Ucaptama Khas oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di 2025 ASEAN Banking and Finance Summit

Hotel Seri Pacific | 25 Februari 2025

“Memacu Transformasi Perbankan dan
Memajukan Kelestarian”

 

Sejak penubuhannya 58 tahun lalu, ASEAN telah berkembang menjadi kuasa yang penting dalam perdagangan global, pelaburan dan diplomasi. Kini, ASEAN ialah blok ekonomi keempat terbesar di dunia, dengan anggaran KDNK sebanyak USD4.13 trilion.[1] Pada tahun 2025, ASEAN bersedia untuk mencatatkan satu lagi tahun dengan prestasi yang kukuh. KDNK dijangka meningkat sebanyak 4.7%,[2] jauh melebihi purata global. ASEAN memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global, geopolitik yang sama rata serta lokasi yang strategik untuk perdagangan global. Walau bagaimanapun, pemacu pertumbuhan ekonomi mampan ASEAN juga dipupuk dari dalam, iaitu melalui penggunaan dalam negeri yang kukuh oleh demografi penduduk muda, pertumbuhan pesat negara-negara ASEAN dan peningkatan integrasi serantau. Contohnya, perdagangan antara ASEAN pada tahun 2023 mencakupi 21.5% daripada jumlah perdagangan barangan di rantau ini.

Izinkan saya menyentuh secara ringkas tentang prospek pertumbuhan Malaysia. Selepas menunjukkan prestasi yang kukuh pada tahun lalu, Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan yang stabil pada tahun 2025, meskipun dengan persekitaran global yang mencabar. Struktur eksport yang pelbagai akan membantu menyokong kejutan permintaan luaran. Namun, yang lebih penting, faktor-faktor utama dalam ekonomi, khususnya pengembangan aktiviti pelaburan yang mantap dan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan akan menjadi penting untuk memacu pertumbuhan pada tahun ini. Eksport juga dijangka terus berkembang dengan sokongan daripada peningkatan kitaran teknologi dan ketibaan pelancong yang menggalakkan. Kami mengakui bahawa prospek pertumbuhan sangat bergantung pada risiko yang timbul daripada sekatan perdagangan dan pelaburan. Walau bagaimanapun, pertumbuhan berpotensi menjadi lebih tinggi disebabkan oleh limpahan yang lebih besar daripada peningkatan kitaran teknologi, aktiviti pelancongan yang lebih giat dan pelaksanaan projek pelaburan yang lebih pantas di dalam negara.

Sektor kewangan ialah teras kemajuan ASEAN selama ini. Sektor ini bertindak sebagai enjin pusat kepada ekonomi kita, memudahkan aliran kewangan dalam ASEAN. Malah, selama beberapa dekad yang lalu, kita telah mencapai kemajuan dalam memudahkan aliran modal serantau, menghubungkan infrastruktur pembayaran dan memperkenalkan rangka kerja untuk menyokong integrasi sistem perbankan serantau melalui ASEAN Banking Integration Framework (ABIF). Walau bagaimanapun, potensi pelaburan antara ASEAN masih belum diterokai sepenuhnya dan banyak perkara yang perlu dilakukan untuk mencapai keseragaman pengawalseliaan serantau. Visi saya adalah untuk sektor kewangan menjadi penggerak yang sangat penting untuk fasa integrasi ekonomi seterusnya di bawah ASEAN Economic Community (AEC) 2045. Hal ini memerlukan sektor kewangan memanfaatkan tiga pemacu utama secara strategik: pembiayaan, teknologi dan tenaga mahir.

Menggembleng dana untuk membuka sektor pertumbuhan baharu, merapatkan jurang pembiayaan dan memacu pertumbuhan mampan untuk ASEAN

Mari kita mulakan dengan pembiayaan, iaitu pemacu penting pertumbuhan ekonomi ASEAN. ASEAN menghadapi jurang pembiayaan ketara yang memerlukan tumpuan segera. Izinkan saya berkongsi beberapa contoh. Asian Development Bank melaporkan bahawa ekonomi ASEAN memerlukan pelaburan infrastruktur sebanyak sekurang-kurangnya USD2.8 trilion dari tahun 2023 hingga 2030 bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi, mengurangkan tahap kemiskinan dan bertindak balas terhadap perubahan iklim. Projek-projek utama di rantau ini yang memerlukan jumlah pembiayaan yang besar termasuk ASEAN Power Grid, projek yang sangat penting untuk memajukan agenda keselamatan iklim dan tenaga rantau ini; serta pelbagai projek lebuh raya dan kereta api ASEAN seperti Asian Highway Network, yang menjadi asas kepada pembangunan ekonomi dan integrasi serantau. Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di rantau ini juga menghadapi jurang penbiayaan yang mencabar, melebihi USD300 bilion pada setiap tahun.[3]

Semua angka ini menggariskan keperluan mendesak untuk pelaburan strategik dan usaha kerjasama bagi memastikan masa hadapan yang berdaya tahan dan mampan untuk ASEAN. Keperluan ini lebih mustahak di rantau yang lebih 90% daripada semua pembangunan infrastruktur sosialnya secara lazim bergantung pada sumber awam,[4] dan pendanaan awam menghadapi kekangan yang semakin meningkat. Oleh itu, bagaimanakah sektor kewangan boleh bertindak sebagai pemangkin untuk mengumpulkan sumber pendanaan yang pelbagai serta menyokong pelaburan jangka panjang bagi memastikan pengembangan ekonomi yang mampan serta membina rantaian bekalan dan komuniti yang lebih berdaya tahan?

Di sinilah kewangan campuran (blended finance), penggunaan strategik sumber kewangan awam, swasta dan dermawan serta kewangan pembangunan, boleh menjadi alat yang sangat penting untuk menggerakkan aliran modal swasta tambahan ke arah pembangunan mampan di ASEAN. Sektor kewangan memainkan peranan penting dalam memajukan kewangan campuran untuk memenuhi jurang pembiayaan di ASEAN, dengan membolehkan tahap pengambilan risiko yang boleh diterima berdasarkan pelbagai sumber pendanaan. Pendekatan ini memanfaatkan kesediaan kewangan pembangunan dan pembiaya dermawan termasuk dana kerajaan dalam ASEAN untuk menanggung dedahan risiko yang lebih besar, menggunakan alat seperti jaminan kredit separa untuk menarik pelabur tambahan. Bank pembangunan pelbagai hala dan institusi kewangan pembangunan memainkan peranan yang sangat penting dengan menawarkan pembiayaan konsesi dan bantuan teknikal, yang menyokong syarikat tempatan dalam mengakses pasaran modal dan urus niaga penstrukturan, lantas menggalakkan penyertaan institusi kewangan swasta melalui pengaturan pembiayaan bersama.

Saya juga percaya bahawa keadaan ini merupakan peluang untuk kewangan Islam mengetengahkan peranan serta impaknya yang unik. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, momentum kewangan Islam telah meningkat dalam rantau ASEAN. Kewangan Islam menawarkan penyelesaian alternatif kepada struktur kewangan konvensional melalui penggunaan instrumen perkongsian risiko dan kewangan sosial yang boleh digerakkan ke arah pembangunan sektor ekonomi produktif seperti sektor penjagaan kesihatan, sektor pengangkutan dan sektor hijau. Yang nyata, penggunaan modal campuran melalui instrumen seperti wakaf dan zakat di Malaysia serta beberapa negara jiran seperti Indonesia dan Brunei telah menyumbang dengan ketara kepada rangkuman kewangan untuk golongan yang kurang mendapat perkhidmatan serta mengukuhkan sokongan terhadap PMKS. Satu contoh adalah inisiatif iTEKAD Malaysia, program kewangan campuran sosial untuk usahawan mikro berpendapatan rendah yang menyediakan pendanaan sosial dan komersial, bersama-sama dengan latihan dan bimbingan untuk memperkasakan golongan ini dalam menjana pendapatan yang mampan. Dalam struktur pasaran modal, kewangan Islam juga telah digerakkan untuk projek infrastruktur, iklim dan hijau. Contohnya, sejumlah USD56 bilion sukuk telah dikeluarkan di Malaysia pada tahun 2023 untuk mendanai sektor ekonomi benar dengan tumpuan yang tinggi terhadap tenaga boleh diperbaharui dan harta tanah hijau.

Penerapan struktur pembiayaan inovatif akan melibatkan pengendalian pelbagai kerumitan yang memerlukan pertimbangan, kerjasama serta penyesuaian yang teliti. Oleh itu, kemajuan pembangunan keupayaan dalam sektor kewangan adalah sangat penting. Di Malaysia, Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) terus menjadi tumpuan utama dalam menyokong tindak balas sektor kewangan terhadap kesiapsiagaan perubahan iklim. Sebagai sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun 2025, Bank Negara Malaysia komited untuk menyokong usaha peralihan rantau ini. Pada minggu ASEAN Finance Ministers and Governors Meeting mulai 7 hingga 10 April tahun ini di Kuala Lumpur, kami akan mengadakan beberapa acara sampingan untuk memperincikan perbincangan ini. Acara-acara ini termasuk perbincangan meja bulat tertutup untuk pelabur yang memberikan tumpuan terhadap penyelesaian pembiayaan inovatif untuk projek hijau dan peralihan ASEAN yang bersaiz besar, serta sesi cadangan (pitching) mengenai projek ASEAN yang mampan. Kami mengundang industri kewangan untuk menyumbang dan mengambil bahagian dalam acara ini.

Penggunaan teknologi secara bertanggungjawab dalam perkhidmatan kewangan merupakan faktor penting untuk memaksimumkan potensinya dan pada yang sama meminimumkan risiko

Tuan-tuan dan puan-puan,

Terdapat potensi besar bagi ASEAN untuk turut memanfaatkan teknologi. Hal ini merupakan pemacu yang kedua. Dengan umur median sekitar 30 tahun dan sebahagian besarnya berumur di bawah 35 tahun,[5] penduduk ASEAN merupakan golongan celik digital. Malah, penggunaan perkhidmatan kewangan digital boleh menjadi pengubah keadaan dalam menangani cabaran di rantau ini, termasuk untuk memenuhi keperluan penduduk yang tidak dan kurang mendapat akses kepada perkhidmatan perbankan di rantau kita ini.

Prospek untuk perkhidmatan kewangan digital di ASEAN adalah sangat cerah. Melalui inovasi seperti dompet elektronik (mobile wallets), pembayaran digital dan pinjaman mikro, kewangan digital memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan untuk individu yang sebelum ini mempunyai pilihan terhad. Kesemua perkhidmatan ini bukan sahaja mengisi kelompongan, malah mewujudkan laluan baharu untuk rangkuman kewangan lantas membolehkan individu menyimpan, melabur dan mengakses kredit dengan mudah, iaitu situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Meskipun mempunyai potensi yang sangat besar, perkhidmatan kewangan digital menimbulkan risiko yang tersendiri. Kemajuan teknologi masa kini berkembang pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lantas meningkatkan kepentingan tindak balas kita terhadap perkembangan tersebut. Bagi institusi kewangan, penerapan teknologi mesti dilakukan dengan teliti dan bertanggungjawab dengan pertimbangan menyeluruh berhubung dengan kesan dan nilainya terhadap alam sekitar dan komuniti secara meluas. Komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk mempertingkatkan perkhidmatan kewangan dan mengekalkan keyakinan pengguna ini termasuk menangani risiko keselamatan siber, memperkukuh daya tahan iklim, menggalakkan literasi kewangan serta memastikan perkhidmatan kewangan digital selamat dan mudah diakses oleh semua segmen masyarakat.

Sebagai pengawal selia, komitmen kami adalah supaya dasar kami mencapai keseimbangan antara menerapkan inovasi teknologi dan pada masa yang sama mengekalkan kestabilan kewangan. Sandbox Pengawalseliaan membenarkan percubaan dan menyumbang kepada penyesuaian semula dasar pengawalseliaan seperti eKYC. Kami juga menyesuaikan pengawalan kami untuk mengalu-alukan peserta baharu untuk memasuki pasaran, iaitu mereka yang mempunyai tawaran nilai yang kukuh mengenai rangkuman kewangan. Penyesuaian ini ditunjukkan melalui penerbitan rangka kerja pelesenan dan pengawalseliaan kami untuk bank digital serta syarikat insurans dan pengendali takaful digital.

Melabur dalam strategi tenaga yang bukan sahaja menghasilkan tenaga kerja yang lebih tangkas dan mudah menyesuaikan diri, malah membuka jalan untuk mobiliti tenaga mahir serantau

Saya ketengahkan pula pemacu yang ketiga.

Tenaga mahir merupakan nadi pertumbuhan dan perkembangan ekonomi. ASEAN dipenuhi dengan tenaga kerja yang bersemangat, muda dan dinamik. Bagi memanfaatkan potensi ini, sektor kewangan perlu mencipta persekitaran yang memupuk pemimpin dan pereka (innovator) generasi baharu dalam bidang kewangan yang mendukung identiti ASEAN yang unik. Seseorang yang bukan sahaja cekap teknologi, justeru mahir mengemudi kerumitan pengawalseliaan serantau dan perubahan ekonomi global sambil memperjuangkan keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar.

Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi usaha Malaysia membangunkan tenaga mahir dalam sektor kewangan. Pada bulan Julai tahun lalu, industri telah melancarkan Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan Sektor Kewangan (Financial Sector Future Skills Framework) untuk memperkasakan individu ke arah mengendalikan pembangunan profesional mereka, sambil mewujudkan saluran tenaga mahir dan kumpulan penggantian baharu. Saya ingin mengulangi seruan saya semasa pelancaran rangka kerja ini agar industri bekerjasama rapat dengan institusi latihan, badan profesional dan persatuan industri untuk memastikan program latihan memenuhi standard jaminan kualiti yang ditetapkan dan menetapkan piawaian yang tinggi dalam bidang kemahiran baharu.

Usaha ini dilengkapi dengan sebuah hab pembangunan tenaga mahir dinamik yang menawarkan program pembelajaran dan pensijilan yang khusus. Sebagai contoh, Financial Sector Talent Enrichment Programme (FSTEP) menyasarkan siswazah baharu yang berminat untuk memulakan kerjaya mereka dalam bidang perkhidmatan kewangan, manakala pensijilan kewangan yang diiktiraf pada peringkat global disediakan untuk golongan profesional berpengalaman.

Malaysia juga merupakan rumah kepada pusat penyelidikan dan pembelajaran serantau seperti SEACEN Centre dan negara ini diiktiraf pada peringkat global sebagai peneraju kewangan Islam. Dengan adanya pelbagai institusi pembangunan tenaga mahir yang mapan dan penyedia pembangunan keupayaan dalam kewangan Islam, kami menawarkan persekitaran yang mantap untuk memupuk kemahiran khusus dan kepimpinan berwawasan dalam bidang ini.

Bagi benar-benar memanfaatkan populasi umur bekerja yang besar di ASEAN, kita perlu menggerakkan usaha jauh melangkaui peringkat tempatan. Institusi kewangan di seluruh rantau ini harus melaksanakan inisiatif kerjasama yang mempertingkatkan mobiliti tenaga mahir, contohnya melalui pengiktirafan bersama kelayakan dan perkongsian kepakaran. ABIF juga boleh dimanfaatkan untuk mempergiat usaha menggalakkan keseragaman kawal selia yang lebih besar melalui inisiatif pembangunan keupayaan. Dengan berbuat demikian, kita akan dapat meningkatkan jalinan di seluruh pasaran ASEAN serta membuka jalan untuk masa hadapan rantau ini yang lebih bersepadu dan berdaya tahan.

Sebagai penutup, wacana hari ini menegaskan semula komitmen sektor kewangan untuk menjadikan AEC 2045 sebagai realiti. Cabarannya terletak pada memastikan sektor kewangan ASEAN mempunyai keupayaan untuk melakukannya dengan menggembleng dana, memanfaatkan teknologi dan membangunkan tenaga mahir serantau.

Saya akhiri ucapan saya hari ini dengan kata-kata Peter Drucker: ''The best way to predict the future is to create it.” Marilah kita bersama-sama mewujudkan masa hadapan yang memperkasakan pertumbuhan dan integrasi ASEAN melalui sektor kewangan. Dengan itu, saya berharap para hadirin akan melalui sesi perbincangan yang produktif sepanjang Sidang Kemuncak ini.


 

[1] ASEAN in the Global Economy: A Half-Century Journey

[2] ASEAN Outlook 2025

[3] MSMEs In ASEAN: Addressing The Financing Gap – OpEd – Eurasia Review

[4] Q&A: Innovative Financing Can Help Bridge Southeast Asia’s Infrastructure Financing Gap | Asian Development Bank

[5] Laporan ASEAN Youth Survey 2020 oleh WEF


Bank Negara Malaysia
25 Februari 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?