Ucaptama Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di Persidangan Federation of ASEAN Economic Associations (FAEA) ke-48 Kuala Lumpur | 19 November 2025 “Menentukan Hala Tuju ASEAN Mengharungi Ketidaktentuan Global”
Kuala Lumpur | 19 November 2025
Kita berkumpul pada hari ini ketika kita berhadapan dengan gabungan pelbagai cabaran. “Pecutan besar” yang kita sedang alami memberi maksud segala-galanya kini bergerak pantas, iaitu manusia, bandar, perdagangan, penggunaan tenaga dan teknologi.[1] Perubahan pantas ini memberikan tekanan kepada alam sekitar, masyarakat dan ekonomi, lantas menjadikan dunia terasa tegang dan tidak stabil. Kuasa-kuasa ini mendorong bumi, pasaran dan masyarakat untuk berubah lebih cepat daripada kemampuan kita untuk menyesuaikan diri sepenuhnya.
Cabaran ini sudah cukup besar jika dilihat secara berasingan, namun dunia kita kini sangat saling berkait. Isu-isu yang rumit ini saling berinteraksi dan menguatkan satu sama lain yang membawa kepada istilah “polikrisis”. Polikrisis berlaku apabila banyak masalah besar melanda serentak dan saling memburukkan keadaan.[2] Kejutan ekonomi, bencana iklim, ketegangan geopolitik dan tekanan sosial saling berkait. Apabila berlaku secara bertindan, isu-isu ini menjadi lebih sukar untuk diselesaikan dan menjadikan dunia lebih rapuh. Malah sebahagian daripadanya telah berubah menjadi “masalah rumit”: iaitu bersifat pelbagai dimensi, berakar umbi secara mendalam, dan lebih sukar diatasi dengan penyelesaian konvensional.[3]
Usaha mengharungi cabaran ini memerlukan imaginasi, kepimpinan yang lebih mantap dan kerjasama yang lebih erat. Namun, dunia kini berhadapan cabaran baharu; pemecahan geoekonomi, polarisasi yang meningkat dan kepercayaan orang ramai yang semakin terhakis. Cabaran ini tidak unik untuk . ASEAN juga berada di persimpangan bersama yang lain.
Pusat ekonomi global semakin beralih ke timur, dengan negara memainkan peranan yang semakin penting. Walaupun berhadapan krisis kewangan, ekonomi dan kesihatan global, pertumbuhan KDNK ASEAN berpurata pada 4.8% sepanjang dua dekad lalu[4] iaitu ketara lebih tinggi daripada purata global. Sebagai ekonomi kelima terbesar, pertumbuhan rantau ini akan terus mendapat manfaat daripada dividen demografi, kebangkitan pengguna kelas pertengahan dan kedudukan strategiknya dalam rantaian bekalan global.[5]
Tetamu yang saya hormati,
Walaupun potensi ASEAN tidak dapat dinafikan, sebahagian besarnya masih belum dimanfaatkan dan kita berhadapan dengan set ‘masalah rumit’ kita sendiri.
Pertama, kecemasan iklim semakin mendesak dan ASEAN terdedah pada risiko iklim. Kenaikan paras laut mengancam kawasan pantai, cuaca ekstrem mengganggu kehidupan dan mata pencarian serta kehilangan biodiversiti menjejaskan ekosistem kita. Dalam keadaan ini, akses kepada pembiayaan iklim dan sumber penyesuaian masih tidak sekata, lantas membiarkan banyak individu tanpa alat untuk bertindak balas, apatah lagi pulih. Peraturan yang tidak seragam, infrastruktur usang dan dominasi arang batu dalam campuran tenaga kita juga menjadi penghalang kepada kelestarian di rantau ini. Hal ini boleh menjejaskan asas kestabilan ASEAN yang telah terbina selama beberapa dekad.
Kedua, ekonomi digital ASEAN masih tidak seragam, dikekang oleh perbezaan. Jurang infrastruktur bandar-luar bandar terus mengehadkan akses dan pada masa yang sama perbezaan literasi digital semakin melebarkan jurang ini. Keadaan ini menyebabkan banyak individu tidak dapat menyertai ekonomi digital secara bermakna. Rangka kerja pengawalseliaan yang berbeza juga menghalang penyepaduan yang lancar dan boleh membawa kepada ekosistem digital yang berpecah, tidak cekap dan penuh dengan risiko pengecualian.
Ketiga, walaupun ekonomi kita semakin bertumpu pada peringkat makro, realiti kehidupan rakyat mungkin menceritakan kisah berbeza. Dari tanah tinggi Laos utara hingga ke perkampungan pesisir Timor-Leste, jurang pembangunan masih berlarutan. Bukan sahaja dalam pendapatan tetapi juga akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang. Jurang ini bukan sekadar ekonomi, tetapi bersifat struktur dan institusi. Jika tidak ditangani, cabaran ini boleh mengubah kemajuan bersama kita menjadi masa depan yang suram iaitu ada yang melonjak ke hadapan manakala yang lainnya tertinggal di belakang.
Meskipun kelihatan sukar untuk diatasi, cabaran-cabaran ini tidak melemahkan kita. Sebaliknya, cabaran tersebut mendorong kita untuk bergerak lebih pantas dan lebih strategik. Sebagai sebuah rantau, kita bertindak dengan tekad.
Dalam usaha kelestarian, ASEAN memacu momentum dalam kewangan hijau. Pada suku kedua tahun 2025, bon mampan ASEAN+3 terkumpul mencecah hampir USD955 bilion, mencakupi 18% daripada jumlah global.[6] Hal ini memberikan isyarat kukuh bahawa modal mula mengalir ke tempat yang diperlukan dan ASEAN sedang membentuk masa hadapan kewangan mampan global. Peluangnya banyak dan apa yang kita perlukan sekarang ialah penyampaian penyelesaian yang boleh dilabur dan boleh skala untuk dunia.
Malaysia menjadi peneraju dalam bidang ini. Dengan rangka kerja yang mantap untuk sukuk hijau Islam dan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, kita sedang membina arkitektur kewangan untuk menggerakkan modal swasta pada skala besar.[7] Kewangan Islam menawarkan kelebihan yang tersendiri, berasaskan perkongsian risiko, sandaran aset dan penyelarasan etika. Penyelesaian yang ditawarkan bukan sahaja untuk membiayai peralihan tenaga domestik Malaysia, tetapi juga inisiatif serantau termasuk Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid, APG).
Inisiatif APG memerlukan lebih daripada USD750 bilion pelaburan untuk membina infrastruktur tenaga dan kapasiti penjanaan kuasa di rantau ini. Bagi tujuan ini, Rangka Kerja Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN memainkan peranan penting, selaku satu inisiatif serantau yang direka untuk membuka modal, mengurangkan risiko pelaburan dan mempercepat pembangunan sistem tenaga rentas sempadan.[8]
Dari segi digital, ASEAN membina arkitektur untuk masa hadapan yang saling berhubung. Satu bidang yang menonjol ialah pembayaran QR rentas sempadan. Kini terdapat perubahan nyata dalam cara rakyat dan perniagaan berhubung merentas sempadan. Pembayaran QR bukan sahaja lebih murah, malah lebih mudah dan lebih selamat. Pada separuh pertama tahun 2025 sahaja, pembayaran QR rentas sempadan ASEAN melonjak hingga mencecah 12.9 juta transaksi.[9] Keadaan ini membuka jalan untuk pengembangan lanjut, dengan lebih banyak pautan rentas negara sedang dikaji dan dilaksanakan bagi memperkukuh kesalinghubungan serantau.
Berlandaskan keadaan ini, inisiatif seperti Projek Nexus, yang diterajui bersama oleh Malaysia dan rakan serantau, sedang meluaskan sempadan kewangan digital. Dengan menghubungkan sistem pembayaran segera rentas sempadan, Projek Nexus membolehkan transaksi runcit diselesaikan hampir serta-merta. Selain kelajuan dan kecekapan, projek ini juga boleh memajukan rangkuman kewangan. Projek Nexus turut membolehkan pekerja, usahawan mikro dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan menyertai ekonomi yang bersepadu tanpa memerlukan pengaturan perbankan yang kompleks. Semuanya didorong oleh kewangan digital. Bukan setakat pembayaran digital, sektor kewangan kini meningkatkan usaha untuk menggalakkan penyelesaian mata wang tempatan serta kesalinghubungan perbankan dan pasaran modal yang lebih mendalam bagi menyokong perniagaan di seluruh rantau merealisasikan potensi mereka.
Pada peringkat dasar, ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) merupakan satu langkah berani. Menerusi penyeragaman peraturan berhubung dengan tadbir urus data, e-pembayaran, identiti digital dan keselamatan siber, DEFA sedang membina asas bagi ekonomi digital tanpa sempadan yang selamat, boleh skala dan inklusif dari awal.[10] Usaha ini membuka peluang kepada jutaan individu untuk mengakses dan mendapat manfaat daripada ekonomi digital.
ASEAN telah lama menyedari bahawa tindakan yang dirancang adalah penting untuk memajukan kemakmuran bersama, dan tidak boleh dibiarkan kepada kebetulan. Dalam hal ini, Initiative for ASEAN Integration (IAI) terus memainkan peranan penting bagi merapatkan jurang pembangunan di seluruh rantau. Dengan lebih 25 projek sedang dilaksanakan, matlamatnya adalah untuk memperkukuh keupayaan, meningkatkan infrastruktur dan menggalakkan keselarasan dasar dalam bidang yang paling diperlukan.[11]
Yang penting, pertumbuhan inklusif perlu digerakkan oleh peluang yang saksama, dan penduduk perlu dilengkapkan dengan kemahiran untuk merebut peluang ini. Di bawah Tahun Kemahiran ASEAN 2025, kita sedang meningkatkan usaha untuk mengurangkan jurang kemahiran dan mempersiap tenaga kerja untuk masa hadapan. Platform serantau seperti ASEAN Human Capital Development Investment dan Minggu Latihan Kebangsaan Malaysia menyediakan akses kepada lebih 65,000 kursus percuma untuk semua warga ASEAN.[12],[13] Maksudnya jelas: ”Rangkuman di ASEAN bukan sekadar merapatkan jurang pendapatan; tetapi tentang melabur dalam rakyat kita”.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Rantau ini sedang menyaksikan peningkatan ketegangan geopolitik pada peringkat global. Sebagai rantau perdagangan, keadaan ini merupakan amaran dan juga seruan untuk bertindak: kita perlu membentuk masa hadapan kita sendiri, jika tidak, orang lain yang akan menentukan nasib kita. Itulah sebabnya ASEAN Geoeconomic Task Force ditubuhkan dengan misi yang jelas: ASEAN perlu merancang secara strategik dan memberikan tindak balas secara kolektif.
Dalam jangka pendek, ASEAN perlu menangani kesan segera akibat kenaikan tarif. Hal ini termasuk memperjelas peraturan negara asal, mengurangkan kelemahan pemindahan muatan (transhipment) dan membangunkan langkah perlindungan pengalihan perdagangan (trade diversion). Matlamatnya adalah untuk memudahkan perdagangan tulen dan mengurus lebihan keupayaan dari rantau ini dan kawasan sekitarnya.[14]
Dalam jangka yang lebih panjang, keutamaan adalah untuk memperdalam integrasi serantau dan menegakkan multilateralisme yang pragmatik. Hal ini bermakna mempercepat pelaksanaan pelbagai perjanjian perdagangan, seperti ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA)[15] yang dipertingkat, Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP)[16] dan DEFA yang bakal dimuktamadkan tidak lama lagi. Perjanjian ini boleh membantu ASEAN meningkatkan sumber dalam rantau, mengurangkan kos menjalankan perniagaan serta mengukuhkan perdagangan dalam pelaburan intrarantau.
Mempelbagai dan memperkukuh perkongsian perdagangan, terutamanya dengan ekonomi maju dan ekonomi sedang pesat membangun lain, bukanlah sekadar langkah berjaga-jaga terhadap ketidaktentuan. Malah, merupakan keperluan strategik.
Hubungan ASEAN dengan China, Jepun dan Korea bukan sahaja berkisar pada budaya dan nilai, tetapi juga dalam rantaian nilai yang merentas industri. Masih ada ruang untuk memperkukuh hubungan ekonomi kita. Institusi seperti Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) telah memberikan komitmen bernilai hingga USD50 bilion untuk projek berkaitan iklim di ASEAN,[17] manakala Japan’s ASEAN Integrated Fund (JAIF) telah menyediakan lebih USD894 juta dalam pelbagai bentuk geran untuk penyepaduan ekonomi, pengurusan bencana dan pembangunan modal insan sejak tahun 2006.[18] Hal ini meletakkan asas untuk kerjasama yang lebih erat. ASEAN perlu bersedia untuk memanfaatkan peluang ini bagi merealisasikan sepenuhnya manfaat bersama.
Di luar Asia, memperdalam penglibatan dengan EU dan Amerika Latin menawarkan laluan yang jelas untuk mempelbagaikan perkongsian dan membuka pertumbuhan baharu. Perdagangan ASEAN–EU sudahpun melebihi USD200 bilion setahun, lantas menjadikan ASEAN rakan perdagangan ketiga terbesar EU di luar Eropah. Walaupun perdagangan dengan Amerika Latin lebih kecil iaitu sekitar USD32 bilion, wujud potensi sebenar. Dengan memajukan perjanjian perdagangan berstandard tinggi yang saling diiktiraf dengan blok seperti MERCOSUR[19] dan Pacific Alliance, ASEAN boleh meletakkan dirinya sebagai rakan global yang berdaya saing dan berwibawa.
Tetamu yang saya hormati,
Apabila menamatkan Kepengerusian ASEAN pada tahun 2025, Malaysia telah menunjukkan kepada dunia bahawa rantau ini mampu bangkit menghadapi cabaran. Bahawa kita boleh bertindak sebagai satu entti. Namun, masih banyak yang perlu kita lakukan.
“Isu rumit” di ASEAN sememangnya mendesak tetapi tidak mustahil untuk diatasi. Menerusi tekad, ketangkasan dan kerjasama, kita boleh mengatasinya bersama. Tugas kita adalah untuk merealisasikan potensi ASEAN, dengan berteraskan pada kekuatannya dan menyedari realiti global. ASEAN mempunyai peluang untuk mentakrif semula norma dan membentuk standard masa hadapan, lantas menjadi suara yang konstruktif dalam arena global.
Hal ini bukanlah tanggungjawab kerajaan dan pengawal selia semata-mata. Walaupun pembuat dasar menyediakan visi dan hala tuju, industri perlu melabur dalam strategi ini dengan pandangan jangka panjang dan para akademik perlu memacu wacana berasaskan bukti. Platform seperti persidangan FAEA hari ini melambangkan semangat tersebut dengan menghimpunkan cendekiawan, pengamal dan pemimpin berwawasan untuk sama-sama membina masa hadapan. Saya berharap dua hari yang akan datang ini dipenuhi dengan perbincangan yang menarik, idea baharu dan tekad yang lebih besar untuk memacu ASEAN ke hadapan. Bersama-sama, kita boleh mengharungi kerumitan dan membina masa hadapan yang berdaya tahan, inklusif dan progresif.
Terima kasih.
[1] International Geosphere-Biosphere Programme (2015). The Great Acceleration. https://futureearth.org/2015/01/16/the-great-acceleration/
[2] World Economics Forum (2023). Global Risks Report 2023. https://www.weforum.org/publications/global-risks-report-2023/
[3] OECD (2017). Systems Approaches to Public Sector Challenges. https://www.oecd.org/content/dam/oecd/en/publications/reports/2017/08/systems-approaches-to-public-sector-challenges_g1g7f844/9789264279865-en.pdf.
[4] ASEANstats. (2025, October 16). ASEAN Statistical Highlights 2025. ASEANstats Official Web Portal. https://www.aseanstats.org/publication/ash2025/
[5] World Bank (2024). GDP (current US$). World Development Indicators. https://data.worldbank.org/indicator/NY.GDP.MKTP.CD
[6] Asian Development Bank (2025) Asia Bond Monitor – September 2025. Mandaluyong City, Philippines: Asian Development Bank. https://www.adb.org/publications/asia-bond-monitor-september-2025
[7] Kementerian Ekonomi Malaysia (2024) National Energy Transition Roadmap (NETR). Dibentangkan semasa Conference on Government Assistance for Circular and Low-Carbon Economy, anjuran Malaysian Plastics Manufacturers Association, 26 Jun 2024. https://mpma.org.my/upload/2024/04_National_Energy_Transition_Roadmap_NETR_MOE.pdf
[8] ASEAN Secretariat (2024) ASEAN Secretariat’s Briefing on Energy. United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP). https://www.unescap.org/sites/default/d8files/event-documents/ASEAN%20Secretariat%E2%80%99s%20Briefing%20on%20Energy_Final.pdf
[9] WC-PSS (2025) Survey on Cross-Border Payment Linkage in ASEAN. Dokumen dalaman sulit, dilaksanakan pada bulan Ogos 2025.Tidak boleh didapati secara umum.
[10] ASEAN Secretariat (2023) Digital Economy Framework Agreement (DEFA): ASEAN to leap forward its digital economy and unlock USD2 Tn by 2030. ASEAN. https://asean.org/asean-defa-study-projects-digital-economy-leap-to-us2tn-by-2030/
[11] ASEAN Secretariat (2025) Initiative for ASEAN Integration & Narrowing Development Gap (IAI & NDG). ASEAN. https://asean.org/our-communities/initiative-for-asean-integration-narrowing-development-gap-iai-ndg/
[12] ASEAN Secretariat (2017) ASEAN Inclusive Business Framework. ASEAN. https://asean.org/wp-content/uploads/2021/09/ASEAN-Inclusive-Business-Framework.pdf
[13] Human Resource Development Corporation (HRD Corp) (2025) National Training Week Malaysia. https://nationaltrainingweek.gov.my/
[14] MSN (2024) ‘ASEAN’s moment of truth’. MSN News, 31 July. https://www.msn.com/en-ph/money/economy/asean-s-moment-of-truth/ar-AA1Q0un3?ocid=BingNewsSerp
[15] Bernama (2025) Upgraded ATIGA to Boost Goods Concession, Achieving 99 Pct Trade Openness – Satvinder. https://asean.bernama.com/news.php?id=2482897
[16] ASEAN Secretariat (2025) Joint Leaders’ Statement on the Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP). 5th RCEP Summit, Kuala Lumpur, Malaysia, 27 Oktober 2025. https://asean.org/wp-content/uploads/2025/10/Joint-Leaders-Statement-for-the-5th-RCEP-Summit-ADOPTED.pdf
[17] South China Morning Post (2024) ‘Asian infrastructure bank AIIB’s president looks to fund climate-linked projects in Asean’, South China Morning Post, 31 Julai. https://www.scmp.com/business/article/3272564/asian-infrastructure-bank-aiibs-president-looks-fund-climate-linked-projects-asean
[18] Mission of Japan to ASEAN (2025) Official website of the Mission of Japan to ASEAN. https://www.asean.emb-japan.go.jp/itprtop_en/index.html
[19] ASEAN Secretariat (2021) Overview of ASEAN-MERCOSUR Relations as of 21 July 2021. https://asean.org/wp-content/uploads/Overview-of-ASEAN-MERCOSUR-Relations-as-of-21-July-2021.pdf
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.