Ucaptama Penolong Gabenor Madelena Mohamed di Persidangan Institute and Faculty of Actuaries (IFoA) Peringkat Asia
Kuala Lumpur | 25 September 2025
Risiko bukanlah sesuatu yang harus dielakkan. Sebaliknya, risiko perlu difahami, diurus dan diubah menjadi peluang. Inilah inti pati peranan yang dimainkan oleh para hadirin di dalam dewan ini, dan juga merupakan teras kepada kepimpinan perniagaan dan ekonomi yang berwibawa. Di rantau yang dinamik seperti Asia, yang pertumbuhannya dan perubahan padanya berlaku seiring, keupayaan kita untuk mengubah ketidakpastian serta risiko menjadi daya tahan serta peluang akan membentuk bukan sahaja pasaran rantau ini, malah masyarakat kita secara keseluruhannya.
Saya dengan itu berbesar hati untuk berucap di hadapan para profesional yang bukan sahaja mahir dalam mengukur ketidakpastian, malah benar-benar komited pada usaha membentuk masa hadapan yang lebih berdaya tahan dan mampan. Berlatarkan dunia yang berhadapan dengan risiko yang kompleks dan pelbagai, iaitu daripada perubahan iklim kepada populasi penduduk yang semakin berusia hinggalah risiko geopolitik, aktuari bukan lagi sekadar penganalisis di sebalik tabir. Anda kini ialah pakar strategi berkaitan daya tahan, pereka perlindungan inklusif serta rakan usaha sama dalam pembinaan negara.
Aktuari berperanan sebagai penghubung antara analisis data, proses membuat keputusan dan kesannya terhadap masyarakat. Anda mempunyai alat untuk mengukur ketidakpastian, namun lebih penting lagi memikul tanggungjawab untuk mengubah pandangan kepada tindakan bagi membantu kerajaan, perniagaan dan komuniti bersedia untuk masa hadapan dan bukan sekadar bertindak balas terhadap perubahannya. Sama ada membentuk perlindungan berkaitan kelestarian, membimbing ke arah kemampuan penjagaan kesihatan atau merangka penyelesaian persaraan untuk masyarakat yang semakin berusia, aktuari berada dalam kedudukan yang unik untuk memacu perubahan yang bermakna. Usaha ini bukan hanya untuk mengimbangi kedudukan kewangan, justeru untuk imbangan kehidupan.
Kini, salah satu realiti yang kita hadapi ialah risiko iklim dan keperluan mendesak untuk peralihan. Laporan terkini daripada IFoA[1] merupakan seruan untuk bangkit bertindak terhadap impak perubahan iklim. Tanpa tindakan segera oleh sektor awam dan swasta, ekonomi global mungkin mengalami penurunan KDNK yang luar biasa sebanyak 50% antara tahun 2070 hingga 2090. Tiada satu pun peristiwa dalam sejarah yang pernah menjadi faktor yang boleh mengakibatkan penurunan sebesar ini, termasuklah pandemik COVID-19.
Asia Pasifik, yang didiami oleh lebih separuh penduduk dunia, sangat terdedah pada risiko iklim, daripada taufan di Filipina dan Hong Kong, gelombang haba di India hinggalah banjir di Indonesia dan Malaysia. Menurut Munich Re, bencana alam di rantau Asia Pasifik telah menyebabkan kerugian bernilai besar melebihi USD1.8 trilion sejak tahun 1980 dan meragut lebih 630,000 nyawa.[2] Namun, tahap penembusan insurans kekal sangat rendah dengan syarikat insurans hanya menyediakan liputan perlindungan kurang 5% daripada jumlah kerugian, lantas mengakibatkan jurang perlindungan yang signifikan[3].
Impak tersebut ditanggung secara tidak seimbang oleh segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan di rantau ini, seperti komuniti pertanian dan nelayan pantai yang memerlukan perlindungan kewangan yang lebih menyeluruh untuk daya tahan iklim. Hal ini memerlukan kita untuk mentakrifkan semula peranan penanggung insurans dan pengendali takaful, khususnya aktuari.
Membentuk semula peranan syarikat insurans dalam peralihan iklim
Penanggung insurans dan pengendali takaful (insurers and takaful operators, ITO) memainkan peranan penting yang bukan sekadar penyedia perlindungan risiko. ITO merupakan pemangkin peruntukan modal yang cekap dan beretika yang membentuk masa hadapan daya tahan iklim Asia. Berpaksikan penentuan harga dan pengunderaitan berasaskan risiko, penanggung insurans dan pengendali takaful boleh memberikan dorongan berbentuk insentif kepada pelanggan untuk melaksanakan adaptasi iklim. Sebagai contoh, pelanggan yang berusaha untuk berpindah dari bangunan di kawasan yang mudah banjir, petani yang mengusahakan pertanian yang berdaya tahan terhadap kemarau atau pengurusan hutan yang lestari boleh dipertimbangkan untuk penentuan harga perlindungan yang lebih berpatutan namun masih berasaskan risiko. Persoalan pentingnya, bagaimanakah industri dapat memberikan impak yang besar terhadap tindakan iklim dengan penuh kesedaran dan secara kolektif? Usaha ini bermula dengan asas yang kukuh, iaitu menyelaraskan strategi perniagaan, amalan pengunderaitan dan portfolio pelaburan dengan komitmen, aspirasi dan pelan tindakan iklim negara dan serantau. Contoh komitmen adalah seperti ASEAN Power Grid yang bermatlamat untuk menghasilkan sistem tenaga yang lebih bersih dan lebih berhubung kait, atau seperti di Malaysia, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (Hydrogen Economy and Technology Roadmap, HETR). Penyelarasan ini membolehkan pendekatan yang holistik terhadap peralihan iklim.
Pada peringkat global, pihak pengawal selia sedang menetapkan kehendak terhadap institusi kewangan untuk membangunkan pelan peralihan yang berwibawa bagi mengenal pasti, mengukur dan menguruskan risiko berkaitan iklim dengan lebih baik. Penetapan ini juga berlaku di Malaysia, iaitu Bank Negara Malaysia telah menggariskan prinsip umum untuk membantu institusi kewangan memulakan usaha perancangan peralihan mereka. Melalui usaha Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee of Climate Change, JC3), kami bekerjasama rapat dengan industri untuk melaksanakan sesi klinik bersasar dan merapatkan jurang data yang penting menerusi kerjasama pelbagai pihak berkepentingan dan bengkel pembangunan keupayaan.
Tidak dapat dinafikan bahawa perubahan iklim mengganggu model aktuari tradisional. Aktuari perlu menyahut cabaran ini dan menyelaraskan semula model sedia ada untuk mengambil kira pertimbangan berkaitan iklim. Khususnya, hal ini memerlukan penyepaduan risiko fizikal, peralihan dan liabiliti dalam rangka kerja aktuari. Analisis senario dan ujian tekanan risiko iklim yang mantap merupakan alat yang berguna bagi aktuari untuk memanfaatkan data yang lebih komprehensif. Andaian perlu dikemas kini berdasarkan kekerapan, keseriusan dan korelasi risiko serta penggunaan tempoh masa yang lebih panjang iaitu 5, 10 atau 20 tahun. Hal ini memudahkan penilaian risiko berkaitan iklim dan alam semula jadi serta faktor kebergantungan sebelum risiko benar-benar berlaku. Kerjasama dengan saintis iklim juga dapat meningkatkan perincian dan tahap relevan data.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Setakat ini, ucapan saya menumpukan pada hal-ehwal risiko. Melangkaui penyelarasan risiko, terdapat peluang besar bagi industri untuk menerajui penyelesaian dan inovasi iklim, daripada membangunkan penyelesaian parametrik kepada merangka penyelesaian kewangan campuran yang mengurangkan risiko teknologi dan infrastruktur hijau dan menawarkan pengunderaitan bagi risiko yang menggabungkan langkah-langkah mitigasi dan penyesuaian iklim.
Para aktuari memainkan peranan yang sangat penting dalam merangka dan melaksanakan penyelesaian inovatif untuk tindakan iklim yang inklusif. Sebagai contoh, peserta industri di Filipina telah merintis usaha insurans parametrik yang memacu pembayaran tuntutan yang cepat dan fleksibel sekiranya berlaku kejadian pencetus, seperti peningkatan taburan hujan atau kelajuan angin yang ekstrem.[4] Bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, penanggung insurans di India telah mempertingkatkan penyelesaian mikroinsurans untuk petani kecil yang terancam mata pencarian mereka akibat ketidaktentuan iklim yang semakin meningkat.[5] Inisiatif ini menyediakan bantuan kewangan yang pantas selepas bencana, lantas mempercepat usaha pemulihan dan pembinaan semula.
Dalam sesetengah kes, tumpuan penyelesaian telah berkembang daripada inisiatif mitigasi kepada inisiatif adaptasi. Di Malaysia, kami memerhatikan beberapa ITO terpilih yang menyediakan perlindungan terhadap kos langkah-langkah membina daya tahan bagi mengehadkan peningkatan kerosakan iklim pada masa hadapan dan potensi kehilangan aset pelanggan. Kesemua contoh ini menunjukkan bahawa industri, menerusi aktuari sebagai penggerak, sedang mencipta penyelesaian inovatif bagi menyelesaikan isu yang paling mendesak. Bagi aktuari, cabaran yang dihadapi bukan sahaja untuk memperluas skala projek rintis setempat dan membina daya tahan iklim yang lebih kukuh, malah untuk mendorong industri menyediakan lebih banyak penyelesaian yang sepadan dengan tujuan dan pada masa yang sama mampu dimiliki, terutamanya penyelesaian yang disasarkan untuk segmen mudah terjejas seperti PKS. Produk sebegini mungkin kelihatan kurang menarik pada jangka pendek, tetapi mempunyai manfaat berkaitan iklim untuk pelanggan pada jangka panjang. Saya yakin sepenuhnya bahawa para aktuari mampu menjadikannya suatu kenyataan. Oleh itu, saya juga mengundang ITO untuk mengambil bahagian dalam Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL) JC3 yang ditubuhkan baru-baru ini untuk sama-sama menghasilkan penyelesaian insurans dan takaful inovatif untuk pelbagai projek berkaitan iklim dan alam semula jadi yang sangat penting.
Memperluas peranan aktuari untuk mempergiat impak sosial
Tuan-tuan dan puan-puan,
Selain bidang iklim, tidak wajar jika saya tidak menyentuh tentang peranan penting yang dimainkan oleh aktuari dalam bidang impak sosial lain. Bidang ini meliputi contohnya penjagaan kesihatan, perlindungan pendapatan dan perkhidmatan lain untuk penduduk yang semakin berusia.
Baru-baru ini, kesan inflasi perubatan yang semakin meningkat, seperti yang disaksikan secara amnya di rantau Asia Pasifik[6], mencapai kemuncaknya di Malaysia, lantas menyebabkan intervensi pihak pengawal selia dengan beberapa langkah interim untuk memastikan kemampuan dan kelangsungan perlindungan. Strategi jangka panjang sedang dilaksanakan, termasuk produk asas insurans/takaful perubatan dan kesihatan (medical and health insurance/takaful, MHIT) untuk menyediakan perlindungan yang mampu milik dan lebih mampan bagi rakyat Malaysia untuk mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan asas. Walaupun titik tekanan disebabkan oleh inflasi perubatan, reka bentuk produk merupakan faktor penting dalam memacu portfolio perubatan yang mampan. Berhubung dengan isu ini, aktuari memainkan peranan mustahak dalam memastikan reka bentuk produk insurans kesihatan yang mampan dengan meneliti unjuran jangka panjang kos dan manfaat, perubahan demografi dan pengumpulan risiko yang adil. Peranan ini mungkin merangkumi pelaksanaan mekanisme berkesan yang lazim digunakan untuk menguruskan trend penggunaan dan menggalakkan penggunaan yang lebih bertanggungjawab melalui pendekatan perkongsian kos. Selain itu, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) dan elemen gamifikasi dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan pemahaman pelanggan terhadap penyelesaian perlindungan mereka serta mendorong mereka ke arah tingkah laku kesihatan yang lebih positif.[7]
Dalam menyokong peningkatan penduduk yang semakin berusia, aktuari boleh memanfaatkan kepakaran mereka dalam pemodelan risiko lanjut usia (longevity risk) untuk membangunkan penyelesaian perlindungan lanjut usia seperti produk anuiti seumur hidup dan produk gadai janji berbalik. Kepakaran ini melengkapi peranan tradisional aktuari sebagai penasihat mengenai kesolvenan skim pencen serta peranan dalam pemodelan anjakan demografi masa hadapan.
Sektor takaful juga mempunyai peluang besar yang masih belum diterokai dalam memajukan pembiayaan risiko yang inklusif. Aset kewangan Islam global dijangka mencapai US$7.5 trilion menjelang tahun 2028.[8] Takaful, yang berpaksikan prinsip bantuan bersama, secara semula jadinya selaras dengan prinsip kelestarian. Takaful menyediakan gabungan penting perlindungan kewangan, pengurusan risiko yang kukuh dan pemerkasaan komuniti, yang mustahak untuk peralihan yang adil. Dalam memperluas skop dan aplikasi penyelesaian takaful, Bank Negara Malaysia sedang bekerjasama dengan industri takaful dalam menjalankan projek rintis perlindungan takaful kewangan campuran (Perlindungan iTEKAD) untuk menangani jurang perlindungan bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Kami juga merancang untuk menerbitkan Dokumen Dasar Broader Application of Ta’awun (mutual assistance) in Takaful menjelang akhir tahun 2025 sebagai rangka kerja pemudah cara bagi peserta industri untuk meneroka inovasi produk baharu dan model takaful dalam menggalakkan kesepaduan sosial (social cohesion) dan pengagihan kekayaan yang saksama. Sekali lagi, aktuari memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha ini, dalam mengukur impak sosial secara nyata, serta memastikan penyelesaian baharu tetap berdaya maju dari segi kewangan serta inklusif. Sebagai contoh, syarikat insurans di rantau ini boleh mengambil teladan penyelesaian takaful inovatif dari negara lain, seperti polisi insurans ternakan berasaskan indeks dari Kenya yang melindungi penternak berpendapatan rendah daripada kejadian cuaca melampau.[9]
Menuju masa hadapan
Sidang hadirin,
Sebagai aktuari, anda memiliki sudut pandangan unik yang menggabungkan ketepatan teknikal dengan tahap relevan sosial yang mendalam. Angka-angka yang anda modelkan bukan sekadar kebarangkalian; angka-angka ini mencerminkan kehidupan, mata pencarian dan masa hadapan rakyat. Dengan tanggungjawab yang digalas dan peluang yang terbentang, komuniti aktuari bukan sahaja membentuk hasil kewangan, tetapi juga kesejahteraan ekonomi dan sosial bagi perniagaan serta komuniti. Dengan mengetengahkan kepakaran anda untuk menghadapi cabaran yang mendesak, sama ada daya tahan penjagaan kesihatan, jaminan usia persaraan mahupun risiko iklim dan peralihan yang inklusif, anda mampu memacu perubahan daripada sekadar menilai ukuran kepada menghasilkan impak yang bermakna. Usaha ini akan menegaskan peranan penting aktuari sebagai pemegang amanah jaminan jangka panjang untuk rakyat dan ekonomi.
Sekian, terima kasih.
[1] Institute and Faculty of Actuaries (Januari 2025). Planetary Solvency- finding our balance with nature. https://actuaries.org.uk/planetary-solvency
[2] Munich Re (2023). Extreme weather risks in Asia-Pacific, https://www.munichre.com/en/risks/unpublished/extreme-weather-apac.html?utm_.com
[3] Tidak termasuk negara-negara dengan liputan perlindungan yang lebih tinggi seperti Jepun dan Australia.
[4] Bank Dunia (Disember 2021). The Philippines Parametric Catastrophe Risk Insurance Program Pilot: Lessons Learned. https://www.financialprotectionforum.org/publication/the-philippines-parametric-catastrophe-risk-insurance-program-pilot-lessons-learned
[5] UNDP Insurance and Risk Facility (13 Mei 2025). Data-driven insurance is making India’s smallholder farmers more resilient. https://irff.undp.org/blog/data-driven-insurance-making-indias-smallholder-farmers-more-resilient
[6] WTW (3 Disember 2024). Asia Pacific expects high medical inflation in 2025. https://www.wtwco.com/en-my/insights/2024/12/asia-pacific-expects-high-medical-inflation-in-2025. Kos perubatan di Asia Pasifik sedang meningkat lebih pantas berbanding dengan tempat lain di dunia, dengan rantau ini dijangka mengalami kadar inflasi perubatan global tertinggi sebanyak 12.3% pada tahun ini.
[7] YuLife (16 April 2025). ‘From Steps to Science: How Gamification is Transforming Health and Life Insurance. https://yulife.com/blog/how-gamification-transforms-group-health-life-insurance/
[8] Standard Chartered (19 Mei 2025). Global Islamic Finance Assets to Surpass USD 7.5 Trillion by 2028. https://www.sc.com/en/press-release/standard-chartered-global-islamic-finance-assets-to-surpass-usd-7-5-trillion-by-2028/
[9] International Cooperative and Mutual Insurance Federation (25 November 2016). Takaful Insurance of Africa’s innovative index-based insurance for livestock receives global recognition. https://www.icmif.org/news_story/takaful-insurance-of-africas-innovative-index-based-insurance-for-livestock-receives-global-recognition/
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.