Ucaptama oleh Gabenor pada Siri Syarahan Serantau Bank Pembangunan Islam Mengenai Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Islam 'Kewangan dan Ekonomi Benar: Mengekalkan Kemampanan'
Jakarta, Indonesia | 19 Disember 2012
Saya amat berbesar hati kerana diundang untuk menyampaikan syarahan perdana pada Siri Syarahan Serantau Bank Pembangunan Islam ini. Saya juga gembira kerana dapat berkunjung lagi ke kota raya Jakarta. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bank Pembangunan Islam (IDB) atas undangan ini, dan Bank Indonesia sebagai tuan rumah bagi majlis ini.
Selama lebih tiga dekad ini, IDB telah memainkan peranan penting dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di serata dunia, dan berkaitan dengan ini juga ialah peranannya dalam memupuk pembangunan kewangan Islam. IDB telah menyokong pembinaan infrastruktur utama antarabangsa yang penting bagi pembangunan kewangan Islam global yang teratur dan bagi memelihara kestabilan kewangan dunia. IDB juga telah menyokong usaha-usaha penyelidikan dan pendidikan dalam bidang kewangan Islam, sementara kepentingan strategiknya dalam institusi kewangan di negara-negara lain di dunia menjadi pemangkin penting penubuhan dan pengembangan institusi berkenaan. Dalam persekitaran semasa yang semakin tidak menentu, selepas krisis kewangan global baru-baru IDB akan terus memainkan peranan penting memandangkan matlamat untuk mencapai pertumbuhan dan pembangunan ekonomi dunia yang mampan kini menjadi semakin mencabar.
Ketika sistem kewangan konvensional kini sedang berhadapan dengan apa yang dikatakan sebagai tempoh penentuan, beberapa iktibar penting boleh diambil untuk usaha bersama kita membangunkan sistem kewangan yang lebih berdaya tahan. Pertimbangan yang penting perlu diberikan kepada isu-isu berbangkit, dan terhadap hala tuju dasar yang akan mempengaruhi pertumbuhan dan kestabilan. Ucapan saya hari ini akan membincangkan beberapa isu ini dan cara bagaimana kewangan Islam, berdasarkan sifat dan ciri dalamannya, boleh membantu proses peningkatan disiplin, yang menyumbang kepada usaha memastikan pertumbuhan dan kestabilan kewangan dapat dicapai.
Pada dasarnya, sistem kewangan perlu menyediakan perkhidmatan kepada ekonomi benar. Tujuan sistem kewangan adalah sebagai pengantara untuk menyuaipadankan tabungan dengan pelaburan bagi tujuan untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Namun, dalam beberapa dekad kebelakangan ini, beberapa faktor telah melemahkan hubungan antara pengantaraan kewangan dengan aktiviti ekonomi yang produktif. Penyahkawalan telah membuka peluang baharu kepada institusi kewangan untuk meningkatkan prestasi dan memperluas skop aktiviti mereka. Persaingan yang lebih sengit, dan diperkukuh oleh kemajuan teknologi, telah menghasilkan inovasi yang lebih pantas. Tempoh inflasi dan kadar faedah rendah yang agak panjang telah menggalakkan lagi kegiatan pengambilan risiko. Secara keseluruhannya, perkembangan ini telah menyumbang kepada ketidakseimbangan kewangan yang membimbangkan.
Kesemua ini telah mendorong kepada pemikiran semula tentang isu-isu berkaitan perniagaan kewangan dan modelnya, serta langkah pembaharuan pengawalseliaan yang luas oleh masyarakat antarabangsa. Berkaitan dengan isu-isu ini ialah persoalan tentang saiz ‘wajar’ sektor kewangan. Sejajar dengan ekonomi yang terus berkembang, saiz aset sektor kewangan dan juga sumbangan nilai ditambahnya, dijangka meningkat. Walau bagaimanapun, terdapat hubungan yang penting antara pertumbuhan sektor kewangan dengan sektor ekonomi benar, iaitu hubungan yang kurang difahami atau diambil kira dengan baik oleh model makroekonomi semasa. Ini boleh menimbulkan cabaran kepada penggubal dasar dalam menentukan titik pertumbuhan sektor kewangan yang boleh menyebabkannya mengatasi permintaan dan potensi ekonomi benar. Isu ini menjadi lebih ketara apabila kewangan serantau dan global semakin bersepadu, dan ia berlaku dalam negara-negara yang merupakan pusat kewangan antarabangsa. Apabila kenaikan pendapatan korporat dan perseorangan didorong oleh urus niaga kewangan dan bukannya oleh peningkatan dalam pengeluaran atau peluang pekerjaan, ekonomi berpotensi menjadi lebih terdedah kepada impak daripada tekanan sistem kewangan.
Krisis kewangan global baru-baru ini merupakan contoh nyata bagaimana hutang (leveraging) yang berlebihan dan pertumbuhan pesat dalam aktiviti kewangan yang terpisah daripada trajektori pertumbuhan ekonomi benar boleh menjadi suatu sumber ketidakstabilan. Hutang telah meningkat dengan nyata pada tahun-tahun menjelang krisis berikutan pertumbuhan ekonomi yang kukuh sepanjang beberapa tahun yang lalu. Dalam ekonomi maju, kedudukan kewangan bank meningkat dengan mendadak hingga mencatat pertumbuhan yang berkali-kali ganda daripada KDNK tahunan. Sebagai contoh, tiga bank terbesar di Iceland yang diambil alih kerajaan pada awal Oktober 2008 telah menyaksikan jumlah aset mereka berkembang daripada 100 peratus daripada KDNK pada tahun 2004, kepada lebih 900 peratus daripada KDNK pada akhir tahun 2007. Begitu juga di Ireland, aset dalam institusi kewangannya yang mempunyai perniagaan dalam negeri yang besar telah mencecah lebih 400 peratus daripada KDNK menjelang tahun 2008, sementara di United Kingdom, aset bank adalah lebih 500 peratus daripada KDNK sebelum berlakunya krisis kewangan global. Saiz, kompleksiti dan hutang yang sangat besar dalam sistem perbankan telah menjadikan institusi kewangan lebih lemah lantas mengehadkan keupayaan institusi kewangan tersebut untuk menampung kerugian sekalipun jumlah kerugian adalah kecil, lantas mengakibatkan herotan ekonomi yang meluas dan mendalam.
Aktiviti kewangan yang semakin berkembang sebahagiannya juga disebabkan oleh aktiviti dalam sistem perbankan bayangan (shadow banking), yang di Amerika Syarikat telah menjadi lebih besar berbanding dengan sektor perbankan tradisional dari segi kasarnya. Semasa kemuncak krisis, saiz kasar derivatif global terkumpul bagi urus niaga menerusi kaunter (over-the-counter, OTC) dianggarkan melebihi USD614 trilion1, lebih sepuluh kali ganda KDNK global. Walaupun saiznya besar, pasaran menerusi kaunter adalah tidak telus dan tidak dikawal dengan secukupnya, lantaran menyukarkan usaha mengukur risiko yang telah diambil oleh institusi kewangan.
Isu selanjutnya berkaitan dengan inovasi kewangan dan campur tangan dasar yang tidak menyekat inovasi yang bermanfaat kepada masyarakat, sambil mengawal inovasi yang berbahaya. Perdebatan semasa tentang pembaharuan kewangan antarabangsa menunjukkan bahawa ini merupakan satu tugas yang mencabar. Meskipun terdapat sokongan yang meluas untuk kembali kepada perbankan asas, adalah diakui bahawa inovasi kewangan adalah penting dalam meningkatkan tahap akses kewangan, dengan membolehkan institusi kewangan mengurus risiko dalam cara yang membolehkan aktiviti ekonomi berisiko lebih tinggi dijalankan. Walau bagaimanapun, terdapat juga bukti yang bertentangan. Pada tahun-tahun menjelang krisis, derivatif telah digunakan secara meluas untuk keperluan arbitraj pengawalseliaan dan untuk mendapat keuntungan yang berlebihan melalui urus niaga yang tidak telus dan kompleks lantas mengakibatkan asas yang digunakan untuk menilai kos risiko adalah tidak sepadan. Usaha pembaharuan semasa dengan itu berdepan dengan keperluan untuk mengimbangi antara usaha membendung amalan berbahaya, tanpa menyekat inovasi yang menjadi kunci kepada sistem kewangan yang progresif.
Satu lagi isu yang timbul adalah berkaitan dengan prospek untuk menyelaraskan jangkaan pelabur modal dengan elemen penting dalam perbankan yang mampan. Dalam tahun-tahun sebelum krisis, pertumbuhan sistem kewangan jauh mengatasi pertumbuhan keseluruhan ekonomi. Data yang diterbitkan2 menunjukkan bahawa kedudukan kewangan 1,000 buah bank terbesar di dunia telah meningkat sebanyak kira-kira 150 peratus antara tahun 2001 hingga 2009. Pada kemuncaknya, jumlah aset sektor kewangan jauh lebih besar daripada jumlah aset sektor lain, dengan rekod keuntungan tertinggi pernah dicatatkan dari setahun ke setahun. Dalam persekitaran semasa, bank terus berada di bawah tekanan yang besar untuk menyokong aktiviti yang boleh menjana kadar pulangan daripada industri ini yang dikehendaki oleh pelabur modal. Ini berlawanan dengan jangkaan bahawa sistem perbankan akan kembali kepada peranan asasnya untuk menyokong aktiviti ekonomi benar. Masih belum jelas lagi sejauh mana kepentingan yang bertentangan ini boleh diselaraskan secara mampan.
Tumpuan penting dalam pembaharuan ini ialah keperluan untuk melindungi perbankan runcit daripada kegiatan perbankan pelaburan yang sering terlibat dalam aktiviti pengambilan risiko yang lebih tinggi. Di Amerika Syarikat, Peraturan Volcker melarang bank daripada menjalankan beberapa jenis aktiviti perbankan pelaburan jika mereka ingin terus bergantung pada pembiayaan deposit. Begitu juga keadaannya di United Kingdom, cadangan Suruhanjaya Bebas Mengenai Perbankan telah diterima pakai, dengan kumpulan perbankan diberi mandat menubuhkan sebuah anak syarikat yang berasingan untuk aktiviti runcit mereka, dan melarang anak syarikat ini daripada menjalankan perniagaan dan mengambil risiko lain. Penyelesaian kepada kesemua cabaran ini bukannya mudah. Walaupun perkembangan ini dan pembaharuan lain oleh Jawatankuasa Basel dan Lembaga Kestabilan Kewangan dijangka mempunyai kesan jangkauan yang lebih luas terhadap landskap sistem kewangan seperti yang diketahui hari ini, ia masih belum boleh menjawab banyak persoalan penting yang perlu ditangani oleh penggubal dasar dan industri kewangan dalam usaha untuk menjadikan sistem kewangan berfungsi dengan berkesan dan terus kukuh ketika kita maju ke hadapan.
Sejak krisis kewangan global, perhatian yang lebih telah diberikan kepada usaha membentuk rangka kerja kehematan makro yang berkesan, yang boleh membendung lebihan dan mengukuhkan hubungan antara sektor kewangan dengan ekonomi benar. Konsep dasar kehematan makro bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia telah bermula seawal lewat tahun 1970-an lagi, merujuk kepada implikasi terhadap kestabilan makroekonomi dan kewangan daripada pemberian pinjaman yang giat kepada negara membangun 3. Sejak tahun 1990-an lagi, beberapa pasaran sedang pesat membangun, termasuk Asia, telah menggunakan instrumen dasar kehematan makro untuk mengurus ketidakseimbangan dalam sistem kewangan dan aliran modal.
Berikutan krisis kewangan global baru-baru ini, perhatian yang lebih kini ditumpukan pada peranan, skop, instrumen dan pengaturan tadbir urus bagi dasar kehematan makro untuk memelihara kestabilan kewangan. Mandat dasar kehematan makro yang baharu atau yang diperkukuh sedang diwujudkan oleh lebih banyak negara, dengan disokong oleh pelbagai perubahan dalam rangka kerja perundangan dan struktur institusi. Dasar kehematan makro telah menunjukkan hasil yang menggalakkan dalam mengukuhkan kestabilan kewangan apabila digunakan secara berkesan dan digabungkan dengan instrumen dasar yang lain, termasuk langkah kehematan mikro dan monetari serta instrumen dasar fiskal.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan rangka kerja dasar kehematan makro secara efektif masih lagi merupakan cabaran utama. Dari segi bentuknya, dasar kehematan makro bertujuan mengurangkan kebarangkalian dan kesan buruk krisis pada masa hadapan. Walaupun penyelidikan lebih lanjut akan memperdalam pemahaman kita mengenai penunjuk utama dan saluran penyebaran, pertimbangan akan terus memainkan peranan utama. Sejarah telah menunjukkan bahawa pertimbangan ekonomi dan politik ada kalanya mempunyai kesan ke atas kesediaan penggubal dasar untuk bertindak. Walaupun krisis ini telah menyebabkan kos yang tinggi kepada sistem kewangan, ekonomi dan masyarakat, masih terdapat kecenderungan dalaman untuk tidak mengambil sebarang tindakan. Ini menekankan lagi keperluan untuk memberi tumpuan yang lebih besar terhadap usaha mewujudkan persekitaran yang akan membolehkan penggubal dasar lebih berkeyakinan untuk bertindak. Sudah tentu ini memerlukan mandat yang besar, selain instrumen dasar yang mencukupi dan struktur kebertanggungjawaban yang jelas.
Walaupun dasar kehematan makro mempunyai peranan yang jelas dan penting dalam menyumbang ke arah kestabilan kewangan pada masa akan datang, namun ia tidak mengurangkan kepentingan peranan penyeliaan kehematan mikro. Malah, tanggapan bahawa rangka dasar kehematan makro yang lebih maju, akan dengan peredaran masa, menyediakan alternatif yang berwibawa kepada penyeliaan rapi ke atas institusi kewangan sistemik – sebagai contoh, melalui pembentukkan penunjuk ramalan makro yang lebih baik, atau melalui pergantungan pada pelan pemulihan dan penyelesaian semata-mata - adalah tidak tepat. Tiada yang dapat menggantikan penyeliaan rapi yang berterusan yang dijalankan ke atas institusi kewangan, yang bergantung pada penilaian dan pertimbangan penyeliaan, dan meningkatkan pemahaman mengenai tingkah laku firma, dan model dan perancangan yang secanggih mana pun, tidak akan dapat mencapainya. Oleh yang demikian, usaha juga harus dilakukan bagi mengukuhkan lagi cara penyeliaan kehematan mikro dijalankan dan menggalakkan elemen saling melengkapi antara dasar kehematan mikro dengan makro.
Izinkan saya menyentuh tentang peranan kewangan Islam yang semakin meningkat dalam menyumbang kepada agenda global untuk menjana pertumbuhan yang mampan yang ditegarkan dengan kukuh pada ekonomi benar.
Proposisi teras kewangan Islam ialah ciri dan nilai dalamannya yang bermanfaat buat ekonomi, dan potensinya yang besar dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan memelihara kestabilan kewangan. Proposisi teras ini lahir daripada peraturan Syariah, yang menetapkan bahawa urus niaga kewangan Islam perlu berlandaskan aktiviti produktif. Ketetapan Syariah ini adalah untuk memastikan hubungan rapat antara urus niaga kewangan dengan ekonomi benar. Inovasi dan pengantaraan dalam kewangan Islam dengan ini adalah sejajar dengan aktiviti ekonomi yang produktif. Terdapat juga halangan besar terhadap pengambilan risiko yang berlebihan dan larangan terhadap elemen spekulatif. Ketetapan Syariah ini juga berperanan untuk melindungi sistem kewangan Islam daripada hutang berlebihan, yang seterusnya menyumbang kepada usaha menggalakkan kestabilan dan kemampanan kewangan jangka panjang. Elemen asas ini adalah senada dengan seruan kepada sektor perbankan untuk kembali memberi tumpuan pada fungsi terasnya, iaitu menyediakan perkhidmatan kewangan yang memberi nilai tambah kepada ekonomi benar.
Dekad baru-baru ini juga menyaksikan transformasi ketara dalam landskap kewangan Islam. Ini ditunjukkan oleh pertumbuhan pesat dan perluasan jangkauan geografi, lantas menghasilkan lebih banyak institusi kewangan Islam yang lebih pelbagai dan mempunyai spektrum produk inovatif yang lebih luas, khususnya dalam segmen pasaran pertumbuhan tinggi seperti pasaran sukuk. Dalam dekad ini, kewangan Islam juga telah berkembang daripada sektor yang hanya tertumpu pada sektor dalam negeri kepada sektor yang semakin bersifat antarabangsa. Dalam persekitaran yang dinamik ini, skop perniagaan kewangan Islam telah berkembang daripada hanya pembiayaan runcit yang mudah dan pembiayaan perdagangan kepada yang merangkumi pembiayaan ekuiti swasta, pembiayaan projek, originasi dan terbitan sukuk, serta pengurusan dana dan produk kekayaan. Hari ini, jumlah saiz aset kewangan Islam global melebihi USD1 trilion dan terdapat lebih 600 institusi kewangan Islam beroperasi di 75 negara.
Wawasan bagi sistem kewangan Islam di Malaysia terkandung dalam Pelan Induk Sektor Kewangan kami yang pertama yang dilancarkan pada tahun 2001, yang menggariskan rancangan untuk membina asas sistem kewangan Islam. Ini termasuk memperkukuh dan mempelbagaikan pengantara kewangan dalam sistem kewangan, membina dan membangunkan pasaran kewangan, serta menambah baik rangka kerja pengawalseliaan, Syariah dan perundangan. Sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 2011, Pelan Sektor Kewangan yang baharu dilancarkan, yang menetapkan hala tuju kewangan Islam yang sedang melalui tempoh peralihan untuk berkembang pada peringkat antarabangsa, dan dengan itu akan menjadi lebih bersepadu dalam arus perdana sistem kewangan global.
Walaupun kewangan Islam mempunyai semua rumusan dan potensi untuk memenuhi keperluan ekonomi global, penyaluran dana kepada aktiviti yang produktif dalam kewangan Islam hari ini sebahagian besarnya masih dilakukan melalui kontrak yang tidak melibatkan penyertaan, yang meliputi struktur jualan harga tokokan (Murabahah) dan struktur berasaskan prinsip sewaan (ijarah), yang terus penting untuk menampung pembiayaan perdagangan dan pembelian aset. Kontrak sedemikian adalah sama seperti instrumen pemberian pinjaman yang mendedahkan kebanyakan institusi kewangan Islam kepada elemen risiko kredit. Sementara kontrak tanpa perkongsian risiko akan terus menyumbang kepada pertumbuhan kewangan Islam yang akan datang, urus niaga dan perjanjian perkongsian risiko yang lebih meluas di bawah model kewangan yang melibatkan penyertaan (participatory finance models) mempunyai skop yang besar untuk menyediakan rangkaian produk kewangan Islam yang lebih luas, yang akan merangsang fasa pertumbuhan dan pembangunan industri ini selanjutnya. Ini termasuk kontrak yang melibatkan penyertaan atau kontrak berasaskan ekuiti seperti Mudarabah dan Musharakah yang menyokong usaha keusahawanan. Penggunaan model berasaskan ekuiti yang lebih luas dalam penyelesaian kewangan Islam dapat dilihat dalam tempoh kebelakangan ini. Perubahan yang paling jelas adalah dalam segmen sukuk, iaitu apabila struktur Syariah yang sebelum ini banyak berstrukturkan ijarah dan murabahah, berkembang kepada perkongsian musyarakah dan kontrak amanah boleh ubah dan boleh tukar.
Kemajuan selanjutnya dalam penggunaan kontrak yang melibatkan penyertaan dalam kewangan Islam pada skala yang lebih luas menawarkan potensi yang tertentu dalam usaha mengukuhkan hubungan antara kewangan dengan ekonomi benar. Beberapa elemen kontrak perkongsian risiko dan keuntungan yang melibatkan penyertaan menyokong perkara ini. Sedang perkongsian keuntungan dan kerugian dikenal pasti dengan jelas dan dipersetujui berdasarkan perjanjian kontrak antara pembiaya dengan usahawan, penekanan kukuh diberikan kepada penjanaan nilai dan daya maju ekonomi hasil daripada usaha produktif yang mencipta kekayaan baharu. Dalam kontrak berasaskan ekuiti, pengantaraan kewangan dengan itu dijuruskan ke arah penggalakkan keusahawanan, dengan ciri perkongsian risiko dan keuntungan urus niaga kewangan Islam yang ditafsirkan dengan jelas memberikan insentif yang nyata kepada kedua-dua pihak untuk menyumbang kepada kejayaan pelaburan. Langkah ini juga menyediakan asas hubungan jangka panjang yang berlandaskan kepercayaan, dan kepentingan yang jelas bagi institusi kewangan untuk membuat usaha wajar (due diligence) yang sesuai bagi memastikan pulangan adalah sepadan dengan risiko yang diambil. Aspek tadbir urus dan pengurusan risiko dengan ini mengukuhkan kontrak-kontrak ini. Khususnya, kontrak sedemikian menuntut standard penzahiran dan ketelusan yang lebih tinggi, seterusnya berperanan mengukuhkan disiplin pasaran.
Rangka kerja perundangan dan pengawalseliaan perlu diselaraskan untuk memberi kejelasan yang lebih baik bagi layanan undang-undang dan pengawalseliaan yang wajar bagi memupuk pertumbuhan struktur dan aktiviti perkongsian risiko yang kukuh dan teratur, dari segi pembiayaan dan aset bank-bank Islam. Di Malaysia, langkah-langkah sedang diambil untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi fasa pembangunan selanjutnya yang akan merangsang lebih banyak urus niaga perkongsian risiko menerusi penggubalan undang-undang baharu perbankan Islam dan takaful. Undang-undang ini kini sedang dalam peringkat akhir proses enakmen. Undang-undang baharu bagi industri ini bertujuan mewujudkan kepastian terhadap layanan undang-undang dan pengawalseliaan urus niaga kewangan Islam dengan memberi pengiktirafan undang-undang kepada keperluan kontrak mengikut peraturan Syariah. Langkah ini menyediakan persekitaran perundangan yang komprehensif, dengan aktiviti pengambilan risiko dan perkongsian keuntungan yang berkesan, merangkumi semua aspek urus niaga kewangan Islam, daripada keperluan kehematan dan pengendalian perniagaan hinggalah kepada layanan perundangan aset perbankan Islam apabila urus niaga tersebut selesai, yang perlu konsisten sepenuhnya dengan ciri-ciri tersendiri kontrak Syariah masing-masing yang digunakan dalam urus niaga.
Rangka kerja perundangan ini juga akan meningkatkan lagi keupayaan rangka kerja pengawalseliaan industri kewangan Islam Malaysia untuk berkembang dengan lebih baik sejajar dengan standard pengawalseliaan dan amalan terbaik yang dikeluarkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board, IFSB) untuk menetapkan keperluan khusus urus niaga kewangan Islam. Bagi memperlengkap usaha mengukuhkan undang-undang pengawalseliaan bagi kewangan Islam, Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Pengharmonian Undang-Undang pada tahun 2010 untuk menjalankan kajian secara objektif terhadap undang-undang berkaitan yang lain dan menyarankan perubahan perundangan untuk memastikan undang-undang di negara ini akan membenarkan urus niaga kewangan Islam dilaksanakan dengan cekap lagi berkesan.
Satu lagi dimensi penting dalam memupuk pembangunan instrumen perkongsian risiko dan keuntungan selanjutnya ialah keperluan untuk memastikan keutuhan institusi kewangan Islam dan keupayaannya yang lebih tinggi untuk menilai risiko dalam sektor ekonomi benar. Ini menekankan kepentingan keupayaan pengurusan risiko yang teguh untuk mengurus risiko baharu, khususnya bagi kontrak perkongsian risiko dan keuntungan serta penerapan amalan tadbir urus, ketelusan dan penzahiran yang mantap dalam institusi kewangan Islam untuk memenuhi keperluan usaha wajar bagi menentukan daya maju cadangan perniagaan dan pelaburan.
Risiko perniagaan bagi kedudukan ekuiti dan risiko pemilikan aset dasar sebagai contoh, telah termaktub dalam pengaturan ini berikutan hubungan kontrak antara pelabur dengan usahawan, dan juga institusi perbankan Islam sebagai pengantara dana. Penyelidikan gunaan yang lebih mendalam juga perlu untuk membangunkan produk kewangan yang lebih inovatif dengan menggunakan struktur perkongsian risiko dan keuntungan dengan kemajuan dalam teknik pengurusan risiko. Usaha ini juga perlu diperkukuh dengan menambah baik inisiatif perlindungan dan pendidikan pengguna untuk memperdalam pemahaman dan kesedaran pengguna tentang risiko dan ganjaran yang berkaitan seperti dalam kontrak kewangan Islam, khususnya bagi instrumen berasaskan ekuiti.
Sama pentingnya dalam memastikan kekukuhan institusi kewangan Islam ialah keperluan untuk mengurus mudah tunai dengan amat baik. Hari ini, institusi kewangan Islam yang beroperasi dalam negara yang berbeza masih berdepan dengan cabaran mengurus kedudukan mudah tunai mereka dengan berkesan memandangkan kurangnya penawaran instrumen mudah tunai Syariah berkualiti tinggi, iaitu penyebab yang sering disebut. Kekurangan instrumen mudah tunai berkualiti tinggi untuk kewangan Islam bukan sahaja menghalang pengurusan mudah tunai yang berkesan bahkan turut menjejaskan kecekapan mempelbagaikan aliran kewangan merentas sempadan. Oleh itu, adalah menjadi harapan kita agar melalui mandat yang diberikan kepada Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa (International Islamic Liquidity Management Corporation, IILM) untuk menerbitkan sukuk mudah tunai berkualiti tinggi, akan dapat menyumbang ke arah menggalakkan pengurusan mudah tunai merentas sempadan yang lebih cekap oleh institusi kewangan Islam, sambil membantu institusi kewangan memenuhi keperluan mudah tunai antarabangsa.
Izinkan saya merumuskan ucapan saya ini. Meskipun evolusi landskap kewangan global kini sedang dibentuk ekoran keperluan untuk mengembalikan semula kewangan kepada fungsi asasnya iaitu menyediakan perkhidmatan kepada ekonomi benar, beberapa persoalan kritikal masih wujud, yang jawapannya sudah tentu akan mempunyai kesan penting kepada agenda global untuk membina sistem kewangan yang kukuh dan berdaya tahan, yang menggalakkan pertumbuhan yang mampan. Khususnya, menentukan saiz sektor kewangan yang wajar secara relatif dengan ekonomi sebelum ia menjadi ancaman kepada keseluruhan sistem kewangan dan kestabilan ekonomi; menggalakkan keadaan yang memastikan inovasi kewangan akan memberi manfaat kepada ekonomi; dan meningkatkan prospek untuk menyelaraskan kehendak pelabur modal dengan strategi perbankan yang lebih mampan. Kesemua ini merupakan cabaran besar yang perlu ditangani oleh penggubal dasar pada masa akan datang.
Masyarakat dunia telah mencapai beberapa kejayaan besar namun masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan untuk mencapai keseimbangan yang wajar antara memelihara keselamatan dan kekukuhan sistem kewangan dan membenarkan institusi dan pasaran kewangan melaksanakan fungsi mereka yang telah ditetapkan. Oleh itu, kita sebenarnya masih mempunyai pilihan dasar. Peranan dasar kehematan makro dan perkembangan dalam kewangan Islam telah mendapat keutamaan yang lebih besar dari segi potensinya untuk meningkatkan kestabilan kewangan, dan yang paling nyata ialah melalui sumbangan penting mereka untuk mengembalikan asas bagi kewangan yang menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan, sekali gus membawa bersamanya manfaat yang amat besar kepada ekonomi benar dan kesejahteraan hidup seluruh masyarakat.
1 Sehingga Disember 2009. BIS Quarterly Review Statistical Annex, Jun 2010, Jadual 19.
2 Penerbitan The Banker.
3 Berdasarkan artikel bertajuk "The term ‘macro-prudential': origins and evolution" dalam BIS Quarterly Review, Mac 2010, yang memuatkan petikan minit mesyuarat Jawatankuasa Cooke (pengasas Jawatankuasa Basel Mengenai Penyeliaan Perbankan sekarang ) yang tidak diterbitkan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.