Ucaptama oleh Gabenor di Persidangan Perbankan ASEAN ke-19, 2012 - "ASEAN: Ke arah pasaran yang lebih bersepadu"

Kuala Lumpur | 7 November 2012

Ketika kita memasuki fasa globalisasi yang baharu, peranan Asia dalam ekonomi dunia dari segi kepentingan dan pengaruhnya kini sedang melalui perubahan yang ketara. Ekonomi ASEAN merupakan sebahagian besar daripada proses ini. Trend ini menjadi lebih nyata berikutan krisis kewangan global. Setelah lima tahun krisis ini berlaku, ekonomi dunia terus menghadapi cabaran untuk mengekalkan pemulihan yang berterusan. Penstrukturan semula dan pembaharuan sektor kewangan, serta pelarasan struktur yang sedang dilaksanakan oleh ekonomi yang terjejas akibat krisis ini, bukan sahaja akan mengambil masa untuk membuahkan hasil, malahan usaha ini juga akan melibatkan kos kepada ekonomi pada jangka masa pendek.

Meskipun pasaran sedang pesat membangun seperti yang terdapat di rantau ASEAN tidak terlindung daripada perkembangan ini, rantau ini telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa dalam tempoh ini. Rantau ASEAN telah mendapat manfaat daripada penstrukturan semula dan pembaharuan kewangan selama satu dekad ekoran krisis kewangan Asia. Selain itu, pelarasan struktur yang dilaksanakan dalam tempoh ini yang telah menghasilkan ekonomi yang lebih pelbagai, dengan sumber domestik menjadi semakin penting dalam mengekalkan prestasi pertumbuhan. Prospek pertumbuhan yang lebih menggalakkan di rantau ini juga disokong oleh asas-asas yang secara relatif mantap, termasuk kedudukan luaran dan fiskal yang kukuh, keadaan makroekonomi yang stabil, kadar pengangguran yang rendah dan sistem kewangan yang berdaya tahan. Keadaan ini juga membolehkan rantau ini menguruskan aliran modal yang besar dan tidak menentu seperti yang dihadapi ketika ini dengan lebih baik, lantas mengurangkan kesan ketidakstabilan kepada aktiviti ekonomi. Asas-asas yang kukuh ini membantu ekonomi ASEAN menghadapi perkembangan luaran yang mencabar serta meletakkan rantau ini pada kedudukan yang baik untuk merealisasikan sepenuhnya potensi ASEAN sebagai pusat pertumbuhan yang dinamik.

Saya amat berbesar hati kerana dapat hadir untuk berucap pada Persidangan Perbankan ASEAN yang ke-19 ini, yang dianjurkan oleh Persatuan Bank-Bank Malaysia (Association of Banks in Malaysia, ABM) di Kuala Lumpur pada tahun ini. Persidangan ini berlangsung pada masa yang penting bagi rantau ASEAN memandangkan rancangan yang mantap sedang dilaksanakan untuk mewujudkan Komuniti Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Community, AEC) menjelang tahun 2015. Rangka tindakan AEC yang diterima pakai oleh pemimpin ASEAN pada tahun 2007 menjangkakan ASEAN menjadi pasaran dan pusat pengeluaran tunggal yang bercirikan pergerakan tanpa had barangan, perkhidmatan, pelaburan dan tenaga kerja mahir, serta aliran modal yang lebih bebas. Meskipun dilanda krisis kewangan global baru-baru ini, usaha untuk merealisasikan wawasan ini kekal teguh dan disokong dengan baik oleh asas-asas kukuh yang sedia ada serta prospek pertumbuhan yang amat besar bagi ASEAN pada jangka masa sederhana sehingga jangka masa yang lebih panjang. Ucapan saya pada hari ini akan memberikan tumpuan kepada elemen prospek bagi ekonomi ASEAN, serta tahap integrasi kewangan ASEAN dan kepentingannya dalam meningkatkan potensi pertumbuhan serantau. Ucapan saya akan disudahi dengan beberapa pandangan mengenai prasyarat penting bagi sektor perbankan melangkah ke masa hadapan.

Prospek bagi Ekonomi ASEAN
Pada masa ini, ASEAN merupakan salah satu daripada rantau yang paling dinamik dan paling pesat membangun dalam ekonomi dunia. KDNK rantau ASEAN dijangka meningkat tiga kali ganda kepada USD3 trilion menjelang tahun 2017 berbanding dengan dekad sebelumnya. Pengembangan ekonomi dijangka mampan pada kadar 5.8% pada lima tahun akan datang, jauh melebihi pertumbuhan global. Seiring dengan ini ialah peningkatan ketara penduduk kelas pertengahan. Bank Pembangunan Asia menganggarkan bahawa bahagian penduduk kelas pertengahan ASEAN dijangka meningkat kepada 65% menjelang tahun 2030, dan seterusnya menyumbang kepada perubahan landskap pengguna global. Bilangan penduduk yang besar, iaitu sebanyak 600 juta orang, menekankan peranan ASEAN yang semakin berkembang sebagai pusat pasaran pengguna yang penting yang mempunyai keperluan yang berbeza dan kuasa beli yang meningkat. Memandangkan bahagian penduduk yang bekerja di ASEAN dianggarkan mencecah 58% menjelang tahun 2050, kelebihan demografi (demographic dividend) dan tenaga kerjanya yang besar akan memberi manfaat kepada ASEAN.

Seiring dengan trend ini ialah peningkatan keusahawanan di rantau ASEAN. Kemunculan perniagaan tempatan yang berpotensi menjadi syarikat tempatan dan syarikat multinasional yang besar telah mendapat perhatian dan keutamaan yang harus diberikan bagi menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Pada masa ini, PKS mencakupi 50% - 85% pekerjaan dalam negeri ekonomi ASEAN dan 30% - 50% daripada KDNK. Memandangkan sumbangan kepada pendapatan dan pekerjaan yang dijana oleh sektor ini besar, pembangunannya akan menjadi sangat penting untuk mewujudkan pekerjaan dan pertumbuhan jangka panjang yang mampan dalam ekonomi ASEAN. Dalam sektor korporat, syarikat dan perniagaan tempatan telah berjaya memperkukuh kehadiran mereka di rantau ini, seperti yang terbukti oleh penyertaan serantau mereka yang berkembang dan aktiviti pemerolehan merentas sempadan yang bertambah daripada USD10.9 bilion pada separuh pertama tahun 2011 kepada USD26.2 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2012. Aktiviti ekonomi yang memberangsangkan ini disokong dengan baik oleh akses kepada pembiayaan yang berterusan untuk perniagaan di rantau ini serta institusi kewangan yang berpusat di ASEAN yang berdaya tahan dan kukuh.

Akhir sekali, ASEAN juga menjadi destinasi pelaburan langsung asing yang menarik bukan sahaja disebabkan oleh persekitaran makroekonominya yang stabil tetapi juga disebabkan oleh saiz pasarannya serta sumber aslinya yang sangat banyak. Kedudukan ASEAN yang berhampiran dengan pasaran utama seperti China dan India mengukuhkan lagi statusnya sebagai peserta rantaian nilai global yang penting serta pusat pengeluaran pilihan bagi banyak syarikat multinasional. Pada tahun 2010, pelaburan langsung asing yang memasuki rantau ini mencatat pertumbuhan yang mengagumkan sebanyak lebih daripada 100% berbanding dengan tahun sebelumnya. Hubungan yang kukuh antara negara ASEAN juga disokong oleh perdagangan intrarantau yang terus meningkat, yang kini mencakupi 25% daripada jumlah perdagangan ASEAN. Melangkah ke hadapan, trend ini dijangka berterusan. Pasaran pengguna yang semakin besar dan pengembangan rangkaian pengeluaran di Asia akan terus menjadi pemacu utama dalam menggalakkan peningkatan perdagangan intrarantau ini. Selain itu, langkah yang diambil untuk merangsang pelaburan serta pembangunan infrastruktur akan mengukuhkan lagi trend ini.

Integrasi serantau: model ASEAN
Kita kini hampir pada masa yang sangat memberangsangkan bagi ASEAN memandangkan wawasan komuniti ekonomi ASEAN pada tahun 2015 semakin menjadi kenyataan. Jika wawasan AEC merupakan aspirasi ketika mula-mula dirumuskan, wawasan tersebut kini ternyata sangat penting. Hal ini telah mendorong usaha semakin giat bagi merealisasikan komuniti ekonomi ASEAN yang bersepadu, terutamanya melalui pencapaian integrasi kewangan yang lebih kukuh, tahap perdagangan intrarantau yang lebih tinggi dan aliran pelaburan rentas sempadan dua hala yang lebih besar. Seperti kebanyakan blok serantau lain, proses integrasi ASEAN berusaha menggalakkan kesalinghubungan yang lebih erat, yang seterusnya akan mengembangkan dan mengukuhkan potensi pertumbuhan rantau ASEAN. Walau bagaimanapun, proses integrasi rantau ini telah mengikut haluannya sendiri. Memandangkan ekonomi di dalam ASEAN bersifat pelbagai, model integrasi yang diterapkan untuk ASEAN memberikan tumpuan kepada (i) mengukuhkan prasyarat menerusi bina upaya secara kolektif bagi menggalakkan akses pasaran yang lebih terbuka dalam kalangan ekonomi di ASEAN; (ii) mengurangkan halangan secara berperingkat-peringkat bagi memudahkan perdagangan rentas sempadan; (iii) membangunkan infrastruktur pasaran dan persekitaran yang menyokong bagi menggalakkan pengantaraan aliran kewangan rentas sempadan yang cekap dan berkesan; dan (iv) mewujudkan perlindungan yang sewajarnya bagi kestabilan sistem kewangan. 

Integrasi kewangan yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat menerusi model ASEAN ini merupakan strategi yang telah memberi manfaat kepada rantau ini dan membolehkan integrasi yang lebih teguh berdasarkan ketersediaan dan kekukuhan sektor kewangan. Sejak tahun 2007, ASEAN telah mencapai kemajuan yang pesat dalam usahanya untuk memperkukuh integrasi kewangan. ASEAN telah meliberalkan secara beransur-ansur dan berturutan subsektor perkhidmatan kewangan yang telah dikenal pasti  menerusi Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan (ASEAN Framework Agreement on Services, AFAS). Lima pusingan rundingan telah selesai, dan rundingan pusingan keenam dijangka selesai menjelang tahun hadapan. Bagi bidang pasaran kewangan, Pelan bagi Pasaran Modal Bersepadu (Plan for an Integrated Capital Market) telah dirumuskan untuk meningkatkan akses pasaran, hubungan dan mudah tunai. ASEAN juga telah mencapai kemajuan yang ketara dalam bidang pembiayaan sokongan untuk pembangunan infrastruktur, dengan penubuhan Dana Infrastruktur ASEAN (ASEAN Infrastructure Fund) pada tahun 2011.

Namun demikian, pemacu utama bagi integrasi kewangan yang lebih besar dalam teras sistem kewangan ASEAN ialah sektor perbankan. Bank-bank ASEAN mempunyai peranan penting dalam menyokong proses integrasi kewangan. Sepanjang dekad yang lalu, kita telah menyaksikan institusi kewangan ASEAN menjadi semakin penting di rantau ini, didorong oleh asas perniagaan yang meningkat di rantau ini serta keupayaan institusi kewangan yang diperkukuh. Bank perdagangan ASEAN merupakan penggembleng utama dana kewangan, dan pengalaman menunjukkan bahawa sektor perbankan merupakan komponen yang paling matang dalam sektor kewangan bagi kebanyakan negara. Oleh itu, sektor perbankan berperanan sebagai saluran penting untuk meningkatkan hubungan antara semua negara ASEAN dan merangsang integrasi kewangan.

Bagi tujuan ini, bank-bank pusat di ASEAN telah mengesahkan Rangka Kerja Integrasi Kewangan ASEAN pada tahun 2011 dan kini dalam peringkat akhir untuk melancarkan rangka kerja bagi integrasi sektor perbankan. Ini akan membuka jalan bagi penyertaan yang lebih bermakna oleh bank ASEAN yang layak di rantau ini, sambil menggalakkan kestabilan kewangan serantau. Menyedari akan kepelbagaian ekonomi ASEAN dan peringkat pembangunan sektor kewangan yang berbeza, rangka kerja ini memberikan fleksibiliti kepada negara ASEAN untuk menyertai proses integrasi berdasarkan ketersediaan dan kesanggupan mereka. Di bawah rangka kerja ini, bank ASEAN yang layak dan yang mempunyai keupayaan serta diurus dengan baik akan berperanan sebagai pemimpin serantau, dan akan diberikan akses yang lebih fleksibel dalam pasaran serantau. Lebih fleksibiliti juga akan diberikan bagi memudahkan rancangan pengembangan serantau bank-bank ASEAN berkelayakan untuk menjadi saluran pengantaraan kewangan yang penting di rantau ini. Peluang yang besar boleh diraih daripada rangka kerja baharu ini. Oleh itu, saya mengalu-alukan dan berharap penyertaan yang lebih besar oleh institusi kewangan daripada semua negara ASEAN dalam proses ini.

Prasyarat penting untuk sektor perbankan melangkah ke hadapan
Di sini, izinkan saya beralih kepada prasyarat penting untuk sektor perbankan melangkah ke hadapan. Komuniti antarabangsa sedang membuat pertimbangan semula dasar-dasar  sistem perbankan akibat krisis global baru-baru ini. Hal ini mendorong dan membentuk pelbagai pembaharuan pada peringkat global. Saya ingin menyentuh dengan ringkas empat perkembangan yang boleh dijadikan asas perbankan mampan dalam tempoh jangka sederhana dan jangka lebih panjang. Pertama, mengurangkan tahap kompleksiti dan meningkatkan ketelusan sektor perbankan. Selaras dengan model perbankan yang lebih tradisional di rantau ini, kini terdapat keperluan untuk kembali kepada perbankan asas yang diasingkan dengan jelas daripada aktiviti pengambilan risiko yang lebih tinggi. Usaha ini merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih meluas untuk mewujudkan sistem kewangan global yang lebih selamat yang mempunyai pasaran dan institusi yang lebih telus, kurang kompleks dan hutang yang kurang berbanding dengan keadaan pada hari ini.

Meskipun sektor perbankan di ASEAN belum mencapai tahap kompleksiti seperti yang diperhatikan dalam ekonomi maju, namun rantau ini perlu berhati-hati terhadap akibatnya  apabila institusi kewangan menjadi semakin berorientasikan serantau. Pertumbuhan yang sedemikian perlu setara dengan keupayaan dan kebolehan institusi kewangan dan pengawal selia untuk mengurus dan menyelia risiko yang berkaitan. Keamatan dan keberkesanan penyeliaan yang diperkukuh, iaitu komponen teras dalam pembaharuan sektor kewangan, merupakan tonggak penting dalam mengawal inovasi dan pengambilan risiko yang tidak terkawal serta menggalakkan insentif yang kukuh bagi pengurusan risiko secara berhemat. ASEAN perlu mencari hasil yang memudahkan inovasi dan kecekapan, tanpa mengakibatkan risiko yang tidak wajar dan kos yang tidak diingini kepada sistem kewangan dan ekonomi keseluruhan.

Kedua, lebih tumpuan diberikan kepada amalan perniagaan kewangan yang lebih bertanggungjawab dan mampan. Susulan krisis kewangan global yang berlaku baru-baru ini, terdapat penekanan yang lebih kuat pada peringkat antarabangsa terhadap mekanisme terlaras risiko yang sesuai, terutamanya rangka kerja pembayaran ganti rugi, yang memberikan insentif untuk inovasi kewangan dan pertumbuhan, dan pada masa yang sama, tidak menjejaskan kestabilan kewangan. Ini termasuk tekanan yang bertambah terhadap institusi kewangan dan pengawal selia supaya mempunyai sistem insentif, tadbir urus, akauntabiliti dan kawalan untuk menangani isu memberi penekanan yang berlebih-lebihan  pada prestasi jangka pendek, pengambilan risiko secara sewenang-wenangnya, serta percanggahan kepentingan yang berleluasa. Selaras dengan ini, lebih tumpuan diberikan untuk mendorong aktivisme pengguna sebagai cara untuk menggalakkan amalan perniagaan yang lebih bertanggungjawab dan mampan. Dalam bidang inilah institusi kewangan boleh memainkan peranan penting bagi mewujudkan amalan dan tingkah laku positif dalam kalangan peserta kewangan dalam industri, selain menyumbang ke arah meningkatkan tahap pendidikan kewangan dan kesedaran pengguna.

Ketiga, ialah meningkatkan keberkesanan dan akauntabiliti lembaga pengarah, serta tadbir urus institusi kewangan yang kukuh. Susulan krisis kewangan global, amalan tadbir urus korporat dalam industri kewangan telah diteliti dengan rapi. Penekanan yang lebih tinggi diberikan kepada pihak pengurusan, lembaga pengarah institusi kewangan dan pengawal selia untuk menambah baik amalan tadbir urus dengan nyata, terutamanya dalam bidang dasar dan prosedur pengurusan risiko. Pada peringkat antarabangsa, penambahbaikan yang besar telah dibuat terhadap standard tadbir urus korporat. Oleh itu, pengembangan bank ASEAN yang semakin meluas di rantau ini perlu diiringi dengan penekanan yang lebih oleh lembaga pengarah dan pengurusan kanan institusi kewangan untuk memimpin dan mengawasi risiko di seluruh kumpulan yang timbul daripada operasi rentas sempadan. Kepelbagaian latar belakang lembaga pengarah yang berupaya memahami perbezaan budaya serta dinamik daya saingan dalam pasaran yang berbeza adalah penting bagi menyokong operasi rentas sempadan institusi yang mampan.

Keempat ialah mengukuhkan penampan untuk menghadapi kejutan pada masa hadapan. Ini merupakan bidang utama dalam pakej pembaharuan antarabangsa yang bermatlamat untuk meningkatkan daya tahan sistem kewangan antarabangsa dengan nyata serta menggalakkan aktiviti pengambilan risiko yang mantap. Standard ini akan memastikan institusi kewangan memegang jumlah modal yang lebih besar, termasuk penampan yang boleh digunakan apabila berlaku kerugian. Pada masa yang sama, standard ini juga menghendaki institusi perbankan mengukuhkan dengan ketara kedudukan mudah tunai dan pendanaan mereka. Secara kolektif, standard ini bermatlamat untuk mengukuhkan keupayaan institusi perbankan untuk terus menyokong pengantaraan kredit dengan teratur, terutamanya semasa tempoh ketidakstabilan. Meskipun memegang ekuiti yang lebih banyak melibatkan kos modal yang lebih tinggi kepada bank, terutamanya dalam masa jangka pendek, namun pelaburan ini akan menyokong sistem kewangan dan ekonomi global keseluruhan yang lebih stabil serta memupuk keyakinan para pengguna dan pelabur, terutamanya dalam tempoh terdapatnya tekanan.

Dengan mempertimbangkan prasyarat ini, masa ini merupakan masa yang paling tepat untuk industri memikirkan dan melaksanakan usaha untuk membina semula dan mengukuhkan asas untuk kewangan yang lebih mampan. Perkara penting dalam hal ini ialah kesedaran bahawa pewujudan nilai pemegang saham pada jangka panjang adalah selaras, dan tidak bercanggah, dengan pengambilan risiko secara berhemat dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab. Sesungguhnya, institusi kewangan yang mempunyai operasi serantau di ASEAN berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan sistem kewangan di negara mereka beroperasi. Pulangan yang amat besar boleh diraih daripada pelaksanaan strategi yang mampan seperti ini. Komitmen jangka panjang terhadap ASEAN bukan sahaja akan menyumbang kepada pertumbuhan serantau yang saling memperkuat dan terkait, malah juga akan menjadi sumber kestabilan yang penting kepada rantau ini.

Rumusan

Izinkan saya untuk mengakhiri ucapan saya. Aspirasi ASEAN 2015 akan dicapai dalam tempoh kurang daripada tiga tahun. Meskipun masih terdapat banyak cabaran, ASEAN berada pada kedudukan yang baik untuk maju ke hadapan secara kolektif ke arah wawasan yang dikongsi bersama iaitu pasaran tunggal ASEAN. Industri kewangan mempunyai peranan yang penting dalam merealisasikan wawasan ini, melalui amalan pasaran, strategi perniagaan dan penglibatan dalam inisiatif kerjasama dalam negeri dan serantau. Persidangan ini menyediakan platform strategik yang sangat baik untuk industri ASEAN bertemu, berkongsi idea dan  memupuk pemahaman yang lebih baik mengenai isu penting ke arah pembinaan asas yang lebih kukuh bagi pertumbuhan yang mampan di ASEAN. Dengan itu, saya mengucapkan selamat bersidang dengan produktif kepada anda semua.


Bank Negara Malaysia
07 November 2012

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?