Ucaptama oleh Gabenor di Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-6 - "Transformasi Sistem Kewangan Antarabangsa dan Peranan Sistem Kewangan Islam"
Kuala Lumpur | 20 Mei 2010
Ekonomi global ketika ini sedang berdepan dengan cabaran dan ketidaktentuan yang luar biasa. Krisis ekonomi dan kewangan global baru-baru ini yang tidak pernah terjadi sebelum ini telah mengakibatkan kerugian yang besar di seluruh dunia. Sistem kewangan global yang merudum telah mengakibatkan beberapa kegagalan termasuklah kegagalan bank, luluh kredit (credit crunch), kejatuhan pasaran asset, kemusnahan kekayaan yang besar, kejatuhan yang ketara dalam aliran perdagangan dan kewangan serta pengangguran yang meluas di kebanyakan bahagian di dunia. Bagi membendung kesan krisis kewangan terhadap ekonomi, langkah-langkah yang luar biasa telah dilaksanakan oleh penggubal-penggubal dasar di seluruh dunia. Dengan ekonomi global pada ketika ini semakin pulih, tumpuan kini beralih ke arah memperoleh penyelesaian yang lebih kekal untuk mengukuhkan ekonomi global agar krisis sebesar ini dapat dielakkan pada masa hadapan.
Beberapa langkah penting telah diambil oleh komuniti antarabangsa bagi meningkatkan lagi usaha untuk mereformasi dan mengukuhkan sistem kewangan antarabangsa. Matlamatnya adalah untuk membina asas ekonomi global yang lebih kukuh dan lebih inklusif - iaitu dibina berasaskan pertumbuhan yang mampan dan kemakmuran yang dapat dikongsi dengan lebih meluas. Hakikatnya, iltizam global ini pada dasarnya adalah sesuai, serta menyerlahkan peranan dan kerelevanan kewangan Islam di persada ekonomi global dalam era pascakrisis. Kewangan Islam, melalui penekanan terhadap pencapaian matlamat sosioekonomi berlandaskan matlamat Syariah, mempunyai disiplin untuk mempertingkat peluang bagi memperkukuh ekonomi global dan kestabilan kewangan yang menyeluruh.
Prestasi kewangan Islam yang secara relatifnya lebih baik dan momentum pertumbuhannya yang mampan sepanjang tempoh kegawatan kewangan global ini telah memperlihatkan kekuatan dalamannya. Penekanannya terhadap hubungan yang kukuh dengan aktiviti ekonomi produktif yang mendorong ekonomi ke arah pengukuhan kewangan secara tidak berlebihan, penekanan terhadap kebertanggungjawaban, penzahiran dan ketelusan serta sekatan dan imbangan dalamannya, kesemuanya membentuk kekuatan kewangan Islam sebagai pengantaraan kewangan yang stabil, yang mengukuhkan prospeknya sebagai penyumbang pertumbuhan ekonomi dan kestabilan kewangan.
Meskipun jumlah dana yang diuruskan dalam sistem kewangan Islam masih lagi merupakan bahagian kecil daripada jumlah aset sistem kewangan antarabangsa, namun bahagian aktiviti kewangan ini adalah yang benar-benar disokong oleh keupayaan produktif yang mendasarinya bagi menjana pertumbuhan ekonomi merentas benua. Bentuk aktiviti kewangan seperti inilah yang perlu digalakkan, berbanding dengan aliran kewangan yang menjejaskan dan tidak menyumbang kepada penjanaan aktiviti ekonomi sebenar.
Usaha untuk mereformasi sistem kewangan antarabangsa oleh komuniti antarabangsa bertujuan untuk menangani pelbagai kepincangan dan kelemahan yang menjadi penyumbang kepada krisis baru-baru ini dan untuk mengembalikan keyakinan dalam integriti sistem kewangan global. Teras bagi agenda reformasi ini ialah pembangunan rangka kerja pengawalseliaan kewangan baharu yang lebih efektif dan berasaskan penekanan yang lebih mendalam terhadap etika, keadilan, dan kebertanggungjawaban serta menggalakkan ekonomi, sosial dan persekitaran global yang mampan. Ia juga perlu berteraskan keseimbangan dalam menyokong pertumbuhan di samping mengekalkan kestabilan kewangan. Pembaharuan ini perlu berasaskan koordinasi antarabangsa yang lebih meluas dalam pendekatan pengawalan dan pengawasan penyeliaan dengan rangka kerja pengurusan krisis yang akan mengurangkan risiko sistemik dan kesan buruk daripada sebarang krisis kewangan yang mungkin berlaku pada masa hadapan.
Reformasi ini termasuklah langkah-langkah meningkatkan kualiti dan tahap modal yang dipegang oleh institusi perbankan, mengukuhkan keperluan dan pengurusan risiko mudah tunai, pelaksanaan piawaian peruntukan yang mengambil kira masa depan, dan menjajarkan amalan ganjaran dengan prestasi jangka panjang. Langkah-langkah selanjutnya termasuk juga peningkatan dalam ketelusan dan pengukuhan rangka kerja penyeliaan serta pengaturan berhubung dengan pengawasan merentas sempadan terhadap kumpulan-kumpulan kewangan yang beroperasi di luar pesisir. Langkah-langkah ini juga telah diperkuat dengan pengukuhan pengawalan kehematan makro. Krisis ini memperlihatkan bahawa tindakan institusi perbankan dan institusi pembangunan lain secara kolektif telah menyumbang kepada peningkatan risiko yang nyata dalam sistem kewangan yang akhirnya menjejaskan kestabilan kewangan. Rangka kerja pengawalseliaan sedia ada juga diakui tidak memadai untuk menangani risiko sistemik. Hal ini telah mendorong kepada pendekatan yang lebih bersepadu terhadap pengawalan dengan pengukuhan yang ketara elemen-elemen kehematan makro dalam pengawalseliaan kewangan.
Kebimbangan utama terhadap penentukuran reformasi pengawalseliaan ialah kesan tidak dijangkakan yang boleh menjejaskan dengan ketara peranan penting sektor kewangan dalam ekonomi. Yang membimbangkan ialah kesan kumulatif daripada langkah-langkah baharu itu akan meningkatkan kos dan menjejaskan ketersediaan pembiayaan kepada ekonomi yang lebih meluas. Perlu ada keseimbangan antara kestabilan kewangan dalam jangka panjang dengan potensi peningkatan kos dalam pengantaraan kewangan. Keseimbangan ini perlu dalam menggabungkan sistem pengawalan dan penyeliaan yang lebih berpandangan jauh dan responsif kepada risiko; dan pada masa yang sama mempunyai struktur insentif yang wajar bagi institusi-institusi kewangan untuk menguruskan risiko dengan lebih berhemat dan mengukuhkan keadaan agar disiplin pasaran lebih berkesan.
Sementara sistem kewangan Islam secara umumnya menunjukkan prestasi yang baik semasa krisis kewangan global, beberapa pengajaran yang bernilai boleh diambil daripada krisis ini dalam usaha kita mengukuhkan lagi infrastruktur kewangan Islam bagi menjadi sistem kewangan yang lebih berdaya tahan dan stabil. Pada tahun 2009, Pasukan Petugas bagi Kewangan Islam dan Kestabilan Kewangan Global telah diwujudkan oleh Bank Pembangunan Islam (Islamic Development Bank, IDB) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board, IFSB) bagi menilai kewangan Islam semasa krisis kewangan global dan mengenal pasti infrastruktur kewangan yang diperlukan bagi mengukuhkan lagi asas sistem kewangan Islam. Laporan tersebut meneliti elemen konseptual yang terdapat dalam kewangan Islam dan kesannya terhadap kestabilan kewangan serta mempertimbangkan lapan lagi bidang pembangunan dalam arkitektur kewangan Islam bagi mempertingkat kemampuan untuk menghadapi persekitaran operasi yang lebih mencabar pada masa hadapan. Laporan itu siap pada bulan April tahun ini dengan matlamat untuk menyokong usaha antarabangsa menyediakan asas yang kukuh untuk kestabilan kewangan dalam sistem kewangan global.
Lapan bidang bagi mengukuhkan infrastruktur kewangan Islam tersebut memberi tumpuan pada keupayaan institusi pada peringkat domestik dan antarabangsa dengan matlamat untuk menyumbang kepada kestabilan kewangan global. Infrastruktur kewangan ini yang memberi tumpuan pada asas-asas penting dalam pembangunan kewangan Islam termasuk, pertama, memastikan pelaksanaan piawaian kehematan yang berkesan; kedua, membangunkan infrastruktur pengurusan mudah tunai yang sistemik; ketiga, menyediakan jaringan keselamatan kewangan yang kukuh; keempat, menghasilkan rangka kerja pengurusan krisis dan penyelesaian yang berkesan; kelima, mengukuhkan lagi piawaian perakaunan, pengauditan dan penzahiran; keenam, mewujudkan pengawasan kehematan makro yang berkesan; ketujuh, menubuhkan institusi penarafan dan proses kredit yang boleh dipercayai; dan terakhir kelapan, mempertingkat kerjasama antarabangsa yang erat dan penyelarasan antara negara termasuk pembinaan keupayaan dan pembangunan tenaga mahir bagi menyokong usaha-usaha di peringkat nasional bagi memastikan kestabilan kewangan.
Kewangan Islam tidak wujud dalam keadaan terasing dan apabila menjadi komponen yang semakin penting dalam sistem kewangan global, ia tidak akan dapat mengelak daripada impak perubahan landskap pengawalan kewangan. Hal ini penting khususnya apabila pertumbuhan kewangan Islam meningkat dari segi bilangan penyedia perkhidmatan dan jumlah perniagaan dan apabila proses pengantarabangsaan berterusan. Seruan global bagi menambah baik pengawalan dan meningkatkan pengawasan dalam persekitaran kewangan antarabangsa yang berbeza pada asasnya juga menghendaki kita untuk mempertingkat lagi usaha yang telah diambil selama ini bagi memperkukuh pengawalan kewangan untuk kewangan Islam.
Reformasi kewangan dalam kewangan Islam untuk menyokong inovasi yang berterusan dan bertanggungjawab khususnya, perlu memanfaatkan kekuatan dalaman yang membezakan kewangan Islam daripada kewangan lain bagi melaksanakan fungsinya dalam menggembleng dan mengagihkan sumber-sumber untuk menjana aktiviti ekonomi sebenar. Dalam kewangan Islam, inovasi merupakan penggerak utama pembangunan pasaran bagi menjana rangkaian produk dan perkhidmatan, proses dan juga fungsi. Kuncinya terletak pada usaha memelihara manfaat daripada inisiatif dan aktiviti inovatif dan pada masa yang sama memastikan ia tidak mengakibatkan eksternaliti yang negatif. Ini terhasil daripada paradigma tadbir urus, pendedahan dan ketelusan yang kukuh, di samping penekanan terhadap inovasi yang berteraskan matlamat Syariah dan sekali gus memberi manfaat kepada orang ramai.
Yang penting, kewangan Islam mempunyai ciri-ciri yang dapat membantu pengukuhan kewangan tanpa mengakibatkan lebihan kewangan (financial excesses) melalui asas Syariah yang memerlukan urus niaga kewangan Islam disokong oleh asas aktiviti ekonomi dan inovasi kewangan yang mempunyai tanggungjawab sosial. Selanjutnya, ciri-ciri perkongsian keuntungan dan perkongsian risiko urus niaga kewangan Islam memperkukuh insentif institusi kewangan Islam untuk melaksanakan usaha wajar yang bersesuaian terhadap urus niaga kewangan Islam bagi memastikan keuntungan adalah sepadan dengan risiko yang diambil. Lembaga Syariah institusi kewangan Islam juga berperanan menjalankan proses yang rapi bagi pengesahan pakar syariah, sekali gus memastikan bahawa kekuatan dalaman kewangan Islam benar-benar direalisasikan sepenuhnya. Ini dapat memastikan bahawa produk-produk yang ditawarkan bertujuan untuk memperoleh manfaat sebenar untuk pelabur, dengan itu mengurangkan kecenderungan terhadap tindakan yang ekstrem dalam sistem kewangan.
Baru-baru ini, perhatian dunia telah beralih daripada bank-bank bermasalah kepada negara-negara bermasalah yang sedang menghadapi risiko kerajaan yang semakin meningkat seterusnya membawa kepada perlaksanaan pakej penyelamat dan kebimbangan yang semakin bertambah terhadap penularan dalam pasaran kewangan di bahagian lain dunia. Sementara semua cabaran ini terus ditangani oleh ekonomi-ekonomi maju, ekonomi-ekonomi sedang pesat membangun telah berjaya keluar daripada krisis ini dengan mencatat prestasi pertumbuhan yang lebih kukuh. Rantau Asia, khususnya, telah mengharungi krisis ini berbekalkan asas ekonomi yang teguh serta sistem dan institusi kewangan yang lebih berdaya tahan. Oleh itu, kesan penularan di rantau ini adalah terhad. Pengantarabangsaan kewangan Islam pada dekad ini telah memperkukuh lagi trend integrasi kewangan yang lebih meluas dalam ekonomi sedang pesat membangun. Hal ini telah memperkuat corak perubahan integrasi kewangan dan ekonomi global apabila hubungan kewangan dan ekonomi antara ekonomi sedang pesat membangun bertambah kukuh.
Dalam tempoh kebelakangan ini, berikutan berkembangnya dimensi antarabangsa bagi kewangan Islam, ia menjadi bentuk pengantaraan yang semakin penting yang memudahkan hubungan ekonomi antara ekonomi sedang pesat membangun. Selain itu, ia telah menarik penglibatan pusat-pusat kewangan yang lebih maju bagi membina hubungan kewangan yang lebih kukuh dengan rantau Asia dan Timur Tengah yang dinamik. Sesungguhnya, ini akan menyumbang kepada penggemblengan dana yang lebih cekap merentas rantau, memperkukuh kepentingan kewangan Islam sebagai satu saluran yang semakin penting dalam pembangunan ekonomi global yang lebih inklusif. Natijah daripada krisis ini, kewangan Islam akan terus menggalakkan hubungan baharu antara negara memandangkan peranan dan kerelevanannya yang lebih ketara, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan global yang lebih seimbang.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, prinsip kewangan Islam yang menjadi asas kepada fungsi pengantaraannya mengukuhkan potensi peranan dan kerelevanan kewangan Islam dalam memacu agenda pertumbuhan dan pembangunan ke arah memelihara kestabilan kewangan dan memperkukuh hubungan ekonomi dan kewangan antara negara. Dengan beroperasi berlandaskan peraturan-peraturan Syariah, kewangan Islam memperoleh kekuatannya daripada hubungan secara langsung dengan aktiviti ekonomi dan penekanan terhadap pengurusan risiko yang berhemat dan penzahiran dan ketelusan yang eksplisit. Dengan itu, kewangan Islam memastikan nilai aktiviti yang berdaya maju dalam menjana kekayaan yang mencukupi untuk menampung risiko yang terlibat. Kekuatan dalaman ini akan terus menjadi pemangkin untuk memacu peralihan kepada pertumbuhan dan pembangunan era baharu dalam dunia pascakrisis.
Dengan peralihan kewangan Islam ke fasa pembangunan yang seterusnya bersama-sama integrasi antarabangsa yang lebih pesat, manfaat besar yang akan diperoleh perlu diiringi dengan tahap daya tahan yang lebih tinggi yang perlu dipergunakan sebaik-baiknya bagi menguruskan cabaran-cabaran baharu pada masa hadapan. Usaha kolektif kita untuk menggembleng kerjasama global pada peringkat yang lebih tinggi dalam menggalakkan manfaat ini juga akan meningkatkan prospek kewangan Islam untuk menyumbang ke arah memperoleh kestabilan ekonomi global dan perkongsian kemakmuran ekonomi yang lebih besar.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.