Wirecard Payment Solutions Malaysia Sdn Bhd (Wirecard MY)

Embargo: Untuk siaran segera
03 Jul 2020 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin memberikan maklumat mengenai Wirecard Payment Solutions Malaysia Sdn Bhd (Wirecard MY), iaitu sebuah entiti berlesen yang menjalankan perkhidmatan pemerolehan saudagar (merchant acquiring services) di bawah seksyen 17 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, susulan keadaan yang berlaku di Wirecard AG, iaitu syarikat induk Wirecard MY di Jerman. Kegiatan utama Wirecard MY di Malaysia adalah memproses pembayaran kad untuk peniaga.

Meskipun Wirecard AG telah menfailkan prosiding ketakmampuan bayar (insolvency) di Jerman, Wirecard MY sedang mengkaji semula kedudukan dan operasi perniagaannya berikutan perkembangan syarikat induknya itu. Bank Negara Malaysia memantau rapi operasi Wirecard MY bagi memastikan syarikat tersebut terus memenuhi sepenuhnya obligasi penyelesaian mereka kepada para peniaga di Malaysia. Dana yang perlu dibayar kepada peniaga ditempatkan dalam akaun bank berasingan dengan institusi perbankan berlesen di Malaysia dan tidak bercampur dengan dana operasi milik Wirecard MY. Wirecard MY juga dikehendaki mengambil langkah penyelarasan dengan pengendali rangkaian kad untuk memastikan penyelesaian pembayaran kepada peniaga tidak terjejas dan bagi memudahkan kelancaran pemindahan perkhidmatan pembayaran kepada penyedia alternatif sekiranya perlu.

Bank Negara Malaysia ingin memberikan jaminan kepada orang ramai bahawa sistem pembayaran kekal selamat dan kukuh, dan akan terus berfungsi dengan lancar.


Bank Negara Malaysia
03 Julai 2020

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?