Ucaptama oleh Gabenor di Persidangan Antarabangsa Bank of Korea 2010 'Peranan Bank Pusat Yang Kian Berubah'
Seoul | 31 Mei 2010
Saya amat berbesar hati kerana diundang untuk berucap di "Persidangan Antarabangsa Bank of Korea 2010" tahun ini bersempena ulang tahun Bank of Korea yang ke-60. Izinkan saya mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan tahniah saya kepada Bank of Korea sempena peristiwa yang cukup istimewa ini. Dalam tempoh enam dekad ini, banyak pencapaian yang membanggakan dicatat oleh Bank of Korea. Malah sejak penubuhannya pada bulan Jun 1950 lagi, Bank of Korea telah berusaha dengan gigih untuk mewujudkan persekitaran makroekonomi yang stabil dan kondusif serta membina sistem kewangan yang berkesan, yang telah dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi Korea serta mengekalkan kemapanannya dalam jangka panjang.
Sesungguhnya dekad ini merupakan dekad paling mencabar buat para penggubal dasar, khususnya bagi Bank Pusat. Lewat tahun 1990-an, rantau Asia dilanda krisis yang teruk dan kira-kira sedekad selepas itu, dunia pula dilanda krisis kewangan dengan tahap penularan yang belum pernah dialami sebelum ini. Meskipun kedua-dua krisis tersebut telah mengakibatkan rantau Asia terjejas dengan teruk, namun pemulihan berlaku dengan pantas. Bank of Korea telah melaksanakan langkah tindak balas dasar yang berani terhadap pelbagai cabaran besar yang dihadapinya pada tempoh ini, dan hasil yang berjaya dicapai membuktikan keberkesanan langkah-langkah tersebut. Kini tahap keyakinan semakin tinggi dan Korea diiktiraf sebagai antara ekonomi paling cepat pulih daripada krisis. Malah daya usaha Bank of Korea yang luar biasa ini menjadi elemen penting dalam menyumbang kepada keteguhan daya tahan ekonomi Korea.
Dengan sifat globalisasi yang semakin berubah dan inovasi kewangan yang bertambah giat, dunia menjadi semakin rumit dan sukar untuk diramal. Apabila trend orientasi perdagangan yang lebih meluas berterusan, perubahan dalam kelebihan berbanding dan perubahan dalam hala tuju permintaan global telah mengubah corak perdagangan ekonomi global. Di samping itu, pembiayaan melalui penggunaan simpanan (financialisation of savings) dan pempelbagaian dana dalam pasaran kewangan telah menambah impak pasaran kewangan terhadap sektor ekonomi benar memandangkan prestasi pasaran kewangan turun naik. Ekoran integrasi yang lebih rapat antara pasaran kewangan merentas sempadan, kesan penularan berpotensi untuk bergerak dengan lebih pantas daripada satu sistem kewangan kepada bahagian lain di dunia. Dalam persekitaran baharu ini, kebergantungan yang lebih tinggi antara ekonomi dengan sistem kewangan hasil daripada kesalinghubungan yang kuat telah meningkatkan risiko penularan.
Pada masa yang sama, pusat-pusat pertumbuhan ekonomi baharu mulai berkembang lalu membentuk landskap ekonomi dan kewangan ekonomi dunia. Ekonomi sedang pesat membangun di Amerika Latin, Timur Tengah dan Asia telah menjadi pusat-pusat yang penting dalam ekonomi global. Trend ini membentuk dunia yang kian pelbagai sifatnya dan juga kuasa ekonomi dunia yang kini lebih tersebar. Di Asia, peranan permintaan dalam negeri yang semakin penting, kualiti tenaga kerja yang lebih tinggi dan sistem kewangan yang lebih maju serta berdaya tahan telah menyumbang kepada prestasi yang kukuh ini. Sementara hubungan global yang kukuh terus menjadi unsur penting dalam proses pertumbuhan ini, dekad ini menyaksikan pengembangan ketara dalam perdagangan antara rantau di Asia, yang meningkat daripada 32% daripada jumlah perdagangan pada tahun 1995, dan kini melebihi 50%. Trend ini telah berjaya menjana pertumbuhan yang bersifat saling memperkukuh di rantau ini.
Meskipun trend ini berjaya mengurangkan kesan yang dihadapi oleh rantau Asia apabila berlakunya kejutan permintaan luar dan bekalan, fenomena baharu yang muncul, iaitu integrasi kewangan antarabangsa yang lebih meluas, menunjukkan bahawa tiada sebuah negara pun yang dapat mengelakkan daripada terkena kesan penularan kejutan luar dan krisis kewangan di negara lain. Dalam persekitaran baharu yang bercirikan integrasi kewangan antarabangsanya yang lebih padu, perkembangan dalam sesuatu kelas aset dalam sesebuah pasaran yang beribu batu jauhnya boleh menular ke kelas aset, pasaran dan bahagian lain dunia. Keterdedahan kewangan melalui pasaran ketiga juga menjadi suatu perkara lazim memandangkan penjualan aset kerap berlaku dalam pasaran yang berfungsi dengan baik dan berprestasi tinggi untuk memenuhi obligasi pasaran lain yang dilanda kegawatan atau kemerosotan. Fenomena ini jelas berlaku semasa tempoh pasca-Lehman apabila terdapatnya aliran keluar yang besar dari rantau Asia berikutan aktiviti pembayaran balik hutang oleh sektor kewangan dalam beberapa ekonomi maju. Faktor bahawa dunia semakin berkait rapat menggambarkan bahawa sebarang risiko sistemik akan menular dengan lebih meluas dan ketara berbanding dahulu.
Kesemua perubahan penting yang berlaku dalam persekitaran kewangan pada peringkat negara dan antarabangsa telah menyebabkan usaha dipergiatkan untuk mencari penyelesaian yang boleh mengurangkan kemungkinan berulangnya bencana kewangan sedemikian pada masa hadapan. Usaha ini melibatkan penilaian semula peranan yang sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada Bank Pusat. Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa tiada rangka tindakan yang khusus bagi reka bentuk pengaturan keinstitusian sesebuah Bank Pusat dan pengaturan tersebut perlu relevan dan sesuai mengikut keadaan masing-masing. Malah, peranan Bank Pusat nyata semakin pelbagai, daripada mandat yang hanya terhad untuk mengekalkan kestabilan harga kepada mandat yang lebih luas yang meliputi pengekalan kestabilan kewangan, penyeliaan dan pengawalseliaan fungsi sektor kewangan, memastikan operasi pasaran kewangan kekal teratur, menangani ketidakseimbangan kewangan, menerajui inisiatif penyelesaian kewangan dalam pengurusan krisis, dan akhirnya, memacu pembangunan sistem kewangan. Ucapan saya hari ini akan tertumpu pada mandat dan peranan Bank Pusat dari perspektif ekonomi sedang pesat membangun, khususnya dalam konteks Asia.
Peranan negara
Dua dekad kebelakangan ini telah menyaksikan reformasi menyeluruh Bank Pusat di beberapa bahagian dunia lantas membangkitkan perdebatan hangat mengenai dua trend khusus yang muncul. Pertama, tumpuan yang beralih kepada mandat tunggal untuk memastikan kestabilan harga sebagai fungsi teras Bank Pusat yang sering diikuti oleh penerapan rangka kerja penyasaran inflasi (inflation targeting). Kedua, penubuhan entiti berasingan untuk menyelia bank, meskipun lebih separuh daripada Bank Pusat di seluruh dunia masih lagi memikul tanggungjawab penyeliaan. Selepas krisis kewangan global baru-baru ini, usaha diteruskan untuk merumuskan rangka kerja yang sesuai untuk mencapai kestabilan monetari dan membentuk struktur keinstitusian yang optimum bagi pengawalan dan penyeliaan sektor kewangan, mungkin kali ini dengan lebih bersungguh-sungguh.
Sebelum tercetusnya krisis kewangan baru-baru ini, ramai yang berpendapat bahawa Bank Pusat perlu melaksanakan strategi dasar 'satu alat dan satu sasaran'. Berdasarkan pendapat ini, peranan paling wajar Bank Pusat dalam menggalakkan kestabilan makroekonomi dan kemakmuran adalah dengan memastikan supaya inflasi kekal pada paras rendah. Namun, krisis baru-baru ini mengubah persepsi ini. Pengekalan kestabilan harga dan kestabilan kewangan bukanlah aspirasi mutlak. Matlamat akhir sebenarnya adalah untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran yang berterusan. Selain itu, tugas memastikan pasaran kewangan terus berfungsi dengan teratur kini merupakan peranan penting Bank Pusat memandangkan pasaran tersebut boleh mempengaruhi fungsi dan prestasi sektor ekonomi benar.
Bagi ekonomi sedang pesat membangun di Asia, Bank Pusat di rantau ini sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan pasaran kewangan berfungsi dengan baik. Berdasarkan tahap kemajuan pasaran kewangan dan saiznya secara relatif dalam sistem kewangan antarabangsa, keadaan pasaran yang tidak teratur yang tidak dapat diseimbangkan dengan sendirinya lazimnya akan menjejaskan prestasi ekonomi benar. Hal ini terbukti semasa krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan 1998. Sepuluh tahun kemudian, beberapa reformasi dan inisiatif kewangan dilaksanakan di rantau ini, termasuk penyahkawalseliaan dan penggalakan orientasi pasaran yang lebih meluas, pembangunan infrastruktur kewangan domestik dan perundangan sokongan, penambahan rangkaian instrumen yang boleh digunakan oleh Bank Pusat dan pengukuhan keupayaan pengawasan oleh Bank Pusat.
Perkembangan ini berjaya membuahkan hasil yang memberangsangkan buat rantau Asia. Daya tahan yang lebih kukuh telah membolehkan kebanyakan pasaran kewangan di Asia dapat menyerap kesan ketidakstabilan akibat kemelut pasaran kewangan global baru-baru ini. Yang lebih penting ialah proses pengantaraan kewangan dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Ini bukan sahaja membolehkan pasaran untuk membantu transmisi dasar bahkan menyokong pemulihan aktiviti ekonomi sektor swasta.
Sama pentingnya ialah peranan Bank Pusat dalam menangani isu meningkatnya ketidakseimbangan kewangan yang bukan sahaja boleh menjejaskan kestabilan kewangan bahkan kestabilan makroekonomi. Meskipun kadar faedah menjadi alat penting dalam usaha ini, kebanyakan Bank Pusat di Asia lebih banyak bergantung pada langkah kehematan makro. Langkah-langkah kehematan yang diterima pakai sejak tahun 1990-an telah berjaya membendung ketidakseimbangan kewangan yang semakin meningkat lantas mengurangkan risiko kepada kestabilan kewangan.
Melangkah ke hadapan, dunia berkemungkinan akan terus dilanda krisis kewangan. Sejarah telah menunjukkan bahawa lebih daripada seratus krisis perbankan yang berbeza telah tercetus dalam dua dekad kebelakangan ini. Bagi mengatasi krisis sedemikian, daya tahan perlu diperteguh seiring dengan langkah pengukuhan keupayaan menguruskan krisis. Pengaturan keinstitusian untuk mencapai kestabilan kewangan terus menjadi topik utama perdebatan. Malah isu utama pula tertumpu pada peranan bank pusat dalam kestabilan kewangan, dan sama ada perlunya pihak berkuasa penyeliaan yang tunggal atau berbilang. Memandangkan bank pusat merupakan pemberi pinjaman usaha akhir (lender-of-last-resort), ia selalunya memacu langkah-langkah untuk memulihkan kestabilan. Meskipun tiada persetujuan umum mengenai struktur optimum bagi fungsi penyeliaan, sistem kewangan diakui semakin rumit dan saling terhubung. Sama ada sesebuah negara menerima pakai model yang bersepadu atau model yang disusun mengikut sektor, penyelarasan yang berkesan adalah amat penting agar usaha untuk memelihara kestabilan kewangan adalah berkesan.
Sebagai entiti yang bertanggungjawab terhadap dasar monetari, Bank Pusat perlu mengawasi keadaan makroekonomi. Semasa menjalankan operasi pasaran wang terbuka dan pengurusan rizab antarabangsa, Bank Pusat berhubung secara langsung dengan pasaran kewangan. Oleh itu, Bank Pusat boleh mendapatkan maklumat berguna yang boleh menyumbang ke arah penyeliaan kewangan berdasarkan maklumat, termasuk dalam mereka bentuk dan melaksanakan langkah dasar kehematan makro. Bank Pusat juga merupakan entiti terbaik untuk membuat pertimbangan yang wajar sekiranya terdapat matlamat yang bercanggah. Dalam keadaan tersebut, pengaturan keinstitusian yang agak terpisah-pisah sering menyebabkan kelewatan dan kompromi dalam tindak balas dasar. Di samping itu, kebertanggungjawaban terhadap keputusan yang diambil juga kurang jelas.
Akhirnya, Bank Pusat turut memainkan peranan yang amat penting untuk membendung dan menguruskan krisis, khususnya dalam menyediakan mudah tunai, menghalang gangguan terhadap fungsi sistem kewangan dan memulihkan kestabilan dan keyakinan terhadap sistem kewangan. Untuk mengelakkan pendekatan yang tidak seragam oleh mana-mana agensi dalam sistem serta memastikan tindak balas menyeluruh terhadap krisis kewangan, pengaturan keinstitusian bagi penyelarasan yang lebih bersepadu merentas agensi adalah penting untuk membolehkan tindakan segera diambil. Antara langkah yang boleh diambil ialah suntikan modal, jaminan hutang dan pembelian aset dalam usaha untuk membendung dan menguruskan krisis.
Peranan serantau
Pada peringkat serantau, peranan Bank-bank Pusat di Asia Timur dalam dekad ini telah mencapai tahap usaha sama dan kerjasama yang baharu. Berikutan krisis kewangan Asia, usaha tertumpu pada lima bidang utama, iaitu mempertingkatkan keberkesanan pengawasan ekonomi dan kewangan serantau, meningkatkan kaedah pengurusan krisis serantau yang diperkukuh oleh mekanisme sokongan serantau, membangunkan infrastruktur kewangan serantau termasuk pasaran bon dan sistem pembayaran dan penyelesaian, memperkukuh kestabilan kewangan serantau, dan akhir sekali, menggembleng usaha untuk membina keupayaan agar dapat meningkatkan keberkesanan Bank Pusat di rantau ini.
Melangkah ke hadapan, keutamaan Asia adalah untuk mempercepat integrasi kewangan serantau. Untuk mencapai matlamat ini dalam persekitaran serantau yang stabil, usaha memperkukuh kerjasama juga bertujuan untuk menguruskan risiko dan kelemahan rantau ini. Pada tahun 2006, Bank Pusat Asia Timur menubuhkan jawatankuasa kestabilan monetari dan kewangan sebagai forum untuk membincangkan risiko terhadap kestabilan makroekonomi dan kewangan serantau. Di samping itu, ASEAN+3, iaitu kumpulan kecil dalam jawatankuasa tersebut telah mengambil langkah-langkah kukuh untuk melaksanakan multilateralisasi Inisiatif Chiang Mai agar menjadi rangka kerja yang lebih canggih dan kukuh supaya inisiatif pengumpulan dan penggunaan sokongan mudah tunai di rantau ini menjadi lebih berkesan. Meskipun rantau ini amat pelbagai sifatnya, namun dalam bidang kerjasama dan usaha sama sebegini, hubungan erat sesama negara di rantau ini terbukti apabila mereka sama-sama berganding bahu untuk menangani satu demi satu cabaran yang timbul berikutan wujudnya persekitaran baharu.
Kesimpulan
Akhir kata saya ingin menyimpulkan bahawa dunia telah banyak berubah dan pasti akan terus berubah. Bank Pusat perlu melaksanakan proses transformasi dan modenisasinya sendiri agar dapat terus melaksanakan tugasnya dengan berkesan dalam persekitaran baharu di samping boleh bertindak balas terhadap sebarang cabaran baharu. Bank Pusat juga perlu mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan status bebasnya dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Keupayaan dan kebolehan kita hendaklah sentiasa dipertingkatkan agar kita mampu bangkit untuk menyahut cabaran yang mendatang dalam persekitaran baharu ini. Perubahan yang ketara mungkin perlu dibuat terhadap pengaturan tadbir urus, perundangan yang memberikan kuasa, kemahiran yang diperlukan, peranan komunikasi, pengurusan dan pembangunan modal insan dan budaya organisasi. Yang pasti, inisiatif bina upaya merupakan bidang kerjasama di rantau Asia yang perlu diteruskan.
Melangkah ke hadapan, peranan Asia dalam sistem ekonomi dan kewangan global akan menjadi lebih ketara. Dengan adanya hubungan erat sesama negara di rantau ini, dan dengan negara lain di dunia, peluang adalah cerah untuk mencapai kestabilan yang berterusan dan prospek pertumbuhan yang lebih menggalakkan pada masa akan datang demi manfaat ekonomi serantau dan seluruh dunia.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.