Upacara Menandatangani Perjanjian Peraturan Pembayaran Duahala di antara Bank Negara Malaysia dan Joint Stock Commercial Bank "KYRGYZSTAN" dan Memorandum Persefahaman di antara Bank Negara Malaysia dan National Bank of the Kyrgyz Republic
Bank Negara Malaysia (BNM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan National Bank of the Kyrgyz Republic, bank pusat Republik Kyrgyz, sebagai sokongan untuk meningkatkan perdagangan duahala dan hubungan perbankan koresponden antara kedua-dua negara. Perjanjian Peraturan Pembayaran Duahala (BPA) telah ditandatangani oleh BNM dan Joint Stock Commercial Bank "KYRGYZSTAN". BPA telah menjadi pemangkin dalam meningkatkan nilai dagangan di antara Malaysia dan negara-negara yang telah menandatangani perjanjian BPA dengan Malaysia. Usaha tersebut dapat mempelbagaikan pasaran eksport Malaysia kepada destinasi-destinasi bukan tradisional. Sehingga kini, Malaysia telah menandatangani perjanjian BPA dengan 28 negara di Asia, Eropah Tengah dan Timur, Amerika Selatan dan Afrika. Di bawah skim BPA, nilai dagangan bersih antara kedua-dua negara akan dijelaskan dalam matawang yang dipersetujui dalam jangka masa tertentu. Dengan termenterainya perjanjian BPA ini, adalah diharapkan bahawa hubungan duahala melalui perdagangan dan perbankan di antara Malaysia dan Republik Kyrgyz dapat dipertingkatkan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.