Ucaptama oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid di RHB Global Treasury and Global Markets (GTGM) Fixed Income Seminar 2025

EQ, Kuala Lumpur | 17 Februari 2025

‘2025 Outlook, BRICS and Trump-nomics’

Saya berbesar hati untuk menyampaikan ucapan pada hari ini. Saya berharap tidak terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua. Sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini secara kebetulan berlaku serentak dengan pelantikan Presiden Trump, dan seperti mana meriahnya bunga api di kawasan kejiranan saya tahun ini, sama juga meriahnya suasana landskap dasar global. Banyak perkara yang berlaku dan boleh kita jadikan iktibar, khususnya apabila semua perkara ini akan mempengaruhi prospek sepanjang tahun. Beberapa bulan yang lalu merupakan tempoh perubahan yang ketara bagi Malaysia, dipenuhi dengan pencapaian dan kejayaan yang menyerlah. Walau bagaimanapun, perkembangan dunia baru-baru ini memerlukan kita untuk menilai semula landskap pelaburan global, serta strategi Malaysia dalam menghadapi ketidakpastian yang mencabar ini.

Prospek ekonomi global

Saya mulakan dengan landskap ekonomi global. Menurut World Economic Outlook IMF terkini, pertumbuhan global dijangka mengukuh secara sederhana kepada 3.3% pada tahun 2025. Ekonomi AS kekal berdaya tahan, membantu mengimbangi prestasi yang lebih lemah dalam ekonomi utama lain. Bagi rantau kita, meskipun pertumbuhan China dijangka menjadi perlahan sedikit, Asia kekal pada laluan pertumbuhan yang stabil, disokong oleh prestasi kukuh di Jepun dan ekonomi utama ASEAN.[1]

Dari segi inflasi, kita masih melihat tanda-tanda disinflasi yang berterusan di seluruh dunia. Keadaan pasaran pekerja beransur-ansur pulih dan harga tenaga dijangka menurun, menyumbang kepada penurunan yang diunjurkan dalam inflasi keseluruhan global kepada 4.2% pada tahun 2025, dan seterusnya kepada 3.5% pada tahun 2026.[2] Persekitaran inflasi yang lebih rendah dan lebih stabil merupakan perkembangan positif kerana persekitaran ini menggalakkan kegiatan ekonomi dan menyokong aliran pelaburan global.

Meskipun semua perkembangan ini menggalakkan, kita perlu tetap
berhati-hati terhadap banyak ketidakpastian yang terus membentuk landskap global. Tahun ini dijangka menonjolkan hubung kait antara faktor dasar, ekonomi dan geopolitik. Satu perkembangan yang ketara ialah daya tahan ekonomi Amerika Syarikat (AS), dengan kadar inflasi yang menurun lebih perlahan daripada jangkaan. Hal ini telah mewujudkan ketidakpastian mengenai masa dan sejauh mana langkah mengembalikan dasar monetari ke tahap yang wajar oleh Federal Reserve AS. Dengan kadar faedah AS yang mungkin akan kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama, jurang antara kadar AS dengan kadar negara lain dijangka kekal. Dinamik ini terus menjadi tarikan bagi aset dolar AS.

Kembalinya Presiden Trump ke jawatan presiden AS telah pun meningkatkan tahap ketidakpastian dasar secara ketara, yang boleh menyebabkan implikasi yang lebih mendalam terhadap ekonomi dan pasaran global. Namun begitu, meskipun retorik dan pengumuman beliau mencetuskan kebimbangan dan volatiliti, khususnya dalam pasaran sedang pesat membangun, implikasi sebenar daripada dasar-dasar Presiden Trump mungkin lebih rumit.

Dari sudut positif, tumpuan Trump terhadap pembatalan kawal selia dan pemotongan cukai boleh memberikan rangsangan kepada ekonomi AS dan menyebabkan kesan limpahan terhadap pasaran global. Sebagai contoh, dasar-dasar beliau yang bertujuan untuk mengembangkan cari gali minyak dan membatalkan kawal selia pengeluaran tenaga boleh menurunkan harga tenaga, meningkatkan pertumbuhan global dan pada masa yang sama mengurangkan tekanan inflasi. Walau bagaimanapun, dari sudut lain, langkah-langkah perlindungan perdagangan beliau, khususnya menyasarkan rakan dagang utama, boleh mengakibatkan ketidakpastian. Perkembangan terkini telah menyaksikan Presiden Trump mengenakan atau mengugut untuk mengenakan tarif ke atas rakan kongsi utama, termasuk China, Mexico, Kanada dan Kesatuan Eropah (European Union, EU). Kesannya, China telah bertindak balas dengan tarif ke atas produk AS terpilih dan EU telah berikrar untuk mengenakan tindakan balas yang seimbang terhadap AS. Tindakan ini telah menambah ketegangan perdagangan dan meningkatkan volatiliti pasaran. Pada masa yang sama, dinamik perdagangan juga boleh berubah dengan rantaian bekalan berpotensi dialihkan untuk memberi manfaat kepada negara seperti Malaysia dan Vietnam. Walau bagaimanapun, keadaan masih boleh berubah-ubah dan mungkin sukar untuk membuat kesimpulan buat masa ini. Walau bagaimanapun, jelas bahawa kesan keseluruhan dasar-dasar Trump terhadap pertumbuhan global mungkin menyebabkan hasil yang pelbagai.

Satu lagi perkembangan ketara adalah perubahan besar dalam pendekatan AS terhadap agenda hijau dan tenaga boleh diperbaharui. Selain mempercepatkan pengeluaran minyak melalui pembatalan kawal selia, AS menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris. Hal ini adalah satu rintangan yang ketara terhadap kerjasama antarabangsa berkaitan matlamat iklim dan mungkin melambatkan peralihan global ke arah ekonomi yang lebih hijau. Beberapa bank utama AS dan pengurus aset global juga telah menarik diri daripada inisiatif sifar bersih. Walaupun masih tidak jelas sama ada keadaan ini mencerminkan perubahan strategik yang lebih meluas dalam sektor kewangan, perkembangan ini memang menimbulkan persoalan tentang momentum agenda iklim global pada masa hadapan.

Ketidakpastian mengenai prospek pertumbuhan ekonomi China terus menjadi sumber utama volatiliti pasaran. Sementara itu, walaupun ketegangan geopolitik di Eropah dan Timur Tengah mungkin menunjukkan tanda-tanda mereda, wujud risiko baharu. Gabungan faktor-faktor ini iaitu perubahan dasar, ketidakpastian agenda iklim dan risiko geopolitik yang berkembang, menekankan perlunya daya tahan dan penyesuaian bagi ekonomi untuk menghadapi persekitaran yang semakin tidak menentu pada tahun 2025.

Prospek ekonomi dalam negeri

Meskipun wujud cabaran luaran, ekonomi Malaysia telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa. Hal ini menggariskan kemampuan kita untuk menghadapi ketidakpastian global. Pertumbuhan bagi tahun 2024 mencatatkan rekod yang lebih tinggi daripada jangkaan pada 5.1%, dengan hasil yang lebih kukuh dalam pelaburan, penggunaan dan sektor luaran. Eksport terus mendapat manfaat daripada permintaan luaran yang kukuh dan limpahan positif daripada peningkatan kitaran teknologi global. Aktiviti pelaburan kekal kukuh dengan Malaysia mencapai tahap pelaburan diluluskan yang tertinggi pada tahun 2023. Momentum positif ini dijangka berterusan, dengan pelaburan diluluskan meningkat sebanyak 10.7% tahun ke tahun untuk sembilan bulan pertama tahun 2024.

Pada masa hadapan, ekonomi kita dijangka mengekalkan momentum ini dan berkembang antara 4.5% hingga 5.5% tahun ini.[3] Perkembangan ini disokong oleh beberapa projek pemangkin yang digariskan dalam pelbagai pelan induk kebangsaan. Inisiatif-inisiatif ini dirangka untuk memupuk industri baharu dan memastikan pertumbuhan negara pada masa hadapan. Kita mula melihat kesannya, seperti yang dibuktikan oleh perkembangan pelaburan baru-baru ini oleh syarikat teknologi global terkemuka. Semua pelaburan ini meletakkan Malaysia sebagai hab ekonomi digital utama di ASEAN, membuka peluang baharu untuk inovasi, pewujudan pekerjaan dan pertumbuhan perniagaan sampingan.

Sektor pelancongan juga telah pulih dengan kukuh, dengan aktiviti pelancongan kembali ke tahap sebelum pandemik. Pada masa hadapan, kami menjangkakan peningkatan selanjutnya, didorong oleh permintaan perjalanan antarabangsa yang lebih tinggi, bersama-sama dengan peningkatan kapasiti penerbangan. Inisiatif utama, seperti Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akan datang, dijangka menambah momentum.

Melengkapi prospek-prospek ini adalah komitmen Kerajaan yang teguh terhadap kemampanan fiskal. Di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA), Kerajaan telah menetapkan matlamat jangka sederhana termasuk mencapai defisit fiskal sebanyak 3% daripada KDNK dan nisbah hutang kepada KDNK di bawah 60%. Setakat ini, Kerajaan telah berjaya mencapai sasarannya pada setiap tahun, memastikan kemajuan berterusan ke arah objektif ini. Baru-baru ini, Kerajaan melaporkan defisit fiskal sebanyak 4.1% bagi tahun 2024, melebihi sasaran sebanyak 4.3% dengan pinjaman bersih mencatatkan penurunan ketara daripada RM92.6 bilion pada tahun 2023 kepada RM76.8 bilion pada tahun 2024. Perkembangan ini sangat menggalakkan. Selain itu, peralihan daripada subsidi meluas kepada subsidi bersasar telah menghasilkan penjimatan yang ketara, membolehkan pengagihan semula sumber untuk menangani keutamaan negara lain yang lebih penting. Hal ini termasuk melaksanakan langkah-langkah seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah untuk mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup serta memastikan kesejahteraan rakyat.

Daya tahan ringgit dan kekukuhan pasaran dalam negeri

Tahun 2024 juga menyaksikan prestasi ringgit yang memberangsangkan dengan pemulihan yang luar biasa pada separuh kedua. Ringgit menjadi mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di rantau ini. Khususnya, ringgit melawan arus pengukuhan meluas dalam Indeks Dolar AS (DXY) untuk menjadi satu daripada dua mata wang serantau yang menambah nilai berbanding dolar AS pada tahun 2024. Walaupun wujud volatiliti pasaran baru-baru ini, ringgit telah menunjukkan kekukuhan yang sederhana setakat tahun ini.

Pemacu utama untuk prestasi ringgit adalah keputusan Federal Reserve AS untuk memulakan kitaran penurunan kadar. Pada masa ini, kitaran penurunan kadar dijangka berterusan hingga tahun 2025, dengan Federal Reserve AS dan semua bank pusat G10 yang lain, kecuali Jepun, meneruskan usaha mengembalikan kadar dasar ke paras yang wajar mereka.

Kedua, usaha bersepadu BNM dan Kerajaan memainkan peranan yang sangat penting untuk menstabilkan ringgit. Inisiatif seperti menggalakkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Investment Companies, GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Companies, GLC) membawa pulang dan menukar pendapatan asing mereka adalah penting bagi menstabilkan pasaran. Selain itu, penglibatan dengan syarikat korporat, pengimport dan pengeksport, bersama-sama dengan pelaksanaan Qualified Resident Investors Programme, membantu menyokong aliran pasaran. Langkah-langkah ini, digabungkan dengan intervensi strategik, telah berjaya mengurangkan volatiliti yang berlebihan dan memulihkan keyakinan dalam kalangan pelabur dan orang ramai. Pada masa hadapan, kami akan meneruskan usaha-usaha ini sambil kekal berwaspada dan proaktif untuk mencegah turun naik yang tidak sepatutnya dan memastikan pasaran kewangan kita terus berfungsi dengan teratur.

Ketiga, prestasi ringgit yang luar biasa merupakan bukti daripada pasaran bahawa ekonomi kami berada pada landasan yang betul. Pencapaian ini disokong oleh prestasi ekonomi negara yang kukuh pada tahun 2024, dengan tahap inflasi kekal terkawal. Selain itu, pembaharuan struktur oleh Kerajaan telah meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan mampan pada tahun-tahun akan datang. Hal ini memperkukuh keyakinan pasaran terhadap daya tahan dan kekuatan jangka panjang ringgit.

Daya tahan ringgit disokong oleh aktiviti perdagangan yang rancak dalam pasaran pertukaran asing (foreign exchange, FX). Pada tahun 2024, purata jumlah dagangan harian dalam pasaran FX mencecah USD17.6 bilion, menandakan peningkatan peratusan dua digit berbanding tahun sebelumnya. Pasaran wang dan bon juga menunjukkan jumlah dagangan harian purata yang lebih tinggi iaitu RM10.3 bilion dan RM4.7 bilion pada tahun 2024, kedua-duanya lebih tinggi daripada angka tahun sebelumnya. Trend ini menonjolkan kepelbagaian mudah tunai pasaran dan keupayaan yang semakin meningkat bagi pasaran kewangan untuk memudahkan dan menampung transaksi besar dengan cekap.

Permodalan sektor kewangan kami kekal teguh dan berada pada kedudukan yang strategik untuk menyokong pertumbuhan dan pelaburan. Pada tahun 2024, pinjaman perniagaan meningkat sebanyak 5.1%, memberikan sokongan kukuh untuk pertumbuhan ekonomi. Pengumpulan dana ekuiti dan terbitan bon korporat turut meningkat dengan ketara pada tahun itu. Bursa Malaysia mencapai pencapaian penting dengan jumlah penyenaraian IPO tertinggi dalam tempoh 19 tahun. Dengan sejumlah 55 IPO yang dilancarkan dan RM7.4 bilion dikumpulkan melalui tawaran ini, kita menduduki tempat pertama dalam kalangan bursa ASEAN dan melebihi pasaran IPO London dari segi jumlah IPO dan nilai keseluruhan yang dikumpulkan pada tahun 2024. Terbitan bon korporat melonjak kepada RM124 bilion, meningkat daripada RM118 bilion tahun sebelumnya, dengan sukuk terus mencakupi bahagian besar pasaran modal hutang terkumpul. Pencapaian ini mengetengahkan keupayaan Malaysia untuk memudahkan pembiayaan berskala besar dan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan penerbit dan pelabur dalam pasaran kewangan kami.

Peluang pada tahun 2025

Susulan prestasi kukuh pada tahun 2024, Malaysia bersedia untuk menawarkan banyak peluang pada tahun 2025, terutamanya dalam bidang kewangan Islam dan peranan strategik kami sebagai pengerusi ASEAN.

Kewangan Islam dan kelestarian

Dalam kewangan Islam, kami terus mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju global dan hab antarabangsa. Disokong oleh rangka kerja pengawalan yang mantap, infrastruktur kewangan yang maju dan kumpulan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, Malaysia telah mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pasaran dan institusi kewangan Islam berkembang. Malaysia kekal dominan dalam pasaran sukuk global, mencakupi 48% daripada jumlah sukuk terkumpul. Kedudukan peneraju ini meliputi sektor perkhidmatan kewangan yang lebih luas apabila perbankan Islam telah mencapai penembusan yang ketara iaitu mewakili 46% daripada jumlah pembiayaan. Industri takaful juga telah mengalami pertumbuhan yang pesat, dengan sumbangan hampir tiga kali ganda dalam dekad yang lalu dan kini hampir mencakupi satu perempat daripada jumlah bahagian pasaran.

Walaupun dengan pencapaian ini, masih terdapat potensi yang besar untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam kewangan Islam.

Sebagai contoh, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Investment Issues, MGII) telah lama diiktiraf pada peringkat global, termasuk dalam indeks bon utama seperti Markit iBoxx Asian Local Bond Index, Bloomberg Aggregate Bond Index dan JPMorgan Government Bond Index-EM seawal tahun 2012. Antara langkah penting seterusnya ialah potensi kemasukan MGII dalam FTSE World Government Bond Index, yang akan meningkatkan lagi kedudukannya pada peringkat global. Kami optimis tentang perkembangan ini dan berharapkan hasil yang menggalakkan yang akan mengukuhkan lagi keunggulan Malaysia dalam pasaran bon global.

Pasaran untuk sukuk SRI juga telah menunjukkan pertumbuhan yang menggalakkan, mencecah RM11.9 bilion pada tahun 2024, yang merupakan peningkatan yang ketara sejak terbitan pertamanya pada tahun 2017. Namun, apabila kita melihat gambaran yang lebih besar, sukuk SRI masih mencakupi kurang 5% daripada keseluruhan pasaran sukuk. Keadaan ini menunjukkan potensi besar yang belum diterokai. Memandangkan Malaysia secara aktif mempromosikan projek-projek kelestarian, terdapat peluang yang nyata untuk memanfaatkan potensi sukuk SRI sebagai alat pembiayaan utama.

Integrasi kewangan ASEAN

Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun ini memberi kita peluang unik untuk memacu integrasi ekonomi dan kewangan di seluruh rantau ini. Selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”, inisiatif sektor kewangan akan memainkan peranan penting dalam menyokong wawasan ASEAN selepas tahun 2025 untuk menjadi ekonomi yang bersedia menghadapi masa depan. Hal ini termasuk memberikan tumpuan yang mantap pada kelestarian dan rangkaian pembayaran. Dalam bidang kelestarian, matlamat Malaysia adalah untuk memperkukuh usaha serantau membangunkan alat dan membina keupayaan bagi peralihan yang adil dan teratur. Keutamaan penting termasuk meningkatkan akses kepada kewangan mampan, menyokong PKS dalam peralihan hijau mereka dan menggembleng pembiayaan untuk projek hijau dan berkaitan iklim. Bagi rangkaian pembayaran, kami akan memberi keutamaan pada inisiatif untuk memperluas hubungan pembayaran dan menggalakkan penyertaan dalam sistem pembayaran segera di seluruh ASEAN.

Satu lagi bidang yang mendapat perhatian khusus adalah peningkatan penggunaan mata wang tempatan untuk transaksi rentas sempadan. Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab serantau bagi perdagangan mata wang dan pengurusan mudah tunai. Asas untuk bidang ini telah pun disediakan menerusi penubuhan Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (Local Currency Settlement Frameworks, LCSF) dengan Bank of Thailand dan Bank Indonesia serta pelbagai inisiatif mata wang tempatan dengan China. Rangka kerja ini meningkatkan hubungan antara bank serantau dan menyediakan fleksibiliti dalam peraturan pertukaran asing, lantas membolehkan bank-bank yang mengambil bahagian menawarkan perkhidmatan yang kompetitif kepada perniagaan untuk menyelesaikan transaksi dalam mata wang tempatan. Langkah ini membantu perniagaan menguruskan risiko pertukaran asing dengan lebih berkesan dan mengukuhkan daya tahan perdagangan serantau. Sebagai contoh, perdagangan dengan China yang diselesaikan dalam mata wang tempatan telah meningkat daripada 1% pada tahun 2009 kepada 28% pada tahun 2024. Begitu juga, kira-kira 11% hingga 19% perdagangan dengan Thailand dan Indonesia kini diselesaikan menggunakan mata wang tempatan, meningkat daripada sekitar 4% hingga 6% pada tahun 2009. Malaysia boleh memanfaatkan infrastruktur perbankan yang kukuh dan rangkaian luas Pejabat Luar Negara yang Dilantik (Appointed Overseas Offices) untuk memudahkan transaksi rentas sempadan yang lancar.

Kesimpulan

Kesimpulannya, walaupun landskap ekonomi global terus berkembang dengan ketidakpastian yang ada, saya yakin bahawa Malaysia akan terus berdaya tahan dan berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan berterusan. Asas negara yang kukuh bukan sahaja telah meningkatkan keyakinan pelabur tetapi turut meneguhkan lagi ringgit dan pasaran kewangan. Sambil kita meneruskan tahun 2025, terdapat banyak peluang yang boleh ditawarkan oleh Malaysia, terutamanya dalam kewangan Islam, kelestarian, dan integrasi ASEAN. Dengan memanfaatkan prospek ini dan terus menyesuaikan diri dengan perkembangan global, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk berkembang maju, memupuk masa depan yang berdaya tahan, inklusif dan mampan untuk semua.


[1] Ekonomi utama ASEAN termasuk Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand, mengikut takrifan ASEAN-5 oleh IMF.

[2] Seperti yang digariskan dalam unjuran World Economic Outlook IMF pada bulan Januari 2025.

[3] Seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025.


Bank Negara Malaysia
17 Februari 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?