Upacara Menandatangani Perjanjian (Heads of Agreement) berhubung dengan Sektor Perbankan antara Bank Negara Malaysia, Bank Indonesia dan Otoritas Jasa Keuangan
Bank Negara Malaysia, Bank Indonesia dan Otoritas Jasa Keuangan hari ini menandatangani Perjanjian (Heads of Agreement), yang merupakan pendahulu kepada penyempurnaan Rangka Kerja Integrasi Perbankan ASEAN (ASEAN Banking Integration Framework, ABIF). Perjanjian ini menggariskan beberapa bidang yang akan dilaksanakan secara dua hala antara Malaysia dengan Indonesia di bawah ABIF. Perjanjian ini memberikan takrifan bagi Bank ASEAN yang Layak (Qualified ASEAN Banks, QAB), yang melibatkan kehadiran bank-bank Malaysia dan Indonesia di kedua-dua negara. Perjanjian ini juga mengenal pasti akses pasaran dan fleksibiliti operasi yang akan diberikan kepada institusi perbankan sebaik sahaja dianugerahkan dan ditubuhkan sebagai QAB dalam negara yang berkenaan.
Penyempurnaan Perjanjian ini bertujuan merintis jalan bagi memuktamadkan Garis Panduan ABIF dan seterusnya mengesahkan ABIF di bawah Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan (ASEAN Framework Agreement on Services, AFAS). ABIF merupakan pendekatan berinovatif dan pragmatik yang akan membolehkan negara-negara ASEAN memperdalam integrasi perbankan serantau melalui pengaturan yang saling memberikan manfaat, berdasarkan tahap kesediaan masing-masing. Matlamat ABIF dalam tempoh terdekat ini adalah untuk mewujudkan pasaran perbankan yang lebih bersepadu, diterajui oleh QAB yang mempunyai kehadiran yang nyata di seluruh negara ASEAN. Proses ABIF akan merangkumi dua peringkat, iaitu peringkat pelbagai hala dan peringkat dua hala. Peringkat pelbagai hala ialah pewujudan Garis Panduan ABIF, manakala peringkat dua hala merangkumi rundingan antara negara ASEAN berhubung dengan kemasukan QAB dan pengaturan bersaling (reciprocal arrangements), khususnya berkaitan dengan akses pasaran dan fleksibiliti operasi.
Perjanjian ini ditandatangani oleh Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, Agus D.W. Martowardojo, Gabenor Bank Indonesia dan Dr. Muliaman D. Hadad, Ketua Dewan Komisioner, Otoritas Jasa Keuangan.
Lihat juga: Petikan kenyataan dari Gabenor Dr. Zeti Akhtar Aziz
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.