Ucaptama Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di Sasana Symposium 2026

Sasana Kijang | 28 Julai 2026

Ketika menghayati tema tahun ini iaitu “Perubahan demi Daya Tahan”, saya teringat akan pokok Gelam iaitu sejenis pokok yang tumbuh di sepanjang Pantai Timur Malaysia. Pokok ini mungkin tidak kelihatan “glamor” atau sangat menarik, namun ciri yang membuat pokok ini hebat ialah keupayaannya untuk hidup subur dalam persekitaran mencabar iaitu di tanah gambut yang sangat berasid, air yang bertakung mahupun kebakaran yang tak terkawal. Pokok ini tidak melawan persekitaran di sekelilingnya, sebaliknya membuat penyesuaian dengan persekitaran tersebut dengan menggugurkan kulitnya secara berterusan, sekali gus memastikan fizikalnya sentiasa berada dalam proses pembaharuan.

Pembaharuan struktur memainkan peranan yang sama dengan membolehkan proses pembaharuan berlaku. Caranya adalah dengan menyingkirkan amalan lapuk dan juga ketidakcekapan supaya ekonomi kekal berdaya tahan dalam dunia yang sentiasa berubah.

Kita kini berada pada satu titik perubahan yang penting. Di seluruh dunia, pelbagai perkembangan sedang membentuk landskap ekonomi global. Pemecahan geopolitik sedang mengubah aliran perdagangan dan pelaburan. Kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) pula mengubah cara nilai dicipta. Gangguan berkaitan iklim semakin kerap berlaku serta menuntut kos yang besar.

Dalam persekitaran seperti ini, dasar monetari terus menjadi barisan pertahanan yang penting. Pendirian dasar monetari pada tahap semasa masih selaras dengan pertumbuhan ekonomi dalam negeri dan prospek inflasi. Apabila ketidakpastian berlarutan dan harga tenaga terus tinggi, kami akan terus menggalas peranan untuk memastikan harga terus stabil.

Walau bagaimanapun, dasar monetari semata-mata mempunyai had tertentu. Sebagai instrumen pengurusan permintaan, ia tidak mampu menangani secara langsung faktor-faktor asas yang menentukan struktur dan hala tuju sesebuah ekonomi. Di sinilah pentingnya pembaharuan struktur. Pada terasnya, pembaharuan struktur merupakan pelaburan untuk masa hadapan negara. Perubahan ini meningkatkan produktiviti, daya saing dan daya tahan ekonomi. Melalui perubahan ini, cabaran boleh ditangani lebih awal sebelum cabaran tersebut menjadi kelemahan yang lebih sukar dan lebih mahal untuk diatasi.

Pengalaman Malaysia

Pembaharuan telah lama menjadi ciri penting bagi perjalanan pembangunan Malaysia. Pada detik-detik penting dalam sejarah negara, kita sentiasa memilih untuk bertindak balas terhadap perubahan melalui tindakan, bukannya berpuas hati dengan pencapaian yang sedia ada, daripada membina asas sebuah negara yang baru mencapai kemerdekaan sehinggalah kepada pembangunan pasaran modal dan asas perindustrian negara. Selepas Krisis Kewangan Asia, BNM memperkukuh institusi dan perlindungan pengawalseliaan yang terus menjadi tonggak daya tahan sektor kewangan negara pada hari ini.

Namun, setiap fasa pembangunan hadir dengan cabarannya yang tersendiri.

Menjelang pertengahan dekad 2010-an, tanda-tanda tekanan mula kelihatan. Pertumbuhan pelaburan mula perlahan manakala persaingan serantau semakin sengit. Sebahagian dasar yang pernah memberikan sumbangan yang besar kepada kejayaan negara mula menunjukkan keterbatasannya.

Dunia di sekeliling kita juga mula berubah. Integrasi global digantikan oleh landskap yang lebih berpecah-belah dan tidak menentu. Apabila pandemik melanda, keperluan untuk melakukan perubahan menjadi semakin mendesak. Pandemik mendedahkan kelemahan yang ada, mempercepat perubahan struktur dan mengingatkan kita bahawa daya tahan jarang-jarang sekali dibina ketika krisis berlaku. Lazimnya, daya tahan sering dibentuk secara berterusan bertahun-tahun sebelum krisis melanda.

Sebagai bank pusat, BNM telah memainkan peranannya dengan mengekalkan kestabilan makroekonomi yang membolehkan pembaharuan dilaksanakan. Melalui komitmen untuk memastikan persekitaran inflasi yang rendah dan stabil serta disokong oleh sistem kewangan yang kukuh serta pasaran kewangan yang teratur, BNM telah membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi transformasi ekonomi negara.

Dan kami akan terus melaksanakan tanggungjawab tersebut. Pada masa hadapan, prospek ekonomi jangka sederhana kekal menggalakkan. Pertumbuhan dijangka terus kukuh, manakala inflasi kekal terkawal. Kami akan terus melaksanakan langkah yang diperlukan bagi mengekalkan kestabilan harga yang menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Langkah ini memelihara ruang dan peluang bagi pembaharuan yang sedang dilaksanakan di Malaysia untuk terus mara ke hadapan. Seterusnya, manfaat daripada pembaharuan ini dapat diraih mengikut peredaran masa.

Kedudukan Malaysia pada masa ini

Dalam persekitaran makroekonomi yang stabil inilah Malaysia memulakan fasa pembaharuan yang baharu. Pembaharuan ini berpandukan satu matlamat yang mudah, iaitu memperkukuh asas-asas negara bagi menyokong fasa pertumbuhan yang seterusnya. Jelas bahawa Malaysia perlu bersedia bukan sahaja menghadapi cabaran yang dapat dijangka tetapi juga bagi menghadapi masa hadapan yang sentiasa berubah.

Tumpuan diberikan kepada dua bidang:

Pertama, membina keupayaan produktif negara.

Pelaburan merupakan enjin yang menggerakkan pertumbuhan ekonomi.  Pekerjaan yang lebih baik, pendapatan yang lebih tinggi dan peningkatan taraf hidup hanya dapat dicapai apabila sesebuah ekonomi terus melabur untuk masa depannya. Sejak awal lagi, cabaran yang dihadapi bukan sekadar menarik lebih banyak pelaburan, tetapi menarik pelaburan yang tepat.

Pelaburan yang meningkatkan produktiviti dan daya saing. Pelaburan yang membawa masuk teknologi baharu dan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik. Pelaburan yang memperluas keupayaan produktif ekonomi negara dan membolehkan keupayaan tersebut menjana nilai yang lebih tinggi daripada sebelumnya.

Pemikiran ini telah membentuk sebahagian besar agenda pelaburan Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Melalui rangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional, Malaysia telah menetapkan hala tuju yang jelas untuk menarik pelaburan yang menjana nilai yang lebih besar kepada ekonomi negara. Beberapa pelan induk nasional pula telah meletakkan Malaysia pada landasan pertumbuhan yang lebih kukuh dengan menyalurkan modal ke dalam sektor dan industri bernilai tambah tinggi.

Kita telah mula melihat tanda-tanda kemajuan yang menggalakkan.

Dalam tempoh dua tahun yang lalu sahaja, Malaysia telah meluluskan pelaburan berjumlah RM815 bilion, bersamaan hampir separuh daripada nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahunan negara. Angka ini penting bukan sahaja kerana saiznya tetapi turut memberikan isyarat mengenai ekonomi masa hadapan yang sedang kita bina.

Sebahagian besar pelaburan tersebut disalurkan ke dalam sektor perkilangan canggih, semikonduktor, teknologi digital dan jentera moden, iaitu bidang yang amat penting bagi meningkatkan potensi produktif ekonomi negara. Namun, kepentingan bidang ini melangkaui penambahan keupayaan. Pelaburan ini sedang mengubah struktur ekonomi negara dengan mewujudkan industri baharu, menggalakkan kegiatan ekonomi bernilai lebih tinggi dan meletakkan asas yang kukuh bagi  pendapatan yang lebih tinggi dan pertumbuhan yang lebih kukuh pada masa hadapan.

Keutamaan kedua ialah membina semula keupayaan fiskal negara.

Fiskal yang mampan merupakan teras kepada hampir semua keutamaan negara.

Pendidikan yang lebih baik. Penjagaan kesihatan yang lebih mantap. Infrastruktur moden. Daya tahan terhadap perubahan iklim. Perlindungan sosial yang berkesan. Semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan keupayaan fiskal.

Hal ini menuntut keputusan yang sukar namun perlu diambil. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai langkah telah diperkenalkan secara berperingkat, seperti subsidi diesel bersasar, pembaharuan subsidi yang lebih menyeluruh dan pelarasan cukai terpilih. Langkah-langkah ini memberikan masa kepada isi rumah dan perniagaan untuk membuat penyesuaian.

Semua langkah ini bukanlah bertujuan untuk mengurangkan defisit fiskal semata-mata. Sebaliknya, matlamat pembaharuan adalah untuk meningkatkan keupayaan Kerajaan bertindak balas apabila berlaku kejutan, dan pada masa yang sama memastikan sumber yang mencukupi tersedia untuk dilaburkan dalam keutamaan jangka panjang negara.

Dalam banyak keadaan, kewangan awam boleh diibaratkan seperti kesihatan yang baik. Nilainya paling dihargai apabila keadaannya mula terjejas. Kedua-duanya dibina mengikut peredaran masa melalui ketekalan dan keputusan yang berhemat.

Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal turut menandakan satu pencapaian penting.

Akta ini menerapkan disiplin, ketelusan serta akauntabiliti yang lebih besar dalam pengurusan kewangan awam. Lebih penting, akta ini mewujudkan kekukuhan institusi bagi memastikan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab dan bertahan melangkaui mana-mana pentadbiran.

Hasilnya telah mula dilihat. Sejak tahun 2020, defisit fiskal Malaysia telah berkurang daripada 6.2% kepada 3.7% daripada KDNK pada tahun 2025. Pengurangan defisit ini telah membantu membina semula ruang dasar ketika tuntutan terhadap sumber awam terus meningkat.

Namun begitu, usaha ini masih banyak yang belum selesai. Yang penting, Kerajaan kini mempunyai keupayaan yang lebih besar untuk bertindak ketika paling diperlukan.

Dan keperluan untuk bertindak sedemikian kini semakin kerap timbul. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ekonomi global telah diasak dengan pelbagai kejutan yang bertindih dan berlarutan, daripada konflik ketenteraan dan gangguan rantaian bekalan sehinggalah ketegangan serta perpecahan geopolitik.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran tersebut, Malaysia kekal pada landasan yang kukuh.

Pada tahun 2025, ekonomi negara berkembang sebanyak 5.2%, inflasi kekal terkawal dan ringgit menjadi mata wang yang menunjukkan prestasi terbaik di rantau ini. Pada tahun ini pula, meskipun terdapat kejutan bekalan tenaga, Malaysia masih berada pada landasan yang tepat untuk mencatatkan pertumbuhan antara 4% hingga 5%, dengan inflasi yang kekal terurus.

Ingin saya tegaskan bahawa pencapaian ini bukan kebetulan. Kita telah mengambil keputusan yang sukar lebih awal melalui pembaharuan yang dirancang dan dilaksanakan secara teliti serta berperingkat bagi memperkukuh asas ekonomi negara dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih baik pada masa hadapan.

Arah yang perlu dituju

Sidang hadirin yang dihormati,

Marilah kita mengambil sedikit masa untuk menilai makna keseluruhan kemajuan yang telah dicapai setakat ini.

Pembaharuan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh. Pelaburan telah membantu membentuk semula masa hadapan ekonomi negara, manakala pembaharuan fiskal telah membina semula ruang untuk mengambil tindakan dan membuat pelaburan.

Apakah langkah seterusnya? Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, persoalannya cukup mudah. Bagaimanakah manfaat daripada kemajuan ini dapat diterjemahkan kepada taraf hidup yang lebih baik serta peluang yang lebih luas untuk mereka dan keluarga mereka?

Sejarah menunjukkan bahawa tempoh kemajuan paling bermakna yang pernah dicapai oleh Malaysia sering berlaku seiring dengan perubahan besar dalam ekonomi global.

Kebangkitan ekonomi pertama yang utama bagi Malaysia pada zaman moden berlaku ketika ekonomi dunia sedang mengalami perubahan yang besar. Susulan perjanjian Plaza Accord, penambahan nilai yen secara mendadak telah mendorong banyak syarikat memindahkan operasi mereka ke destinasi yang menawarkan kos yang lebih rendah di seluruh Asia. Pada masa itu, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada perkembangan tersebut. Hasilnya ialah tempoh perindustrian yang berkembang pesat, peningkatan eksport yang ketara serta peluang pekerjaan yang semakin meluas, sekali gus menandakan kemunculan Malaysia sebagai ekonomi "anak harimau Asia".

Namun demikian, landskap daya saing telah berubah sejak zaman itu. Kelebihan yang pernah menjadi pendorong utama pertumbuhan negara tidak lagi mencukupi. Sekali lagi, Malaysia kini berada di persimpangan yang penting.  

Pokok Gelam mengingatkan kita tentang suatu perkara yang penting. Daya tahan bukanlah bermaksud mengekalkan keadaan seperti sedia ada. Sebaliknya, daya tahan menuntut kita untuk sentiasa memperbaharui keupayaan  membuat penyesuaian dan merebut peluang baharu yang muncul seiring dengan perkembangan keadaan.

Dalam menentukan hala tuju masa hadapan, terdapat beberapa prinsip penting yang perlu terus menjadi panduan: 

Pertama, memastikan manfaat pertumbuhan dirasai bersama.

Angka-angka utama  jelas menunjukkan kemajuan makro yang telah dicapai sejak awal usaha ini dilaksanakan. Namun, kami juga maklum bahawa kos sara hidup dan kesenjangan pendapatan masih merupakan cabaran yang nyata kepada banyak rakyat Malaysia. Oleh itu, keutamaan pada masa ini adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi bukan sahaja dicerminkan dalam statistik, tetapi turut dirasai di meja makan setiap rakyat. Keutamaan ini merupakan matlamat terpenting pembaharuan sejak awal lagi.

Cara pertumbuhan yang paling boleh dirasai secara langsung adalah melalui pekerjaan yang lebih baik. Pekerjaan yang mencipta nilai tambah yang lebih tinggi. Pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih baik.

Seiring dengan pergerakan Malaysia kepada kedudukan yang lebih tinggi dalam rantaian nilai, kita perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berproduktiviti tinggi dalam industri masa hadapan. Perkilangan yang canggih. Teknologi baru muncul. Penyelidikan dan pembangunan. Semua pekerjaan ini yang akan mendorong pendapatan yang lebih kukuh dan memacu pertumbuhan Malaysia ke tahap seterusnya.

Kita sudah mula melihat perkembangan yang menggalakkan. Bahagian guna tenaga berkemahiran tinggi telah meningkat daripada 27.5% pada tahun 2019 kepada 30.1% pada tahun 2025. Kemajuan ini mungkin kelihatan beransur-ansur, namun perubahan struktur dalam pasaran pekerja jarang-jarang berlaku sekelip mata. Usaha mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi pada skala yang besar memerlukan masa.

Berita baiknya ialah peluang pekerjaan terus berkembang. Projek pelaburan bernilai RM815 bilion yang saya sebutkan tadi berpotensi mewujudkan hampir 245,000 pekerjaan jika direalisasikan sepenuhnya. Sebahagian besar daripadanya dijangka terdiri daripada pekerjaan berkemahiran lebih tinggi.[1]

Walau bagaimanapun, mewujudkan pekerjaan hanyalah sebahagian daripada penyelesaiannya. Rakyat Malaysia juga perlu mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk mengisi peluang tersebut. Pada masa ini, lebih dua pertiga rakyat Malaysia masih bekerja dalam sektor berproduktiviti lebih rendah.

Dalam keadaan teknologi dan AI mengubah landskap industri, pembelajaran sepanjang hayat kini menjadi satu keperluan yang sangat penting. Para pekerja perlu mempunyai peluang untuk terus meningkatkan kemahiran (upskill) dan memperoleh kemahiran baharu (reskill)  sepanjang kerjaya mereka.

Kecekapan digital akan menjadi semakin penting. Bukan sekadar menggunakan teknologi, tetapi memahaminya. Bekerja dengan data. Menyesuaikan diri apabila teknologi terus berkembang.

Hal ini memerlukan usaha secara kolektif. Majikan, penyedia pendidikan, institusi latihan dan pembuat dasar perlu bekerjasama lebih erat bagi memastikan pembangunan kemahiran bergerak seiring dengan keperluan ekonomi.

Dalam menyediakan generasi akan datang menghadapi ekonomi yang sedang berubah, inisiatif yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas untuk memperluas penawaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Technical and Vocational Education and Training, TVET) serta memperkukuh penekanan terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Science, Technology, Engineering and Mathematics, STEM), literasi digital dan asas AI dalam kurikulum sekolah kebangsaan akan memainkan peranan yang sangat penting bagi menyediakan tenaga kerja Malaysia untuk industri bernilai tinggi.

Sebagai sebahagian daripada proses ini, model pertumbuhan Malaysia juga perlu terus berkembang. Selama bertahun-tahun, tenaga pekerja berkos rendah dan berkemahiran rendah telah membantu mengekalkan daya saing negara. Namun, ekonomi yang dipacu produktiviti memerlukan syarikat untuk bersaing melalui inovasi, teknologi dan keupayaan, bukan semata-mata melalui kos.

Kita telah pun mengambil langkah penting ke arah tersebut. Peningkatan gaji minimum secara berturut-turut telah memperkukuh paras minimum bagi gaji dan menyokong pertumbuhan pendapatan, khususnya dalam kalangan pekerja berpendapatan lebih rendah.

Namun, apabila ekonomi menjadi semakin canggih, tumpuan perbincangan perlu semakin beralih melangkaui gaji minimum kepada perkembangan gaji. Perkara ini menuntut pengukuhan institusi, maklumat dan penyelarasan yang diperlukan bagi menyokong perkembangan gaji merentas sektor ekonomi yang berbeza. Hal ini juga bermaksud memastikan gaji semakin mencerminkan kemahiran, produktiviti dan keadaan pasaran pekerja.

Akhirnya, matlamat usaha ini bukan hanya mencapai gaji minimum yang lebih tinggi, tetapi juga gaji kehidupan wajar. Pendapatan yang mampu menyediakan taraf hidup yang munasabah serta membolehkan seseorang mengambil bahagian secara bermakna dalam kehidupan bermasyarakat.

Pada masa yang sama, Malaysia memerlukan pendekatan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh dan berjangka panjang. Sokongan yang diberikan bukan sahaja menyediakan bantuan apabila perlu, tetapi juga membantu individu membina kemahiran dan keupayaan untuk menambah baik kedudukan mereka dari semasa ke semasa. Bantuan kewangan perlu seiring dengan latihan kemahiran, latihan semula dan hala tuju yang jelas ke arah pekerjaan. Tumpuan harus diberikan melangkaui keperluan jangka pendek kepada usaha menangani punca asas kelemahan ekonomi.

Kedua, fasa pertumbuhan Malaysia seterusnya perlu beralih daripada pengekstrakan nilai kepada penciptaan dan pengekalan nilai.

Momentum pelaburan pada hari ini sememangnya menggalakkan. Namun, yang lebih penting ialah sejauh mana nilai dapat dikekalkan dalam ekonomi negara kita selepas pelaburan tersebut direalisasikan.

Adakah syarikat tempatan lebih berdaya saing? Adakah pekerja memperoleh kemahiran baharu? Adakah teknologi tersebar dengan lebih meluas ke seluruh ekonomi dan adakah produktiviti meningkat mengikut peredaran masa?

Semua inilah persoalan yang utama. Oleh yang demikian, aktiviti seperti inovasi, penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk serta kejuruteraan yang lebih maju menjadi semakin penting. Aktiviti-aktiviti ini menghasilkan nilai yang lebih sukar untuk ditiru serta menjana manfaat yang jauh melangkaui satu kitaran pelaburan.

Perkembangan syarikat tempatan juga amat penting. Semakin tinggi penglibatan syarikat Malaysia dalam aktiviti bernilai tinggi, semakin luas manfaat pertumbuhan dapat dikongsi bersama. Syarikat yang lebih kukuh diperlukan bagi mencapai matlamat ini. Syarikat yang mengautomasikan operasi. Syarikat yang menjalinkan hubungan yang lebih mendalam dengan rantaian bekalan global dan mempunyai akses kepada pembiayaan yang diperlukan untuk berkembang dan bersaing.

Kita telah pun berada pada landasan yang betul. Program seperti SemiconStart membantu syarikat-syarikat pemula tempatan untuk mengakses modal, alatan berteknologi terkini dan kepakaran global yang diperlukan untuk membentuk masa hadapan digital Malaysia.

Semua usaha ini masih berada pada peringkat awal, namun mengisyaratkan ekosistem yang kita hasratkan. Ekosistem yang menterjemahkan pelaburan baharu kepada keupayaan dalam negeri seiring peredaran masa.

Oleh itu, matlamat kita bukan hanya membawa pelaburan masuk ke Malaysia tetapi untuk memastikan pelaburan ini meninggalkan kesan yang berkekalan. Daripada peningkatan keupayaan hinggalah pemindahan teknologi baharu dan akhirnya, peluang yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. r

Daripada sudut sejarah, sebahagian besar pertumbuhan Malaysia telah disokong oleh sumber yang dapat kita teroka, iaitu sumber yang bernilai tetapi terhad. Bab seterusnya dalam pembangunan negara perlu semakin bergantung pada perkara yang mampu kita cipta. Inovasi, teknologi dan tenaga mahir rakyat Malaysia. Kesemua aset ini boleh terus dibangunkan dan ditambah merentas generasi.

Perlu diingat bahawa sebahagian daripada aset paling berharga yang dimiliki Malaysia tidak boleh diukur dalam bentuk ekonomi semata-mata. Malaysia merupakan satu daripada 17 negara di dunia yang paling kaya dengan biodiversiti. Kekayaan semula jadi ini sama berharga dengan kekayaan ekonomi negara. Oleh itu, pertumbuhan pada masa hadapan perlu lestari daripada setiap segi.

Ketiga, setiap individu dan setiap institusi mempunyai peranan masing-masing.

Pada permulaan ucapan tadi, saya menyentuh tentang cara pembaharuan yang dilaksanakan selepas Krisis Kewangan Asia telah meletakkan asas kepada sistem kewangan berdaya tahan yang kita ada pada hari ini.

Namun, usaha membina sistem kewangan yang lebih kukuh tidak pernah selesai. Tatkala Malaysia melangkah ke fasa pembangunan yang seterusnya, sistem kewangan kita juga perlu berkembang seiring dengan perubahan tersebut. Pelan Sektor Kewangan 2027–2030 Bank Negara Malaysia yang akan datang akan berpandukan tiga aspirasi utama.

Aspirasi pertama ialah kewangan untuk masyarakat yang lebih berdaya tahan.

Kita kini berada dalam dunia yang mengalami kejutan iklim yang semakin kerap dan lebih serius. Pada masa yang sama, cabaran tenaga yang dihadapi hari ini telah meningkatkan keperluan untuk mempercepat peralihan ke arah masa hadapan yang lebih lestari. Persediaan bagi menghadapi kedua-dua cabaran ini memerlukan pelaburan yang besar pada tahun-tahun mendatang.

Kewangan mempunyai peranan yang amat penting. Tugas seterusnya adalah untuk merungkai potensi kewangan sepenuhnya.

Aspirasi kedua ialah kewangan untuk masyarakat yang lebih makmur.

Ketika Malaysia terus bergerak kepada kedudukan yang lebih tinggi dalam rantaian nilai, sektor kewangan perlu kekal terhubung dengan keperluan ekonomi benar.

Peranan kewangan adalah mudah. Menyalurkan modal kepada pelaburan yang produktif. Menyokong pertumbuhan sektor yang berpotensi tinggi. Membantu syarikat Malaysia berinovasi, berkembang dan bersaing.

Akhirnya, semua ini kembali kepada agenda pembaharuan kita: mewujudkan pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih tinggi dan peluang yang lebih luas untuk rakyat Malaysia.

Aspirasi ketiga ialah memperteguh sistem kewangan Malaysia untuk masa hadapan.

Landskap kewangan sedang berubah dengan pantas. Teknologi baharu. Model perniagaan baharu. Risiko baharu.

Pendekatan pengawalan dan penyeliaan perlu turut berkembang seiring dengan perubahan ini. Pendekatan tersebut perlu responsif dan seimbang. Disesuaikan mengikut saiz serta tahap risiko entiti yang dikawal selia. Bukan untuk membataskan inovasi, tetapi untuk membantu membentuk persekitaran yang membolehkan inovasi terus berkembang tanpa menjejaskan keyakinan, daya tahan dan kestabilan yang menjadi asas kepada sistem kewangan.

Justeru, kita memerlukan lebih daripada kewangan untuk merealisasikan semua aspirasi ini.

Cabaran yang akan membentuk daya saing negara pada masa hadapan merentas pelbagai bidang. Tiada satu institusi, sektor atau dasar yang mampu menanganinya secara bersendirian. Kemajuan akan semakin bergantung pada sejauh mana kita bekerjasama secara berkesan.

Cara kita mencapai matlamat ini juga perlu berubah. Model tradisional iaitu kerajaan serta pengawal selia mengenal pasti keutamaan dan menentukan hala tuju yang linear kini kurang sesuai dalam dunia yang semakin kompleks dan pantas berubah. Sebaliknya, kemajuan akan bergantung pada keupayaan kita memanfaatkan kekuatan kolektif ekosistem yang lebih luas.

Di Bank Negara Malaysia, hal ini bermakna beralih kepada model penciptaan bersama (co-creation). Menghimpunkan institusi kewangan, perniagaan, peserta teknologi dan pihak berkepentingan lain untuk menangani cabaran yang dikongsi bersama, membangunkan penyelesaian baharu serta mewujudkan ruang bagi kerjasama dan persaingan yang sihat.

Kita telah pun melihat keberkesanan pendekatan ini dalam kewangan iklim, inovasi dan perkembangan pasaran kewangan. Melalui platform seperti Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim, Sandbox Pengawalseliaan dan Jawatankuasa Pasaran Kewangan, para pihak berkepentingan berganding bahu untuk membentuk ekosistem kewangan yang lebih kukuh.

iTEKAD dimulakan dengan semangat yang sama, sebagai usaha menghimpunkan institusi kewangan untuk menyokong komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Hari ini, iTEKAD telah berkembang menjadi platform yang lebih luas bagi pemerkasaan ekonomi.

Inisiatif ini telah membantu usahawan mikro membangunkan perniagaan dan meningkatkan taraf hidup mereka. iTEKAD juga telah memperluas akses kepada perlindungan kewangan bagi kumpulan yang sebelum ini kurang mendapat perkhidmatan kewangan, termasuk pekerja gig.

Pada hari ini juga, kita akan melancarkan iTEKAD Kerjaya, iaitu komponen terbaharu di bawah inisiatif ini.

Matlamatnya adalah jelas: membantu mereka yang ingin bekerja bagi memperoleh kemahiran, sokongan dan laluan yang diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan yang berterusan.

Akhir sekali, kita perlu sentiasa mendahului arus perubahan dan bukan ketinggalan di belakangnya.

Ekonomi global kini berada pada titik peralihan yang penting. Namun begitu, banyak negara lazimnya memberikan tumpuan pada penyelesaian masalah masa lalu sehingga terlepas peluang pada masa hadapan. Setiap peralihan besar membuka peluang baharu kepada mereka yang bersedia untuk memanfaatkannya.

Malaysia pernah melalui pengalaman seperti ini. Kita telah bertindak balas terhadap arus globalisasi, mentransformasikan ekonomi dan beralih ke tahap pembangunan yang lebih tinggi. Kedudukan yang kita nikmati pada hari ini merupakan hasil daripada keputusan sukar yang kita ambil pada masa lalu.

Hari ini, kita mempunyai keupayaan untuk memperkukuh kemajuan tersebut. Pertumbuhan ekonomi kekal stabil, manakala inflasi berada dalam lingkungan jangkaan. Keadaan ini membolehkan kita memberikan tumpuan pada perspektif jangka panjang. Sebagai bank pusat, BNM akan terus memastikan persekitaran makroekonomi stabil dan sistem kewangan berdaya tahan. Kedua-duanya merupakan prasyarat penting bagi membolehkan agenda pembaharuan ini terus dilaksanakan.

Izinkan saya kembali kepada pokok Gelam tadi.

Sejak turun-temurun, kulit pokok Gelam digunakan oleh pembuat kapal Melayu untuk merentas lautan yang tidak menentu. Disisipkan di celah papan-papan kapal, kulit pokok Gelam ini membolehkan kapal bergerak mengikut alunan ombak tanpa mudah pecah dipukul gelora.

Itulah makna sebenar daya tahan. Bukan menolak perubahan atau mengelakkannya, tetapi dengan membuat penyesuaian terhadap perubahan tanpa kita hilang arah.

Dalam banyak aspek, perjalanan pembangunan Malaysia turut berlandaskan prinsip yang sama. Setiap generasi berdepan cabarannya yang tersendiri. Setiap generasi juga perlu membuat pilihan tentang cara untuk bertindak balas terhadap dunia yang sentiasa berubah.

Pembaharuan yang dilaksanakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini merupakan sebahagian daripada kisah yang belum selesai.

Pembaharuan ini telah memperkukuh asas-asas negara serta meningkatkan keupayaan negara untuk menghadapi kejutan. Selain itu, pembaharuan ini juga telah membantu Malaysia bersiap siaga untuk masa hadapan yang sangat berbeza berbanding masa lalu. Kini, tibalah tugasan yang lebih mencabar.

Menterjemahkan asas-asas yang kukuh ini kepada pendapatan yang lebih tinggi. Menukarkan pelaburan kepada peluang. Mengubah daya tahan menjadi kemajuan yang dikongsi bersama.

Bab seterusnya dalam kisah Malaysia tidak akan ditentukan semata-mata oleh perkembangan global. Sebaliknya, kisah ini akan dibentuk oleh cara kita bertindak balas terhadap perkembangan tersebut.

Sekiranya kita terus membuat penyesuaian dan pembaharuan serta melabur demi masa depan negara, maka masa akan datang yang menanti bukanlah sesuatu yang telah ditetapkan, tetapi masa yang penuh dengan kemungkinan.


[1] Daripada 244,990 pekerjaan baharu yang berpotensi diwujudkan, 55% adalah dalam sektor perkhidmatan dan 45% dalam perkilangan. Menurut pengumuman MIDA, daripada 110 ribu pekerjaan yang diwujudkan dalam perkilangan, 45% daripadanya ialah pekerjaan berkemahiran tinggi. Malaysia's RM285.2 Billion Approved Investments in 9M 2025 Up 13.2% Y-O-Y, Defies Global Headwinds, Creates Over 150,000 Jobs - MIDA | Malaysian Investment Development Authority


Bank Negara Malaysia
28 Julai 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?