan kitaran kewangan global telah mendasari pemahaman kita, khususnya mengenai aliran modal dan kejutan luaran.[3] Saya begitu berminat dengan kajian beliau mengenai pengambilan risiko dalam kalangan perantara kewangan, yang telah mendedahkan tukar ganti yang tidak dijangka. Model ekonomi konvensional sering menunjukkan bahawa ejen kewangan seperti bank dan pelabur beroperasi secara serupa dari segi tingkah laku risiko. Namun, penyelidikan Profesor Rey menunjukkan bahawa memang terdapat perbezaan dalam kesanggupan mengambil risiko dalam kalangan perantara kewangan yang dapat mempengaruhi hasil agregat keputusan dasar dengan ketara.[4]
Seperti yang ditekankan dalam kajian beliau, dalam senario kadar faedah yang tinggi, pelonggaran dasar monetari dapat merangsang pelaburan dan menstabilkan ekonomi. Namun, pada tahap kadar faedah yang sangat rendah, pengurangan kadar selanjutnya akan menyebabkan risiko tertumpu dalam kalangan institusi yang paling banyak meminjam, lantas mewujudkan kelemahan kewangan. “Saluran pengambilan risiko dasar monetari" ini menekankan tukar ganti yang perlu dikekalkan oleh perumus dasar secara bijaksana.
Satu lagi bidang yang mustahak untuk dipertimbangkan ialah keselarasan antara dasar monetari dengan dasar fiskal yang semakin penting. Penubuhan rangka kerja institusi yang kukuh bagi menyelaraskan dasar-dasar ini memainkan peranan penting dalam memudahkan penyelarasan antara kedua-dua dasar dan pada masa yang sama mengekalkan kebebasan. Langkah ini akan memastikan potensi tukar ganti yang saya sebutkan sebelum ini dapat diuruskan dengan berkesan.
Meletakkan TIA CoE pada kedudukan bagi menangani cabaran-cabaran ini
Para hadirin sekalian,
Berbekalkan matlamat ini, kita kembali kepada Tun Ismail Ali, warisan beliau yang berkekalan dan kedudukan unik yang kini dimiliki oleh TIA CoE. Pusat ini dapat menyokong para perumus dasar untuk menangani cabaran makroekonomi global yang mendatang secara berkesan, dengan pengaturan yang dirancang lebih awal untuk dimulakan oleh Pusat ini. Pengaturan ini termasuk program Felo Pelawat (Visiting Fellowship) yang akan melibatkan sarjana dan pengamal dari seluruh dunia untuk menyumbang kepada misi kita dan memberikan panduan mengenai hala tuju Pusat ini berdasarkan pengalaman akademik mereka yang luas.
TIA CoE juga komited untuk menyediakan peluang latihan dan pembangunan. Rancangan telah diatur untuk sarjana pelawat, siri seminar, dan penubuhan bidang fokus bertema untuk penyelarasan dengan matlamat jangka panjang Pusat untuk pembinaan keupayaan. Dengan mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga mahir tempatan kita, Pusat ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan institusi kita secara keseluruhan. Oleh itu, saya sangat menggalakkan ahli akademik dari universiti tempatan untuk mengambil bahagian dan merebut peluang ini untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, dengan tujuan untuk mewujudkan ekosistem akademik ekonomi dan kewangan yang kukuh di Malaysia.
Kesimpulan
Para hadirin sekalian,
Sebagai kesimpulan, suka saya tegaskan semula tentang mandat utama Pusat ini, iaitu untuk memajukan penyelidikan dalam ekonomi monetari dan kewangan serta meningkatkan lagi keupayaan institusi pendidikan tinggi tempatan. Melalui kerjasama dengan ASB dan institusi tempatan lain serta memanfaatkan program-program yang dirancang, matlamat kita adalah untuk menghasilkan dan menyebarkan penyelidikan yang berimpak. Seperti yang pernah dinyatakan oleh Tun Ismail Ali, “Komuniti perbankan khususnya, sebagai pemegang amanah dana awam, harus berusaha untuk membina warisan seiring dengan masa dalam bentuk sebilangan tradisi yang berasaskan nilai-nilai malar segar supaya generasi masa hadapan dapat mewarisi sistem perbankan yang benar-benar kukuh dan menyanjung perbankan sebagai satu kerjaya yang benar-benar hebat.”[5] Kita mungkin tidak sentiasa dapat meramalkan setiap ketidakpastian. Namun kita boleh melengkapkan diri kita dengan sebanyak mungkin pengetahuan dan maklumat untuk mengemudi dan menghadapi keadaan yang tidak diketahui. Matlamat inilah yang ingin dicapai oleh Pusat ini sebagai penghormatan terhadap peninggalan Tun Ismail Ali.
Marilah kita sama-sama mengenang beliau dengan mendedikasikan diri kita demi negara yang lebih baik dan menangani cabaran ekonomi masa kini dengan berkesan. Sebagai penutup bicara, saya berterima kasih kepada para hadirin kerana berada di sini pada hari ini. Kita akan sama-sama memastikan bahawa Pusat Kecemerlangan ini menjadi mercu pengetahuan dan inovasi dalam bidang ekonomi monetari dan kewangan yang akan menyokong pembangunan berterusan Malaysia ke arah status negara yang berjaya. Semoga penubuhan Pusat ini menjadi mercu tanda pembangunan negara setakat ini dan hala tuju kemajuan negara pada masa yang akan datang.
Terima kasih.
Bank Negara Malaysia
20 Januari 2025
[1] Perdana (1998) Belasungkawa Tun Ismail Ali: The Passing of A Banking Legend
[2] Knight, F.H., 1921. “Risk, Uncertainty, and Profit”. Houghton Mifflin Company, Boston.
[3] Rey, H., 2015. “Dilemma not Trilemma: The Global Financial Cycle and Monetary Policy Independence”. Kertas Kerja NBER.
[4] Coimbra, N. dan Rey, H., 2024. “Financial cycles with heterogeneous intermediaries”. Review of Economic Studies, 91(2), m.s.817-857.
[5] Tun Ismail bin Mohamed Ali (1975) ‘Management of The Banking System’, Central Banking in An Era of Change: Landmark Speeches 1959-1988, Bank Negara Malaysia, pp. 69-86.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.