Ucaptama Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid di Pelancaran Transaksi Perjanjian Beli dan Jual Balik (SBBA) Lestari Terulung

Kuala Lumpur | 22 Julai 2025

Saya amat berbesar hati berada di sini pada hari ini. Majlis ini menandakan satu lagi pencapaian penting sektor perbankan Islam di Malaysia. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur atas undangan ini, yang memberi saya peluang untuk sama-sama menyaksikan pencapaian  yang penuh makna. Pencapaian ini bukan sekadar mencerminkan kemajuan, malah melambangkan komitmen bersama kita untuk memajukan kewangan Islam yang lestari.

Latar Belakang: Mengiktiraf Pencapaian Bersejarah

Hari ini, kita meraikan Transaksi Perjanjian Jual dan Beli Balik (Sell and Buy Back Agreement, SBBA) Lestari pertama di Malaysia, yang dihasilkan melalui kerjasama RHB Islamic Bank, HSBC Amanah dan Standard Chartered Saadiq.

Pencapaian ini mengukuhkan peranan perintis Malaysia dalam kewangan Islam global, menonjolkan kemampuan kita untuk menerapkan inovasi dan pada masa yang sama memastikan amalan kewangan yang sejajar dengan matlamat kelestarian. Dengan menyepadukan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (environmental, social and governance, ESG) dalam struktur patuh Syariah, transaksi ini menetapkan penanda aras bagi keterangkuman, daya tahan dan kelestarian dalam ekosistem kewangan.

Penyepaduan Ciri Kelestarian

Satu ciri yang sangat menarik dalam majlis pemeteraian hari ini ialah pengenalan komponen SBBA Lestari. Perkembangan inovatif ini memperkenalkan Lampiran Penggunaan Hasil Secara Lestari yang berfungsi sebagai mekanisme yang boleh diperluas untuk menggalakkan kelestarian dalam semua transaksi SBBA yang layak. Berbeza daripada transaksi kendiri sebelum ini yang memerlukan peruntukan khusus, SBBA yang ditambah baik ini bukan sahaja memperkemas proses transaksi malah mempercepat kelulusan ESG dan menggalakkan penyertaan serta penerimaan instrumen yang selaras dengan prinsip ESG dan patuh Syariah secara lebih meluas dalam pasaran antara bank Islam.

Usaha ini menandakan kemajuan signifikan yang memperluas sumber pembiayaan daripada sukuk dan bon kepada transaksi SBBA. Peluasan ini turut memperkukuh penggemblengan sumber dana yang menyokong kelestarian serta meningkatkan mudah tunai pasaran, seterusnya menetapkan penanda aras baharu bagi kewangan mampan di Malaysia.

Struktur SBBA yang Dipertingkatkan: Inovasi Patuh Syariah

Struktur SBBA dipertingkatkan yang dilancarkan hari ini juga menangani cabaran industri yang telah lama wujud. Struktur ini memperkukuh keandalan dan kecekapan operasi transaksi SBBA melalui integrasi ciri-ciri yang canggih seperti pengurusan margin (margining), mekanisme penggantian aset serta prinsip Syariah yang diperhalus. Malah, transaksi SBBA kini setanding dengan Perjanjian Pembelian Balik Induk Global (Global Master Repurchase Agreement, GMRA) yang diiktiraf pada peringkat global dalam perbankan konvensional.

Keselarasan dengan Komitmen BNM

Menerusi pengiktirafan Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia pada bulan April 2024 berserta sokongan daripada pendapat undang-undang pihak luar bawah Akta Penghasilan Bersih Perjanjian Kewangan (Netting Act) Malaysia, model SBBA yang dipertingkatkan ini mengikut ketetapan undang-undang, boleh diperluas dan patuh Syariah sepenuhnya. Kejayaan pelaksanaannya merupakan bukti kerjasama industri dan menetapkan penanda aras baharu untuk transaksi kewangan Islam pada masa hadapan.

Struktur SBBA yang dipertingkatkan ini selaras dengan Dokumen Dasar Islamic Collateralised Funding (Islamic Collateralised Funding Policy Document, ICF PD) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikeluarkan pada bulan Jun 2024. Dokumen dasar ini membuka laluan untuk mengembangkan struktur pembiayaan bercagar dan pada masa yang sama mengekalkan prinsip Syariah, kestabilan kewangan dan pengurusan mudah tunai. Penyelarasan ini menyerlahkan dedikasi BNM untuk menerapkan inovasi, ketelusan dan keadilan dalam pasaran kewangan.

BNM berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada pencapaian bersejarah ini. Pencapaian ini mencerminkan dedikasi kami dalam menggalakkan penyelesaian inovatif bagi mempertingkatkan aspek ketelusan dan keadilan dalam pasaran kewangan. Model SBBA yang dipertingkatkan ini menggariskan kepimpinan Malaysia dalam memajukan kewangan Islam serta pembangunan pasaran kewangan Islam pada peringkat global. Kami ingin mengucapkan tahniah kepada RHB Islamic, HSBC Amanah dan Standard Chartered Saadiq atas usaha kerjasama mereka dalam menerajui transaksi inovatif ini. Pencapaian ini menekankan kepentingan inovasi dan kerjasama sebagai pemacu utama dalam memperkukuh industri kewangan Islam.

Saranan Untuk Bertindak dan Aspirasi Masa Hadapan

Pada masa kita meraikan pencapaian bersejarah ini, saya ingin menggesa semua institusi kewangan Islam supaya mula menerima pakai model SBBA yang dipertingkatkan ini sebagai langkah strategik dalam menangani cabaran mudah tunai dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam inovasi kewangan Islam dan kelestarian. Integrasi prinsip ESG di bawah rangka kerja piawaian yang jelas mampu memperkasakan institusi kewangan untuk memperkukuh daya tahan, mempertingkatkan kecekapan operasi serta menggerakkan inisiatif pembiayaan hijau dan sosial.

PD ICF telah menyumbang kepada peningkatan aktiviti transaksi repo Islam (Islamic repo) dalam Pasaran Wang Antara Bank Islam (Islamic Interbank Money Market, IIMM). Sejak pelaksanaannya, jumlah transaksi antara bank[1] telah mencatatkan peningkatan daripada RM12.6 bilion pada tahun 2023 kepada RM42.6 bilion pada tahun 2024, dengan RM34.8 bilion dicatatkan pada separuh pertama tahun 2025. Menerusi pelaksanaan struktur SBBA yang telah dipertingkatkan, wujud keyakinan kukuh bahawa jumlah dan transaksi repo Islam akan terus mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Langkah ini dijangka memacu penerimaan dan penggunaan dalam pasaran yang lebih meluas serta menyumbang kepada keteguhan dan pertumbuhan mampan ekosistem pasaran wang Islam.

Pencapaian ini mencerminkan perkembangan yang lebih meluas dalam kewangan Islam, dengan peningkatan permintaan terhadap produk dan instrumen yang semakin pelbagai. Keperluan ini melangkaui sektor perbankan dan takaful, merangkumi penyelesaian persaraan serta perlindungan kewangan. Bagi memastikan kepimpinan Malaysia kekal relevan, kita perlu terus berinovasi bagi menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran ini. Kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam telah disahkan melalui laporan Islamic Finance Development Indicator (IFDI)[2] yang terkini, yang menunjukkan kita berjaya mengekalkan kedudukan teratas pada peringkat antarabangsa. Pengiktirafan ini menggariskan pencapaian kita dalam memperluaskan pasaran kewangan Islam serta peranan penting yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia dalam membentuk masa hadapan sektor ini.

Marilah kita mengambil peluang ini untuk memperluaskan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dan mengubah pencapaian ini menjadi asas kepada pertumbuhan, inovasi yang mampan, serta cerminan keunggulan berlandaskan Syariah. Apabila kita berganding bahu, kita dapat menetapkan penanda aras baharu bagi industri kewangan Islam serta memastikan Malaysia terus menerajui amalan kewangan Islam yang mampan pada peringkat global.

Penutup

Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda dalam sebuah hadis:

“Sesungguhnya dunia itu indah dan hijau dan sesungguhnya Allah akan menjadikan kalian sebagai khalifah di dalamnya untuk melihat apa tindakan kalian...’” (Sahih Muslim no. 2742)

Pesanan ini selaras dengan pencapaian hari ini. Sebagai penjaga bumi ini, kita menggalas tanggungjawab untuk memastikan amalan kewangan kita menggalakkan kelestarian, keadilan dan prinsip Syariah. Integrasi prinsip ESG dalam model SBBA yang dipertingkatkan mencerminkan komitmen ini, lantas menunjukkan dedikasi kita terhadap penyelesaian kewangan yang beretika dan memberi impak.

Sebelum saya akhiri ucapan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur dan para peserta atas dedikasi mereka yang tidak berbelah bahagi dalam memajukan kewangan Islam. Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kejayaan teknikal, tetapi juga menunjukkan komitmen yang mendalam terhadap integrasi kelestarian dan pengantaraan berasaskan nilai (‘value-based intermediation’) sebagai teras kewangan Islam. Kejayaan ini turut menggariskan kepimpinan Malaysia dalam memacu inovasi, keadilan dan kemajuan dalam sektor kewangan dan pada masa yang sama memperkukuh usaha bersama kita untuk membina sistem yang kukuh, efisien, berdaya tahan dan inklusif.

Tahniah kepada semua yang telah menjayakan pencapaian ini. Dengan itu, saya dengan penuh rasa hormat melancarkan secara rasmi Perjanjian SBBA yang Dipertingkatkan dan Transaksi SBBA Lestari pertama Malaysia.

 


[1] Sumber: Bank Negara Malaysia

[2] Sumber: ICD-LSEG Islamic Finance Development Report 2024


Bank Negara Malaysia
24 Julai 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?