Ucaptama oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di Malaysian e-Payments Excellence Awards (MEEA)
Kuala Lumpur | 19 November 2025
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada PayNet kerana mempertemukan kita pada malam ini di Malaysian e-Payments Excellence Awards 2025 (MEEA). Saya berasa amat berbesar hati berada di sini untuk meraikan para peneraju yang telah memacu inovasi, memperkukuh kemajuan dan menghasilkan impak yang berkekalan terhadap landskap pembayaran negara sepanjang tahun yang lalu.
Pada kesempatan ini, izinkan saya mengimbau kembali bagaimana usaha bersama kita telah memajukan ekosistem pembayaran digital negara. Tiga pencapaian utama telah menjadi tonggak kepada kemajuan ini:
Pertama, penerimaan arus perdana: Kini, secara purata, setiap rakyat Malaysia melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi e-pembayaran setiap hari; satu perkembangan yang ketara berbanding hanya sekali seminggu sedekad lalu. Pembayaran digital kini sudah sebati dalam kehidupan seharian kita. Lebih penting lagi, pembayaran digital telah menjadi pemangkin kemajuan ekonomi, menyokong penggunaan swasta, iaitu pemacu utama pertumbuhan Malaysia, serta pada masa yang sama meningkatkan produktiviti dan membuka peluang pertumbuhan baharu.
Kedua, rangkaian pembayaran serantau: Melangkaui lingkungan dalam negeri, Malaysia kini berada di barisan hadapan dalam pembayaran rentas sempadan menerusi pembinaan rangkaian dan pembentukan kemajuan serantau. Hasil usaha kolektif kita, pembayaran rentas sempadan yang lancar kini menjadi kenyataan. Inisiatif yang diterajui di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun ini telah membolehkan perniagaan berhubung dengan pelanggan merentas sempadan, lantas merungkai peluang baharu buat pelbagai segmen peniaga. Lebih 50 juta tempat penerimaan (touchpoints) peniaga di seluruh ASEAN kini menerima pembayaran QR rentas sempadan, mewujudkan ekosistem yang luas untuk pertumbuhan inklusif. Sebanyak 2.9 juta tempat penerimaan kod QR ini terletak di Malaysia yang kebanyakannya terdiri daripada perniagaan mikro dan kecil.
Ketiga, keselamatan yang diperkukuh: Memandangkan penggunaan pembayaran digital semakin menjadi lumrah dalam kehidupan seharian kita, kami kekal fokus untuk memastikan keselamatan dan keyakinan terus mendasari setiap transaksi pembayaran. Usaha kolektif kita membanteras penipuan kewangan dalam talian juga diiktiraf pada peringkat global. Industri kewangan menerajui kesemua usaha ini melalui pelaksanaan rangkaian langkah keselamatan yang mantap. Usaha ini diperkukuh dengan penubuhan National Fraud Portal (NFP) yang menjadi pemacu perubahan berhubung dengan tindak balas penipuan dan pengesanan dana. NFP membolehkan kita kekal tangkas menghadapi ancaman baharu, menjejak dana yang dicuri dengan lebih pantas dan bertindak segera dalam keadaan yang paling memerlukan.
Kesemua pencapaian penting ini mencerminkan pelaburan yang besar dari segi masa, modal dan sumber oleh industri serta kerjasama erat antara sektor awam dengan sektor swasta. Meskipun kemajuan yang ketara telah dicapai, usaha untuk menjamin masa depan ekosistem pembayaran merupakan langkah berterusan yang menuntut komitmen dan kerjasama yang berpanjangan.
Perjalanan kita nyata masih jauh. Kini kita menghadapi dua persoalan: pertama, ke mana hala tuju era baharu pembayaran digital; dan kedua, adakah kita bersedia untuk memenuhi tuntutan era baharu ini?
Tuan-tuan dan puan-puan,
Di sini, izinkan saya berkongsi beberapa perspektif tentang cabaran yang dihadapi dan apa yang diperlukan untuk kita bersedia. Saya akan menggariskan tiga tonggak utama yang penting tatkala kita mengharungi landskap yang sedang berkembang pesat ini.
Pertama, keterangkuman dan kebolehcapaian.
Masa hadapan pembayaran digital akan berpusat pada keterangkuman, yakni tiada sesiapa yang ketinggalan. Pembayaran digital perlu menjadi pemangkin sejagat, boleh diakses oleh semua, tanpa mengira kumpulan pendapatan, lokasi geografi atau latar belakang demografi. Apabila direka bentuk dengan mengambil kira rangkuman, pembayaran digital boleh menjadi pemacu kepada perubahan, iaitu meningkatkan taraf hidup, memperluas penyertaan kewangan dan merungkai peluang untuk komuniti berkembang maju.
Kita telah menyaksikan perubahan ini secara nyata. Sebagai contoh, Cashless Redang menunjukkan lebih 90% perniagaan di pulau tersebut kini menerima pembayaran digital. Usaha ini telah meningkatkan kecekapan perniagaan dan memperbaiki taraf hidup komuniti setempat. Bersama pihak industri, program e-Duit Desa oleh Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah menggalakkan lebih banyak perniagaan kecil bersedia secara digital. Lebih 800 peniaga mikro telah didaftarkan di bawah program ini tahun lepas. Memandangkan terdapat lebih 760 ribu peniaga mikro yang menjadi tulang belakang ekonomi negara, kita perlu terus menggiatkan usaha untuk mendaftarkan lebih banyak peniaga mikro dan memperkasakan mereka dengan perkhidmatan kewangan digital bagi membuka peluang baharu.
Faktor teras yang memupuk keterangkuman ialah kebolehcapaian. Pembayaran digital perlu bersifat mampu milik untuk semua, manakala pengguna perlu mempunyai kemahiran dan keyakinan untuk menggunakannya. Saya dimaklumkan bahawa PayNet telah melaksanakan pelarasan secara berperingkat terhadap fi akses dan harga produknya. Dengan pelarasan ini, lebih banyak pihak termasuk institusi bukan bank dapat meraih manfaat daripada ekosistem Platform Pembayaran Runcit (Retail Payment Platform, RPP) PayNet, sekali gus berpotensi mengurangkan kos penerimaan pembayaran digital. Pihak industri juga dikehendaki menyalurkan penjimatan tersebut kembali kepada pengguna kerana kemampuan merupakan asas kepada rangkuman dan penggunaan yang lebih meluas.
Pengguna juga perlu yakin untuk membuat pembayaran secara digital. Hari ini, seorang daripada enam rakyat Malaysia pernah berdepan dengan fraud dan penipuan, manakala enam daripada 10 pengguna sering mengabaikan
langkah-langkah keselamatan asas dalam talian. Statistik ini amat membimbangkan, terutamanya apabila 95% kes penipuan yang dilaporkan berkait dengan transaksi penipuan dengan kebenaran, iaitu pengguna dengan rela memindahkan wang atau berkongsi maklumat peribadi. Pengguna merupakan barisan pertahanan pertama, dengan itu industri perlu mempergiat usaha untuk memperkasakan pengguna dengan kemahiran dan peralatan yang diperlukan untuk melakukan transaksi dengan selamat dan yakin.
Kempen seperti Jangan Kena Scam dan siri jelajah Literasi Kewangan memainkan peranan penting dengan menyalurkan pendidikan tentang pencegahan penipuan dan kewangan digital secara terus kepada komuniti. Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 mengukuhkan lagi usaha ini dengan menggalakkan penggunaan perkhidmatan kewangan digital yang selamat, diyakini dan bermakna melalui program jangkauan yang disesuaikan untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan.
Tonggak kedua ialah mengenai ketangkasan inovasi.
Ekosistem pembayaran digital yang bersedia untuk masa hadapan ialah ekosistem yang cekap, berpandangan jauh dan dipacu inovasi, yang membolehkan Malaysia terus membuat penyesuaian dengan teknologi baharu serta keperluan pengguna yang sentiasa berubah.
Inovasi bukan sekadar berkait dengan teknologi. Inovasi bahkan memberikan manfaat sebenar sambil membuka saluran baharu untuk pertumbuhan serta meningkatkan persaingan demi kebaikan pengguna. Kita malah sedang menyaksikan cara inovasi mengubah landskap pembayaran.
Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) kini membolehkan pengalaman pembayaran yang lebih pantas dan bersifat peribadi, contohnya melalui Agentic AI, dan pada masa yang sama menyokong pencegahan penipuan yang diperkukuh. Walau bagaimanapun, kita mesti menggunakan AI dengan bertanggungjawab untuk mengoptimumkan manfaat ini. Penggunaan AI perlu disertakan dengan kawalan bagi memastikan akauntabiliti terhadap keputusan yang didorong AI dan menangani ancaman seperti penipuan berasaskan AI yang boleh menjejaskan kepercayaan pengguna.
Inisiatif Kewangan Terbuka (Open Finance) yang diterajui PayNet juga akan memperkasakan pengguna dengan perkhidmatan kewangan yang dikhususkan melalui perkongsian data yang selamat dan berasaskan keizinan. Inisiatif ini menandakan peralihan penting daripada model berpusatkan institusi kepada model berpusatkan pengguna, yang memberi individu kawalan yang lebih besar terhadap data dan pilihan kewangan mereka. Kami mengalu-alukan maklum balas industri terhadap Draf Dedahan Open Finance yang diterbitkan baru-baru ini ke arah kita bersama-sama membentuk masa depan ekosistem kewangan Malaysia.
Pembayaran rentas sempadan merupakan satu lagi bidang yang berkembang pesat dan penuh persaingan, dengan inisiatif seperti Project Nexus yang bertujuan menjadikan transaksi antarabangsa dibuat secara masa nyata, berkos rendah dan lebih mudah diakses. Kerjasama kukuh antara PayNet dengan pihak industri akan menjadi faktor penting untuk kita mengubah landskap pembayaran global dan merealisasikan Project Nexus. Kesemua usaha ini akan menjadi pemacu ke arah merealisasikan sepenuhnya potensi pembayaran rentas sempadan, yang selarasdengan aspirasi bersama kita untuk memperkukuh integrasi ekonomi dan kewangan serantau.
Melangkaui kewangan tradisional, inovasi turut mengubah cara pembayaran melalui model penyampaian baharu yang dipacu oleh aset digital. Melalui Hab Inovasi Aset Digital (Digital Asset Innovation Hub), perbincangan antara BNM dengan peserta industri telah dipergiat sejak beberapa bulan kebelakangan ini tatkala kami mengkaji kes penggunaan berimpak tinggi yang mampu memberikan manfaat terbesar kepada ekonomi Malaysia. Beberapa kes penggunaan yang sedang dipertimbangkan termasuk aset penyelesaian berasaskan rantaian blok (seperti stablecoin Ringgit dan deposit bertoken) bagi menyokong penyelesaian di luar waktu operasi RTGS
(real-time gross settlement atau penyelesaian pukal masa nyata) untuk penyelesaian bon dan perdagangan rentas sempadan.
Secara kolektif, kesemua inovasi ini menyasarkan untuk mengatasi kesukaran yang telah lama wujud dalam sistem pembayaran tradisional, di samping membuka laluan kepada infrastruktur pasaran yang lebih responsif terhadap keperluan yang semakin berkembang berhubung dengan sistem kewangan dan ekonomi secara meluas.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Tonggak ketiga ialah infrastruktur yang berdaya tahan dan selamat
Apabila pembayaran digital menjadi sebahagian daripada kelaziman hidup seharian dan tulang belakang ekonomi negara, daya tahan dan keselamatan aspek ini bukan lagi sesuatu yang boleh diabaikan. Dengan perkhidmatan kewangan masa nyata semakin dijangkakan oleh pelanggan, termasuk untuk pembayaran rentas sempadan, sebarang kegagalan perkhidmatan atau keselamatan akan menjejaskan penerimaan dan keyakinan pengguna. Oleh itu, penyedia perkhidmatan pembayaran dikehendaki mengekalkan piawaian tertinggi dari segi kebolehpercayaan, ketersediaan dan keselamatan perkhidmatan bagi mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem ini.
Sehubungan dengan itu, tumpuan sepenuhnya diberikan untuk membina ekosistem pembayaran yang selamat dan diyakini. Bagi merealisasikan matlamat ini, BNM akan terus menerajui pemodenan infrastruktur teras pembayaran negara dengan sokongan padu daripada PayNet dan pihak industri.
Saya berbesar hati melihat industri telah berjaya beralih sepenuhnya kepada piawaian pemesejan ISO 20022 bagi transaksi domestik dan rentas sempadan lebih awal daripada yang dijadualkan, malah menjadi antara yang terawal pada peringkat global. Pelaksanaan RENTAS+ baru-baru ini, yang merupakan satu lagi inisiatif pertama seumpamanya, membolehkan pemindahan dana antara bank dan penyelesaian transaksi runcit secara hampir masa nyata dengan beroperasi sepenuh masa sepanjang tahun. Sehubungan dengan itu, BNM akan memberikan perhatian pada cara amalan pengurusan mudah tunai industri berkembang serta kesannya terhadap mudah tunai pasaran secara menyeluruh, khususnya apabila kami mengkaji peralihan produk runcit lain kepada RENTAS+ pada tahun-tahun mendatang. Bagi melengkapi usaha ini, BNM juga akan membolehkan akses yang lebih tepat pada masanya kepada data RENTAS melalui sambungan API bagi menyokong pengurusan risiko mudah tunai yang lebih berkesan.
Walaupun telah mencapai kejayaan, kemajuan NFP tidak boleh terhenti setakat ini. Kami sedang mempertingkatkan keupayaan NFP dengan analisis ramalan yang dijangka sedia dilaksanakan secara menyeluruh untuk seluruh industri pada tahun hadapan. Dalam kita memperkukuh alat ini, kita juga sedar bahawa usaha memerangi penipuan hendaklah merentasi sektor dan sempadan. Pembayaran rentas sempadan secara segera bermakna penipuan rentas sempadan juga mampu terjadi secara segera. Penjenayah turut mengeksploitasi ruang kripto untuk memindahkan dana haram merentas negara. Bagi menangani ancaman yang semakin berkembang ini, BNM akan mengutamakan usaha untuk memudahkan perkongsian data yang selamat berhubung dengan penipuan pada tahun akan datang.
Pada masa hadapan, kita perlu terus memperteguh pertahanan bukan sahaja melalui penggunaan teknologi canggih yang meluas, bahkan dengan memupuk budaya siber yang utuh di seluruh industri. Industri dikehendaki mempertingkatkan pertahanan siber dan daya tahan perkhidmatan dalam sistem pembayaran runcit yang mustahak melalui rangka kerja Risk Management in Technology (RMiT) yang dipertingkatkan. Peningkatan ini termasuk menyediakan infrastruktur yang berdaya tahan terhadap ancaman kuantum, penggunaan kecerdasan buatan yang lebih meluas serta pada masa yang sama memastikan sistem pembayaran negara kekal selamat dan teguh walaupun berdepan ancaman teknologi terbaharu.
Semua usaha ini akan dilaksanakan seiring dengan tanggungjawab pengawasan yang lebih luas, yang memberikan penegasan terhadap ketersediaan sistem dan perkhidmatan yang tinggi, pengurusan risiko yang tangkas termasuk kelebihpadaan sistem (system redundancy) dan perancangan kesinambungan perniagaan, serta pematuhan pada piawaian antarabangsa seperti Principles for Financial Market Infrastructures (PFMI).
Seiring dengan persediaan kita untuk menghadapi masa hadapan, sistem pembayaran negara juga perlu bersedia untuk menghadapi cabaran baharu, iaitu berupaya menerapkan inovasi baharu sambil menguruskan risiko yang muncul berserta inovasi ini secara berkesan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sebelum saya membuat kesimpulan, mari kita renung kembali persoalan yang saya ajukan awal tadi: Ke manakah hala tuju era baharu pembayaran digital; dan adakah kita bersedia untuk memenuhi tuntutan baharu yang mengiringi era ini?
Prospek hal ini mungkin masih agak tidak menentu, namun yang jelasnya pembayaran akan terus berkembang, dipacu oleh teknologi, perubahan jangkaan pengguna dan persaingan yang semakin sengit. Dalam keadaan perubahan ini, tonggak yang telah kita bincangkan iaitu keterangkuman, inovasi dan daya tahan, akan menjadi asas yang kukuh bagi industri untuk membuat penyesuaian, bertindak balas dan berkembang dalam ekonomi digital masa hadapan.
Marilah kita terus bekerjasama untuk membentuk masa hadapan pembayaran. Kita mampu berganding bahu membina ekosistem pembayaran yang bukan sahaja bertaraf dunia, tetapi juga mencerminkan nilai dan aspirasi semua rakyat Malaysia.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, setiap pihak dalam ekosistem pembayaran yang hadir pada hari ini memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan aktiviti perdagangan dan pelancongan berkembang pesat seiring dengan peningkatan jumlah pelawat ke Malaysia. Sama ada pelancong yang membuat pembelian di pasar tempatan mahupun perniagaan yang berurus niaga merentasi sempadan, pengalaman pembayaran mereka perlu cekap, selamat dan boleh dipercayai. Marilah kita memastikan semua orang boleh berbelanja di Malaysia dengan mudah, dengan keyakinan bahawa sistem pembayaran negara bersedia memberikan sokongan kepada mereka pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan penghargaan tulus ikhlas kepada Encik Farhan Ahmad atas bakti dan sumbangan beliau yang amat bernilai sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet. Di bawah kepimpinan beliau, PayNet telah menerajui pembentukan landskap kewangan Malaysia dan mengangkat sistem pembayaran negara pada peringkat global. Tahniah juga saya ucapkan kepada Encik Praveen atas pelantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu PayNet. Selamat datang dan saya mengalu-alukan kerjasama antara kita dalam usaha merangka perjalanan sistem pembayaran Malaysia yang seterusnya.
Akhir sekali, syabas saya ucapkan kepada semua penerima anugerah. Pencapaian ini bukan sekadar pencapaian penting pada peringkat korporat. Anugerah ini malah merupakan penanda aras kemajuan negara yang mencerminkan hala tuju Malaysia ke arah ekonomi digital yang lebih inklusif.
Dengan itu, terima kasih dan selamat malam kepada semua hadirin.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.