Ucaptama oleh Gabenor Sempena Seminar Kewangan Islam: Semasa dan Selepas Krisis Kewangan Global - "Kewangan Islam dan Kestabilan Kewangan Global"
Hilton Convention Centre, Istanbul, Turkey | 5 Oktober 2009
"Satu demi satu peristiwa yang berlaku semasa krisis kewangan global telah menonjolkan isu-isu yang berkait rapat dengan kestabilan sistem kewangan dan kekukuhan serta daya tahan mengenai arkitektur kewangan antarabangsa. Kegagalan proses pengantaraan kewangan dan hilangnya keyakinan terhadap sistem kewangan dilihat sebagai punca utama krisis. Sambil dunia terus berjuang untuk mengatasi kemelesetan ekonomi global dan sistem kewangan yang masih rapuh, penyelesaian terbaik terus giat dicari. Malah, perbincangan kini banyak berkisar tentang reformasi yang meluas. Selepas krisis ini, landskap kewangan akan datang akan jadi jauh berbeza daripada landskap semasa. Dalam usaha mencari reformasi yang wajar, ramai yang bersependapat bahawa sektor perbankan harus berbalik kepada fungsi asasnya - menyediakan perkhidmatan kewangan yang menambah nilai kepada ekonomi benar. Fungsi inilah yang menjadi inti pati kewangan Islam. Elemen sedemikianlah yang didukung oleh prinsip Syariah yang mendasari kewangan Islam, dan yang menjelaskan tentang daya tahannya semasa krisis kewangan antarabangsa ini. Dengan peranan dan kerelevanan kewangan Islam dalam sistem kewangan global yang semakin penting, ia bukan sahaja akan meningkatkan potensinya untuk menyumbang kepada kestabilan kewangan global tetapi juga dalam memperkasakan pertumbuhan global."
Saya amat berbesar hati kerana dijemput untuk berucap di Seminar Kewangan Islam: Semasa dan Selepas Krisis Kewangan Global yang dianjurkan bersama oleh Bank Dunia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Board, IFSB), Bank Pembangunan Islam (Islamic Development Bank, IDB) dan Institut Kewangan Antarabangsa (Institute of International Finance, IIF). Seminar ini dianjurkan ketika dunia dilanda ketidakstabilan kewangan global pada tahap yang belum pernah dialami sebelum ini, yang seterusnya telah mengakibatkan berlakunya dengan begitu pantas kemelesetan serentak ekonomi global. Meskipun tanda-tanda pemulihan ekonomi global mulai kelihatan, namun kesan krisis yang merebak dengan begitu meluas telah menggoyahkan asas sistem kewangan global. Kesan buruk akibat krisis ini masih belum dapat dipulih dan dibina semula. Oleh itu, masyarakat antarabangsa kini mula menuntut supaya reformasi terhadap infrastruktur kewangan dibuat supaya ia dapat dinaikkan ke satu tahap infrastruktur yang boleh menyediakan perkhidmatan terbaik kepada ekonomi dunia, dan juga lebih berdaya tahan apabila berhadapan dengan kejutan serta berupaya mengurangkan kemungkinan berlakunya krisis kewangan pada masa akan datang.
Sejarah menunjukkan bahawa lebih daripada seratus krisis perbankan berasingan telah berlaku dalam tiga dekad yang lalu. Justeru, tuntutan terhadap usaha untuk mencari penyelesaian yang berkekalan bagi memastikan sistem kewangan terus stabil, semakin genting. Cabaran yang menanti adalah untuk membina arkitektur kewangan baharu yang membolehkan institusi pengantaraan kewangan berfungsi dengan lebih berkesan, bukan sahaja dalam ekonomi sesebuah negara bahkan merentas sempadan. Cabaran ini boleh dikendalikan oleh kewangan Islam memandangkan ia menekankan hubung kait yang erat dengan aktiviti ekonomi yang produktif, selain ciri sekatan dan imbangannya yang sedia ada serta tahap pendedahan dan ketelusan yang tinggi. Sememangnya elemen yang jelas ada dalam kewangan Islam berupaya menangani beberapa isu sistem kewangan konvensional semasa krisis sekarang.
Memandangkan krisis semasa ini mempunyai dimensi global dengan tahap penularannya yang pantas dan kesannya yang buruk, keazaman kolektif yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat antarabangsa untuk berganding bahu bagi merumuskan strategi global yang akan mengubah dan membentuk sistem kewangan yang stabil dan mapan sepanjang kitaran perniagaan amatlah perlu. Sejajar dengan peningkatan peranan kewangan Islam dalam sistem kewangan global, maka semakin meningkatlah juga pendedahannya kepada risiko tekanan kewangan berikutan ketidakstabilan kewangan dan aktiviti ekonomi global. Oleh itu, hubungan global antara pihak yang memacu agenda reformasi perlu diperkuat memandangkan ia akan menghasilkan struktur, piawaian dan rejim kawal selia yang baharu untuk industri. Hal ini penting terutamanya apabila piawaian sedemikian menjadi asas penilaian agensi pelbagai hala, agensi penarafan serta pasaran. Hubungan sedemikian juga memudahkan kerjasama dan permuafakatan untuk mencapai matlamat memelihara kestabilan kewangan global.
Gabungan faktor pemberian pinjaman yang tidak berhemat, pengambilan risiko yang berlebihan dan inovasi kewangan yang keterlaluan merupakan punca krisis kewangan semasa. Kegawatan kewangan yang dicetuskan oleh pasaran gadai janji dalam beberapa ekonomi maju mengakibatkan kegawatan meluas, yang diikuti kemudiannya oleh kegagalan fungsi pasaran kewangan. Walaupun terdapat perkembangan tersebut, industri kewangan Islam mampu menghadapi kesan peringkat pertama krisis kewangan global, lantas membuktikan kekukuhannya sebagai bentuk pengantaraan kewangan yang stabil.
Daya tahan institusi kewangan Islam sepanjang krisis ini menunjukkan kekukuhan dalamannya yang berlandaskan prinsip Syariah yang teguh. Tonggak kekukuhan ini adalah berdasarkan dua keperluan utama kewangan Islam. Pertama, urus niaga kewangan perlu berasaskan aktiviti ekonomi produktif sebenar yang akan menjana pendapatan dan kekayaan yang halal, lantas mewujudkan kaitan rapat antara urus niaga kewangan dengan aktiviti produktif. Oleh itu, dalam model perniagaan kewangan Islam, pembiayaan atau penyertaan ekuiti hanya boleh diberikan kepada aktiviti dalam sektor benar yang mempunyai nilai ekonomi. Dengan itu, aset kewangan Islam dijangka tumbuh seiring dengan pertumbuhan aktiviti ekonomi yang mendasarinya.
Kedua, kewangan Islam adalah berasaskan perkongsian keuntungan, iaitu risiko akan dikongsi secara bersama. Oleh itu, kewangan Islam mendorong institusi kewangan Islam untuk melaksanakan usaha wajar yang sesuai berhubung dengan daya maju cadangan perniagaan dan menguatkuasakan keperluan ketelusan dan penzahiran. Satu lagi faktor yang tidak kurang penting ialah peranan lembaga Syariah dalam memastikan semua aspek operasi perniagaan institusi kewangan Islam adalah berlandaskan prinsip Syariah lantas menambah tahap penyeliaan sedia ada yang mampu mengelakkan daripada berlakunya amalan yang tidak bertanggungjawab. Apabila dimensi tadbir urus dan pengurusan risiko yang sedia ada ini dilaksanakan sepenuhnya, ia akan dapat melindungi kewangan Islam daripada kemungkinan wujudnya risiko tekanan kewangan berikutan tahap hutang atau aktiviti spekulatif yang keterlaluan.
Meskipun krisis semasa telah menimbulkan ketidakpastian dan mewujudkan persekitaran yang lebih mencabar, perkembangan dan pembangunan industri perkhidmatan kewangan Islam dalam sistem kewangan global tetap berjalan dengan lancar. Sifat dinamik sistem kewangan Islam dicerminkan oleh pertumbuhannya yang kukuh, penambahan rangkaian produk dan perkhidmatan serta penubuhan penyedia perkhidmatan kewangan Islam baharu dari seluruh pelosok dunia, termasuk negara-negara bukan Islam. Penyertaan lebih giat ini amat ketara dalam pasaran sukuk, dan penerbit dari pelbagai ceruk dunia telah berjaya memperoleh dana. Terbitan sukuk dalam mata wang tempatan dan mata wang asing baru-baru ini telah menarik minat banyak pelabur dari Asia, Eropah dan Timur Tengah. Perkembangan positif ini dapat dicapai meskipun persekitaran pasaran kewangan global menjadi semakin mencabar.
Ketika kewangan Islam melalui proses pembaharuan untuk memenuhi keperluan perniagaan dan pelanggan yang sentiasa berubah, inovasi dalam pembangunan produk dan perkhidmatan baharu kewangan Islam amat penting. Namun begitu, inovasi kewangan tanpa had boleh menjadi sumber ketidakstabilan utama dalam sistem kewangan. Dalam kewangan Islam, inovasi kewangan perlu diuji dengan 'Maqasid al-Shariah' (matlamat Syariah), iaitu mengutamakan matlamat manfaat untuk rakyat. Langkah ini menuntut penghayatan mendalam prinsip Syariah dalam urus niaga kewangan Islam, baik dari segi bentuk mahupun inti patinya. Malah, langkah untuk merangkumkan inovasi berlandaskan Syariah memerlukan budaya kepatuhan Syariah yang kuat dalam institusi kewangan Islam. Ini seterusnya memastikan proses pembangunan produk dalam kewangan Islam berlandaskan tuntutan Syariah yang turut menekankan tawaran nilai yang beretika.
Inovasi kewangan juga perlu disokong oleh pengurusan risiko yang teguh dan amalan tadbir urus yang mantap. Sememangnya diakui bahawa struktur kewangan yang canggih dan kompleks lazimnya menyebabkan pelanggan, pelabur dan pengawal selia gagal memahami risiko dan manfaat yang wujud dalam instrumen, yang seterusnya mengakibatkan kurangnya ketelusan dan pengurusan risiko. Dalam kewangan Islam, satu prasyarat di bawah pengaturan perkongsian risiko ialah mempunyai maklumat yang perlu untuk memahami risiko yang bakal ditanggung oleh institusi kewangan Islam. Elemen perkongsian risiko yang jelas antara pembiaya dengan pelanggan dalam kewangan Islam mewajibkan pesertanya menilai profil risiko produk atau cadangan pelaburan, trend dasar dalam perolehan dan aliran tunai, dan potensi untuk menjana pendapatan. Proses ini juga membolehkan penentuan harga dana dapat diselaraskan dengan sewajarnya.
Keupayaan institusi kewangan Islam untuk menguruskan risiko yang khusus bagi urus niaga kewangan Islam turut memainkan peranan penting. Misalnya, modal tambahan diperlukan untuk menampan kesan risiko inventori aset dasar dan kedudukan ekuiti yang wujud dalam kontrak perkongsian. Melalui cara ini, keperluan modal adalah lebih sepadan dengan risiko ekonomi sebenar dalam portfolio institusi kewangan. Bagi memenuhi jangkaan penyimpan dan mengekalkan keyakinan pasaran, bank-bank Islam turut dibenarkan menyimpan sebahagian daripada pendapatan yang diperoleh daripada aset yang dibiayai di bawah kontrak Mudarabah, dalam bentuk rizab penyamaan keuntungan (profit equalisation reserves, PER) sebagai mekanisme untuk menampung impak pulangan mereka yang turun naik. Langkah ini diperkukuh oleh tadbir urus yang lebih mantap dan ketelusan yang lebih tinggi dalam mengendalikan hubungan yang berlandaskan amanah, iaitu ciri asas kewangan Islam.
Globalisasi yang lebih meluas dan integrasi yang lebih mendalam antara sistem kewangan Islam dengan sistem kewangan antarabangsa dijangka meningkatkan risiko penularan daripada pasaran dan negara lain. Di samping itu, kewangan Islam juga dijangka terjejas oleh kesan peringkat kedua ekoran pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan mudah tunai global yang berkurang. Dalam persekitaran ini, infrastruktur pengurusan mudah tunai yang berfungsi dengan baik amat penting untuk memperkukuh keupayaan institusi kewangan Islam menguruskan kedudukan mudah tunai masing-masing dengan berkesan. Apa yang penting ialah terdapat banyak instrumen pasaran kewangan Islam berlandaskan Syariah bagi memudahkan pengurusan mudah tunai. Penggunaan instrumen tersebut untuk melaraskan baki portfolio dalam kaedah yang berlandaskan Syariah dapat memastikan risiko mudah tunai boleh diuruskan dengan berkesan.
Pasukan Petugas Pengurusan Mudah Tunai (Liquidity Management Task Force) telah ditubuhkan oleh IFSB dan IDB awal tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha kerjasama global untuk mempertingkat kecekapan institusi kewangan Islam dalam menguruskan mudah tunai dalam negeri dan merentas sempadan. Usaha ini diperlengkap oleh inisiatif pasaran yang berterusan oleh Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa (International Islamic Financial Market, IIFM) yang menumpukan pada kemajuan dan penyeragaman instrumen kewangan Islam bagi pasaran modal dan pasaran wang Islam. Malaysia baru-baru ini telah menubuhkan Bursa Suq Al-Sila' di bawah konsep murabahah komoditi. Bursa pelbagai mata wang dan komoditi ini merupakan platform dagangan bursa elektronik untuk memudahkan dagangan dan penyelesaian urus niaga komoditi dengan menggunakan minyak sawit mentah bagi pengurusan mudah tunai antara pusat kewangan Islam. Meskipun Malaysia telah mempunyai pasaran wang antara bank Islam yang cekap, bursa ini menyediakan alternatif lain bagi pengurusan mudah tunai. Melalui bursa ini juga, kesalinghubungan global dalam sistem kewangan Islam antarabangsa dapat dipertingkatkan.
Langkah mengukuhkan rangka kerja pengawalseliaan kewangan Islam juga merupakan sebahagian daripada usaha membangunkan kewangan Islam. Dalam bidang piawaian kehematan antarabangsa bagi kewangan Islam, IFSB yang ditubuhkan pada tahun 2002 telah menghasilkan beberapa piawaian, daripada piawaian yang berkaitan dengan keperluan kecukupan modal hinggalah kepada tadbir urus dan pengurusan risiko. Kesemua piawaian tersebut bertujuan untuk membantu institusi kewangan Islam menerima pakai amalan dan piawaian terbaik antarabangsa.
Meskipun rangka kerja undang-undang dan pengawalseliaan asas yang mengambil kira ciri tersendiri kewangan Islam telah pun sedia ada, infrastruktur yang lebih komprehensif diperlukan untuk menghadapi cabaran semasa. Memandang jauh ke hadapan, rangka kerja pengurusan krisis bersepadu perlu dihasilkan sebagai sebahagian daripada infrastruktur untuk memastikan sebarang krisis yang muncul dalam sistem kewangan Islam dapat diurus dengan pantas dan berkesan. Rangka kerja undang-undang yang lebih mudah dan moden juga diperlukan bagi menjadikan urus niaga lebih kondusif untuk kewangan Islam. Di samping itu, sempadan rangka kerja pengawalseliaan kewangan Islam juga perlu disesuaikan dari semasa ke semasa supaya sejajar dengan perubahan dan pembaharuan sistem kewangan. Di Malaysia, rangka kerja undang-undang dan pengawalseliaan kewangan Islam yang komprehensif turut disokong oleh rangka kerja jaringan keselamatan kewangan yang merangkumi kemudahan pemberi pinjaman usaha akhir (lender of last resort) dan sistem insurans deposit.
Sambil kita melangkah ke hadapan selepas krisis kewangan global ini, kita perlu mewujudkan pengaturan keinstitusian bagi mencari penyelesaian untuk institusi kewangan Islam antarabangsa yang bermasalah. Di Malaysia, kami juga menyediakan mekanisme penyelesaian yang dimandatkan untuk menghasilkan penyelesaian pantas, cekap dan berkesan kos bagi institusi kewangan Islam. Walau bagaimanapun, krisis semasa menuntut supaya mekanisme kerjasama antara pengawal selia merentas negara diwujudkan untuk mendapatkan penyelesaian dan membendung kemungkinan berlakunya risiko sistemik yang melangkaui sempadan negara. Bagi menggalakkan kestabilan kewangan global dalam sistem kewangan Islam, Pasukan Petugas untuk "Kewangan Islam dan Kestabilan Kewangan Global" telah ditubuhkan pada tahun 2008 oleh IDB dengan kerjasama IFSB, dengan penyertaan pemimpin industri dan pakar antarabangsa. Pasukan Petugas ini akan meneliti pembangunan selanjutnya pelbagai infrastruktur kewangan Islam untuk memperkukuh ketahanan dan kemampuannya untuk menghadapi cabaran akan datang. Dalam hal ini, kemajuan yang menggalakkan telah dicapai oleh Pasukan Petugas ini dan satu laporan yang mengandungi saranan penting dijangka dikemukakan kepada Majlis IFSB pada bulan November tahun ini. Antara perkara yang terkandung dalam laporan tersebut termasuklah pelaksanaan dan penguatkuasaan piawaian kehematan yang berkesan, rangka kerja penyeliaan, pengukuhan mekanisme jaringan keselamatan kewangan dan pembangunan rangka kerja pengurusan dan penyelesaian krisis yang berkesan. Laporan tersebut turut menyatakan saranan bagi penubuhan Forum Kestabilan Kewangan untuk menangani isu kestabilan kewangan dalam sistem kewangan Islam.
Proses mengantarabangsakan kewangan Islam memerlukan industri bergerak maju ke peringkat penerimaan antarabangsa yang seterusnya, dengan saling pengiktirafan terhadap piawaian dan produk kewangan merentas negara. Malah, dalam bidang Syariah, telah pun wujud pertumpuan pendapat dan fatwa Syariah secara progresif, dan saling pengiktirafan piawaian serta produk kewangan merentas negara. Langkah yang berterusan ini bakal menjadi pemacu penting ke arah pertumpuan dan pengharmonian yang lebih tinggi. Jalinan hubungan dan perbincangan yang lebih meluas dalam kalangan pengawal selia, pengamal dan cendekiawan kewangan Islam merentas negara telah banyak membantu usaha pertumpuan dan pengharmonian tersebut. Faktor ini penting memandangkan matlamat bersama ialah kestabilan kewangan global.
Pengumuman yang dibuat susulan Persidangan G20 baru-baru ini dan kenyataan berkaitan yang dikeluarkan oleh Lembaga Kestabilan Kewangan mencerminkan kerjasama kawal selia ekonomi antarabangsa yang akan menentukan agenda badan penetapan piawaian konvensional dalam menghasilkan rangka kerja pengukuhan piawaian kawal selia antarabangsa. Ini juga akan membentuk asas penilaian yang akan dilaksanakan oleh agensi multilateral seperti IMF. Oleh itu, perbincangan dengan badan yang menetapkan piawaian kehematan untuk kewangan Islam adalah penting bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran tentang sama ada piawaian konvensional baharu yang diperkenalkan boleh digunakan dalam kewangan Islam dan sama ada modifikasi perlu dibuat, tetapi juga tentang kemungkinan wujudnya kesan yang tidak dirancang. Faktor yang sama penting ialah pengiktirafan terhadap piawaian yang dikeluarkan khusus untuk kewangan Islam oleh IFSB. Sebagai komponen yang semakin penting dalam sistem kewangan antarabangsa, penglibatan dan hubungan antara badan penetapan piawaian antarabangsa harus dipertingkatkan, memandangkan matlamat bersama ialah kestabilan kewangan global.
Sebagai kesimpulan, meskipun kekukuhan dalaman kewangan Islam telah menyumbang kepada daya maju dan daya tahannya, asas kemampanannya sebagai bentuk pengantaraan kewangan yang berdaya saing akan terus diperkuat pada masa akan datang. Usaha bersepadu sedang digembleng dengan menumpukan pada pembangunan pasaran kewangan Islam, infrastruktur kewangannya, serta pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan untuk menyokong inovasi kewangan Islam. Selain itu, usaha untuk mempertingkat rangka kerja undang-undang dan pengawalseliaan juga giat dijalankan. Dalam memajukan lagi kewangan Islam, langkah memanfaatkan kemajuan teknologi dan pembangunan modal insan juga dilaksanakan. Akhirnya, seiring dengan liberalisasi yang lebih meluas, infrastruktur yang berkesan juga diwujudkan untuk meningkatkan kesalinghubungan antara negara. Komponen penting dalam usaha ini ialah pengaturan yang lebih inklusif bagi meningkatkan hubung kait usaha reformasi yang sedang dijalankan dalam sistem kewangan antarabangsa. Usaha dan iltizam kita yang bersungguh-sungguh untuk memperkukuh daya tahan industri kewangan Islam akan meningkatkan potensinya untuk menyumbang kepada kestabilan kewangan global dan seterusnya mencerahkan prospek pertumbuhan global.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.