Ucaptama oleh Gabenor di Persidangan Industri Kewangan 2009
Mandarin Oriental, Kuala Lumpur | 17 November 2009
Saya amat berbesar hati kerana dapat mengalu-alukan kehadiran anda semua ke persidangan industri kewangan kami tahun ini. Persidangan ini berlangsung ketika landskap kewangan global sedang mengalami perubahan penting. Malah sambil kita berbincang dan bertukar-tukar fikiran ini, pelbagai peristiwa terus berlaku yang berpotensi mengubah dengan ketara cara institusi kewangan menjalankan urusan perniagaan. Reformasi secara meluas untuk memperteguh asas kestabilan kewangan sedang dilaksanakan bagi mempertingkatkan penyeliaan dan pengawalan institusi kewangan. Ini termasuk pengaturan keinstitusian bagi penyelarasan dan kerjasama dalam bidang pengawasan dan pengurusan krisis di dalam dan di luar negara. Persidangan anjuran Bank Negara Malaysia ini bertujuan untuk menjadi platform bagi dialog yang membina dengan industri berhubung dengan perkembangan yang telah menjejaskan industri kewangan antarabangsa dan dalam negeri, dengan tumpuan khusus kepada implikasinya terhadap institusi kewangan di Malaysia.
Perkembangan dan prospek ekonomi
Selepas permulaan yang mencabar tahun ini, ekonomi Malaysia kini beransur-ansur pulih hasil sokongan asas-asas makroekonomi yang kukuh dan sektor kewangan yang teguh. Aktiviti ekonomi terus menunjukkan peningkatan menggalakkan pada suku ketiga, dan pertumbuhan positif diunjurkan bagi suku keempat. Perkembangan ini disokong oleh pemulihan permintaan dalam negeri, terutamanya penggunaan, ekoran keadaan guna tenaga yang lebih baik, pelaksanaan langkah-langkah fiskal yang lebih cepat, persekitaran monetari yang akomodatif dan akses yang berterusan kepada pembiayaan. Pada tahun 2010, momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus menggalakkan, berikutan dorongan oleh aktiviti ekonomi dalam negeri selain diperkukuh oleh pertumbuhan ekonomi rakan perdagangan utama kita yang lebih baik.
Peranan sektor domestik dalam mendorong pertumbuhan bukanlah sesuatu yang baharu. Malah, permintaan dalam negeri telah menjadi sumber utama bagi pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya sejak tahun 2003 lagi, lantas memperlengkap sektor luar kita yang besar. Trend ini memperlihatkan bahawa ekonomi kita sedang melalui evolusi ke arah model pertumbuhan yang seimbang, dengan memanfaatkan hubungan ekonomi kita dengan ekonomi global sambil pada masa yang sama memperkukuh sumber pertumbuhan dalam negara.
Walaupun pertumbuhan penggunaan dalam negeri menggalakkan, langkah seterusnya untuk mengimbangkan semula sumber pertumbuhan adalah dengan meningkatkan sumbangan sektor pelaburan. Tahap pelaburan swasta yang lebih tinggi akan meningkatkan lagi keupayaan produktif kita dan menambah potensi bagi pertumbuhan yang lebih tinggi. ?Dalam hal ini, banyak bidang pertumbuhan baharu dijangka mendapat manfaat daripada pelaburan yang lebih tinggi. Ini termasuk sektor perkhidmatan dan pembangunan infrastruktur yang diperlukan oleh ekonomi moden seperti teknologi jalur lebar dan hijau.
Mengatasi cabaran ekonomi
Meskipun prospek ekonomi semakin cerah, laluan pemulihan masih lagi penuh dengan cabaran. Pertamanya, prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik di Asia dan jangkaan bahawa rantau ini akan pulih terlebih dahulu daripada kemelesetan global boleh menarik aliran masuk modal yang banyak ke rantau ini. Aliran masuk modal ini bukan sahaja boleh menyebabkan kadar pertukaran mudah turun naik, malah boleh mengakibatkan kenaikan harga aset. Kenaikan harga komoditi juga berpotensi menaikkan kadar inflasi dan menjejaskan proses pemulihan ekonomi. Namun, kebanyakan ekonomi di Asia, termasuk pihak penggubal dasar, industri kewangan dan sektor swasta berupaya mengatasi kesemua cabaran ini. Kedudukan kewangan yang lebih kukuh, paras hutang yang rendah dan penampan yang diwujudkan semasa keadaan ekonomi menggalakkan telah meningkatkan potensi untuk menguruskan persekitaran yang lebih mencabar ini. Peranan sektor kewangan terutamanya adalah penting dalam memastikan pembiayaan kepada aktiviti ekonomi yang produktif tidak terganggu, sambil pada masa yang sama mengamalkan kehematan dalam persekitaran mudah tunai yang berlebihan.
Dalam jangka sederhana, prospek ekonomi global terus dibelenggu ketidakpastian yang nyata. Secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi global? dijangka terus lemah dalam jangka sederhana, dengan kelemahan struktur ekonomi maju melembapkan pertumbuhan keseluruhan ekonomi-ekonomi tersebut. Berikutan integrasi yang mendalam dengan ekonomi global, kelemahan berterusan dalam ekonomi maju mungkin memberi cabaran kepada keseluruhan pertumbuhan ekonomi sedang pesat membangun dalam jangka sederhana. Oleh itu, penting bagi sektor luar Malaysia untuk berubah kepada struktur yang lebih pelbagai bagi meningkatkan daya tahannya dan mengurangkan pergantungan kepada pasaran tradisional untuk pertumbuhan. Tanda-tanda memberangsangkan bahawa perubahan ini sudah pun berlaku kini semakin jelas. Sejak tahun 2000, bahagian eksport kita kepada ekonomi sedang pesat membangun telah meningkat daripada 53% kepada 66% pada tahun 2008. Ini menggambarkan trend penting ke arah integrasi ekonomi dengan ekonomi global yang lebih berasaskan kepelbagaian melalui peningkatan perdagangan dan pelaburan.
Melangkah ke tahun 2010 dan bagi mencerahkan prospek pertumbuhan dalam persekitaran yang kian mencabar ini, produktiviti perlu ditingkatkan, melalui penggunaan jumlah pelaburan yang sama untuk menjana keluaran yang lebih tinggi. Tumpuan juga perlu diberikan kepada pelaburan berimpak tinggi yang akan menjana kesan penggandaan yang lebih besar bagi ekonomi. Langkah menarik pelaburan langsung asing melalui liberalisasi dan perkongsian strategik juga boleh menyumbang kepada proses ini. Bagi menaikkan tahap prestasi ekonomi negara, kita bukan sahaja perlu melabur dengan bijak, bahkan perlu mewujudkan persekitaran yang bersesuaian untuk memaksimumkan pulangan? pelaburan. Kecekapan pengantaraan kewangan merupakan komponen penting bagi merealisasikan strategi ini.
Reformasi kawal selia antarabangsa
Kini saya akan menyentuh pula mengenai reformasi kawal selia antarabangsa. Krisis kewangan global ini telah mengheret dunia ke kancah kemelesetan ekonomi yang terburuk dalam sejarah moden. Ini telah menyebabkan semua negara di dunia saling berganding bahu untuk mengemukakan usul yang meluas bagi mengukuhkan asas-asas kestabilan kewangan dan menangani kelemahan yang ada dalam sistem kewangan antarabangsa. Isu pokok yang hangat dibincangkan ialah penentuan keseimbangan antara proses membuat keputusan oleh pihak swasta, sistem pasaran dan campur tangan Kerajaan. Dari satu segi, hujah yang diutarakan menyatakan bahawa tiada pilihan lain selain pasaran untuk mewujudkan sistem kewangan yang berfungsi dengan cekap. Hujah pihak yang lain pula lebih menyokong rejim campur tangan. Penyelesaiannya terletak pada keseimbangan kesemua faktor ini, serta pengelakan daripada tindak balas yang keterlaluan semasa menangani kelemahan dan lebihan yang terkumpul sejak sekian lama.
Juga penting untuk difahami ialah pasaran hanya dapat berfungsi dengan cekap sekiranya infrastruktur keinstitusian dan pasaran dibangunkan dengan baik. Struktur insentif, peraturan urus niaga, ketelusan dan tahap celik kewangan juga perlu diwujudkan. Sekiranya kesemua elemen ini belum dapat dibangunkan dengan sebaiknya, seperti di ekonomi sedang pesat membangun, risiko kepada kestabilan ekonomi akan meningkat. Walau bagaimanapun, bagi sistem kewangan yang maju, jika struktur dan peraturan keinstitusian sudah tidak memadai dan kurang relevan, sistem tersebut perlu diubah. Pada dasarnya, persekitaran telah menjadi amat dinamik lantas memerlukan perumusan semula kawal selia secara berterusan.
Kini saya akan menerangkan pula tentang pendekatan yang digunakan oleh Bank Negara Malaysia. Perkembangan global baru-baru ini pada dasarnya tidak akan mengubah tonggak utama pendekatan kami terhadap pengawalseliaan institusi kewangan di negara ini. Kami akan terus menerapkan pendekatan yang menitikberatkan keseimbangan antara pengawalan berasaskan peraturan dan berasaskan prinsip. Pendekatan berasaskan prinsip lebih berkemungkinan menghasilkan pasaran yang lebih cekap, penjajaran risiko yang lebih baik dan tingkah laku sosial yang lebih bertanggungjawab. Selain pendekatan tersebut, pendekatan berasaskan risiko juga akan terus digunakan memandangkan tadbir urus yang lebih mantap dan pengurusan risiko yang lebih ketat dikehendaki bagi institusi kewangan yang lebih besar dan kompleks. ?Dan sekiranya keperluan ini gagal dipenuhi, Bank akan mengambil langkah-langkah penyeliaan. Bank akan terus bertindak terlebih dahulu untuk menangani risiko pada peringkat institusi dan sistem. Pertimbangan akan dibuat berdasarkan pelbagai rangkaian maklumat yang ada berhubung dengan kemungkinan meningkatnya ?risiko.
Rangka kerja pengawalseliaan yang diterima pakai akan terus konsisten dan sejajar dengan piawaian antarabangsa bagi memelihara kestabilan sistem kewangan. Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia akan melaksanakan perubahan seperti saranan Jawatankuasa Basel untuk memperluas rangkuman risiko Basel II bagi buku perdagangan, pengsekuritian dan pendedahan risiko kredit pihak lain yang berkenaan. Kami juga akan mempertimbangkan secara positif perkembangan yang berlaku dalam Persatuan Penyelia Insurans Antarabangsa untuk mencapai piawaian modal yang konsisten dengan piawaian antarabangsa bagi syarikat insurans. Beberapa perubahan akan diperkenalkan untuk memperbaik rangka kerja mudah tunai dan meningkatkan kualiti modal dengan tumpuan khusus kepada ekuiti sebagai bentuk modal utama. Kami juga menyokong inisiatif global yang bertujuan untuk mengurangkan kompleksiti produk, menambah ketelusan dan memperbaik struktur insentif.
Pertimbangan antarabangsa kini banyak menekankan dimensi kehematan makro pengawalseliaan, dan ini akan menimbulkan implikasi ketara terhadap persekitaran pengawalseliaan domestik. Pengajaran utama yang dapat diambil daripada krisis yang berlaku ialah penyeliaan yang tertumpu pada institusi individu adalah tidak mencukupi. Malah sebelum meningkatnya ketidakseimbangan kewangan dan meletusnya krisis, penentuan harga risiko yang tidak setimpal dan hutang yang bertambah dalam sistem kewangan telah dikenal pasti sebagai sumber potensi ketidakstabilan. Amaran yang dikeluarkan oleh bank pusat dan institusi antarabangsa sebahagian besarnya tidak diendahkan dan gagal menggerakkan tindak balas yang sesuai sama ada oleh peserta pasaran mahu pun oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyelia institusi kewangan individu atau segmen pasaran tertentu.
Kesemua ini telah menyebabkan timbulnya saranan untuk mengawal lebihan pasaran melalui langkah kitaran berbalas atau kehematan makro seperti menambah penampan modal sewaktu keadaan ekonomi menggalakkan, dan ia kemudiannya boleh digunakan dalam keadaan tertekan. Selain itu, pelaksanaan nisbah hutang untuk memperlengkap keperluan modal berasaskan risiko dan piawaian peruntukan purata sepanjang kitaran ('through-the-cycle') juga dicadangkan. Saranan juga dibuat agar institusi yang penting dari segi sistemik dikehendaki mematuhi piawaian pengawalseliaan yang lebih ketat setara dengan risiko yang boleh ditimbulkan oleh institusi sedemikian dalam sistem, dan bukan sekadar mengambil kira profil risiko keinstitusian mereka. Reaksi antarabangsa terhadap langkah ini adalah bercampur-campur, terutamanya kerana langkah ini amat sukar ditentukur dalam cara yang tidak akan terlalu menyekat potensi keluaran semasa keadaan ekonomi menggalakkan sambil mengelakkan peningkatan ketara dalam tuntutan tambahan modal serta krisis keyakinan semasa keadaan adalah sukar. Kami akan menilai dengan teliti butiran terperinci langkah ini apabila ia dikeluarkan dan akan mengambil kira rejim pengawalseliaan di Malaysia.
Bank Negara Malaysia setakat ini telah pun melaksanakan rangka kerja penyeliaan terhadap institusi individu berserta penilaian kehematan makro. Risiko yang dikenal pasti pada peringkat makro memberikan input penting kepada penilaian penyeliaan institusi individu, manakala kelakuan kolektif institusi individu pula memberi maklumat mengenai risiko yang semakin bertambah dalam sistem. Institusi kewangan pastinya telah mengetahui mengenai perkara ini melalui Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran Bank Negara Malaysia dan parameter ujian tekanan.
Keupayaan Bank untuk melaksanakan pengawasan dan mengambil tindakan lebih awal untuk mengelakkan risiko kepada kestabilan kewangan akan turut dipertingkatkan apabila Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang baharu dikuatkuasakan pada 25 November 2009. Ini termasuk mandat Bank yang lebih luas untuk melaksanakan pengawasan dan mengambil tindakan segera terhadap institusi kewangan termasuk institusi yang bukan di bawah kawal seliaannya tetapi penting dari segi sistemik. Sambil kami memperhalus pendekatan yang diambil dan meningkatkan kefahaman mengenai kelakuan pasaran, institusi kewangan juga perlu menyepadukan penilaian mereka mengenai risiko keinstitusian dengan perkembangan makroekonomi.
Reformasi antarabangsa turut memberi tumpuan kepada penyampaian hasil yang saksama buat pengguna. Dalam hal ini, Bank akan terus memastikan supaya inovasi kewangan dicipta untuk memenuhi keperluan sebenar pengguna dan perniagaan, dan tidak mendedahkan sistem kepada risiko yang berlebihan. Usaha akan terus digembleng untuk memperkukuh saluran penyelesaian bagi pengguna melalui penubuhan ombudsman kewangan dan peningkatan ketelusan produk, terutamanya dalam bidang penentuan harga, komisen, fi dan caj agar pengguna boleh membuat keputusan yang bijak berdasarkan maklumat yang mencukupi. Jadual bagi pelaksanaan beberapa daripada langkah ini telah diumumkan. Reformasi ini akan diperteguh oleh rangka kerja perlindungan pengguna sedia ada yang lebih kukuh untuk menangani amalan salah jual ('mis-selling') dan memudahkan penguatkuasaan peraturan urusan perniagaan yang lebih berkesan.
Memperkukuh infrastruktur dalam negeri bagi kestabilan kewangan
Reformasi perundangan merupakan komponen penting dalam usaha untuk memperkukuh infrastruktur dalam negeri bagi kestabilan kewangan. Bank kini sedang dalam proses merangka perundangan baharu yang bakal menggabungkan perundangan sedia ada bagi institusi dan pengantara kewangan di Malaysia yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia. Peruntukan undang-undang perbankan, insurans dan takaful semasa akan dikemaskinikan untuk menyokong pengawalseliaan yang lebih berdasarkan risiko. Langkah ini turut memperkukuh penekanan terhadap keberkesanan pengawasan oleh lembaga pengarah dan membolehkan Bank mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang lebih awal. Ini termasuk pengenalan skop rangka kerja penguatkuasaan yang lebih meluas dan fleksibel, dengan mengambil kira penalti sivil dan pentadbiran untuk pelbagai jenis kesalahan yang berbeza. Cadangan perubahan perundangan juga termasuk pengenalan sistem pampasan insurans yang lebih komprehensif bagi melindungi pemegang polisi. Draf perundangan ini dijangka siap pada tahun 2010. ?
Liberalisasi sektor kewangan secara progresif
Tahun ini genap sembilan tahun pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (Pelan). Susulan pelancaran Pelan ini pada tahun 2001, lebih daripada 90% saranan yang terkandung di dalamnya berjaya dilaksanakan. Secara kolektif, kesemua langkah ini telah menyumbang kepada pembangunan sektor kewangan yang lebih cekap, berkesan, stabil dan berdaya tahan seperti yang digariskan dalam Pelan ini. Ini jelas daripada transformasi sistem kewangan yang ketara. Sistem kewangan kini lebih pelbagai dengan pasaran kewangan yang dimajukan dengan baik dan penawaran produk yang meluas, yang lebih kompetitif ?dengan adanya peserta tempatan serantau, lebih inklusif dengan tahap penembusan perbankan dan insurans yang lebih tinggi, serta penunjuk kedudukan kewangan yang lebih kukuh hasil sokongan amalan, piawaian, tadbir urus dan pengurusan risiko yang lebih kukuh oleh institusi kewangan.
Pembangunan kewangan Islam juga telah mencapai kemajuan yang nyata di dalam dan luar negara melalui peranan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa. Infrastruktur pembayaran yang ditambah baik turut menyokong peningkatan dalam penggunaan saluran e-pembayaran. Dengan wujudnya pelbagai infrastruktur ini, sistem kewangan juga dinyahkawal selia dan diliberalisasikan secara beransur-ansur. Liberalisasi yang dilaksanakan baru-baru ini telah membuka peluang penyertaan asing yang lebih besar dalam pasaran kewangan domestik. Dengan kehadiran pelabur asing yang bertambah, kesalinghubungan kewangan dan ekonomi antarabangsa Malaysia dijangka boleh dipertingkatkan lagi.
Sedang kami melangkah ke fasa akhir Pelan, kami yakin akan kekukuhan dan ketahanan sektor kewangan domestik untuk berhadapan dengan persaingan yang lebih sengit dan meraih manfaat daripada langkah liberalisasi yang diumumkan baru-baru ini. Kami telah melihat minat yang tinggi terhadap lesen baharu daripada para pelabur dari Asia, Timur Tengah, Eropah dan United Kingdom yang juga akan membawa bersama-sama mereka tawaran nilai yang tinggi dan sudah pasti akan memperluas dan memperdalam sektor kewangan di Malaysia.
Persaingan dalam sektor insurans dijangka lebih sengit ekoran penyahkawalseliaan kadar produk secara progresif. Reformasi yang sedang dijalankan dalam sektor insurans motor akan membawa kepada arus perubahan yang meluas dalam segmen utama industri, dengan implikasi ketara terhadap strategi perniagaan syarikat insurans dan pendekatan dalam pengurusan risiko. Dengan pengenalan skim baharu perlindungan insurans motor asas, penentuan harga bagi insurans motor bukan berkanun akan diliberalisasikan secara beransur-ansur lantas menghapuskan herotan harga dan akan membolehkan kadar diselaraskan mengikut faktor risiko dasar. Ini turut diiringi oleh kajian semula secara holistik amalan insurans motor dan infrastruktur yang menyokongnya bagi membolehkan penajajaminan yang lebih saintifik dan pengurusan tuntutan yang lebih saksama. Kumpulan industri telah dibentuk untuk mengkaji isu-isu ini dan membuat cadangan bagi peralihan yang lancar kepada persekitaran baharu dan lebih kompetitif sambil pada masa yang sama memperbaiki amalan dalam seluruh rantaian nilai sektor insurans motor. Kumpulan industri tersebut telah menunjukkan kemajuan yang menggalakkan dan cadangan dijangka dapat dimuktamadkan untuk pelaksanaan pada separuh kedua tahun 2010.
Rangka tindakan baharu bagi sektor kewangan
Di sebalik krisis kewangan dan pemulihan ekonomi antarabangsa, perubahan global sedang berlaku lantas menjadikan dunia kian pelbagai polarnya. Dalam fasa baharu globalisasi ini, tumpuan pengaruh kuasa ekonomi global semakin tersebar. Rantau Asia bakal mewarnai sebahagian besar daripada masa hadapan baharu ini. ?Dengan rantau Asia bakal menjadi pusat pertumbuhan yang semakin penting dalam ekonomi dunia, tiga trend utama dijangka semakin ketara. Pertama, peningkatan permintaan dalam negeri yang disokong oleh pertambahan pesat penduduk berpendapatan sederhana dan golongan ?muda di rantau ini, akan memainkan peranan lebih besar dalam memacu pertumbuhan ekonomi di Asia. Ini akan meyumbang kepada pertumbuhan dalam dan luar negara yang lebih seimbang. Kedua, pasaran luar akan menjadi lebih pelbagai dalam masa yang singkat lantas memperkuat kesalinghubungan ekonomi dengan ekonomi sedang pesat membangun lain di dunia. Sebahagian daripada trend ini ialah pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang 2015 dalam mana ASEAN akan berubah menjadi sebuah pasaran tunggal dengan aliran barangan dan perkhidmatan secara bebas. Ini termasuk pemansuhan sekatan aliran modal di rantau ini. Ketiga, integrasi kewangan yang lebih meluas dalam rantau Asia akan menyebabkan lebih banyak simpanan di Asia dilaburkan ?semula di rantau ini.
Corak perbelanjaan baharu yang seiring dengan peningkatan pendapatan di rantau ini akan memacu pemodenan sektor runcit di seluruh rantau ini. Perkhidmatan kewangan kepada sektor isi rumah akan menjadi lebih penting dalam persekitaran baharu ini. Reformasi terhadap sistem pencen dan faedah persaraan merupakan faktor utama dalam menyediakan jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif, lantas mengurangkan keperluan untuk menambah simpanan untuk masa susah, tetapi sebaliknya menggalakkan penggunaan. Di samping itu, sektor perdagangan Asia yang besar dan keperluan terhadap pelaburan modal yang banyak untuk beralih kepada aktiviti nilai ditambah lebih tinggi juga akan menyediakan pasaran yang lebih luas bagi perkhidmatan kewangan. Sistem kewangan serantau yang lebih bersepadu akan menyediakan lebih banyak pilihan pembiayaan dan pelaburan bagi syarikat dan pelabur dalam pasaran kewangan serantau. Kesemua trend ini turut disokong oleh hubungan dalam sistem pembayaran yang telah dipertingkatkan untuk memudahkan pengantaraan dana di rantau ini.
Transformasi ekonomi di Malaysia bakal mendorong kita ke tahap pembangunan seterusnya. Selama hampir tiga dekad Malaysia menjadi negara berpendapatan sederhana hasil daripada manfaat pengindustrian yang pesat serta integrasi dengan ekonomi global. Apabila kita ke tahap pembangunan ekonomi seterusnya, ekonomi domestik akan berubah kepada struktur produktif yang lebih berpacu inovasi dan berintensif pengetahuan, dengan sektor perkhidmatan memainkan peranan yang lebih besar dalam ekonomi. Dalam dekad selanjutnya, sektor perkhidmatan dijangka mencakupi dua pertiga daripada ekonomi, dengan pertumbuhan tertumpu pada aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi.
Bagi menyokong dan memacu transformasi ini, rangka tindakan baharu bagi sektor perkhidmatan kewangan sedang digubal oleh Bank Negara Malaysia. Rangka tindakan ini akan menentukan hala tuju fasa seterusnya dalam evolusi sektor kewangan bagi menjadikan sektor ini termasuk kewangan Islam, bukan sahaja sebagai pemangkin proses transformasi bahkan supaya ia cukup fleksibel untuk memberikan respons kepada trend utama yang sedang muncul. Pada dasarnya, kita perlukan sistem kewangan yang memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat dalam persekitaran baharu ini.
Sambil industri perkhidmatan kewangan global mengorak langkah untuk mendapatkan kembali kepercayaan dan keyakinan, titik permulaan di Asia adalah untuk terus memperkuat asas ekonominya yang kukuh yang terbina dalam dekad selepas tercetusnya krisis kewangan Asia. Hasilnya, rantau Asia kini meraih manfaat daripada reformasi kewangan, pembangunan keinstitusian dan pengukuhan infrastruktur kewangannya. Meskipun pasaran kewangan semakin mudah naik turun, pengantaraan kewangan bagaimanapun tidak terganggu.
Meskipun kita bermula daripada kedudukan yang teguh, masih banyak lagi yang perlu dipelajari daripada krisis semasa. Pengajaran daripada krisis ini tidak seharusnya disia-siakan. Krisis ini membuka peluang buat Malaysia dan pasaran sedang pesat membangun lain untuk menentukan laluan pembangunan sektor kewangan yang akan datang agar laluan tersebut lebih teguh dan mapan, yang seterusnya boleh mengelakkan daripada terjerat oleh kelakuan tamak dan semberono yang banyak menghalang kemajuan sektor kewangan di negara maju. Rugilah sekiranya kita tidak mengambil pengajaran ini dan menggunakan peluang yang ada untuk maju ke hadapan dengan asas yang lebih kukuh yang sedia terbina.
Di sebalik perkembangan ini dan dalam kita melangkah ke hadapan, trend ke arah liberalisasi akan terus berlaku seiring dengan integrasi kewangan di rantau ini yang ?semakin meningkat. Ini juga bermakna bahawa penyertaan asing akan bertambah dari segi bilangan institusi baharu, hubungan strategik dan penyertaan lebih aktif dalam pasaran kewangan kita. Usaha untuk memajukan pasaran pertukaran asing kita juga akan terus diperhebat. Hubungan kewangan kita perlu melangkaui rantau ini untuk memudahkan hubungan ekonomi dengan ekonomi sedang pesat membangun lain.
Dari segi domestik pula, perkhidmatan kewangan kepada PKS perlu berubah daripada perniagaan berasaskan urus niaga dan pinjaman, kepada perniagaan yang berasaskan perkhidmatan sepenuhnya dan perhubungan pelanggan. Sektor isi rumah yang sememangnya merupakan segmen utama yang banyak menerima perkhidmatan daripada industri kewangan, akan melalui transformasi selanjutnya sejajar dengan evolusi berterusan dalam pengedaran melalui pelbagai saluran, dengan saluran dalam talian makin mendapat tempat dan pelanggan pula kian menghendaki ketelusan produk dan tahap perkhidmatan keseluruhan yang lebih tinggi. Kami menjangkakan orientasi semula proses dan insentif yang lebih menitikberatkan nilai berbanding jumlah akan berlaku. Selain itu, pembezaan seterusnya dalam pengurusan perhubungan pelanggan dan tumpuan lebih besar terhadap transformasi yang berpacu teknologi agar lebih sejajar dengan strategi perniagaan juga akan menjadi lebih ketara. Antara hasil daripada kesemua strategi ini ialah peralihan pantas dalam penawaran produk yang mempunyai penyelesaian kewangan secara hujung-ke-hujung yang lebih komprehensif serta perubahan seterusnya dalam peranan tradisional cawangan dan pengantara fizikal. Ini ditambah pula oleh peningkatan penggunaan saluran langsung dan hubungan strategik yang lebih berkesan bagi memperluas jangkauan produk dan perkhidmatan kewangan. Dalam bidang e-pembayaran, ekosistem mudah alih dijangka diwujudkan untuk menyediakan platform terbuka dan saling boleh kendali bagi semua institusi kewangan, pengendali rangkaian mudah alih dan penyedia perkhidmatan untuk menawarkan perkhidmatan pembayaran mudah alih yang benar-benar automatik dan berkesan kos.
Dalam kita melangkah ke hadapan dalam sistem kewangan baharu ini, peranan lembaga pengarah institusi kewangan menjadi amat penting dalam menentukan tahap kesanggupan institusi untuk mengambil risiko, dalam memastikan strategi yang digunakan adalah konsisten dengan kesanggupan tersebut, dan dalam mengawasi sistem pengurusan risiko. Kelemahan dalam cara lembaga pengarah memainkan peranan mereka dalam beberapa institusi kewangan antarabangsa merupakan penyumbang utama kepada krisis kewangan global. Lembaga pengarah perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tadbir urus risiko yang berkesan, meningkatkan keupayaan mereka untuk berbuat demikian dan memastikan proses, sistem dan struktur yang sewajarnya terus diperkukuh bagi membolehkan pemantauan ?dan pengawalan risiko yang berkesan.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kita harus bersedia untuk menghadapi masa hadapan yang boleh memberikan banyak kemakmuran. Potensi kita untuk berbuat demikian sememangnya tidak terbatas. Pihak berkuasa mempunyai azam yang kuat untuk menyediakan persekitaran yang diperlukan supaya wawasan ini dapat menjadi kenyataan. Institusi kewangan perlu membuat keputusan berhubung dengan strategi dan model perniagaan masing-masing supaya bukan sahaja prestasi boleh dipertingkatkan bahkan mereka juga boleh bertahan dalam persekitaran yang semakin mencabar. Keperluan masa kini adalah terhadap perkhidmatan bertaraf dunia dan nilai ditambah sebenar kepada ekonomi. Peranan bank pusat sebagai pihak berkuasa penyeliaan adalah untuk menganjak sempadan infrastruktur kewangan bersama-sama dengan kesalinghubungan antarabangsanya, serta menyedari sepenuhnya tanggungjawabnya untuk memastikan kestabilan kewangan secara keseluruhannya terus terpelihara.
Saya berharap agar perbincangan yang produktif berhubung isu-isu utama yang dihadapi oleh sektor kewangan dapat diadakan dalam persidangan dua hari ini.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.