Ucaptama Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid di Money 20/20 Asia
Queen Sirikit National Convention Centre, Bangkok | 23 April 2025
“Ekosistem Fintech Generasi Akan Datang: Memanfaatkan Sepenuhnya Potensi Inovasi”
Saya berbesar hati dapat hadir di majlis Money 20/20 Asia ini untuk menyertai perbincangan tentang peranan fintech dan inovasi kewangan dalam mentakrifkan semula masa hadapan kewangan yang semakin berkembang. Ucaptama ini juga memberi saya peluang untuk berkongsi beberapa perspektif daripada Malaysia serta himpunan maklumat daripada mesyuarat ASEAN yang telah berlangsung beberapa minggu lepas. Siri mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor-Gabenor Bank Pusat ASEAN baru sahaja diadakan di Kuala Lumpur, yang memberikan tumpuan pada kelestarian (sustainability), iklim dan rangkuman (inclusion) atau kesejahteraan, iaitu topik yang amat berkaitan dengan fintech dan inovasi kewangan.
Merenung semula dekad yang lalu, sektor kewangan telah mengalami perkembangan yang ketara dalam bidang ini, dan pada masa yang sama, rantau ASEAN telah muncul sebagai peserta utama. Didorong oleh revolusi digital dan jangkaan pengguna yang berubah-ubah, teknologi telah mempercepat perubahan perkhidmatan kewangan, membuka peluang baharu untuk rangkuman, daya tahan dan kecekapan. Kini, ASEAN merupakan salah satu rantau paling dinamik di dunia dengan saiz KDNK sebanyak USD3.8 trilion[1] dan populasi melebihi 650 juta orang. Rantau ini juga menjadi persekitaran fintech yang memberangsangkan dengan memacu kegiatan ekonomi yang meningkatkan akses kewangan untuk berjuta-juta orang. Sektor fintech rantau ini telah mempamerkan daya tahan yang luar biasa dalam menghadapi trend pembiayaan global yang tidak sekata, mencapai peningkatan lebih sepuluh kali dalam pembiayaan fintech sejak dekad yang lalu.[2] Peningkatan aktiviti fintech ini bukan sahaja merangsang pertumbuhan dalam sektor seperti pembayaran dan pemberian pinjaman alternatif, lantas meningkatkan rangkuman kewangan, malah memainkan peranan penting dalam memudahkan perdagangan dan pelaburan serantau di seluruh ASEAN.
Kemajuan tidak datang secara kebetulan. Rantau ASEAN telah bersatu di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN, yang bertujuan untuk memupuk kemajuan ekonomi dan kewangan. Contohnya, di bawah kepengerusian ASEAN tahun ini, Malaysia telah memberikan tumpuan pada memangkinkan pembiayaan untuk daya tahan iklim dan peralihan yang adil, mempercepat pertumbuhan pasaran modal serantau dan memupuk rangkaian pembayaran segera yang inklusif di ASEAN. Malaysia juga beriltizam untuk memupuk kerjasama yang lebih erat dan integrasi yang lebih kukuh, sebagai strategi utama dan mitigasi dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang semakin meningkat.
Menuju masa hadapan, sektor kewangan perlu memainkan peranan penting dalam menyokong integrasi ekonomi dan kemajuan sosial ASEAN yang berterusan. Rantau ini dijangka memerlukan lebih daripada USD3 trilion untuk pelaburan infrastruktur menjelang tahun 2040[3] untuk mengekalkan pertumbuhan dan meningkatkan taraf hidup. Bagi memenuhi keperluan ini, serta pada masa yang sama menguruskan matlamat iklim, perubahan demografi dan ekonomi digital akan memerlukan ekosistem kewangan ASEAN yang mudah suai dan bersedia untuk masa hadapan. Hal ini bermakna adanya keperluan untuk membina sektor kewangan yang progresif, yang bukan sahaja berdaya tahan dan inklusif malah mampu memanfaatkan potensi penuh teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), teknologi awan (cloud), rantaian blok (blockchain) dan pengkomputeran kuantum, sambil menguruskan risiko yang berkaitan.
Jadi, persoalan yang kita hadapi pada masa ini adalah bagaimana kita perlu membentuk ekosistem kewangan kita untuk terus memperluas sempadan pembiayaan dan memenuhi keperluan masa hadapan rantau ini? Khususnya, saya yakin hal ini bermakna memperkukuh asas untuk persekitaran bersifat kerjasama yang merangkumi:
- Pertama, rangka kerja pengawalseliaan yang memudahkan;
- Kedua, penggerak ekosistem yang sesuai dengan keadaan semasa; dan
- Ketiga, inovasi bertanggungjawab oleh peserta ekosistem.
Izinkan saya untuk berkongsi pandangan saya tentang tiga aspek ini.
Pengawal selia memainkan peranan penting dalam menggerakkan inovasi melalui perlindungan integriti pasaran dan keyakinan orang ramai. Rangka kerja pengawalseliaan yang berwibawa dan boleh dipercayai mampu memupuk keyakinan pada sesuatu yang baharu. Apabila teknologi berkembang pesat, pendekatan pengawalseliaan perlu tangkas, berpandangan ke hadapan dan berlandaskan prinsip-prinsip yang jelas. Bagi memanfaatkan inovasi sepenuhnya, ekosistem yang seimbang dengan gabungan teknologi yang bersedia untuk masa hadapan, laluan inovasi yang inklusif serta kepelbagaian peserta yang berkembang maju adalah penting. Langkah ini bukan sekadar mengemas kini peraturan dan pengawalan, namun mungkin memerlukan lebih banyak rangka kerja berasaskan prinsip yang dapat menawarkan penjelasan dan keyakinan kepada pelabur dan pengguna. Hala tuju ini semakin diterima oleh pengawal selia di seluruh ASEAN.
Di Malaysia, falsafah pengawalseliaan Bank Negara Malaysia (BNM) berlandaskan tiga prinsip utama:
- Kesetaraan, bagi memastikan medan persaingan yang sama rata untuk semua peserta pasaran;
- Kesepadanan, untuk menyesuaikan keteguhan pengawalseliaan dengan tahap risiko; dan
- Keneutralan, untuk mengutamakan hasil yang dihasratkan sambil kekal tidak terikat pada teknologi, sistem dan pendekatan yang berbeza.
Pendekatan ini membolehkan BNM memupuk persekitaran pengawalseliaan yang menggalakkan uji kaji yang bertanggungjawab dan persaingan yang sihat. Pada masa yang sama, kami tetap berjaga-jaga terhadap risiko baharu dan risiko yang timbul, seperti ancaman siber, penipuan digital dan kebimbangan mengenai privasi data, yang mesti diuruskan untuk memastikan daya tahan jangka panjang dalam sektor kewangan.
Bagi menyokong inovasi sambil menguruskan risiko yang berkaitan, instrumen berkesan yang telah diterima pakai secara meluas oleh pengawal selia pada peringkat global dan serantau ialah Sandbox Pengawalseliaan. Model Sandbox membantu inovator memperhalus penyelesaian mereka dan pada masa yang sama pengawal selia menilai risiko yang berkemungkinan. Malaysia adalah antara negara terawal di dunia yang menerapkan Sandbox Pengawalseliaan. Sejak diperkenalkan pada 2016, Sandbox ini telah memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem fintech Malaysia dengan memudahkan inovasi seperti pembukaan akaun digital sepenuhnya, model insurans dan takaful digital serta penyelesaian kiriman wang rentas sempadan. Uji kaji ini telah memaklumkan pembangunan rangka kerja baharu, termasuk aplikasi pelesenan yang baru dilancarkan untuk Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital (Digital Insurers and Takaful Operators, DITO) yang bertujuan untuk menggalakkan rangkuman, persaingan dan kecekapan yang lebih baik dalam sektor insurans dan takaful.
Selaras dengan kepelbagaian inovasi yang semakin meningkat, BNM baru-baru ini telah menyegarkan semula inisiatif Sandbox untuk memperkenalkan dua laluan yang berbeza:
- Sandbox Standard dengan proses penilaian kelayakan yang dipermudah untuk menggalakkan penyertaan yang lebih luas; dan
- Laluan Hijau iaitu laluan pantas bagi institusi kewangan yang mempunyai keupayaan pengurusan risiko yang kukuh, yang membolehkan institusi menguji inovasi secara lebih pantas.
Hal ini diikuti dengan peningkatan ketara dalam jumlah permohonan dan kepelbagaian inovasi yang dikemukakan, dengan sejumlah 11 Sandbox Standard dan tiga permohonan Laluan Hijau diterima pada tahun 2024. Perkembangan ini menegaskan pendapat kami bahawa pengawal selia dan peraturan juga perlu tangkas.
Memandang ke hadapan, kita juga perlu bersedia untuk menghadapi teknologi akan datang yang bersifat transformasi. Teknologi ini termasuk bukan sahaja AI dan aset digital, malah perkembangan yang lebih terkini seperti pengkomputeran kuantum. Meskipun berada pada pelbagai peringkat kematangan, kesemua teknologi ini berpotensi untuk terus membentuk semula landskap kewangan dan mungkin memerlukan tindak balas pengawalseliaan yang sepadan dan sesuai serta terus berkembang seiringan.
Namun, kita tidak boleh menjalankan usaha ini sendirian. Jangkauan yang meluas dan sifat global teknologi bersifat transformasi ini memerlukan pendekatan rentas sempadan. Contohnya, kajian lanjut tentang penggunaan inovasi gabungan melalui sandbox rentas sempadan mampu memudahkan uji kaji secara kerjasama dan pembelajaran bersama, sementara pendekatan terselaras untuk pengawasan penyeliaan adalah penting untuk memastikan pemahaman risiko yang lebih holistik dan daya tahan kolektif merentas ekonomi.
Pada masa yang sama, peranan pengawal selia perlu terus berkembang. Meskipun mandat kekal sama, penyampaian mandat tersebut kini kebanyakannya memerlukan pendekatan seluruh ekosistem, kerana pengawal selia mungkin perlu bekerjasama lebih rapat dengan pengawal selia sektor lain atau mempertimbangkan untuk mengembangkan ruang lingkup peraturannya apabila bahagian lain dalam rantaian bekalan boleh mempengaruhi prestasi mandat. Kerjasama yang teguh antara pengawal selia, peserta industri dan pihak berkepentingan utama juga mustahak untuk memupuk ekosistem yang inovatif dan kukuh. Dengan bekerjasama, kita dapat membina sistem kewangan yang bukan sahaja mengintegrasikan teknologi dengan baik malah dapat menyalurkan teknologi tersebut ke arah memperkukuh daya tahan ekonomi dan memupuk kesejahteraan kewangan jangka panjang.
Tonggak kedua yang mendasari sistem kewangan yang bersedia untuk masa depan ialah infrastruktur digital. Memandangkan kewangan digital semakin sebati dalam kehidupan seharian kita, kesediaan penggerak asas yang betul perlu dipastikan. Penggerak asas ini termasuk sistem identiti digital yang mantap yang memastikan akses yang selamat kepada perkhidmatan kewangan, rangkaian pembayaran saling kendali yang meluas rangkumannya dan mengurangkan kos, serta keupayaan pencegahan penipuan masa nyata yang mengekalkan kepercayaan orang ramai. Saya yakin bahawa kesemua elemen ini apabila digabungkan menjadi asas untuk pertumbuhan yang inovatif.
Negara di seluruh dunia berada pada tahap yang berbeza dalam membangunkan keupayaan infrastruktur kewangan digital. ASEAN merupakan pendukung dan penyokong yang aktif dalam usaha ini. Pada tahun 2024, rantau ini menghasilkan kemajuan yang ketara dalam pengukuhan infrastruktur kewangan digitalnya, dengan tumpuan khusus pada sektor pembayaran. Usaha meningkatkan rangkaian pembayaran rentas sempadan telah meraih momentum yang besar di rantau ini, dengan banyak negara meneroka jalinan pembayaran masa nyata dan penyelesaian pembayaran berbilang mata wang. Malaysia telah menjadi penyumbang kepada kemajuan ini menerusi jalinan pembayaran QR masa nyata dengan Thailand, Indonesia, Singapura dan Kemboja, bersama-sama dengan keupayaan pindahan wang rakan ke rakan (peer-to-peer, P2P) dengan Singapura dan Kemboja. Melalui jalinan ini, bersama-sama dengan hubungan dua hala lain dalam ruang lingkup ASEAN dan Asia, pelanggan dan perniagaan mendapat manfaat daripada pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, lebih murah dan lebih lancar. Pada masa hadapan, Projek Nexus, iaitu kerjasama dengan BIS Innovation Hub dan bank-bank pusat dari Singapura, Thailand, Filipina, dan India, bermatlamat untuk mewujudkan rangkaian pembayaran segera pelbagai negara. Rangkaian ini akan membolehkan pengguna menghantar pembayaran rentas sempadan menggunakan perantara seperti nombor telefon bimbit, lantas mengurangkan kos serta menggalakkan integrasi kewangan dan ekonomi serantau.
Penggunaan pembayaran digital, terutamanya pembayaran berasaskan QR, juga telah berkembang dengan ketara di ASEAN. Dengan lebih 80 e-dompet di ASEAN yang menghubungkan 205 juta pengguna dengan 25 juta peniaga,[4] rantau ini sedang mengalami peralihan yang besar ke arah ekonomi yang lebih digital. Malaysia tidak terkecuali daripada peralihan ini. Piawaian pembayaran QR saling kendali negara iaitu DuitNow QR telah digunakan secara meluas, dengan peningkatan 30% dalam titik penerimaan (acceptance points) QR di seluruh Malaysia yang telah menyumbang kepada peningkatan transaksi QR lebih dua kali] pada tahun 2024. Kejayaan ini mencerminkan usaha bersepadu untuk membina ekosistem pembayaran yang terbuka dan cekap. Pada masa yang sama, menjaga kepercayaan awam kekal sebagai keutamaan teratas. Pelancaran National Fraud Portal, satu kerjasama antara BNM dengan Payments Network Malaysia (PayNet) iaitu pengendali sistem pembayaran runcit negara, telah melengkapkan institusi kewangan dengan alat untuk mengesan, menjejak dan membekukan transaksi mencurigakan secara serta-merta. Inisiatif sedemikian telah memperkasakan institusi kewangan, termasuk peserta kewangan Islam kami, untuk membangunkan lebih banyak penyelesaian digital dan inovatif, lantas memastikan sektor kewangan kekal selamat.
Transformasi digital juga membuka peluang yang unik untuk memajukan inovasi dalam kewangan Islam melalui penyelesaian berasaskan nilai. Pada peringkat global, kewangan berasaskan impak semakin mendapat perhatian kerana pelabur dan institusi berusaha untuk menyelaraskan aktiviti kewangan dengan hasil sosial dan alam sekitar secara lebih baik. Kewangan Islam memainkan peranan mustahak dalam peralihan ini, menawarkan penyelesaian kewangan beretika dan inklusif yang berlandaskan prinsip kelestarian dan tanggungjawab sosial. Di Asia Tenggara, aset kewangan Islam mencecah USD859 bilion atau 17% daripada pasaran global pada tahun 2023, peningkatan sebanyak 11% dari tahun sebelumnya.[5] Meneruskan momentum ini dan memanfaatkan rangka kerja Perantaraan Berasaskan Nilai (Value-Based Intermediation, VBI), Malaysia terus menyokong perantaraan kewangan yang menggalakkan kesan positif jangka panjang. Sejak ditubuhkan pada tahun 2017, inisiatif yang selaras dengan VBI telah menggembleng hampir RM650 bilion (atau USD140 bilion) melalui pelbagai saluran termasuk kewangan sosial, pemberian pinjaman berasaskan impak dan sukuk berfokuskan kelestarian.
Melengkapkan usaha ini, sektor fintech Islam di ASEAN telah menunjukkan pertumbuhan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, didorong oleh permintaan yang kukuh untuk penyelesaian kewangan patuh Syariah. Setakat tahun 2024, Asia Tenggara mempunyai sebanyak 145 syarikat pemula fintech (fintech startup) Islam, dengan Malaysia dan Indonesia muncul sebagai pusat utama. Rantau ini menyumbang kira-kira 13.7% daripada saiz pasaran fintech Islam global pada tahun 2024. Kini, pertumbuhan ini terus berkembang dengan kemasukan dan pengembangan bank digital Islam sepenuhnya. Di Malaysia, sebuah bank digital Islam memulakan operasi tahun lalu dan satu lagi bank digital Islam telah diluluskan untuk memulakan operasi awal tahun ini, menawarkan simpanan, pembiayaan serta perkhidmatan gaya hidup yang patuh Syariah sepenuhnya secara mudah alih. Begitu juga di Indonesia, perbankan digital Islam ditampilkan untuk memberikan khidmat kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan menggalakkan rangkuman kewangan. Trend ini menandakan transformasi yang lebih luas dalam landskap kewangan Islam di ASEAN, menggabungkan tradisi dengan inovasi untuk memenuhi keperluan pengguna beragama Islam yang semakin berkembang.
Pada dasarnya, integrasi serantau yang lebih kukuh akan menjadi faktor utama untuk membuka pertumbuhan masa hadapan, terutamanya dalam rantau ASEAN. Ekosistem kewangan yang dibangunkan dengan baik, yang terdiri daripada kewangan konvensional dan kewangan Islam dengan sokongan kesediaan digital dan peraturan yang progresif, menyediakan ruang yang sesuai untuk persaingan dan inovasi. Pengalaman Malaysia mengetengahkan cara infrastruktur dan persekitaran dasar yang betul dapat memperkasakan institusi untuk menghasilkan penyelesaian yang bukan sahaja berteknologi maju malah bermakna dari aspek sosial. Merenung ke masa hadapan, keutamaan bagi pengawal selia dan industri adalah jelas: untuk mewujudkan sektor kewangan yang dinamik dan inklusif, yakni sektor yang memanfaatkan inovasi untuk memperkukuh daya tahan, menggalakkan kemakmuran dan memastikan tiada sesiapa yang tercicir.
Inovasi berkembang dalam persekitaran kerjasama yang menggalakkan kreativiti, menguruskan risiko dengan baik dan kegagalan digunakan sebagai peluang pembelajaran. Meskipun pengawal selia mewujudkan asas untuk sistem kewangan yang stabil dan berfungsi dengan baik, peserta industri merupakan kuasa peneraju sebenar di sebalik inovasi kewangan termasuk institusi kewangan sedia ada, syarikat teknologi dan syarikat pemula yang fleksibel. Di seluruh ASEAN, beberapa penyedia kewangan telah berjaya berkembang untuk menyertai bidang seperti pembayaran digital, pemberian pinjaman mikro serta insurans, memanfaatkan rangkaian pelanggan yang luas untuk meningkatkan akses kewangan bagi yang golongan yang tidak dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan seperti pekerja ekonomi gig dan perniagaan kecil.
Pada masa yang sama, kerjasama yang semakin meningkat antara institusi kewangan tradisional dan syarikat pemula fintech telah menghasilkan penawaran produk inovatif yang menggabungkan kepakaran pengurusan risiko konvensional dengan kepantasan dan kemampuan syarikat pemula membuat penyesuaian. Walau bagaimanapun, seiring dengan perkembangan perkhidmatan kewangan, kemajuan ini juga memperkenalkan cabaran baharu yang perlu diuruskan dengan teliti untuk memastikan inovasi yang bertanggungjawab dan mampan.
Inovasi yang bertanggungjawab, iaitu aspek ketiga dalam mengukuhkan asas ekosistem, memerlukan tadbir urus yang utuh, pengurusan risiko yang mantap dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada integriti pasaran. Pemimpin industri perlu memastikan bahawa kemajuan teknologi disokong oleh perlindungan yang kukuh sambil terus memperkukuh keupayaan tenaga mahir dan teknologi. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengendalikan idea baharu secara bertanggungjawab, mencabar status quo dan terus mencari cara yang lebih baik untuk berkhidmat kepada pelanggan dan komuniti kita.
Satu bidang tumpuan utama ialah Kewangan Terbuka (Open Finance), yang bertujuan untuk memperkasakan pengguna dengan membolehkan mereka mengawal data kewangan peribadi mereka dengan lebih baik dalam ekosistem kewangan yang semakin saling berkait. Kejayaan Kewangan Terbuka bergantung pada kepimpinan industri dalam membangunkan produk yang selamat, bertanggungjawab dan inovatif yang boleh memaksimumkan manfaat perkongsian data sambil melindungi kepentingan pengguna. Dengan membentuk piawaian yang selamat secara proaktif dan membina keyakinan orang ramai dalam ekosistem terbuka, peserta kewangan dapat membuka peluang baharu untuk rangkuman kewangan, kecekapan dan persaingan.
Melangkaui Kewangan Terbuka, teknologi baru muncul seperti model pemarkahan kredit alternatif dan penyelesaian pemberian pinjaman dipacu AI menawarkan potensi yang besar untuk menyelesaikan cabaran yang sudah lama wujud, terutamanya dalam merapatkan jurang pembiayaan dan perlindungan bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Reka bentuk produk yang teliti, kerjasama strategik dan peningkatan kebolehcapaian akan menjadi kunci untuk memastikan bahawa inovasi ini mencapai mereka yang paling memerlukannya sambil mengekalkan integriti sistem kewangan.
Akhirnya, inovasi perlu memacu impak bermakna dengan memupuk kecekapan, rangkuman kewangan dan daya tahan ekonomi. Walau bagaimanapun, kejayaan bergantung pada dua faktor asas: kebolehcapaian dan kepercayaan. Sangat mustahak untuk jurang geografi, ekonomi dan digital dirapatkan dengan mengintegrasikan celik kewangan dalam penyelesaian digital untuk membawa perubahan nyata yang positif. Walaupun pengawal selia akan terus menggalakkan inisiatif celik kewangan, sama pentingnya bagi inovator untuk menerapkan elemen pendidikan dalam interaksi kewangan harian. Memanfaatkan platform digital, instrumen khidmat nasihat yang didorong AI dan penyelesaian kewangan yang dikhususkan dapat memperkasakan individu dan perniagaan untuk mengemudi ekonomi yang semakin digital. Hal ini memastikan inovasi kekal sebagai daya kebaikan yang memberikan manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.
Ringkasnya, sambil kita meniti era transformasi teknologi yang pesat ini, inovasi haruslah inklusif dan bermatlamat. Kemajuan yang kita saksikan hari ini, sama ada dalam AI, aset digital mahupun pembayaran, menekankan kepentingan komitmen secara kolektif untuk membentuk ekosistem fintech yang dinamik, berdaya tahan dan mampu bertindak balas pada keperluan sebenar perniagaan dan komuniti.
Di BNM, kami percaya bahawa inovasi yang bertanggungjawab paling baik dicapai melalui kerjasama dan penciptaan bersama, iaitu pihak berkepentingan utama sama-sama berbincang dari peringkat awal untuk menguruskan keseimbangan (trade-offs) dan membentuk penyelesaian yang praktikal. Platform seperti Sandbox Pengawalseliaan menyediakan ruang untuk inovator berinteraksi dengan pengawal selia, menguji teknologi baharu dan membangunkan penyelesaian yang meningkatkan akses dan kecekapan kewangan. Dalam hal ini, kami secara aktif menyokong kajian penyelesaian inovatif yang memperluas sempadan kewangan tradisional dalam Sandbox kami, termasuk dalam bidang AI, pentokenan aset, insurans digital, penyelesaian Kenali Pelanggan Anda secara elektronik dan model anggaran pendapatan awal.
Perhimpunan global utama seperti ini menunjukkan usaha kerjasama dalam memacu kemajuan dan inovasi. Begitu juga, sepanjang tahun ini, acara di seluruh ASEAN akan berfungsi sebagai platform penting untuk dialog dan kerjasama yang berkesan. Di Malaysia, kami berusaha untuk menyumbang kepada pertukaran ini pada MyFintech Week 2025 yang akan berlangsung antara 4 hingga 7 Ogos di Kuala Lumpur. Acara yang kami anjurkan bersama pengawal selia lain dan peserta industri akan mengumpulkan para pemimpin, inovator dan pembuat dasar dalam perbincangan untuk bersama-sama membentuk masa depan kewangan.
Kami juga akan menganjurkan Global Islamic Finance Forum kali ke-9 dan Impact Challenge Prize kali ke-2 antara 6 hingga 8 Oktober 2025, yang bertujuan untuk mengekalkan momentum kemajuan rangkuman kewangan dan penyelesaian berasaskan impak dengan mengetengahkan cara kewangan Islam dapat memacu perkembangan perniagaan sambil memperkasakan masyarakat. Dengan menggabungkan asas etika dengan kemajuan yang canggih, acara ini memberikan pemahaman mendalam tentang laluan ke arah pertumbuhan yang mampan serta memupuk rangkuman, inovasi, dan daya tahan.
Akhir sekali, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia beriltizam untuk terus memajukan aspirasi ASEAN dalam usaha memperdalam integrasi kewangan serantau dan memajukan ekosistem kewangan ASEAN yang lebih terhubung, mampan, dan inklusif. Kita semua di sini mempunyai peranan yang sangat bermakna untuk dimainkan dalam merebut peluang ini, menghayati kerjasama dan memastikan bahawa inovasi berpaksikan kepercayaan, keselamatan, dan rangkuman.
Bersama-sama, kita akan mampu membentuk masa hadapan kewangan yang progresif, berdaya tahan dan berpandangan ke hadapan. Terima kasih.
[2] FinTech in ASEAN 2024: A Decade of Innovation
[3] ASEAN needs $3.7 trillion to sustain growth and fight climate change: ADB
[4] Interoperable QR Code Payment Ecosystem in ASEAN: What it Means for the World
[5] Islamic finance expands beyond Malaysia in Southeast Asia
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.