Ucaptama Penolong Gabenor Suhaimi Ali di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2025
Kuala Lumpur | 18 November 2025
‘‘Memperkukuh Ketahanan Kewangan dan Mendorong Pertumbuhan Mampan’’
Salam sejahtera kepada para tetamu kehormat, pemimpin industri serta sahabat dari dalam dan luar negara. Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama dengan anda semua di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2025 (KLIFF 2025) pada hari ini.
Kewangan sering kali dikaitkan dengan rajah, nisbah dan kunci kira-kira. Namun pada hakikatnya, terasnya adalah manusia. Kewangan berkait dengan impian yang kita semai, peluang yang kita cipta dan masa hadapan yang kita bantu untuk bentuk. Bayangkan sebuah keluarga yang menyimpan sebahagian daripada pendapatan bulanan supaya anak mereka dapat melangkah ke universiti suatu hari nanti. Tindakan ini bukan sekadar suatu keputusan kewangan, tetapi merupakan suatu harapan. Bayangkan seorang usahawan yang melangkah masuk ke sebuah bank berbekalkan suatu idea, lalu keluar dengan modal untuk mengubah idea itu menjadi pekerjaan, maruah dan impak positif. Hal ini bukan sekadar transaksi tetapi merupakan suatu transformasi.
Kini bayangkan satu sistem kewangan yang dibina berasaskan semangat keprihatinan, tanggungjawab dan kemajuan bersama. Di sinilah kewangan Islam menonjol. Kewangan Islam berteraskan pada keadilan, ihsan dan amanah iaitu nilai-nilai yang telah membimbing masyarakat sejak berkurun lamanya. Nilai yang mengingatkan kita bahawa kekayaan bukan sekadar untuk dikumpul, tetapi untuk dimanfaatkan secara bermakna. Nilai yang menegaskan bahawa kewangan perlu memberi manfaat kepada manusia dan bukan sebaliknya.
Namun kita sebenarnya memikul suatu amanah. Tidak memadai sekadar memelihara prinsip ini; kita perlu memperbaharuinya. Kita perlu membayangkan semula cara kewangan Islam boleh terus relevan, berani dan memberikan impak dalam dunia yang pantas berubah, risiko yang rumit dan jangkaan yang semakin meningkat. Perjalanan kewangan Islam Malaysia telah membuktikan hasil yang boleh dicapai menerusi visi dan komitmen. Hari ini, persoalan sebenar ialah bagaimanakah kita mengangkat perjalanan ini ke peringkat seterusnya iaitu peringkat yang lebih inovatif, lebih mampan dan lebih inklusif.
Malaysia telah lama mengamalkan struktur kewangan dwisistem iaitu kewangan Islam beroperasi selari dengan kewangan konvensional. Sejak sekian lama, model ini telah berkembang menjadi ekosistem yang canggih dan berdaya tahan, disokong oleh institusi yang kukuh, instrumen yang pelbagai serta rangka kerja pengawalseliaan yang menggabungkan pertimbangan Syariah dengan piawaian berhemat global. Keseimbangan ini membolehkan Malaysia memperkenalkan sesuatu yang baharu tanpa menjejaskan kestabilan dan ini merupakan ciri utama pendekatan negara kita.
Kekukuhan institusi kewangan Islam telah membolehkan industri kewangan Islam menyokong perniagaan dan isi rumah melalui kitaran ekonomi yang berubah-ubah. Hari ini, perbankan Islam merangkumi 47% daripada jumlah pembiayaan, manakala takaful menguasai 25% daripada sumbangan bersih bagi takaful keluarga dan am. Malaysia terus memegang 36% daripada pasaran sukuk dunia, yang menjadi bukti kepelbagaian, permintaan dan kepercayaan. Pada tahun 2024, aset pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab (sustainable and responsible investment, SRI) meningkat kepada RM11.9 bilion iaitu sembilan kali lebih tinggi berbanding tahun 2017. Keadaan ini menandakan perubahan ketara dalam pilihan pelabur ke arah kelestarian yang selaras dengan Syariah.
Hal ini bukan sekadar pencapaian penting tetapi menandakan kewujudan potensi. Persoalannya ialah bagaimana kita menterjemahkan potensi itu untuk memenuhi keperluan Malaysia yang paling mendesak. Malaysia berhadapan dengan matlamat yang besar namun perlu iaitu daripada pembiayaan peralihan sifar bersih di bawah NETR yang bernilai RM1.2 hingga RM1.3 trilion, hinggalah kepada keperluan merangsang pertumbuhan sektor strategik seperti ekonomi halal, industri bernilai tinggi serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah RMK13. Kewangan Islam berada pada kedudukan yang unik untuk menyokong agenda ini, bukan hanya menggembleng modal, tetapi memastikan modal tersebut mencipta nilai jangka panjang sebenar yang berkekalan.
Di luar negara, peluangnya juga tidak kurang menarik. Kewangan Islam boleh memainkan peranan yang sangat penting untuk merapatkan jurang pembangunan global. Negara anggota Islamic Development Bank memerlukan antara USD700 bilion hingga USD1 trilion setiap tahun untuk memenuhi komitmen SDG mereka, iaitu hampir 40% daripada jurang pembiayaan global. Menerusi instrumen patuh Syariah yang berasaskan kesaksamaan dan perkongsian risiko, kewangan Islam berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi penghubung antara modal berasaskan nilai dengan negara yang berusaha mencapai kemajuan yang inklusif dan mampan.
Namun untuk menjadikan kemungkinan ini suatu kenyataan, kita perlu beralih daripada aspirasi kepada tindakan. Langkah ini bermula dengan memperkukuh komitmen kita terhadap perantaraan berasaskan nilai (value-based intermediation, VBI). Selama bertahun-tahun, VBI telah menandakan keyakinan kita bahawa keuntungan dan kesejahteraan masyarakat boleh saling memperkukuh. Langkah seterusnya ialah menerapkan keyakinan ini ke dalam hasil yang boleh diukur. Hal ini bermaksud membangunkan alat pengukur impak yang lebih mantap untuk mengukur bagaimana pembiayaan menyokong pengurangan kemiskinan, pembangunan PMKS dan pemeliharaan alam sekitar. Hal ini juga bermaksud mereka bentuk produk, sama ada sukuk, dana pelaburan atau pembiayaan perdagangan, yang mempunyai matlamat kelestarian yang jelas daripada awal.
Apabila VBI menjadi sebahagian daripada cara kita menilai risiko, mencipta produk dan menilai prestasi, kita mula melihat bahawa kewangan Islam bukan sebagai tawaran khusus tetapi sebagai sistem penciptaan nilai yang lengkap. Di sinilah kewangan sosial boleh memainkan peranan transformatif. Melalui inisiatif seperti myWakaf dan iTEKAD, kita sudah melihat cara zakat, wakaf dan pembiayaan mikro boleh distrukturkan untuk menyokong mata pencarian dan membina daya tahan. Bayangkan pemasangan panel solar yang membekalkan tenaga kepada sekolah di kawasan luar bandar dibiayai melalui instrumen wakaf, atau instrumen gabungan menyokong petani menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan iklim. Keadaan ini merupakan kemungkinan yang praktikal dan boleh diperluas.
Inovasi adalah sempadan seterusnya. Dunia sedang berubah lebih pantas dan model tradisional tidak mampu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Ketidaktentuan iklim, keadaan makanan yang tidak terjamin, perubahan demografi dan gangguan digital menuntut pemikiran baharu. Di sinilah kewangan Islam perlu melangkah dengan berani. Peluasan penggunaan instrumen perkongsian risiko seperti mudarabah dan musyarakah akan membolehkan kita membiayai aktiviti ekonomi benar dengan lebih bermakna. Melalui inisiatif seperti i-CITA, kita kini mempunyai platform untuk bersama-sama mencipta model baharu yang menangani keutamaan negara, daripada keselamatan makanan hingga daya tahan iklim.
Pada masa yang sama, kita perlu memperkukuh peranan kita dalam ekonomi halal, iaitu sektor yang mempunyai potensi global yang sangat besar. Kewangan Islam boleh memacu rantaian bekalan halal, menyokong pengembangan syarikat Malaysia pada peringkat global dan mengukuhkan Malaysia sebagai hab utama inovasi dan kepimpinan halal. Bidang ini merupakan titik pertemuan semula jadi antara kewangan, nilai dan peluang ekonomi.
Teknologi ialah pemangkin yang menghubungkan semua aspirasi ini. Dalam kewangan Islam, pendigitalan bukan sekadar kemudahan namun merupakan pendorong langsung kepada Maqasid Syariah. Rantaian blok (blockchain) boleh meningkatkan keyakinan dan ketelusan dalam terbitan sukuk dan tadbir urus wakaf. Data raya boleh membantu kita mengukur impak sebenar: berapa banyak pekerjaan diwujudkan, berapa banyak isi rumah menjadi lebih berdaya tahan, berapa banyak PKS berkembang secara mampan. Kecerdasan buatan boleh memperkukuh pematuhan Syariah dengan menapis kontrak dan mengesan aktiviti yang tidak patuh secara masa nyata. Pendaftaran digital dan e-KYC boleh memperluas akses secara ketara kepada komuniti luar bandar dan golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Teknologi ini membolehkan kita memperluas nilai yang kita junjung.
Namun teknologi sahaja tidak mencukupi. Lonjakan seterusnya bagi kewangan Islam bergantung pada modal insan iaitu tenaga mahir kolektif industri. Kita memerlukan golongan profesional yang bukan sahaja memahami selok-belok Syariah dan pengantaraan kewangan tetapi turut memahami bidang kelestarian, data, teknologi dan inovasi. Membina bekalan tenaga mahir ini memerlukan pelaburan yang bersungguh-sungguh: latihan merentas disiplin, kerjasama lebih kukuh antara industri dengan ahli akademik, pembangunan kepimpinan yang beretika dan platform yang menggalakkan kreativiti serta penyelesaian masalah. Dengan tenaga mahir yang tepat, kewangan Islam boleh menerajui bukan sahaja dari segi saiz, tetapi dari segi tujuan dan impak.
Berita baiknya ialah: kewangan Islam mempunyai asas yang kukuh. Ekosistemnya tersedia. Peluangnya nyata. Apa yang kita perlukan sekarang ialah iltizam secara kolektif. Sebagai bank pusat, BNM kekal komited untuk menyokong inovasi yang bertanggungjawab, mendorong kajian dan mengukuhkan kerjasama merentas industri, sektor dan sempadan. Rangka kerja perkongsian risiko, model perlindungan sosial gabungan dan alat pembiayaan kelestarian adalah contoh awal tentang apa yang bolehdicapai apabila kita bekerjasama dengan satu matlamat.
Pada 20 tahun yang lalu, tidak banyak yang menjangka kewangan Islam akan mampu mencapai skala yang seperti pada hari ini. Hal ini bukan suatu kebetulan. Kemajuan ini dicapai kerana industri memilih visi berbanding keselesaan, kerjasama berbanding bekerja sendiri dan keberanian berbanding keraguan. Babak seterusnya menuntut semangat yang sama. Dunia sedang memerhati, bukan sahaja apa yang boleh dilakukan oleh kewangan Islam, tetapi apa yang boleh dicapai.
Inovasi bukan sekadar idea; inovasi ialah tindakan kolektif yang mengubah tujuan menjadi impak. Dan kewangan Islam, dengan nilai, prinsip dan tenaga mahirnya, berada pada kedudukan yang unik untuk menerajui masa hadapan yang berdaya tahan, kemakmuran yang dikongsi bersama dan pertumbuhan yang mampan.
Akhir kata, saya berharap KLIFF 2025 dapat memberikan manfaat kepada semua. Semoga perbincangan kita hari ini mencetuskan idea yang berani, kerjasama yang bermakna dan komitmen baharu untuk membentuk sistem kewangan yang benar-benar memberikan manfaat kepada semua insan.
Terima kasih.
Lihat juga: Slaid
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.