Wang Kertas Malaysia Siri Baharu akan Berada dalam Edaran Mulai 16 Julai 2012

Embargo: Untuk siaran segera
12 Apr 2012 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan kepada orang ramai bahawa wang kertas Malaysia siri baharu akan berada dalam edaran mulai 16 Julai 2012. Bertemakan ‘Keunikan Malaysia’, wang kertas siri baharu ini terdiri daripada denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100. Wang kertas RM50 dalam siri ini telah pun berada dalam edaran sejak bulan Disember 2007 dan akan terus berada dalam edaran.

Dalam membuat persediaan bagi edaran wang kertas siri baharu ini, Bank Negara Malaysia telah bekerjasama rapat dengan institusi kewangan, sektor perniagaan, vendor pengendali mesin wang tunai dan pihak berkuasa tempatan sejak bulan Disember 2011 bagi membolehkan peralihan kepada wang kertas siri baharu ini berjalan lancar.

Beberapa sesi perbincangan dan interaksi dengan pihak berkepentingan tersebut telah diadakan bagi memastikan ketersediaan sistem dan proses untuk edaran wang kertas baharu. Vendor yang mengendalikan mesin wang tunai dikehendaki untuk memastikan mesin berkenaan boleh menerima wang kertas siri baharu dan lama untuk kemudahan orang ramai menjelang tarikh tersebut.

Vendor dan pihak berkaitan lain yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi BNMLINK di 1-300-88-5465 atau menelefon 03 – 2698 8044 sambungan 7307/8658 atau menghantar e-mel kepada [email protected].


Bank Negara Malaysia
12 April 2012

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?