Ucaptama oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid di Acara Tinjauan Makroekonomi AmBank 2025

Grand Hyatt, Kuala Lumpur | 4 Februari 2025

"Meneliti Strategi Serantau Malaysia pada tahun 2025"

Menjadi satu penghormatan bagi saya untuk berada di sini pada hari ini. Terima kasih kepada AmBank kerana menganjurkan acara ini dan mengundang saya untuk menyampaikan ucapan. Tema acara iaitu “Meneliti Strategi Serantau Malaysia pada Tahun 2025” sebenarnya kena pada masanya ketika negara mula memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN. Tahun ini dianggap sebagai tahun yang penting dan menjadi titik transformasi dengan pelbagai peluang untuk diteroka dan dimajukan. Namun begitu, perkembangan terkini telah meningkatkan keperluan untuk meneliti dengan lebih mendalam mengenai prospek serantau serta kedudukan Malaysia, dan cara untuk kita mengendalikan ketidakpastian ini.

Izinkan saya memulakan dengan pandangan berhubung dengan prospek pertumbuhan global dan serantau sebelum ini. World Economic Outlook IMF terbaharu mengunjurkan bahawa pertumbuhan global untuk tahun 2025 akan mengukuh kepada 3.3%. Masih ada peningkatan meskipun pada kadar yang kecil berbanding tahun 2024. Jangkaan peningkatan ini didorong oleh momentum pertumbuhan yang berterusan di Amerika Syarikat (AS) dan ekonomi-ekonomi maju. Yang penting bagi kita, selain sedikit penurunan dalam pertumbuhan China, Asia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya dengan jangkaan pertumbuhan sebenar yang lebih kukuh khususnya di negara-negara maju Asia (Advanced Asia) dan negara-negara utama ASEAN.[1]

Cabaran dalam landskap pelaburan global

Walau bagaimanapun, dengan semua ketidakpastian yang masih berlaku ini, penting untuk kita mengakui sebahagian realiti landskap global yang tidak menentu. Tahun ini dijangka mencabar dari pelbagai aspek; dasar, ekonomi dan geopolitik. Satu ketidakpastian semasa adalah disebabkan oleh ekonomi AS yang terus berdaya tahan, dengan penurunan kadar inflasi yang lebih beransur-ansur daripada jangkaan. Keadaan ini mendasari ketidakpastian yang berterusan mengenai masa dan tahap pelonggaran dasar monetari oleh Federal Reserve AS (Fed). Bank pusat tersebut mungkin perlu mengekalkan kadar faedahnya yang tinggi untuk tempoh yang lebih lama, lantas mungkin mengekalkan jurang antara kadar faedah AS dengan kadar faedah di pasaran lain. Keadaan ini terus menyediakan persekitaran yang menarik untuk aset dolar AS yang menawarkan pulangan lebih tinggi berbanding pelaburan di pasaran yang memberikan kadar hasil yang lebih rendah.

Kembalinya Presiden Trump sebagai presiden AS juga menyebabkan ketidakpastian dasar mencapai tahap baharu, yang boleh memberikan kesan meluas terhadap pasaran global.

Meskipun reaksi awal berikutan retorik daripada kempen yang lepas adalah berbentuk penghindaran risiko (risk-off) oleh pasaran sedang pesat membangun dan persekitaran dolar yang kukuh, kesan sebenar dasar Presiden Trump terhadap pertumbuhan global mungkin lebih rumit. Komitmen beliau terhadap penyahkawalseliaan (deregulation) dan pemotongan cukai mampu merangsang ekonomi AS, dengan kesan limpahan positif pada pasaran global. Arahan beliau untuk menyahkawal dan mengembangkan cari gali minyak boleh menurunkan harga minyak, yang berpotensi merangsang pertumbuhan sambil mengurangkan tekanan inflasi. Walau bagaimanapun, tarif dan sekatan perdagangan, terutamanya yang menyasarkan rakan-rakan dagangan utama, akan menimbulkan ketidakpastian yang ketara. Tarif pembalasan (retaliatory tariffs) boleh meningkatkan lagi ketegangan dalam perdagangan antarabangsa dan menyumbang kepada ketidakstabilan dalam pasaran global. Dinamik perdagangan juga boleh berubah dengan negara lain meraih manfaat daripada pengalihan rantaian bekalan; iaitu negara seperti Vietnam dan Malaysia. Walau bagaimanapun, semua situasi ini sangat kerap berubah seperti yang kita perhatikan sejak kebelakangan ini. Mungkin masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan. Namun kita boleh menjangkakan kesan keseluruhan dasar Trump terhadap pertumbuhan global mungkin bercampur-campur apabila kedua-dua kesan positif dan negatif menjadi nyata.

Perubahan ketara lain ialah peralihan besar dalam strategi AS mengenai agenda hijau dan tenaga boleh diperbaharui. Selain mempercepat dan menyahkawalselia cari gali untuk meningkatkan pengeluaran minyak di AS, negara tersebut juga berhasrat untuk menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris. Tindakan ini akan memberikan kesan pada kerjasama antarabangsa berhubung dengan matlamat iklim dan menjejaskan momentum peralihan global ke arah ekonomi yang lebih lestari dalam menangani perubahan iklim. Yang lebih ketara ialah tindakan beberapa bank besar AS dan para pengurus aset global yang juga telah menarik diri daripada rangkaian inisiatif sifar bersih. Belum jelas sama ada langkah-langkah ini mencerminkan perubahan sebenar strategi sektor kewangan, tetapi kesemua perkembangan ini menimbulkan kebimbangan mengenai perkembangan dan masa hadapan agenda hijau dan iklim.

Ketidakpastian mengenai prospek pertumbuhan ekonomi China terus menjadi sumber volatiliti pasaran. Meskipun terdapat tanda-tanda bahawa ketegangan geopolitik akan reda di Eropah dan Timur Tengah, terdapat risiko geopolitik baharu yang berpunca daripada kepentingan AS ke atas Greenland dan Terusan Panama. Gabungan kesemua faktor ini menekankan keperluan daya tahan dan kemampuan membuat penyesuaian bagi ekonomi dalam mengharungi persekitaran yang semakin tidak menentu pada tahun 2025.

Daya tahan ringgit dan kekukuhan pasaran domestik

Pada tahun lalu, ekonomi Malaysia sendiri menunjukkan daya tahan yang memuaskan, lantas menyerlahkan keupayaan kita untuk menghadapi ketidakpastian global. Pertumbuhan, yang diunjurkan mencapai 5.1% untuk tahun 2024, berada pada kadar yang lebih tinggi daripada jangkaan dengan pertumbuhan sebenar yang lebih teguh dalam pelaburan, penggunaan dan sektor luaran. Eksport terus mendapat manfaat daripada permintaan luaran yang kukuh dan limpahan positif daripada peningkatan kitaran teknologi global. Aktiviti pelaburan kekal kukuh dengan Malaysia mencapai jumlah pelaburan diluluskan yang paling tinggi pada tahun 2023. Momentum positif ini dijangka berterusan, dengan pelaburan diluluskan meningkat sebanyak 10.7% pada asas tahun ke tahun untuk sembilan bulan pertama tahun 2024.

Ringgit juga menunjukkan prestasi yang kukuh pada 2024 apabila mencatatkan pemulihan luar biasa pada separuh kedua tahun tersebut untuk muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di rantau ini. Malah ringgit telah melawan arus pertambahan nilai US Dollar Index (DXY) yang berterusan untuk menjadi satu daripada dua mata wang serantau sahaja yang menambah nilai berbanding dolar AS pada tahun 2024. Sejak awal tahun 2025 sehingga kini, nilai ringgit mengukuh sedikit pada ketika ini dalam persekitaran terkini yang tidak menentu.

Pendorong utama prestasi ringgit yang pertama ialah permulaan kitaran pemotongan kadar oleh Fed yang menjadi faktor penting yang menyokong nilai ringgit. Keadaan ini dijangka berterusan pada tahun 2025, kerana Fed dan semua bank pusat negara G10 yang lain, kecuali Jepun, masih berada dalam kitaran pemotongan kadar.

Kedua, usaha bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kerajaan dalam menggalakkan pendapatan dibawa balik dan ditukarkan kepada ringgit oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (government-linked investment companies, GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (government-linked companies, GLC) adalah penting dalam usaha menstabilkan pasaran dan memberikan sokongan asas kepada aliran pasaran. Selain itu, BNM juga telah menjalankan pelbagai libat urus dengan syarikat korporat, pengimport dan pengeksport untuk menghasilkan dan mengendalikan aliran kepada pasaran serta melancarkan Qualified Resident Investor Programme. Seiring dengan intervensi kami, kesemua inisiatif ini telah mengurangkan volatiliti yang berlebihan dan memulihkan keyakinan pelabur dan orang ramai terhadap pasaran negara. Pada masa hadapan, BNM akan meneruskan inisiatif-inisiatif ini dan pada masa yang sama kekal teliti serta proaktif dalam usaha mencegah turun naik yang berlebihan dan memastikan pasaran kewangan negara terus berfungsi dengan teratur.

Ketiga, ekonomi negara menunjukkan prestasi yang mantap pada tahun 2024 dengan tahap inflasi yang terus terkawal. Pembaharuan struktur yang diusahakan oleh Kerajaan telah meletakkan asas yang kukuh bagi memastikan pertumbuhan yang mampan pada masa hadapan. Dalam konteks ini, prestasi luar biasa ringgit mengesahkan bahawa ekonomi berada pada landasan yang betul, dan hal ini telah memperteguh keyakinan pasaran terhadap daya tahan dan keutuhan ringgit untuk jangka panjang.

Daya tahan ringgit disokong lagi oleh aktiviti perdagangan yang rancak dalam pasaran pertukaran asing. Pada tahun 2024, jumlah dagangan pertukaran asing (foreign exchange, FX) harian berpurata sebanyak USD17.6 bilion, mencatatkan peningkatan peratusan dua digit berbanding tahun sebelumnya. Pasaran wang dan bon kita juga mencatatkan jumlah dagangan harian purata yang lebih tinggi, masing-masing sebanyak RM10.3 bilion dan RM4.7 bilion pada tahun 2024, kedua-duanya lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Perkembangan ini menegaskan mudah tunai pasaran kita yang semakin mendalam serta keupayaan pasaran kewangan negara yang semakin meningkat untuk menjalankan dan menyerap transaksi bernilai besar dengan cekap.

Peluang untuk Tahun 2025

Walaupun terdapat pelbagai ketidakpastian pada tahun 2025, Malaysia mampu menawarkan banyak peluang, didorong oleh tumpuan strategik kami terhadap pembaharuan ekonomi dan fiskal, kepimpinan dalam kewangan Islam dan kepengerusian ASEAN negara.

Pembaharuan ekonomi dan fiskal

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.5% hingga 5.5% pada tahun ini.[2] Terdapat pelbagai projek pemangkin berdasarkan pelbagai pelan induk[3] yang dirangka untuk mencipta industri baharu dan memacu transformasi ekonomi jangka panjang, dengan tujuan untuk menjamin pertumbuhan negara pada masa hadapan. Kini, terdapat gelombang pelaburan pusat data oleh syarikat teknologi terkemuka global. Dengan ini, Malaysia sedang memperkukuh kedudukan sebagai hab utama ekonomi digital di ASEAN serta sedang membuka peluang baharu untuk inovasi, pewujudan pekerjaan dan perniagaan sampingan dalam ekosistem tersebut.

Sektor pelancongan telah mencatatkan pemulihan yang kukuh. Secara keseluruhan, aktiviti pelancongan telah kembali ke tahap sebelum pandemik dengan pemulihan sepenuhnya bagi pendapatan daripada pelancongan dan nilai tambah oleh sektor berkaitan pelancongan. Pada masa hadapan, kami menjangkakan peningkatan selanjutnya. Kami melihat permintaan terhadap perjalanan antarabangsa yang lebih tinggi, bersama-sama dengan kapasiti penerbangan yang diperluas, terus memacu momentum ini. Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 juga akan bertindak sebagai pemangkin utama untuk sektor pelancongan negara.

Melengkapi prospek ini adalah komitmen Kerajaan terhadap kemampanan fiskal. Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal menetapkan komitmen Kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal dan pinjaman secara beransur-ansur, dengan sasaran defisit fiskal jangka sederhana sebanyak 3% daripada KDNK dan nisbah hutang di bawah 60% daripada KDNK. Setakat ini, Kerajaan telah mencapai sasaran tahunan dalam usaha memenuhi matlamat ini. Selain itu, peralihan daripada subsidi secara menyeluruh kepada subsidi bersasar telah menghasilkan penjimatan besar yang boleh dialihkan untuk menyokong keutamaan lain pada peringkat nasional.

Permodalan sektor kewangan negara kekal kukuh dan berada pada kedudukan strategik untuk menyokong pertumbuhan dan pelaburan. Pada tahun 2024, pertumbuhan pinjaman perniagaan sebanyak 5.1% menyokong pertumbuhan dan Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam pengumpulan dana ekuiti dan penerbitan bon korporat. Bursa Malaysia mencatatkan bilangan penyenaraian tawaran awam permulaan (initial public offerings, IPO) tertinggi sepanjang 19 tahun. Dengan jumlah 55 IPO dilancarkan dan RM7.4 bilion dikumpulkan melalui tawaran ini, Malaysia menduduki tempat pertama dalam kalangan bursa ASEAN dan mengatasi pasaran IPO London dari segi bilangan IPO dan jumlah nilai yang dikumpulkan pada tahun 2024. Selain itu, penerbitan bon korporat melonjak kepada RM124 bilion, melebihi RM118 bilion pada tahun sebelumnya, dengan sukuk terus memegang bahagian majoriti pasaran modal hutang terkumpul. Pencapaian ini menggariskan kemampuan Malaysia untuk memudahkan pembiayaan berskala besar dan keyakinan yang semakin meningkat oleh penerbit dan pelabur untuk menceburi pasaran Malaysia.

Kewangan Islam dan kelestarian

Dalam kewangan Islam, Malaysia terus menjadi pemimpin global dan hab antarabangsa. Dengan rangka kerja pengawalseliaan yang kukuh, infrastruktur kewangan yang mantap dan kumpulan tenaga mahir yang menyeluruh, Malaysia telah mencipta persekitaran yang kondusif untuk pasaran dan institusi kewangan Islam berkembang. Dalam pasaran sukuk global, Malaysia terus kekal sebagai peserta dominan, menguasai 48% bahagian pasaran sukuk global terkumpul. Kepimpinan ini merangkumi sektor perkhidmatan kewangan yang menunjukkan perbankan Islam telah mencapai tahap penembusan yang ketara, iaitu mencakupi 46% bahagian jumlah pembiayaan. Selain itu, industri takaful negara juga telah menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan hampir tiga kali saiz sumbangannya sepanjang dekad lalu untuk menguasai hampir satu perempat bahagian pasaran keseluruhan.

Walaupun kita telah mencatatkan kemajuan yang ketara dalam kewangan Islam, masih terdapat potensi untuk memperkukuh kedudukan negara.

Pertama, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Investment Issues, MGII) telah lama diiktiraf pada peringkat global, termasuk berada dalam indeks bon utama seperti Markit iBoxx Asian Local Bond Index, Bloomberg Aggregate Bond Index dan JPMorgan Government Bond Index-EM sejak seawal tahun 2012. Satu langkah lanjut dalam hal ini adalah melalui potensi kemasukan MGII dalam FTSE World Government Bond Index, yang akan menjadi pengiktirafan lanjut untuk MGII. Kami menantikan semua perkembangan ini serta hasil yang bermanfaat bagi kemasukan MGII dalam FTSE World Government Bond Index.

Pasaran untuk Sukuk Pelaburan Lestari dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment, SRI) juga telah berkembang dengan baik, mencapai RM11.9 bilion pada tahun 2024. Jumlah ini mencerminkan perkembangan yang baik sejak penerbitan pertama pada tahun 2017. Namun, apabila kita melihat gambaran yang lebih besar, sukuk SRI masih mencakupi kurang 5% daripada jumlah pasaran sukuk, yang menunjukkan jumlah potensi belum dimanfaatkan yang ketara. Memandangkan Malaysia mendorong projek-projek lestari dengan aktif, wujud peluang yang meluas bagi kita untuk memanfaatkan potensi sukuk SRI sebagai alat pembiayaan utama.

Akhirnya, pasaran takaful negara yang semakin berkembang meletakkan kita sebagai pasaran takaful dan takaful semula yang terkemuka di rantau ini dan pada peringkat global. Dengan peserta dalam negeri dan global yang kukuh, Malaysia bersedia untuk memudahkan perniagaan rentas sempadan dan berfungsi sebagai hab global. Pemerhatian kami menunjukkan banyak peluang muncul di rantau ini dan di tempat lain, serta wujud minat yang besar terhadap apa yang boleh ditawarkan oleh Malaysia. Dengan memupuk kerjasama dan inovasi, Malaysia boleh mengukuhkan lagi ekosistem takaful. Kesemua perkara ini merupakan peluang yang boleh diteliti untuk memaksimumkan potensi sektor yang berkembang ini.

Integrasi kewangan ASEAN

Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun ini memberikan kita peluang untuk memajukan lagi integrasi ekonomi dan kewangan. Selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN Malaysia “Keterangkuman dan Kemampanan”, inisiatif sektor kewangan akan menyokong visi ASEAN selepas tahun 2025 untuk menjadi ekonomi yang bersedia untuk masa hadapan, khususnya dalam bidang kemampanan dan kesalinghubungan pembayaran. Dalam bidang kemampanan, kami merancang untuk lebih menyokong usaha rantau ini dalam membangunkan alat dan kapasiti untuk peralihan yang adil dan teratur, memacu akses kepada kewangan mampan, menyokong peralihan hijau PKS dan menggerakkan kewangan untuk projek hijau dan projek berkaitan iklim. Memanfaatkan momentum semasa dalam kesalinghubungan pembayaran di rantau ini, kami juga akan memberikan tumpuan pada inisiatif untuk memperluas penggunaan jalinan pembayaran dan memudahkan penyertaan dalam kesalinghubungan pembayaran segera di seluruh ASEAN. Kami menantikan sumbangan dan penyertaan industri kewangan dan komuniti perniagaan dalam inisiatif kami. Dari segi bidang kemampanan contohnya, kami ingin meneroka bersama penyelesaian hijau inovatif termasuk produk dan alat kewangan Islam. Kami juga menantikan penyertaan institusi kewangan dan industri kewangan dalam pelbagai perbincangan dan acara yang akan diadakan untuk memajukan agenda ASEAN.

Satu agenda khusus yang sangat penting bagi kami ialah peningkatan penggunaan mata wang tempatan. Dalam hal ini, Malaysia boleh meletakkan kedudukan sebagai hab untuk perdagangan mata wang serantau dan pengurusan mudah tunai. Asas untuk ini telah dibentangkan dengan penubuhan awal Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (Local Currency Settlement Framework, LCSF) dengan Bank of Thailand dan Bank Indonesia. Rangka kerja ini menyediakan kesalinghubungan antara bank serantau serta fleksibiliti dalam peraturan pertukaran asing untuk bank-bank peserta menawarkan perkhidmatan kompetitif untuk perniagaan menyelesaikan transaksi rentas sempadan mereka dalam mata wang tempatan. Keadaan ini membolehkan perniagaan menguruskan risiko pertukaran asing mereka dengan lebih baik. Inisiatif ini membantu menggalakkan daya tahan perniagaan serantau. Sejak pengenalan rangka kerja ini, penyelesaian mata wang tempatan telah meningkat dengan ketara untuk perdagangan dengan Thailand dan Indonesia. Selain itu, Malaysia juga boleh memanfaatkan infrastruktur perbankan yang mantap dan rangkaian luas Pejabat Luar Negara yang Dilantik (Appointed Overseas Offices) untuk memudahkan transaksi rentas sempadan yang lancar.

Kesimpulan

Tuntasnya, meskipun landskap global kekal mencabar pada tahun 2025, saya yakin bahawa Malaysia akan menunjukkan prestasi yang baik. Daya tahan dan keupayaan kita untuk mengharungi ketidakpastian telah terbukti. Sambil kita menuju ke hadapan, kita mampu untuk mengekalkan momentum kukuh pada tahun 2025 dan memanfaatkan banyak peluang yang tersedia.

Terima kasih.


[1] Seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025
[2] Pelan Induk Perindustrian Baharu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Nasional


Bank Negara Malaysia
04 Februari 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?