Ucaptama oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid di Global Islamic Financial Institutions Forum 2026

Kuala Lumpur | 6 Ogos 2026

Saya berbesar hati dapat bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini di Global Islamic Financial Institutions Forum 2026. Terima kasih saya ucapkan kepada Standard Chartered Saadiq kerana menganjurkan forum penting ini di Malaysia serta menyediakan platform untuk kita bertukar-tukar pandangan mengenai masa depan kewangan Islam ketika landskap global sedang mengalami perubahan ketara.

Saya berpeluang meneliti laporan The Islamic Finance Connector Era yang akan dilancarkan sebentar lagi. Laporan ini menarik perhatian kerana mencerminkan realiti yang semakin jelas dalam ekonomi global hari ini, iaitu peluang pertumbuhan tidak lagi terbentuk hanya dalam sempadan sesebuah pasaran, tetapi melalui melalui hubungan yang lebih kukuh antara pasaran, aliran modal dan perdagangan merentas rantau.

Koridor pertumbuhan baharu sedang muncul merentasi ASEAN, Gulf Cooperation Council (GCC), Asia Selatan dan Afrika. Laluan perdagangan sedang berkembang. Rantaian bekalan sedang disusun semula. Modal sedang dialirkan kepada pasaran baharu. Perkembangan geopolitik dan perubahan corak perdagangan global kebelakangan ini mempercepat trend tersebut. Koridor GCC-Asia menjadi semakin penting apabila perniagaan berusaha membina saluran perdagangan, pembayaran dan pembiayaan yang lebih berdaya tahan. Sebanyak 30% daripada jangkaan pertumbuhan aktiviti perdagangan GCC-ASEAN akan diperkukuh oleh kerjasama ekonomi dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kepelbagaian rantaian bekalan, perbankan Islam serta hasil Perjanjian Perdagangan Bebas. Pada masa yang sama, ekonomi halal menawarkan peluang pasaran bernilai USD2.2 trilion merentas Asia Tenggara, Timur Tengah, Afrika dan China. Secara keseluruhannya, semua perkembangan ini menunjukkan dunia yang semakin saling berhubung.

Laluan Sutera Baharu yang Dicorak Semula

Pandangan ini mengingatkan kita kepada wawasan yang diketengahkan hampir dua dekad lalu oleh mantan Gabenor kita, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, yang memperkenalkan konsep Laluan Sutera Baharu (“New Silk Road”) sebagai visi panduan bagi inisiatif Malaysia International Islamic Finance Centre atau MIFC. Dari sudut sejarah, Laluan Sutera menghubungkan antara tamadun Timur dengan Barat melalui pergerakan barangan, insan dan idea. Pada hari ini, Laluan Sutera baharu sedang terbentuk melalui pasaran kewangan, rangkaian digital dan koridor pelaburan.

Di pelbagai pelosok dunia, modal mengalir ke tempat yang mempunyai peluang. Dengan menghubungkan modal kepada kegiatan ekonomi yang produktif, kewangan Islam menawarkan rangka kerja sejadi (natural framework) untuk memudah cara pelaburan, perdagangan dan kemakmuran bersama merentas koridor pertumbuhan baharu ini. Keperluan terhadap perantaraan kewangan sedemikian semakin penting sekarang. Walaupun aset portfolio rentas sempadan global telah melebihi USD89 trilion, hanya sebahagian kecil modal sukuk global yang disalurkan ke Asia Selatan dan Afrika buat masa ini meskipun kedua-dua rantau tersebut mempunyai keperluan pembangunan dan infrastruktur yang amat besar.

Kewangan Islam kini bersedia. Kini terdapat lebih 2,200 institusi kewangan Islam di seluruh dunia dengan jumlah aset mencecah USD6 trilion. Kewangan Islam global diunjurkan berkembang kepada USD9.6 trilion menjelang tahun 2030. Di banyak negara, kewangan Islam telah membuktikan keupayaannya untuk menggembleng modal secara cekap, memudahkan pelaburan dan menyokong pembangunan ekonomi. Sukuk serta instrumen pembiayaan Islam yang lain telah digunakan untuk membiayai projek infrastruktur, pengangkutan, pertanian, tenaga dan pengembangan perniagaan di negara maju mahupun di negara sedang pesat membangun.

Malaysia sebagai Penghubung Modal dan Pertumbuhan yang Diyakini

berada pada kedudukan yang kukuh untuk berperanan sebagai penghubung modal yang diyakini dalam landskap yang sedang berubah ini. Sejak empat dekad yang lalu, Malaysia telah membangunkan antara ekosistem kewangan Islam yang paling komprehensif di dunia. Keistimewaan Malaysia terletak pada tahap lengkapnya ekosistem tersebut.

Pada masa ini, pembiayaan Islam merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan pembiayaan dalam sistem perbankan Malaysia. Pasaran modal Islam pula mewakili lebih 64% daripada pasaran modal domestik. Malaysia terus menyumbang kira-kira 37% daripada jumlah sukuk terkumpul global.

Kekuatan ini tidak terbina dalam tempoh semalaman. Hal ini merupakan hasil usaha berdekad lamanya dalam pembangunan institusi, infrastruktur pasaran, modal insan, rangka kerja perundangan dan tadbir urus Syariah. Secara kolektif, asas-asas ini telah membolehkan Malaysia membangunkan ekosistem yang mendalam dan pelbagai serta berupaya menyokong perantaraan kewangan yang canggih merentas sempadan dan rantau.

Izinkan saya mengetengahkan tiga perkembangan terkini yang menggambarkan peranan Malaysia sebagai penghubung modal dan pertumbuhan:

Pertama, keyakinan pelabur. Bulan lalu, Sukuk Global Malaysia bernilai USD1.5 bilion menerima tempahan melebihi USD9.5 bilion dengan kadar lebihan langganan sebanyak 4.7 kali. Sukuk tersebut juga ditawarkan pada spread paling rendah yang pernah dicatatkan. Pencapaian ini mencerminkan keyakinan bukan sahaja terhadap terbitan tersebut, malah terhadap daya tahan ekonomi dan sistem kewangan Malaysia secara keseluruhannya. Terbitan ini juga hadir pada masa yang tepat dengan menyediakan penanda aras yang kukuh kepada syarikat korporat dan institusi kewangan Malaysia bagi tujuan pengumpulan dana dalam pasaran antarabangsa untuk memenuhi keperluan pelaburan dan pembiayaan yang semakin meningkat. Prestasi terbitan ini turut mengesahkan permintaan kukuh serta keyakinan pelabur terhadap penawaran antarabangsa Malaysia.

Minat pelabur yang tinggi terhadap terbitan antarabangsa Malaysia turut disokong oleh pasaran sukuk domestik yang mendalam dan mudah tunai, diperkukuh melalui rangka kerja Peniaga Utama yang memudahkan penemuan harga dan pengurusan mudah tunai secara cekap. Pada masa yang sama, usaha kita memperluas penyertaan pasaran telah mewujudkan lebih banyak peluang untuk penggemblengan modal rentas sempadan, termasuk membolehkan bank pembangunan pelbagai hala dan institusi kewangan pembangunan yang layak untuk menerbitkan sukuk dalam denominasi ringgit dalam pasaran domestik.

Kedua, kedalaman dan kecanggihan pasaran. Pasaran kewangan Islam Malaysia telah berkembang dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jumlah transaksi dalam pasaran antara bank tanpa cagaran telah meningkat lebih dua kali dalam tempoh lima tahun lalu hingga melebihi RM1 trilion pada tahun 2025. Perkembangan ini mencerminkan tahap kematangan pasaran yang mampu menyokong pengagihan mudah tunai dan pengurusan risiko secara cekap dalam keseluruhan sistem kewangan.

Pengenalan MYOR-i, iaitu kadar penanda aras Islam pertama di dunia yang berasaskan transaksi, telah mengukuhkan lagi ketelusan, meningkatkan integriti pasaran serta menyediakan asas kepada inovasi pasaran pada masa hadapan. Kita juga telah menyaksikan penerbitan sulung sukuk yang dirujuk kepada MYOR-i oleh Cagamas. Perkembangan ini amat dialu-alukan dan kita menjangkakan penggunaan MYOR-i akan terus meningkat menjelang pelaksanaan mandatori sebagai Kadar Penanda Aras Islam pada 1 Julai 2027. Ekosistem ini turut dilengkapi industri pengurusan dana Islam yang semakin berkembang dengan aset di bawah pengurusan melebihi RM278 bilion[7] serta rekod pencapaian industri yang menjangkau lebih 20 tahun. Semua pencapaian ini mengukuhkan peranan Malaysia sebagai platform perantaraan modal pada peringkat serantau dan global.

Ketiga, kepakaran yang diiktiraf pada peringkat global. Ekosistem Malaysia telah melahirkan institusi yang mempunyai kepakaran mendalam serta rekod prestasi yang kukuh dalam bidang perbankan, pasaran modal, takaful, perkhidmatan perundangan dan khidmat nasihat Syariah. Banyak institusi di Malaysia secara konsisten terlibat dalam penstrukturan dan pemberian khidmat nasihat bagi urus niaga sukuk antarabangsa di seluruh dunia. Pengendali takaful dan takaful semula negara juga telah memperluas kehadiran pada peringkat serantau. Bahagian perniagaan takaful semula rentas sempadan bagi pasaran ASEAN yang diuruskan oleh pengendali takaful semula di Malaysia telah meningkat kepada 22% pada tahun 2025, berbanding kurang daripada 7% sedekad yang lalu. Keupayaan ini amat bernilai kerana rangkaian memerlukan spektrum perkhidmatan yang menyeluruh, kepercayaan yang tinggi serta pelaksanaan yang mantap.

Prospek yang Menggalakkan

Seperti ekonomi global, masa depan kewangan Islam akan dibentuk oleh rangkaian, pendigitalan dan kemunculan pusat pertumbuhan baharu. Apabila ASEAN memperkukuh integrasi ekonomi serta hubungan perdagangan dengan GCC, Asia Selatan dan Afrika, permintaan terhadap pembiayaan rentas sempadan, penyelesaian perbendaharaan dan instrumen pengurusan risiko akan meningkat. Penggunaan mata wang tempatan dan serantau yang semakin meluas dalam penyelesaian perdagangan dan pelaburan juga akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk pasaran kewangan Islam berkembang serta menyokong aliran kewangan yang lebih pelbagai dan berdaya tahan.

Malaysia sedang membuat persediaan untuk masa depan ini. Melalui Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030, kita sedang memperkukuh asas bagi mewujudkan pasaran modal yang lebih inovatif, mampan dan bersambung secara global. Pelan induk tersebut menyasarkan pertumbuhan pasaran modal daripada RM4.2 trilion pada tahun 2025 kepada RM20 trilion menjelang tahun 2045. Bagi pasaran sukuk kerajaan pula, tatkala Malaysia bergerak ke arah sasaran defisit fiskal 3% menjelang tahun 2030, pasaran Sekuriti Pelaburan Kerajaan Malaysia atau MGII yang belum tebus dijangka terus berkembang melebihi RM800 bilion menjelang tempoh tersebut. Perkembangan ini akan memperdalam pasaran modal Islam serta mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam. Dengan sokongan industri takaful yang terus berkembang serta tahap pengantarabangsaan ekonomi dan perkhidmatan kewangan yang semakin meningkat, aspirasi kita adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai platform utama bagi penggemblengan pelaburan dan perantaraan modal merentas koridor pertumbuhan baharu dunia.

Penutup

Seiring dengan kemunculan semua koridor pertumbuhan baharu ini, fasa seterusnya kewangan Islam akan ditentukan oleh keupayaannya untuk menghubungkan rantau, modal dan infrastruktur digital. Kita masing-masing mempunyai kekuatan, sumber dan peluang yang berbeza. Oleh itu, usaha memperkukuh asas bagi menggembleng modal rentas sempadan secara lancar memerlukan tindakan kolektif dalam tiga bidang:

  • Memperkukuh rangkaian industri bagi pasaran wang Islam dan pengaturan mudah tunai merentas mata wang serta negara;
  • Memperluas ketersediaan penyelesaian pengurusan risiko dan lindung nilai yang patuh Syariah; dan
  • Meningkatkan skala kewangan perdagangan Islam bagi menyokong koridor perdagangan yang berkembang pesat.

Dalam menjayakan usaha bersama ini, marilah kita menghayati firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat:

"Dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali."

Pada hari ini, kepentingan rangkaian kekal relevan seperti sebelumnya.

 

Terima kasih.

 


[1] Standard Chartered, The Islamic Finance Connector Era (Laporan, 2026)

[2] ibid

[3] ICD-LSEG Islamic Finance Development Report 2025

[4] ibid

[5] Kementerian Kewangan Malaysia, Malaysia's Global Sukuk 4.7 Times Oversubscribed, Priced at Record-Low Spreads (Siaran Media, 2026)

[6] Terbitan Sekuriti Pelaburan Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Investment Issues, MGII) yang belum tebus meningkat hampir dua kali daripada RM374.6 bilion pada tahun 2020 kepada RM644.3 bilion pada bulan Jun 2026.

[7] Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

[8] Perkembangan Kewangan Islam di ASEAN: Merealisasikan Potensi Pertumbuhannya, Laporan Tahunan BNM 2025

[9] Suruhanjaya Sekuriti Malaysia


Bank Negara Malaysia
06 Ogos 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?