Ucaptama oleh Gabenor di Sidang Kemuncak Kewangan Islam Tahunan ke-8 Euromoney: "Kewangan Islam dan Kestabilan Kewangan Global"
The Landmark, London, U.K. | 24 Februari 2009
Saya amat berbesar hati kerana diundang untuk berucap di Sidang Kemuncak Kewangan Islam Tahunan ke-8 ini yang dianjurkan oleh Euromoney. Sidang kemuncak ini yang diadakan ketika dunia dilanda kemelut krisis kewangan paling buruk memberi kita peluang untuk menilai cabaran yang sedang dihadapi dan membincangkan isu-isu yang timbul dalam konteks sistem kewangan Islam.
Ucapan saya hari ini akan tertumpu khususnya pada kewangan Islam sebagai suatu bentuk pengantaraan dan kestabilan kewangan. Saya juga akan menyentuh langkah-langkah yang telah diambil di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk memperkukuh daya tahan dan keteguhan kewangan Islam, dengan mengambil kira pengajaran daripada krisis kewangan yang pernah dialami termasuk krisis semasa.
Sambil kita menempuh persekitaran semasa dan bersiap sedia untuk menghadapi arus kitaran pertumbuhan seterusnya, adalah tepat pada masanya untuk kita meninjau potensi sinergi yang boleh dioptimumkan antara London, sebuah pusat kewangan antarabangsa, dengan Malaysia, sebuah hab kewangan Islam antarabangsa. Melalui cara ini, kita akan dapat memanfaatkan kelebihan berbanding kedua-dua pusat ini lantas memperkukuh hubungan antara pasaran kewangan Islam Timur dan Barat khususnya.
Tahun ini genap lima tahun sejak saya pertama kalinya menyampaikan ucapan di forum ini. Ketika itu, KDNK dunia mengembang hampir 5% dan ekonomi sedang pesat membangun meningkat 7.5% 1 . Semasa tempoh tersebut, kewangan Islam berkembang pesat, tidak hanya di dunia Islam, malahan juga di Barat. Dengan jumlah aset kewangan Islam global yang dianggarkan mencecah USD700 bilion pada tahun 2007, industri kewangan Islam menawarkan pelbagai rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang kompleks lagi canggih. Yang nyata, ini memperlihatkan satu jalinan integrasi yang kukuh antara sistem kewangan Islam dengan sistem kewangan antarabangsa.
Apabila kewangan Islam menjadi sebahagian daripada proses globalisasi kewangan, kewangan Islam juga menjadi lebih terdedah kepada implikasi sistemik perkembangan luaran. Terdapat dua isu yang harus kita tangani. Pertama, dengan perkembangan kewangan Islam adakah ia mampu mengekalkan kestabilan kewangan, dan kedua, adakah industri ini cukup kukuh untuk menghadapi kejutan luaran.
Asas Kewangan Islam
Prinsip Syariah yang menjadi panduan dalam perkembangan sistem kewangan Islam telah menjadi asas yang menyumbang kepada kestabilan dan daya tahan keseluruhannya. Asas ini diperkuat oleh nilai-nilai yang didukung teguh dalam kewangan Islam, yang tidak jauh berbeza daripada nilai-nilai dalam kewangan beretika dan pelaburan yang mendukung tanggungjawab sosial.
Menurut tuntutan Syariah, urus niaga kewangan Islam perlu disokong oleh aktiviti ekonomi sebenar. Pada dasarnya, urus niaga kewangan Islam harus berlandaskan aktiviti perniagaan dan perdagangan yang menjana keuntungan yang halal. Ini akan memastikan dana dapat disalurkan ke dalam aktiviti ekonomi yang produktif, lantas menghasilkan hubung kait yang erat antara aliran kewangan dengan aliran produktif yang dapat melindungi sistem kewangan Islam daripada aktiviti pemberian pinjaman yang berlebihan, pengambilan risiko yang tidak berhemat dan juga aktiviti-aktiviti yang bersifat spekulatif.
Sejajar dengan matlamat utama Islam (maqasid al Syariah) yang menggalakkan keadilan dan kesaksamaan, maka riba atau faedah adalah sama sekali dilarang. Dalam erti kata lain, pemerolehan ganjaran tanpa menanggung sebarang imbal balik nilai risiko yang sepadan ('iwad), usaha dan menanggung liabiliti yang wujud dalam urus niaga adalah dilarang. Berdasarkan pengaturan tersebut, aktiviti ekonomi sebenar dijangka menjana keuntungan yang sepadan dengan risiko yang telah diambil.
Keperluan untuk berkongsi risiko memerlukan institusi kewangan Islam membentuk amalan pengurusan risiko yang kukuh yang melibatkan usaha wajar yang bersesuaian terhadap daya maju ekonomi bagi aktiviti perniagaan atau aset sandaran. Ini diperkukuh oleh keperluan yang jelas tentang ketelusan dan penzahiran. Prinsip intrinsik keuntungan dan perkongsian risiko serta usaha mendukung nilai keadilan dan kesaksamaan sejagat telah menyediakan sekatan dan imbangan (checks and balances) yang terbina secara dalaman di dalam sistem. Etika dan tadbir urus yang mantap turut termaktub dalam pengaturan ini.
Apabila ciri-ciri penting yang dituntut oleh prinsip Syariah diterima pakai secara keseluruhan, ia akan dapat mengurangkan kemungkinan tercetusnya ketidakstabilan kewangan. Namun risiko mungkin timbul apabila persekitaran ekonomi dan keadaan pasaran kewangan menjadi bertambah buruk atau apabila prinsip Syariah tidak dipatuhi. Risiko yang mungkin timbul akibat persekitaran ekonomi dan keadaan pasaran kewangan yang buruk adalah lebih tinggi bagi institusi kewangan Islam yang menggunakan strategi pelaburan agresif ketika ekonomi berkembang dengan pesat.
Dalam krisis kewangan global semasa, langkah awal untuk memperketat mudah tunai yang kemudiannya disusuli gangguan fungsi pasaran kewangan telah mencetuskan tekanan dan ketaksolvenan dalam sektor kewangan. Keadaan luluh kredit (credit crunch) yang menyusul menyebabkan kegawatan kepada ekonomi global. Kesan pusingan kedua akan dirasai apabila kelembapan ekonomi menimbulkan tekanan seterusnya terhadap sektor kewangan. Pada hakikatnya, sistem kewangan Islam tidak kebal terhadap semua perkembangan ini.
Memperkukuh Daya Tahan Sistem Kewangan Islam
Globalisasi kini semakin pesat dan kewangan Islam pula semakin bersepadu dengan sistem kewangan antarabangsa. Oleh itu, risiko kesan penularan akibat gangguan kewangan dan ekonomi di negara lain juga meningkat. Berikutan itu, beberapa inisiatif telah diambil untuk meningkatkan keupayaan sistem kewangan Islam menangani keadaan yang amat menduga dan mencabar ini.
Rangka kerja pengurusan mudah tunai yang berfungsi dengan lancar amat penting dalam proses ini. Tanpa pasaran kewangan yang maju, keupayaan institusi kewangan Islam untuk mengurus pembiayaan urus niaga kewangan Islam dengan berkesan akan terhalang. Kemudahan untuk menyelaraskan baki portfolio melalui kaedah yang mematuhi prinsip Syariah amat penting bagi memastikan risiko mudah tunai diurus dengan berkesan.
Pasaran kewangan Islam Malaysia telah berfungsi dengan cekap selama lebih sedekad. Daripada pasaran instrumen mudah tunai berasaskan struktur perkongsian keuntungan (mudharabah), ia maju kepada instrumen berasaskan struktur penjagaan dengan jaminan (wadiah yad dhamanah), pajakan (ijarah) dan berdasarkan kos ditambah (murabahah). Langkah ini telah berjaya menambah fleksibiliti monetari dalam sistem kewangan Islam. Langkah seterusnya adalah untuk membolehkan platform ini dimajukan ke peringkat antarabangsa dan membuka peluang penyertaan masyarakat kewangan antarabangsa yang lebih meluas dalam pasaran ini. Matlamat ini dapat dicapai dengan menambah bilangan peserta agar merangkumi peserta dari negara lain, menawarkan rangkaian produk yang didenominasikan dalam mata wang asing, dan menstrukturkannya supaya dapat memenuhi pelbagai aplikasi dan tujuan.
Bagi memperkukuh kedudukan dan kestabilan sistem kewangan Islam, strategi seterusnya adalah untuk mewujudkan rejim kawal selia kehematan yang komprehensif. Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board, IFSB) telah ditubuhkan pada tahun 2002 untuk merumuskan piawaian kehematan bagi sektor kewangan Islam. Sehingga kini IFSB telah mengeluarkan tujuh garis panduan dan piawaian yang merangkumi aspek kecukupan modal, pengurusan risiko, tadbir urus korporat, tadbir urus Syariah serta piawaian ketelusan dan penzahiran. Garis panduan terkini yang dikeluarkan adalah berkaitan dengan tadbir urus skim pelaburan kolektif dan kecukupan modal untuk aktiviti sukuk, pengsekuritian dan pelaburan harta tanah. Piawaian IFSB yang diterima pakai oleh negara-negara yang mengamalkan sistem ini akan menjadi tunggak dalam menggalakkan dan menambah kekukuhan dan kestabilan industri perkhidmatan kewangan Islam.
Di samping pelaksanaan piawaian kehematan, terdapat juga keperluan untuk memastikan infrastruktur penyeliaan dan perundangan kekal relevan buat landskap kewangan Islam yang pesat berubah. Di Malaysia, usaha ini turut disokong oleh jaring keselamatan kewangan yang komprehensif, termasuk skim insurans deposit dan mekanisme penyelesaian yang bukan sahaja memastikan perlindungan buat penyimpan bahkan juga dapat memberi penyelesaian sistem kewangan yang pantas, berkesan dan pada kos yang menjimatkan.
Krisis semasa telah menunjukkan pentingnya kewujudan rangka kerja pengurusan krisis yang bersepadu. Langkah ini termasuk mewujudkan mekanisme dan wahana penyediaan mudah tunai jangka pendek; pengaturan untuk mengeluarkan aset bermasalah daripada kunci kira-kira institusi kewangan serta mekanisme untuk permodalan semula institusi kewangan Islam. Akhirnya, inisiatif untuk menggalakkan kerjasama lebih erat antara rantau telah mewujudkan hubungan yang lebih rapat antara pengawal selia pelbagai negara dan juga pertumpuan ke arah suatu piawaian dalam pendekatan penyeliaan dan pengawalan. Perkongsian maklumat, dapatan dan pengalaman juga merupakan bidang kerjasama yang utama.
Salah satu risiko yang dihadapi oleh sektor kewangan Islam adalah beroperasi dalam sistem kewangan konvensional yang sudah kukuh kedudukannya. Ketiadaan penanda aras Islam telah mendedahkan kewangan Islam kepada risiko penyimpan memindahkan simpanan mereka daripada sektor kewangan Islam kepada sektor kewangan konvensional (displacement risk) akibat perubahan dalam keadaan monetari apabila sistem kewangan Islam beroperasi seiring dengan sistem konvensional. Isu asas ini perlu ditangani bagi mengurangkan risiko sektor kewangan Islam daripada terlalu mudah terjejas oleh persekitaran ekonomi yang berubah-ubah. Di samping itu, tiadanya tadbir urus korporat yang kukuh boleh mendedahkan bank-bank Islam kepada risiko serupa yang dihadapi oleh sistem kewangan konvensional. Malah, yang lebih penting adalah bagi lembaga pengurusan institusi kewangan Islam merintis tahap kepimpinan yang lebih tinggi dan mengamalkan budaya dan rangka kerja tadbir urus yang komprehensif.
Mengantarabangsakan Sistem Kewangan Islam
Kini saya akan menyentuh pula mengenai usaha mengantarabangsakan sistem kewangan Islam dan sinergi yang dapat dimanfaatkan oleh London dan Malaysia daripada kerjasama sebegini.
Pembangunan sistem kewangan Islam di Malaysia telah menuju ke arah persekitaran yang lebih liberal dan bersifat antarabangsa. Transformasi daripada sistem kewangan Islam asas yang dikuasai oleh sektor perbankan kini berubah menjadi sistem kewangan Islam yang komprehensif dengan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan yang meluas, dan jangkauan luas yang melangkaui sektor ekonomi dalam negeri.
Sejak tahun 2003, langkah-langkah diperkenalkan untuk mewujudkan persekitaran kewangan Islam yang lebih kompetitif. Syarikat asing diberi lebih fleksibiliti dan juga lesen Islam khusus untuk menjalankan perniagaan dalam mata wang antarabangsa. Kebenaran yang diberikan kepada entiti asing bagi terbitan sukuk yang didenominasikan dalam ringgit dan mata wang asing di Malaysia telah menambah kepelbagaian peserta dan menggalakkan inovasi dalam sistem kewangan.
Sektor perbankan Islam kami telah mencatat pertumbuhan dua angka sepanjang lapan tahun kebelakangan ini, dengan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 20% dari segi aset. Pada akhir tahun 2008, bahagian aset perbankan Islam daripada jumlah aset sektor perbankan keseluruhan telah berkembang hingga mencapai 16.7% berbanding hanya 6.9% pada tahun 2000. Industri takaful kami mencatat kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 23% dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Takaful keluarga dan takaful am masing-masing mencakupi 11% dan 7% daripada sektor insurans keseluruhan. Malaysia juga kekal sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia dan mencakupi lebih 37% daripada terbitan sukuk global pada tahun 2008 2.
Penyertaan pusat kewangan antarabangsa yang terkemuka seperti London, dalam kewangan Islam, akan memperkukuh usaha mengantarabangsakan kewangan Islam, menyumbang ke arah pengukuhan kesalinghubungan dalam sistem kewangan Islam antarabangsa, dan mengoptimumkan peruntukan sumber kewangan merentas sempadan. Usaha mengambil risiko yang lebih pelbagai juga menyumbang kepada peningkatan kestabilan kewangan global.
Hubungan Malaysia dan London
Terdapat beberapa bidang kerjasama yang boleh dijalin antara Malaysia dengan London. Dalam bidang pengurusan mudah tunai, Malaysia mempunyai pasaran wang Islam yang teguh dan aktif. Rangkaian instrumen pasaran wang Islam boleh menjadi platform yang berdaya maju ke arah pembangunan pasaran mata wang dua hala. London mempunyai asas pasaran antarabangsa bagi pembekalan dan permintaan mata wang asing. Dengan adanya infrastruktur Islam di Malaysia dan juga jangkauan global London, pasaran wang Islam mata wang antarabangsa yang saling menjana manfaat dapat diwujudkan. Dalam hal yang demikian, ia akan membolehkan pusat kewangan lain turut serta dan memanfaatkan kesalinghubungan yang lebih tinggi. Dalam jangka masa terdekat, langkah ini berupaya memberi kelebihan kepada institusi kewangan Islam di United Kingdom dan Malaysia untuk mengendalikan keperluan pengurusan mudah tunai masing-masing.
Dalam bidang sukuk pula, Malaysia mempunyai pasaran sukuk terbesar manakala London mempunyai salah satu bursa yang terkemuka. Salah satu bidang kerjasama yang boleh dijalin adalah penyenaraian-silang sukuk (cross-listing). Dengan mewujudkan mekanisme yang membolehkan sukuk yang diterbitkan dalam sesebuah negara diiktiraf oleh negara lain, akses kepada pasaran akan menjadi lebih besar lantas memperluas jangkauan penerbit dan pelabur. Di samping itu, pengiktirafan bersama boleh diberikan kepada semua produk kewangan Islam yang telah pun diluluskan oleh negara masing-masing bagi memudahkan lebih banyak urus niaga merentas sempadan.
Akhirnya, dalam bidang pembangunan tenaga mahir, Malaysia mempunyai beberapa institusi pembelajaran yang menyediakan latihan dan pendidikan kewangan Islam. United Kingdom pula sudah lama menempa nama sebagai penyedia pendidikan bermutu. Kerjasama dalam bidang ini telah pun terjalin. University of Reading dan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (International Centre for Education in Islamic Finance, INCEIF) di Malaysia telah pun memulakan program bersama. Ketersediaan kumpulan tenaga mahir dalam kewangan Islam merupakan elemen teras yang perlu ada untuk terus menyokong inovasi dan menggiatkan lagi aktiviti dalam sistem kewangan Islam.
Kesimpulan
Krisis kewangan global jelas menunjukkan terdapat beberapa kelemahan dan ketidakseimbangan struktur dalam sistem kewangan antarabangsa. Meskipun sistem kewangan Islam tidak terlindung sepenuhnya daripada kesan persekitaran semasa, prinsip dan nilai-nilai Syariah yang mendasari sistem kewangan ini menyediakan asas-asas penting. Ini diperteguh lagi oleh pengukuhan infrastruktur kewangan, rejim pengawalseliaan, rangka kerja penyeliaan dan undang-undang serta keupayaan menguruskan krisis. Pada masa yang sama, hubungan antara negara yang telah dibina dan sentiasa diperkuat boleh menyumbang kepada proses pengukuhan ini. Malah , Malaysia dan London boleh merintis jalan ke arah menghubungkan pasaran kewangan Islam Timur dan Barat, sambil kita bersiap sedia untuk menghadapi fasa perkembangan ekonomi dan sistem kewangan global selanjutnya.
1 IMF (28 January 2009), "Global economic slump challenges policies", World Economic Outlook Update.
2 Standard & Poor's (14 January 2009), RatingsDirect.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.