Ucaptama oleh Penolong Gabenor Madelena Mohamed Dialog Peringkat Tinggi Mengenai Daya Tahan Rantaian Bekalan: Pandangan Tentang Penghijauan Rantaian Nilai bagi ASEAN

Pusat Konvensyen Kuala Lumpur | 8 April 2025

‘Daya Tahan Rantaian Bekalan: Pandangan Tentang Penghijauan Rantaian Nilai bagi ASEAN’

 

Saya berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan anda ke Dialog Peringkat Tinggi mengenai Daya Tahan Rantaian Bekalan, iaitu suatu wacana untuk kita bertukar idea dan pandangan mengenai penghijauan rantaian nilai bagi ASEAN. Usaha ke arah pencapaian sasaran pelepasan sifar bersih di seluruh negara ASEAN menekankan realiti yang sangat penting iaitu pentingnya penyahkarbonan rantaian nilai, terutamanya PKS, untuk daya saing, pertumbuhan dan daya tahan serantau.

PKS menyumbang lebih 99% daripada ekosistem perniagaan ASEAN. Namun, banyak PKS menghadapi struktur yang terhad dan halangan pelaksanaan tindakan iklim. Halangan ini termasuk kekangan kewangan, jurang kemahiran dan akses yang tidak mencukupi kepada sokongan teknikal. PKS berorientasikan eksport di ASEAN berisiko kehilangan USD237.5 bilion dalam hasil berpotensi jika mereka gagal beralih kepada amalan yang lebih lestari dan mampan.[1] Peralihan PKS bukan hanya sekadar mengurangkan pelepasan karbon atau menggunakan teknologi yang lebih bersih, tetapi juga memperteguh ekonomi untuk masa hadapan dengan meningkatkan kecekapan sumber, mengurangkan kos dan membina daya tahan terhadap iklim dan gangguan lain.

Dalam kita menghadapi landskap ekonomi global yang berubah-ubah, kita perlu mengenali peralihan dinamik yang membentuk semula perdagangan antarabangsa. Khususnya, pengenaan tarif baru-baru ini telah memperlihatkan kelemahan yang timbul akibat terlalu bergantung pada mana-mana pasaran atau sektor tertentu. Bagi negara-negara ASEAN, situasi ini membuka peluang untuk menilai semula pendekatan kita terhadap kerjasama perdagangan dan ekonomi.

ASEAN sedang mencatatkan perkembangan baik untuk menjadi blok ekonomi keempat terbesar menjelang tahun 2030. Pada tahun 2025, KDNK ASEAN diunjurkan berkembang sebanyak 4.7%, melebihi pertumbuhan global. Walau bagaimanapun, unjuran ini masih belum mengambil kira dasar tarif yang diumumkan oleh pentadbiran AS minggu lalu. Penilaian awal berdasarkan maklumat yang kita miliki menunjukkan bahawa impak dasar ini akan ketara memandangkan kebanyakan negara ASEAN merupakan ekonomi kecil yang terbuka. Namun, hal ini bukanlah sesuatu yang tidak boleh kita tangani. Rantau kita telah menghadapi cabaran yang sukar sebelum ini dan mengharungi volatiliti yang melampau pada masa dahulu, namun kita sentiasa muncul lebih kuat. Dengan cara mempererat integrasi serantau dan hubungan perdagangan intra-ASEAN, serta mempelbagaikan ekonomi kita dalam rantau ini, kita akan lebih bersedia untuk mengurangkan risiko yang timbul daripada ketidakpastian global. Hal ini termasuk memperluas dan menghijaukan rantaian bekalan kita, membuat pelaburan dalam industri dan pasaran baharu dan memanfaatkan kekuatan kolektif kita, sama ada dalam perkilangan, teknologi mahupun perkhidmatan, untuk memupuk pertumbuhan jangka panjang yang berterusan.

Berikutan beberapa perubahan dinamik ini, Malaysia, di bawah pengawasan Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Cimate Change) atau JC3, telah memulakan mekanisme campuran rintis yang dikenali sebagai program Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain) atau GVC pada tahun 2023. Program GVC ini memberikan sokongan kepada PKS melebihi akses kepada pembiayaan dalam peralihan mereka. PKS diberikan akses kepada latihan teknikal dan alat praktikal untuk memulakan peralihan mereka ke arah penyahkarbonan operasi mereka, selain pembiayaan pada kadar yang kompetitif.

Elemen utama program ini ialah peranan syarikat penaja yang lazimnya syarikat korporat besar, untuk menyokong PKS dalam rantaian nilai masing-masing. Lebih 330 PKS telah menjalani latihan teknikal sejak permulaan program, dan hampir separuh telah mula mengukur dan melaporkan pelepasan Gas Rumah Hijau (Greenhouse Gases, GHG) mereka. “Alone we can do so little; together we can do so much”.  Berpegang kepada prinsip ini, kami menggabungkan tiga komponen utama iaitu Kerjasama, Inovasi dan Penambahbaikan Berterusan untuk mempercepat penyahkarbonan PKS yang menyertai GVC.

Pertama, kami belajar dari awal bahawa pendekatan seluruh ekosistem adalah perlu untuk mencapai kemajuan yang bermakna. Kerjasama yang berkesan bermaksud mempunyai platform yang sama untuk semua pihak mencapai kemajuan berlandaskan kepakaran dan pengalaman satu sama lain. Hal ini membolehkan penyelesaian komprehensif yang meningkatkan kebolehlaksanaan peralihan PKS. Contohnya, menerusi GVC kami telah melihat syarikat korporat besar berperanan sebagai penaja utama lantas membolehkan PKS memanfaatkan infrastruktur dan pengetahuan mereka untuk melaksanakan peralihan.

Kedua, mempunyai perkongsian sama menang (win-win partnership) akan memperkuat impak. Dengan sokongan yang betul, PKS lebih bersedia untuk menerima penyelesaian baharu. Kami mendapati cara insentif dan bantuan kewangan daripada syarikat korporat penaja serta institusi kewangan peserta membantu peralihan pembekal PKS mereka. Perkongsian pintar mengatasi kekangan sumber dan memupuk budaya inovasi.

Ketiga, meneruskan perubahan adalah sangat penting. Sistem perlu tangkas dan fleksibel untuk membuat penyesuaian dengan keperluan PKS yang berkembang. Rangka kerja penyesuaian, penambahbaikan dasar yang berulang dan komitmen yang berterusan daripada semua pihak berkepentingan adalah sangat penting untuk merealisasikan impak serta memastikan perubahan yang berkekalan.

Kesimpulan dan seruan untuk bertindak

Setiap negara adalah berbeza. Namun, meskipun terdapat keunikan tersendiri, kita berkongsi banyak cabaran yang sama. Terdapat ruang yang luas untuk belajar dari satu sama lain dan menyesuaikan penyelesaian yang telah diuji kepada konteks tempatan di rantau ini. Buku Panduan GVC untuk ASEAN bertujuan untuk menyumbang kepada peralihan yang dikongsi ini. Selain mencatatkan iktibar berharga daripada pengalaman Malaysia, buku panduan ini berfungsi sebagai sumber praktikal untuk perumus dasar, institusi kewangan dan perniagaan di seluruh ASEAN yang ingin mengintegrasikan kelestarian ke dalam rantaian nilai mereka.

Kepada semua peserta di sini hari ini, iaitu syarikat korporat, PKS, institusi kewangan dan perumus dasar, saya menggalakkan anda untuk mengoptimumkan Buku Panduan GVC dan meneroka cara untuk meningkatkan usaha kelestarian anda. Bersama-sama, kita boleh meraih pembangunan yang lebih berdaya tahan, kompetitif dan mampan di seluruh ASEAN.

Terima kasih dan saya berharap agar sesi pada hari ini memberikan manfaat buat hadirin semua.

 


[1]  Anggaran berdasarkan tiga negara pengeksport utama di ASEAN iaitu Malaysia (USD65.3 bilion), Indonesia (USD25.6 bilion) dan Singapura (USD146.6 bilion). Sumber: Multinational Companies Planning to Cut Suppliers by 2025.


Bank Negara Malaysia
08 April 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?