Ucaptama oleh Penolong Gabenor Dr. Norhana Endut di PayNet Engagement Forum 2025 (PEF)
Kuala Lumpur | 16 Oktober 2025
Tema Forum pada hari ini, iaitu Sustainable, Secure and Scalable, amat bertepatan kerana menegaskan kepentingan membina asas yang kukuh untuk menyokong ekosistem pembayaran yang dinamik dan berdaya tahan. Landskap pembayaran di Malaysia telah berkembang pesat, terutamanya dalam dekad yang lalu. Sistem pembayaran, dengan PayNet sebagai komponen utama, telah menjadi penggerak penting ekonomi Malaysia, dengan pembayaran digital menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita. Dalam usaha memajukan landskap pembayaran digital, kita perlu memastikan setiap komponen dapat memainkan peranannya secara berkesan serta berhubung dengan lancar, agar terhasil sebuah sistem pembayaran yang cekap, mengutamakan pelanggan dan mampan.
Selaras dengan tema hari ini dalam merealisasikan 3S tersebut (Sustainable, Secure and Scalable), pendekatan kita untuk memajukan sistem pembayaran Malaysia perlu berpandukan elemen 3R, iaitu Reach, Resilience dan Responsive. Saya akan menghuraikan setiap faktor ini sepanjang ucapan saya. Ketiga-tiga elemen ini bukan sahaja menentukan hala tuju kita, tetapi juga menyediakan rangka kerja untuk mencapai visi tersebut.
Izinkan saya bermula dengan “R” yang pertama, iaitu Reach (jangkauan), yang menekankan keperluan untuk memastikan pembayaran digital boleh diakses oleh semua. Dalam aspek ini, Malaysia berada pada landasan yang tepat. Kita telah mencapai sasaran pertumbuhan penggunaan pembayaran digital seperti yang ditetapkan dalam Pelan Sektor Kewangan jauh lebih awal daripada tahun 2026. Secara purata, setiap rakyat Malaysia melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi pembayaran digital setiap hari dan saluran pembayaran mampu milik seperti DuitNow QR juga boleh diakses oleh pengguna serta peniaga secara meluas di seluruh negara. Pencapaian ini merupakan bukti usaha bersama dan komitmen semua pihak dalam menjayakan visi ini.
Program kesedaran yang meluas telah memainkan peranan penting dalam mendorong penggunaan pembayaran digital. Program sedemikian khususnya di kawasan luar bandar, yang melibatkan usaha jangkauan komuniti seperti e-Duit Desa dan Karnival Celik Kewangan, telah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap penggunaan pembayaran digital dalam kalangan segmen yang penting ini. Kesemua inisiatif ini seiring dengan usaha berterusan untuk melibatkan lebih banyak peniaga, termasuk agensi kerajaan melalui program Cashless Boleh 4.0 oleh PayNet, terus memperluas akses dan memastikan manfaat pembayaran digital dikongsi oleh semua.
Walaupun kita telah mencapai kemajuan yang ketara dalam memperluas Reach, usaha kita pastinya tidak terhenti di sini. Landskap pembayaran digital semakin pantas berkembang dan dengan itu juga mewujudkan cabaran serta risiko baharu. Oleh itu, mengekalkan momentum dan memperkukuh kerjasama antara sektor awam dengan swasta merupakan faktor penting untuk menghasilkan impak yang lebih besar agar rakyat Malaysia dapat menikmati sepenuhnya manfaat pembayaran digital. Yang penting, hasil kajian projek pelan induk kami, “Cashless Redang” yang dijalankan pada tahun lalu menunjukkan bukti kukuh bahawa penggunaan pembayaran digital telah meningkatkan kegiatan ekonomi masyarakat di Pulau Redang dengan ketara, dengan lebih 90% peniaga di pulau itu kini menerima pembayaran digital.
Ucapan saya tentang keterangkuman tidak lengkap tanpa menyentuh aspek kemampuan, iaitu faktor penting yang menyokong Reach. Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa kita telah memperoleh pengecualian tetap cukai jualan dan perkhidmatan (sales and service Tax, SST) untuk perkhidmatan pembayaran digital termasuk Kadar Diskaun Peniaga (Merchant Discount Rate, MDR). Pengecualian ini merupakan perkembangan penting yang memberi industri kepastian jangka panjang dan mengurangkan tekanan kos secara berterusan. Dengan sokongan ini berserta pelaksanaan semakan harga berperingkat oleh PayNet, yang sebahagiannya telah pun memberikan penjimatan kos kepada peserta industri, mungkin sudah tiba masanya untuk peserta industri membuat penilaian semula struktur penentuan harga dan mengagihkan sebahagian penjimatan ini kepada pengguna, agar pembayaran digital kekal mampu milik.
Meskipun kita faham bahawa industri perlu menjana pendapatan daripada aktiviti berkaitan pembayaran supaya kekal mampan, sebarang pelarasan yang menaikkan harga atau pengenalan fi transaksi baharu wajar dipertimbangkan dengan teliti agar tidak membebankan orang ramai. Sebarang pengenalan fi transaksi perlu dijelaskan secara terperinci kepada pelanggan dan disertakan dengan perkhidmatan nilai tambah serta penyediaan alternatif supaya pelanggan dapat membuat keputusan dengan maklumat yang tepat. Terutama sekali, industri diseru untuk terus memastikan pembayaran digital kekal mampu milik bagi peniaga kecil. Perusahaan mikro dan kecil merupakan pemacu penting ekonomi negara dan penting bagi perusahaan ini untuk dapat terus memanfaatkan perkhidmatan pembayaran yang efisien bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan mereka.
Kita beralih kepada “R” yang kedua iaitu Resilience (keutuhan). Keselamatan dan mutu sistem pembayaran negara membentuk asas kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap ekosistem pembayaran digital. Hal ini disokong lagi oleh dua teras utama: (i) memastikan daya tahan infrastruktur pembayaran dan (ii) membina daya tahan terhadap ancaman penipuan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Dalam situasi jumlah transaksi runcit yang semakin meningkat, prestasi keseluruhan perkhidmatan pembayaran runcit (retail payment services, RPS) negara pada amnya kekal stabil dan berdaya tahan. RPS telah beroperasi secara konsisten dengan ketersediaan sistem melebihi 99.9% serta gangguan sistem yang minimum. Keadaan ini merupakan bukti komitmen industri untuk mengekalkan kebolehpercayaan sistem yang tinggi. Walau bagaimanapun, kami telah mengesan sedikit peningkatan dalam insiden terpencil. Dalam era digital kini, pengalaman pelanggan yang negatif, walaupun terpencil, boleh menular dengan cepat dan menjejaskan keyakinan orang ramai. Oleh itu, pihak yang terlibat perlu bertanggungjawab, bertindak secara proaktif dan berkomunikasi secara terbuka dengan pengguna mengenai gangguan perkhidmatan bagi mengelakkan situasi panik dalam kalangan orang ramai. Komunikasi yang selaras, berkesan dan tepat pada masanya akan membantu mengekalkan kepercayaan terhadap sistem pembayaran.
Peningkatan pesat dalam transaksi Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (Real-time Retail Payments Platform, RPP) juga mendedahkan peserta pada risiko penyelesaian dan risiko kredit yang lebih tinggi. Menyedari perkara ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil langkah untuk mengurangkan risiko sebegini dengan memperkenalkan RENTAS+ yang membolehkan pemindahan dan penyelesaian dana antara bank secara 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun. Peralihan kepada RENTAS+ jelas mencerminkan keupayaan infrastruktur kita untuk bertindak balas terhadap landskap pembayaran yang berkembang pesat. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PayNet dan industri susulan komitmen dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan peralihan rumit kepada RENTAS+ ini berjaya. Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang lebih luas untuk memodenkan infrastruktur pasaran kewangan negara, dengan BNM turut mengkaji peluasan akses RENTAS kepada peserta bukan bank yang layak dan membolehkan sambungan API untuk industri mengakses data RENTAS.
Satu lagi aspek Resilience yang perlu diberikan perhatian adalah dengan meningkatkan daya tahan terhadap ancaman penipuan dalam talian. Tidak dapat dinafikan bahawa usaha kolektif kita telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Melalui keupayaan pengesanan penipuan yang dipertingkatkan, pada separuh pertama tahun ini sahaja institusi kewangan telah berjaya mencegah kira-kira RM370 juta kemungkinan kerugian penipuan; jumlah yang sembilan kali lebih besar daripada kerugian penipuan sebenar yang dilaporkan kepada BNM. Selepas pelancaran National Fraud Portal (NFP) pada tahun 2024, masa yang diambil untuk mengesan dana yang dicuri telah berkurang sebanyak 75%, iaitu penambahbaikan yang mencerminkan penyelarasan seluruh industri yang lebih kukuh.
Walau bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati pada tahap ini dan perlu terus memperkukuh pertahanan untuk memastikan keselamatan dan perlindungan ekosistem secara menyeluruh. Dalam hal ini, kami merancang untuk memperluas akses NFP kepada lebih banyak pihak termasuk sektor seperti telekomunikasi dan penyedia aset digital. Akses ini juga akan memperkaya dan memperdalam data yang disimpan oleh NFP. Inisiatif ini akan melengkapi rancangan kami untuk memastikan hampir semua data pembayaran QR yang dikendalikan dalam sistem sendiri (“on-us”) akan dihantar secara automatik ke RPP dan dimasukkan ke dalam NFP selepas penamatan skim QR proprietari.
Walaupun liputan data yang lebih luas merupakan kunci kejayaan NFP, memastikan kredibiliti data juga sama penting. Oleh itu, integriti data, terutamanya modul pelaporan akaun keldai, perlu dilindungi untuk mengelakkan kes positif palsu. Memandangkan NFP merupakan teras dalam usaha kita memerangi penipuan, BNM akan mengambil tindakan yang perlu untuk memastikan tadbir urus data yang mantap dan pematuhan dalam ekosistem NFP kerana amalan pengurusan data yang kukuh adalah sangat penting untuk mengekalkan keyakinan dan kebolehpercayaan terhadap sistem.
Memandangkan pengguna ialah barisan pertahanan pertama dalam memerangi penipuan kewangan, usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran tentang fraud dan penipuan dalam talian seperti melalui kempen “Jangan Kena Scam” telah memainkan peranan penting dalam membantu orang ramai untuk lebih berwaspada dan melindungi diri mereka daripada penipuan. Institusi kewangan juga telah mengambil langkah proaktif untuk memperkasakan pengguna dalam melindungi diri mereka daripada penipuan dengan menyediakan perkhidmatan layan diri seperti suis pemati (kill switch) dan ciri-ciri tetapan had transaksi. Sama pentingnya ialah keperluan untuk mendidik pengguna tentang ketersediaan alatan ini dan membimbing mereka tentang cara penggunaan yang betul untuk perlindungan yang lebih berkesan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
“R” terakhir yang ingin saya huraikan ialah Responsive (ketangkasan bertindak), yang menekankan kepentingan menghayati inovasi untuk menyediakan ekosistem bagi masa hadapan.
Responsive merangkumi dua aspek utama. Pertama, memupuk sistem kewangan yang digerakkan secara digital dan berpandangan ke hadapan dan kedua, memodenkan lagi sistem pembayaran negara.
Dalam aspek inovasi, BNM komited untuk menyediakan persekitaran kawal selia yang kondusif kepada inovasi yang inklusif dan bertanggungjawab. Pelancaran Fintech Hub oleh PayNet untuk mempercepat pertumbuhan fintech di Malaysia mencerminkan komitmen untuk bertindak balas terhadap keperluan industri. Hab ini berfungsi sebagai gerbang untuk mengetengahkan peserta fintech yang berwibawa dan juga melengkapi Sandbox Pengawalseliaan BNM sendiri.
Memandang ke hadapan, penubuhan Hab Inovasi Aset Digital (Digital Asset Innovation Hub, DAIH) akan membuka jalan kepada kerjasama yang lebih erat antara BNM dengan industri serta tumpuan pada penghasilan bersama penyelesaian inovatif yang didorong oleh teknologi baharu. Hal ini termasuk meneroka peluang untuk meningkatkan proses penyelesaian sedia ada dengan menggunakan teknologi lejar teragih (distributed ledger technology, DLT) atau aset digital bagi meningkatkan kecekapan pembayaran. Kami amat menggalakkan institusi bank dan bukan bank yang terlibat dalam ekosistem pembayaran untuk berinteraksi dengan Hab ini bagi membincangkan penyelesaian berpotensi yang mampu memberikan manfaat yang nyata kepada sektor kewangan dan ekonomi secara keseluruhan.
BNM juga akan menerbitkan draf dedahan mengenai Kewangan Terbuka (Open Finance) dalam beberapa bulan yang akan datang. Draf dedahan ini menggariskan visi BNM berhubung dengan ekosistem perkongsian data yang lancar dan berasaskan keizinan pelanggan. Dalam hal ini, saya ingin mengiktiraf peranan penting PayNet sebagai penyedia infrastruktur bersama dalam membina asas kepada platform Open Finance ini. Merealisasikan potensi Open Finance memerlukan komitmen kolektif. Dengan sokongan industri yang kukuh, kita boleh mencapai hasil yang membawa perubahan besar, iaitu sektor kewangan yang lebih berdaya cipta, berdaya saing dan responsif terhadap keperluan pelanggan. Usaha ini bermula dengan komunikasi yang jelas tentang manfaat inisiatif ini; menerusi pengalaman pengguna yang lebih lancar dan dikhususkan untuk mendapatkan dan menggunakan produk kewangan, peningkatan kecekapan dalam perkongsian data seluruh industri, dan pada masa yang sama mengekalkan kepercayaan melalui kawalan privasi dan keselamatan data yang kukuh.
Kini saya ingin mengalihkan tumpuan pada aspek penting kedua, iaitu memodenkan sistem pembayaran kita untuk menyokong pembayaran rentas sempadan. Memperkukuh jalinan pembayaran rentas sempadan adalah teras kepada agenda pemodenan sistem pembayaran negara yang lebih meluas melalui transaksi yang lebih pantas, lebih murah dan lebih lancar merentasi sempadan.
Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa Malaysia telah berjaya memenuhi komitmen agenda jalinan pembayaran rentas sempadan di bawah Kepengerusian ASEAN tahun ini, dengan sokongan padu daripada PayNet dan beberapa pihak industri yang hadir dalam majlis ini. Setakat hari ini, sebanyak 26 jalinan pembayaran rentas sempadan telah beroperasi melibatkan negara-negara anggota ASEAN. Bagi Malaysia khususnya, jumlah transaksi pembayaran QR daripada jalinan negara ini telah melonjak sebanyak 201%, manakala jumlah transaksi P2P bagi koridor antara Malaysia dengan Singapura juga telah meningkat sebanyak 272% tahun ke tahun dalam separuh pertama tahun 2025. Perkembangan ini memberikan kelebihan kepada pelancong dan perniagaan kita, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Meskipun perkhidmatan pembayaran rentas sempadan menawarkan pelbagai manfaat, seperti transaksi yang lancar, kadar pertukaran asing yang berdaya saing buat pengguna serta akses pasaran yang lebih luas untuk peniaga, perkhidmatan ini masih terhad pada bank-bank terpilih. Bagi memastikan rakyat tempatan dan pelancong menikmati pengalaman pembayaran yang mudah, khususnya keupayaan untuk memanfaatkan kemudahan ini bukan sahaja di premis besar malahan di perniagaan kecil, BNM menghasratkan satu ekosistem yang menghendaki semua peserta RPP menyediakan perkhidmatan pembayaran, bukan sahaja pada peringkat domestik tetapi juga rentas sempadan. Perkara ini juga bertujuan untuk memastikan peserta industri bersedia menghadapi pelaksanaan Projek Nexus yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2027. Oleh itu, libat urus berkenaan Projek Nexus dan pembayaran rentas sempadan secara amnya akan dipergiat pada tahun hadapan bagi mengenal pasti cabaran teknikal, operasi dan komersial yang mungkin dihadapi oleh industri dalam menyokong hasil yang dihasratkan ini.
Sebagai penutup, saya ingin menegaskan semula bahawa faktor utama untuk merealisasikan visi 3S, iaitu Sustainable, Secure dan Scalable, terletak pada keupayaan kolektif kita untuk mendalami prinsip 3R, iaitu Reach, Resilience dan Responsive, sebagai tonggak panduan untuk mencapai kemajuan berterusan dalam ekosistem pembayaran.
Seiring dengan Pelan Sektor Kewangan sedia ada yang semakin menghampiri penghujung, inilah masa yang sesuai untuk kita menilai perjalanan yang telah dilalui dan merangka fasa seterusnya untuk melonjakkan industri ke tahap yang lebih tinggi. Dipandu oleh prinsip Reach, Resilience dan Responsive, BNM komited untuk terus berinteraksi rapat dengan industri bagi menetapkan keutamaan masa hadapan. Oleh itu, PEF boleh menjadi batu loncatan kepada banyak idea yang akan membentuk fasa seterusnya dalam ekosistem pembayaran.
Dengan itu, selamat berwacana kepada hadirin dan semoga forum ini membawa hasil yang bermanfaat dan produktif. Terima kasih.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.