Ucaptama Timbalan Gabenor di IFN Asia Forum 2023
EQ Hotel, Kuala Lumpur | 2 Oktober 2023
“Kewangan Islam: Memperkasa Kemakmuran Serantau"
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Assalamualaikum dan selamat pagi.
Saya berbesar hati untuk sekali lagi berada di IFN Asia Forum pada tahun ini, iaitu forum yang menghimpunkan ahli-ahli profesional kewangan Islam dari seluruh dunia. Pada masa kini, kita menghadapi banyak cabaran. Namun begitu, IMF telah mengunjurkan bahawa rantau Asia akan menyumbang kira-kira 70% daripada pertumbuhan global tahun ini[1]. Permintaan dalam negeri yang kukuh, keadaan kewangan yang akomodatif dan prospek pelaburan yang bertambah baik merupakan antara faktor yang memberikan peluang meluas kepada peserta pasaran, pengguna dan pihak berkepentingan yang ingin mengembangkan dan mengetengahkan kewangan Islam untuk mengoptimumkan potensi pertumbuhan Asia. Sebagai rantau yang memiliki hampir suku bahagian (23%) daripada jumlah aset kewangan Islam di seluruh dunia, Asia kekal sebagai rantau yang dinamik dan penyumbang utama kepada pertumbuhan kewangan Islam dan ekonomi global.
Berlatarkan persekitaran ini, fokus ucapan saya pada hari ini akan tertumpu kepada dua keutamaan penting bagi kewangan Islam untuk menggalakkan kemakmuran serantau:
- Pertama, untuk mengukuhkan peranan kewangan Islam sebagai pengantaraan kewangan serantau; dan
- Kedua, untuk memperluas dan mempertingkatkan kedudukan pasaran kewangan Islam sebagai komponen utama sistem kewangan Islam global.
Kewangan Islam sebagai penyumbang utama dalam pengantaraan kewangan serantau
Asia semakin menjadi titik tumpuan untuk perdagangan dan pelaburan global. Wujud matlamat bersama dan berbilang saling bergantungan antara ekonomi di Asia dan di seluruh dunia. Saya melihat ada tiga prospek utama bagi industri kewangan Islam untuk merangsang usaha mengembangkan keupayaan pengantaraan serantau:
Pertama, sokongan terhadap perdagangan dan pelaburan halal. Rantaian bekalan halal global telah berkembang seiring dengan permintaan pengguna terhadap produk halal yang semakin meningkat di seluruh dunia. Misalnya, industri makanan halal dijangka berkembang pesat hingga mencecah USD4 trilion menjelang tahun 2028[2]. Asia juga menjadi destinasi pilihan untuk pengembalian hab perkilangan ke negara asal tempat barangan halal termasuk makanan, farmaseutikal, kosmetik dan produk lain dihasilkan. Industri kewangan Islam boleh memanfaatkan peluang pertumbuhan ini dengan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan. Di Malaysia, pembiayaan menggunakan perbankan Islam oleh syarikat yang disahkan halal telah meningkat sekali ganda antara tahun 2018 hingga 2021 menerusi penyelesaian yang terdiri daripada produk pembiayaan perdagangan asas hingga pembiayaan rantaian bekalan bercirikan digital.
Kedua, kewangan mampan. Kewangan Islam boleh mengurangkan jurang pembiayaan yang dianggarkan berjumlah USD1.5 trilion setiap tahun hingga tahun 2030 untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) di negara-negara Asia. Jumlah ini bersamaan dengan kira-kira 4% daripada KDNK rantau ini[3]. Di Malaysia, aspirasi negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih (net zero emission) menjelang tahun 2050 memerlukan anggaran jumlah pembiayaan sebanyak USD100 bilion[4]. Sehubungan dengan itu, usaha pengantaraan berasaskan nilai (value-based intermediation, VBI) termasuk pelaksanaan Panduan Sektoral Rangka Kerja Penilaian Impak VBI boleh menjadi pemangkin pertumbuhan dalam kewangan mampan.
Ketiga, dengan meluaskan keupayaan pengantaraan kewangan Islam, kita boleh memberikan pertimbangan untuk memperluas kewangan campuran (blended finance) dan mengakses sumber dana yang pelbagai. Penggunaan instrumen kewangan sosial dalam perbankan dan takaful, dilengkapi perkongsian dengan pihak berkepentingan berasaskan komuniti dapat mencetuskan peluang baharu dan membina daya tahan yang lebih kukuh dalam kalangan segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan seperti usahawan mikro dan PKS.
Hadirin sekalian,
Diterajui oleh Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 dengan visi "kewangan untuk semua, kewangan untuk kelestarian dan kewangan untuk transformasi", Malaysia sedang menumpukan usaha untuk mengasah dan memperkukuh tawaran dan keupayaan sebagai gerbang antarabangsa untuk kewangan Islam. Tumpuan utama kami adalah pada ekonomi negara-negara Asia dan OIC. Visi ini disokong oleh kekukuhan ekosistem Malaysia dalam kewangan Islam dan keupayaan untuk menyediakan penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan kewangan patuh Syariah pada peringkat serantau dan global.
Visi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Finance, MIFC) bukan sesuatu yang baharu. Meskipun aspirasi untuk menjadi hab kewangan Islam antarabangsa masih kekal, wujud keperluan untuk terus berkembang sebagai tindak balas kepada perubahan perniagaan global. Tumpuan MIFC pada awalnya adalah terhadap perniagaan antarabangsa; iaitu perbankan dan kewangan antarabangsa, terbitan sukuk, pengurusan harta kekayaan dan dana, takaful dan takaful semula serta pembangunan modal insan. Telah terdapat banyak pencapaian dalam semua bidang ini. Kini, aspirasi MIFC merupakan gabungan empat dimensi iaitu mengekalkan pasaran yang memberangsangkan, meraih peluang pada peringkat global, menghasilkan penyelesaian yang diterajui inovasi serta memanfaatkan kepakaran yang boleh memenuhi keperluan serantau dan global. Melalui aspirasi ini, Malaysia diperhatikan sebagai mempunyai ekosistem kondusif yang membolehkan peserta industri merintis dan meluaskan penyelesaian baharu di rantau ini
Terdapat banyak usaha awal yang telah dilaksanakan. Dengan ekosistem kewangan Islam yang semakin matang, tiba masanya untuk industri menjadi peneraju berhubung dengan MIFC, justeru ekonomi Islam merupakan ekonomi pasaran. Berasaskan pandangan ini, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission, SC) telah menubuhkan Majlis Kepimpinan MIFC (MIFC Leadership Council, MLC), iaitu sebuah platform industri untuk menerajui usaha memajukan tawaran nilai MIFC sebagai pasaran global dan gerbang antarabangsa untuk kewangan Islam. Usaha ini termasuk inisiatif untuk meningkatkan daya saing industri kewangan Islam Malaysia pada peringkat global, mengeratkan lagi jalinan kewangan, memperluas peluang antarabangsa dan menghasilkan inovasi kewangan yang lebih berimpak.
Sehingga kini, MLC telah mengadakan sesi libat urus merentas pelbagai industri dan akan menggabungkan maklum balas daripada semua perbincangan ini untuk merangka inisiatif yang jelas dan berfokus untuk industri. Sehubungan dengan itu, saya ingin mengundang dan menggalakkan sokongan serta penglibatan anda semua dalam inisiatif-inisiatif ini serta dalam agenda MIFC yang kini diterajui oleh Majlis Kepimpinan MIFC.
Mengaktifkan dan memperdalam pasaran kewangan Islam
Keutamaan kedua ini merupakan faktor kejayaan yang sangat penting dalam usaha membangunkan pengantaraan kewangan serantau. Malaysia telah memperoleh manfaat yang besar daripada usaha yang berterusan untuk membangunkan pasaran kewangan Islam dan pasaran modal negara ini. Pasaran kewangan Islam Malaysia yang merangkumi hampir 40% bahagian daripada jumlah pasaran kewangan telah berkembang seiring untuk menyokong perbankan dan kewangan islam yang kini mencakupi 44.7% daripada jumlah pembiayaan[5]. Pasaran sukuk Kerajaan adalah 49% daripada jumlah pasaran hutang kerajaan manakala sukuk korporat merangkumi lebih 80% jumlah keseluruhan[6]. Usaha terkini tertumpu pada pembinaan ekosistem kewangan yang boleh menarik kumpulan pelabur yang lebih luas dan pada masa yang sama mengekalkan keyakinan pasaran.
Sukuk kerajaan Malaysia kini boleh disemak menerusi indeks global seperti Markit iBoxx dan JPMorgan GBI-EM yang dijamin oleh agensi penarafan kredit terkemuka serta dipromosikan secara aktif dalam sesi libat urus antarabangsa. Malaysia juga terus memperluas akses penyertaan kepada pelabur bukan permastautin dalam pasaran sukuk dan ekuiti domestik dalam denominasi ringgit. Selain itu, rangka kerja pengawalseliaan untuk dagangan sekunder aset ringgit yang aktif, bersama-sama dengan infrastruktur rangkaian penyelesaian antarabangsa yang selamat dan boleh dipercayai seperti Euroclear/Clearstream adalah sangat penting untuk menyokong penyertaan pelabur asing dalam pasaran sekuriti berasaskan Syariah. Bank Negara Malaysia juga sedang merangka kertas cadangan untuk lindung nilai jangkaan (anticipatory hedging) sebagai sebahagian daripada usaha untuk memajukan pasaran lindung nilai yang berfungsi secara teratur dan selaras dengan prinsip Syariah. Usaha ini adalah salah satu inisiatif di bawah Jawatankuasa Pasaran Kewangan Islam (Islamic Financial Market Committee) dalam membangunkan lagi pasaran kewangan Islam di Malaysia.
Sebahagian besar tumpuan kami adalah untuk memajukan lagi pembangunan ringgit dalam pasaran kewangan Islam. Dahulu, terdapat banyak usaha yang telah tertumpu kepada urus niaga mata wang asing, khususnya AS dolar. Walau bagaimanapun, kemajuan urus niaga sebegini lazimnya berbentuk kitaran dan tertakluk pada perkembangan global. Dalam era dasar monetari AS yang lebih ketat pada masa hadapan, kita perlu mencari cara baharu untuk mempertingkatkan jalinan dan perniagaan antarabangsa bagi Malaysia. Urus niaga ringgit dalam pasaran kewangan Islam tempatan boleh dijadikan sebagai alternatif. Mata wang serantau juga sedang dibangunkan sebagai alternatif dan di ASEAN, langkah ini semakin mendapat sokongan dengan banyak negara yang sedang membangunkan pasaran rentas sempadan secara progresif. Usaha ini termasuk pembangunan Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (Local Currency Settlement Framework, LCSF) yang membolehkan perdagangan dan pelaburan antara pasaran pelbagai negara secara langsung. Hal ini sudah tentu akan memberikan manfaat kepada peserta kewangan Islam, sektor runcit, pelabur institusi dan pelabur korporat serantau.
Hadirin sekalian,
Komitmen secara kolektif kami yang berteraskan keutamaan berkembar ini akan dapat mengukuhkan lagi sumbangan serantau dan impak positif daripada ekonomi Islam, pengantaraan kewangan dan ekosistem pasaran modal. Hal ini penting untuk memberikan tindak balas yang berkesan kepada permintaan yang baru muncul dan sedang berkembang pesat di Asia. Dengan memanfaatkan ekosistem dan kepakaran negara yang sedia ada, apa yang telah kita capai dalam tempoh 40 tahun sebelum ini akan mampu dikecapi dalam masa yang lebih singkat untuk pasaran baharu.
Kita boleh mencapai kejayaan dengan mengambil banyak langkah kecil yang strategik. Apabila kita berganding bahu, kita boleh merealisasikan potensi kewangan Islam dengan sepenuhnya dalam usaha menyokong Asia sebagai sebuah kuasa ekonomi global. Dengan itu, terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada pihak penganjur atas undangan pada hari ini dan semoga forum ini menjadi platform yang produktif untuk semua.
Terima kasih.
Nota kaki:
[1] IMF, Regional Economic Outlook, Asia and Pacific, May 2023
[2] A Glimpse into The Global Halal Industry [2023], The Halal Times, 24 February 2023
[3] Filling the Finance Gap for a Green and Inclusive Recovery, Asian Development Blog, 10 June 2021
[4] RM350b-RM450b investment needed for Malaysia to be net zero GHG emission nation by 2050, The Edge, 9 June 2022
[5],[6] Bank Negara Malaysia, data setakat bulan Julai 2023
Bank Negara Malaysia
3 Oktober 2023
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.