Ucaptama oleh Penolong Gabenor di Majlis Muhadharah ILIM Kali Ke-9 yang bertajuk "Kedudukan Sistem Kewangan Islam di Malaysia - Satu Tinjauan"

Institut Latihan Islam Malaysia, Kuala Lumpur | 13 Oktober 2009

Segala puji bagi Allah Subhanahuwataala, selawat dan salam kepada? junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam, juga kepada kaum keluarganya, para sahabatnya dan semua pengikutnya.

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita bertemu di sini bagi menjayakan Majlis Muhadharah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) kali ke-9. Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi kesempatan kepada saya untuk menyampaikan ucaptama di majlis Muhadharah pada kali ini.

Ucapan saya pada hari ini akan memberikan penekanan pada dua bahagian. Bahagian pertama, saya akan menyentuh perkembangan sistem kewangan Islam di Malaysia. Bahagian kedua pula berkenaan strategi ke arah memperkasakan lagi kedudukan negara kita sebagai peneraju kewangan Islam antarabangsa.

Industri kewangan Islam di Malaysia telah mengalami transformasi yang pesat dalam dekad kebelakangan ini. Industri ini telah berkembang menjadi salah satu komponen yang kompetitif dalam sistem kewangan di Malaysia dan menjadi salah satu pemacu pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara. Dengan sistem kewangan Islam dan konvensional beroperasi seiring, Malaysia terus menggalakkan peluasan sektor ini di dalam dan luar negara. Malaysia telah muncul sebagai sebuah negara yang mempunyai sektor kewangan Islam yang paling komprehensif di dunia, disokong oleh semua komponen yang diperlukan oleh sesebuah sistem kewangan iaitu perbankan Islam, takaful, serta pasaran wang dan ekuiti Islam, berlandaskan sistem perundangan yang tersendiri dan menyeluruh.

Sepanjang lima tahun yang lalu, sektor perbankan Islam di Malaysia telah mencatat pertumbuhan dua angka dengan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 20% dari segi aset. Pada suku kedua tahun 2009, bahagian aset perbankan Islam daripada jumlah aset sektor perbankan keseluruhan telah berkembang hingga mencapai 18.9% berbanding hanya 10.5% pada tahun 2004. Industri takaful juga mencatat prestasi yang memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 25.1% dari segi caruman dalam tempoh yang sama. Jumlah caruman industri takaful juga mencatatkan bahagian yang lebih besar dalam keseluruhan sektor insurans hingga mencapai 9.25% pada suku tahun kedua 2009. Malaysia juga kekal sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia dengan mencakupi lebih 45% daripada terbitan sukuk global pada tujuh bulan pertama tahun 2009.

Krisis kewangan yang melanda dunia baru-baru ini telah membuka peluang yang luas kepada sektor kewangan Islam sebagai salah satu alternatif penting kepada krisis kewangan global ini. Ini jelas, walaupun krisis kewangan global mengakibatkan beberapa institusi kewangan merudum dalam sistem kewangan konvensional, sektor kewangan Islam masih mampu mencatatkan pertumbuhan positif. Dengan aset kewangan Islam global dijangka meningkat kepada USD1.6 trilion pada 2012 , sektor ini dijangka mampu menjadi lebih maju dalam pasaran kewangan antarabangsa dengan cirinya yang tersendiri berbanding dengan sistem kewangan konvensional. Peningkatan perkembangan sektor kewangan Islam turut dapat dilihat menerusi minat dan komitmen yang ditonjolkan oleh pusat-pusat kewangan antarabangsa yang didominasi oleh masyarakat bukan Islam seperti London, Paris, Hong Kong, Singapura dan Jepun untuk membangunkan sektor kewangan Islam di negara mereka. Justeru, inilah masa dan peluang terbaik bagi negara-negara Islam seperti Malaysia untuk memperkukuh struktur dan produk kewangan Islam mereka serta mengetengahkannya kepada dunia sebagai pilihan utama kaedah pemulihan ekonomi global.

Perkembangan positif industri kewangan Islam di Malaysia selama ini merupakan hasil langkah-langkah strategik Kerajaan, berserta sokongan pelbagai pihak dalam mengembangkan kewangan Islam. Sejak penubuhan Tabung Haji dan bank Islam yang pertama, negara terus mengemudi pelbagai usaha seperti memperkenalkan syarikat takaful pertama dan membolehkan bank-bank konvensional turut membuka kaunter yang menawarkan perkhidmatan perbankan dan kewangan Islam. Inisiatif ini disokong dengan usaha berterusan dalam memantapkan rangka kerja perundangan, pengawalan, penyeliaan dan Syariah bagi memastikan sektor kewangan Islam dapat berkembang secara teratur dan, pada masa yang sama, kestabilan kewangan dikekalkan. Komitmen kerajaan untuk memastikan negara menjadi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa turut direalisasikan dalam pembentangan Bajet 2007. Pelbagai insentif diperkenalkan termasuklah pengecualian cukai dan duti setem terhadap pelbagai bentuk operasi perniagaan perbankan Islam dan takaful.

Perkembangan ini telah mendorong negara untuk melaksanakan proses liberalisasi dalam industri perkhidmatan kewangan Islam pada tahun 2002. Langkah ini telah meningkatkan kehadiran dan penyertaan asing dalam sistem kewangan Islam Malaysia, seterusnya mewujudkan peserta industri yang pelbagai. Pasaran bon Malaysia juga telah menyaksikan entiti asing menerbitkan bon dalam denominasi ringgit dan mata wang asing dalam pasaran domestik. Berikutan perkembangan ini, Malaysia kini memasuki fasa baharu dalam pembangunan sistem kewangan Islam, dengan inisiatif untuk mempromosikan Malaysia sebagai sebuah Pusat Kewangan Islam Antarabangsa. Inisiatif ini bertujuan mengukuhkan kesalinghubungan ekonomi dan kewangan Islam Malaysia dan seterusnya menggalakkan perdagangan dan pelaburan merentas sempadan yang lebih giat.

Antara perkembangan positif yang dapat dilihat kesan daripada langkah liberalisasi ini ialah peningkatan dan peluasan penggunaan pelbagai konsep Syariah dalam produk-produk kewangan Islam. Jika sebelum ini banyak produk perbankan Islam menggunakan konsep Syariah yang terhad seperti Wadiah, Murabahah, Bai' Bithaman Ajil, dan Bai' al-Dayn, kini lebih banyak konsep Syariah yang lain telah diterima pakai seperti Ijarah, Mudarabah, Musyarakah, dan Tawarruq. Kepelbagaian aplikasi konsep Syariah ini meningkatkan inovasi dan variasi dalam penawaran produk-produk kewangan Islam. Perkembangan ini menunjukkan bahawa peningkatan persaingan antara peserta industri telah menjadikan mereka lebih inovatif dalam meneroka pelbagai produk baharu bagi memenuhi kehendak pelanggan.

Strategi ke Arah Memperkasakan Kedudukan Malaysia sebagai Peneraju Kewangan Islam Antarabangsa
Pepatah Melayu ada menyatakan, "Yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang". Pencapaian cemerlang dalam kewangan Islam yang dikecapi negara pada hari ini memerlukan usaha yang berterusan bagi memastikan sektor ini terus berkembang maju dan berdaya saing, seterusnya memastikan negara kita terus berada di hadapan dalam bidang ini. Oleh itu, izinkan saya berkongsi pandangan dengan hadirin dan hadirat semua beberapa strategi yang dianggap penting dan perlu dilaksanakan dalam memastikan kelangsungan kemajuan yang telah kita capai selama ini.

Pertama, melahirkan cendekiawan Syariah yang dinamik (menguasai pelbagai bidang keilmuan). Dalam menyahut seruan Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan amalan-amalan Syariah kewangan Islam global, cendekiawan Syariah yang dinamik memainkan peranan yang amat signifikan. Selaras dengan tuntutan dan keperluan semasa, penguasaan ilmu oleh para ulama dan cendekiawan Islam pada hari ini tidak seharusnya terbatas kepada satu bidang keilmuan tertentu sahaja. Hakikatnya, untuk terus memacu inovasi dan meningkatkan prestasi industri kewangan Islam ke martabat yang lebih tinggi, pengetahuan ekonomi dan kewangan yang kukuh perlu diadun dengan kefahaman tunjang Syariah yang menyeluruh. Ini kerana kombinasi ilmu yang mendalam merupakan resipi kepada penetapan hukum Syariah yang mendasari setiap produk dan perkhidmatan kewangan Islam. Jelas sekali, inovasi yang pesat menuntut set kemahiran dan kepakaran yang mantap bagi kedua-dua cabang ilmu kewangan dan Syariah.

Keperluan menguasai pelbagai bidang ilmu ini dapat kita lihat dalam proses mengenal pasti isu-isu kepatuhan Syariah, khususnya produk-produk dan instrumen kewangan. Hal ini memerlukan kemampuan para ulama dan cendekiawan Islam untuk memahami instrumen dan struktur produk dari segi konsep dan pelaksanaan. Ini bertepatan dengan satu kaedah fikah yang menyebut "sesuatu hukum (yang diputuskan) bergantung pada kefahaman (terhadap isu yang dibincangkan)". Oleh yang demikian, kegagalan untuk menguasai dan memahami bidang keilmuan yang berkaitan bukan sahaja akan mengakibatkan kaedah fikah ini tidak terlaksana dengan baik, bahkan keputusan yang diterbitkan berkemungkinan tidak tepat.

Kepentingan menguasai pelbagai bidang keilmuan ini bukan sahaja terhad kepada amalan dalam kewangan Islam semata-mata. Malahan, ia juga merupakan realiti dalam sektor-sektor lain seperti sektor perkilangan, perindustrian, teknologi dan sebagainya.

Tuntutan penguasaan pelbagai bidang ilmu ini bukanlah sesuatu yang mustahil dan bahru. Malah, sejarah telah? membuktikan kepada kita tentang kehebatan tokoh-tokoh ilmuwan Islam. Misalnya, Imam Al-Ghazali merupakan salah seorang daripada tokoh-tokoh pemikir Islam yang mempunyai pelbagai pengetahuan dan pemikiran yang luas, tanpa menjurus kepada sesuatu bidang ilmu dan pemikiran sahaja.? Imam Al-Ghazali telah menghujahkan dan membahaskan isu-isu yang timbul daripada perbincangan ilmu kalam, ilmu falsafah, ilmu tasawuf dan juga ilmu fikah melalui penulisannya. Selain itu, dunia Islam turut mempunyai Al Farabi yang merupakan salah seorang tokoh falsafah dan pakar sains Islam yang masyhur dalam bidang falsafah, sosiologi dan logik. Tidak terhad kepada tiga bidang, Al Farabi juga memberikan sumbangan penulisan dalam bidang perubatan, sains dan matematik.? Kegemilangan ilmu diteruskan oleh anak didik beliau iaitu Ibn Sina yang masyhur dalam bidang perubatan menerusi penulisan Al-Qanun fi al-Tibb (Peraturan Dalam Urusan Yang Berkaitan Ilmu Kedoktoran). Penguasaan ilmu Ibn Sina tidak terbatas dalam perubatan, malah beliau merupakan pensyarah bidang astronomi dan falsafah. Tokoh-tokoh ilmuwan Islam ini seharusnya dijadikan inspirasi oleh para ulama dan cendekiawan Islam hari ini dalam meluaskan kapasiti dan meningkatkan kualiti demi pembangunan dan kelestarian ilmu masa kini.

Berasaskan kepada keperluan untuk ahli Syariah mahir dalam bidang kewangan, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia untuk merealisasikan misi tersebut. Ini termasuklah membangunkan infrastruktur utama dan? sokongan buat sektor kewangan Islam. Antara inisiatif yang telah diambil ialah penubuhan institusi penyelidikan yang bertujuan untuk merangsang kefahaman yang tepat serta pentafsiran yang konsisten mengenai prinsip Syariah dalam kewangan Islam, baik ?di peringkat domestik mahupun antarabangsa. Antaranya, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (International Shariah Research Academy for Islamic Finance, ISRA) yang ditubuhkan pada bulan Mac 2008 untuk meningkatkan interaksi dan dialog sesama cendekiawan dan peserta industri, serta menggalakkan penyelidikan dalam bidang Syariah dan kewangan Islam. Penyelidikan dan dialog intelektual yang aktif akan menggalakkan inovasi dan kedinamikan ke arah memacu pembangunan kewangan Islam ke tahap yang lebih tinggi. Selain itu, keperluan untuk melahirkan lebih banyak tenaga mahir dalam kewangan Islam turut cuba dipenuhi menerusi ?program peringkat doktor falsafah dan sarjana dalam kewangan Islam yang ditawarkan oleh Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (International Centre for Education in Islamic Finance, INCEIF).

Namun, penubuhan institusi-institusi berkenaan sahaja masih belum mencukupi untuk mencapai matlamat yang disasarkan. Langkah kolaborasi? antara institusi kewangan Islam, ISRA dan INCEIF dengan institusi pengajian tinggi sama ada di dalam atau di luar negara perlu dipertingkat dalam melahirkan pelapis ulama dan cendekiawan Islam yang dinamik dan berkualiti. Ini merangkumi penilaian semula programlatihan yang sedia ada bagi memastikan ia selaras dengan keperluan pasaran yang sentiasa berubah. Pengambilan tokoh-tokoh akademik Islam berprofil tinggi untuk berkhidmat dengan institusi pendidkan tempatan juga dilihat sebagai salah satu inisiatif untuk membantu melahirkan individuyang lebih berkualiti dan mempunyai pendedahan yang lebih meluas. Kepentingan kemahiran berbahasa, terutamanya bahasa Inggeris, yang merupakan lingua franca dan bahasa Arab yang menjadi bahasa utama bagi kebanyakan ?sumber ilmu Syariah perlu diberi perhatian serius dalam memastikan modal insan yang serba boleh. Menerusi kefahaman ilmu yang jitu dan penguasaan mantap pelbagaibahasa, kita mampu menguasai segala cabang ilmu lantas ?menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan dan inspirasi pemikiran dalam fiqh muamalat.

Secara ringkasnya, sumber manusia dan modal insan dianggap sebagai kekuatan utama dalam menjana kelangsungan pembangunan sektor kewangan Islam, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa. Perhatian khusus terhadap usaha untuk melahirkan intelektual Syariah yang dinamik menjadi semakin penting terutama dalam menghadapi era globalisasi yang semakin mencabar. Untuk menghadapi cabaran ini, kita memerlukan perancangan dan strategi yang lebih nyata, teratur, sistematik dan konsisten dalam melahirkan lebih banyak ulama, cendekiawan dan intelek yang berkualiti, berdaya saing dan mampu menjana perkembangan sektor kewangan Islam pada masa hadapan.

Kedua, memastikan para ulama dan cendekiawan Islam memainkan peranan yang lebih proaktif dalam meningkatkan perkembangan sektor kewangan Islam.Para ulama menduduki posisi penting dalam masyarakat Islam. Peri laku ulama menjadi teladan, ucapan ulama menjadi pedoman dan nasihat ulama menjadi petunjuk. Penerimaan atau penolakan masyarakat terhadap ?sesuatu konsep atau gagasan banyak dipengaruhi oleh pandangan ulama.

Akta Bank Negara 2009 yang diluluskan Parlimen baru-baru ini telah mengiktiraf kedudukan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia sebagai badan yang diberikan mandat bagi menentukan hukum Syarak berkaitan kewangan Islam di Malaysia. Ini berlandaskan kesedaran akan peranan dan kedudukan penting yang dimainkan oleh para ulama dalam memastikan kepatuhan Syariah dalam ?seluruh aspek kewangan Islam. Akta ini secara jelas mewajibkan, bukan sahaja institusi kewangan Islam malah mahkamah dan penimbang tara untuk merujuk kepada Majlis Penasihat Syariah mengenai isu-isu yang berkaitan dengan kewangan Islam. Sebarang ijtihad kolektif atau resolusi yang diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah adalah mengikat dan perlu dipatuhi oleh semua pihak yang berkenaan. Akta baharu ini secara tidak langsung meletakkan martabat para ulama dan cendekiawan Islam pada kedudukan yang paling tinggi.

Walaupun prestasi kewangan Islam Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, kita tidak seharusnya terlalu selesa dengan pencapaian kita hari ini. Kewangan Islam merupakan suatu evolusi dan ia menuntut pembaharuan yang berterusan dari semasa ke semasa. Kita perlu lakukan anjakan paradigma. Institusi ulama hari ini bukan lagi merupakan pusat rujukan semata-mata, malah menggalas tanggungjawab lebih besar selaku penggerak masyarakat Islam ke arah pembangunan yang mampan, khususnya dalam bidang kewangan Islam. Para ulama harus lebih berani tampil melaksanakan inovasi pemikiran mereka.

Tidak dinafikan bahawa sering terdapat perbezaan pendapat dan pandangan dalam ?kalangan ulama tentang pentafsiran Syariah. Walau bagaimanapun, ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan usaha pembangunan dan perkembangan sektor kewangan Islam. Sebaliknya, ia harus danggap sebagai suatu cabaran dan peluang. Suatu cabaran kerana perbezaan pandangan akan menghasilkan? analisis dan penilaian yang lebih mendalam, manakala suatu peluang pula kerana ia menggalakkan amalan ijtihad yang sihat dalam kalangan para ulama selain fleksibiliti ?untuk menguji bidang baharu.

Cabaran dan peluang sebegini seharusnya dimanfaatkan dengan menyalurkan kesemua pandangan dan pendapat kepada medium ilmiah seperti perbincangan, perdebatan, dialog, penulisan dan kajian. Melalui penganjuran program-program ini, kita dapat menyaksikan penglibatan yang lebih aktif dalam kalangan para ulama dan cendekiawan Islam untuk menyuarakan? dan berkongsi pandangan. Ia akan menjadi wadah untuk menjana pemikiran dan idea bestari, merungkai dan melerai segala pandangan kontroversi, mencetus daya cipta dan inovasi, serta mendidik dan mengasuh generasi baharu. Di sini juga kita dapat memupuk semangat mahu meneroka bidang atau inovasi terbaharu, yang belum pernah diterokai sebelum ini.

Para sahabat Rasulullah SAW telah meninggalkan teladan yang baik untuk kita semua, dalam memupuk sifat proaktif terhadap persekitaran dan berani menyatakan pandangan. Misalnya, ketika peristiwa peperangan Badar, seorang sahabat Rasulullah ?SAW iaitu Hubab bin Al-Munzir dengan berani telah menyatakan pendapat yang bertentangan dengan cadangan Rasulullah SAW berkenaan posisi pasukan tentera Islam di lembah Badar. Hubab bin Al-Munzir telah mencadangkan kedudukan yang lebih strategik untuk pasukan tentera Islam menguasai sumber air, seterusnya menghalang laluan pihak musuh kepada sumber air. Peristiwa ini menunjukkan? sahabat berani dan proaktif dalam mengemukakan penyelesaian sekalipun ia kelihatan bercanggah dengan cadangan Rasulullah SAW sendiri.

 Sikap tidak proaktif para ulama akan mengakibatkan industri kewangan Islam Malaysia terus tidak cergas dan tidak bermaya. Dalam hal ini, sewajarnya kita mengambil pengajaran daripada sejarah perkembangan perundangan Islam itu sendiri. Sumber-sumber sejarah perundangan Islam secara jelas telah mencatat era kesuraman perkembangan perundangan Islam yang dikenali sebagai era tertutupnya pintu ijtihad. Era kesuraman ini bermula apabila para ulama merasakan sumber-sumber perundangan Islam yang telah ditinggalkan oleh tokoh-tokoh ulama terdahulu adalah ?memadai untuk? menyelesaikan permasalahan umat Islam. Mereka terus membataskan diri dalam paksi dan ruang sumber-sumber perundangan Islam sedia ada tanpa ada kemahuan untuk berijtihad dalam isu-isu kontemporari. Para ulama yang memperjuangkan kelangsungan ijtihad pada zaman itu dipandang serong dan tidak mendapat sokongan. Namun demikian,? sepanjang era tersebut gerakan memulihkan kelangsungan amalan ijtihad tetap berkembang dan diterajui oleh tokoh-tokoh ulama seperti Sheikhul Islam Abu Al-Abbas Taqiyuddin bin Taymiyyah (Imam Ibnu Taymiyyah). Penghasilan kitab Majalla al-Ahkam al-Adliyyah pada tahun 1286 Hijrah menjadi batu tanda berakhirnya era kesuraman perundangan Islam dan penutupan pintu ijtihad. Hampir 1000 tahun dunia Islam dirundung kesuraman akibat sikap para ulama yang tidak cergas dan tidak proaktif.? Justeru, era kesuraman ini tidak wajar dibiarkan berulang jika kita mahu terus maju dan membangun.

Walaupun para ulama dan cendekiawan Islam digesa menjadi proaktif dan berani dalam menyatakan pendapat dan idea mereka, arus globalisasi menuntut? keseragaman dalam penyelesaian sesuatu isu. Ini penting bagi mengelakkan daripada kekeliruan masyarakat serta memelihara kestabilan pasaran. Justeru, ijtihad secara kolektif dalam kalangan para ulama adalah penting kerana ia mampu membina permuafakatan dan persepakatan bagi memastikan keseragaman amalan Syariah kewangan Islam. Penzahiran ijtihad secara kolektif ini boleh dilakukan melalui keputusan dan fatwa para ulama yang kemudiannya digubal menerusi undang-undang dan garis panduan.

Penerbitan Rujukan Parameter Syariah merupakan salah satu langkah Bank Negara Malaysia untuk memastikan penerapan asas-asas prinsip Syariah yang konsisten dalam amalan kewangan Islam di Malaysia. Ini ialah hasil daripada interaksi secara aktif dan ijtihad secara kolektif? antara para ulama dan cendekiawan Islam dalam bidang kewangan Islam. Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman mengenai penerapan praktikal prinsip Syariah bagi kewangan Islam demi menyumbang ke arah pembangunan yang lebih inovatif bagi produk dan perkhidmatan kewangan Islam, di samping menggalakkan para ulama untuk terus berijtihad dengan lebih gigih.

Namun demikian, selaku peneraju sistem kewangan Islam, kita perlu bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai kritikan dan komen negatif berhubung dengan amalan sistem kewangan Islam di negara ini. Justeru, kita perlulah yakin bahawa pengamalan kewangan Islam di Malaysia merupakan pengamalan yang mematuhi prinsip ?Syariah selagi mana ia tidak bertentangan dengan mana-mana nas-nas yang jelas dan nyata. Di samping itu, para ulama dan cendekiawan Islam perlu lebih berani untuk tampil memberi pandangan secara terbuka di peringkat antarabangsa dalam menerangkan pendekatan dan aplikasi Syariah di negara ini.

Ketiga, mempertingkat kerjasama yang utuh dalam kalangan semua agensi kerajaan dan swasta dalam merealisasikan misi dan visi Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa. Bagi memastikan misi dan visi Kerajaan ini dapat dijayakan sepenuhnya, semua pihak perlu memahami dan menghayati matlamat tersebut agar segala usaha dapat direncanakan dan disepadukan ke arah mencapai objektif yang disasarkan. Menerusi penghayatan dan kefahaman yang sempurna, kita dapat mengenal pasti kekuatan dan mewujudkan ?sinergi dalam pembangunan kewangan Islam untuk dimanfaatkan secara maksimum dalam pembangunan ekonomi negara.

Proses merealisasikan misi dan visi Kerajaan ini memerlukan mekanisme penyelarasan yang efisien dan berkesan? antara semua agensi. Setiap agensi kerajaan mahupun swasta perlu bekerjasama dalam memastikan strategi dan pelan tindakan yang dicadangkan dapat dilaksanakan dengan berjaya dan berkesan. Semua pihak perlu bersedia dan fleksibel dalam membuat sebarang perubahan dasar yang diperlukan secara efisien bagi memenuhi tuntutan semasa yang dinamik. Di samping itu, sikap berpandangan terbuka dalam memberi dan menerima komen dan cadangan yang membina perlu ada dalam setiap individu dan agensi bagi? perkembangan dan kemajuan kewangan Islam yang lebih mantap.

Sebagai kesimpulan, usaha secara bersepadu dengan sokongan dan komitmen semua pihak merangkumi agensi kerajaan dan swasta, peserta industri serta para ulama dan cendekiawan Islam dalam membangunkan kewangan Islam akan memberi impak yang positif kepada ekonomi negara, imej dan kedudukan Malaysia dalam kalangan masyarakat perniagaan dan kewangan antarabangsa. Semua pihak perlu menggembleng tenaga bersama-sama dalam melaksanakan strategi-strategi yang dicadangkan agar kita dapat memastikan kelangsungan perkembangan dan pencapaian kewangan Islam di Malaysia dan di peringkat global terutamanya ketika dunia mula memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan dan kewangan Islam sebagai alternatif dalam sistem kewangan.

Akhir kata, saya mendoakan agar Majlis Muhadharah kali ini dapat mencapai objektif yang disasarkan. Sekian, Wabillahi Tawfiq Wal Hidayah, Wassalamualaikum w.r.t.


Bank Negara Malaysia
13 Oktober 2009

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?