Ucaptama oleh Penolong Gabenor Mohamad Ali Iqbal bin Abdul Khalid di IFN Asia Forum 2025

Kuala Lumpur | 23 September 2025

Memupuk Pasaran Kewangan Islam – Hala Tuju Malaysia dan Potensi ASEAN

 

Saya berbesar hati kerana dapat berada di IFN Asia Forum 2025 pada hari ini. Perhimpunan ini merupakan platform yang sangat baik untuk meneruskan perbincangan kita mengenai usaha memperkukuh sinergi demi impak yang lebih besar melalui kewangan Islam. Forum tahun ini amat bermakna kerana Malaysia mengambil giliran sebagai Pengerusi ASEAN. Selaku Pengerusi, Malaysia memberikan tumpuan pada usaha memajukan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, dan kewangan Islam menjadi salah satu pemacu utama dalam merealisasikan aspirasi bersama serantau ASEAN.

Hadirin sekalian

Landskap kewangan Islam global terus berkembang pesat. Dengan jumlah aset yang kini mencecah USD3.9 trilion,[1] sektor ini terus melangkaui sempadan tradisionalnya. Semakin banyak negara termasuk negara sedang pesat membangun seperti Nigeria, Afrika Selatan dan Filipina, serta pusat kewangan mapan seperti Hong Kong dan United Kingdom (UK), kini menerima pakai kewangan patuh Syariah. Perkembangan ini mencerminkan bukan sahaja permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian kewangan beretika, tetapi juga keupayaan sektor ini untuk membuat penyesuaian dan berinovasi.

Namun begitu, pertumbuhan ini berlaku dalam suasana cabaran makroekonomi yang semakin meningkat. Banyak negara sedang berdepan dengan tekanan inflasi yang berlarutan, pelarasan dasar monetari serta ketidaktentuan geopolitik yang memberikan kesan terhadap perdagangan dan aliran modal. Pada masa yang sama, banyak kerajaan dan institusi berdepan dengan keperluan pembiayaan yang semakin meningkat, khususnya dalam bidang infrastruktur, daya tahan iklim dan pembangunan sosial. Kesemua dinamik ini menyorot keperluan mendesak terhadap model kewangan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan berasaskan nilai. Usaha global untuk mencari penyelesaian kewangan yang beretika, stabil dan mampan membuka peluang yang amat bersesuaian untuk kewangan Islam terus berkembang memasuki arus perdana, dengan membantu merapatkan jurang pembiayaan dan menyokong kemampanan ekonomi jangka panjang dalam pelbagai pasaran. Tawaran nilai kewangan Islam terletak pada prinsip terasnya, termasuk jalinan yang kukuh dengan ekonomi benar, penghindaran spekulasi yang berlebihan dan jangkaan yang mendasar terhadap amalan yang beretika.

Seiring dengan evolusi landskap kewangan Islam global, peranan serantau juga perlu berkembang; bukan sekadar menjadi peserta, bahkan peneraju gerakan masa hadapan yang proaktif. Hari ini, rantau Asia Timur dan Pasifik menyumbang 21.9% daripada jumlah aset kewangan Islam global, sekali gus menegaskan pengaruh strategik dan potensi besar rantau ini. Blok ASEAN sendiri, yang merangkumi 660 juta penduduk dan gabungan KDNK melebihi USD3.9 trilion, merupakan komuniti ekonomi yang dinamik dan pelbagai. Minat yang semakin meningkat di rantau ini terhadap kewangan mampan dan kewangan berasaskan nilai menjadikan ASEAN sebagai penggerak penting dalam membentuk masa depan pasaran kewangan Islam.

Dalam konteks serantau ini, Malaysia kekal teguh dalam komitmen berdekad lamanya untuk membina ekosistem kewangan Islam yang berpandangan ke hadapan. Di Malaysia, kewangan Islam telah mapan sebagai instrumen arus perdana dalam sistem kewangan domestik, mencerminkan tahap kematangan dan nilai strategiknya kepada ekonomi negara. Namun begitu, perjalanan ini masih belum selesai.

Cabaran yang dihadapi oleh pasaran kewangan hari ini, daripada kekangan mudah tunai kepada kepelbagaian yang terhad dan pasaran modal yang cetek, menuntut tindak balas yang berani dan berpandangan jauh. Kesemua cabaran ini bukan hanya dialami oleh Malaysia, malah saya yakin turut dihadapi oleh banyak pasaran kewangan Islam lain. Maka, usaha berterusan Malaysia bukan sahaja tentang mengekalkan pertumbuhan malah dengan penegasan agar pertumbuhan disokong oleh ekosistem kewangan Islam yang kukuh, lebih luas skopnya, lebih tangkas strukturnya, dan lebih selari dengan nilai serta aspirasi rantau ini.

Pertama, usaha kita akan tertumpu kepada memperluas rangkaian aset patuh Syariah dan memperdalam pasaran bagi menyokong mudah tunai, mempertingkatkan penentuan harga serta menggerakkan perantaraan kewangan yang berkesan.

Salah satu kemajuan penting yang terkini adalah dalam industri repo Islam. Industri ini telah memantapkan templat Perjanjian Beli dan Jual Balik (Sell and Buy Back Agreement, SBBA) menerusi penyelarasan templat tersebut dengan piawaian Global Master Repurchase Agreement (GMRA). Penyelarasan ini memperkenalkan ciri penting seperti margin, pengagihan keuntungan dan penggantian aset, lantas mendekatkan lagi repo Islam kepada penanda aras global.

Sebagai pelengkap kepada usaha ini, Dokumen Dasar Islamic Collateralised Funding telah diterbitkan. Dasar ini menyediakan rangka kerja berstruktur bagi transaksi repo Islam, dengan menetapkan keperluan jelas bagi dokumentasi undang-undang, pengurusan risiko, jagaan dan pelaporan. Sejak penerapannya, pasaran repo Islam telah berkembang 2.4 kali, mencecah RM42.6 bilion pada tahun 2024, iaitu satu isyarat jelas terhadap penerimaan pasaran yang kukuh dan mudah tunai yang semakin meningkat.

Kedua, kami percaya bahawa inovasi perlu kekal sebagai nadi evolusi kewangan Islam. Bukan sekadar untuk mendahului, industri ini perlu berwawasan dan berlandaskan nilai. Inovasi dalam kewangan Islam wajar mencerminkan prinsip Syariah dan responsif terhadap keperluan perniagaan, pelabur dan komuniti yang berubah mengikut peredaran semasa.

Salah satu inovasi terkini yang ketara adalah dalam bidang derivatif Islam, khususnya melalui pengenalan mekanisme lindung nilai jangkaan (anticipatory hedging). Inovasi ini membolehkan institusi kewangan Islam menguruskan dedahan masa hadapan secara proaktif, walaupun sebelum transaksi asas berlaku.

Pasaran sukuk juga sedang berkembang dan Malaysia sedang bersiap sedia untuk menerbitkan sukuk Kerajaan berasaskan struktur Wakalah bi al-Khadamat, dengan menggunakan hak perkhidmatan tidak ketara sebagai aset sandaran untuk mencerminkan jalinan ekonomi yang lebih bermakna. Seiring dengan hal ini, Malaysia juga sedang giat meneroka instrumen berasaskan wakaf untuk menggembleng pelbagai sumber. Perkembangan ini mencerminkan aspirasi yang lebih luas untuk membina sistem kewangan Islam yang bukan sahaja inovatif, tetapi juga berimpak dan bersedia menghadapi masa hadapan.

Pada masa hadapan, tokenisasi sukuk dan aset berasaskan Islam kekal sebagai inovasi perintis yang berpotensi meningkatkan ketelusan, mengurangkan kos transaksi dan memperluas akses pelabur khususnya bagi pelabur sektor runcit dan rentas sempadan. Hal ini lebih relevan bagi ASEAN, yang kekal meletakkan penggunaan digital sebagai keutamaan bersama. Di Indonesia, platform fintech semakin giat mengintegrasikan instrumen pembiayaan mikro Islam dalam penawaran mereka, manakala Brunei telah menubuhkan sandbox pengawalseliaan fintech untuk menyokong model perniagaan patuh Syariah seperti platform pendanaan rakan ke rakan yang berasaskan Islam.

Hadirin sekalian,

Ketiga, kewangan Islam perlu mendahului dengan instrumen yang menghasilkan impak sebenar dan boleh diukur. Kelestarian bukan lagi agenda sampingan, justeru merupakan teras masa hadapan kewangan Islam. Seiring dengan peningkatan permintaan global terhadap kewangan beretika dan kewangan hijau, prinsip kewangan Islam secara lumrahnya sejajar dengan agenda kelestarian. Ekosistem kewangan Islam Malaysia pula berada pada kedudukan yang kukuh untuk menyokong peralihan ini, berlandaskan aspirasi nasional yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Masterplan, NIMP).

Pertumbuhan sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment, SRI) merupakan cerminan jelas momentum ini. Pada tahun 2024, aset SRI di Malaysia telah mencecah RM11.9 bilion,[2] mewakili peningkatan sembilan kali sejak 2017. Lonjakan ini mencerminkan minat pelabur yang semakin meningkat terhadap instrumen patuh Syariah yang selari dengan nilai kelestarian.

Kemajuan penting lain dalam bidang ini ialah model SBBA Lestari, yang mengintegrasikan prinsip kelestarian ke dalam instrumen antara bank yang dijamin.

Malaysia juga sedang memajukan pembangunan Akaun Pelaburan Berimpak yang menyalurkan hasil pelaburan kepada sektor yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan bersih dan bandar lestari, manakala sebahagian daripada pulangan pelaburan akan disalurkan sama ada kepada zakat atau Sadaqa House.

Di seluruh rantau ASEAN, kelestarian semakin mendapat tempat dalam pembangunan kewangan Islam. Indonesia telah lama menggembleng sukuk hijau, termasuk tawaran runcit, untuk membiayai projek hijau yang menyumbang kepada mitigasi dan adaptasi perubahan iklim serta pemeliharaan biodiversiti. Di Filipina, kewangan Islam sedang dikaji untuk menyokong pembangunan inklusif di Mindanao, dengan tumpuan pada sektor pertanian dan pembiayaan mikro. Thailand pula sedang merintis instrumen kewangan Islam untuk menyokong PKS halal melalui inisiatif Halal Economic Corridor (HEC). Secara kolektif, kita perlu terus membina laluan dan menghasilkan kisah kejayaan bersama.

Hadirin sekalian,

Kewangan Islam kini berada pada detik yang penting. Selain peranannya dalam menggalakkan kestabilan kewangan, kewangan Islam menawarkan rangka kerja yang kukuh untuk transformasi beretika, pembangunan inklusif dan daya tahan global. Bagi merungkai potensi rangka kerja ini sepenuhnya, kita hendaklah memupuk perkongsian strategik dan bersama-sama mencipta penyelesaian yang mampu menangani cabaran bersama sambil membuka jalan untuk peluang yang baharu.

Seiring dengan kemajuan berterusan yang diketengahkan pada awal ucapan saya tadi, kami mengalu-alukan komuniti global untuk bekerjasama dengan peserta industri dari Malaysia dan rantau ASEAN. Aspirasi kolektif kita adalah untuk membina ekosistem kewangan Islam yang berdaya tahan, inklusif dan bersedia menghadapi masa depan; iaitu ekosistem yang berhubung erat dengan ekonomi benar dan menyumbang secara bermakna kepada rangkaian global.

Izinkan saya mengingatkan diri sendiri dan para hadirin berkenaan dengan firman Allah dalam Surah An-Najm, ayat 39–40:

β€œDan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak).”

Ayat ini mengingatkan kita bahawa kemajuan dalam kewangan Islam, sama seperti semua perkara lain yang diusahakan, dibentuk oleh keikhlasan dan usaha mereka yang berjuang demi menghasilkan natijah yang sebenar.

Akhir kata, saya mendoakan agar semua peserta akan meraih manfaat daripada sesi yang transformatif pada hari ini. Terima kasih.


[1] IFSB Stability Report 2025.

[2] BERNAMA (24 Mac 2025). Sri Sukuk Issuances Rise Ninefold To RM11.9 Bln In 2024.


Bank Negara Malaysia
23 September 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?