Economic, Monetary, & Financial Developments in 2025

2025: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh, didorong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan

Pertumbuhan global melebihi jangkaan meskipun berdepan dengan ketidaktentuan luaran

Pertumbuhan ekonomi global pada tahun 2025 adalah lebih baik berbanding dengan jangkaan awal. Keadaan ini berlaku walaupun sebelum ini terdapat kebimbangan bahawa peningkatan halangan perdagangan serta ketidaktentuan dasar yang lebih ketara akan mencetuskan kelembapan ekonomi global yang lebih mendalam (Rajah 1.1). Walaupun Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tarif import yang ketara pada awal tahun, kadar tarif efektif (effective tariff rate, ETR) sebenar AS adalah lebih rendah daripada jangkaan awal dan menurun secara beransur-ansur menjelang akhir tahun.[1] Perkembangan ini membantu mengehadkan kesan negatif terhadap aktiviti perdagangan global. Perdagangan global kekal kukuh pada separuh pertama tahun 2025, disokong sebahagiannya oleh aktiviti eksport yang dipercepat (frontloading) sebelum kenaikan tarif berkuat kuasa. Apabila kesan rangsangan daripada aktiviti eksport yang dipercepat mula reda, penangguhan sementara pelaksanaan tarif turut menyokong aktiviti perdagangan menjelang akhir tahun. Permintaan berkaitan teknologi yang lebih tinggi daripada jangkaan, didorong oleh peningkatan pelaburan dalam kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), turut merangsang perdagangan terutamanya pada separuh kedua tahun 2025. Permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dalam ekonomi utama juga memainkan peranan penting. Pertumbuhan pendapatan benar yang berterusan serta sokongan dasar fiskal dan monetari telah memperkukuh penggunaan dan pelaburan. Inflasi global pula menurun sejajar dengan penurunan harga komoditi berikutan keadaan bekalan yang semakin baik. Secara keseluruhan, kesemua faktor ini membantu meredakan kesan ketidaktentuan yang berkaitan dengan tarif dan ketegangan geopolitik, sekali gus menyokong daya tahan ekonomi global dan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK serta perdagangan global yang lebih tinggi daripada jangkaan pada tahun 2025.

Pertumbuhan dalam ekonomi maju menurun sedikit pada tahun 2025. Di AS, penggunaan swasta secara keseluruhannya kekal stabil, disokong oleh pasaran pekerja yang kukuh dan kedudukan kewangan isi rumah yang mantap. Walaupun pertumbuhan guna tenaga menjadi lebih perlahan pada separuh kedua tahun, perbelanjaan isi rumah kekal teguh. Keadaan ini disumbangkan oleh pertumbuhan upah yang berterusan, pengeluaran simpanan isi rumah serta kesan kekayaan positif daripada kenaikan harga ekuiti. Pertumbuhan ini turut disokong oleh pelaburan yang kukuh dalam peralatan dan perisian pemprosesan maklumat. Pemulihan dalam zon euro berterusan apabila inflasi menjadi sederhana dan dasar monetari kekal akomodatif, meskipun kekangan fiskal serta ketidaktentuan politik menjejaskan rentak pengembangan ekonomi.

Ekonomi serantau menunjukkan daya tahan walaupun berdepan cabaran perdagangan global. Di China, pengeluaran dan permintaan disokong oleh kekukuhan aktiviti eksport yang dipercepat pada awal tahun serta program tukar beli (trade-in) barangan isi rumah yang tahan lama oleh kerajaan. Walau bagaimanapun, pertumbuhan kekal sederhana berbanding tahun sebelumnya berikutan kelemahan yang berterusan dalam sektor harta tanah dan sentimen pengguna yang masih lemah. Di beberapa ekonomi Asia lain, keadaan kewangan yang lebih longgar serta langkah fiskal bersasar telah menyokong permintaan dalam negeri. Pada masa yang sama, pempelbagaian rantaian bekalan serta strategi mengubah laluan perdagangan membantu mengurangkan kesan tarif terhadap permintaan luaran.

Prestasi perdagangan global juga adalah lebih baik daripada jangkaan, berikutan kadar tarif sebenar yang lebih rendah daripada unjuran awal. Hal ini sebahagiannya mencerminkan penangguhan sementara pelaksanaan tarif dalam tempoh tertentu serta pengecualian tarif untuk beberapa produk. Kejayaan rundingan perdagangan turut membantu mengurangkan ETR (Rajah 1.2) dan ketidaktentuan. Sebagai contoh, kadar tarif awal yang dikenakan oleh AS ke atas China sebanyak 145% pada 9 April menurun kepada 20% pada 10 November. Syarikat juga melaraskan strategi dengan pantas melalui penghantaran barangan lebih awal, menggantikan barangan bertarif tinggi dengan barangan bertarif rendah serta menggunakan gudang berikat jamin untuk menangguhkan bayaran tarif. Permintaan berkaitan teknologi turut melebihi jangkaan awal dan meningkat secara berterusan sepanjang tahun. Jualan pasaran semikonduktor global pada tahun 2025 berkembang sebanyak 25.6% (2024: 19.7%),[2] didorong oleh peningkatan jualan cip berkaitan AI dan perkakasan pusat data. Kesemua gabungan faktor ini menyokong aktiviti perdagangan meskipun kesan aktiviti eksport yang dipercepat semakin beransur reda menjelang akhir tahun (Rajah 1.3).

Inflasi keseluruhan global terus reda pada tahun 2025, sejajar dengan keadaan bekalan komoditi yang bertambah baik, ketiadaan tekanan permintaan berlebihan dan kos import yang lebih rendah berikutan kelemahan dolar AS secara umum (Rajah 1.4). Kebanyakan ekonomi mengalami proses disinflasi yang lebih ketara sepanjang tahun, yang mengukuhkan lagi trend menurun dalam inflasi global. Namun begitu, disinflasi di AS pada awal tahun hanya bersifat sementara.[3] Terdapat tanda-tanda yang menunjukkan tarif telah dipindahkan kepada pengguna secara berperingkat, khususnya untuk barangan tahan lama seperti kenderaan, elektronik dan perabot.[4]

Keadaan kewangan global semakin longgar pada tahun 2025 berikutan pelonggaran dasar monetari global yang berterusan dalam keadaan volatiliti yang disebabkan oleh tarif

Pada tahun 2025, keadaan kewangan global menjadi semakin longgar, disokong oleh dasar monetari yang akomodatif oleh bank-bank pusat utama. Trend ini berlaku dalam persekitaran yang berlatarkan volatiliti yang bersifat sekali-sekala, sebahagian besarnya berpunca daripada ketidakpastian berhubung langkah perdagangan AS serta jangkaan terhadap hala tuju dasar monetari global. Dalam suasana ini, ekonomi sedang pesat membangun (emerging market economies, EME) menerima aliran masuk portfolio dan penambahan nilai mata wang, terutamanya pada separuh pertama tahun.

Tahun 2025 bermula dengan jangkaan bahawa keadaan kewangan global akan terus menjadi lebih longgar, selaras dengan perkembangan pada penghujung tahun 2024. Perkembangan ini didorong oleh dasar monetari yang lebih akomodatif dalam ekonomi utama dunia. Walau bagaimanapun, pada awal tahun 2025, trend pelonggaran tersebut berbalik arah berikutan persekitaran luaran yang semakin mencabar. Ketidaktentuan berkaitan dasar perdagangan Amerika Syarikat telah menjejaskan sentimen pasaran dan meningkatkan ketidakpastian terhadap hala tuju dasar monetari global, khususnya Federal Funds Rate (FFR). Ketidaktentuan pasaran kewangan memuncak pada suku kedua apabila pentadbiran AS mengumumkan pelaksanaan tarif secara meluas ke atas hampir semua rakan dagangan serta menandakan langkah tambahan mungkin akan dikenakan pada masa hadapan.

Pengumuman tersebut mencetuskan penjualan aset berisiko secara meluas. Kesannya paling jelas dalam pasaran ekuiti, yang menyaksikan indeks utama seperti S&P 500 dan Nasdaq mencatatkan penurunan paling mendadak sejak pandemik (Rajah 1.5). Nilai dolar AS turut menurun dengan ketara, dengan kebimbangan terhadap kemampanan dasar fiskal AS memburukkan lagi penyusutan tersebut. Pelabur mengimbangkan semula portfolio mereka ke arah aset selamat alternatif seperti franc Switzerland (CHF) dan emas. Beberapa EME turut menarik aliran masuk apabila pelabur mempelbagaikan pelaburan mereka dengan menjauhi aset dalam denominasi dolar AS (Rajah 1.6).

Pengumuman penangguhan tarif selama 90 hari yang diumumkan hanya seminggu selepas pengumuman asal, disusuli pengumuman perjanjian perdagangan dengan beberapa negara tertentu telah membantu meredakan ketidaktentuan dan memperbaiki sentimen. Aset berisiko kembali pulih susulan jualan secara meluas sebelum ini, seperti yang ditunjukkan oleh lonjakan ketara dalam ekuiti AS susulan pengumuman tersebut. Pemulihan ini diikuti oleh peningkatan berterusan dalam indeks S&P 500, yang sebahagiannya didorong oleh penilaian tinggi terhadap saham yang berkaitan dengan AI. 

Keadaan kewangan global kemudiannya menjadi lebih longgar dan trend ini berterusan sehingga penghujung tahun 2025. Perkembangan ini disokong oleh pelonggaran dasar monetari yang berlaku secara serentak oleh bank pusat utama, termasuk Federal Reserve (Fed), European Central Bank (ECB) dan Bank of England (BoE). ECB merupakan bank pusat pertama yang menurunkan kadar faedah pada bulan April susulan pengumuman tarif, diikuti oleh bank pusat ekonomi maju lain, termasuk BoE dan Reserve Bank of Australia (RBA). Fed pula meneruskan langkah pelonggaran beransurnya pada bulan September, diikuti dengan penurunan kadar selanjutnya pada bulan Oktober dan Disember, sekali gus mengukuhkan lagi trend global ke arah keadaan monetari yang akomodatif.

Anjakan dalam aliran modal antarabangsa serta prospek ekonomi dalam negeri yang positif telah menyokong pengukuhan nilai ringgit serta aliran masuk ke dalam pasaran bon domestik 

Pasaran kewangan domestik banyak dipengaruhi oleh anjakan dalam aliran modal pada tahun 2025, apabila pelabur beralih daripada aset AS berikutan ketidaktentuan yang berkaitan perdagangan serta pelonggaran dasar monetari global. Dalam persekitaran global yang mencabar ini, Malaysia muncul sebagai destinasi pelaburan yang menarik pada tahun 2025. Secara khususnya, asas makroekonomi Malaysia yang kukuh serta prospek pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan, disokong oleh permintaan dalam negeri dan momentum pelaburan yang berterusan, menyumbang kepada sentimen pelabur yang positif serta membantu menarik aliran masuk pelaburan portfolio. Pembaharuan struktur, projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan serta kestabilan dan kredibiliti politik turut memperkukuh keyakinan terhadap prospek negara dalam jangka sederhana. Selain itu, usaha penyelarasan yang berterusan oleh BNM dengan Kerajaan dan sektor korporat, termasuk melalui Program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (Qualified Resident Investor, QRI), turut membantu mengimbangi aliran dua hala dalam pasaran kewangan domestik.

Dalam pasaran pertukaran asing, ringgit mencatatkan penambahan nilai terbesar dalam kalangan mata wang serantau, berikutan pengukuhan berbanding dolar AS serta mata wang serantau lain seperti dolar Singapura, won Korea dan rupiah Indonesia (Rajah 1.7). Dalam separuh pertama tahun 2025, pengukuhan nilai ringgit ini didorong oleh minat pelabur global terhadap aset EME walaupun berdepan ketidaktentuan yang berkaitan perdagangan. Trend ini berterusan sehingga separuh kedua tahun 2025, disokong oleh pendirian dasar monetari yang lebih cenderung longgar (dovish) serta pemotongan kadar oleh bank pusat ekonomi maju, termasuk Fed AS yang menyambung semula pelonggaran dasar monetari pada bulan September. Prestasi keseluruhan ringgit juga disokong oleh sentimen positif mengenai prospek ekonomi Malaysia, terutamanya apabila usaha pembaharuan dalam negeri mula membuahkan hasil. Menjelang akhir tahun, ringgit mengukuh nilai sebanyak 10.2% berbanding dolar AS (2024: 2.7%) dan meningkat sebanyak 6.3% berdasarkan kadar pertukaran efektif nominal (nominal effective exchange rate, NEER) (2024: 7.5%) (Rajah 1.7).

Pasaran bon domestik turut mendapat manfaat daripada penstrukturan semula portfolio global. Aliran masuk bersih daripada bukan pemastautin ke dalam sekuriti hutang mencecah RM36.5 bilion (2024: RM0.5 bilion). Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) menurun pada separuh pertama tahun 2025, selaras dengan pasaran serantau lain dan terus menurun apabila pasaran menjangka dan kemudiannya membuat pelarasan dengan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada bulan Julai. Trend ini diperkukuh oleh aliran masuk yang berterusan pada separuh kedua tahun 2025. Bagi keseluruhan tahun 2025, hasil MGS untuk tempoh matang 3 tahun, 5 tahun dan 10 tahun masing-masing menurun sebanyak 48, 36 dan 33 mata asas (Rajah 1.8).

Selepas prestasi kukuh pada tahun 2024, pasaran ekuiti dalam negeri mengalami sedikit penyusutan berikutan perubahan dalam kecenderungan penghindaran risiko global serta aliran keluar oleh bukan pemastautin. Dalam suku pertama tahun 2025, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur Composite Index, FBM KLCI) menurun apabila ketidaktentuan global yang meningkat menjejaskan sentimen pelabur. Keadaan bertambah baik bermula suku kedua, sejajar dengan pemulihan pasaran ekuiti global apabila ketegangan perdagangan menjadi reda. Prestasi ini turut disokong oleh keuntungan korporat domestik yang kukuh, khususnya sektor perladangan dan perkhidmatan kewangan. Secara keseluruhan, KLCI meningkat sebanyak 2.3% (2024: 12.9%) untuk ditutup pada paras 1,680.1 mata (Rajah 1.9).

Ekonomi Malaysia berkembang 5.2%, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan

Pada tahun 2025, Malaysia mengharungi persekitaran global yang mencabar, disebabkan oleh ketidaktentuan yang tinggi serta perubahan dalam dinamik perdagangan dunia. Perkembangan ini menjejaskan prestasi eksport dan mempengaruhi keputusan pelaburan. Walau bagaimanapun, sektor luaran kekal berdaya tahan, disokong terutamanya oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta pelancongan ke dalam negeri. Permintaan dalam negeri terus kekal sebagai teras pertumbuhan ekonomi dan membantu mengurangkan tekanan luaran terhadap ekonomi. Keadaan ini didorong oleh pasaran pekerja yang positif, perbelanjaan isi rumah yang mampan serta momentum pelaburan yang stabil. Gabungan kesemua faktor ini membolehkan ekonomi berkembang sebanyak 5.2% pada tahun 2025, melebihi purata jangka panjangnya sebanyak 4.9% (Rajah 1.10).

Perkembangan sektor luaran Malaysia sebahagiannya mencerminkan ketidaktentuan yang masih berterusan dan perubahan dasar berkaitan tarif AS. Susulan tindakan AS menaikkan tarif ke atas produk terpilih serta pengenaan tarif timbal balik (reciprocal) sebanyak 24% ke atas Malaysia, aktiviti pembelian yang dipercepat oleh pengimport AS meningkat dengan ketara. Perkembangan ini merangsang eksport pada separuh pertama tahun 2025. Apabila sokongan daripada aktiviti eksport yang dipercepat semakin berkurangan pada separuh kedua tahun 2025, kejayaan rundingan untuk menurunkan tarif timbal balik daripada 24% kepada 19% serta mendapatkan pengecualian tambahan telah membantu mengurangkan ketidaktentuan dan memulihkan keyakinan. Struktur eksport Malaysia yang pelbagai turut menyokong daya tahan, apabila eksport ke AS yang lebih lemah diimbangi oleh peningkatan eksport ke pasaran lain (Rajah 1.11).

Sepanjang tahun 2025, eksport kasar Malaysia disokong oleh prestasi segmen E&E yang kukuh, didorong oleh peningkatan dalam permintaan teknologi global serta perkembangan yang pesat dalam aplikasi berkaitan AI. Hal ini menyumbang kepada lonjakan permintaan dan pertumbuhan eksport untuk semikonduktor, komputer serta peralatan dan bahagian jentera. Sokongan ini sebahagiannya mengimbangi kelemahan dalam segmen bukan E&E, khususnya produk petroleum dan kimia, yang mengalami lebihan kapasiti pada peringkat global. Pengeluaran di China diperhatikan meningkat lebih pantas berbanding permintaan dalam negerinya, manakala eksportnya dialihkan ke pasaran lain berikutan persekitaran tarif yang tinggi. Keadaan ini memberikan tekanan menurun ke atas harga global, sekali gus meningkatkan persaingan terhadap prestasi eksport Malaysia.

Aktiviti penyelenggaraan berjadual yang berskala besar, khususnya di fasiliti MLNG pada suku kedua tahun 2025, telah mengakibatkan kejutan bekalan dalam negeri. Hal ini menjejaskan pengeluaran dan eksport berkaitan perlombongan buat sementara waktu. Namun begitu, aktiviti pengeluaran pulih dengan lebih pantas berbanding dengan kitaran penyelenggaraan sebelum ini, sekali gus menyokong prestasi eksport menjelang akhir tahun (Rajah 1.12). Selain barangan, eksport perkhidmatan turut berkembang, disokong oleh ketibaan pelancong asing dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi, sebahagiannya disumbangkan oleh perbelanjaan yang tinggi oleh pelancong dari China dan India. Ketibaan pelancong antarabangsa mencecah 26.6 juta orang pada tahun 2025, melebihi paras sebelum pandemik sebanyak 26.1 juta orang pada tahun 2019. Peningkatan ini disokong oleh sambungan udara (air connectivity) yang lebih baik, pengecualian visa untuk negara terpilih serta usaha promosi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Pertumbuhan eksport sektor perkhidmatan pada tahun 2025 turut disumbangkan oleh peningkatan eksport perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (information and communication technology, ICT), selaras dengan perkembangan pusat data yang berterusan.

Sementara itu, pertumbuhan import kasar disokong oleh import barangan modal yang kekal kukuh, terutamanya bagi peralatan yang berkaitan dengan pusat data dan teknologi maklumat (information technology, IT). Import ini seterusnya menyokong aktiviti pelaburan dalam perkhidmatan awan, infrastruktur ICT serta perkilangan termaju dalam E&E. Sebaliknya, pertumbuhan import barangan pengantara menjadi lebih perlahan, sebahagiannya mencerminkan kesan asas serta permintaan input yang lebih rendah, berikutan eksport bukan E&E dan komoditi yang lebih lemah. Secara keseluruhan, import nominal meningkat lebih pantas berbanding eksport nominal, menyebabkan lebihan perdagangan barangan sedikit mengecil pada tahun 2025. Sementara itu, akaun perkhidmatan mencatatkan lebihan tahunan buat kali pertama sejak tahun 2011, disokong oleh aktiviti kemasukan pelancong serta eksport daripada syarikat pusat data. Perkembangan ini secara keseluruhannya membawa kepada lebihan akaun semasa yang lebih tinggi sebanyak 1.6% daripada KDNK pada tahun 2025 (2024: 1.4%).

Permintaan dalam negeri terus kekal sebagai teras pertumbuhan (Rajah 1.13). Perbelanjaan isi rumah disokong oleh peningkatan guna tenaga dan pertumbuhan upah, khususnya dalam sektor yang berorientasikan dalam negeri. Pertumbuhan upah dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan[5] yang berorientasikan dalam negeri menyokong pertumbuhan upah keseluruhan, dengan masing-masing meningkat sebanyak 4.5% dan 2.9% pada tahun 2025. Pelarasan gaji penjawat awam, kenaikan gaji minimum serta sokongan dasar melalui pengagihan bantuan tunai turut memberikan dorongan tambahan kepada penggunaan swasta.

Permintaan dalam negeri terus didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh pada tahun 2025, yang berkembang jauh melebihi purata jangka panjang.[6] Pada awal tahun, ketidaktentuan dasar global telah menyebabkan segelintir syarikat mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati. Syarikat berorientasikan eksport menggunakan peluang ini untuk menilai semula rancangan pelaburan mereka, terutamanya yang terlibat dalam industri berkaitan pengguna, E&E bukan berkaitan semikonduktor dan keluli. Sesetengah syarikat mempertimbangkan untuk menyelaraskan masa import untuk jentera dan peralatan, ataupun membatalkan rancangan pelaburan.[7] Apabila ketidakpastian berkaitan tarif mereda menjelang akhir tahun, sentimen secara amnya bertambah baik dan syarikat menyambung semula aktiviti pelaburan mereka.

Pertumbuhan pelaburan secara keseluruhannya disokong oleh kemajuan berterusan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, di samping pelaksanaan inisiatif di bawah pelan induk nasional. Momentum pelaburan turut diperkukuh oleh kelulusan pelaburan yang kukuh sepanjang tahun. Hal ini mencerminkan keyakinan terhadap persekitaran pelaburan Malaysia, khususnya dalam subsektor perkhidmatan berteknologi tinggi dan perkilangan termaju. Pelaburan yang diluluskan dari tahun-tahun sebelumnya terus diterjemahkan kepada aktiviti sebenar pada tahun 2025, seperti yang ditunjukkan oleh aktiviti pembinaan yang mantap serta pengembangan kapasiti oleh syarikat. Sebanyak 84.9% daripada projek pelaburan pembuatan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) antara 2021 hingga 2025 telah memasuki pelbagai peringkat pelaksanaan. Sementara itu, perbelanjaan Kerajaan yang mampan serta pelaburan modal strategik oleh syarikat awam terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelaburan awam sepanjang tahun.

Walaupun kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam terus memberangsangkan, pertumbuhan pelaburan pada tahun 2025 menjadi lebih sederhana pada tahun tersebut. Momentum yang semakin perlahan mencerminkan beberapa projek awam utama yang hampir siap. Pada masa yang sama, Kerajaan mengutamakan infrastruktur asas bagi meningkatkan perkhidmatan awam dan menyokong aktiviti industri, berbanding memperkenalkan projek mega baharu. Walaupun berskala lebih kecil, inisiatif sektor awam terus menyokong kegiatan ekonomi secara keseluruhan.

Permintaan dalam negeri merupakan teras pertumbuhan pada tahun 2025 apabila eksport bersih menurun

Meskipun dengan persekitaran global yang mencabar, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% pada tahun 2025 (2024: 5.1%). Pertumbuhan ini berteraskan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, didorong oleh perbelanjaan isi rumah serta aktiviti pelaburan yang berterusan. Sementara itu, eksport bersih menguncup apabila pertumbuhan import benar mengatasi pertumbuhan eksport benar.

Penggunaan swasta berkembang secara berterusan sebanyak 5.2% pada tahun 2025 (2024: 5.1%) disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif. Secara keseluruhan, guna tenaga meningkat sebanyak 3.1%, dipacu terutamanya oleh sektor berorientasikan dalam negeri yang lebih berdaya tahan, seterusnya mengimbangi pertumbuhan yang lebih sederhana dalam sektor berorientasikan eksport. Upah nominal agregat berkembang sebanyak 3.6% dalam sektor swasta dan 7.8% dalam sektor awam. Perkembangan ini juga mencerminkan sokongan dasar berkaitan dengan pendapatan melalui kenaikan gaji minimum dan pelarasan gaji penjawat awam di bawah Fasa 1 Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Selain itu, perbelanjaan isi rumah turut disokong oleh langkah dasar yang lebih tinggi, terutamanya melalui pemindahan wang tunai dalam jumlah yang lebih besar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Perbelanjaan keperluan kekal sebagai pemacu utama penggunaan swasta dengan peningkatan sebanyak 5.6%, meliputi perbelanjaan yang lebih tinggi untuk pengangkutan, makanan dan minuman bukan alkohol serta komunikasi. Sementara itu, perbelanjaan budi bicara meningkat sebanyak 6.7%, didorong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi untuk restoran dan hotel.

Pembentukan modal tetap kasar (PMTK) berkembang sebanyak 9.6% pada tahun 2025 (2024: 12%), didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam struktur (11.1%; 2024: 15.3%) serta jentera dan kelengkapan (machinery and equipment, M&E) (8.9%; 2024: 9.3%). Aktiviti pelaburan kekal mantap berikutan peningkatan kitaran pelaburan yang berterusan pada tahun 2025.

Meskipun ketidaktentuan global meningkat berikutan pelaksanaan tarif oleh AS, pelaburan swasta berkembang sebanyak 9.4% pada tahun 2025 (2024: 12.3%). Pertumbuhan didorong oleh projek berbilang tahun yang berterusan dan aktiviti pelaburan dalam perkhidmatan dan subsektor perkilangan berteknologi tinggi seperti pusat data dan perkhidmatan awan di bawah teknologi maklumat dan komunikasi (information and communications technology, ICT), serta subsektor elektrik dan elektronik (E&E). Keadaan ini dicerminkan dalam kerja-kerja pembinaan yang kukuh oleh sektor swasta (2025: 15.7%; 2024: 23%) dan pengembangan kapasiti melalui pemerolehan M&E baharu yang menyebabkan pertumbuhan berterusan dalam import barangan modal (2025: 29%; 2024: 29%).

Pelaburan awam berkembang sebanyak 10.3% pada tahun 2025 (2024: 11.1%), berikutan perbelanjaan modal yang teguh oleh Kerajaan dan syarikat awam. Walaupun beberapa projek hampir siap, pertumbuhan terus didorong oleh kemajuan projek infrastruktur yang sedang berjalan. Projek ini termasuk Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link, ECRL), Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Sistem Transit Rapid Link Johor Bahru-Singapura (Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System, RTS Link) dan Projek Jalan Penghubung Sarawak-Sabah (Sarawak-Sabah Link Road, SSLR). Selain itu, pertumbuhan turut disokong oleh inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan kelestarian oleh syarikat awam seperti projek solar dan kuasa hidro berskala besar, dan sistem Fotovoltan Hibrid Solar Terapung Hidro (Hybrid Hydro-Floating Solar, HHFS).

Penggunaan awam berkembang sebanyak 6.6% pada tahun 2025 (2024: 4.7%), disokong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi bagi emolumen serta bekalan dan perkhidmatan. Perbelanjaan emolumen yang lebih tinggi oleh Kerajaan Persekutuan didorong oleh pelarasan gaji bagi penjawat awam di bawah Fasa 1 SSPA. Sementara itu, pertumbuhan dalam perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan disokong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi dalam perkhidmatan profesional serta pentadbiran & khidmat sokongan, terutamanya sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Pertumbuhan didorong oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan

Kegiatan ekonomi terus berkembang pada tahun 2025, disokong oleh kekukuhan sektor perkhidmatan dan perkilangan yang berterusan dalam keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, keadaan pasaran pekerja yang positif serta pemulihan yang berterusan dalam aktiviti pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sektor perkhidmatan berkembang sebanyak 5.5% (2024: 5.3%), didorong terutamanya oleh subsektor berkaitan pengguna yang lebih kukuh. Hal ini disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dasar untuk meningkatkan pendapatan melalui gaji minimum yang lebih tinggi dan kenaikan gaji penjawat awam di bawah Fasa 1 SSPA, serta skim pemindahan tunai seperti STR dan SARA. Subsektor ini juga menerima manfaat daripada kemasukan pelancong yang lebih tinggi hasil aktiviti promosi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan sambungan penerbangan yang diperluas. Selain itu, perkhidmatan berkaitan Kerajaan telah memberikan sokongan tambahan terhadap pertumbuhan berikutan emolumen yang lebih tinggi untuk penjawat awam di bawah Fasa 1 SSPA. Walau bagaimanapun, subsektor berkaitan perniagaan berkembang pada kadar yang lebih perlahan pada tahun 2025. Pertumbuhan ini terjejas oleh sebab penurunan dalam subsektor kewangan dan insurans yang disebabkan terutamanya oleh pendapatan faedah bersih yang lebih rendah.

Sektor perkilangan berkembang sebanyak 4.5% pada tahun 2025 (2024: 4.2%), disokong oleh pertumbuhan yang berterusan dalam industri berorientasikan eksport dan dalam negeri. Pertumbuhan dalam segmen berorientasikan eksport didorong oleh prestasi E&E yang kukuh. Hal ini demikian kerana permintaan untuk pusat data dan komponen yang berkaitan dengan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) yang terus mengukuh, di samping pelaburan yang lebih tinggi dalam industri semikonduktor. Walau bagaimanapun, pertumbuhan ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan dalam industri petrokimia berikutan permintaan eksport serantau yang lebih lemah. Industri berorientasikan dalam negeri turut berkembang, didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, permintaan berkaitan pelancongan yang lebih kukuh dalam segmen makanan dan minuman serta pengangkutan, dan pengeluaran bahan berkaitan pembinaan yang lebih tinggi, sejajar dengan aktiviti pembinaan yang berterusan.

Sektor pertanian berkembang sebanyak 2.2% pada tahun 2025 (2024: 3.1%), disokong oleh prestasi yang mampan dalam sebahagian besar subsektor utama. Pertumbuhan dalam subsektor kelapa sawit sederhana, namun kekal positif meskipun berdepan keadaan cuaca buruk pada suku pertama tahun 2025. Keadaan telah pun bertambah baik, disokong oleh hasil tandan buah segar yang lebih tinggi berikutan keadaan cuaca yang lebih menggalakkan dan ketersediaan pekerja yang lebih baik. Subsektor pertanian lain, ternakan dan perikanan terus berkembang, disokong oleh pengeluaran hasil padi, buah-buahan, sayur-sayuran, akuakultur dan lembu ternakan yang lebih tinggi. Pertumbuhan juga didorong oleh usaha berterusan untuk memperkukuh rantaian bekalan makanan dan meningkatkan daya tahan dalam industri agromakanan. Sebaliknya, subsektor getah, perhutanan dan pembalakan merosot disebabkan oleh pengeluaran yang lebih rendah.

Sektor perlombongan berkembang sebanyak 0.7% pada tahun 2025 (2024: 0.9%) disebabkan oleh pemulihan yang kukuh dalam pengeluaran minyak dan gas, terutamanya pada separuh kedua tahun 2025 selepas aktiviti penyelenggaraan dijalankan pada suku kedua tahun 2025. Pengeluaran gas asli mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi disokong oleh peningkatan berterusan dalam keluaran di medan gas di Sarawak, manakala pengeluaran minyak turut berkembang pada kadar yang lebih pantas, dipacu oleh peningkatan pengeluaran di Sabah dan Sarawak.

Sektor pembinaan terus mencatatkan pertumbuhan dua angka, iaitu sebanyak 12.2% (2024: 17.5%), disokong oleh subsektor bukan kediaman dan pertukangan khas. Pengembangan yang lebih kukuh dalam subsektor bukan kediaman dipacu oleh projek perindustrian dan komersial termasuk pembinaan pusat data. Pertumbuhan yang kukuh dan berterusan dalam subsektor pertukangan khas disokong oleh projek solar di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR), projek berskala kecil di bawah Belanjawan 2025 dan projek infrastruktur besar yang hampir siap. Sementara itu, subsektor kejuruteraan awam terus berkembang, tetapi pada kadar yang lebih sederhana disebabkan oleh projek infrastruktur berbilang tahun yang hampir siap terutamanya dalam segmen pengangkutan.

Keadaan pasaran pekerja berdaya tahan pada tahun 2025

Pada tahun 2025, keadaan pasaran pekerja yang positif memberikan sokongan yang mantap terhadap pertumbuhan ekonomi, didorong oleh peningkatan berterusan dalam guna tenaga dan pendapatan. Penunjuk utama menandakan keadaan yang menggalakkan secara amnya, di samping kadar pengangguran yang terus menurun. Sementara itu, pergeseran struktur yang berterusan seperti pemadanan pekerjaan dan segmentasi pasaran pekerja terus mengekang perkembangan upah merentasi kumpulan pekerja.

Guna tenaga[8] meningkat sebanyak 3.1% (+504,700 orang; 2024: 2.6%, +423,800 orang) manakala kadar penyertaan tenaga pekerja (labour force participation rate, LFPR) terus meningkat kepada 70.8% pada tahun 2025 (2024: 70.5%) didorong oleh individu yang berusia 55 hingga 64 tahun. Kadar pengangguran terus menurun kepada 3%, kekal di bawah paras sebelum pandemik (2024: 3.2%; 2019: 3.3%). Mengikut sektor, pertambahan guna tenaga paling kukuh dicatatkan dalam perkhidmatan (2.5%; 2024: 1.7%), dan diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, serta subsektor makanan & minuman dan penginapan. Pertumbuhan guna tenaga dalam perkilangan meningkat sedikit kepada 1.1% (2024: 1%), dan didorong terutamanya oleh subsektor produk elektrik dan elektronik (E&E) serta subsektor makanan, minuman dan tembakau.

Dari segi status guna tenaga, bahagian terbesar daripada jumlah guna tenaga iaitu pekerja (76%) meningkat sebanyak 2.4% (2024: 2.5%). Peningkatan ini mencerminkan permintaan pekerja yang berterusan sejajar dengan pengembangan dalam kegiatan ekonomi, seiring dengan peningkatan penyertaan tenaga kerja.

Sementara itu, individu bekerja sendiri mencatatkan pertumbuhan guna tenaga yang lebih kukuh (6.4%; 2024: 3.5%). Antara faktor yang menyumbang ialah peranan kerja sendiri sebagai jaringan keselamatan separa bagi guna tenaga, termasuk pekerjaan sambilan, gig atau tidak formal. Keadaan ini berfungsi untuk menyerap lebihan bekalan pekerja daripada guna tenaga standard, selaras dengan pertumbuhan tenaga kerja (2.8%) dan penduduk umur bekerja (2.5%) yang berkembang lebih cepat daripada guna tenaga standard (2.4%). Lonjakan tersebut juga boleh dikaitkan dengan perubahan kecenderungan pekerja selaras dengan peningkatan populariti pengaturan kerja yang fleksibel dan autonomi, terutamanya bagi segmen tenaga kerja yang lebih muda. Ekonomi gig juga memainkan peranan penting sebagai sumber pendapatan tambahan bagi pekerja yang mencari pekerjaan kedua. Rang Undang-Undang Pekerja Gig yang diluluskan di Parlimen pada tahun 2025 dijangka akan meluaskan liputan perlindungan sosial bagi pekerja gig melalui pengenalan perjanjian perkhidmatan untuk sebarang kerja yang dijalankan dalam ekonomi gig. Rang undang-undang ini dijangka memberikan manfaat kepada kira-kira 1.2 juta orang pekerja (7% daripada orang yang bekerja).

Pada tahun 2025, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaporkan purata kekosongan jawatan bulanan sebanyak 119,095 (2024: 127,177) dan purata penempatan pekerjaan bulanan sebanyak 17,383 (2024: 17,068). Walaupun kadar pengangguran menunjukkan trend yang menurun, penurunan pada masa yang sama dalam kekosongan jawatan yang dilaporkan menunjukkan bahawa pasaran pekerja kekal lembap.[9] Keadaan ini sejajar dengan pergeseran berterusan dalam memadankan permintaan guna tenaga dengan bekalan pekerja.

Pertumbuhan upah keseluruhan mengukuh pada tahun 2025, dengan upah nominal agregat meningkat sebanyak 5.1%, didorong oleh upah sektor awam (7.8%; 2024: 4.9%) di samping upah sektor swasta (3.6%; 2024: 2.9%). Beberapa langkah dasar berkaitan pendapatan telah dilaksanakan pada tahun 2025. Langkah ini termasuk kenaikan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 1 sebanyak 8%, kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 pada bulan Februari 2025 serta pengenalan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing dengan kadar caruman majikan sebanyak 2%.

Dalam sektor swasta, upah dalam Perkhidmatan meningkat sebanyak 4.5% (2024: 3.6%), didorong oleh perdagangan borong dan runcit, manakala pertumbuhan upah dalam Perkilangan meningkat kepada 2% (2024: 1.5%), disokong terutamanya oleh subsektor produk E&E.

Pertumbuhan produktiviti pekerja yang diukur dengan nilai tambah bagi setiap pekerja terus meningkat pada tahun 2025 (3.4%; 2024: 2.4%). Peningkatan tersebut merentasi sektor secara meluas, dan pertambahan ketara dicatatkan dalam Perkhidmatan (3.1%; 2024: 1.8%) dan Perkilangan (3.7%; 2024: 2.6%). Pertumbuhan produktiviti pekerja dalam sektor pembinaan pula menjadi sederhana daripada prestasi yang kukuh pada tahun 2024 kepada 11.2% (2024: 16.4%). Walau bagaimanapun, momentum pertumbuhan produktiviti masih belum diterjemahkan kepada kenaikan upah yang sepadan. Secara kumulatif, sejak tahun 2019, produktiviti meningkat sebanyak 9%, tetapi upah benar sektor swasta bagi setiap pekerja telah menurun sebanyak 1.7% dalam tempoh yang sama.

Akaun semasa dan kewangan bagi imbangan pembayaran

Sektor luaran kekal berdaya tahan pada tahun 2025

Kedudukan luaran Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berhadapan dengan persekitaran global yang mencabar. Baki akaun semasa mencatatkan lebihan yang lebih tinggi, iaitu sebanyak RM31.8 bilion atau 1.6% daripada KDNK pada tahun 2025 (2024: RM27.7 bilion, atau 1.4% daripada KDNK). Keadaan ini disokong oleh lebihan yang berterusan dalam akaun barangan dan peralihan dalam akaun perkhidmatan kepada lebihan. Akaun pendapatan primer dan sekunder terus mencatatkan defisit.

Akaun barangan mencatatkan lebihan yang lebih rendah, iaitu sebanyak RM110.9 bilion (2024: RM114.5 bilion) kerana import berkembang lebih cepat daripada eksport. Pertumbuhan eksport (2025: 2.5%; 2024: 7.4%) disokong terutamanya oleh prestasi segmen elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh berikutan permintaan yang berterusan bagi teknologi berkaitan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), dan pembelian eksport yang dipercepat (frontloading) menjelang pelarasan tarif AS yang dijangkakan. Kekukuhan ini sebahagiannya mengimbangi kelemahan daripada segmen bukan E&E, terutamanya eksport petroleum dan produk kimia yang terus berhadapan dengan tekanan daya saing yang berpunca daripada kapasiti berlebihan dari China. Sementara itu, pertumbuhan import menjadi sederhana pada tahun 2025 berikutan pertumbuhan kukuh pada tahun sebelumnya, sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang tinggi (3.1%; 2024: 10.2%). Walau bagaimanapun, tahap import kekal tinggi. Keadaan ini didorong terutamanya oleh import barangan modal yang lebih tinggi sejajar dengan pelaksanaan berterusan projek pelaburan berbilang tahun, khususnya pelaburan pusat data.

Akaun perkhidmatan mencatatkan peralihan kepada lebihan sebanyak RM1.2 bilion pada tahun 2025 (2024: -RM11.7 bilion), disokong oleh pendapatan perjalanan yang lebih tinggi sebanyak RM110.6 bilion (2024: RM95.3 bilion) berikutan ketibaan pelancong yang meningkat kepada 26.6 juta orang (2024: 25 juta orang). Peningkatan eksport perkhidmatan yang berkaitan dengan ICT kepada RM27.1 bilion (2024: RM21.3 bilion) yang disokong oleh pengoperasian pusat data juga telah memberikan sokongan pada akaun perkhidmatan.

Dalam akaun pendapatan, pendapatan primer kekal berada dalam defisit pada RM69.5 bilion (2024: -RM66.1 bilion). Keadaan ini mencerminkan pendapatan pelaburan terakru kepada pelabur asing di Malaysia yang berterusan, apabila pengeksport yang dikawal oleh bukan pemastautin melaporkan pendapatan eksport yang kukuh. Sementara itu, akaun pendapatan sekunder mencatatkan defisit yang lebih besar, iaitu sebanyak RM10.8 bilion (2024: -RM9 bilion). Keadaan ini disebabkan terutamanya oleh kiriman wang keluar yang berterusan oleh pekerja asing, mengimbangi kiriman wang masuk oleh rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.

Akaun kewangan mencatatkan pemerolehan bersih aset asing yang lebih tinggi, iaitu sebanyak RM21.4 bilion (2024: -RM4.9 bilion), mencerminkan perubahan dalam akaun pelaburan lain yang mencatatkan aliran keluar, di samping aliran keluar pelaburan portfolio yang berterusan. Aliran keluar ini sebahagiannya diimbangi oleh aliran masuk pelaburan langsung yang lebih besar.

Akaun pelaburan langsung mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM46 bilion (2024: RM17.7 bilion). Yang ketara, pelaburan langsung asing (foreign direct investments, FDI) mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM53.5 bilion (2.6% daripada KDNK; 2024: +RM51.5 bilion, atau 2.7% daripada KDNK). Aliran masuk bersih yang mampan mencerminkan terutamanya minat berterusan pelabur asing untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran mereka di Malaysia melalui suntikan ekuiti baharu serta penggabungan dan pengambilalihan. Aliran masuk FDI bersih bagi tahun 2025 disalurkan terutamanya ke dalam sektor perkhidmatan (2025: +RM55.3 bilion; 2024: +RM40.8 bilion). Dalam sektor perkhidmatan, aliran masuk ke dalam subsektor perkhidmatan ICT meningkat (2025: +RM29.2 bilion; 2024: +RM21 bilion) berikutan perbelanjaan modal untuk pusat data. Keadaan ini dipacu oleh permintaan global bagi perkhidmatan pusat data oleh sebab pertumbuhan AI, pengembangan pengkomputeran awan dan transformasi digital. Berikutan peningkatan yang ketara daripada 36.9% pada tahun 2023 kepada 51% pada tahun 2024, bahagian aliran masuk pusat data dalam jumlah FDI bersih kekal stabil pada tahun 2025 (RM27.3 bilion, 51% daripada jumlah aliran masuk FDI bersih).[10] Sementara itu, aliran FDI ke dalam subsektor aktiviti kewangan dan insurans juga bertambah baik (2025: +RM25.7 bilion; 2024: +RM11.6 bilion) didorong terutamanya oleh suntikan ekuiti yang lebih tinggi ke dalam syarikat pegangan pelaburan asing.

Aliran keluar pelaburan langsung luar negeri (direct investment abroad, DIA) lebih rendah, iaitu pada RM7.4 bilion (-0.4% daripada KDNK; 2024: -RM33.9 bilion, atau -1.8% daripada KDNK). Aliran keluar yang lebih rendah didorong terutamanya oleh penyelesaian pinjaman jangka pendek dan jangka panjang serta kredit pembekal oleh anak syarikat asing bagi syarikat multinasional (multinational companies, MNC) pemastautin. Dari segi sektor, DIA pada tahun 2025 ditujukan terutamanya kepada sektor perkhidmatan (2025: -RM10.9 bilion; 2024: -RM28.9 bilion) khususnya subsektor aktiviti kewangan dan insurans (2025: -RM9 bilion; 2024: -RM15 bilion).

Akaun pelaburan portfolio mencatatkan aliran keluar yang lebih rendah, iaitu sebanyak RM61.7 bilion (2024: -RM84.1 bilion) berikutan pelaburan yang lebih kecil di luar negeri oleh pemastautin (-RM86.4 bilion; 2024: -RM107.3 bilion). Pelaburan ini sebahagian besarnya disalurkan ke dalam sekuriti ekuiti asing (-RM78.5 bilion; 2024: -RM62.9 bilion), menggambarkan strategi pempelbagaian aset pelabur institusi pemastautin. Sementara itu, pemerolehan bersih sekuriti domestik oleh pelabur bukan pemastautin sebahagian besarnya mampan (RM24.6 bilion; 2024: RM23.2 bilion), dan didorong oleh pemerolehan sekuriti hutang domestik oleh bukan pemastautin yang lebih tinggi (RM36.5 bilion; 2024: RM0.5 bilion) apabila pelabur asing meningkatkan dedahan pada bon pasaran sedang pesat membangun. Aliran masuk sekuriti hutang ini sebahagiannya diimbangi oleh pelupusan bersih sekuriti ekuiti domestik (-RM11.9 bilion; 2024: RM22.7 bilion) berikutan ketidaktentuan yang semakin meningkat akibat ketegangan perdagangan yang semakin meruncing.

Akaun pelaburan lain mencatatkan peralihan kepada aliran keluar bersih sebanyak RM5.9 bilion (2024: +RM58.7 bilion). Perkara ini disumbangkan terutamanya oleh pemberian pinjaman antara bank yang lebih tinggi oleh bank-bank luar pesisir di Labuan, sebagai sebahagian aktiviti pembiayaan “out-out”[11] mereka. Aliran keluar ini sebahagiannya diimbangi oleh aliran masuk dalam bentuk peminjaman antara syarikat yang lebih tinggi daripada entiti yang tidak berkaitan.

Peningkatan dalam kedudukan pelaburan antarabangsa bersih Malaysia

Pada akhir tahun 2025, kedudukan pelaburan antarabangsa (international investment position, IIP) bersih Malaysia mencatatkan kedudukan liabiliti luaran bersih yang lebih rendah, iaitu sebanyak RM9.6 bilion, bersamaan dengan -0.5% daripada KDNK (akhir 2024: -RM11.7 bilion, bersamaan dengan -0.6% daripada KDNK). Keadaan ini dipacu oleh peningkatan aset luaran sebanyak RM85.2 bilion disebabkan terutamanya oleh pembelian sekuriti ekuiti asing oleh pemastautin susulan strategi pempelbagaian aset pelabur institusi, serta kesan penilaian harga yang positif berikutan harga sekuriti ekuiti portfolio yang lebih tinggi. Keadaan ini diimbangi oleh peningkatan liabiliti luaran sebanyak RM83.1 bilion yang didorong terutamanya oleh suntikan ekuiti pelabur bukan pemastautin ke dalam sektor perkhidmatan, terutamanya ICT dan juga perkhidmatan kewangan dan insurans.

Kedudukan aset luaran dalam mata wang asing (foreign currency, FCY) bersih[12] berada pada RM1,314.6 bilion, atau 0.6% daripada KDNK pada akhir tahun 2025 (2024: RM1,261.4 bilion, atau 0.7% daripada KDNK). Peningkatan kedudukan aset luaran bersih dalam FCY didorong terutamanya oleh pemerolehan sekuriti ekuiti portfolio di luar negeri yang lebih besar. Peningkatan ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan penilaian kadar pertukaran berikutan penambahan nilai ringgit.

Hutang luar negeri Malaysia berjumlah RM1,394.8 bilion pada akhir tahun 2025, atau 68.9% daripada KDNK (2024: RM1,350.2 bilion, atau 69.9% daripada KDNK). Peningkatan tahap hutang luar negeri disebabkan terutamanya oleh pemerolehan sekuriti hutang domestik oleh pelabur bukan pemastautin, terutamanya dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) dan juga peningkatan peminjaman antara bank yang sebahagian besarnya mencerminkan aliran masuk oleh Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan International Business and Financial Centre, LIBFC). Hal ini menggariskan peranan LIBFC sebagai hab kewangan luar pesisir Malaysia yang memudahkan pemberian pinjaman seterusnya melalui transaksi “out-out”.[13] Di samping itu, peningkatan hutang luar negeri sebahagiannya disebabkan oleh pinjaman antara syarikat berkaitan yang lebih tinggi oleh syarikat dalam industri perkhidmatan ICT, terutamanya untuk membiayai pelaburan pusat data, yang mencerminkan momentum berterusan dalam pengembangan ekonomi digital Malaysia. Walau bagaimanapun, aliran ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan penilaian kadar pertukaran susulan pertambahan nilai ringgit dibandingkan dengan mata wang utama yang terpilih, terutamanya dolar AS, yang mengurangkan nilai liabiliti FCY dalam denominasi ringgit.

Risiko berhubung dengan hutang luar negeri Malaysia kekal terkawal, didasari oleh profil tempoh matang dan profil mata wang hutang yang menggalakkan. Pertama, bahagian hutang luar negeri jangka sederhana dan jangka panjang yang tinggi (57.3%; 2024: 57.4%) mengurangkan risiko pelanjutan (rollover risks) (Rajah 5a). Sementara itu, hutang luar negeri jangka pendek Malaysia (42.7% daripada jumlah hutang luar negeri; 2024: 42.6%), yang didorong terutamanya oleh sektor swasta, disokong oleh penampan luaran yang kukuh dan tertakluk pada rangka kerja kehematan dan pengawalseliaan yang teguh.[14] Kedua, kira-kira satu pertiga hutang luar negeri berdenominasi ringgit (32.8%; 2024: 31.2%), dan oleh itu, hutang tersebut tidak terjejas oleh turun naik kadar pertukaran ringgit (Rajah 5b), manakala dedahan FCY diuruskan dengan berhemah melalui instrumen lindung nilai. Yang penting, 59.6% daripada hutang luar negeri dalam denominasi FCY ditadbir oleh rangka kerja pengawalseliaan yang komprehensif dan tertakluk pada pengawasan kehematan makro[15] oleh BNM (2024: 60.5%). Hal ini memastikan sektor perbankan kekal berdaya tahan dan peminjaman korporat dilindung nilai dengan secukupnya, disokong oleh pendapatan yang mencukupi, serta terarah pada tujuan yang produktif. Tambahan pula, pinjaman antara syarikat berkaitan mencakupi 19.2% daripada hutang luar negeri dalam denominasi FCY, yang secara amnya lebih stabil dan tertakluk pada terma konsesi (iaitu kadar tetap dan berisiko rendah terhadap perubahan mendadak dalam terma dan syarat), lantas dapat mengurangkan risiko pembiayaan semula dan risiko kredit (2024: 18.7%). Kira-kira 14.3% hutang luar negeri dalam denominasi FCY disokong oleh pendapatan eksport, dan menyediakan lindung nilai semula jadi terhadap risiko mata wang (2024: 13.7%). Pada akhir tahun 2025, hutang luar negeri berisiko[16] bagi bank dan syarikat korporat masing-masing berjumlah RM87 bilion dan RM5.7 bilion (2024: masing-masing RM103 bilion dan RM7.8 bilion).

Rizab antarabangsa BNM berjumlah USD125.5 bilion (atau RM509.8 bilion) pada akhir tahun 2025 (2024: USD116.2 bilion, atau RM520.1 bilion). Kedudukan rizab ini memadai untuk membiayai 4.6 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek. Meskipun begitu, cara lain untuk memenuhi obligasi luaran tetap tersedia dan akan terus diperkukuh. Liberalisasi progresif Dasar Pertukaran Asing (Foreign Exchange Policy, FEP) telah menyebabkan pengumpulan aset luaran bukan rizab yang besar oleh sektor swasta. Secara khususnya, pengumpulan aset luaran dalam denominasi FCY oleh bank dan syarikat korporat, dengan bahagian mudah tunai berjumlah RM1,066.3 bilion,[17] boleh digunakan untuk memenuhi obligasi hutang jangka pendek bank dan syarikat korporat sebanyak RM594 bilion, tanpa mewujudkan tuntutan terhadap rizab antarabangsa (Rajah 6).

Inflasi keseluruhan terus menurun pada tahun 2025 manakala inflasi teras meningkat sedikit

Inflasi keseluruhan terus menurun pada tahun 2025, dengan purata 1.4% (2024: 1.8%) iaitu lebih rendah berbanding dengan purata yang pernah dicatatkan (purata 2011–2019: 2.2%). Penurunan ini sebahagian besarnya didorong oleh keadaan bekalan global yang bertambah baik serta kesan disinflasi daripada pelarasan dasar dalam negeri tertentu. Harga komoditi global yang lebih rendah serta kos tenaga yang lebih rendah menyebabkan penurunan harga makanan segar dalam negeri (2025: -4.4%; 2024: 2.5%) dan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam harga barangan ditadbir terpilih (bahan api dan utiliti) (2025: 1.6%; 2024: 3%) (Rajah 1.14). Pelonggaran keadaan kos global juga menyumbang kepada kos pengeluaran yang lebih rendah. Kesan ini dapat dilihat dalam penurunan sebanyak 2% dalam Indeks Harga Pengeluar (2024: 0.3%). Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh lebihan bekalan minyak global, yang menurunkan kos bahan api untuk pengeluar. Ringgit yang agak kukuh juga membantu mengawal kos import bahan mentah.

Walaupun pada awalnya terdapat jangkaan bahawa pelarasan dasar dalam negeri boleh menyebabkan inflasi meningkat, kesan keseluruhannya jauh lebih kecil daripada yang dijangkakan.[18] Hal ini sebahagian besarnya berpunca daripada kaedah perumusan langkah dasar seperti penstrukturan semula tarif elektrik dan rasionalisasi subsidi RON95, yang mencerminkan hasrat Kerajaan untuk melindungi isi rumah daripada kesan pembaharuan dasar. Penstrukturan semula tarif elektrik telah mengurangkan kos elektrik untuk kebanyakan isi rumah, susulan kadar tarif domestik yang lebih rendah, selain pemberian rebat kepada pengguna dengan penggunaan elektrik yang rendah di bawah Insentif Cekap Tenaga.[19] Pelaksanaan program BUDI95 secara berperingkat, khususnya pengenalan harga bersubsidi yang lebih rendah pada kadar RM1.99 seliter kepada semua warganegara Malaysia yang layak, turut menyumbang kepada kadar inflasi bahan api yang lebih rendah sepanjang tahun.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, meningkat sedikit kepada 2% pada tahun 2025 (2024: 1.8%), selari dengan purata jangka panjang. Dari segi komponen, peningkatan ini didorong oleh sumbangan berterusan daripada komponen perkhidmatan yang berwajaran lebih tinggi, termasuk makanan di luar rumah (2025: 4.1%; 2024: 3.6%) dan sewa (2025: 2%; 2024: 1.7%). Trend sederhana dalam inflasi teras mencerminkan kekukuhan permintaan dalam negeri yang berterusan, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif dan dasar yang meningkatkan kuasa beli isi rumah. Tekanan harga pada amnya terkawal secara meluas. Rebakan inflasi (inflation pervasiveness) terus menunjukkan trend di bawah purata jangka panjangnya. Bahagian barangan IHP yang mencatatkan kenaikan harga bulanan menunjukkan trend yang lebih rendah untuk sebahagian besar tahun 2025 dan kekal di bawah angka yang pernah dicatatkan (2025: 42.1%; 2024: 43%; purata 2011–2019: 45.6%) (Rajah 1.15). 

Dasar monetari memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil

Pada tahun 2025, Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) dikurangkan sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% pada bulan Julai sebagai langkah awalan bagi mengekalkan persekitaran pertumbuhan Malaysia yang stabil, berlatarkan persekitaran luaran yang mencabar dalam keadaan kestabilan harga dalam negeri.

Sepanjang tahun 2025, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) memantau persekitaran luaran yang tidak menentu dengan teliti dan terus peka mengenai kemungkinan implikasi terhadap prospek ekonomi Malaysia. Ekonomi dalam negeri dinilai berdepan rintangan luaran daripada kedudukan yang kukuh, dengan pertumbuhan disokong oleh permintaan dalam negeri yang mampan serta eksport yang berdaya tahan. Walaupun ekonomi dalam negeri berada pada landasan yang kukuh, MPC dalam mesyuaratnya pada Julai 2025 menilai bahawa ketidakpastian berkaitan langkah tarif serta perkembangan geopolitik menimbulkan risiko ketara prospek pertumbuhan menjadi lebih perlahan. Persekitaran inflasi semasa yang sederhana memberikan ruang kepada MPC untuk menumpukan usaha bagi memastikan pertumbuhan dalam negeri kekal pada landasan yang kukuh dengan mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas. Sepanjang baki tahun 2025, ekonomi Malaysia terus disokong oleh perbelanjaan yang berterusan serta aktiviti pelaburan yang mantap, manakala inflasi kekal sederhana. Secara keseluruhannya, pendirian dasar monetari disifatkan sebagai wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi.

Keadaan monetari dan pembiayaan domestik kekal kondusif untuk pengantaraan kewangan. Pada peringkat sistem, agregat mudah tunai terkumpul yang ditempatkan di BNM menurun kepada RM93.5 bilion (2024: RM107.5 bilion) (Rajah 1.16). Paras mudah tunai terkumpul yang lebih rendah mencerminkan pengurangan peminjaman daripada BNM oleh bank-bank susulan penurunan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement, SRR) daripada 2% kepada 1%, berkuat kuasa 16 Mei 2025. Penurunan SRR ini telah menyokong pengurusan mudah tunai yang lebih berkesan oleh pihak bank. Pada peringkat institusi pula, kebanyakan bank terus mengekalkan lebihan penempatan semalaman dengan BNM.

Kadar antara bank menunjukkan trend menurun pada separuh pertama tahun 2025 berbanding paras akhir tahun 2024 apabila persaingan deposit akhir tahun bermusim semakin reda dan pihak bank mengambil kira jangkaan OPR yang lebih rendah. Selepas itu, kadar antara bank terus menurun berikutan pengurangan OPR pada bulan Julai. Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Interbank Offered Rate, KLIBOR) 3 bulan menurun sebanyak 24 mata asas dalam tempoh sehari selepas pengurangan OPR dan terus menurun sehingga akhir Oktober 2025. Menjelang hujung tahun, KLIBOR 3 bulan meningkat sedikit. Walau bagaimanapun, peningkatan tersebut adalah lebih sederhana berbanding tahun-tahun sebelumnya, berikutan persaingan deposit bermusim yang kurang sengit dalam keadaan mudah tunai yang lebih mudah serta pengumpulan deposit lebih awal oleh pihak bank.

Kadar deposit turut menurun susulan penurunan OPR, dengan kadar deposit tetap (fixed deposit, FD) runcit mencatatkan pengurangan antara 33 hingga 37 mata asas bagi tempoh matang 1 hingga 12 bulan. Susulan penurunan kadar antara bank dan kadar deposit, kos dana keseluruhan pihak bank berkurang sepanjang tahun. Transmisi pengurangan OPR yang kukuh kepada kadar faedah turut dicerminkan melalui kadar rujukan seperti Kadar Asas Standard (Standardised Base Rate, SBR), Kadar Asas (Base Rate, BR) dan Kadar Pinjaman Asas (Base Lending Rate, BLR), yang telah terlaras sepenuhnya. Sehubungan itu, kadar pinjaman purata (average lending rate, ALR) berwajaran untuk pinjaman terkumpul susut sebanyak 26 mata asas (Rajah 1.17). Kadar pinjaman bagi pinjaman baharu turut menjadi sederhana, khususnya untuk sektor perniagaan.

Pengembangan kredit yang berterusan kepada sektor swasta bukan kewangan dalam keadaan ekonomi dalam negeri yang berdaya tahan dan OPR yang lebih rendah

Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.4% berbanding setahun sebelumnya pada tahun 2025 (2024: 5.2%), selaras dengan ekonomi dalam negeri yang berdaya tahan serta kos peminjaman yang lebih rendah susulan pengurangan OPR. Pinjaman terkumpul[20] berkembang sebanyak 5% (2024: 5.7%), dan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan kredit keseluruhan (Rajah 1.18). Sementara itu, pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat kepada 6.9% (2024: 3.4%), berikutan beberapa terbitan yang besar bagi membiayai perbelanjaan modal merentas pelbagai sektor. Kesemua terbitan ini disokong oleh kadar hasil bon korporat yang lebih rendah dan fleksibiliti yang lebih tinggi dalam penstrukturan bon agar lebih sejajar dengan keperluan pembiayaan pengeluar.

Dalam kalangan segmen peminjam, isi rumah kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan pinjaman sepanjang tahun 2025, dengan pinjaman isi rumah terkumpul berkembang sebanyak 5.6% (2024: 5.9%) (Rajah 1.19). Walaupun berlaku sedikit penurunan, permintaan kredit isi rumah kekal kukuh, seperti yang dicerminkan oleh peningkatan dalam permohonan pinjaman, terutamanya untuk pembelian rumah dan kereta. Perkembangan ini disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan serta kadar pinjaman yang lebih rendah. Peningkatan permohonan pinjaman isi rumah terus disokong dengan kelulusan yang lebih tinggi.

Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul menurun kepada 3.9% (2024: 5.2%) (Rajah 1.20). Hal ini terutamanya susulan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam pinjaman modal kerja dalam kalangan syarikat bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya dalam sektor barangan pengguna dan perkilangan asas (primary manufacturing). Walaupun pertumbuhan pinjaman lebih perlahan, aktiviti pengumpulan dana melalui pasaran bon korporat kekal mampan dalam sektor-sektor tersebut. Sementara itu, pertumbuhan pinjaman modal kerja kekal mampan dalam kalangan PKS. Pertumbuhan pinjaman perniagaan bagi tujuan berkaitan pelaburan[21] juga menjadi sederhana, namun kekal melebihi paras sebelum pandemik. Pertumbuhan dalam pinjaman berkaitan pelaburan mencerminkan aktiviti pelaburan swasta yang kukuh, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), harta tanah dan pembinaan. Pelaksanaan projek pelaburan awam yang berterusan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Master Plan, NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) turut merangsang minat pelaburan dalam kalangan perniagaan.

Secara keseluruhan, keadaan kredit kekal menyokong keperluan pembiayaan isi rumah dan perniagaan. Aktiviti pemberian pinjaman disokong oleh penampan modal dan mudah tunai bank yang kukuh, lantas memastikan akses kredit yang berterusan kepada peminjam yang layak. Bank-bank terus menyediakan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam sedia ada yang menghadapi kesukaran untuk memenuhi obligasi hutang mereka. Pelbagai pengaturan khidmat nasihat dan pengurusan hutang, termasuk di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kekal tersedia. Dalam kalangan PKS, langkah-langkah bantuan kewangan, termasuk jaminan kredit dan kemudahan pembiayaan Bank Negara Malaysia masih tersedia untuk memberikan bantuan bersasar.

Nota

[1] Antara bulan Februari hingga April 2025, AS mengumumkan langkah tarif utama ke atas rakan dagangannya (Rajah 1.2). Walau bagaimanapun, berdasarkan anggaran World Trade Organization, ETR sebenar AS, yang mengambil kira kadar tarif timbal balik (reciprocal), kadar tarif produk dan pengecualian tarif, telah reda kepada kira-kira 17.4% menjelang akhir tahun 2025.

[2] Berdasarkan laporan Semiconductor Industry Association (SIA) dan World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) Autumn 2025.

[3] Inflasi keseluruhan Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index, CPI) di AS meningkat pantas kepada 2.8% pada separuh kedua tahun 2025, lebih tinggi daripada 2.6% yang dicatatkan pada separuh pertama tahun 2025 dan purata jangka panjang (2011–2019: 1.8%).

[4] Berdasarkan laporan “How Tariffs Are Affecting Prices in 2025” oleh Federal Reserve Bank of St. Louis (2025).

[5] Termasuk upah dalam perkilangan: (i) keluaran mineral bukan logam, logam asas dan keluaran logam rekaan; (ii) makanan, minuman dan tembakau; dan (iii) kelengkapan pengangkutan dan barangan perkilangan lain.

[6] Pembentukan modal tetap kasar berkembang sebanyak 9.6%, lebih tinggi daripada purata jangka panjang iaitu 6.8% (2011–2019).

[7] Berdasarkan sesi libat urus dengan 109 syarikat oleh pasukan Pengawasan Ekonomi dan Industri Serantau BNM antara bulan Mac hingga Oktober 2025.

[8] Siri data guna tenaga daripada Survei Tenaga Buruh (Labour Force Survey, LFS) telah melalui proses pengasasan semula (penggunaan penanda aras penduduk yang disemak semula dalam kadar pertumbuhan tenaga kerja dan penduduk umur bekerja) bermula bulan Januari 2025 dan digunakan secara retrospektif pada data tahun 2024. Perkara ini menyelaraskan LFS dengan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang terkini.

[9] Penurunan kadar pengangguran lazimnya dikaitkan dengan keadaan yang lebih ketat disebabkan oleh penggunaan tenaga kerja yang lebih tinggi. Sebaliknya, pengurangan kekosongan jawatan bermakna permintaan dalam pasaran pekerja semakin sedikit. Pengurangan kekosongan jawatan berbanding bilangan penganggur menunjukkan bahawa kelembapan pasaran pekerja masih berterusan.

[10] Untuk maklumat lanjut mengenai ekonomi pusat data, sila rujuk Rencana yang bertajuk “Daripada Bait Kepada Ringgit: Analisis Ekonomi Pusat Data di Malaysia” dalam Buletin Suku Tahunan BNM Suku Ketiga 2025.

[11] “Out-out” merujuk penempatan dana sumber luaran dengan rakan niaga luaran.

[12] Seperti yang diukur oleh aset luaran dalam denominasi FCY selepas ditolak liabiliti luaran dalam denominasi FCY.

[13] “Out-out” merujuk penempatan dana sumber luaran dengan rakan niaga luaran.

[14] Butiran lanjut mengenai pemacu hutang luar negeri jangka pendek Malaysia boleh didapati dalam rencana bertajuk “Pemahaman Mengenai Pendorong Utama Hutang Luar Negeri Jangka Pendek Malaysia” di dalam Buletin Suku Tahunan BNM Suku Ketiga 2025.

[15] Untuk maklumat lanjut mengenai pengurusan hutang luar negeri Malaysia, sila rujuk rencana bertajuk “Daya Tahan Malaysia dalam Mengurus Obligasi Hutang Luar Negeri dan Kecukupan Rizab Antarabangsa” dalam Laporan Tahunan BNM 2018.

[16] Hutang luar negeri berisiko syarikat korporat merujuk pinjaman luar pesisir yang diperoleh dan bon yang diterbitkan oleh peminjam korporat berisiko tinggi. Hutang luar negeri berisiko bank-bank merujuk hutang luar negeri yang lebih mudah terjejas sebagai akibat kejutan pengeluaran secara mendadak, seperti deposit institusi kewangan, peminjaman antara bank dan pinjaman jangka pendek daripada rakan niaga bukan pemastautin yang tidak berkaitan.

[17] Aset mudah tunai luaran syarikat korporat dan bank-bank, yang terdiri daripada pelaburan portfolio, mata wang dan deposit.

[18] Pada tahun 2025, Kerajaan melaksanakan beberapa pembaharuan dasar termasuk rasionalisasi subsidi bahan api RON95, penstrukturan semula tarif elektrik, pelarasan kadar tarif air, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST) serta pemansuhan subsidi telur.

[19] Di bawah Insentif Cekap Tenaga, isi rumah domestik yang menggunakan kurang daripada 1,000 kWj sebulan layak menerima rebat sehingga 25 sen untuk setiap kWj.

[20] Angka bagi pinjaman terkumpul yang dilaporkan di bawah kredit kepada sektor swasta bukan kewangan juga termasuk pinjaman isi rumah yang diberikan oleh institusi kewangan bukan bank (IKBB) utama, di samping jumlah pinjaman terkumpul perniagaan dan isi rumah yang diberikan oleh bank dan institusi kewangan pembangunan (IKP).

[21] Terdiri daripada pinjaman untuk pembelian harta tanah bukan kediaman, harta kediaman untuk kegunaan perniagaan, aset tetap serta untuk aktiviti pembinaan.

Bank Negara Malaysia

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?