Ucaptama Penolong Gabenor Madelena Mohamed di Persidangan Iklim SFG JC3 untuk PKS 2025
Sasana Kijang, Kuala Lumpur | 17 November 2025
“Membina Daya Tahan Iklim: Tindakan Praktikal untuk PKS”
Memperkasakan PKS untuk Daya Tahan Iklim: Daripada Kesedaran kepada Tindakan
Mungkin ada daripada anda yang memandu di Bukit Tunku untuk tiba ke sini pagi ini. Sepanjang jalan yang berliku itu, anda pasti melihat pepohon besar dan indah yang meliputi bukit tersebut. Ketika itu anda mungkin menghayati kehijauan ini dengan rasa syukur, namun jarang sekali kita terfikir tentang akar pokok-pokok tersebut. Begitulah ibaratnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), iaitu akar yang menyokong lelangit ekonomi Malaysia.
Seperti rangkaian akar di belantara, PKS merupakan tunjang kepada ekonomi Malaysia yang sedang berkembang. Sebanyak 97% daripada perniagaan di negara ini merupakan PKS. Sektor PKS menyokong lapan juta pekerjaan dan menyumbang hampir 40% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia.[1] Matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 adalah untuk meningkatkan lagi sumbangan sektor ini kepada 50% daripada KDNK menjelang tahun 2030.
Tindakan iklim memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Namun, kegagalan untuk mengambil tindakan tersebut pada hari ini akan menyebabkan akibat yang jauh lebih besar yang perlu ditanggung oleh generasi akan datang. Sehubungan dengan itu, saya berbesar hati untuk berada di sini pada pagi ini untuk berkongsi pandangan mengenai langkah-langkah yang dapat memacu agenda penyahkarbonan.
Tema persidangan kita hari ini iaitu “Membina Daya Tahan Iklim: Tindakan Praktikal untuk PKS”, amat bertepatan dengan usaha membentuk tindakan yang diperlukan sekarang demi masa hadapan yang lestari.
Sepanjang hari ini, kita akan mengupas topik ini dengan lebih mendalam. Sebelum itu, izinkan saya berkongsi tentang (a) mengapakah daya tahan iklim penting untuk PKS, dan
(b) beberapa langkah praktikal yang boleh diambil oleh PKS untuk membina daya tahan iklim.
Mengapakah daya tahan iklim penting
Tuan-tuan dan puan-puan,
Matlamat akhir daya tahan iklim dan kelestarian pada amnya adalah untuk memastikan kestabilan. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, kestabilan amat berharga kepada perniagaan.
Berikutan perubahan iklim, kita kini perlu menangani risiko fizikal seperti banjir, kemarau serta gangguan cuaca yang lebih kerap dan dahsyat. Kesemua peristiwa ini menjejaskan operasi perniagaan, yakni syarikat mungkin berhadapan dengan kelewatan bekalan, kerosakan inventori dan kehilangan pendapatan. Selain itu, terdapat juga risiko peralihan iaitu risiko tercicir apabila norma perniagaan berubah untuk menangani perubahan iklim.
Apabila pasaran eksport dan syarikat korporat besar menetapkan sasaran karbon sifar bersih serta berusaha bagi mengurangkan jejak alam sekitar mereka, PKS mendapati bahawa semakin penting untuk mereka mematuhi pelbagai rejim pematuhan seperti NDPE (No Deforestation, Peat or Exploitation), EUDR (EU Deforestation Regulation), CBAM (Carbon Border Adjustment Mechanism), Skop 1, 2, 3; dan banyak lagi. Malaysia sendiri telah memperkenalkan cukai karbon yang menyasarkan sektor pelepasan tinggi seperti besi, keluli dan tenaga[2] dalam Belanjawan 2026. Walaupun PKS belum lagi dikenakan cukai, pematuhan akan tetap penting untuk syarikat dalam rantaian bekalan.
Daya tahan iklim bukan sekadar menguruskan risiko fizikal dan risiko peralihan akibat perubahan iklim. Sebenarnya, daya tahan iklim turut membuka peluang baharu kepada perniagaan. Pertama, tindakan iklim mewujudkan permintaan baharu. Sebagai contoh, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR), yang menentukan hala tuju Malaysia ke arah Sifar Bersih atau Net Zero menjelang tahun 2050, menyasarkan untuk menggembleng pelaburan bernilai RM1.2 trilion bagi mewujudkan lebih 300,000 pekerjaan hijau.[3]
Peluang ini tidak terhad kepada syarikat-syarikat besar sahaja. Sebagai contoh, PKS dalam pemasangan solar, penyelenggaraan kenderaan elektrik (electric vehicles, EV), bahan binaan bangunan hijau dan kitar semula sisa juga akan mendapat manfaat secara langsung.
Kedua, penyesuaian semula rantaian bekalan global pada masa ini mewujudkan peluang unik untuk Malaysia. Ketika dunia membuat penyesuaian dengan keadaan geopolitik yang
berubah-ubah dan teknologi baharu, minat terhadap ASEAN sebagai rakan dagangan yang neutral dan boleh dipercayai semakin meningkat. Malah dalam kalangan negara ASEAN, perdagangan intrarantau yang kini berada pada paras 23% berpotensi untuk meningkat kepada sekurang-kurangnya 40%. Keadaan ini memberikan peluang bersejarah kepada Malaysia untuk meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai dengan pantas dan meraih potensi ini. Namun, hal ini memerlukan “rangkaian akar umbi” (root network) PKS untuk bersedia memenuhi keperluan permintaan global dan serantau, termasuk standard dan penzahiran kelestarian.
Ketiga, pembinaan daya tahan iklim akhirnya akan memberikan manfaat kepada keuntungan syarikat. Hal ini kerana terdapat banyak langkah peralihan yang dapat mengurangkan kos harian. Contohnya, sistem penyejukan dan pengudaraan yang lebih baik dapat mengurangkan penggunaan elektrik dan seterusnya mengurangkan kerosakan mesin. Selain itu, penggunaan alat digital untuk inventori dan penyelenggaraan pula dapat mengurangkan pembaziran dan mencegah kelewatan penghantaran yang merugikan. Kesemua langkah ini merupakan penambahbaikan praktikal yang lazimnya akan menghasilkan pulangan daripada aspek menampung kos sendiri dalam tempoh antara satu hingga dua tahun.
Daya tahan turut mengukuhkan kedudukan komersial sesebuah syarikat. Perniagaan yang mampu terus beroperasi semasa cuaca buruk, atau pulih dengan cepat selepas gangguan, akan lebih dipercayai pelanggan.
Sektor kewangan memainkan peranan sokongan yang penting
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sektor kewangan mempunyai peranan penting dalam usaha membantu PKS menghadapi ketidakpastian akibat perubahan iklim dan memanfaatkan peluang baharu dengan sebaiknya supaya ekonomi Malaysia memperoleh manfaat daripada kemakmuran yang stabil. Seperti yang saya kiaskan tadi, kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.
Persidangan ini yang dianjurkan di bawah kepimpinan Kumpulan Fokus PKS (SME Focus Group, SFG) Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Commitee on Climate Change, JC3) yang dipengerusikan secara bersama oleh Bank Negara Malaysia dan UOB Malaysia, bersama-sama dengan 1 ahli kumpulan fokus lain, menandakan suatu kemajuan yang penting bagi membina ekosistem sokongan yang menyatukan ilmu, alat dan kerjasama pelbagai pihak.
Saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada Kumpulan Fokus PKS atas dedikasi mereka menghimpunkan para penceramah dan ahli panel yang terkemuka serta bekerjasama rapat dengan persatuan PKS, kementerian dan agensi kerajaan utama, serta penyedia penyelesaian (solution providers) untuk menjayakan persidangan ini.
Kepada semua PKS yang hadir di auditorium ini, tidak kira sama ada anda di sini kerana ingin tahu dan ingin belajar, atau kerana ingin mengetahui cara untuk menerapkan kelestarian dalam operasi perniagaan, atau untuk berkongsi dan menyebarluaskan pengalaman anda, tahniah saya ucapkan kerana mengambil langkah penting ini.
Langkah-langkah praktikal untuk PKS
Jadi, apakah yang boleh PKS mulakan hari ini? Membina daya tahan iklim mungkin kedengaran rumit, tetapi tindakan ini bermula dengan tiga langkah praktikal.
Langkah pertama adalah dengan memahami risiko dan peluang anda. Seperti yang saya nyatakan, perubahan iklim menimbulkan cabaran dan juga menghasilkan peluang. Mulakan langkah ini dengan menilai bahagian perniagaan anda yang terdedah dan bahagian yang boleh berkembang. Hari ini, anda akan berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hal ini daripada barisan pakar yang hadir. Anda juga boleh mengetahui beberapa alat yang tersedia untuk membantu anda.
- Portal Pemula ESG ialah tempat permulaan yang baik. Portal ini menawarkan panduan praktikal, program latihan serta sumber berhubung dengan pensijilan dan peluang pembiayaan yang berkaitan.
- Katalog Data Iklim JC3 menghubungkan anda kepada set data yang menyokong penilaian risiko seperti peta banjir untuk membuat keputusan lokasi dan unjuran kemarau untuk perancangan tanaman.
- Rangka Kerja Pencegahan Kerugian SME, yang dibangunkan oleh Generali dan United Nations Development Programme (UNDP), ialah alat digital untuk mengenal pasti kelemahan, terutamanya yang disebabkan oleh dedahan kepada banjir, serta saranan yang bersesuaian.
Langkah kedua pula ialah mula mengukur dan melaporkan perkara penting. Semakin banyak rakan perdagangan global menuntut data berkaitan kelestarian, khususnya mengenai pelepasan karbon. Walaupun anda tiada urusan jualan secara langsung dengan mereka, lazimnya rakan perdagangan tempatan anda adalah sebahagian daripada rantaian bekalan yang akhirnya berurusan dengan pasaran global yang mempunyai keperluan pelaporan ini.
Program Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain, GVC) yang diperkenalkan oleh JC3 menyediakan mekanisme berstruktur untuk PKS memahami dan mengukur jejak karbon, mengenal pasti aspek operasi yang boleh dijadikan lebih mesra pelepasan (emission friendly), serta mula mencatatkan dan melaporkan pelepasan PKS. Anda digalakkan untuk menghubungi bank anda untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini.
Pada persidangan hari ini, anda juga akan didedahkan kepada alat pengukuran dan dedahan lain serta cara alat-alat ini boleh membuka peluang kepada perniagaan anda untuk menyertai rantaian bekalan baharu. Sebagai contoh:
- Panduan Penzahiran ESG Ringkas (Simplified ESG Disclosure Guide, SEDG), yang dibangunkan oleh Capital Markets Malaysia (CMM), menjadikan pelaporan lebih mudah diakses oleh PKS.
- Panduan ini termasuk Kalkulator Pelepasan Gas Rumah Hijau (Greenhouse Gas, GHG) yang membantu mengukur pelepasan Skop 1 dan 2 selaras dengan standard global.
Langkah ketiga ialah membiayai peralihan anda. Menjadikan perniagaan anda berdaya tahan iklim merupakan pelaburan untuk pertumbuhan yang stabil dan berkekalan. Syarikat yang bertindak awal boleh mendapat manfaat seperti kos operasi yang lebih rendah, akses kepada pasaran baharu dan kepercayaan yang lebih kukuh terhadap jenama mereka. Pembiayaan untuk menyokong perniagaan anda melakukan pelaburan ini telah tersedia. Hari ini anda akan mengetahui cara untuk mengakses peluang-peluang ini.
- Bank Negara Malaysia telah memperuntukkan RM3.8 bilion untuk kemudahan bersasar seperti Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (Low Carbon Transition Facility, LCTF) dan Kemudahan Teknologi Tinggi & Hijau (High Tech & Green Facility, HTG) bagi membantu PKS mengambil langkah membina daya tahan iklim dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada. Baru-baru ini, kami juga telah memperkenalkan Kemudahan Bantuan dan Adaptasi (Relief and Adaptation Facility, RAFt) yang membantu PKS meningkatkan daya tahan terhadap banjir menerusi bantuan selepas banjir dan langkah penyesuaian yang proaktif.
- Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC), bersama-sama dengan 18 bank rakan kongsi, memberikan komitmen untuk skim jaminan portfolio bernilai RM1 bilion, khusus untuk menyokong peralihan PKS kepada prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance, ESG).
- Terdapat juga beberapa program lain yang menyokong PKS melalui gabungan pembiayaan awam dan swasta. Gabungan ini mengurangkan profil risiko projek supaya lebih menarik kepada pelabur swasta. MyCIF, yang ditadbir oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, menyokong PKS dalam sektor pertanian dan bioekonomi melalui platform ekuiti pendanaan ramai (equity crowd-funding) dan platform rakan ke rakan (peer-to-peer). Setakat ini, platform-platform ini telah menggembleng RM6.9 bilion untuk lebih 9,000 PKS, termasuk RM1.2 bilion daripada peruntukan kerajaan.[4] Demikian juga, NIMP CoSIF atau Dana Pelaburan Bersama Strategik Pelan Induk Perindustrian Negara 2030 yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri memudahkan pengumpulan dana dalam bidang pertumbuhan baharu termasuk Kenderaan Elektrik, Tenaga Boleh Diperbaharui serta Perolehan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (Carbon Capture, Utilisation and Storage, CCUS).[5]
- (Climate Finance Innovation Lab, CFIL), yang ditadbir oleh Bank Pembangunan Malaysia dan baru sahaja dilancarkan, sedang merintis struktur dan model pembiayaan inovatif untuk projek-projek iklim.
Kesimpulan dan seruan untuk bertindak
Tuan-tuan dan puan-puan,
Langkah-langkah untuk memulakan peralihan ini mungkin dirasakan mencabar, namun setiap perubahan besar bermula dengan langkah pertama yang kecil.
Perhimpunan PKS pada hari ini untuk sama-sama menimba ilmu, berkongsi cabaran dan meneroka peluang yang selaras dengan iklim merupakan detik penting bagi institusi kewangan menunjukkan kepimpinan dan komitmen dengan menyediakan sokongan yang diperlukan oleh PKS dan pelanggan anda, termasuk pembangunan keupayaan, khidmat nasihat dan akses kepada pembiayaan.
Sehubungan dengan itu, kami telah menyusun program untuk membantu PKS menilai risiko dan peluang masing-masing, mula mengukur dan melaporkan data yang relevan, serta mendapatkan pembiayaan untuk peralihan syarikat anda.
Ingatlah, anda tidak bersendirian. Seluruh ekosistem sedia menyokong anda, termasuk rakan usahawan lain yang sedang melalui perjalanan yang sama. Dengan sokongan ini, saya yakin PKS di Malaysia boleh menjadi “rangkaian akar umbi” yang kukuh untuk menyokong kanopi ekonomi Malaysia agar berkembang ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan.
Terima kasih, dan semoga persidangan ini membuahkan hasil perbincangan yang menarik pada hari ini.
[1] Sumber: Prestasi PKS 202, Jabatan Perangkaan Malaysia (2025)
[2] Sumber: Belanjawan 2026
[3] Sumber: Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara
[4] Sumber: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
[5] Sumber: Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP 2030
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.