Ucaptama Timbalan Gabenor Jessica Chew pada Bengkel Kewangan Peralihan IIF-Maybank
Shangri-La Kuala Lumpur | 30 November 2023
Ucaptama Timbalan Gabenor Jessica Chew
pada Bengkel Kewangan Peralihan IIF-Maybank
Shangri-La Kuala Lumpur | 30 November 2023
Saya sangat berbesar hati untuk bersama-sama anda di sini pada pagi ini. Terima kasih saya ucapkan kepada Maybank dan IIF[1] kerana memberikan saya peluang untuk memberikan sepatah dua kata di bengkel ini. Bengkel ini dianjurkan sejurus selepas Persidangan Journey to Zero JC3 baru-baru ini dan memberikan peluang yang tepat pada masanya untuk meneruskan perbincangan mengenai tindak balas sektor kewangan terhadap cabaran iklim.
Meskipun terdapat perbezaan yang diperhatikan pada tahap iltizam pelbagai negara, industri dan syarikat serta pilihan hala tuju penyahkarbonan, mencapai peralihan yang adil dan teratur ke arah sifar bersih terus menjadi matlamat bersama. Matlamat ini bermakna menggerakkan peralihan keseluruhan ekonomi ke arah aktiviti rendah karbon. Kita tahu bahawa kewangan hijau sahaja tidak akan dapat mencapai matlamat ini; oleh itu kewangan peralihan adalah sama penting, jika tidak lebih penting.
Bagi Malaysia, pertaruhannya tinggi. Dianggarkan 20% daripada KDNK Malaysia dan 23% daripada tenaga kerja negara ini adalah berkaitan dengan sektor yang sukar dihentikan[2] dalam ekonomi negara. Sebanyak 60% daripada PKS menyatakan bahawa mereka sedang berusaha untuk meningkatkan peluang perniagaan dan mencipta nilai jangka panjang dengan mengukuhkan amalan ESG[3], dan akan memerlukan bantuan untuk berbuat demikian. Malaysia menghadapi kerugian KDNK yang besar kesan daripada kerosakan akibat banjir yang berlaku dalam dekad ini tanpa adanya langkah penyesuaian dan pelaburan untuk membina daya tahan rantaian bekalan. Hal ini disokong oleh dapatan projek penyelidikan bersama yang baru selesai dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia dan Bank Dunia dan akan diterbitkan tidak lama lagi.
Namun, sejak akhir-akhir ini kita telah diingatkan bahawa perlunya untuk lebih jelas tentang apa itu kewangan peralihan dan apa yang tidak. Izinkan saya untuk menghuraikannya lebih lanjut.
Pertama, apa itu kewangan peralihan? OECD mentakrifkan kewangan peralihan sebagai kewangan yang "bertujuan untuk menyahkarbonkan entiti atau kegiatan ekonomi yang intensif pelepasan, yang pada masa ini tidak mempunyai pengganti pelepasan rendah atau pelepasan sifar yang tersedia dari segi ekonomi atau yang boleh dipercayai, tetapi penting untuk pembangunan sosioekonomi pada masa depan"[4].
Takrifan ini telah menyokong pembangunan Taksonomi Perubahan Iklim dan Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principle-based Taxonomy atau CCPT) di Malaysia dan juga, ASEAN Taxonomy for Sustainable Finance baru-baru ini. Kedua-dua taksonomi ini merupakan antara taksonomi peralihan pertama yang diterbitkan pada peringkat global. Sistem pengelasan lima peringkat CCPT menggabungkan dua kategori peralihan (C2 dan C3) yang bertujuan untuk mengumpulkan entiti atau kegiatan ekonomi yang mempunyai tahap pelepasan yang tinggi tetapi dengan usaha pemulihan yang jelas diambil untuk mengurangkan tahap pelepasan.
Dalam semakan berterusan kami terhadap data yang dilaporkan oleh bank-bank di bawah CCPT, kami mendapati bahawa sebahagian besar dedahan bank merentas semua institusi kewangan dikelaskan di bawah kategori peralihan iklim. Hampir dua pertiga daripada kumpulan kewangan di Malaysia juga telah menetapkan sasaran iklim, dengan sesetengahnya menyatakan komitmen yang jelas untuk menghentikan pembiayaan aktiviti arang batu yang baharu. Daripada jumlah ini, bilangan institusi kewangan yang jauh lebih kecil (kurang 10%) telah mengisytiharkan secara terbuka bahawa sasaran mereka adalah berasaskan sains.
Pemerhatian ini telah mendorong kami untuk meneliti cara bank-bank menilai usaha pemulihan "bermakna" yang diambil oleh pelanggan mereka untuk mengurangkan pelepasan, dan bagaimana usaha tersebut sejajar dengan trajektori yang munasabah ke arah sasaran sifar bersih. Kami dapati wujud perbezaan amalan yang ketara dalam kalangan bank. Keadaan ini disebabkan oleh banyak faktor, termasuk amalan yang memerlukan lebih banyak masa untuk matang dan jurang data yang berterusan. Melalui Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim, atau JC3, kami secara aktif menangani isu-isu ini dan telah mencapai kemajuan yang baik.
Walau bagaimanapun, kewangan peralihan tidak bertujuan untuk menjadi alasan bagi institusi kewangan mengekalkan status quo dengan pelanggan yang bernilai kepada institiusi tersebut, namun mempunyai tahap pelepasan yang tinggi serta tidak memberikan jaminan untuk mengambil tindakan secara bermakna dan berkesan bagi mengurangkan pelepasan. Kita tidak seharusnya keliru antara matlamat peralihan yang adil dan teratur dengan usaha membantu memanjangkan jangka hayat perniagaan yang mempunyai tahap pelepasan tinggi yang tidak dapat atau tidak mahu mengurangkan kesan iklim operasi mereka secara bermakna. Lebih penting lagi, usaha ini tidak boleh dilakukan dengan mengorbankan modal terhad yang sepatutnya diperuntukan kepada usaha mengembangkan syarikat hijau baharu yang inovatif dan tiada halangan (unencumbered), yang dibina berasaskan strategi rendah karbon, atau syarikat yang menyokong, jika tidak menerajui sekalipun, pembangunan teknologi dan penyelesaian hijau mengikut skala.
Jadi, bagaimanakah kita memastikan kewangan peralihan berkesan bagi membantu memenuhi iltizam iklim yang mendesak dan bukannya berfungsi sebagai jalan keluar untuk memperlahankan kemajuan? Izinkan saya memberikan sedikit pandangan tentang perkara ini.
Pertama, sokongan terhadap perniagaan yang sedang dalam peralihan perlu dilakukan seiring dengan pertumbuhan pembiayaan yang mampan dan boleh dipercayai kepada perniagaan yang telah selaras dengan iklim, atau yang sedang membangunkan dan meluaskan penyelesaian iklim. Perniagaan yang sedang membangunkan penyelesaian iklim namun tidak menunjukkan pertumbuhan atau mengalami pertumbuhan yang lembap akan menimbulkan kebimbangan kerana keadaan ini mungkin mencerminkan iltizam yang kurang memadai oleh institusi kewangan individu. Keadaan ini secara keseluruhan akan menjejaskan usaha untuk menyokong peralihan keseluruhan ekonomi secara berkesan.
Oleh itu, penting bagi institusi kewangan untuk memikirkan tentang sasaran peralihan dengan fokus yang jelas dan berasingan untuk meningkatkan bahagian pembiayaan kepada perniagaan yang boleh membangunkan dan mencapai kemajuan teknologi dan proses hijau, atau yang sudah beroperasi di bawah model rendah karbon.
Bagi menyokong inisiatif ini, JC3 akan mengambil iktibar daripada kejayaan pelaksanaan program rintis Program Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain) untuk melaksanakan lebih banyak projek rintis strategik yang akan membolehkan sektor kewangan menguji modaliti perkongsian awam-swasta baharu bagi menyokong peningkatan kewangan hijau dan kewangan peralihan. Bagi mencapai matlamat ini, JC3 telah mengadakan libat urus untuk memulakan inisiatif rintis baharu bagi menghijaukan taman perindustrian dan mengembangkan program rintis sedia ada bagi menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam sektor pertanian.
Kedua, pengimbangan semula akaun pinjaman dan pelaburan bagi menyokong kewangan peralihan yang tulen memerlukan anjakan strategik yang jelas meliputi operasi perniagaan, penglibatan pelanggan, produk dan perkhidmatan serta pengurusan kewangan dan risiko bagi sesebuah bank untuk menghasilkan pelan peralihan yang boleh dipercayai. Selaras dengan peralihan yang saksama dan teratur, keperluan dan iltizam khusus pelanggan perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan pelan peralihan bank-bank. Turut penting ialah strategi untuk memudahkan pemansuhan terurus daripada dedahan tahap pelepasan tinggi yang tidak memenuhi kriteria peralihan. Langkah ini bagi mengurangkan risiko pengecualian kewangan dan aset terkandas. Namun, jika rancangan peralihan berada di luar, dan berasingan daripada, perniagaan teras dan dasar risiko atau rangka kerja operasi bank-bank, maka persoalan boleh dibangkitkan mengenai kredibiliti rancangan tersebut.
Ketiga, rangka kerja kewangan peralihan bank hendaklah konsisten dengan, dan mampu dipetakan kepada, prinsip panduan pengelasan di bawah CCPT. Hal ini akan berperanan untuk menggalakkan piawaian yang lebih konsisten digunakan bagi menilai tindakan bermakna oleh perniagaan untuk menyelaraskan operasi mereka dengan ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan iklim. Bagi mencapai tujuan ini, JC3 akan terus menerajui usaha untuk membangunkan serta meneruskan bimbingan dan kes penggunaan baharu bagi menyokong pelaksanaan CCPT oleh institusi kewangan. Selain itu, JC3 akan bekerjasama dengan pelbagai Kementerian untuk menyenaraikan projek dan aktiviti dalam sektor yang dikenal pasti yang boleh dikategorikan sebagai aktiviti hijau atau aktiviti peralihan. Tumpuan awal akan diberikan kepada sektor tenaga, mobiliti serta perolehan, penggunaan dan penyimpanan karbon.
Sektor kewangan di Malaysia telah mencapai kemajuan penting dalam tempoh lima tahun lalu untuk menyediakan rangka kerja asas dan membina keupayaan yang diperlukan bagi mengurus risiko berkaitan iklim dan menyokong peralihan. Pencapaian ini termasuk CCPT, mandat penzahiran yang akan berkuat kuasa ke atas institusi kewangan pada tahun hadapan, katalog data, pemantapan tadbir urus iklim serta usaha yang berterusan untuk meningkatkan keupayaan dalam pengurusan risiko iklim, analisis senario dan ujian tekanan.
Kita sama sekali tidak berada pada tahap yang sepatutnya dalam semua bidang ini, dan banyak lagi yang perlu kita lakukan. Namun kami mendapat galakan daripada perubahan ketara (step change) yang kami lihat di seluruh institusi kewangan dalam menyedari kepentingan tindakan iklim dalam pertimbangan perniagaan dan risiko mereka.
Pada dekad-dekad yang akan datang, kita akan melihat salah satu transformasi ekonomi terbesar di dunia yang didorong oleh perlumbaan ke arah sifar bersih. Pembangunan pelan peralihan yang boleh dipercayai merupakan langkah penting selanjutnya ke arah menggerakkan institusi perbankan untuk memenuhi keperluan pembiayaan bagi transformasi ini. Anda mungkin mengatakan bahawa inilah cabaran sebenar, iaitu mengubah iltizam iklim menjadi tindakan iklim. Saya menggesa bank-bank untuk memulakan pelan peralihan dengan teliti, iaitu dengan memahami kesan perubahan iklim ke atas bank, menetapkan sasaran berasaskan sains untuk tempoh interim dan jangka panjang, bekerjasama rapat dengan pelanggan sedia ada dan baharu untuk mengenal pasti dan menyokong tindakan iklim yang konkrit dan secara kritis, mengambil pandangan strategik tentang perancangan peralihan melalui strategi seluruh organisasi yang jelas serta rangka kerja tadbir urus dan operasi yang bersepadu untuk membiayai peralihan.
Izinkan saya mengakhiri ucapan saya ini dengan menyatakan dua lagi perkara yang perlu diketengahkan.
Pertama, berikutan banyak hal yang dipertaruhkan, rancangan peralihan tidak boleh statik. Pada hari ini, institusi kewangan telahpun menghadapi cabaran untuk menggalakkan pelanggan mereka ke arah mengutamakan tindakan iklim, berikutan keutamaan lain yang kelihatan lebih mendesak susulan keadaan ekonomi yang mencabar. Kita boleh dan perlu menjangkakan cabaran sebegini akan berterusan berikutan kejutan baharu yang mungkin berlaku. Pelan peralihan perlu mampu disesuaikan dengan perubahan luar jangka pada senario yang diandaikan. Persediaan ini bertujuan membolehkan bank-bank meneruskan hala tuju yang ditetapkan ke arah mencapai sasaran iklim. Tindakan tetap dalam keadaan sedemikian bukannya untuk melaraskan sasaran, sebaliknya hendaklah membuat pelarasan pada strategi.
Kedua, institusi kewangan perlu mengambil tanggungjawab individu untuk memajukan tindakan iklim, dan dalam hal ini, tanggungjawab yang lebih berat semestinya berada pada syarikat terbesar seperti Maybank dan kumpulan perbankan domestik besar lain. Oleh itu, kepimpinan anda amat penting dan bukan sahaja akan diperhatikan, malah akan semakin dinilai oleh pihak berkepentingan dan rakan niaga berdasarkan jangkaan yang lebih tinggi.
Akhir kata, izinkan saya untuk menzahirkan penghargaan kepada anda semua atas inisiatif ini, kerana tindakan iklim tidak pernah diambil secara berasingan. Peluang seperti ini untuk membentuk visi dan pelarasan tujuan yang dikongsi bersama adalah sangat penting untuk perjalanan peralihan kita.
Terima kasih.
[1] Institute of International Finance
[2] Global Green Growth Institute, ILO, Bank Dunia, Jabatan Perangkaan Malaysia dan anggaran BNM
[3] “ESG Insights from Malaysian SMEs: Building A Better Future Together” oleh Alliance Bank dengan kerjasama UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp)
[4] OECD 2022 Guidance on Transition Finance
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.