Ucaptama oleh Gabenor di Persidangan Euromoney-Qatar : "Kestabilan Kewangan Global dan Pengantarabangsaan Sistem Kewangan dalam Ekonomi Sedang Pesat Membangun"

Doha, Qatar | 11 Disember 2012

Saya berbesar hati kerana berpeluang berucap di Persidangan Euromoney-Qatar mengenai "Pengolahan Semula Kewangan Global" di Doha. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Bank Pusat Qatar kerana mengundang saya untuk berucap dalam persidangan ini. Dalam persekitaran global ketika ini, tindak balas dasar global yang pelbagai dan pada tahap yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini masih belum dapat mewujudkan  kestabilan kewangan dan pemulihan yang mampan dalam ekonomi dunia.
 
Globalisasi kewangan yang begitu pesat pada dekad ini telah menyebabkan dunia lebih saling berhubung dan saling bergantung. Walaupun sistem kewangan dan ekonomi di sebahagian besar dunia menerima kesan krisis kewangan global baru-baru ini, namun tahap pengantarabangsaan sistem kewangan masih menggalakkan, khususnya dalam ekonomi sedang pesat membangun. Ucapan saya pagi ini adalah tentang kestabilan kewangan dan pengantarabangsaan sistem kewangan dalam ekonomi sedang pesat membangun. Saya akan menyentuh tentang manfaat dan cabaran pengantarabangsaan tersebut, pengajaran yang dapat diambil daripada krisis kewangan global baru-baru ini, serta pengalaman yang dilalui Malaysia dalam pengantarabangsaan sistem kewangan.  
 
Manfaat dan Cabaran Pengantarabangsaan Sistem Kewangan
 
Walaupun pengantarabangsaan sistem kewangan banyak memberikan manfaat, namun kesan daripada integrasi sistem kewangan antarabangsa yang meningkat telah mewujudkan risiko dan cabaran baharu. Kelebihan liberalisasi dan pengantarabangsaan kewangan yang meningkat adalah kerana keupayaannya untuk memupuk pengembangan sistem kewangan yang lebih cekap dan teguh. Meskipun sistem kewangan yang lebih berdaya saing akan meningkatkan kecekapan proses pengantaraan kewangan dan menyumbang ke arah pengurangan kos pengantaraan, pengawasan penyeliaan diperlukan bagi memastikan persaingan yang keterlaluan tidak mengakibatkan risiko salah penentuan harga yang memberikan kesan buruk kepada kestabilan kewangan.
 
Manfaat lain daripada pengantarabangsaan ialah lebih banyak peluang bagi pemindahan teknologi, kepakaran baharu dan inovasi lebih meluas serta penawaran produk baharu. Di samping itu, penyertaan asing yang meningkat dalam pasaran kewangan domestik juga menyumbang kepada peningkatan mudah tunai dan penentuan harga yang lebih berdaya saing dalam pasaran kewangan domestik serta menggalakkan pengagihan modal yang lebih cekap dalam ekonomi. Pengantarabangsaan juga dijangka menyumbang kepada pengembangan dan pembangunan pasaran kewangan domestik, khususnya pasaran modal, sekali gus membuktikan kepentingan akses kepada pembiayaan untuk aktiviti pelaburan.  Apabila pasaran kewangan dalam negeri berfungsi dengan lebih cekap, mekanisme transmisi dasar monetari juga akan bertambah baik.
 
Sementara itu, pertambahan aliran masuk modal susulan liberalisasi akaun modal merupakan sumber tambahan bagi pembiayaan yang juga akan menggalakkan peningkatan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi. Liberalisasi ini akan membolehkan ekonomi yang mempunyai lebihan dana menyalurkan dana tersebut kepada rantau yang mempunyai peluang pelaburan yang produktif, seterusnya menyumbang kepada pengagihan dana yang lebih cekap merentas sempadan antarabangsa. Hubungan kewangan merentas sempadan yang lebih kukuh berpotensi menambah peluang perdagangan dan pelaburan antarabangsa, yang membolehkan negara-negara memanfaatkan sebaiknya kelebihan berbanding dan sifat saling melengkapi masing-masing bagi memperkukuh pertumbuhan bersama. Dalam persekitaran semasa, faktor ini penting bagi memudahkan aktiviti ekonomi merentas sempadan.
 
Liberalisasi akaun modal dari aspek menghapuskan sekatan bagi transaksi pertukaran asing juga akan menambah fleksibiliti dalam mengurus transaksi sedemikian. Langkah ini akan meningkatkan potensi untuk mengurus risiko berkaitan dengan lebih baik, manakala peningkatan kecekapan juga akan mengurangkan kos menjalankan perniagaan.  Akhir sekali, dalam persekitaran yang lebih liberal, disiplin pasaran akan menjadi lebih baik dan seterusnya akan menggalakkan kestabilan kewangan dalam sistem kewangan domestik. Walau bagaimanapun, ini bergantung pada tahap dedahan dan ketelusan yang wajar supaya pasaran dapat berfungsi dengan cekap.
 
Walau bagaimanapun, pengantarabangsaan sistem kewangan turut berdepan dengan risiko dan cabaran. Risiko penularan telah meningkat dengan ketara dari segi jangkauan dan kepantasan susulan peningkatan kesalinghubungan. Penularan boleh berlaku disebabkan oleh peristiwa dan perkembangan luar yang antaranya boleh terjadi akibat kegagalan institusi kewangan yang besar dan penting sehinggalah kepada tercetusnya peperangan atau peristiwa politik yang memberikan kesan pada peringkat serantau atau global. Sementara itu, perkembangan global termasuk limpahan dasar global juga meningkatkan ketaktentuan aliran modal yang lebih nyata. Sistem kewangan yang makin terbuka juga menyebabkan negara lebih mudah terdedah kepada kitaran ekonomi yang berlaku di bahagian lain dunia. Sistem kewangan dan ekonomi yang makin saling bergantung dan kesan penularan yang meningkat adalah antara hasil yang nyata daripada pengantarabangsaan kewangan.
 
Liberalisasi kewangan, misalnya, boleh memburukkan lagi implikasi tekanan kewangan daripada bahagian lain di dunia terhadap sistem kewangan domestik. Liberalisasi kewangan juga boleh meningkatkan dan memburukkan gelembung aset dan kitaran boom bust. Implikasi lain daripada liberalisasi ialah ketaksamaan pendapatan yang semakin melebar, dan juga peminggiran institusi kewangan domestik jika tidak dapat bersaing dalam persekitaran yang lebih kompetitif. Akhir sekali, turun naik aliran modal bukan sahaja memberikan kesan kepada pasaran kewangan untuk berfungsi dengan cekap malah boleh mengakibatkan ketidakjajaran kadar pertukaran yang tidak mencerminkan asas-asas ekonomi. Potensi risiko dan kelemahan ini merupakan cabaran yang berterusan bukan sahaja kepada ekonomi sedang pesat membangun tetapi juga sistem kewangan dan ekonomi yang lebih maju.
 
Pengajaran daripada Krisis Kewangan
 
Meskipun pengantarabangsaan sistem kewangan memberi manfaat, namun risiko terhadap kestabilan kewangan juga meningkat dengan ketara. Risiko ini secara amnya berpunca daripada prospek penularan yang lebih nyata ekoran peningkatan dalam tahap kesalingbergantungan. Bagi ekonomi sedang pesat membangun, risiko ini adalah jauh lebih ketara kerana sistem kewangannya masih belum mencapai tahap yang lebih maju dan matang. Untuk meraih manfaat yang lebih banyak daripada pengantarabangsaan sistem kewangan dalam ekonomi sedang pesat membangun, beberapa pengajaran boleh diambil daripada krisis tersebut. Pertama, kita perlu menyedari bahawa bahagian yang berbeza dalam sistem kewangan domestik mempunyai kesalinghubungan yang rapat, termasuk bahagian yang mungkin tidak berada di bawah skop kawal selia. Tekanan kewangan dalam suatu segmen khusus tidak lagi hanya terbatas pada segmen tersebut, malah mungkin pantas merebak kepada segmen lain dalam sistem kewangan. Oleh itu, tindak balas dasar yang khusus bagi segmen tersebut adalah tidak memadai. Tindak balas yang komprehensif  diperlukan untuk memastikan keadaan tekanan tersebut tidak merebak menjadi krisis kewangan yang besar.

Kedua, keadaan yang boleh menyebabkan risiko terhadap kestabilan kewangan perlu dikenal pasti dengan lebih awal. Langkah pencegahan awal akan mengurangkan kos yang ditanggung apabila krisis melanda sistem kewangan dan ekonomi. Ketiga, pihak berkuasa pengawalseliaan perlu diberikan kuasa yang wajar untuk mengurus risiko terhadap kestabilan kewangan. Keempat, gabungan dasar yang optimum tidak hanya merangkumi tindakan dasar untuk menangani isu-isu dalam jangka terdekat tetapi juga pada masa yang sama perlu menangani masalah struktur dasar. Kelima, tumpuan perlu diberikan terhadap kepentingan persekitaran yang diperlukan untuk membolehkan dasar yang dilaksanakan mencapai hasil yang dikehendaki. Akhir sekali, untuk membantu proses membuat keputusan yang berkesan, platform dan proses tadbir urus perlu diwujudkan bagi penyelarasan dasar antara agensi dalam ekonomi dan harus diperluas untuk tindakan bersama pada peringkat serantau dan antarabangsa.
 
Susulan krisis kewangan global baru-baru ini, tindak balas dasar pada peringkat negara adalah menyeluruh dan pada tahap yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini. Meskipun pelbagai reformasi kewangan pada peringkat antarabangsa telah dilaksanakan untuk mengukuhkan daya tahan sektor kewangan, namun penggubalan dasar dalam dimensi merentas sempadan adalah tidak begitu komprehensif. Keadaan ini berlaku walaupun kejutan kewangan dan ekonomi di seluruh ekonomi global dan sistem kewangan antarabangsa merebak pantas selepas ledakan krisis kewangan pada tahun 2008.
 
Walaupun menghadapi cabaran yang lebih besar, pengaturan keinstitusian bagi kerjasama dan penyelarasan dasar masih belum mencapai tahap yang berpadanan dengan tahap integrasi ekonomi dan kewangan global. Meskipun usaha secara sendirian oleh sesebuah ekonomi adalah penting, tetapi ini tidak lagi dapat menjamin kestabilan kewangan global. Ekonomi sedang pesat membangun yang lebih terbuka dan bersepadu dengan ekonomi global dan sistem kewangan antarabangsa adalah antara yang paling teruk terjejas oleh perkembangan ini. Krisis kewangan memperlihatkan betapa pentingnya dimensi antarabangsa dalam sesuatu dasar.
 
Akhir sekali, kesan krisis kewangan yang perlu diberikan lebih perhatian ialah jurang perbezaan pendapatan yang semakin luas dalam ekonomi. Krisis kewangan baru-baru ini telah memburukkan trend ini memandangkan keadaan pengangguran yang tinggi di sesetengah negara di dunia. Pada peringkat negara, pembangunan sistem kewangan yang inklusif dan jaring keselamatan sosial akan membendung trend ini.

Pengantarabangsaan Kewangan dan Pengalaman Malaysia
 
Dalam usaha melaksanakan liberalisasi sektor kewangan untuk beralih kepada sistem kewangan yang lebih global, Malaysia menerapkan pendekatan secara beransur-ansur dan berperingkat. Ini bagi memastikan prasyarat yang diperlukan dapat disediakan supaya manfaat daripada peningkatan pengantarabangsaan kewangan menjadi kenyataan. Pada masa yang sama, risiko berkaitan yang wujud dalam ekonomi yang lebih terbuka dan sistem kewangan yang bersepadu pada peringkat antarabangsa dapat diurus dengan berkesan.
 
Tujuh prasyarat telah dikenal pasti sebagai prasyarat penting dalam proses ini. Pertama, yang perlu diberikan keutamaan ialah pembinaan kapasiti pengantara dan pengukuhan daya tahan dan daya saing sektor kewangan. Semasa krisis kewangan Asia, sektor perbankan di Malaysia dalam keadaan amat tidak bersepadu, mempunyai lebih daripada tujuh puluh institusi perbankan yang kebanyakannya kecil dan mudah terjejas. Semasa krisis kewangan itu, langkah penyusunan semula yang menyeluruh telah dilaksanakan, dan disusuli oleh langkah penggabungan seluruh industri, didorong oleh keperluan permodalan yang lebih tinggi. Penyusunan semula tersebut mengukuhkan kedudukan institusi kewangan, manakala penyatuannya pula menghasilkan kumpulan kewangan yang lebih besar dan teguh.
 
Kedua ialah melaksanakan reformasi kewangan yang tertumpu pada peralihan kepada sistem kewangan yang lebih berorientasikan pasaran. Langkah ini merangkumi reformasi kadar faedah yang menyokong penentuan harga produk dan perkhidmatan kewangan dengan lebih berkesan. Persekitaran lebih berdaya saing yang diwujudkan menjadi pemacu penting bagi peningkatan tahap kecekapan dan inovasi dalam sistem kewangan.
 
Perhatian yang sama juga ditumpukan pada pembangunan infrastruktur kewangan, khususnya, sistem pembayaran dan penyelesaian dan pemodenan rangka kerja undang-undang bagi meningkatkan kejelasan perundangan yang mengawal selia sektor kewangan. Usaha ini merangkumi tujuh perundangan baharu yang digubal dalam bidang perbankan pusat, sistem pembayaran, perkhidmatan wang, insurans deposit dan pengawalseliaan sektor perbankan, insurans, kewangan Islam, institusi kewangan pembangunan dan koperasi. Semua usaha ini telah memberikan kepastian dan kebolehramalan  dalam operasi sistem kewangan.
 
Pengukuhan keupayaan pengawasan Bank Negara Malaysia dan keberkesanan rejim pengawalan dan penyeliaan turut diberikan keutamaan. Langkah ini merangkumi peralihan daripada rejim pengawalan berasaskan peraturan kepada berasaskan prinsip yang dipertingkat dengan tumpuan pada amalan tadbir urus dan pengurusan risiko yang diperkukuh pula oleh peralihan kepada penyeliaan berasaskan risiko. Walau bagaimanapun, penyeliaan terus bersifat intrusif dengan rangka kerja intervensi yang bersifat mencegah untuk memastikan potensi risiko terhadap kestabilan kewangan dapat terus ditangani termasuk dalam sektor kewangan yang lebih saling berhubung pada peringkat serantau dan global.
 
Sejajar dengan usaha ini, pasaran sekuriti turut dibangunkan. Daripada sebuah sistem kewangan yang terlalu bergantung pada sistem perbankan untuk pembiayaan, kini sistem kewangan lebih pelbagai dengan akses lebih meluas kepada pembiayaan daripada pasaran bon dan sukuk. Pasaran sekuriti domestik kini berkembang menjadi sebahagian daripada ekosistem kewangan Malaysia yang penting, dan membantu mengurangkan penumpuan risiko dalam sistem kewangan, seterusnya memelihara kestabilan kewangan. Pasaran sekuriti Malaysia telah berkembang pesat hingga menjadi pasaran sekuriti terbesar di rantau ASEAN.
 
Malaysia juga membuat pelaburan yang besar dalam pembangunan tenaga mahir untuk sektor perkhidmatan kewangan. Memandangkan pentingnya peranan tenaga mahir untuk memastikan prestasi dan daya tahan sektor kewangan, pengaturan keinstitusian yang menyeluruh telah diwujudkan untuk semua peringkat industri; peringkat kemasukan, peringkat pekerjaan dan kepakaran, peringkat profesional dan kepimpinan termasuk lembaga pengarah institusi kewangan.
 
Akhir sekali, apabila sistem kewangan menjadi lebih bersepadu pada peringkat serantau dan antarabangsa, pengaturan kestabilan kewangan serantau juga dapat diwujudkan. Antaranya, menggalakkan inisiatif secara berkumpulan dalam bidang pengawasan serantau, pembangunan pasaran kewangan dan infrastruktur pembayaran serantau, dan penyeliaan rentas sempadan. Forum bagi penilaian risiko terhadap kestabilan kewangan serantau juga telah dianjurkan, dan usaha kini sedang dilaksanakan untuk mewujudkan rangka kerja pengurusan dan penyelesaian krisis yang bersepadu bagi rantau Asia. Mekanisme sokongan serantau juga diwujudkan sebagai sebahagian daripada inisiatif ini.
 
Dengan adanya prasyarat ini, Malaysia mengorak langkah memulakan inisiatif untuk mengantarabangsakan sistem kewangannya yang bermula pada tahun 2003. Pengantarabangsaan sektor kewangan menuntut peningkatan dalam dua bidang utama; liberalisasi sektor kewangan dan liberalisasi akaun modal. Dalam pelaksanaan integrasi kewangan serantau dan antarabangsa yang lebih meluas, sasarannya adalah untuk menambah kepelbagaian sistem kewangan dari segi produk yang ditawarkan, meningkatkan lagi daya saing sistem kewangan dan mengukuhkan hubungan ekonomi dengan rantau Asia dan bahagian lain di dunia.

Liberalisasi sektor kewangan merangkumi kemasukan dan penyertaan asing dalam sistem kewangan negara. Lesen baharu dikeluarkan kepada institusi perbankan konvensional dan Islam asing, manakala kepentingan strategik asing minimum dalam industri insurans dan takaful ditambah. Lebih banyak fleksibiliti dari segi operasi juga diberikan kepada institusi perbankan asing sedia ada dalam sistem kewangan yang kini mencakupi kira-kira 30% daripada sistem perbankan. Pada masa yang sama, penyertaan asing dalam pasaran sekuriti negara telah dilonggarkan pada tahun 2007 untuk membolehkan syarikat asing memperoleh pembiayaan sama ada dalam mata wang domestik atau asing.
 
Liberalisasi akaun modal sepanjang dekad pertama tahun 2000-an merangkumi penghapusan sekatan secara berperingkat dalam peraturan pentadbiran pertukaran asing. Liberalisasi ini dipertingkat selepas tahun 2005 apabila sistem kewangan dan ekonomi lebih bersedia mengurus aliran kewangan rentas sempadan yang kian bertambah.  Pada bulan Julai 2005, Malaysia beralih daripada rejim kadar pertukaran tetap kepada rejim kadar pertukaran fleksibel bagi meningkatkan fleksibiliti untuk mengubah suai mengikut keadaan struktur yang berubah-ubah dalam ekonomi serantau dan antarabangsa. Dengan berkurangnya sekatan ini secara beransur-ansur, perniagaan kini mempunyai fleksibiliti untuk mengurus dedahan pertukaran kewangan masing-masing. Ini menggalakkan aliran modal dua hala dan membantu menstabilkan aliran modal tidak menentu yang masuk ke dalam ekonomi negara.
 
Akhir sekali, selain mempunyai kuasa yang diperlukan dalam perundangan baharu, instrumen rumusan dasar Bank Negara Malaysia juga telah bertambah bagi menangani potensi peningkatan ketakseimbangan kewangan dan risikonya terhadap kestabilan kewangan berikutan peningkatan pengantarabangsaan. Ini termasuk langkah kehematan makro dan penyeliaan untuk menangani secara kolektif faktor asas kestabilan kewangan. Platform juga diwujudkan bagi penyelarasan yang lebih baik antara pembuat dasar di dalam negeri, pengawal selia dan sektor awam.
 
Kesimpulan
 
Walaupun banyak pengajaran dapat diambil daripada beberapa episod krisis kewangan yang dialami oleh ekonomi dunia, namun tidak ada satu pendekatan khusus dalam liberalisasi dan pengantarabangsaan sistem kewangan. Kejayaannya bergantung pada keadaan semasa dan tahap ketersediaan sistem kewangan dan ekonomi serta keupayaannya untuk mengurus risiko berkaitan. Pengantarabangsaan bersifat separuh matang yang dilaksanakan boleh mengakibatkan keadaan ketidakstabilan yang ketara. Proses liberalisasi juga perlu bersifat pragmatik dengan mengambil kira matlamat berbeza yang perlu dicapai. Dengan pembangunan infrastruktur, perlindungan dan penampan kewangan yang wajar, ekonomi sedang pesat membangun lebih berpotensi untuk memainkan peranan dalam sistem kewangan yang lebih bersepadu pada peringkat antarabangsa, yang akan saling memperkukuh pertumbuhan dan pembangunan global.


Bank Negara Malaysia
12 Disember 2012

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?