Ucaptama oleh Gabenor di Majlis Ulang Tahun Bank Negara Malaysia ke-50: "50 Tahun Perbankan Pusat - Kestabilan dan Kemapanan"
Kuala Lumpur | 8 Februari 2009
Bank Negara Malaysia yang telah dibuka dengan rasminya sebagai Bank Pusat pada 26 Januari 1959, hanya setahun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada bulan Ogos 1957, memperlihatkan betapa pentingnya institusi Perbankan Pusat. Sejak permulaan penubuhannya, Bank Pusat ini telah diamanahkan untuk menjadi peneraju bagi melaksanakan mandat tradisi Bank Pusat sebagai pendorong kepada kestabilan monetari dan kewangan. Tidak kurang pentingnya ialah mandat untuk membangunkan sistem kewangan domestik - sebuah sistem kewangan yang akan menjana pertumbuhan ekonomi dan pembangunan.
Saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan tokoh-tokoh kehormat yang datang dari pelbagai pelosok dunia untuk bersama-sama kita pada majlis yang istimewa ini bagi memperingati ulang tahun Bank Negara Malaysia yang ke-50. Kami juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia kerana sudi hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis ini.
Pendahuluan
Saya akan berkongsi pengalaman Bank selama 50 tahun ini dan aspirasi Bank pada masa hadapan. Tempoh lima dekad yang berlalu ini merupakan tempoh yang paling mencabar. Namun, banyak kemajuan yang bermakna telah dicapai dan banyak juga pengajaran yang diperoleh. Walaupun negara memperoleh kemakmuran yang nyata pada sebahagian besar tempoh ini, kemajuan ekonomi dan kewangan negara turut menghadapi cabaran yang menguji kecekalan kami. Bagi menguruskan dan menyahut cabaran-cabaran ini, pertumbuhan dan transformasi ekonomi yang dilalui selama 50 tahun ini telah dicapai dalam persekitaran makroekonomi dan kewangan yang stabil.
Sepanjang lima dekad itu, Malaysia telah mencatat pertumbuhan tahunan purata yang melebihi 6 peratus dan inflasi tahunan yang kurang daripada 3 peratus. Pendapatan yang meningkat secara berterusan dan inflasi yang rendah dan stabil bukan sahaja menggalakkan kadar tabungan tinggi yang melebihi 30 peratus daripada KDNK malahan turut menghasilkan tabungan sebagai sumber pembiayaan utama sektor kewangan. Ini membolehkan Malaysia bergantung pada sumber pendanaan domestik bagi membiayai pertumbuhan dan pembangunan negara, lantas berjaya meminimumkan tahap keterhutangan luar negeri.
Kestabilan Monetari
Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, ketidakstabilan monetari umumnya berpunca daripada kejutan harga luaran, yang telah berlaku semasa tempoh harga komoditi dan tenaga mencatat paras tinggi, dan sebahagian kecilnya ketika keadaan permintaan yang berlebihan dan tahap pertumbuhan ekonomi melebihi potensinya. Hanya terdapat dua episod dalam sejarah negara pertumbuhan ekonomi melebihi potensinya dan telah mencetuskan tekanan inflasi; tempoh utama tersebut ialah sebelum berlakunya krisis kewangan Asia .
Semenjak tahun 1990-an, dasar monetari menjadi lebih rumit akibat aliran modal yang tidak menentu. Ini jelas dalam beberapa tempoh tertentu, iaitu pada awal tahun 90-an, pertengahan 90-an, dan akhir tahun 90-an apabila berlakunya aliran keluar modal pada tahun 1997-1998, dan pada masa kini, ketidaktentuan aliran modal berlaku berikutan pembayaran balik hutang oleh institusi kewangan di negara-negara maju.
Pada awal penubuhan Bank Negara Malaysia , tindakan dasar tertumpu pada pengurusan mudah tunai dalam sistem kewangan melalui pelaksanaan keperluan rizab berkanun dan mudah tunai, dan melalui penetapan kadar faedah dan sekatan portfolio, termasuk had bagi pinjaman. Kemajuan dan kecanggihan sektor kewangan yang berterusan, pasaran kewangan yang makin mendalam dan aliran modal yang makin memberikan kesan, mengakibatkan dasar monetari bergantung pada kadar faedah dan instrumen-instrumen lain yang berasaskan pasaran. Selain itu, apabila jangkaan menjadi lebih penting, maka isyarat dasar yang lebih jelas adalah diperlukan. Oleh itu, pada tahun 2004, Rangka Kerja Kadar Faedah Baharu telah dilaksanakan, dengan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) menjadi kadar dasar yang baharu, lantas menambah kecekapan mekanisme penyampaian monetari. Rangka kerja baharu ini juga bertindak sebagai pemangkin bagi menentukan harga yang efisien bagi produk dan perkhidmatan kewangan oleh institusi-institusi perbankan.
Isu utama dasar monetari dalam sebuah ekonomi yang terbuka seperti Malaysia ialah memastikan kadar pertukaran yang fleksibel dan kebebasan dasar monetari dalam menghadapi aliran modal yang makin besar. Bagi menguruskan peningkatan mendadak dalam aliran modal ini, pelbagai rangkaian instrumen berasaskan pasaran bagi tujuan operasi dasar monetari telah diwujudkan. Dengan peningkatan aliran perdagangan dan pelaburan antara rantau, kestabilan kadar pertukaran berbanding dengan mata wang serantau menjadi lebih penting.
Proses membuat keputusan dasar monetari di peringkat Bank Negara Malaysia juga telah diubah suai apabila Jawatankuasa Dasar Monetari menjadi asas tadbir urus dasar monetari bagi menghasilkan proses yang lebih optimum dalam penggubalan dasar. Komunikasi dasar monetari dan peningkatan ketelusan juga telah menjadi sangat penting dalam rangka kerja ini.
Lantaran itu, walaupun tanggungjawab Bank Pusat ke arah menggalakkan kestabilan kewangan yang kondusif untuk pertumbuhan yang mampan tetap tidak berubah semenjak penubuhan Bank Negara Malaysia pada tahun 1959, strategi, rangka kerja dan instrumen telah berubah dengan ketara bagi memastikan keberkesanan dalam mencapai matlamat yang diingini.
Pembangunan Sektor Kewangan
Fokus utama Bank Pusat sepanjang lima dekad ini ialah pembinaan keinstitusian, pembangunan pasaran kewangan dan penyediaan infrastruktur kewangan yang bersesuaian. Perkembangan sistem kewangan telah memperlihatkan transformasi sistem itu, daripada sistem kewangan asas yang didominasi oleh sektor perbankan kepada sistem kewangan yang mempunyai kepelbagaian yang tinggi, daripada sistem kewangan yang begitu dikawal selia kepada sistem kewangan yang berfungsi berlandaskan orientasi pasaran yang lebih luas, daripada sistem yang tidak terselaras kepada yang lebih kukuh dan terselaras. Sistem kewangan yang telah melalui transformasi ini juga disokong oleh rejim perundangan dan rangka kerja pengawalan dan penyeliaan yang lebih menyeluruh, dan sistem kewangan yang lebih liberal dengan hubungan antarabangsa yang lebih kukuh.
Sebahagian daripada pembinaan keinstitusian ialah penubuhan institusi pengawalseliaan yang mempunyai mandat yang jelas. Institusi-institusi ini termasuk Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Koperasi, Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (LOFSA) yang menyertai kita pada hari ini bagi meraikan tradisi bekerjasama yang sekian lama terjalin dalam memenuhi tujuan bersama. Institusi-institusi kewangan pembangunan yang khusus juga ditubuhkan bagi menggalakkan akses kepada perkhidmatan kewangan untuk sektor-sektor yang belum mendapat akses kepada perkhidmatan daripada institusi-institusi kewangan sedia ada. Keterangkuman kewangan (financial inclusion), iaitu memastikan semua aktiviti ekonomi dan semua segmen masyarakat mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan, senantiasa menjadi keutamaan bagi Bank Pusat. Pada masa ini, kira-kira 80% daripada jumlah penduduk mempunyai beberapa jenis akaun bank memandangkan akses kepada sistem kewangan kini lebih meluas dan menyeluruh.
Infrastruktur kewangan penting yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia bagi menyokong proses pengantaraan termasuklah sistem maklumat kredit diselaraskan secara berpusat yang komprehensif pada peringkat nasional yang membolehkan keputusan kredit dibuat dengan maklumat yang mencukupi oleh institusi-institusi kewangan. Selain itu, Credit Guarantee Corporation (CGC) telah ditubuhkan untuk memberikan sokongan kepada perniagaan kecil. Cagamas, perbadanan gadai janji nasional, telah ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk memastikan aliran dana yang berterusan kepada industri perumahan dan untuk membangunkan pasaran gadai janji sekunder.
Tumpuan bagi infrastruktur kewangan ialah infrastruktur pembayaran yang telah dinaik taraf dan dijadikan lebih canggih sejak beberapa tahun supaya lebih cekap dan boleh diharapkan. Landskap pembayaran telah berubah daripada hanya berasaskan kertas kepada pelbagai bentuk pembayaran elektronik yang baharu. Perbankan internet yang belum wujud kira-kira 10 tahun dahulu di Malaysia kini digunakan dengan meluas oleh seluruh penduduk negara ini yang menjadi pelanggan internet. Kadar pemindahan pembayaran elektronik negara kepada tahap yang lebih cekap terus menjadi salah satu agenda penting kepada Bank Negara Malaysia.
Pembinaan institusi dilengkapkan juga dengan sokongan daripada Bank Pusat untuk pembangunan tenaga mahir dalam industri perkhidmatan kewangan. Pertumbuhan sektor kewangan tidak dapat dicapai tanpa perhatian yang sewajarnya terhadap pembangunan keperluan profesional bagi industri perkhidmatan kewangan.
Dalam dua dekad mutakhir ini, satu sistem kewangan Islam yang komprehensif juga telah berkembang di Malaysia, termasuk institusi, pasaran dan rangka kerja perundangan, pengawalan dan penyeliaan sokongan. Kini sistem kewangan Islam menawarkan perkhidmatan kewangan Islam yang menyeluruh dan mendalam. Malaysia ialah negara tuan rumah kepada urus setia bagi Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board, IFSB) di Kuala Lumpur yang menetapkan piawaian pengawalan dan penyeliaan antarabangsa bagi kewangan Islam.
Pembangunan pasaran kewangan juga penting bagi mewujudkan sistem kewangan yang mantap. Usaha-usaha Bank Pusat ke arah ini termasuk penubuhan institusi dan pewujudan infrastruktur bagi meningkatkan kecekapan pasaran wang, modal dan pertukaran asing. Suruhanjaya Sekuriti, agensi penarafan dalam negeri dan Cagamas, iaitu syarikat gadai janji, adalah antara inisiatif yang dimulakan oleh Bank Negara Malaysia sebagai sebahagian daripada pembangunan pasaran bon domestik. Di samping itu, Bank juga menyediakan sistem penyimpanan (depository), penyampaian dan penyelesaian yang komprehensif dan moden, yang memudahkan terbitan, urus niaga dan penyelesaian sekuriti hutang dalam pasaran, serta mekanisme untuk meningkatkan mudah tunai dalam pasaran bagi menambah baik proses penentuan harga secara keseluruhan. Ini telah menyumbang ke arah penambahan instrumen baharu yang mempunyai profil tempoh matang yang lebih lama, yang seterusnya memperluas dan memperdalam pasaran sekuriti hutang.
Pembangunan pasaran pertukaran asing yang teguh dan kukuh merupakan bidang yang masih belum dapat dicapai sepenuhnya. Pasaran pertukaran asing ini penting dalam sistem kewangan negara, memandangkan negara mempunyai ekonomi yang sangat terbuka. Sistem Lembaga Matawang yang diamalkan oleh negara telah digantikan dengan ringgit (dahulunya dikenali sebagai dolar Malaysia) pada tahun 1967. Pertukaran ini berjaya kerana pada masa itu belum ada spekulator mata wang. Spekulasi ini hanya berlaku pada tahun 1997-98 apabila ringgit dan mata wang serantau lain telah menjadi sasaran kepada serangan spekulator mata wang. Jumlah urus niaga pertukaran asing telah berlipat ganda, jauh melebihi jumlah perdagangan dan aliran kewangan yang biasa. Ini mengakibatkan kadar pertukaran yang amat tidak menentu semasa berlakunya krisis kewangan Asia pada masa itu. Akibatnya, mata wang serantau menjunam pada paras paling rendah dalam sejarah.
Selepas lebih daripada setahun mengalami kemelut ini dan ketidakpastian yang menyelubungi pasaran tukaran asing, Malaysia telah melaksanakan kawalan modal terpilih dan nyahpengantarabangsaan ringgit. Langkah ini penting dalam mengembalikan kestabilan pasaran. Ia bertindak seperti pemutus litar (circuit breaker). Urus niaga ringgit pesisir, iaitu sumber utama bagi membiayai serangan spekulatif, telah dihapuskan dengan berkesan. Dalam tempoh setahun, semua kawalan yang dikenakan telah dimansuhkan. Lebih daripada 10 tahun kemudian, ringgit, bagaimanapun, masih kekal dinyahantarabangsakan. Prasyarat penting bagi pengantarabangsaan mata wang ialah pembangunan pasaran pertukaran asing yang teguh dalam sistem kewangan negara.
Kestabilan Kewangan
Peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam krisis kewangan semasa telah menyebabkan peranan bank-bank pusat dalam mewujudkan kestabilan kewangan menjadi tumpuan utama. Dalam persekitaran yang berterusan dengan pelbagai ketidakpastian terhadap pasaran kewangan dan ekonomi umumnya, saya akan memberikan gambaran peranan Bank Negara Malaysia bagi mencapai kestabilan kewangan.
Selain berfungsi sebagai pemberi pinjaman usaha akhir, Bank Negara Malaysia juga bertanggungjawab terhadap pengawalseliaan institusi perbankan. Sejak tahun 1988, Bank Negara Malaysia juga bertanggungjawab terhadap industri insurans, dan pada tahun 2002, terhadap institusi kewangan pembangunan. Rangka kerja pengawalseliaan kehematan juga telah melalui perubahan yang nyata sepanjang 50 tahun ini. Pendekatan rangka kerja kehematan dan penyeliaan yang diterima pakai oleh Bank Negara Malaysia telah memberikan fleksibiliti untuk bertindak balas terhadap perkembangan dan cabaran baharu yang dihadapi oleh sektor kewangan. Beberapa faktor telah dijadikan panduan dalam pendekatan yang diambil oleh Bank Negara Malaysia. Pertama ialah mengenal pasti keterbatasan terhadap alat dan instrumen pengawalseliaan. Kedua ialah menerima bahawa perubahan diperlukan dalam persekitaran yang senantiasa berubah dan untuk menilai dengan cermat tukar-ganti (trade-off) yang timbul berikutan peringkat pembangunan yang berbeza dalam sistem kewangan itu. Akhir sekali, untuk mengambil kira kesalinghubungan dalam sistem kewangan, dan antara sistem kewangan merentas sempadan.
Berpandukan parameter ini, Bank Negara Malaysia telah meluaskan rangka kerja kehematan yang pada mulanya mengandungi peraturan-peraturan kehematan yang mudah bagi menangani sekatan modal, penggearan, mudah tunai dan portfolio, kepada pengawalseliaan yang lebih berbeza dan berasaskan prinsip yang mencerminkan tahap risiko yang diambil oleh sesebuah institusi. Hasilnya, institusi yang mempamerkan amalan tadbir urus yang baik dan kemampuan yang mantap dalam mengurus risiko kini diberikan fleksibiliti yang nyata lebih besar. Fleksibiliti ini turut diikuti dengan perubahan-perubahan asas dalam pendekatan penyeliaan yang kini telah beralih daripada pendekatan berasaskan pematuhan yang meluas kepada pendekatan yang lebih berfokuskan penilaian terhadap aktiviti pengambilan risiko oleh sesebuah institusi dan fungsi kawalan bagi menguruskan risiko. Instrumen pengawalseliaan juga telah dikembangkan dengan memasukkan penilaian yang lebih berpandangan jauh terhadap risiko kepada kestabilan kewangan, disokong oleh pendekatan ujian ketahanan yang lebih dinamik dan peningkatan sistem pengawasan.
Prasyarat bagi peralihan kepada pendekatan berasaskan prinsip kepada pengawalseliaan sebahagian besar telah diperkukuh melalui langkah-langkah bina upaya yang telah dilaksanakan dengan segera dalam tempoh selepas berlakunya krisis kewangan Asia. Pembangunan Pelan Induk Sektor Kewangan yang telah dilancarkan pada tahun 2001 ialah rangka tindakan yang bukan sahaja dibangunkan untuk reformasi sektor kewangan yang komprehensif, tetapi juga menyediakan rangka kerja dan strategi untuk pemodenan sistem kewangan negara.
Jaringan keselamatan kewangan juga telah diperkukuh dengan pengenalan sistem insurans deposit yang komprehensif dan penubuhan institusi-institusi untuk membantu pengguna menguruskan masalah hutang dan menyelesaikan pertikaian mereka dengan institusi-institusi kewangan. Langkah-langkah ini juga menyumbang ke arah keyakinan yang berterusan dalam sistem kewangan.
Krisis: Satu Tempoh yang Mencabar bagi Bank Negara Malaysia
Pada tahun 90-an, terdapat tanda-tanda yang jelas bagi ekonomi sedang pesat membangun bahawa cabaran baharu terhadap kestabilan yang berpunca daripada aktiviti kewangan dalam dimensi antarabangsa telah mula muncul. Khususnya, aliran modal yang tidak menentu dan berpotensi mengakibatkan ketidakstabilan merupakan ciri-ciri yang mempengaruhi persekitaran kewangan antarabangsa. Asas-asas ekonomi yang kukuh sahaja tenyata tidak mencukupi untuk membendung ketidakstabilan dalam ekonomi dalam negeri dan sistem kewangan.
Kebanyakan antara kita masih mengingati dengan jelas krisis kewangan Asia pada tahun 1997-98 yang telah memberikan kesan teruk kepada beberapa negara dalam rantau ini. Walaupun pada mulanya dianggap sebagai krisis mata wang, tetapi kemudiannya berubah menjadi krisis kewangan dan ekonomi. Pada tempoh itu, kadar pertukaran ringgit telah susut kira-kira 40% semasa kemuncak krisis itu; pasaran saham telah merosot hampir 80%. Walaupun ekonomi Malaysia terus berkembang 7.3% pada tahun 1997, keadaan menjadi bertambah teruk pada tahun 1998 apabila ekonomi menguncup sebanyak 7.4%.
Pelbagai langkah telah dilaksanakan. Ini termasuk program penstrukturan yang komprehensif untuk sektor kewangan dan korporat. Meskipun masih lagi pada peringkat awal krisis, sebuah syarikat pengurusan aset telah ditubuhkan bagi mengambil alih dan mengurus pinjaman tak berbayar institusi-institusi perbankan. Sebuah syarikat tujuan khas telah ditubuhkan untuk permodalan semula institusi perbankan dan Jawatan Kuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat telah ditubuhkan untuk menyediakan saluran untuk penstrukturan semula hutang secara sukarela bagi perniagaan. Dalam tempoh enam bulan selepas pelaksanaan langkah-langkah ini, masalah dalam sektor kewangan dapat diatasi dan aktiviti pemberian pinjaman diteruskan semula. Ini telah menyumbang kepada pemulihan semula ekonomi, yang berkembang 6.1% pada tahun 1999. Yang ketara, pegangan saham dalam institusi-institusi kewangan telah dijual semula kepada sektor swasta dengan pulangan lebih daripada mencukupi untuk menanggung kos pelaksanaan langkah tersebut.
Usaha Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kestabilan tidak berakhir apabila krisis kewangan Asian telah reda dan ekonomi telah pulih. Membina asas daya tahan semasa ekonomi berada dalam keadaan yang kukuh merupakan pengajaran yang dipegang bersungguh-sungguh. Lantaran itu, apabila kestabilan telah pulih, Bank Negara Malaysia memulakan penstrukturan dan reformasi yang komprehensif untuk sektor kewangan. Ini termasuk penyatuan institusi-institusi kewangan domestik; pengukuhan tadbir urus korporat, pengurusan risiko dan keupayaan keinstitusian institusi kewangan domestik; serta pendalaman pasaran bon. Usaha ini telah menempatkan sistem kewangan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh bagi mengharungi krisis kewangan semasa.
Kerjasama Serantau
Sejak dari mula lagi, Bank Negara Malaysia sentiasa terlibat secara aktif dalam hubungan di rantau ini dan menjadi anggota paling awal dalam kumpulan SEACEN, iaitu merupakan kumpulan tertua dan paling terangkum (inclusive) di rantau ini. Ditubuhkan pada tahun 1967, SEACEN telah menjadi forum serantau yang amat penting. Walaupun ia merupakan sebuah kumpulan daripada kalangan ekonomi yang pelbagai, ini tidak menghalangnya daripada menjadi kumpulan yang padu. Urus setia tetap SEACEN yang ditubuhkan pada tahun 1979 telah ditempatkan di Kuala Lumpur. Bank Negara Malaysia juga merupakan sebahagian daripada kumpulan serantau lain termasuk EMEAP dan Majlis Perundingan Asia (Asian Consultative Council, ACC) bagi BIS. Usaha-usaha kerjasama antara Bank Pusat Asia dalam pengawasan, pembangunan pasaran kewangan serantau dan perkongsian maklumat adalah meluas. Dalam kewangan Islam, Bank Negara Malaysia merupakan anggota pengasas Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam untuk menggalakkan dan mempertingkatkan keteguhan dan kestabilan industri perkhidmatan kewangan Islam.
Pemodenan Bank Pusat
Bank Negara Malaysia juga telah melalui perubahan yang ketara dalam 50 tahun ini. Pada permulaan penubuhannya, Bank Negara Malaysia mempunyai empat jabatan dengan 57 orang kakitangan. Kakitangan Bank Negara Malaysia kini telah bertambah kepada lebih 2,600 pekerja bagi memenuhi peranan yang lebih luas. Pemodenan Bank Negara Malaysia telah melibatkan perubahan kepada rangka kerja perundangan, organisasi dan struktur tadbir urus, serta asas modal insan, agar membolehkan Bank Negara Malaysia menjadi lebih efektif dalam persekitaran yang telah berubah.
Melangkah ke hadapan, Bank akan berdepan dengan cabaran yang lebih hebat, dan dengan wujudnya pelbagai infrastruktur kewangan pada masa ini, fasa pembangunan sektor kewangan Malaysia seterusnya akan melibatkan liberalisasi dan pengantarabangsaan pasaran yang lebih meluas. Perkembangan ini akan menuntut tahap ketersediaan, keupayaan dan kemampuan Bank Negara Malaysia yang lebih tinggi untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik demi negara dan masa hadapan.
Pada tahun ini, Bank Negara Malaysia dalam proses untuk mengemukakan Akta Bank Negara Malaysia yang baharu kepada Parlimen. Memandangkan landskap ekonomi dan kewangan, baik dalam negeri mahupun antarabangsa, kini sangat berbeza berbanding dengan 50 tahun yang lalu, Akta yang disyorkan ini membabitkan kajian semula yang holistik perundangan yang sedia ada agar mandat, tadbir urus dan kebertanggungjawaban Bank Negara Malaysia lebih jelas bagi memastikan Bank terus melaksanakan fungsinya dengan berkesan. Akta yang disyorkan ini akan memberi Bank kuasa dan instrumen yang diperlukan untuk melaksanakan fungsi dan peranannya dengan berkesan. Akta yang disyorkan ini juga bukan sahaja akan menginstitusikan banyak amalan yang telah diperkenalkan dalam dekad mutakhir ini tetapi juga untuk memberikan kuasa yang perlu, yang kritikal bagi memastikan Bank Pusat senantiasa bersedia menghadapi cabaran pada masa hadapan.
Sehubungan dengan itu, Akta baharu ini pada dasarnya akan terus memperkukuh rangka kerja tadbir urus sedia ada dengan mekanisme yang bersesuaian bagi memastikan sekatan dan imbangan yang mencukupi. Rangka kerja tadbir urus ini akan terus mempermudah dan mempertingkatkan kualiti dalam membuat keputusan di Bank, menginstitusikan kedua-dua prosedur dan proses sedia ada dan yang baharu untuk mempertingkatkan kebertanggungjawaban, profesionalisme dan ketelusan. Pengukuhan tadbir urus dan kebertanggungjawaban akan menjadi prasyarat bagi Bank meneruskan peranan yang sewajarnya di mata awam serta mempunyai autonomi, di samping memastikan integriti Bank sebagai sebuah institusi awam dalam memberikan perkhidmatan demi kepentingan negara.
Kesimpulan
Bank Negara Malaysia telah menempuh banyak cabaran dalam pengalamannya sepanjang 50 tahun untuk memelihara kestabilan monetari dan kewangan dan dalam menyokong kemampanan pembangunan ekonomi. Sepanjang perjalanan ini, Bank terus fokus terhadap apa yang hendak dicapai dan wawasannya. Fakta paling penting kepada keberkesanan kami ialah keupayaan dalaman, terutamanya kakitangan Bank sendiri. Meskipun persekitaran telah berubah dengan ketara dan fokus dasar telah berkembang, nilai yang di pegang oleh Bank seperti integriti, menghormati perbezaan, profesionalisme dan dorongan untuk mencapai tahap kecemerlangan yang tertinggi, terus dilaksanakan dan diperkukuh dari semasa ke semasa.
Akhir sekali, Bank Negara Malaysia tidak akan berjaya mencapai matlamat dan dasarnya tanpa sokongan daripada Kerajaan, komuniti kewangan dan perniagaan, dan daripada rakyat negara ini, yang telah memberikan keyakinan dan menaruh kepercayaan kepada kami sepanjang 50 tahun ini. Pada masa hadapan, Bank Negara Malaysia, melalui tindakan-tindakan dasar dan dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap negara, akan terus mendukung kepercayaan yang telah diamanahkan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.